Adsense

Sabtu, 30 Julai 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Serah jiwa

Posted: 29 Jul 2011 03:04 PM PDT

Hip

Marshanda ambil keputusan bertudung, ubah seluruh perjalanan hidup

SETIAP kali berdoa, Andriani Marshanda atau Marshanda yang mengambil keputusan bertudung lebih setahun lalu enggan menyesali keputusan besar yang mengubah seluruh perjalanan hidupnya. Dia yang berketurunan Minangkabau, berusia 22 tahun, juga tidak ingin kembali menoleh laluan silam tatkala bertekad menyerahkan seluruh misteri hidupnya kepada Allah.

Bagi wanita yang begitu dikenali peminat di negara ini menerusi sinetron, Benci Bilang Cinta, Aqso dan Madina dan Sejuta Cinta Marshanda, cukup sekadar dia melafazkan syukur dengan apa dijalaninya ketika ini. Isteri kepada pengacara dan VJ MTV, Ben Kasyafani ini juga tidak menyesal dipertemukan jodoh pada usia muda, sebaliknya Marshanda bahagia kerana Tuhan membuka pintu hatinya untuk dicintai seorang lelaki yang jujur dan ikhlas menerima kelebihan serta kelemahannya. "Sering kita dimomokkan tanggapan karier akan menurun apabila berumahtangga. Alhamdulillah, perkara itu tidak terjadi dalam hidup saya malah karier saya semakin tumbuh selepas bergelar isteri," katanya yang mesra disapa Chacha.

Wanita berbintang Leo yang dilahirkan pada 10 Ogos 1989 ini turut berkongsi keterujaannya menanti kehadiran Ramadan kerana buat pertama kali akan meraikannya sebagai seorang isteri. Meskipun nanti dia dan suaminya masing-masing sibuk kerana terbabit dengan penggambaran sinetron sepanjang Ramadan, kehadiran bulan mulia itu tetap memberi pengertian tersendiri kepada mereka berdua.

Namun, Marshanda menjelaskan, dia dan Ben tidak terlalu ghairah membuat pelbagai persediaan kerana kesempatan berbuka bersama hanya dapat dinikmati pada hujung minggu.

"Melihat jadual penggambaran, masa saya dan Ben akan lebih banyak di lokasi malah rakaman berlarutan hingga selepas waktu berbuka.
Alhamdulillah, Ben memahaminya malah sentiasa menyokong jika saya masih mahu aktif berlakon. Saya tidak akan mengabaikan Ben dan cuba menyediakan menu kesukaannya ketika bersahur. Soal juadah barangkali tidak menimbulkan banyak masalah kerana Ben akan membuat permintaan awal sebelum keluar ke lokasi penggambaran. Hanya hujung minggu kami dapat berbuka bersama. Insya-Allah, tiada apa perlu dirungut kerana Tuhan masih memberi kami kesempatan makan semeja ketika bersahur," katanya.

Menyandang gelaran isteri sejak 2 April lalu, Marshanda yang pernah melahirkan dua album solo, Bidadari dan Marshanda berkata, dia dan suaminya sentiasa melihat kesibukan mereka dari sudut positif. Baginya, kesibukan yang dilalui itu adalah rezeki yang diturunkan Allah membuatkan dia dan Ben belum menyimpan rencana untuk memiliki cahaya mata.

"Saya dan suami jarang bertemu sejak berkahwin kerana masing-masing sibuk. Tetapi itu tidak bermakna kami langsung tidak memikirkan perancangan masa depan. Bukan sengaja menunda rancangan tetapi saya hanya bersedia memiliki anak selepas tamat pengajian universiti.

"Kesibukan ini juga sebahagian daripada rezeki Allah, mana mungkin saya dan suami mahu mengeluh. Namun jika ditakdirkan Tuhan saya mengandung awal, saya terima," katanya akui sebagai isteri, setiap apa juga keputusan dibuat berdasarkan perbincangan dengan suami.

Bekas kekasih aktor popular, Baim Wong ini enggan menyalahgunakan kebebasan dan keizinan yang diberikan suaminya hingga mengabaikan tanggungjawab yang sedia tergalas di bahunya.

"Jika ada sesuatu yang tidak disukainya, Ben akan berterus terang. Mungkin itu yang membuatkan hubungan kami berjalan lancar.

Bohong jika rumah tangga kami tidak disulami perselisihan kecil, itu normal apatah lagi kami masih dalam proses mengenali peribadi masing-masing. Namun, saya dan Ben sepakat, setiap masalah harus dibincangkan sehingga selesai dan mencapai keputusan. Apa yang terbuku di hati harus dikeluarkan supaya tidak timbul masalah berbangkit pada kemudian hari," katanya.

Mengenai kerjayanya, dek terlalu sinonim membawa watak remaja baik dan solehah, Marshanda cuba mencari angin baru dalam lakonannya. Keluar daripada watak stereotaip yang sering melingkari dirinya, Marshanda merasai cabaran berbeza apabila terpilih untuk memainkan peranan sebagai Sofia dalam sinetron terbaru, Sujud Ke Sujud.

Dalam sinetron yang akan disiarkan menerusi RCTI itu, Marshanda memikul tanggungjawab berat untuk merealisasikan watak sebagai perempuan gila yang mencintai suami orang.

"Wataknya mengujakan kerana tidak mendatar seperti yang pernah saya bawakan sebelum ini, malah menguji kerana buat pertama kali diserahkan peranan seperti ini. Cabarannya besar kerana gila itu sendiri bersifat abstrak. Setiap apa yang saya luahkan untuk melunaskan watak Sofia harus mempunyai alasannya. Saya tidak mempunyai masalah kerana sejak dulu sering menonton filem. Jadi rujukan itu boleh dibuat menerusi filem yang ditonton. Kebanyakan ekspresi untuk watak itu saya ceduk daripada filem Don't Say A Word yang dibintangi Michael Douglas, Sean Bean dan Brittany Murphy," katanya.

INFO: Andriani Marshanda
Nama Komersial: Marshanda atau Chacha
Tarikh Lahir: 10 Ogos 1989
Asal: Jakarta, Indonesia
Sinetron: Bidadari, Bidadari 2, Keluarga Mata Hatiku, Kisah Sedih Di Hari Minggu, Kisah Kasih Di Sekolah, Kisah Kasih Di Sekolah 2, Adam dan Hawa, Manis dan Sayang, Hikmah 2, Putri Yang Terbuang, Soleha, Aqso dan Madina, Benci Bilang Cinta, Maha Kasih, Maha Cinta, Hingga Akhir Waktu, Cinta Bunga, Legenda, Anak Cucu Adam dan Sejuta Cinta Marshanda.
Filem: Petualangan 100 Jam dan Kalau Cinta Jangan Cengeng
Album: Bidadari dan Marshanda
Album Kompilasi: Allah Yang Ku Cintai, Best Of Female Idol, Broken Heart, Broken Heart Vol 2, Now and Forever dan Dua Belas Lagu Islami Terbaik.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.