Harian Metro: Rap |
Posted: 05 Aug 2011 07:34 AM PDT KELAM suasana Aidilfitri dirasakan pelakon Aeril Zafrel, 23, tahun lalu tanpa kehadiran tonggak dalam keluarga apabila bapanya, Suhari Sulaiman menghadap Ilahi pada 4 Disember 2009 akibat barah tonsil. Terasa bagaikan burung patah sayap tanpa insan bergelar ayah. Tahun ini, dugaan lebih besar dilaluinya apabila menempuhi Aidilfitri tanpa ibu bapa apabila emaknya, Supiah Munahid, menyusul panggilan Ilahi pada 30 November 2010. Ketiadaan ibu nyata kehilangan yang amat besar dan pengalaman perit buat Aeril Zafrel, sehingga pemuda dilahirkan dengan nama Suhairil Suhari ini tidak mampu membayangkan bagaimana suasana Aidilfitri kali ini. "Tahun lalu saya masih sempat beraya dengan emak walaupun ketika itu dia sudah kritikal. Kehadiran emak masih membuatkan sambutan Aidilfitri bermakna sekalipun kekosongan dirasai kami adik-beradik menyambut hari yang mulia tanpa ayah.
Mengakui dirinya anak paling rapat dengan arwah ibu sehingga diberi gelaran Yayang oleh ibunya, Ramadan langsung tidak menarik minatnya untuk pulang ke kampung di Sungai Kluang, Kota Tinggi. Bukan lupa asal-usul, tetapi anak keempat daripada lima beradik ini enggan dibelenggu kesedihan yang masih bersisa atas pemergian ibu yang melahirkan dan kerana itulah dia memutuskan tidak pulang ke kampung sepanjang Ramadan ini. "Banyak kenangan manis bersama arwah kedua-dua orang tua terutama ibu. Dulu setiap kali Ramadan saya pasti pulang ke kampung. Tetapi sejak emak sudah tiada, rasanya tak payah balik pun tak apa kerana ia akan membuatkan saya semakin sedih teringatkannya. "Apatah lagi, kepulangan saya setiap kali Ramadan pasti disambut emak dengan hidangan istimewa, asam pedas ikan mayong yang menjadi kegemaran sejak kecil," katanya. Aeril yang ditemui di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur sempena mempromosikan Bufet Ramadan hotel itu mengakui hidupnya tidak sunyi di Kuala Lumpur kerana mempunyai kawan yang sentiasa menghulurkan bantuan dan menghiburkan hatinya. Aktiviti seni juga makin terisi dan untuk Ramadan kali ini, pelakon bermata redup dan kacak ini menerima pelbagai undangan majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran syarikat swasta, persatuan hiburan, produksi drama dan filem termasuk stesen televisyen. Pemuda yang melonjak menerusi drama bersiri Durja Ningsun ini sedang sibuk menjalani penggambaran Ramadhan Terakhir yang bersiaran di slot Samarinda setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam di TV3, sejak 26 Julai lalu. Ramadan Terakhir mengisahkan Hisham, usahawan yang berjaya membimbing isteri dan anaknya untuk kembali ke jalan yang benar di sisi agama Islam. Dia disahkan menghidap kanser kronik dan mampu bertahan beberapa bulan saja lalu bertekad untuk membetulkan semula haluan hidup yang tercemar dengan pelbagai dosa sepanjang hidupnya. Perubahannya itu dipandang sinis isterinya, Mazni yang terus hanyut dibuai keenakan dan keseronokan. Lebih menyedihkan, anak lelaki mereka, Daniel turut terbabit dalam pergaulan dan perlakuan tanpa batas bersama teman wanitanya, Rossa. Drama arahan Engku Ismail ini diterajui Esma Daniel, Fazlina Ahmad Daud, Tasha Shilla, Eyka Farhana dan Nur Anzalna. Kata Aeril, dia memegang peranan Daniel, anak kepada Hisham dalam drama itu. Keluarga Hisham memang bermasalah dan puncanya adalah wang. "Bagaimanapun, Hisham tersedar hingga berusaha membimbing keluarganya ke pangkal jalan, namun hasratnya itu dipandang sepi ibu Daniel termasuk Daniel sendiri. "Watak saya nampak seorang yang matang dan 'cool', tetapi dia sebenarnya memberontak dan tidak menghormati orang tua. Sebelum Ramadan Terakhir, saya baru saja menyempurnakan penggambaran filem 7 Petala Cinta arahan Azahari Zain dua minggu lalu. "Ini filem pertama saya sebagai pelakon utama dan membawakan watak Attar. 7 Petala Cinta mengisahkan kehidupan sekolah pondok apabila Attar mengabdikan kehidupannya di situ setelah memperoleh hidayah. "Watak ini antara paling sukar pernah saya lakonkan apatah lagi untuk menunjukkan ekspresi wajah yang benar-benar insaf dalam beberapa babak," katanya. Semakin positif kerjaya lakonannya berkembang, Aeril mula diperkenalkan menerusi layar lebar buat pertama kalinya melalui filem Aku Tidak Bodoh dan turut menjadi pilihan KRU Studio memegang watak utama filem Cinta Si Kura Kura yang turut menampilkan Tizz Zaqyah sebagai heroin. KRU yang sebelum ini sinonim dengan filem CGI, mencuba nasib dengan filem bertemakan percintaan. Paling menarik, Zizan Raja Lawak akan menyumbangkan suara sebagai kura-kura untuk filem ini. "Watak saya agak 'sengal' atau lelaki lurus bendul. Filem ini diarahkan Niezam Zakaria. Pembikinan filem ini begitu menyeronokkan dan saya selesa bekerjasama dengan Tizz Zaqyah yang saya kira seorang yang tidak sombong dan terbuka menerima pendapat," katanya. PROFIL: NAMA SEBENAR: Suhairil Suhari INFO: Level 5 Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur, Malaysia Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur, Malaysia |
Posted: 05 Aug 2011 07:19 AM PDT PRESIDEN Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latif Mohd Rosli, meminta semua persatuan ahli Gafim memberi masa serta peluang kepada exco tertinggi dan presiden baru membuktikan kemampuan mereka. Ini kerana jawatan baru diambil alih tidak sampai dua minggu, tetapi kewibawaan gabungan terbabit sudah diperlekehkan. Ia gara-gara Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menuduh presiden baru membeli undi dan rasa kurang senang pihak berkenaan berhubung pengendalian kewangan Gafim tidak terurus dengan baik.
Jurey berkata, pihaknya mengadakan sidang media tergempar bagi menjawab isu dibangkitkan mengenai pelantikan presiden dan exco baru serta isu penarikan PFM dari Gafim. "Saya agak tertekan dengan pelbagai tuduhan dilemparkan PFM sejak menyandang jawatan presiden Gafim pada 17 Julai lalu. PFM mendakwa saya, calon presiden membeli undi sebelum pemilihan presiden dibuat. PFM boleh membawa isu itu kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) jika dirasakan ia berasas.
Hadir sama, timbalan presiden, Yoki Chin, naib presiden, Khir Mohd Noor, setiausaha agung, Yusuf Kelana dan bekas presiden Gafim, Ahmad Puad Onah. Jurey kesal apabila ada pihak mempertikaikan kreadibilitinya untuk menyandang jawatan presiden kerana bukan dari kalangan penerbit filem. Katanya, dia pernah bekerja di Tayangan Unggul/Astro Shaw dari 1997 hingga 2001 selama empat tahun lapan bulan sebagai penerbit penyelaras kanan dan pernah terbitkan empat filem, Nafas Cinta, Sara, KL Menjerit dan Idola. "Selaku penerbit filem Paloh pada 2002, saya menang lapan anugerah FFM14.
"Dengan jawatan sedia ada, saya tawar diri bertanding presiden mengikut segala perlembagaan Gafim dan mendapat undi majoriti tujuh persatuan di bawah Gafim. "Jadi, saya tidak faham mengapa Norman mengatakan saya bukan orang filem.
"Saya pernah mengedar filem dan mengarah beratus-ratus drama televisyen. Perlu diingatkan, industri televisyen bernilai lebih RM2 bilion berbanding filem Malaysia tidak sampai RM100 juta," katanya. Jurey yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) tidak faham apa sebabnya PFM menidakkan dirinya dan tidak memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kepimpinan. "Apa salahnya ada pemimpin baru bekerja demi sebuah industri? Lebih-lebih lagi, Gafim diamanahkan untuk penganjuran Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) dengan tujuan hendak meraikan pengeluar filem bukan penerbit televisyen. Kenapa hendak bangkit isu begini? Jika FFM24 gagal, adakah mereka bertepuk tangan atau mahu melihat Gafim gagal? "Mengapa tidak mahu bekerjasama membantu menjayakan FFM24 dengan Gafim sedangkan pada masa sama, saya sebagai presiden perlu pula menjawab pelbagai isu remeh-temeh. "Malah, ada penaja berminat untuk turut serta dalam FFM24 tetapi menarik diri berikutan tohmahan negatif dilemparkan kepada Gafim," katanya. Katanya, Gafim tidak memerlukan orang tengah menyelesaikan kemelut ini. Lebih baik bersemuka dan berbincang lagipun bersempena Ramadan yang mulia. "Saya tidak ada dendam kerana bekerja penuh ikhlas dan mahu melihat FFM24, Gafim dan semua persatuan gabungan bergerak ke hadapan," katanya. Pada sidang media sama, Puad yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), menerangkan mengenai kedudukan pengurusan kewangan Gafim dan turut menafikan dakwaan Mmengatakan memegang jawatan presiden Gafim selama dua penggal. "Saya menjadi presiden satu penggal selama tiga tahun. Sebagaimana semua orang tahu, Gafim sebuah badan payung mempunyai 11 persatuan karyawan di bawah Gafim selaku badan induk. "Sebagai badan induk, Gafim tidak banyak menjalankan aktiviti sebaliknya cuma merestui pelbagai aktiviti dijalankan ahli persatuan di bawahnya. Gafim bukanlah persatuan mempunyai wang berjuta atau beratus ribu ringgit. Punca pendapatan adalah yuran ahli sebanyak RM200 bagi sebuah persatuan dan dana pentadbiran persatuan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebanyak antara RM20,000 hingga RM30,000 setahun. "Dari segi perbelanjaan gaji seorang setiausaha kerja sekitar RM1,200, sewa pejabat RM200 kerana mendapat rebat Finas selain bil elektrik dan bil fotostat.
"Saya sangkal Gafim berbelanja atau menyalahgunakan wang untuk beli atau buat projek besar. Persatuan ada dana dan pengurusan wang mereka sendiri," katanya. Khir pula selaku ahli penasihat Finas dan naib presiden Majica berkata, tidak perlu tuding juri mencari salah siapa. Katanya, kalau hendak beri komen, berilah masa lagi enam bulan kerana baru mengambil alih daripada saf lama tidak sampai dua minggu. "Kami mendapat persetujuan meja bulat hasil perbincangan bukan sesuka hati.
"Saya rasa cukuplah memburukkan Gafim memandangkan banyak tugas besar perlu dilakukan terutamanya menjayakan FFM24. Kewangan sangat sensitif dan perlu dihentikan. "Semuanya berpunca hanya kerana pemilihan exco baru. Sebelum ini, tidak pernah berlaku dalam pemilihan. Kita tidak perlu memanjangkan isu ini kerana yang rugi dalam jangka panjang adalah penerbit sendiri," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |