Adsense

Sabtu, 30 Julai 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Bersara sajalah Waheeda

Posted:

Bersara sajalah Waheeda

Bersara sajalah Waheeda

LAMA juga Joyah tak dengar cerita tentang Waheeda semenjak berkahwin dengan penyanyi Akhil Hayy. Mungkin sebab bahagia sangat melayari rumah tangga sampaikan nama Waheeda terus tenggelam sejak kebelakangan ini.

Baru-baru ini Waheeda ada memberi sebab mengapa dia kurang berminat terhadap dunia seni. Kata Waheeda antara punca dia kurang terlibat dalam bidang seni disebabkan sukar menunaikan solat sebab terlalu sibuk di set penggambaran.

Tak cukup dengan itu lagi Waheeda bercerita yang dia pernah cuba mengekalkan wuduk tetapi ada sahaja halangan termasuklah kru lelaki belakang tabir yang sesuka hati memegang tangannya dan yang lain ketawa sahaja bila wuduknya batal.

"Siapa dia untuk mempermainkan agama Allah!," tempelak Waheeda lagi.

Dalam hal ini Joyah memang kurang senang dengan sikap sesetengah orang yang langsung tak sensitif dalam isu begini. Kalau tak pandai agama belajarlah, tapi jangan sesekali menyusahkan orang lain dengan hal begini.

Kalau kita kata orang tu kurang ilmu agama, pasti ada yang melenting. Tapi setiap perbuatan mereka memang mencerminkan keadaan begitu. Suka atau tidak kita kena peka dalam hal-hal begini.

Kepada Waheeda Joyah nasihatkan lebih baik dia bersara daripada dunia hiburan. Banyak sangat pancaroba yang Waheeda kena lalu. Inilah realiti dunia hiburan kita. Joyah fikir luahan Waheeda ini menjadi renungan para penggiat seni kita.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Permata mula menyinar

Posted:

Permata mula menyinar

Permata mula menyinar

Katarsis Kualong

SAYA menjadi hairan, kenapa dan mengapa setiap kali delegasi negara mahu berlepas ke Los Angeles bagi menyertai Worldstars Championship of Performing Arts (Worldstars Championship), akan ada saja masalah.

Satu demi satu, tidak pernah berakhir. Saban tahun, akan ada saja masalah mendatang, baik daripada sebesar-besarnya sehinggalah kepada sekecil-kecil masalah. Mujurlah ada insan yang masih percaya bahawa kita perlu terus berjuang untuk mencari tempat di Hollywood.

Dalam kepayahan ke hulu, ke hilir mencari tajaan dan menyakinkan pihak kerajaan bagi membawa peserta negara ke Worldstars Championship tahun ini, Romli Bidin (Ketua Delegasi Malaysia) tidak pernah 'kematian' semangat.

Hasilnya, dalam pelbagai masalah yang mengekang dan peserta negara semakin mengecil, Malaysia terus mencatat rekod membanggakan dalam pertandingan seni pentas bertaraf Sukan Olimpik itu.

Apa lagi yang mahu disangsikan? Apakah Worldstars tidak cukup 'prestij' kepada sesetengah pihak, maka ia tidak menjadi agenda utama untuk diangkat dalam direktori seni negara?

Menyertai delegasi negara tahun lalu dan satu-satunya media tempatan yang dibawa ke Worldstars pada 2010, saya melihat Worldstars adalah satu pertandingan yang begitu hebat.

Malah, ia adalah tempat berkumpul seluruh bakat-bakat muda mewakili negara dalam bidang seni yang mereka kuasai.

Saya sempat berkenalan dengan artis yang datang daripada pelbagai negara dan ternyata mereka bukan sebarangan peserta. Datang daripada kalangan keluarga berada dan mereka ke Worldstars untuk mencipta kejayaan besar melalui bakat tersendiri dalam acara yang penuh unik itu.

Dan wakil negara juga bukan calang-calang. Saya melihat sendiri bagaimana keadaan dewan yang penuh sesak setiap kali peserta Malaysia mempertaruhkan bakat terutamanya dalam kategori tarian. Tarian tidak pernah mengecewakan negara.

Dan tahun ini, kejayaan berganda apabila adik Nisa Addina Mohamed berjaya membawa pulang anugerah prestij dalam kategori muzik instrumental. (Cerita lanjut di muka 14 dan 15 Pancaindera).

Nisa adalah pemuzik muda yang berjaya digilap dan dicungkil melalui dasar keterbukaan kerajaan terhadap perkembangan seni tanahair yang kita kasihi ini. Mula mengasah bakat melalui Permata Seni Negara, ini adalah produk Permata yang mula bersinar.

Selepas menang di Worldstars Championship, saya percaya bakat adik Nisa boleh pergi lebih jauh. Malah yang penting lagi, dia akan membesar sebagai anak seni yang lebih bersemangat, lebih berani dan tidak malu-malu lagi atas tiket Worldstars Championship yang dimenanginya.

Justeru, saya berharap agar tahun hadapan, masalah domestik seperti ini tidak lagi berlaku. Pihak yang bertanggungjawab sewajarnya memberi sokongan penuh padu dan tidak bermain tarik tali dengan penganjur dan juga peserta seperti sebelum ini.

Berlaku adillah kepada semua pihak yang mempunyai hasrat murni, mengangkat nama negara melalui seni. Lupakanlah birokrasi yang hanya akan melemahkan lagi insan-insan kreatif ini.

Dan sebelum berundur diri minggu ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca Pancaindera yang budiman. Saya berharap agar Ramadan yang datang esok, buangkan segala pra sangka, marilah kita membina jaya fizikal dan mental diri.

Semoga kita akan menjadi manusia yang lebih baik dan berguna untuk membuat kebaikan di bulan yang mulia ini. Salam Ramadan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.