Utusan Online - Hiburan |
Posted: Sabar Jailani demi Raja AzmiBIASANYa kes-kes khalwat membabitkan kecurangan isteri dan suami orang, maka mudahlah runtuh institusi keluarga itu sendiri. Ia boleh terjadi pada sesiapa sahaja. Cuma yang membezakan, sama ada individu itu sedar atau tidak dengan apa yang mereka lakukan. Apa pun, Joyah nak puji sikap suami Raja Azmi, Jailani Sidek yang tenang dan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan. Pada Joyah, kalau orang lain, bila isteri dituduh curang dan ditangkap khalwat pula tu, sebagai suami tentu mereka akan melenting dan mungkin juga bertindak di luar kawalan. Jalan biasa yang dipilih, bercerai sajalah. Tapi Jailani tidak. Dia cukup penyabar dan sangat tenang sifatnya walaupun bermacam dugaan datang dalam rumah tangga yang dibina bersama isteri selama 28 tahun. Malah, Joyah dengar, Jailani juga mengaku yang dia tidak punya apa-apa hubungan dengan seorang wanita popular yang dikatakan cuba merosakkan rumah tangganya dan Raja Azmi. "Saya tak ada hubungan langsung dengan wanita itu. Saya perlu jelaskan hal ini bagi membersihkan nama isteri, Roslin dan keluarga kami. "Saya sayangkan keluarga saya," kata Jailani yang mesra dipanggil Jack. Bila dengar kenyataan begini, sejuk hati Joyah. Bertuah betul Raja Azmi bersuamikan lelaki seperti Jailani. Doa Joyah, biarlah mereka bahagia buat selamanya dan tukang ganggu rumah tangga orang itu akan insaf dan kembali ke pangkal jalan. |
Posted: Memaknakan hari kemenanganPEJAM celik, pejam celik, Ramadan bakal meninggalkan kita. Cepat benar waktu berlalu, seakan sahur dan berbuka puasa Ramadan pertama, baru semalam kita lalui. Bersyukurlah bagi mereka yang mendapat berkat Lailatul Qadar, hari mulia dalam kalendar Islam yang kehadirannya kekal misteri tanpa diketahui oleh kita, manusia yang serba hina dan kerdil di bumi Tuhan. Ramadan yang penuh keberkatan, sekali lagi bakal kita tinggalkan. Semoga tahun hadapan, kita sekali lagi menjadi insan yang akan dipilih untuk bertemu dengan kemuliaan Ramadan, bulan penuh keagungan. Ramadan pergi, Syawal menanti, juga tidak kurang memberi kesan dalam kehidupan setiap umat Islam setelah sebulan menahan lapar dan dahaga. Bercakap tentang 1 Syawal pula, kali ini saya dapat merasakan betapa ia begitu istimewa dan lain daripada kebiasaannya. Mana tidaknya, jarang sekali kita bertemu Syawal dan 31 Ogos dalam tarikh yang erat berdakap, berselisih hanya satu hari dibelakang. Dalam jangkaan, kita bakal meraikan hari mulia pada 30 Ogos, sehari sebelum kita sama-sama menyanyikan lagu Tanggal 31 Ogos dan mengenang semula sejarah-sejarah penting negara bangsa. Malah, di radio dan televisyen pun, antara Syawal dan merdeka menjadi fokus penting yang saling berkongsi mengambil ruang untuk siaran. Justeru, apakah lagi hari yang lebih penting, selain daripada kedua-dua ini? Sama ada Syawal mahupun Hari Kemerdekaan, ia memberi makna yang similar, cuma barangkali selama ini tidak begitu kita hayati. Raya dan merdeka jika dilihat daripada maknanya, adalah dua sambutan yang melibatkan kejiwaan yang sarat. Ia bukan sekadar hari di mana kita wajar berseronok dan bergembira, sebaliknya Syawal dan merdeka melebihi material dan maknawi. Kedua-duanya adalah tentang perjuangan dan kemenangan besar, khususnya kepada yang percaya bahawa hidup itu adalah satu pengabdian yang tidak pernah berakhir. Semoga kehadiran Syawal bersempena dengan Hari Kemerdekaan ini, kita akan menjadi lebih sayang, lebih kasih kepada negara bangsa yang tidak ada galang gantinya ini, mudah-mudahan. Dan seperti lain insan, pada kesempatan ini saya menyusun jari sepuluh, mengharapkan agar segala salah dan khilaf bertemu nokhtah kemaafan. Sebagai penulis, saya akui adakalanya apa yang kita sampaikan tidak 'diperkenan' semua orang. Apatah lagi kalau bercakap tentang dunia hiburan yang penuh 'kucar-kacir'. Akan ada watak protagonis dan antagonis, sementelah ia dunia yang penuh dengan tuntutan pelbagai karakter. Pada watak yang kita lihat baik, sudah pasti pujian melambung akan diberikan. Pada ketika kita melihat watak baik sudah bertukar kepada antagonis, pasti akan ada kritikan dilayangkan. Itulah tugas kami sebagai penulis, meskipun pada setiap kritikan bukan dengan tujuan menghukum. Justeru, kritikan kita yang hadir dengan tujuan yang baik, tidak semestinya disambut dengan baik juga. Tidak semua manusia boleh menerima kritikan dan menanganinya dengan baik. Ada artis yang berbelas tahun saya kenal dengan mudah memutuskan persahabatan, hanya kerana saya menulis satu kritikan daripada puluhan kata-kata pujian yang pernah saya tulis mengenai dirinya. Tak apa, saya tidak kisah dan sebagai manusia biasa, sekali lagi saya mengakui sebagai insan tidak sempurna, banyak benar kekurangan yang ada dalam diri ini. Segala kelemahan itu datang daripada diri saya juga dan segala kemuliaan kembali kepada-Nya. Selamat hari raya paling istimewa kepada semua guru-guru yang pernah membekalkan ilmu kehidupan kepada saya, rakan-rakan yang masih mengenang dan keluarga besar saya di Bukit Besi, Dungun dan di Pasir Puteh, Kelantan. Maaf zahir dan batin! |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |