Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Tegar hadapi ketakutanKARAKTER gila-gila dan kaki perempuan hasil lakonannya sebagai adiwira Human Torch/Johnny Storm menerusi filem Fantastic Four dan sekuelnya, Fantastic 4: Rise of the Silver Surfer begitu terserlah. Namun, filem yang turut menampilkan lakonan aktres sensasi Jessica Alba itu belum cukup untuk mengangkat diri Chris Evans ke kemuncak kerjayanya sebagai aktor mega di Hollywood. Malah, boleh dikatakan karakternya itu lebih kepada sokongan kepada karakter utama siri filem Fantastic Four iaitu Mr. Fantastic/Reed Richards lakonan Loan Gruffurd. Namun, kemunculan aktor kacak yang genap usianya 30 tahun pada 13 Jun tahun ini menerusi filem Captain America: The First Avenger lain impaknya, malah tiba-tiba sukses memacu anak kelahiran Boston, Massachussets itu ke kemuncak kerjaya lakonannya. Di Hollywood mungkin senang untuk bergelar artis gred A dari segi populariti tetapi dari segi kepercayaan untuk diberikan peluang keemasan sebagai teraju utama projek mega sesebuah filem yang menelan kos mencecah AS$100 juta (RM298 juta) ke atas, ternyata agak sukar di sana. Begitu juga dengan Chris Evans yang memulakan karier lakonan sejak tahun 2000 menerusi filem The Newcomers. Justeru, apabila namanya diumumkan sebagai aktor terpilih untuk karakter Captain America/Steve Rogers untuk projek filem Captain America: The First Avenger, ada yang memandang sinis terhadap Chris kerana muncul sebagai seorang lagi adiwira di layar perak di sebalik lambakan adiwira-adiwira Hollywood sebelum ini. Sementelah dia sendiri juga pernah melakonkan karakter adiwira menerusi siri Fantastic Four tersebut. Malah, Chris sendiri dilanda keresahan ketika ditawarkan kontrak berlakon filem adaptasi komik popular terbitan Marvel Inc. yang sebelum ini banyak menampilkan adiwira ke layar perak termasuklah Batman, Superman, Thor dan Iron Man.
Ini kerana projek itu bukan sembarangan projek filem memandangkan ia adalah francais yang memperuntukkan sebanyak sembilan siri filem membabitkan karakter Captain America. Malah percaya atau tidak, enam bulan usai penggambaran Captain America: The First Avenger , Chris sudah dipanggil ke lokasi penggambaran The Avengers - sebuah lagi produksi adaptasi komik Marvel yang kali ini menggabungkan banyak karakter adiwira termasuk Captain America, Thor dan Iron Man. Ujian saintifik Sudah tentulah Chris bergandingan dengan pelakon karakter Iron Man, Robert Downey, Jr. dan Thor, Chris Hemsworth dalam filem The Avengers yang dijadualkan untuk tayangan menjelang 4 Mei tahun depan itu. Justeru, apa perasaan Chris meraih peluang yang jarang diraih ramai bintang Hollywood itu? "Memanglah sangat bagus muncul dalam filem Captain America dan kemudiannya The Avengers, tapi apa yang membimbangkan saya adalah sambutan daripada penonton. "Lagipun, filem dibikin untuk tontonan penonton, terutama sekali peminat fanatik adiwira-adiwira ciptaan Marvel - golongan inilah yang paling saya bimbangkan penerimaan mereka," ucapnya. "Merekalah yang akan menentukan nasib filem The Avengers. Jika mereka menyukai Captain America maka The Avengers ada potensi besar untuk turut disukai tetapi jika sebaliknya mereka tidak menyukai Captain America, maka nasib The Avengers juga dalam persoalan." Sebelum menjelma sebagai adiwira Captain America, karakter lakonan Chris sebagai Steve Rogers itu merupakan seorang pemuda yang begitu teruja untuk menjadi tentera tetapi didapati tidak layak kerana mempunyai badan yang kurus kering. Namun, menerusi ujian saintifik pihak ketenteraan Amerika, Steve menjalani transformasi menjadi lelaki gagah dan seterusnya Captain America yang mengembeleng tenaga untuk menghapuskan setiap kejahatan di muka bumi ini. CHRIS (kiri) bersama barisan pelakon Fantastic Four (dari kiri) Ioan Gruffurd dan Michael Chiklis. Menurut Chris, biarpun Steve mengalami bentuk perubahan fizikal pada tubuhnya, namun di mindanya dia tetap Steve yang dulu. "Bukankah kita semua merasakan begitu. Saya fikir tidak kira apa jua yang berlaku terhadap diri kita, kita mahu kekal untuk menjadi siapa diri kita yang sebenar," jelasnya. Chris dalam pada itu mendedahkan dia melakukan percaturan sebelum bersetuju untuk menandatangani kontrak berlakon filem itu. Katanya: "Saya pilih filem ini kerana ia adalah perkara yang paling saya takut untuk lakukan. Anda faham maksud saya bukan? "Saya fikir karakter utama filem ini adalah perkara pertama yang membuatkan saya melarikan diri daripadanya kerana ia bukan apa yang saya cari selama ini." Tambah Chris: "Dan tiba-tiba segalanya berubah. Kerana saya lantas berfikir, jika saya takutkan sesuatu, saya perlu memaksa diri saya untuk melakukan apa yang saya takutkan itu. Cuma perlu lakukannya. "Saya fikir kita akan menyesal kalau kita tidak melakukannya. Jadi, saya terima tawaran berlakon filem ini kerana saya takutkannya." Oleh itu adakah Chris dilanda ketakutan kerana melakonkan karakter adiwira lain selain Human Torch yang pernah dilakonkannya itu atau takut kerana perlu melakonkan adiwira Captain America? "Bukan begitu. Saya tidak kisah melakonkan watak adiwira untuk sebuah filem dan saya tidak kisah melakonkan karakter sesuatu adiwira itu buat pertama kalinya. "Sebab kenapa saya takut adalah karakter lakonan saya itu adalah diperuntukkan untuk francais sembilan buah filem, tetapi kemudian dikurangkan kepada enam buah filem," akuinya. Dia menjelaskan: "Walaupun enam buah filem tetapi ia akan memakan tempoh selama 10 tahun untuk melakukannya. "Maksud saya, saya akan melakonkan karakter Captain America sehingga umur saya mencecah 40 tahun. "Sebelum bersetuju menandatangani kontrak berlakon francais filem ini, saya sukar sekali membuat keputusannya. Macam mana kalau saya tidak mahu lagi berlakon filem ini lagi di masa depan? "Bagaimana pula kalau saya tiba-tiba mahu melakukan perkara lain seperti menulis skrip selain melakonkan karakter ini? Apa yang saya maksudkan, kebebasan saya sudah hilang kerana bersetuju berlakon francais filem ini." Akui Chris: "Saya menandatangani kontrak berlakon francais filem ini tetapi saya sebenarnya tidak pasti 100 peratus apakah ia akan menjadikan saya bintang mega. Disebabkan tidak 100 peratus berkeyakinan, ini bermakna keputusan yang saya buat itu sangat menakutkan." Dari LA ke Boston THE AVENGERS menggabungkan karakter terkenal Marvel seperti Iron man, Captain America, Hulk, Thor dan Black Widow. Dalam pada itu, Chris turut bercerita tentang kehidupan peribadinya. Beritahunya: "Harapnya saya kekal menjadi diri saya seperti sebelum berlakon filem Captain America. "Saya sebenarnya baharu berpindah dari Los Angeles (LA) ke bandar kelahiran saya, Boston dan ia suatu perubahan besar dalam hidup saya. "Keadaan di Boston agak lain di Hollywood, LA, yang mana di LA, kalau ada yang tidak bekerja, anda masih rasa seperti bekerja." Jelasnya: "Saya tak tahu apa ertinya tetapi yang pasti sesuatu tentang LA adalah ia jantung kepada industri perfileman di Hollywood. Siapa sahaja yang anda bersua dan bercakap di LA, semuanya mengingatkan saya kepada kerja. "Tapi apabila saya kembali ke Boston, rakan-rakan baik saya kata dia tidak suka menonton filem-filem lakonan saya, "Mereka fikir saya pelakon paling teruk di planet bumi ini. Jadi saya dengan cepatnya disedarkan tentang siapa diri saya yang sebenarnya. "Boston merupakan persekitaran yang baik dan sihat buat saya. Saya berharap, dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya masih Chris Evans yang sama." Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Naskhah syahdu Gelanggang Tok Wali Posted: Naskhah syahdu Gelanggang Tok WaliOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
PEMENTASAN yang mengangkat kisah hidup sebenar seorang pejuang seni silat, Tok Wali atau nama sebenarnya Wan Raja Wailudin Raja Bin Raja Agus Salam menutup tirai di Lambang Sari Istana Budaya pada hari Sabtu, 30 Julai lalu. Penuh emosi, tragis, tangis dan sedu, konklusi teater Gelanggang Tok Wali yang berdurasi sejam setengah itu cukup mengesan jiwa. Apatah lagi penutupnya juga membuatkan penonton tertunggu-tunggu akan adakah lagi kesinambungan daripada episod sulung arahan Joosaidy Johari itu? Apa pun, ujar pengarah berbakat merangkap guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Melawati, Kuala Lumpur itu, usaha akan cuba digembleng dan tidak mustahil ia akan diteruskan dengan format yang berbeza. "Setakat ini kita mendapat maklum balas positif daripada penonton yang hadir sepanjang pementasan selama tiga hari (28 hingga 31 Julai lalu) dan insya-Allah akan cuba diolah dengan teknik yang berbeza, mungkin juga akan disuntik sedikit elemen muzikal ke dalamnya," katanya yang berpuas hati dengan kualiti dan hasil yang diberikan menerusi pementasan pertama di pentas paling prestij tanah air itu. Menggalas peranan utama yakni Tok Wali, Mazlan Tahir tampil bersama barisan pelakon veteran seperti Umi Kalsum dan Zakaria Yusof masing-masing sebagai Mak Umi (isteri Tok Wali) dan Pak Siak. Pelengkap tenaga lakonan teater ini terdiri daripada bakat-bakat baharu termasuk Eiz Omea (watak Mariam), Alex Yanz (Imam), Zakaria Yusof (Siak), Aeril Zafrel (Sudin) dan ramai lagi. Membuka panggung dengan persembahan tarian overture bunga-bunga silat hasil koreografi Nizam Elias, lembaran kisah hidup Tok Wali, pengkhianatan, dendam dan iri hati diselak satu persatu. Saat ditunggu-tunggu apabila kemunculan Syafie Naswip yang mendukung watak Piee iaitu cucu tiri Tok Wali, seisi panggung hampir berteriak. GELANGGANG TOK WALI merupakan karya Komponen Sastera Dalam Pendidikan Bahasa Melayu (KOMSAS) yang berjaya diangkat ke pentas teater. Sesungguhnya pesona remaja berusia 19 tahun itu tidak kurang bisanya sejak menghangatkan layar perak sekitar tahun 2007 menerusi lakonannya dalam Mukhsin dan Talentime (2009). Ternyata, lakonannya tidak kaku, penuh dinamik dan jitu mengukir watak sebagai penagih dadah yang sering mencuri barangan berharga milik datuknya, Tok Wali. Walau hanya kali kedua berada di pentas lakon teater selepas Muzikal P. Ramlee, tuturnya, watak Piee lebih mencabar dan perlu keseriusan. "Kurang dua minggu saya berlatih bersama pelakon lain berikutan kesibukan saya belajar, tapi syukur Alhamdulillah segalanya berjalan lancar," ujarnya yang mengakui pada mulanya dilarang ibunya membabitkan diri dengan teater itu kerana bimbang ia mengganggu pelajarannya yang kini belajar di tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia. Berbalik kepada Gelanggang Tok Wali, perjalanan babak diiringi pemuzik gamelan satu persatu lancar, cuma permulaannya sedikit kaku dan adakala menjemukan penonton. Namun apa yang nyata, bahang semangat tidak putus-putus disemarakkan menjelang pertengahan plot hingga penutup teater ini. Tambah menarik apabila diselitkan dengan persembahan tarian silat kreatif tiga perempat pementasan. Sekurang-kurangnya dengan adanya pementasan seumpama Gelanggang Tok Wali yang mengangkat karya Komponen Sastera Dalam Pendidikan Dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) dapat memberi kefahaman lebih jelas kepada penuntut yang mengkaji teks sastera itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Jejak Rasul 17 jelajah Eropah Timur Posted: Jejak Rasul 17 jelajah Eropah TimurOleh RONI HIDAYAT RIDWAN WARTAWAN Ezzah Aziz (dua dari kiri) dan pengarah, Mazlin Nordin (dua dari kanan) sedang mewawancara penduduk wanita Islam di Ukraine. SETELAH 16 musim ke udara, rancangan dokumentari berbentuk ilmiah yang sememangnya sinonim dengan kehadiran bulan Ramadan, Jejak Rasul kini memasuki musim yang ke-17. Menariknya, setelah memaparkan pelbagai kisah para nabi dan rasul serta sahabat pada musim-musim sebelumnya, Jejak Rasul 17 membawa penonton untuk mengenali sejarah penyebaran Islam di Eropah Timur. Salah seorang penerbitnya, Mat Nasir Yusof berkata penonton rancangan berkenaan akan dapat menyelami tentang budaya, resam hidup dan sejarah lampau penduduk Islam berketurunan Slavic, Tatar serta Caucasus di negara Rusia, Ukraine, Dagestan dan Chechnya. "Kami telah memilih negara-negara tersebut kerana berdasarkan kajian yang telah dibuat, kami mendapati Islam sudah mula tersebar di negara-negara Eropah Timur sejak tahun 642 menerusi sebuah tempat dinamakan Derbent yang terletak di Dagestan. MASJID Juma' merupakan salah satu masjid yang terdapat di Mackhachkala, Dagestan. "Pada mulanya kami sekadar ingin membuat penjelajahan di Derbent sahaja, namun bila difikirkan semula, adalah lebih menarik lagi sekiranya kami menjelajah di seluruh Eropah Timur," ujarnya. Menurut Mat Nasir, krew produksi Jejak Rasul 17 yang menjalani sesi penggambaran sejak bulan Mac hingga pertengahan April 2011 telah dibahagikan kepada tiga buah kumpulan. Ujarnya, kumpulan pertama telah diketuai oleh Mazlin Nordin selaku penerbit merangkap pengarah menjalani penggambaran di Moscow dan Ukraine, manakala kumpulan kedua dikendalikan oleh Wan Farid Wan Mohamed selaku penerbit dan wartawan di bandar St. Peterburg dan Tatarstan. "Saya pula diletakkan di dalam kumpulan ketiga selaku penerbit dan wartawan bersama-sama dengan pengarah, Mohd. Fadly Khamis dan jurukamera Mohd. Ali Othman menjalani penggambaran di Dagestan dan Chechnya," ujarnya. MAT NASIR YUSOF berpeluang meneliti sebuah al-Quran yang dipercayai dihasilkan pada kurun ke-11. Ditanya mengenai pengalaman sepanjang menjalani penggambaran di kedua-dua buah tempat tersebut, Mat Nasir mengakui kru produksinya turut berhadapan dengan beberapa cabaran yang besar. Antaranya, mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan visa memandangkan negara berkenaan masih lagi kawasan yang bergolak kerana peperangan dan visa hanya diberikan pada saat-saat akhir. Jelasnya, meskipun Dagestan dan Chechnya adalah negara republik, tetapi keselamatan di kedua-dua negara tersebut masih di bawah kawalan pihak Rusia dan kebanyakan kawasan dikawal oleh tentera Rusia. "Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah cuaca sejuk dan bahasa, namun kami merasakan penggambaran di negara tersebut perlu dilakukan kerana di Derbent misalnya menjadi pintu masuk kepada perkembangan agama Islam di Eropah Timur. "Malah, kami juga terpaksa mengharungi jalan-jalan yang sukar dan bahaya untuk dilalui kerana ia adalah jalan yang telah digunakan oleh pendakwah Islam suatu masa dahulu," jelasnya. Sudah disiarkan sejak 1 Ogos lalu pada pukul 6.30 petang, Jejak Rasul 17 yang ke udara sebanyak 30 episod turut mencipta kelainan dengan konsep penerbitan yang baharu iaitu format definisi tinggi (HD). Rancangan menarik Ramadan PEMANDANGAN dari sebuah pergunungan yang terletak di antara sempadan Chechnya dan Dagestan. Sepanjang bulan Ogos ini, dua buah stesen di bawah Media Prima Berhad (MPB) iaitu TV3 dan TV9 tidak ketinggalan menyiarkan rancangan menarik sempena meraikan kehadiran bulan Ramadan. Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen MPB, Ahmad Izham Omar berkata, pada tahun ini TV3 memilih Sesuci Fitrah, manakala TV9 pula Ramadan Di Hatiku sebagai tema untuk Ramadan tahun ini. "Kandungan rancangan yang akan disiarkan di kedua-dua saluran berkenaan adalah merangkumi pelbagai rancangan yang berbentuk ilmiah, teladan dan keinsafan menerusi dokumentari, drama dan telefilem. "Di samping itu, rancangan yang berbentuk masakan juga tidak ketinggalan untuk disiarkan memandangkan rancangan tersebut turut mendapat permintaan yang tinggi daripada penonton," ujarnya. Selain Jejak Rasul 17, TV3 turut menyiarkan rancangan dokumentari yang cukup menarik iaitu Dari Masjid Ke Masjid Tanah Tenggara. Ia adalah sebuah rancangan yang memaparkan tentang keindahan seni bina masjid-masjid di Asia Tenggara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja. Untuk telefilem pula, TV3 menerusi slot Cerekarama menyiarkan tiga buah telefilem menarik iaitu Sehelai Rambut Dibelah Tujuh (6 Ogos), Perempuan Di Hujung Ramadan (13 Ogos) dan Mengurai Rindu (20 Ogos).
Sementara itu, TV 9 menerusi slot Skrin Di 9 turut menyiarkan telefilem menarik seperti Jiman (3 Ogos) dan Sekilas Qalbu (10 Ogos), Isnin Selasa Rabu (17 Ogos) dan Lailatulqadar (24 Ogos). Tidak ketinggalan rancangan berbentuk masakan turut disiarkan seperti Periuk Hangus, Biskut Apa? dan 5 Rancah 5 Rasa Edisi Ramadan yang disiarkan di TV3, manakala TV9 pula menampilkan Mencari Resipi Temurun dan Jom Berbuka. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |