Adsense

Sabtu, 30 Julai 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Memiliki pakej lengkap

Posted: 29 Jul 2011 06:09 AM PDT

BUANG jauh-jauh dulu segala kontroversi yang pernah melanda si empunya jelitawan ini kerana ia sudah menjadi permainan dunia hiburan.

Sebelum ini kita pernah melihat ramai pelakon yang cantik tidak kira di Malaysia, Indonesia, Hollywood dan Bollywood terkena tempias gosip kerana pelbagai godaan menunggu di luar sana.

Namun bagi anak jati dari Negeri Cik Siti Wan Kembang ini - Noor Neelofa Mohd Noor - dugaan yang pernah dilaluinya tidak pernah menjadi kudis sebaliknya dia semakin yakin dan mara ke depan menonjolkan bakat.

Lebih daripada itu, ketika ini Neelofa sedang menjadi buruan ramai produser dan pengarah kelas A di Malaysia seperti Mamat Khalid, Syamsul Yusof, Erma Fatima dan Aziz M Osman kerana dia memiliki pakej yang lengkap sebagai artis dan diyakini memberikan saingan hebat kepada pelakon lebih senior. Memang begitu adat dunia hiburan yang berputar seperti roda.


"Sejak awal melangkah ke dalam gelanggang seni, saya hanya ada satu impian.

Impian saya adalah untuk menjadi anak seni yang hebat seperti mana seniwati pujaan saya iaitu Saadiah, Normadiah dan Sarimah.

"Jadi saya sedang mempertaruhkan bakat lakonan yang ada. Syukurlah pintu rezeki itu mula terbuka, cuma saya kena bijak mencatur langkah seterusnya.

"Apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah merencana masa depan dan terus memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa. Saya sedia ditegur dan dibimbing asalkan ia memberikan kebaikan kepada diri saya," kata pemegang gelaran Dewi Remaja 2010 ini.

Rap difahamkan pernah sekali seorang pengarah terkenal berbisik, usah menghakimi sese-orang berdasarkan cakap-cakap belakang atau spekulasi yang tersebar, sebaliknya kata pengarah itu, Neelofa seorang bintang baru yang sangat bersinar dan mampu memberi saingan kepada wajah terkenal hari ini dalam lapangan seni lakon.

Meskipun drama bersiri lakonan-nya, Tahajjud Cinta sedang rancak ditayangkan ketika ini, pelajar Kolej Universiti Sunway ini masih ternanti-nanti filem sulung lakonannya sentuhan sutradara Aziz M Osman, Azura 2011 yang bakal ditayangkan pada Februari 2012.

"Saya memang bersyukur dengan segala peluang dan kepercayaan yang diberi terutamanya kepada pihak produksi dan produser yang memberikan tawaran.

"Mungkin semua itu adalah berkat kesungguhan saya mengorak langkah dalam industri ini.

"Sebagai pendatang baru, ini adalah satu hadiah terindah yang akan terus menyokong semangat saya. Saya juga terharu kerana pihak media sendiri tidak putus-putus menyokong saya.

"Bayangkan, sebaik saya menerima tawaran berlakon filem Azura sejurus tamat pertandingan Dewi Remaja, Januari lalu, rezeki lain datang me-nyusul. Percaya atau tidak, saya belum pun sampai setahun jagung, sudah beberapa filem dan drama yang saya bintangi. Saya percaya disiplin dan nawaitu adalah kunci terbaik," katanya.

Selain Azura 2011, setakat ini Neelofa sudah pun membintangi tiga filem iaitu King Kapcai bersama Fizz Fairuz, Remy Ishak dan Zizan, S.A.M terbitan Skop Production Sdn Bhd dan terbaru yang bakal dibintanginya, Lemak Kampung Baru bersama Hans Isaac.

Bermula dengan drama Kasih Najiha untuk TV9 pada Mac lalu, dia yang terpaksa menolak beberapa tawaran atas sebab tertentu, turut berkesempatan mewarnai dua drama bersiri arahan Erma Fatima, Kitab Cinta dan Tahajjud Cinta.

Malah, jelasnya, apa yang lebih membuatkannya gembira apabila dipilih membintangi drama istimewa yang bakal ditayangkan pada malam raya pertama nanti berjudul Pusing Raya.

Sebagai pendatang baru, bibirnya tidak henti menyifatkan segala rahmat yang datang dalam jalur kerjaya seninya sebagai satu tuah.

Selain lakonan filem dan TV, Neelofa juga menjadi buruan jenama komersial kerana dia pernah menjadi model iklan untuk Nokia, Celcom, Safi, Fair & Lovely, Bank RHB, Mee Sedap, Bank HSBC dan McDonald's.

"Alhamdulillah apa yang pernah saya impikan sudah pun selesa di depan mata, cuma ia memerlukan lebih usaha dan kesungguhan saya bagi terus merealisasikannya.

"Ada kalanya, saya sendiri macam tidak percaya sudah berpeluang melakonkan tiga filem dan beberapa drama.

"Malah, pengalaman bekerja dengan pengarah terkenal membuatkan saya lebih yakin dengan peluang yang ada.

"Azura umpamanya memberikan satu permulaan yang baik kepada saya untuk belajar dan menimba pengalaman bekerja di bawah Aziz M Osman.

Kemudian watak Khadijah dalam filem King Kapcai terbitan KRU Studios membuka peluang melakonkan sesuatu yang berbeza.

"Namun pengalaman melakonkan watak Zura, teman baik kepada Lisa dalam filem S.A.M adalah kenangan paling manis kerana plot ceritanya yang menarik dan perwatakan yang santai.

"Kalau tiada sebarang masalah, semua filem-filem lakonan saya akan ditayangkan tahun depan. Sepanjang puasa ini, saya juga sibuk dengan penggambaran drama raya
dan sekiranya tidak ber-tembung jadual, saya akan membintangi sebuah filem seram komedi arahan Mamat Khalid pula.

"Bagaimanapun, saya percaya semua tawaran dan peluang ini tidak akan kekal lama kalau kita mudah lekas lupa diri, tiada komitmen dan sibuk melayan kontroversi.

"Mungkin selepas ini saya akan cuba mencabar diri saya sendiri dengan melakonkan watak berbeza pula dan mempelbagaikan diri serta personaliti saya agar lebih mudah menghidupkan sesebuah watak yang diberi.

"Lantas saya mengharapkan agar apa yang ditempuhi hari ini akan terus terpahat menjadi pengajaran buat saya sampai bila-bila," katanya yang terpaksa menolak tawaran sebuah filem baru lagi kerana pertindihan jadual.

Andai tepat percaturan, 2012 adalah tahun terbaik buatnya untuk menggegarkan arena perfileman tempatan.

PROFIL:

NAMA PENUH: Noor Neelofa Mohd Noor
TARIKH LAHIR: 10 Februari 1989
TEMPAT LAHIR: Pasir Mas, Kelantan
USIA: 22 tahun
KELUARGA: Anak ketiga dari sembilan adik-beradik
PENDIDIKAN: Tahun kedua Ijazah Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa di Kolej Universiti Sunway
Pencapaian: Juara Dewi Remaja 2010
FILEM: Azura 2011, King Kapcai, S.A.M, Lemak Kampung Baru
DRAMA: Kasih Najiha, Kitab Cinta, Tahajjud Cinta, Pusing Raya
PENGACARA: Paparazi di Tonton TV
JURUCAKAP PRODUK: Jam tangan U2 Watch
IKLAN KOMERSIAL: Nokia, Celcom, Safi, Fair & Lovely, Bank RHB, Mee Sedap, Bank HSBC, McDonald's

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Sorot sejarah Palestin

Posted: 29 Jul 2011 05:58 AM PDT

ISU Palestin sering menjadi perhatian dan perbincangan masyarakat dunia.

Ramai maklum, bumi Palestin dan Al-Aqsa diancam serta diceroboh dengan dahsyatnya oleh kaum Yahudi dan Kristian sejak tahun 1948.

Dikatakan perebutan antara tiga agama samawi ini iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sudah berlaku sejak zaman Khalifah Islam Kedua, Saidina Umar apabila beliau membuka Kota Baitulmaqdis pada tahun 636 M.

Justeru, sebarang dokumentari yang dihasilkan mengenainya perlu melihat pelbagai fakta dan sumber bagi merungkai pelbagai persoalan yang berlaku.


Sudah tentu cabaran untuk merealisasikan dokumentari sebegini bukan mudah kerana pelbagai halangan perlu ditempuh.


Inilah hakikat dilalui SNR Multitech Productions, penerbit dokumentari bersiri khas berjudul Palestin-Bumi Para Anbiya.

Mendapat suntikan tajaan CIMB Islamic Bank Berhad, program selama 30 episod ini dihasilkan dengan kerjasama Astro Oasis sebagai penyiar yang akan menayangkannya pada setiap Isnin hingga Ahad, jam 6.30 petang bermula 1 Ogos nanti.

Palestin-Bumi Para Anbiya menyorot kembali sejarah bumi Palestin dari zaman Nabi Ibrahim as sehingga hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SNR Multitech merangkap penerbitnya, Shahool Hameed Mohd Meerah berkata, dia mengambil masa hampir tiga tahun membuat kajian berpandukan fakta yang dijelaskan dalam al-Quran, kitab Injil dan kajian pakar sejarah.

"Kami merungkai isu Palestin, tumpu susur galur nabi dan kesan-kesan peninggalan sejarah Islam. Al-Quran adalah sumber utama, manakala kitab lain menjadi sumber tambahan. Jika fakta itu bertentangan dengan al-Quran, kami akan menolaknya terus.

"Kalau kita lihat pada kitab lama, faktanya memang menyamai al-Quran. Kajian yang dibuat merangkumi sehingga pengikut Nabi Adam a.s kerana kita tahu, sejarah Masjidil Aqsa bukanlah isu baru," katanya.

Shahool yang juga bertindak sebagai penyelidik dan kru penggambaran berkata, sebelum ke Palestin, mereka terlebih dahulu tiba di Syria.

Di sini, mereka sudah diuji kerana ketika itu Syria berdepan pergolakan dalaman.

"Penggambaran memakan masa selama tiga bulan dari April hingga Jun dengan kru seramai tujuh orang. Ini belum termasuk jurubahasa dan pemandu arah di sana.

"Di Syria, peralatan penggambaran kami ditahan pihak berkuasa kerana mereka sangka kami nak bagi publisiti mengenai rusuhan itu.

"Manakala di Palestin pergerakan kami sentiasa diawasi polis yang mencurigai tujuan sebenar kami.

"Segala fakta dan tempat menarik di sana kami cuba visualkan untuk tatapan penonton. Paparan ini bertambah menarik dengan adanya bantuan audio yang berkaitan paparan visual.

"Dalam sesetengah babak, kami hasilkan dalam bentuk lukisan bagi memudahkan penonton memahami situasi sebenar kerana sesetengah lokasi sudah tidak wujud.
Lukisan ini dilakar pelukis terkenal, Ismail Kadir dari Kelantan. Sebanyak 70 lukisan dihasilkan untuk dokumentari ini.

"Kami juga selitkan temu bual dengan pakar rujuk dari Malaysia, Syria, Palestin dan Jordan," katanya yang mendapat khidmat Pak Yub yang berpengalaman dalam pembikinan dokumentari sebagai pengarah teknikal.

Mengulas persamaan Palestin-Bumi Para Anbiya dengan program lain yang sering disiarkan ketika Ramadan, Shahool berkata, mereka cuba lari dari kebiasaan program sebegini yang kebanyakannya dilihat berkonsep 'travelodge.'

Majlis pelancaran Palestin-Bumi Para Anbiya disempurnakan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Mohamad Sarfi Shahul Hamid.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.