Adsense

Sabtu, 27 Ogos 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Karipap-karipap penyatu cinta

Posted:

Karipap-karipap penyatu cinta

Karipap-karipap penyatu cinta

IMPAK keunikan kuih karipap, mampu menggoncang sukma hingga jatuh terperosok ke lembah cinta. Dek kerana resipi rahsia yang ada pada sebiji karipap mampu membuatkan Sarah jatuh hati kepada Ali.

Mungkin ada yang tertanya-tanya siapa pula gerangan Sarah dan siapakah Ali? Sebenarnya, kedua-dua watak ini telah digarap dengan sempurna daripada naskhah asal iaitu sebuah novel nukilan Nazri M. Annuar berjudul Karipap Karipap Cinta .

Setelah difilemkan, kedua-dua watak utama itu masing-masing direalisasikan oleh Gambit Saifullah dan pendatang baharu dalam industri perfileman, Melia Amellia.

Bagi Gambit, kesempatan yang diberikan untuk berlakon dalam filem yang diarahkan oleh sutradara yang terkenal dengan mesej sinikal dalam setiap karya, Othman Hafsham, bukan calang-calang nilainya.

"Seronok berlakon dengannya (Othman Hafsham) yang sentiasa berdisiplin, cabarannya terletak pada saya sendiri yang sebelum ini tidak pernah membaca novel berkenaan dan hanya mendalami watak menerusi imaginasi dan skrip sahaja," kata aktor yang mula berjinak berlakon filem menerusi watak Khalif dalam filem Cinta pada tahun 2006 itu.

Malah kata pemilik nama sebenar Gambit Saifullah, 26, itu lagi, kesabaran benar-benar teruji apabila berlakon pada bulan puasa.

"Penggambaran ini dimulakan pada bulan puasa tahun lepas dan saya harapkan berkat bulan Ramadan dan Syawal tahun ini membolehkan peminat datang menontonnya di pawagam," katanya yang terpesona dengan kreativiti lawak yang ditonjolkan dalam filem itu.

Filem tersebut mengisahkan seorang pemuda bernama Ali yang bekerja di sebuah syarikat akhbar politik dan majalah misteri yang jatuh hati pada Sarah, seorang graduan dari Universiti Al-Azhar dan bertugas sebagai seorang kartunis.


EMPAT SEKAWAN. Gelagat melucukan empat aktor Karipap Karipap Cinta. Dari kiri: Syawal, Gambit, P. Jagen, Elyas Iskandar.


Demi menambat hati Sarah, Ali terpaksa berbohong dengan menyatakan dia juga lulusan daripada universiti yang sama seperti Sarah.

Dalam satu insiden yang memaksanya memecah masuk ke dalam rumah bosnya, Ali menemui resipi rahsia untuk memperoleh kebahagiaan bersama Sarah melalui kuih karipap.

Filem sulung Melia

Bagi gadis berusia 18 tahun, Melia Amellia yang baru pertama kali muncul menghiasi layar perak, berdepan cabaran sebagai pendatang baharu menjadi isu utama buat dirinya.

"Mungkin ramai yang kurang mengenali Melia kerana sebelum ini Melia sering terlibat dengan berlakon drama dan tampil dengan imej bertudung mahupun isteri orang.

"Ini permulaan buat Melia untuk mengembangkan karier Melia dalam industri filem dan watak yang diberikan kepada Melia kali ini juga agak mencabar," ceritanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun, mentelaah novel asal setebal 254 muka surat tidak menjadi hal buat Melia yang terpilih daripada 180 calon yang hadir uji bakat untuk filem tersebut.

"Selepas mendapat skrip, Melia berkurung dalam bilik selama tiga hari tiga malam untuk menghafal dan menghayati skrip yang diberikan.


FILEM Karipap Karipap Cinta menemui penonton di pawagam pada Hari Raya Pertama.


"Oleh kerana perwatakan Sarah dalam filem dan novel ini (Karipap Karipap Cinta) adalah lemah lembut sesuai dengan kelulusannya dari Universiti Al-Azhar berbanding diri sebenar Melia yang agak kasar bermakna lebih homework perlu dibereskan sebelum mula penggambaran," ujarnya yang juga berdepan dengan kesukaran bersilat yang menuntutnya beraksi dalam beberapa babak.

Menangis setiap kali aksi berlawan disebabkan berdepan kesukaran untuk beraksi lasak, watak Sarah juga memerlukannya bertutur dalam bahasa Arab.

"Jadi, setiap kali ada babak yang perlukan Melia berlawan atau bercakap dalam bahasa Arab mesti ada seorang guru yang akan membetulkan mana-mana silap yang Melia buat," tambahnya.

Teruja menantikan filem sulungnya yang bakal terbit di panggung seluruh negara pada hari raya pertama, pemilik nama sebenar Noor Melia Aimiellia Zaidi itu juga ternanti-nanti berkat Syawal pada tahun ini.

"Karipap Karipap Cinta filem pertama saya, mana mungkin tidak teruja dan cemas dengan hasil yang bakal dibikin kelak.

"Begitu pun, semoga keberkatan bulan mulia ini mengiringi perjuangan filem pertama saya di panggung wayang," katanya yang berkemungkinan beraya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Telefilem, dokumentari merdeka raya

Posted:

Telefilem, dokumentari merdeka raya

Telefilem, dokumentari merdeka raya


JOHAN dan Zizan.


SUDAH menjadi suatu kebiasaan apabila setiap kali sambutan hari lebaran, kesemua stesen televisyen tempatan tidak akan ketinggalan untuk menyiarkan pelbagai drama dan telefilem serta dokumentari menarik untuk tatapan umum. Berikut adalah senarai rancangan yang akan ditayangkan sepanjang raya ini untuk tatapan bersama ahli keluarga dan tetamu yang berkunjung ke rumah.

1 Pontianak Beraya di Kampung Batu

MERUPAKAN kesinambungan kepada telefilem Pontianak Kampung Batu. Ia mengisahkan mengenai Tira dan Riana yang bermusuhan, sekali lagi bersemuka apabila paku yang mengurung Riana telah dicabut oleh seorang budak lelaki rempit bernama Zack. Kak Kiah yang dapat mengesan pembebasan Riana itu telah menghubungi Tira yang kini sudah menetap di Kuala Lumpur dan merupakan seorang pereka kebaya terkenal. Tira kembali ke Kampung Batu untuk memastikan keadaan kampung tersebut berada dalam keadaan aman.

Tarikh tayangan: 2 September

Pukul: 9 malam

Saluran: Astro Ria

Pelakon: Erra Fazira, Didie Alias, Rashidi Ishak, Hazama, Mariani

2 Drogba dan Rooney

NAMA yang diilhamkan menerusi

pemain bola sepak terkenal, Didier dan Wayne adalah sebuah telefilem komedi tentang dua anak muda yang berkawan baik dan mempunyai minat yang sama iaitu meminati Liga Perdana Inggeris. Johan dan Zizan berkawan sejak dari bangku sekolah lagi dan mereka menetap di asrama yang sama. Namun, Johan ternyata meminati pasukan Chelsea, manakala Zizan pula lebih cenderung untuk menyokong pasukan Manchester United.

Tarikh tayangan: 30 Ogos

Pukul: 12 tengah hari

Saluran: Astro Prima

Pelakon: Johan, Zizan, Yus Raja Lawak, Maimon Mutalib, Almy Nadia, Ozlynn Waty

3 Jangan Bakar Mayat Anakku

MENGISAHKAN tentang seorang anak

yang alim dan berpelajaran tinggi, tetapi derhaka kepada ibunya. Gara-gara mendengar fitnah orang kampung yang mengatakan ibunya menggoda seorang lelaki, Rahmat berasa malu lalu dia telah meninggalkan kampung halamannya dan mengambil keputusan untuk tidak lagi kembali lagi ke kampungnya itu.

Tarikh tayangan: 31 Ogos

Pukul: 12 tengah hari

Saluran: Astro Prima

Pelakon: Beego, Khatijah Tan, Emelda Rosnaida

4 Kiah Beraya Solo

MEMAPARKAN kisah mengenai

sambutan hari raya pada tahun ini yang ternyata berbeza buah Kiah. Dia masih hidup bersendirian tetapi mempunyai banyak wang. Untuk menghilangkan kesunyian, Kiah mengajak Tipah dan Wan untuk menjalankan perniagaan internet sempena musim perayaan. Bagaimanapun, secara tiba-tiba bekas suami datang menagih cinta lama.

Tarikh tayangan: 30 Ogos

Pukul: 7.30 malam

Saluran: Astro Warna

Pelakon: Rozita Che Wan, Ebby Yus, Zain Saidin, Zila Bakarin, Aiman Ridza

5 Istimewa Majalah Tiga 'Banzai Raya'

SEBUAH rancangan edisi istimewa Majalah Tiga yang menyingkap kembali kenangan generasi lama ketika menyambut hari lebaran semasa zaman penjajahan Jepun.

Turut dipaparkan mengenai cara pengumuman tarikh hari raya pada masa itu apabila hanya radio yang menjadi satu-satunya menjadi medium komunikasi utama.

Jangan lupa saksikan episod khas sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidilfitri di Majalah Tiga.

Tarikh tayangan: 27 Ogos

Pukul: 9 malam

Saluran: TV3

6 Raya Bapa Merdeka

RANCANGAN ini mengimbas

kembali detik bersejarah serta perjalanan hidup Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri Malaysia Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman bermula 1 April 1957 iaitu hari permulaan puasa sehingga tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Antara segmen yang menarik adalah mengenai sambutan dan persiapan beliau di hari raya ketika negara bersiap sedia untuk mencapai kemerdekaan. Rakaman dijalankan di sekitar Rumah Merdeka, Makam Diraja Langgar, Masjid Jamek Alam Shah, Memorial Tunku Abdul Rahman dan Arkib Negara Malaysia,

Tarikh tayangan: 31 Ogos

Pukul: 1 petang

Saluran: TV3


KIAH BERAYA SOLO


7 Ku Petik Dosa

MENGISAHKAN mengenai pasangan

Aina dan Haris yang berkahwin pada usia yang muda dan dikurniakan anak perempuan, Nia Qaseh. Aina mengambil keputusan untuk kembali bekerja apabila mereka tidak mempunyai wang mencukupi untuk menghantar Qaseh ke sekolah tadika swasta dan membelikan pakaian berjenama. Kemudian pasangan tersebut menghantar Qaseh ke rumah jiran, Kak Sal untuk dijaga. Bagaimanapun, Qaseh telah dirogol oleh suami Kak Sal iaitu Khalid dan Qaseh turut didera apabila menjadi mangsa kemarahan Kak Sal terhadap suaminya itu.

Tarikh tayangan: 2 September

Pukul: 11 pagi

Saluran: TV9

Pelakon: Fasha Sanda, Fadilah Mansor, Zaidi Omar, Farah Nadia, Fikree Bakar

8 Sekering Jiwa Ente

KISAH menarik tentang tiga jejaka

iaitu Hamzah, Ajis dan Abe yang tinggal serumah, tetapi bekerja di tempat yang berasingan. Antara ketiga-tiga jejaka berkenaan, Hamzah mempunyai karakter yang berlainan sehingga mengaburi mata Kak Nor yang mempunyai anak perempuan. Walaupun bekerja sebagai seorang despatch, namun dia suka berlagak di hadapan orang lain dan sering berlagak alim semata-mata mahu memikat anak Kak Nor. Malah, sepanjang bulan Ramadan dia gemar memakai jubah dan memegang tasbih serta memberitahu orang ramai dia hendak menunaikan solat tarawih, sedangkan dia sebenarnya melencong ke tempat lain dan melepak di kedai mamak.

Tarikh tayangan: 1 September

Pukul: 6.30 petang

Saluran: TV 9

Pelakon: Bell Ngasri, Syed Ali, Eyzendy Aziz, Ramona Zamzam, Ainina Ahmad


BELL NGASRI membintangi Sekering Jiwa Ente.


9 Di Pintu Barzakh

MEMAPARKAN pergolakan jiwa Alias

yang sewaktu kecilnya sering dibuli pelajar lelaki menyebabkan dia terdorong untuk memilih perempuan sebagai rakannya dan mula bersikap seperti perempuan. Merasakan wanita sebagai subjek yang selamat dan menarik, Alias telah terdorong untuk menukar identiti sebenarnya.

Tarikh tayangan: 30 Ogos

Pukul: 1 pagi

Saluran: RTM 1

Pelakon: Anding Indrawani, Safura Yacob, Ku Mohd Yusri, Sahronizam Noor

10 Syawal Buat Bonda

TELEFILEM yang mengisahkan

keluarga Pak Samad dan Mak Yam yang berpecah-belah kerana konflik dalaman. Kematian Pak Samad pada minggu ketiga Ramadan telah menemukan mereka adik-beradik. Namun begitu, kedatangan cahaya Syawal telah kembali menyatukan keluarga ini dan merupakan saat yang begitu membahagiakan bagi Mak Yam.

Tarikh tayangan: 31 Ogos

Pukul: 2 pagi

Saluran: TV2

Pelakon: Jalil Hamid, Fauziah Nawi, Riezman Khuzaimi, Fezrul Khan, Zarynn Minn