Berita Harian: Hip |
Posted: 31 Jul 2011 11:37 AM PDT Hip Irma BIARPUN dirinya kini sudah tampil bertudung, namun sedikit pun cahaya bintang yang tersurat dalam perjalanan seninya menjadi suram. Malah rezeki gadis berdarah campuran Pakistan dan Cina ini sentiasa murah. Baru-baru ini dia terpilih menjadi duta tudung D' Haja untuk tempoh setahun. Selain itu dia juga diangkat sebagai duta makanan kesihatan Walit Gold, malah ketika yang sama Irma menceburi bidang perniagaan dengan menjual jubah secara atas talian bersama rakan kongsi yang juga pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail. Anak sulung daripada tiga beradik yang sentiasa kekal ramah ini seterusnya menafikan penghijrahannya menjadi wanita bertudung mematikan langkah seni yang sudah bertahun diceburi.Adat hidup sebagai manusia, sesuatu yang baik itu pasti dicaci atau cuba disalahertikan, begitulah cerita yang sentiasa terpalit di lukisan perjalanan seni wanita cantik ini. Katanya, perubahan selepas menunaikan umrah 28 Februari lalu, tidak dipengaruhi sesiapa, sebaliknya ia hadir dalam jiwanya sendiri dan biarlah segala perubahan itu memberikan kekuatan untuk dia terus menjalani hidup. Pengacara program bual bicara Assalamualaikum di TV AlHijrah ini mengakui perubahan ke arah perkara yang positif dilakukan secara pelahan-lahan tanpa ada paksaan atau pengaruh individu tertentu.
"Jualan jubah secara atas talian juga mendapat sambutan positif daripada peminat dan orang ramai. Jubah yang ditawarkan adalah pada harga yang berpatutan, dengan rekaan dihasilkan menerusi perbincangan kami bersama. Fabriknya juga berkualiti dan lebih ringan. Buat masa ini kami belum memikirkan untuk membuka kedai, begitupun memang ada perancangan untuk memperbesarkan perniagaan ini," katanya bersemangat ketika berbicara mengenai perniagaan jubahnya itu. Wanita yang tampil anggun dengan rekaan Ezuwan Ismail ini ditemui ketika hadir bersama lebih 30 selebriti pada majlis The Blue Kebaya Showcase anjuran Rafflesia The Pearl Centre, baru-baru ini. Ketika diusik soalan klise yang sentiasa membuatkan wanita yang memegang Diploma Kejuruteraan Elektrik (Telekomunikasi) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini tersipu malu, dia menafikan hatinya sudah dimiliki mana-mana jejaka. "Saya masih sendiri dan belum berpunya. Saya berkawan dengan semua orang dan saya juga tidak pernah serik bercinta, tetapi pastinya akan lebih berhati-hati," katanya yang mengimpikan untuk bersama lelaki yang dapat membimbing dirinya. Berbicara soal jodoh, Irma yang dua kali kecundang dalam percintaan bersama jejaka yang turut bergelar selebriti berkata, dia tidak mahu lagi bercinta lama-lama. Andai dipertemukan dengan lelaki yang bersesuaian satu hari nanti, dia tidak mahu mengambil masa yang panjang untuk mengenali hati budi masing-masing. "Saya serik bercinta lama-lama, tetapi akhirnya tidak ke mana. Selepas ini, jika dipertemukan dengan lelaki yang bersesuaian, saya tidak mahu buang masa lagi. Bukanlah kenal sebulan dua terus kahwin, tetapi kalau boleh saya tak mahu buang masa hingga bertahun-tahun," katanya. Dilarang bermain mercun BERCERITA mengenai perkembangan seni, gadis yang pernah membintangi filem Cinta Fotokopi dan Main-Main Cinta ini bersyukur kerana rezekinya dalam dunia seni sentiasa ada. Kata pelakon yang pernah membintangi drama Janji Diana, Suara Merdeka, Agensi Abadi, Pendekar Melayu serta Mas Kahwin ini, dia baru saja selesai menjalani penggambaran drama Psikik untuk siaran RTM dan Kasih Aliya (TV3), sempena Ramadan. Bekas pemenang Gadis Jelita 2004 ini kerap kali memanjatkan rasa syukur setiap kali mengalun bicara soal kerjayanya sambil memberitahu, tawaran berlakon terus datang sesuai dengan penampilannya kini. Ketika pertemuan dengannya berlangsung baru-baru ini, Ramadan hanya tinggal beberapa hari saja lagi untuk menjelma. Lalu, topik bulan mulia dan Syawal itu tidak terlepas daripada perbualan. Bercakap soal Syawal, wanita berusia 29 tahun ini memberitahu, tidak seperti kanak-kanak lain, dia tidak pernah berasakan pengalaman bermain mercun kerana ibu tidak membenarkan dia berbuat begitu. "Saya tidak bermain mercun bukan kerana tidak mahu, tetapi ibu melarang dan akan marah setiap kali saya ingin mencubanya," katanya tersenyum. Dia yang sangat meminati kuih raya dari jenis coklat ini menambah, setiap tahun dia akan memastikan dapat beraya bersama keluarga dan ia satu pengalaman yang cukup menggembirakan dan indah dalam diari kehidupannya. "Jika ditanya soal makanan kegemaran, saya ini sangat mudah kerana semuanya saya makan. Macam kuih raya pula, semua saya suka dan paling diminati adalah kek raya yang diperbuat daripada coklat. "Baju raya pula, bagi saya, semua baju baru ialah baju raya saya," katanya cuba berjenaka. Tidak sukar untuk beribadat BIARPUN kini dia tampil bertudung, namun masih belum terlintas di fikiran Irma untuk meninggalkan dunia seni. Katanya, dia tidak pernah berasakan memakai tudung menjadi satu beban kepadanya untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan dan pengacaraan. "Kalau ada orang berasakan sukar untuk beribadah apabila bergelar artis, saya rasa itu adalah masalah individu itu sendiri, yang tidak tahu mengurus waktu dengan cara yang sistematik. "Alhamdulillah sejak berhijrah, saya tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah untuk bersolat apabila tiba waktunya. Malah produser dan tenaga produksi juga memahami. Apabila hendak bersolat, saya akan buang semua mekap dan kembali mengenakan semula solekan apabila selesai bersolat. Itu tidak mendatangkan masalah kepada produser. "Malah saya pernah menjalani penggambaran dengan pengarah dan tenaga produksi yang kesemuanya berbangsa Cina. Mereka juga tiada masalah apabila saya meminta izin untuk mengerjakan solat, malah mereka juga sangat menghormati permintaan saya itu. "Tawaran berlakon pun setakat ini alhamdulillah. Mungkin kebelakangan ini, semakin ramai pelakon yang bertudung, jadi tiada masalah untuk produser mendapatkan watak wanita berimej sedemikian.
Gadis yang diberi kepercayaan oleh stesen itu untuk mengacarakan program realiti Solehah, yang bakal ke udara tidak lama lagi berkata, menjadi seorang selebriti juga membolehkan dia menyebarkan dakwah.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Rahsia gambar, bunyi berkualiti Posted: 31 Jul 2011 11:28 AM PDT Hip Technicolor bertanggungjawab mencantikkan filem Asia, antarabangsaMELIHAT kualiti gambar mengagumkan dengan warna yang menarik pada judul popular seperti Transformers dan Harry Potter, pasti ramai peminat filem yang tertanya-tanya, bagaimana mutu visual sehebat itu dapat dicapai? Apatah lagi apabila ditambah kesan bunyi yang menakjubkan. Teknik menghasilkan filem yang berkualiti itu sebenarnya dipertanggungjawabkan kepada syarikat pemprosesan filem terbesar dunia, Technicolor, yang juga berperanan sebagai medan pasca produksi filem di Hollywood. Kini, filem tempatan turut mendapat sentuhan daripada Technicolor yang mempunyai cawangannya di Asia, bagi mencantikkan lagi filem yang dihasilkan.Filem Syukur 21 terbitan MIG Productions muncul judul tempatan pertama yang mendapat sentuhan pasca produksi filem daripada Technicolor Asia yang berpangkalan di Bangkok. Berkesempatan melawat studio terbabit yang terletak di Jutujak, Bangkok, Thailand baru-baru ini, memberi pengalaman baru kepada 17 anggota delegasi daripada Hip dan B*Pop, Berita Harian serta Berita Minggu, untuk melihat sendiri teknik pemprosesan dan kecanggihan Technicolor Asia itu. Melangkah masuk ke bangunan setinggi tiga tingkat berhampiran jalan Vipavadee Rangsit Road, Ladyao, itu seperti berada di sebuah bangunan pejabat biasa dengan susun atur di dalamnya yang sangat minimum. Kemudahan yang disediakan bertaraf Hollywood itu mampu menghasilkan pasca produksi filem bagi judul seperti Captain America, Conan The Barbarian dan The Adventures of Tintin. Setiap tingkat mempunyai peranannya tersendiri, yang dibahagikan kepada beberapa bahagian bagi memproses imej digital, perkhidmatan audio, warna, sari kata dan percetakan DVD. Bahkan, di bahagian belakang bangunan terbabit turut ditempatkan makmal memproses salinan filem ke bentuk DVD yang mampu menghasilkan lebih 200,000 salinan sehari. Siapa sangka, Technicolor Asia turut diberi peranan bagi menyempurnakan penghasilan filem dalam bentuk tiga dimensi (3D), malah filem Kung Fu Panda pernah diproses di sini. Menjengah ke aras tiga bangunan terbabit pula membolehkan anggota delegasi melihat sendiri studio warna, kesan bunyi dan pawagam mini yang sedang menyiapkan proses untuk filem terbaru terbitan MIG Productions, Sumpahan Kum Kum, Hantu Dalam Botol Kicap dan Papa I Love You. Alukan kerjasama produksi Malaysia MENURUT Pengarah Urusan Technicolor Asia, Sergio Bosso, Technicolor mengalu-alukan kerjasama dengan produksi perfileman luar termasuk Malaysia dalam menghasilkan filem yang bermutu. "Mungkin suatu hari nanti Malaysia akan mampu menghasilkan filem 3D pertamanya di sini. Kami mengalu-alukan kerjasama ini dalam proses pasca produksi filem. "Kemudahan yang ada di studio ini adalah sama dengan kemudahan yang ada di Hollywood, malah filem dari Indonesia dan Thailand sendiri turut menjalani proses perfileman mereka di sini. "Proses pasca produksi bagi sesebuah filem biasa tidaklah lama, di mana pada kebiasaannya ia mengambil masa lebih kurang dua minggu saja berbanding proses untuk filem dalam bentuk 3D," katanya. Walaupun bangunan dan ruang dalamannya kurang menarik jika dibandingkan dengan teknologi yang dimiliki, namun ia turut menempatkan studio suntingan filem dan sari kata yang terletak di aras dua. Malah, filem antarabangsa yang dipasarkan di Malaysia dengan dilengkapi sari kata berbahasa Melayu turut dilakukan di sini. Melihat kerja pemprosesan filem di studio terbabit sememangnya menarik perhatian delegasi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |