Adsense

Khamis, 7 Julai 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Bersatu selepas 17 tahun

Posted:

Bersatu selepas 17 tahun

Bersatu selepas 17 tahun

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar SAFRIZAL AZMI dan ihsan TV3


BAHAGIA Eman Manan di samping empat 'isteri'yang turut sama membintangi drama bersiri Tahajjud Cinta iaitu (dari kiri) Melissa Saila, Erma Fatima, Ziela Jalil dan Dira Abu Zahar.


BUKAN mudah sebenarnya sutradara wanita handalan ini untuk memujuk seniman yang seorang ini membintangi karya terbarunya, Tahajjud Cinta.

Sebagai seorang yang cukup senior dalam bidang seni, Erma Fatima sudah masak dengan sikap Eman Manan yang terkenal sebagai seorang yang begitu selektif dalam memilih watak dan jalan cerita.

Dalam erti kata lain, jangan mimpi untuk mendapatkan Eman membintangi sesuatu filem mahupun drama seandainya ia tidak menepati piawaian Eman sendiri.

Berpegang kepada prinsip berpantang mati sebelum ajal, Erma mengatur pertemuan demi pertemuan bersama Eman untuk berbincang tentang Tahajjud Cinta.

Jauh di benak Erma, tiada pelakon yang lebih layak daripada Eman untuk membawakan watak Ustaz Shauki walaupun aktor itu mencadangkan beberapa nama kepadanya.

Ini kerana Erma mahukan seorang aktor yang pandai mengaji al-Quran dan demi menjaga kualiti Tahajjud Cinta, Erma mahu mengelakkan daripada menggunakan suara orang lain untuk adegan mengaji.

"Bukan sehari dua untuk mendapatkan jawapan positif Eman. Saya perlu menerangkan secara terperinci tentang kisah Tahajjud Cinta dan watak Ustaz Shauki itu sendiri.

"Setiap apa yang dibentangkan kepadanya itu harus ada jawapan yang kukuh agar dia berasa yakin untuk menerima tawaran itu.

"Akhirnya, doa saya dimakbulkan apabila Eman bersetuju untuk membintangi Tahajjud Cinta," cerita Erma penuh bersungguh sewaktu ditemui di lokasi penggambaran drama tersebut di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Selain Eman, drama terbitan Rumah Karya Cipta itu turut dibintangi pelakon popular lain seperti Fouziah Gous, Remy Ishak, Nur Fazura, Neelofa, Aaron Aziz, Tiz Zaqyah dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar serta kemunculan istimewa Tan Sri Jins Shamsudin.

Menariknya tentang Tahajjud Cinta apabila ia menggabungkan empat pelakon wanita yang memegang watak isteri-isteri Ustaz Shauki iaitu Erma sebagai Hamani, Ziela Jalil (Qadirah), Melissa Saila (Sharifah) dan Dira Abu Zahar (Umairah).

Bagi pemilik nama penuh Fatimah Rahmad ini lagi, dia benar-benar bersyukur apabila berjaya mendapatkan aktor hebat itu untuk Tahajjud Cinta.

Mana tidaknya. Sebelum ini, Eman dan Erma hanya pernah berlakon bersama menerusi filem Syahadat dan Bintang Malam (1992) serta Puteri (1987).

Namun, kali terakhir mereka digandingkan adalah menerusi filem Femina arahan Aziz M. Osman pada tahun 1994. Kalau dihitung, selepas 17 tahun lamanya, barulah Erma dan Eman disatukan kembali di dalam seluloid.

Tetapi, untuk Tahajjud Cinta, senario itu telah bertukar apabila Erma pula yang mengarahkan Eman dalam drama yang menggabungkan ramai bintang popular itu.

"Memang sudah lama saya mengimpikan Eman untuk berlakon dalam drama arahan saya tetapi ia tidak kesampaian. Lalu, apabila dia berlakon dalam Tahajjud Cinta, ia ibarat mimpi bertukar realiti.

"Apa yang membuatkan saya kagum dengan Eman ialah disiplinnya itu masih kekal sehingga ke hari ini. Tidak pernah sedikit pun berubah selama mana saya mengenalinya.

"Seharusnya pelakon baru mengambil contoh daripada sikap positif Eman itu jika mahu terus kekal lama dalam industri dan berjaya sepertinya. Jujur saya katakan, tidak semua pelakon baru memiliki sikap seperti Eman itu," kata Erma yang memulakan karier sebagai pengarah menerusi filem Jimi Asmara pada tahun 1995.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengorbanan Hattan, Heliza

Posted:

Pengorbanan Hattan, Heliza

Pengorbanan Hattan, Heliza

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar ZAINI HUSIN @ AHMAD


NOOR Firdaus Hilmi (tiga dari kiri) mengharapkan majlis amal anjuran YBIM dapat dilaksanakan dengan lancar.


HATTAN bangga apabila ditawarkan untuk menjayakan sebuah majlis makan malam amal anjuran Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM) di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor, 17 Julai ini.

Menurut pelantun lagu Rendang Tak Berbuah dan Biso Bonar itu, dia tidak pernah menolak permintaan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program amal kerana merasakan itu sebagai amal jariah yang mampu dilakukannya melalui popularitinya sebagai artis tanah air.

"Rasa tenang dan senang dalam hati apabila diminta untuk menjayakan sesuatu majlis amal seperti ini.

"Bagi saya, wang ringgit bukanlah segala-galanya. Justeru, pada malam itu nanti, jika saya diminta menyanyikan sehingga 10 buah lagu sekalipun, saya sanggup.

"Yang penting, kehadiran saya menggembirakan hati mereka yang hadir pada malam itu nanti," kata bekas pengkritik program realiti televisyen, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) kepada Hits.

Kata pemilik nama Mohd. Shukri Shahabudin, panggilan telefon daripada pihak YBIM yang mengundangnya untuk menjayakan majlis makan malam itu dianggapnya sebagai satu hikmah.

"Saya dapat panggilan telefon ketika sedang mengerjakan umrah baru-baru ini. Setelah mendengar penjelasan ringkas YBIM, saya terus bersetuju untuk turut serta menjayakan majlis amal tersebut.

"Lagi pun, bukan satu perkara yang asing bagi saya untuk terlibat dalam mana-mana majlis amal. Cuma dengan YBIM ini, ada sedikit kelainan.

"Cara mereka membantu golongan yang memerlukan bantuan membuatkan hati saya tertarik.

"Mereka tidak menghulurkan wang tunai sebaliknya, bantuan yang disalurkan oleh YBIM adalah dalam bentuk barangan keperluan, melunaskan yuran bagi mereka yang ingin mengikuti kelas kemahiran," kata Hattan.

Bagi bekas pelajar AF5, Heliza Hilmi, kegembiraan jelas terpancar di wajah gadis ini apabila turut diundang untuk menjayakan majlis makan malam amal bersama Hattan.

"Saya gembira kerana dapat berkongsi pentas dengan Hattan yang amat saya kagumi dan hormati.

"Saya juga terharu apabila insan kerdil seperti saya ini boleh menyumbang kepada golongan yang memerlukan bantuan melalui nyanyian saya.

"Biarpun saya tidaklah sepopular mana berbanding dengan penyanyi wanita tanah air sedia ada, namun saya teruja dan tidak sabar menunggu tarikh untuk mengadakan persembahan di majlis tersebut," kata pelakon filem Syurga Cinta.

Sementara itu, Pengerusi dan Pemegang Amanah YBIM, Noor Firdaus Hilmi Mohd. Hashim berkata, adalah menjadi tanggungjawab sosial yang harus dilaksanakan oleh YBIM untuk membantu anak-anak yatim, golongan ibu tunggal dan fakir miskin yang bermastautin di Selangor.

"Dirasakan sudah tiba waktunya YBIM melaksanakan pelan transformasi bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan.

"Antara yang digariskan dalam pelan tersebut ialah meluaskan lagi skop tumpuan apabila membantu masyarakat.

"Bukan hanya tertumpu kepada negeri Selangor tetapi bantuan yang YBIM hulurkan harus mencakupi skala yang lebih besar lagi iaitu rakyat negara ini," katanya.

Menurut beliau lagi, pemilihan Hattan dan Heliza untuk menjayakan majlis anjuran YBIM adalah tepat kerana lagu-lagu popular Hattan, misalnya, cenderung ke arah kebaikan.

"Hattan bukan sekadar menyajikan hiburan berbentuk kealpaan sebaliknya, jika diamati lagu-lagu dendangan Hattan, liriknya tidak membawa kepada kemusnahan," katanya.

Tambah Noor Firdaus Hilmi lagi, pemilihan Heliza pula adalah disebabkan penampilan dan perwatakan yang sopan.

"Kedua-dua artis ini ada kelebihan dan tarikan tersendiri. Itulah yang membuatkan pihak YBIM tidak teragak-agak untuk mengundang mereka menjayakan majlis amal kami," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.