Berita Harian: Hip |
Posted: 07 Aug 2011 08:27 PM PDT Hip Wajah kemelayuan semakin pudar?KETIKA kebanyakan pelakon berebut-rebut mengejar tawaran lakonan, tetapi tidak bagi pelakon dan penghias iklan televisyen, Deanna Yusof apabila dia mengambil pendekatan berhati-hati dalam menilai setiap skrip yang ditawarkannya. Malah dia tidak kisah jika tidak ditawarkan sebarang lakonan kalau skrip dan lakon layar yang diberikan dirasakan lemah dari jalan cerita, selain watak dan perwatakannya pula dianggap tidak kuat. Walaupun sebenarnya, wanita yang pernah membintangi filem Cermin ini sudah dihujani banyak tawaran, tetapi dia belum bertemu skrip yang betul-betul menguji keupayaannya sebagai pelakon. "Bukan tidak mahu berlakon, tetapi skrip yang ditawarkan pula teruk. Watak tidak mencabar dan jalan cerita yang sama saja."Lagi pun saya kerap ditawarkan watak pada saat akhir dan saya tahu, saya pilihan kedua kalau kejadian seperti itu berlaku," katanya yang memberitahu sering ditawarkan pada saat akhir dan kadang kala dua atau tiga hari sebelum penggambaran bermula. Memilih untuk kekal menetap di Malaysia, Deanna memberitahu, sebelum ini dia berminat membintangi dua filem yang dilihat punyai potensi dalam penulisan skripnya, namun masalah kewangan yang menyebabkan semua itu tidak dapat diteruskan. Kata wanita yang memiliki wajah lembut ini, walaupun sudah empat tahun menyepi dalam bidang lakonan, dia masih menunggu skrip filem yang sesuai untuk dilakonkan dan mengambil sikap teliti dalam membuat sebarang keputusan.
Anak kelahiran London, England ini, berkata dia mahu watak yang dibawakan membuatkan peminatnya jatuh cinta dengan perkembangan karakter yang mengemudi setiap filem pilihannya. Wanita berusia 44 tahun yang kekal langsing ini turut memberitahu, tawaran iklan juga kini sudah agak berkurangan kerana kebanyakan produksi iklan lebih mahukan model dari luar negara. Istimewanya, wanita ini jujur memberitahu, sejak meningkat usia, ada beberapa produksi yang memberitahu wajah kemelayuannya semakin pudar dan lebih kepada wajah Pan Asia. "Ada juga yang cakap wajah saya semakin lama semakin kurang jelas kemelayuan. Mereka cakap wajah saya lebih ke arah wajah artis luar negara. Betulkah?" tanya Deanna kepada penulis. Deanna yang mengisi masa dengan mengambil pelbagai kursus ilmu seperti pemasaran, berkata dia juga sedang mengacarakan program sebuah realiti terbitan stesen TV tempatan. "Saya sebagai pengacara dan rancangan ini sungguh menarik kerana menampilkan forum sosial berkenaan apa yang diinginkan lelaki. Ia juga menampilkan enam lelaki yang bukan saja kacak, malah mempunyai pakej lengkap yang diperlukan lelaki dan mungkin juga wanita," kata pelakon filem Ringgit Kasorga, Anna And The King, Return To Paradise, Abang 92 dan Selubung. Wanita yang mempunyai hobi bermain tenis dan memasak ini turut berkongsi rahsia dirinya yang suka menjengah ke dapur memasak pelbagai jenis makanan tempatan dan Barat untuk dihidangkan kepada rakan terdekat. "Saya mempunyai hobi memasak dan selalunya saya menjemput sepuluh tetamu yang terdiri daripada rakan terdekat dan saya akan menghidangkan mereka masakan saya, lengkap dari menu utama sehingga pencuci mulut. "Saya juga akan pastikan orang yang saya jemput itu daripada mereka yang suka makan dan akan mengambil masa beberapa hari untuk menyiapkan hidangan," katanya yang kini mahir memasak kari, nasi lemak, nasi beriani dan ayam berempah. Berkongsi pengalaman membintangi teater Wangi Jadi Saksi arahan U-Wei, Deanna yang pernah memenangi anugerah pelakon wanita terbaik pada Festival Filem Malaysia 1992 menerusi filem Selubung, berkata teater yang dipentaskan di Singapura dua tahun lalu itu mendapat sambutan apabila dimainkan selama lima hari dan istimewanya apabila muzik teater itu dimainkan sendiri pemuzik dari Indonesia. "Busana, muzik dan dekorasi pentas semuanya indah dan dalam pementasan teater itu hanya saya seorang wanita," katanya yang menceritakan pementasan teater itu mengangkat wataknya sebagai Wangi, isteri kepada Hang Tuah. "Hanya saya tahu siapa sebenarnya membunuh Hang Tuah dan dalam cerita biasa Hang Jebat adalah pembunuhnya dan teater ini adalah berbeza," katanya yang memberitahu menerima tawaran berlakon filem selepas Syawal nanti. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Posted: 07 Aug 2011 08:19 PM PDT Hip Pendengar anggap empat penyampai dalam Hot FM AM Krew masih baruBENARKAH kehadiran Usop Wilcha di dalam slot pagi radio Hot FM sejak sebulan setengah yang lalu dikatakan tidak begitu memberi impak besar kepada Hot FM AM Krew? Dalam erti kata lain dia tidak membantu menaikkan jumlah pendengar slot berkenaan, sedangkan tujuan Usop atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullai dilamar menyertai stesen berkenaan kerana popularitinya dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang memberi impak pada popularitinya. Pengurus Rangkaian Radio Media Prima, Anida Tahrim, ketika ditemui di majlis pelancaran lagu raya penyampai radio Hot FM bersama bintang Idola Kecil musim ketiga dan Upin & Ipin berkata, setakat ini laporan terbaru mengenai jumlah pendengar masih belum diperoleh. Bagaimanapun, dia tidak menafikan menerima maklum balas berbeza dari pendengar. Kata Anida, ia perkara biasa setiap kali produk baru diperkenalkan. Pendengar mungkin memerlukan sedikit masa untuk menerima kehadiran Usop dalam slot pagi. Situasi sama pernah dihadapi stesen berkenaan ketika AG diserap masuk.Namun, Anida yakin lama-kelamaan peminat dapat membiasakan diri mereka dengan kehadiran Usop. "Pendengar mungkin masih belum biasa lagi dengan kehadiran empat penyampai kerana mereka sudah terbiasa dengan format dua penyampai seperti sebelum ini. Dari pihak penyampai sendiri, mereka juga masih menyesuaikan diri dengan format baru ini. "Bagaimanapun kami sentiasa mengingatkan mereka supaya tahu apa yang mereka ingin disampaikan dan kenali kekuatan masing-masing. Kita faham kritikan daripada pendengar, malah Hot FM sendiri masih lagi berusaha untuk menggilap bakat Usop.
Ketika menyertai Hangatnya Tour anjuran stesen radio berkenaan, Anida berkata, Usop mampu menarik perhatian peminat sekali gus mempopularkan jenama stesen radio ini. "Daripada maklum balas peminat di siri jelajah kami, Usop ternyata mempunyai pengikutnya. Cuma di radio penerimaan pendengar perlukan sedikit masa. Usop sebelum ini terbabit dengan dunia korporat, jadi secara peribadinya dia seorang yang serius. Berbeza daripada wataknya dalam filem, sebab itu kami mengingatkan kepadanya supaya berjenaka, kerana itu yang peminat nak dengar.
Sementara itu, sempena Aidilfitri nanti, Hot FM sekali lagi meneruskan tradisinya menghasilkan dua lagu istimewa raya khas buat pendengar dan penonton TV9. Single raya berjudul Hangatnya Raya Di Hatiku itu dihasilkan rentetan daripada kejayaan penjualan album tahun lalu yang membabitkan artis di bawah pengurusan Monkey Bone, Astro dan PMP Entertainment yang berjaya dijual sebanyak 6,943 unit dalam bentuk cakera padat, 6,197 unit cakera video (VC), 6,197 (cakera padat digital - DVD) dan 6,000 muat turun. Bagaimanapun tahun ini, pendengar Hot FM boleh memuat turun lagu yang menyaksikan paduan suara semua penyampai Hot FM dan finalis Idola Kecil iaitu Harrism, Puteri, Hadi dan Angel selain kemunculan khas Upin dan Ipin menerusi laman web rasmi stesen berkenaan.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |