Adsense

Sabtu, 27 Ogos 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Seronok sambut raya dua budaya

Posted: 26 Aug 2011 08:24 AM PDT

DENGAN pakej menarik yang dimiliki mereka, sepantas kilat nama Nur Fathia Abd Latiff (Fathia), 24, Syakila Nisha Jahangir Khan (Kilafairy), 19, berjaya menempa populariti dalam dunia hiburan yang disimbah glamor.

Jadi usah terkejut andai menyelak muka depan halaman hiburan arus perdana mahupun majalah ketika ini apabila wajah mereka mula terpampang di sana-sini sebagai penyeri.

Lalu RAP turut tergerak mempertemukan dua jelitawan ini untuk berkongsi cerita raya mereka sekalipun menyedari kesibukan jadual seni masing-masing.

Berdarah campuran, Fathia dilahirkan dalam keluarga berketurunan Arab sebelah ibu manakala ayah Kilafairy (Kila) pula keturunan Pakistan.


Memulakan perbualan, Fathia berkata, jika kebanyakan wanita Melayu menggayakan baju kurung di pagi raya, dia dan saudara-mara yang lain akan mengenakan jubah selain bertudung.


"Situasi sebegini dapat dilihat jika perayaan Aidilfitri itu disambut sebelah keluarga ibu Fathia kerana mereka berketurunan Arab. Tidak hanya pemakaian di pagi raya saja yang unik, tapi juga menu juadah Aidilfitri.

"Rendang dan ketupat masih ada, tapi ia bukan hidangan utama. Pagi raya menu yang terhidang biasanya makanan Arab seperti roti putar, bamya, nasi bukhari, kacang pool dan harisa.

"Harisa diperbuat daripada tepung kanji dan biji gandum, dibentuk menjadi bulat. Kemudian bahagian tengahnya yang separa berlubang diletakkan minyak dan sekelilingnya pula di tabur bawang serta lada. Manakala bamya, sejenis gulai yang sangat enak apabila dicicah dengan roti," kata bintang Stanza Cinta ini.

Mengakui bertuah dilahirkan dalam keluarga campuran, seperkara yang menarik setiap kali pulang beraya ke Ayer Itam dan Tanjung Bungah, Pulau Pinang, ada acara tari-menari Arab di kalangan saudara perempuan.

"Acara itu hanya membabitkan saudara-mara perempuan saja sementara lelaki tidak dibenarkan. Malah, ia diadakan ketika semua adik-beradik ibu berkumpul.

"Selepas memastikan tiada seorang pun orang lelaki berada di rumah, kami akan memasang lagu Arab kuat-kuat kemudian menari beramai-ramai. Jangan tak tahu, ibu, mak cik malah nenek pun akan menari sakan!" kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Ramah melayani segala pertanyaan, sambutan Aidilfitri kali ini juga dirasakan sedikit berbeza oleh mahasiswi jurusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini kerana buat pertama kalinya dia menyediakan duit raya untuk si kecil.

Jelas gadis bakal muncul dengan drama Cinta & Harapan itu, meski tidak memperuntukkan jumlah yang banyak, dia tetap mahu berkongsi rezeki hasil titik peluh sendiri dengan ahli keluarga dan saudara-mara.

"Tahun lalu saya masih mendapat duit raya. Duit raya yang kami peroleh ada kalanya boleh mencecah lebih RM1,000 kerana keluarga sebelah ibu dan bapa memang sangat ramai.

"Berbeza tahun ini, tiba giliran saya pula yang berbelanja. Walaupun masih bergelar pelajar dan masa yang sama bekerja sambilan sebagai pelakon, selayaknya status saya ini dianggap sudah bekerja," katanya.

Beralih pada cerita Kilafairy yang memiliki sepasang mata serta bibir yang seksi, sekian lama tidak menyambut Aidilfitri di sebelah ayahnya, tahun ini Terengganu menjadi destinasi pilihan mereka sekeluarga.

"Sebelum ini setiap tahun boleh dikatakan kami lebih banyak beraya di sebelah Mama (penyanyi Rohana Jalil) kerana di Terengganu sudah tiada lagi datuk dan nenek. Bagaimanapun tahun lalu, nenek sebelah Mama pula kembali ke rahmatullah, jadi kami memutuskan untuk beraya di Terengganu bersama keluarga serta saudara-mara sebelah ayah tahun ini.

"Bezanya perayaan di Johor dan Terengganu, Aidilfitri disambut agak unik oleh keluarga sebelah Papa Kila. Tidak ada lontong di pagi raya sebaliknya Roti Pakistan serta beberapa lagi makanan tradisional dari sana.

"Bagaimanapun ketupat, rendang dan lemang itu tetap ada. Sebelah malam pula, kami akan berkumpul di chalet kepunyaan milik keluarga Papa untuk mengadakan majlis BBQ (barbeku)," katanya.

Ada kisah menarik yang berlaku lima tahun lalu sewaktu beraya di Terengganu apabila dia bersama abang sepupu dan sepupu perempuan yang lain pergi memancing.

"Itu adalah perkara paling 'happening' pernah saya lakukan semasa menyambut hari raya. Saya sangat rindukan saat itu dan tidak sabar untuk meraikan
Aidilfitri lagi bersama mereka.
"Saudara-mara sebelah Papa, 'rock' sikit. Manakala sebelah Mama pula mereka lebih tertib dan mengikut jadual. Seronok dibesarkan dalam keluarga yang berbeza cara hidup dan budaya," katanya.

Tidak seperti Fathia, penuntut jurusan Pengurusan & Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles ini merasakan dirinya belum mampu memberikan duit raya kerana masih belajar.

Malah, tahun pertama menyambut Aidilfitri dengan gelaran selebriti juga tidak membawa sebarang perubahan dalam hidup Kilafairy kerana sudah terbiasa dengan keadaan ibunya yang menjadi perhatian masyarakat.

"Duit hasil lakonan Kila disaran Mama untuk disimpan bagi kegunaan masa depan. Papa cakap, selagi dia ada dan Kila masih belajar, Papa akan uruskan semuanya," kata pelakon filem Karak itu.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Nur Fathia Abd Latiff
LAHIR: 1 September 1987
ZODIAK: Virgo
ASAL: Ayer Hitam, Pulau Pinang
KELUARGA: Anak sulung daripada empat beradik
KERJAYA: Pelakon, model dan pelajar
CITA-CITA: Peguam, seniwati yang dihormati
DRAMA: Joe & Faridah, Nur Kasih, Dunia Batinku, Di Bawah Ketiak Isteri, Bila Musang Berjanggut, Laila Asyikin, Hani, Mek Kelate, Hani
FILEM: Al Hijab
IKLAN: Sunsilk, Nespray, Brylcream, Hotlink, Perodua, Panasonic

PROFIL

NAMA SEBENAR: Syakila Nisha Jangir Khan
ASAL: Kuala Lumpur
AKDEMIK: Jurusan Pengurusan & Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles, Kuala Lumpur.
KERJAYA: Penyanyi, pelakon, pelajar
KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
DRAMA: Hotel Mania, Alam Hitam, Pengasih Minyak Dagu, Darah Pontianak, Ayu Suraya
FILEM: Karak, Hore Hore

Aizat raih pulangan RM100,000

Posted: 26 Aug 2011 07:58 AM PDT

MESKIPUN Ramadan semakin hampir ke garis penghujung, masih banyak pihak rancak mengadakan majlis berbuka puasa bagi meraikan rakan perniagaan, pihak media, peminat serta golongan kurang bernasib baik.

Kesempatan bulan yang penuh keberkatan ini nyata digunakan sebaik mungkin bagi menjalinkan ikatan silaturahim sesama sendiri serta menggandakan pahala dengan bersedekah terhadap mereka yang memerlukan.

Inilah yang mendorong syarikat rakaman Dream Music menganjurkan majlis berbuka puasa bertemakan Aizat & Friends Up Close And Personal - Majlis Berbuka Puasa Dream Music anjuran Dream Music Sdn Bhd dengan kerjasama Dream Chorus Sdn Bhd serta Celcom Axiata Berhad di sebuah hotel, di ibu negara baru-baru ini.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran 20 pelanggan Celcom yang terpilih menerusi peraduan 'Download and Win Call Me Tones' yang dianjurkan dari 19 Julai sehingga 15 Ogos lalu di laman web Channel X.


Mereka memperoleh peluang ini apabila memuat turun nada dering pemanggil nyanyian Aizat dan artis-artis Dream Music iaitu Keena, Iqwal, Adzrin Azhar dan Yus Raja Lawak.


Turut hadir ialah Ketua Pengarah Urusan Dream Chorus, Datuk Mohd Fauzi Zakaria serta Ketua Pegawai Operasi, Data Lanjutan Celcom Axiata Berhad, Afizulazha Abdullah dan Naib Presiden Celcom Axiata Berhad, Mahsuri Sharkawi.

Biarpun sederhana, majlis berlangsung hangat dengan persembahan semua artis terbabit terutamanya Aizat yang menyanyikan barisan lagu-lagu popularnya antaranya Sungai Lui dan Lagu Kita.

Ditemui selepas itu, Aizat berkata, dia hadir ke majlis ini sebagai memberi sokongan terhadap Dream Music yang menjadi pengedar lagunya dalam bentuk digital untuk nada dering.

"Saya berterima kasih kepada peminat yang menyokong dengan membeli lagu saya menerusi cara ini. Sokongan yang diberikan buatkan saya gigih menghasilkan lagu yang terbaik dalam album akan datang," katanya yang kini sudah menghasilkan lagu terbaru untuk albumnya.

Aizat yang turut diberi kepercayaan menghasilkan lagu untuk Ella dan Yuna bertuah kerana menduduki tempat ketiga jualan lagu digital selepas Maher Zain yang berada di tempat pertama dan diikuti Dakmie.

Dia berjaya memperoleh pulangan sebanyak RM100,000 menerusi keseluruhan lagunya yang dibeli oleh peminat menerusi kempen yang diadakan dari Januari hingga Jun tahun ini.

Aizat yang baru pulang dari bercuti di Brisbane, Australia selama dua minggu kini sibuk dengan pelbagai perancangan dan antara yang bermain di fikirannya ialah mahu menaik taraf studionya, Kasi Gegar Studio di Ampang sebagai studio lengkap untuk merakamkan lagu.

"Saya dah bincang dengan abang saya, Anas untuk buat begini dan kami sudah senaraikan peralatan yang perlu dibeli. Kami perlu teliti, ambil kira semua aspek. Buat permulaan studio ini akan melalui proses ubah suai dengan kos RM10,000. Peralatan yang dipilih juga bersifat 'personal'. Kalau boleh saya nak jadikan studio ini seperti Abbey Road Studio, London.

"Saya nak reka studio ini supaya cantik. Anas dah buat kajian daripada pihak yang boleh melakukannya. Sasaran kami ada studio ini sebenarnya lebih untuk senangkan kerja. Saya bercadang nak lebihkan masa di studio. Kami juga sudah kenal pasti jurutera bunyi yang terbaik untuk kendalikan studio ini. Saya sasarkan bajet untuk buat studio ini tak lebih dari RM100,000 kerana ada banyak lagi cara untuk kurangkan kos," katanya yang meletakkan tempoh masa setahun bagi studio ini disiapkan.