Adsense

Selasa, 16 Ogos 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Black takut lupa diri

Posted:

Black takut lupa diri

Black takut lupa diri

MENGAKU sudah mempunyai teman wanita, namun Black enggan mendapat publisiti meluas tentang kisah cintanya.


HANIFAH MD. HANAFIAH atau akrab disapa Black bukan satu nama asing dalam lapangan nyanyian. Usai dinobat menjadi juara program realiti televisyen Mentor lebih dua tahun lalu, nama Black memuncak. Menariknya, Black menjadi satu-satunya juara program tersebut yang sukses menuai keberhasilannya mencatur diri dalam program realiti.

Dalam tempoh lebih dua tahun itu juga, kehidupannya berubah total. Daripada seorang remaja lelaki biasa yang hanya menghabiskan masa bermain bola dan membantu keluarga menyara kehidupan dengan berniaga, Black yang cukup popular menerusi lagu Sofea Jane dan Aku Rindu Sayang Kamu kini bertukar kulit.

Namun, ironi, kata si bujang berusia 24 tahun ini, yang berubah itu hanya pada luaran. Dalaman seorang Black, dia masih anak bujang biasa yang menganggap nyanyian sebagai satu pekerjaan yang memberi dia pulangan kewangan cukup baik berbanding dahulu. Dia tidak mahu lupa diri walau mengaku pernah lalai dan larut dalam dunia glamor yang dijalaninya kini.

"Saya selalu beringat dan sedar dari mana asal usul saya. Saya tidak lahir sebagai orang senang, saya orang susah, jadi saya selalu sedar itu. Justeru apabila hari ini saya menjadi sedikit terkenal dan diberi rezeki yang banyak, saya selalu ingatkan diri agar jangan lupa diri.

"Saya akui, setahun lalu saya sempat lupa diri dan bermewah dengan rezeki yang saya dapat. Namun pada satu saat saya tersedar bahawa saya tak perlu larut dan bermewah sedemikian. Saya sepatutnya menabung dan mengumpul aset sebagai persediaan masa hadapan, itu yang saya sedang lakukan sekarang," katanya yang cukup merendah diri.

Ujar Black, oleh kerana tidak mahu alpa dan terkena kejutan budaya kerana populariti yang dikecapi kini, dia memilih untuk tidak keluar daripada rumah keluarganya. Dia sekeluarga juga masih menetap di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kerinchi, Kuala Lumpur dan tidak segan bergaul dengan jiran-jiran di penempatan tersebut. Label seorang penyanyi bukan lesen untuk dia mendabik dada dan mengasingkan diri kerana mahu duduk dalam kelas tersendiri.

Takut sindrom lupa diri

Menurutnya, dia bimbang jika dia hidup sendiri, dia akan terbuai dengan kemewahan dan populariti yang dikecapi. Justeru, untuk membuat dia tetap berpijak di bumi nyata, tinggal bersama ibu bapanya adalah pilihan paling tepat.

"Saya fikir kalau saya keluar dari rumah mak dan duduk sendiri, saya adalah seorang yang bodoh. Ia mungkin akan membuat saya lalai dan saya tidak dapat menikmati kehidupan normal saya selama ini iaitu bergaul dengan jiran-jiran lama, berkawan dengan pelbagai lapisan masyarakat dan jadi lupa diri. Saya amat takut sindrom lupa diri. Jadi saya memilih untuk terus bersama keluarga dan saya tak mahu ikut orang kerana kalau saya ikut orang atau nafsu, saya akan mati," ulasnya panjang lebar.

Malah untuk tidak meletakkan dirinya dalam label selebriti, dia kini masih meneruskan tradisi tahunan setiap kali Ramadan iaitu berniaga di bazar Ramadan.

Masih setia berniaga di bazar Ramadan Kerinchi, Black masih menjual tembikai dan untuk tahun ini kerana dia punya banyak kelapangan di bulan Ramadan, Black kembali menjual ikan bakar yang sudah dua tahun tidak dilakukannya kerana sibuk.

"Jadual bulan puasa saya tahun ini memang tidak padat. Jadi ia memberi saya kesempatan untuk kembali menjual ikan bakar yang memerlukan penyediaan agak remeh. Pada masa yang sama, saya masih menjual tembikai. Saya tak malu berniaga kerana saya suka lakukannya," ujar Black yang telah membeli sebuah kediaman untuk keluarganya.

Cinta Black

Saat diaju tentang cinta, Black tersenyum, namun memberi jawapan yang matang. Dia memberitahu, kehadiran seorang wanita dan cinta amat penting buat dirinya.

Mendahulukan Allah S.W.T sebagai cinta agung, dia mengaku hatinya kini telah terisi dengan cinta seorang wanita yang dikenali sebelum dia memasuki pertandingan Mentor.

Namun dia memilih untuk tidak menggembar-gemburkan kisah peribadi kerana takut jika cinta mereka kecundang, ia memberi impak yang kuat terhadap mereka. Akui Black, dia adalah lelaki setia kepada cinta.

"Saya adalah lelaki yang jenis memerlukan wanita dalam hidup. Bagi saya cinta daripada wanita itu selalu memberi semangat buat saya. Malah buat masa ini, saya yakin untuk bercinta kerana sudah stabil dari segi fizikal dan mental," katanya yang bagaimanapun memberitahu takut untuk berkahwin pada usia muda.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Lawak Minggu Ini cabaran buat Jambu

Posted:

Lawak Minggu Ini cabaran buat Jambu

Lawak Minggu Ini cabaran buat Jambu

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


DARI kiri: YUS, Taukeh dan Acong tidak menghadapi sebarang masalah dalam mencari keserasian bersama ketika membuat persembahan.


KETIKA awal kemunculan kumpulan Jambu dalam rancangan Maharaja Lawak beberapa bulan yang lalu, ramai yang beranggapan bahawa kumpulan berkenaan tidak mampu untuk pergi lebih jauh dan akan tersingkir dengan lebih awal.

Bagaimanapun, kumpulan yang dianggotai oleh Zamatul Zamri Zakaria atau lebih sinonim dengan Taukeh dan Yusry Edoo atau Yus itu telah mengejutkan ramai pihak dengan persembahan yang cukup konsisten saban minggu.

Sinonim dengan warna merah jambu, ternyata gandingan mereka berdua dilihat sangat tepat dengan tampil menerusi lawak-lawak yang melucukan sehingga menduduki tempat keempat pada aksi final Maharaja Lawak.

Selepas itu, kumpulan berkenaan terus mendapat perhatian ramai di samping menerima beberapa tawaran sebaik sahaja rancangan Maharaja Lawak berakhir. Terbaru, mereka telah muncul dalam rancangan Lawak Minggu Ini.

Ditemui pada rakaman siaran langsung rancangan tersebut di Putrajaya baru-baru ini, mereka menyifatkan ia sebagai satu penghormatan kepada mereka apabila diundang untuk menjayakan rancangan terbaharu yang disiarkan di saluran Astro Warna.

"Selepas rancangan Maharaja Lawak, ini adalah rancangan komedi terbaru yang menampilkan Jambu. Pada kami rancangan Lawak Minggu Ini adalah sebuah rancangan komedi yang cukup menarik, tetapi ia turut menguji kami sebagai pelawak.

"Tidak dinafikan menyertai rancangan ini memang memberi satu cabaran yang besar kepada kami. Kalau sebelum ini kami sekadar beraksi dalam tempoh lima hingga enam minit, namun kali ini kami harus membuat persembahan di pentas selama satu jam," jelas Taukeh.

Tambahnya lagi, mereka terlebih dahulu akan berbincang sesama sendiri tentang konsep yang ingin dipersembahkan kerana tampil sebanyak empat buat sketsa yang berlainan dalam satu masa memerlukan mereka menghasilkan idea-idea menarik dalam setiap persembahan.

Namun begitu, pada kali ini mereka merasakan lebih santai dan tidak terlalu tertekan kerana ia bukanlah sebuah pertandingan, malah pihak produksi memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk tampil dengan lawak-lawak yang sesuai.

Ditanya mengenai mengenai persembahan pada malam itu, Taukeh memberitahu 80 peratus lawak yang ditampilkan adalah secara spontan di samping Acong Sweetchild yang turut dipilih sebagai tetamu undangan mereka.

"Untuk persiapan menyertai rancangan ini kami memang jarang berlatih dan lebih banyak membuat perbincangan. Biarpun diberikan kebebasan, tetapi kami masih mengikut garis panduan yang telah ditetapkan," ujarnya.

Sementara itu, Acong yang menjadi pilihan kumpulan Jambu untuk memeriahkan lagi rancangan Lawak Minggu Ini menyatakan dia sendiri tidak ada masalah untuk bergandingan dengan mereka.

Menurutnya, mereka bertiga sudah saling mengenali antara satu sama lain sejak dahulu lagi dan dia langsung tidak menghadapi sebarang masalah untuk mencari keserasian bersama ketika membuat persembahan.

"Memang saya akui sangat gembira dan senang dapat bergandingan dan bekerjasama dengan kumpulan Jambu. Lagipun karektor masing-masing adalah seimbang kerana kami bekerja sebagai satu pasukan walaupun saya bukanlah ahli kumpulan mereka," ujarnya.

Semakin sibuk

Setelah mencipta nama dalam rancangan Maharaja Lawak dan semakin menjadi perhatian ramai, kumpulan Jambu mengakui jadual kerjaya mereka ketika ini agak padat dengan pelbagai tawaran yang diterima termasuklah pada bulan puasa ini.

Jelas Yus, sekarang mereka berdua seringkali digandingkan bersama untuk drama atau telefilem. Terbaru, mereka baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Jambu Hanyut di bawah arahan Badarudin Haji Azmi.

"Kalau sebelum ini orang hanya menggunakan khidmat saya atau Taukeh untuk setiap tawaran berlakon yang diberikan, tetapi sekarang sudah banyak tawaran lakonan yang menampilkan kami berdua secara bersama.

"Kami akui sejak Jambu ditubuhkan orang semakin mengenali kami. Walaupun orang melihat kami sebagai pelawak, namun kami tidak akan keberatan sekiranya ditawarkan untuk watak yang lebih serius," ujarnya yang mempunyai pengalaman luas di pentas teater.

Menurutnya, meskipun rancangan Maharaja Lawak telah tamat, tetapi hubungan mereka dengan peminat tidak pernah putus. Malah, sudah ada perancangan untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama kumpulan Jambu dalam tempoh terdekat ini.

"Kami tidak pernah menganggap orang menyokong kami sebagai peminat, sebaliknya mereka itu kami anggap sebagai sahabat. Bagi kami apa yang telah diperolehi ini semuanya adalah hasil bantuan mereka yang tidak pernah jemu menyokong kami selama ini," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.