Harian Metro: Rap |
Posted: 03 Aug 2011 06:07 AM PDT RAMAI peminat mengakui mereka sedang bercinta apatah lagi lagu popular yang didendangkan bersama, Jahatnya Cinta, seakan mengiakan juara Akademi Fantasia Musim Keenam (AF6), Stracie Angie Anam (Stacy), 21, dan tempat ketiga AF7, Afiq Hakim Ahmad, atau Akim, 20, sedang berbunga hatinya. Dakwaan pasangan ini sedang hangat bercinta sehingga dipercayai peminat menyebabkan rezeki Akim dan Stacy juga semakin murah. Ramai mahu menumpang kehangatan kisah cinta pasangan ini dengan mengambil mereka sebagai jurucakap untuk kempen pengiklanan. Single Jahatnya Cinta juga turut menerima tempiasnya apabila turut menjadi pilihan pendengar dan menjuarai carta lagu popular. Hakikatnya, cerita cinta antara Akim dan Stacy ini hanyalah sekadar gosip. Tiada pengesahan mengatakan bahawa mereka benar-benar mencintai antara satu sama lain. Ditemui baru-baru ini sewaktu sesi rakaman Konsert Raya 1 Malaysia @ Muzik FM di Restoran Seri Melayu, Jalan Conley, Stacy dan Akim akhirnya mengakui bahawa hubungan akrab mereka selama ini langsung tidak membabitkan soal hati dan perasaan, apatah lagi sehingga bercinta.
"Apabila ramai yang menganggap kami benar-benar sedang bercinta, saya bimbang hendak menafikan perkara itu. Saya takut peminat akan kata saya artis 'poyo' kerana cuba menafikan gosip cinta bersama Akim. "Apatah lagi waktu sama banyak aktiviti membabitkan saya dan Akim sedang dijalankan waktu itu termasuk mempromosikan kempen iklan aiskrim dan lagu Jahatnya Cinta," katanya. Kata Stacy lagi, kerana kekangan masa, tuntutan kerja dan kehendak keluarga menyebabkan gadis berasal dari Penampang, Sabah ini tidak mahu memikirkan soal cinta. Walaupun dalam hatinya kuat mahu merasai perasaan indah itu seperti apa yang sedang dirasai rakan sebayanya. "Saya hanya kawan dengan Akim dan tidak lebih daripada itu. Saya tidak mahu komen lebih lanjut mengenainya kerana bimbang akan menimbulkan isu kurang enak pada masa akan datang," katanya lagi yang kini sedang popular dengan single terbaru berentak balada, Kisah Dongeng. Kata Stacy lagi, antara sebab mengapa dia enggan bercerita lanjut mengenai hubungannya dengan Akim kerana harus patuh dengan permintaan keluarganya. "Keluarga saya berpegang kuat kepada pegangan agama kami (Kristian) dan saya harus menghormati mereka. Bercerita mengenai hubungan saya dan Akim seperti kami benar-benar serius bercinta adalah tidak bagus. Saya perlu menjaga nama baik keluarga. Pada waktu sama, saya masih muda, baru berusia 21 tahun dan tidak berhak untuk membantah cakap keluarga. "Kecuali sekiranya saya sudah cukup matang. Mengambil contoh sekiranya saya sudah berusia 25 tahun dan sudah boleh berdikari sepenuhnya, barulah saya boleh menyatakan kepada keluarga mengenai keputusan yang mahu saya ambil. Itupun saya harus memastikan keputusan itu dapat diterima keluarga dengan tangan terbuka," katanya. Sementara itu Akim ditemui selepas itu mengakui antara dia dan Stacy hanya sekadar rakan malah keluarga kedua-dua pihak sudah tahu yang mereka berkawan rapat. "Bagaimanapun, hubungan saya dan Stacy tidaklah sampai serius dan bercinta. Lagipun kami masih muda. Saya baru mencecah 20 tahun dan Stacy masuk 21 tahun. Jelas Akim lagi, segalanya bermula daripada gosip yang tersebar dan dari situ ada pihak menunjukkan minat terhadap gosip cinta terbabit dan menawarkan mereka untuk menjadi duta. "Saya melihat semua ini dari sudut positif. Ia adalah rezeki. Bagaimanapun, untuk berfikir jauh mengenainya sehingga membabitkan soal kahwin dan berumahtangga rasanya tidaklah. Macam Stacy, dia ada tanggung jawabnya kepada keluarga. "Begitu juga dengan saya, kalau hendak kahwin pun saya harus bersiap sedia dari sudut mental. Selain itu dari sudut kewangan juga perlu kukuh agar tidak menimbulkan masalah pada masa mendatang," katanya. Bercerita lanjut mengenai keserasian yang wujud antara dia dan Stacy, jelas Akim dia tidak mempunyai ramai kenalan perempuan dan Stacy pula antara yang paling rapat dengannya. "Saya senang berkawan dengan Stacy sebab dia sangat 'sempoi'. Kami juga satu kepala. Lebih daripada itu kami saling mendorong antara satu sama lain untuk berjaya dalam kerjaya seni ini," katanya seraya mengakhiri perbualan. PROFIL AKIM: NAMA SEBENAR: Afiq Hakim Bin Ahmad PROFIL STACY: NAMA SEBENAR: Stracie Angie Anam |
Posted: 03 Aug 2011 05:54 AM PDT BUKAN satu tetapi beberapa kontroversi dicetuskan pernah memberi gambaran buruk kepada negara dan mendapat perhatian menteri Kabinet. Selepas diumumkan tidak bersalah di Parlimen, Namewee berhasrat memberi hadiah terbaik sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54.
Artis muda dengan nama sebenar, Weng Meng Chee mahu mengembalikan keyakinan masyarakat menerusi filem sulung arahannya, Nasi Lemak 2.0. Filem muhibah dibarisi beberapa nama besar seperti Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam, Adibah Noor, Kenny & Chee, Pete Teo, Reshmonu, Karen Kong dan ramai lagi. Sekalipun rakaman dibuat dalam bahasa Mandarin dan Kantonis, bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Jepun turut digunakan.
Kata Namewee, filem berkisar seorang chef menjadikan nasi lemak sebagai metafora perjalanan hidup mencari identiti diri. "Bagi saya, nasi lemak makanan sarapan popular nasional dan menjadi salah satu menu makanan kegemaran rakyat Malaysia pelbagai kaum. "Filem Nasi Lemak 2.0 bukan bertujuan memberi gambaran mengelirukan masyarakat majmuk. Malah, bukan juga memberi gambaran salah terhadap latar kebudayaan atau keagamaan di negara ini kerana mesej utama adalah perpaduan. Makanan antara elemen paling kuat menyatukan kita semua," katanya. Namewee berkata, judul Nasi Lemak 2.0 diberi tiada kena mengena dengan perhimpunan besar-besaran berlaku di sekitar Kuala Lumpur, bulan lalu. "Judul sudah lama dipilih memandangkan 2.0 bermaksud generasi baru komuniti 'online'. Ia mendapat kelulusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada April tahun lalu. "Disebabkan beberapa isu kontroversi, penarikan diri pelabur dan penaja menyebabkan projek asal sepatutnya siap 2010 terhenti. "Akhirnya, proses menyiapkan filem mencapai matlamat selepas memakan masa lebih dua tahun termasuk pengesahan dan sokongan daripada Jabatan Perdana Menteri. "Kami tidak niat untuk mengelirukan masyarakat kerana apa yang kami mahu paparkan semangat bersatu dan hidup dalam harmoni dengan diselitkan elemen jenaka dan lucu," katanya. Bukan sekadar mengarahkan filem sulungnya. Namewee turut mencipta lagu latar Rasa Sayang untuk hasil produksi gabungan Prodigee Media dan UB Prodigee Entertainment. "Lagu Rasa Sayang untuk filem bukan lagu asal biasa dinyanyikan tetapi dicipta semula dengan lirik dan melodi baru. "Saya tidak mahu menganggap filem berkenaan satu gimik baru mencetus kontroversi baru terhadap individu atau negara ini. "Mungkin ada beranggapan saya mencari publisiti tetapi apa yang mahu saya tonjolkan adalah komedi sosial menggambarkan kematangan kita sekarang," katanya. Selaku penerbit, Fred berkata, filem berkenaan diketengahkan sebagai satu gambaran dengan matlamat menyampaikan mesej positif kepada rakyat Malaysia dengan menggunakan gaya jenaka Namewee. "Dengan cita-cita yang ada, kami mencipta watak filem ini yang berbilang budaya berdasarkan senario terbaik dan memilih barisan pelakon sesuai dengan watak terbabit," katanya. Walau apa pun paparan atau mesej mahu disampaikan, hanya penonton dapat menilai sendiri apabila Nasi Lemak 2.0 berada di pawagam, bulan depan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |