Berita Harian: Hip |
Posted: 04 Aug 2011 03:25 PM PDT Hip Cerita, watak meyakinkanSIRI filem Planet of the Apes bermula pada 1968 apabila cerita mengenai angkasawan mendarat di sebuah planet asing mendapati mawas atau beruk ialah spesies dominan, manakala manusia pula, yang tidak dapat bercakap, sama ada diburu untuk dijadikan bahan kajian mahupun dibunuh begitu saja. Ia dihasilkan berdasar kepada buku tulisan Pierre Boulle. Melihat kejayaan besar dicapai filem berkenaan, empat judul susulan diterbitkan, masing-masing Beneath the Planet of the Apes (1970), Escape from the Planet of the Apes (1971), Conquest of the Planet of the Apes (1972) dan Battle for the Planet of the Apes (1973). Bahkan, pada 2001, sebuah filem bikinan semula Planet of the Apes arahan Tim Burton dihasilkan, menggunakan teknologi yang nyata lebih canggih. Menyedari kekuatan dalam siri filem terbabit, syarikat produksi di Amerika Syarikat berasakan laba masih boleh dipungut daripada jenama berkenaan biarpun 43 tahun sudah berlalu sejak filem pertamanya ditayangkan.Sebuah filem baru yang dianggap sebagai judul yang memberikan nafas serta wajah baru kepada francais berkenaan diterbitkan Chernin Entertainment dengan edarannya dilakukan 20th Century Fox. Andainya Batman Begins berkuasa menarik balik perhatian peminat kepada jenama adiwira kelawar, begitulah juga harapan penerbit terhadap Rise of the Planet of the Apes ini. Judul terbaru ini bagai mengajak penonton mengikuti detik permulaan bagaimana haiwan berkenaan menjalani proses evolusi, yang seterusnya membawa kepada kebangkitan spesies terbabit. Biarpun tunjang ceritanya ada sedikit persamaan dengan filem keempat yang ditayangkan 39 tahun lalu, namun filem arahan Rupert Wyatt ini bukanlah kitaran semula filem itu.
Rise of the Planet of the Apes mengadun elemen terkini untuk membuat kita percaya, kecanggihan bidang sains dan teknologi mampu mencetuskan revolusi yang akhirnya menukar bentuk kuasa di muka bumi. Apabila manusia cuba menjadi tuhan, lalu malapetaka yang mendatang. Ataupun ia sebenarnya bukan bencana, sebaliknya ketentuan mahupun suratan. Semuanya bermula apabila penawar penyakit Alzheimer yang diusahakan seorang saintis di San Francisco, mula digunakan ke atas spesies berbulu berkenaan. Seperti mana penonton pernah menyaksikan kisah virus menukar manusia menjadi zombi dalam beberapa filem sebelum ini, begitulah juga penawar penyakit terbabit mencetuskan sebuah revolusi. Kisah bermula dengan Will Rodman yang berusaha untuk mencari penawar untuk penyakit itu sejak bertahun-tahun lama. Apabila ubat dicari dirasakan sudah ditemui, dia mencubanya ke atas cimpanzi.
Will membawa pulang anak cimpanzi tadi, lalu menamakannya Caesar. Selepas beberapa tahun, Caesar menunjukkan kepintaran yang diwarisi daripada ibunya. Namun, sebuah insiden di kawasan kejiranan terbabit membuatkan haiwan itu terpaksa dikurung. Di sana, Caesar berasakan dirinya tidak dilayan seadilnya. Dilihat sebagai haiwan biasa, seperti juga puluhan mawas lain yang dikurung di pusat berkenaan, cimpanzi pintar itu mula berasakan tekanan. Keadaan itu menjadi penggerak kepada sebuah pemberontakan. Watak ciptaan CGI bintang sebenar BEBERAPA hari selepas menonton Rise of the Planet of the Apes, penulis belum dapat melupakan filem terbabit. Sudah bertahun-tahun perasaan sedemikian tidak dirasai, mungkin sejak menonton filem bercorak drama arahan Goerge Miller, Lorenzo's Oil, hampir 20 tahun lalu. Walaupun genre kedua-duanya berbeza, namun kekuatan emosi yang disuntik dalam penceritaan dua filem berkenaan memang menjadi. Andainya keampuhan lakonan Susan Sarandon dan Nick Nolte serta perasaan yang dipaparkan memperkuatkan Lorenzo's Oil, menerusi Rise of the Planet of the Apes, elemen itu amat dirasa menerusi mimik muka Caesar, walaupun wataknya hanyalah direalisasikan menerusi teknik imejan janaan komputer (CGI). Andy Serkis yang berada di sebalik watak cimpanzi pintar itu juga harus mendapat pujian. Bahasa tubuhnya membuatkan kita percaya, itulah primat yang terperangkap dalam dua dunia - fizikal haiwan dan akal sepintar manusia. Harus diingat, Serkis jugalah insan yang menjayakan watak Smeagol dan Gollum dalam The Lord of the Rings (2001 - 2003), serta King Kong dalam filem buatan semula pada 2005. Biarpun sekadar watak CGI, emosi yang dipaparkan pada wajah Caesar jelas kelihatan. Sama ada gembira, berduka, tertekan mahupun marah, semuanya boleh disaksikan secara terang-terangan. Keupayaan pakar grafik dan visual filem ini menonjolkan rasa yang begitu terserlah menerusi sentuhan komputer mereka bagai memberikan gambaran, suatu hari nanti, pelakon sebenar atau bakat manusia tidak lagi diperlukan dalam penghasilan filem masa depan. Kemajuan itu juga menunjukkan betapa teknik solekan prostetik seperti digunakan dalam filem pertama, yang mendapat pujian melangit ketika itu, kini tidak lagi diperlukan. Sebaliknya ia sudah berkembang maju ke dalam bentuk CGI yang nyata lebih berkesan dalam menyalurkan emosi atau perasaan kepada watak mawas. Caesar, dengan kepintaran pakar grafik komputer masa kini, muncul bintang sebenar. Kehadiran James Franco yang pernah dicalonkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Academy menerusi aksinya dalam 127 Hours tahun lalu juga sukar untuk menidakkan kekuatan watak cimpanzi berkenaan. Menonton filem ini, kita nyata sekali dibawa ke sebuah pengalaman baru dalam menikmati kisah klasik planet mawas. Garapannya berupaya membawa persembahan yang bukan saja begitu relevan dengan keadaan masa sekarang, bahkan kebolehpercayaan yang membuatkan penonton teringat-ingat ceritanya, walaupun selepas berhari-hari tamat tayangan. INFO Filem: Rise of the Planet of the Apes
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Posted: 04 Aug 2011 03:20 PM PDT Hip ZIZAN ditemani isteri pada majlis berbuka puasa anjuran Aquila Emas, baru-baru ini. SIAPA kata Zizan Nin enggan bergambar bersama isterinya Fazilah Hani Datuk Harun? Tatkala bertemu dengannya pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusannya Aquila Emas Sdn Bhd, Zizan yang segak berbaju Melayu rona putih, manakala Hani pula anggun dengan pilihan warna kelabu ternyata cukup 'sporting' diminta berposing di hadapan kamera. Jika tidak mahu isteri yang dikahwini sejak setahun lima bulan lalu menjadi perhatian lensa kamera, sudah tentu Zizan tidak membawanya ke sebarang majlis yang membabitkan media.Hani pula yang kini memegang jawatan Penerbit Berita di saluran ntv7, kalau tidak bertugas, memang tidak keberatan turut turun ke lokasi menemani Zizan. Bahkan keluarga mentuanya juga pernah mengunjungi Zizan di lokasi untuk melihat tugasnya sebagai seorang pelakon. "Isteri sering juga mengikut saya ke lokasi, tetapi tengok juga lokasi yang bagaimana. Jika lokasi bersesuaian, saya akan bawa. Keluarga mentua juga pernah datang ketika saya menjalani penggambaran drama Panggilan Arwah. "Waktu itu seluruh ahli keluarga isteri datang. Kebetulan ketika itu saya sedang menjalani penggambaran di dalam kubur, setidak-tidaknya mereka faham bagaimana cara saya bekerja.
Hidup berumah tangga sebagai seorang selebriti ternyata bukan mudah untuk dipikul. Apatah lagi, baru beberapa bulan diijabkabulkan secara sah, rumah tangga yang sedang bahagia dibina, dituduh pula bergolak. Namun sebagai seorang anak seni yang sudah lali dengan sepak terajang dunia seni, Zizan tidak melatah, tetapi yang dibimbangi adalah di pihak keluarga mentuanya. "Bergaduh 'manja-manja' dalam rumah tangga perkara biasa. Bagaimanapun, apabila timbul cerita yang mengatakan rumah tangga kami bergoyang, saya risau. Saya dan isteri mungkin faham dengan apa yang berlaku, tetapi keluarga mentua tidak memahami. Jadi ia memerlukan masa untuk kami menerangkan kepada keluarga apa yang berlaku," tambah Zizan yang teringin sekali menimang cahaya mata. Bagaimanapun, sehingga ke saat ini, rezeki untuk memiliki anak bagi menambahkan keceriaan rumah tangga yang dibina nampaknya masih belum mempunyai sebarang tanda. Namun Zizan dan isterinya tetap reda dan terus sabar menantikan rezeki. "Setakat ini saya dan isteri belum lagi buat apa-apa. Mungkin kalau usia perkahwinan masuk dua tahun barulah kami akan memulakan ikhtiar. Saya tahu dari cara isteri, memang dia teringin sangat menimang cahaya mata. Tapi saya beritahu isteri, mungkin tuhan ingin kami berbulan madu lagi," kata Zizan yang menyambut Ramadan dan Syawal buat kali kedua sebagai suami. Tahun ini kata Zizan, dia mempunyai lebih banyak masa bersama isterinya. Jadi dapatlah mereka bersama-sama meluangkan waktu untuk bersahur, berbuka dan bertarawih bersama. Jika ada waktu yang terluang juga, kata pemegang watak Tun Dr Ismail iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri untuk filem Tanda Putra Negara arahan Datuk Paduka Suhaimi Baba itu, dia akan memasak bersama-sama isteri. "Sejak kecil lagi saya sudah didedahkan dengan kerja dapur. Selalunya saya menjadi budak suruhan arwah emak ke kedai buat salinan buku resipi yang dipinjam daripada rakan. Emak memang berniaga kuih, jadi sayalah yang selalu kena tolong buat apa yang patut di dapur. "Disebabkan itu, saya minat memasak. Kalau ada cuti panjang, saya memasak di rumah. Tapi yang kelakarnya, kami tinggal berdua tapi memasak macam ramai sangat orang yang ada di rumah. Sudahnya juadah yang kami masak akan dimakan berulang kali dari pagi hinggalah ke malam," katanya. Selain berlakon, Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) itu juga kini mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan apabila dia mengusahakan perniagaan baju Melayu dengan menggunakan namanya sebagai label. Katanya, dia terbabit di dalam pemilihan fabrik tetapi rekaan dan jahitan pula diserahkan kepada orang lain. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |