Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Takdir NeelofaTIDAK sekadar membabitkan diri sebagai pelakon dan pengacara, Neelofa kini bergiat cergas dalam bisnes kasut. BELUM pun cukup setahun perjalanan karier seninya, gadis genit ini telah dikaitkan menjadi punca perpisahan antara dua pelakon jelita Maria Farida dan Nur Fazura bersama pasangan masing-masing. Mengungkap kisah yang dikaitkan dengannya, awal penglibatan dalam industri lakonan menerusi filem Azura bersama Shahz Jazle, Neelofa atau nama yang diberi Noor Neelofa Mohd. Noor telah dikatakan menjadi penyebab punca perpisahan aktor muda itu bersama kekasihnya yang juga merupakan seorang pelakon senior, Maria Farida. Belum sempat cerita panas tersebut selesai, baru-baru ini muncul pula cerita mengenai perselisihan faham antara Neelofa bersama pelakon wanita yang sama-sama terlibat dalam drama lakonannya, Tahajjud Cinta iaitu Fazura yang mana ia juga dikaitkan dengan kisah percintaan. Sebelum ini Fazura dikatakan bercinta dengan seorang kerabat diraja sebuah negeri dan tiba-tiba artikel-artikel 'panas' tersebar di Internet mempersoalkan tentang kebenaran gosip Neelofa dan Fazura bergaduh berebut seorang kerabat diraja. Sebagai seorang pendatang baharu, kontroversi yang melanda diri mungkin sedikit sebanyak mengganggu perjalanan karier yang baru ingin dibina oleh pemenang Dewi Remaja 2010 ini. Namun, lain pula pendapat Neelofa atau lebih mesra disapa sebagai Lofa yang memandang positif terhadap kontroversi yang hadir ketika kariernya ingin ke puncak. "Bagi Lofa, dalam industri seni, peribadi dan karier adalah dua perkara berbeza. Bila perjalanan karier diselitkan dengan kontroversi-kontroversi peribadi, perkara itu terpulang kepada Lofa bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut. "Ini kerana selagi kita tahu bagaimana untuk menguruskan urusan peribadi, jadi ia bukan merupakan masalah untuk seseorang artis itu naik. Bagaimana teruk pun kontroversi yang dilanda ke atas seseorang artis itu, jika dia punya bakat yang sangat baik, maka dia akan terus disukai masyarakat," jelas Lofa ketika ditemubual semasa penggambaran program Paparazzi bertempat di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur. Tambahnya, tiada sebab kenapa dia mahu mewujudkan perkara sebegitu untuk dikenali. Bagi empunya diri yang baru berusia 22 tahun ini, dia tidak kisah jika perlu merangkak setapak demi setapak untuk ke puncak kerana berpendapat itu merupakan jalan yang patut ditempuhinya. "Kalau sudah suratan takdir, Lofa reda terhadap apa yang diberikan. Mengenai rimas atau tidak, Lofa tidak mampu berkata kerana ia merupakan pendapat masyarakat," tutur Lofa yang juga menegaskan dia akan membuktikan kepada masyarakat dengan bakat yang ada dan mungkin itu akan mengubah persepsi masyarakat dirinya kelak. Menurut Neelofa lagi, hal-hal yang berkaitan kisah peribadinya hanya untuk pengetahuan dirinya sendiri sahaja. Katanya, biarlah orang luar ketahui apa yang mereka tahu, namun penjelasan tidak perlu diberikan kepada sesiapa. Berfikiran positif terhadap apa yang terjadi, Neelofa menyedari setiap artis tidak dapat lari dari kontroversi mahupun cerita negatif. Sebagai seorang insan, dia tahu apa yang dibuatnya dan juga menegaskan jika ada mulut yang ingin berbicara mengenai perihalnya, dia tidak dapat menghalang mulut orang ramai dari bercerita. Pengalaman pertama
Sempena bulan mulia Ramadan, pelakon dan hos program Paparazzi terbitan KRU TV ini sering pertimbangkan tawaran berlakon yang ingin diterimanya. Ini kerana, bagi dirinya yang merupakan tahun pertama bergelar seorang artis, dia ingin memanfaatkan Ramadan dengan tidak mahu ponteng puasa dan bersembahyang tarawih pada setiap malam Ramadan. Ketika ditanya mengenai perasaan setelah bergelar artis, ujar anak ketiga dari sembilan adik-beradik ini berkata, apa yang dirasakan tidak lari daripada sebelumnya. Namun, apa yang membezakan kini mungkin apabila pulang ke kampung dan ketika di luar, ramai yang datang bertegur sapa walau tidak dikenalinya. "Perasaan sama sahaja namun perbezaannya ialah mungkin balik kampung apabila beraya kelak, keluarga, sanak saudara, dan jiran mungkin gembira melihat saya memandangkan kini saya telah bergelar seorang artis. "Tidak dinafikan juga, privasi diri semakin berkurangan selepas bergelar selebriti. Namun, Lofa perlu membiasakan diri dengan keadaan itu kerana ia sesuatu yang lumrah buat artis," jelas pelajar jurusan Perniagaaan yang mengkhusus dalam Perdagangan Antarabangsa dan Pemasaran di Sunway University College, Petaling Jaya Selangor itu. Jujur mengakui bahawa perkara tersebut memang punyai keburukan, si empunya diri reda dengan apa yang telah dipilihnya dan tekad menetapkan minda perlu meredah lautan tersebut walaupun diri suka atau tidak. Di sebelah lain pula mengatakan mungkin wujud kebaikan di sebalik kejadian yang berlaku. Sebagai contoh, jika seseorang artis tersebut menjalankan perniagaan apa sekalipun, masyarakat akan tahu mengenainya dan secara tidak langsung, ia merupakan promosi terhadap perniagaan yang dijalankan. Apa yang menariknya, gadis kelahiran Kelantan ini sudah pun mempunyai perniagaan yang menggunakan nama sendiri bagi jenama produk yang dijualnya. "Lofa sudah pun memulakan perniagaan ini sejak setahun yang lalu. Kasut-kasut ini bukan direka oleh Lofa tapi Lofa pilihnya daripada sebuah katalog dan sumbernya dari luar negara. Kasut ini dibuat penjenamaan semula dengan menggunakan nama Lofa pada mulanya. "Namun, stok baru kasut-kasut tersebut akan mula menggunakan nama Neelofa dan kasut ini boleh didapati secara online pratempah di www.neelofaheels.blogspot.com," jelasnya sambil memberitahu harga kasut boleh didapati di antara RM120 hingga RM400. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Neelofa, Sakinah hos Paparazzi Posted: Neelofa, Sakinah hos Paparazzi
MUNGKIN ramai lagi yang tidak ketahui kewujudan program Paparazzi di bawah penerbitan KRU TV yang mana program tersebut menyampaikan berita hiburan panas dan pantas serta informasi menarik terkini tentang artis-artis Malaysia dan Indonesia. Buat masa ini, Paparazzi hanya bersiaran secara ekslusif menerusi tonton.com.my secara online. Walaupun telah lama bersiaran di tonton.com.my, namun Paparazzi baru sahaja menggunakan konsep baharu dengan mewujudkan hos sebagai pengantara berita-berita panas yang mana sebelum ini berita tersebut hanya dipaparkan melalui visual yang telah dicari oleh wartawan di bawah KRU TV. Neelofa, Aina Suzaily Zailanny dan adik kepada pelakon Sharifah Shahira dan Sharifah Haslinda iaitu Sharifah Sakinah bersilih ganti bergandingan bersama menjadi hos program itu. Bagaimanapun pada sidang akhbar tempoh hari, Aina tidak dapat hadir. Menyentuh tentang karier sebagai hos, menurut Neelofa, ia sememangnya merupakan minatnya sebelum bergelar seorang artis lagi. Katanya, bidang lakonan yang diceburinya adalah dengan matlamat supaya ia boleh dijadikan batu loncatan buat dirinya untuk peluang menjadi hos. "Saya mendapat kontrak menjadi hos Paparazzi selama setahun. Saya gembira dapat menjadi hos dan harap dapat meluaskan lagi bakat di dalam bidang ini. Setakat ini, program ini hanya ditayangkan di tonton.com.my dan selepas ini insya-Allah akan bersiaran di kaca televisyen pula," bicaranya lagi. Sementara bagi Sharifah Sakinah pula, yang lebih mesra disapa Sakinah, menghafal skrip merupakan cabaran baginya memandangkan ia pertama kali pengalaman dirinya terjun ke dalam bidang pengacaraan. "Saya memang minat bidang pengacaraan dan lakonan dan ini merupakan kali pertama saya ke bidang pengacaraan. Saya rasa gembira kerana hos bersama saya iaitu Neelofa dan Aina menyokong dan juga banyak membantu saya. "Kalau boleh saya mahu menerima tawaran pengacaraan dengan lebih banyak lagi untuk menimba pengalaman begitu juga dengan bidang lakonan. Cabaran bagi saya adalah untuk menghafal skrip, namun nasib juga kerana ini program rakaman. Jadi, pilihan syot boleh dibuat untuk memberikan yang terbaik bagi program ini," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Penyatuan Nasi Lemak 2.0Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN BARISAN karyawan Nasi Lemak 2.0 bergambar bersama semasa sidang media. METAFORA nasi lemak sebagai makanan lazim setiap kaum di Malaysia diangkat menjadi judul filem sulung pengarah dan pelakon yang pernah dilanda kontroversi beberapa tahun lalu, Namewee atau nama sebenar Wee Meng Chee. Biarpun mencipta nama menerusi publisiti negatif atau kontroversi melalui lagu Negarakuku pada tahun 2007, Namewee yang pernah mendapat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Ming Chuan di Taoyuan, Taiwan, tidak berputus asa untuk membuktikan kecintaannya kepada tanah air melalui jendela perspektifnya. Maka, terhasil kombinasi makanan terkenal turun temurun iaitu nasi lemak dengan perlambangan generasi pascapemodenan yang disimbolikkan dengan 2.0 menjadi sebuah naskhah filem perpaduan Nasi Lemak 2.0. "Projek ini sebenarnya sudah memulakan pembikinan pada dua tahun lepas, namun setelah isu kontroversi tersebut yang berlaku ia dibekukan setelah semua penaja menarik diri. "Sehingga pada awal tahun ini setelah pengumuman rasmi bahawa saya tidak bersalah dibuat di parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, projek ini dibangunkan semula dan tempoh penggambaran cuma memakan masa selama sebulan," katanya mengulas filem yang dibikin dengan kos keseluruhan kurang daripada RM1 juta itu. Nasi Lemak 2.0 merupakan produksi gabungan antara syarikat hiburan media Prodigee Media dan UB Prodigee Entertainment. Penerbit Eksekutif Nasi Lemak 2.0, Fred Chong, menegaskan filem itu tidak sesekali menumpang kontroversi Namewee untuk diangkat sebagai sebuah naskhah muhibbah sempena sambutan Hari Malaysia pada bulan September ini. "Kontroversi ada sangkut-paut tapi filem ini tidak sesekali menjadikan perkara yang berlaku pada masa lalu sebagai platform malah Namewee juga tidak pernah terlibat dengan politik untuk mengaitkannya dengan isu Bersih 2.0. "Judul itu juga dipilih dua tahun lalu sejak proses pembikinan dimulakan dan sememangnya tiada sebarang perkaitan dengan sebarang konflik yang berlaku baru-baru ini," jelasnya menafikan dakwaan hubung kait Nasi Lemak 2.0 dengan perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu. Nasi Lemak 2.0 menjalankan penggambaran di beberapa lokasi sekitar Tampin, Tanjung Sepat, Janda Baik, Bentong, Nilai dan Kuala Lumpur. Selain Namewee yang menggalas peranan utama dalam filem komedi sosial itu, barisan pelakon mantap digandingkan bersama antaranya Adibah Noor, Afdlin Shauki, Nur Fathia, Datuk David Arumugam, Reshmonu, Dennis Lau, Pete Teo dan Nadine Ann Thomas. Reshmonu yang pertama kali berlakon filem teruja untuk melihat hasil yang dibikin menjelang tayangan perdana bulan September nanti. "Skrip filem ini sangat berlainan dan itu yang mengikat saya untuk sedia melakonkan dua watak berbeza walaupun ini pengalaman pertama saya," kata penyanyi berusia 35 tahun itu. Nasi Lemak 2.0 yang berkonsep seakan-akan muzikal 1Malaysia ditulis, diarah dan dilakonkan sendiri oleh Namewee dan mempunyai pelbagai dialek dan bahasa antaranya Tio Ciu, Hokkien, Hakka, Hainan, Mandarin, bahasa Malaysia, Inggeris, Jepun dan Tamil dalam filem itu. Nasi Lemak 2.0 mengisahkan kegusaran Chef Huang (Namewee) untuk menyajikan hidangan tempatan yang luar biasa kepada pelanggan di restorannya sehingga terpaksa meminta pertolongan daripada penjaja gerai bernama Kak Noor (Adibah Noor) yang kemudian mengarahkannya mengembara ke tiga tempat berbeza untuk mempelajari resipi dan asal-usul nasi lemak. Nasi Lemak 2.0 akan ditayangkan pada 8 September ini di 60 buah pawagam seluruh negara. Maklumat lanjut melalui laman sesawang www.nasilemak2.com. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |