macam macam hiburan terkini |
- Neelofa Lupakan Hasrat Berehat, Terima Tawaran Mamat Khalid
- Imej Semula Jadi Nadine
- Elfira Loy Bimbang Pelajaran Merosot Kerana Lakonan
- Arrora - Anggota Polis Jadi Penyanyi
Neelofa Lupakan Hasrat Berehat, Terima Tawaran Mamat Khalid Posted: 31 Jul 2011 07:06 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon kontroversi Noor Neelofa Mohd Noor, 22, ( Neelofa) memberitahu dia terpaksa melupakan hasrat untuk berehat daripada aktiviti seni sepanjang bulan Ramadan ini kerana bakal terlibat dengan penggambaran filem terbaru pengarah Mamat Khalid, Rentaz. Kata gadis yang mesra disapa Lofa ini, walaupun pada awalnya agak keberatan untuk menerima tawaran sebagai heroin filem seram komedi itu, dia akhirnya bersetuju untuk menerima peluang tersebut selepas mendapatkan pandangan rakan-rakan dalam industri hiburan. "Memang dari awal lagi ketika ditawarkan watak dalam filem ini saya agak keberatan untuk menerimanya. Bukan apa, seperti yang saya maklumkan dulu bahawa saya seorang yang penakut. "Apatah lagi, saya sudah berniat untuk berehat sepanjang bulan puasa ini untuk menumpukan perhatian pada keluarga dan ibadat. Namun, selepas mengambil kira pendapat teman-teman industri, saya memutuskan untuk mengambil peluang keemasan ini. "Tawaran ini adalah satu penghargaan yang besar ertinya bagi orang baru seperti saya," katanya kepada mStar Online, Ahad. Kongsinya lagi, selepas mengesahkan pembabitannya dengan produksi filem berkenaan, dia mengakui semakin berdebar-debar dan takut untuk melaksanakan tanggungjawab itu. "Terus-terang, saya sangat takut dan bimbang pada waktu ini. Saya risau sama ada saya mampu mempersembahkan lakonan yang berkualiti atau sebaliknya. "Apabila melibatkan filem-filem arahan Mamat Khalid, harapan penonton adalah tinggi dan saya bimbang jika tidak mampu menjayakannya sebaik yang mungkin," katanya sambil berharap peluang tersebut dapat melebarkan lagi karier seninya. Dalam filem yang berkisar tentang perjalanan sekumpulan geng motosikal menuju ke Kuala Lumpur itu, Neelofa bakal bergandingan dengan aktor dan penyanyi Awie, Shahz Jaszle, Dazreen dan seorang lagi aktres baru. Menurut pengarahnya Mamat Khalid, judul asal filem tersebut iaitu Highway to Hell terpaksa dipinda kepada Rentaz bagi mengelakkan sebarang pertikaian, kontroversi atau salah faham di kemudian hari. |
Posted: 31 Jul 2011 07:05 PM PDT PEMENANG Miss Universe Malaysia 2010/2011, Nadine Ann Thomas, 25, tidak pernah menganggap hanya sekadar mahu memberi keutamaan terhadap kariernya dalam bidang peragaan. Sebaliknya, dia lebih gemar menceburi bidang muzik sebagai deejay hip hop. Minatnya yang menebal dalam muzik sejak kecil diwarisi daripada kedua ibu dan bapanya. Bermula Jun lalu, dia telah bernaung di bawah syarikat Art Talent milik penyanyi Reshmonu. "Saya berhasrat untuk menghasilkan lagu tetapi buat masa ini akan memulakan karier sebagai 'spinning deejay' pada September ini. Setakat ini, saya masih lagi menjalani latihan untuk bergelar deejay. "Saya memang menggemari lagu-lagu hip hop dan R&B dan jika bergelar deejay, saya boleh gabungkan pelbagai jenis muzik seperti retro, muzik India dan Cina," ujarnya kepada OopStarz!. Selain itu, dia juga bergelar pelakon untuk sebuah filem berjudul Nasi Lemak 2.0 yang diarahkan oleh pengarah kontroversi Namewee, individu yang didakwa mempersendakan lagu Negaraku itu. Filem berkenaan turut dilakonkan oleh Reshmonu, Dennis Lau, Datuk Arumugan (Alleycats). Kulit berjerawat Menyentuh tentang petua menjaga kecantikan sehingga dinobatkan sebagai juara Miss Universe Malaysia 2010/2011, Nadine akui dia bukan seorang yang terlalu obses dengan kecantikan. Nadine hanya mengamalkan rutin penjagaan kulit setiap hari dengan menggunakan produk yang kurang mempunyai bahan kimia. "Saya gemar menggunakan produk kosmetik Loreal, topeng muka Himalaya dan produk penjagaan badan Body Shop. "Sewaktu usia sembilan tahun, saya mengalami masalah kulit berjerawat dan dinasihatkan tidak menggunakan produk kecantikan sembarangan dan lebih kepada produk yang diperbuat daripada bahan yang lembut. "Sehingga usia 21 tahun, kulit saya kembali pulih apabila saya mengamalkan ubat yang seimbang dan menggunakan skrub muka. "Selain itu, saya juga membuat rawatan muka sendiri di rumah seperti mencampurkan madu dan gula perang untuk dijadikan skrub muka. "Rawatan ini bagus untuk melembutkan dan mencantikkan kulit yang saya amalkan sejak lima tahun lalu," katanya. Beralih kepada penjagaan rambut, Nadine tidak pernah mengeritingkan atau meluruskan rambutnya kerana dia lebih selesa dengan imej rambut yang semula jadi. Menganggap dirinya seorang yang sederhana, wanita ini juga melakukan urutan sendiri pada badan dengan menggunakan minyak Bio Oil pada setiap hari. Minyak itu juga dipercayai mampu menghilangkan parut yang ada. Sebagai tambahan, Nadine juga menyapu losen pada badan agar kulitnya sentiasa lembap.Menyebut tentang berat badan, dia akui tidak mengamalkan diet secara keterlaluan sehingga mengganggu pemakanannya. "Saya makan nasi pada tengah hari dan tidak bimbang dengan berat badan," katanya. |
Elfira Loy Bimbang Pelajaran Merosot Kerana Lakonan Posted: 31 Jul 2011 07:04 PM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon remaja, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 17, (Elfira) yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November depan berkata kesibukannya memenuhi pelbagai komitmen lakonan telah menjejaskan tumpuan dan prestasi akademiknya kebelakangan ini. Elfira yang mengakui bimbang dengan keadaan itu bagaimanapun terpaksa berkorban dan membahagikan masanya dengan bijak bagi mengimbangi kekurangan tersebut. "Saya akui tumpuan dan prestasi pelajaran di sekolah agak merosot kebelakangan ini kerana terlalu sibuk dengan komitmen lakonan saban hari. "Kebiasaannya, setiap kali habis sesi persekolahan saya akan berkejar-kejar ke lokasi penggambaran dan menyebabkan saya menjadi penat untuk menelaah pelajaran," katanya. Menyedari kepentingan akademik dan masa yang semakin suntuk menjelang peperiksaan penting itu, Elfira bagaimanapun segera menyusun strategi untuk memperbaiki keaadan. Dia kini sedang giat menumpukan perhatian dengan menghadiri kelas tusyen sebelum terbang ke Itali selama dua minggu pada Ogos depan untuk penggambaran drama bersama Astro. "Peperiksaan SPM hanya tinggal beberapa bulan saja lagi dan saya semakin risau sebenarnya. "Insya-Allah selepas drama itu selesai, saya mahu duduk di rumah saja dan mengulangkaji pelajaran yang tertinggal," kata penuntut tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsan Bandar Tun Hussein Onn 2 ini. |
Arrora - Anggota Polis Jadi Penyanyi Posted: 31 Jul 2011 07:03 PM PDT DEMI cintanya terhadap bidang nyanyian, penyanyi Arrora Salwa atau nama sebenar Salwa Md. Razak,27, nekad meninggalkan kerjaya beruniform sebagai seorang anggota polis yang menjanjikan pendapatan tetap buatnya. Berkhidmat selama tujuh tahun sebagai anggota polis atas permintaan keluarga, Arrora mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya dalam kerjaya nyanyian. Sewaktu memegang jawatan Lans Koperal, penyanyi berzodiak Cancer ini turut menyertai kombo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan terlibat dengan pelbagai persembahan sepanjang bertugas. "Saya rasa cukup selama tujuh tahun saya berkhidmat sebagai anggota polis dan sekarang masa untuk saya mengikut kata hati saya dan mengejar cita-cita sebagai penyanyi. "Saya tahu kerjaya nyanyian tidak menjamin ganjaran lumayan atau pendapat yang stabil, tapi saya ambil risiko itu sebagai cabaran," jelasnya. Biarpun masih hijau dalam dunia hiburan, nama Arrora dilihat sedang meniti di bibir-bibir peminat melalui 'single' pertamanya berjudul Ahmad. Ketika ditanya tentang jejaka bernama Ahmad, Arrora hanya tersenyum dan berkata ia sekadar lagu yang dilontarkan di hadapan pendengar. "Nama Ahmad tiada kena mengena dalam orang istimewa dalam hidup saya, ia diambil sebagai simbolik nama lelaki yang selalu digunakan dalam masyarakat Melayu. "Lagu ini berentak seperti muzik Indonesia kerana ia dicipta oleh komposer negara tersebut iaitu Panji Sakti yang sebelum ini menghasilkan lagu hit Sayang-Sayang dan Jangan Nakal," katanya. Berpeluang merakamkan lagu tersebut, Aurora berkata lirik Ahmad mudah untuk diingati apabila pertama kali mendengarnya. |
You are subscribed to email updates from macam macam hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |