Adsense

Khamis, 7 Julai 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Permulaan perlu penamat

Posted:

Permulaan perlu penamat

Permulaan perlu penamat



Pertahankan Hak, Perkukuhkan Seni Melalui Perlindungan Hak Harta Intelek yang diangkat menjadi tema simposium sulung Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyiPO 2011 berjaya mencapai matlamat utamanya.

Terima kasih kepada ahli panel yang terdiri daripada empat nama artis tersohor tanah air iaitu Amy Search, Ziana Zain, Diana Danielle dan Aizat Amdan serta Timbalan Pengarah Korporat MyIPO, Mohd. Shahar Osman dan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Hidhayatul Marikha Mohd. Zuki serta moderator, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof. Abu Hassan Hasbullah yang berjaya merealisasikan simposium ini menuju sukses.

Melalui perbincangan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan artis yang mewakili pejuang seni tanah air itu, Akta Hak Cipta 1987 bakal dipinda supaya undang-undang baharu yang lebih ketat diperkenalkan.

Ismail Sabri dalam kenyataan pada simposium yang berlangsung selama hampir tiga jam itu menegaskan, pindaan akta itu akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober tahun ini dan seterusnya digazetkan menjelang bulan Jun tahun depan.

"Kita sedang menunggu giliran untuk membentangkan pindaan yang telah lama dirancang ini dan insya-Allah paling lewat pindaan ini dilaksanakan pada bulan Jun tahun 2012," ujarnya yang ditemui selepas simposium itu.

Tambah beliau, pindaan yang dimaksudkan itu antaranya penetapan naungan setiap syarikat yang ingin mengendalikan royalti artis di bawah kementeriannya.

Selain itu, setiap proses pembayaran royalti perlu direkodkan dan adanya contractual relationship iaitu perjanjian hitam putih antara pengutip royalti dan pihak yang dikutip.

Kata beliau, Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) yang mengutip royalti tanpa kebenaran kementertian akan dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000.

"Tribunal Hak Cipta juga akan diaktifkan semula dan diperluaskan kuasanya, jadi artis tidak perlu lagi ke mahkamah untuk menguruskan hal berkaitan royalti dan harta intelek," katanya yang mengharapkan kewujudan satu badan khas yang menjaga kebajikan semua artis.

Bila artis bersuara

Majlis yang julung-julung kali diadakan gandingan usaha sama mantap Kosmo! dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta URTV dan Sinar FM masing-masing sebagai majalah dan radio rasmi itu menyaksikan kunjungan lebih 500 tetamu dengan lebih 300 daripada mereka merupakan karyawan seni tanah air termasuk pelakon, penyanyi, pelawak dan pemuzik.

Mereka termasuklah Datuk Sarimah, Jamal Abdillah, Norman Abdul Halim, Datuk Freddie Fernandez, Harun Salim Bachik, Syafinaz, Nancie Foo, Rabecca Nur Al-Islam, Farah Asyikin, Ana Raffali, Nubhan, Fazli Zainal, Heliza dan Irma Hasmie.


BARISAN individu-individu ternama dalam dunia hiburan tanah air (dari kiri), Sarimah, Freddie, Jamal dan Harun turut menyertai simposium bersempena Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011, kelmarin.


Penyanyi tersohor Ziana Zain dalam sidang akhbar yang dibuat selepas simposium tersebut menegaskan, walaupun tidak 100 peratus namun mungkin 50 peratus daripada perbincangan atau masalah yang diutarakan pada simposium itu telah difahami oleh kerajaan dan MyIPO sendiri.

Ujarnya, jika asyik ingin menuding jari, tiada gunanya jika tiada persatuan yang mewakili penggiat seni tempatan.

"Ia (tuding menuding jari) akan menjadi perkara sia-sia. Jika wujudkan satu persatuan yang mewakili penggiat seni kita, kita luahkan masalah kepada mereka dan biar mereka buat keputusan sama ada perkara ini boleh dipertimbangkan atau boleh dibawa ke Kabinet dan melalui proses seterusnya," bicaranya yang mana kata Ziana lagi, selama ini aduan dibuat namun seperti tiada sebarang tindakan diambil.

Tambahnya, sekiranya penggiat seni yang ada dalam industri ini bersatu hati dan mengambil serius tentang hak mereka, perkara yang selama ini dibincangkan boleh bergerak dengan bantuan kerajaan mengadakan simposium seperti ini.

Katanya lagi, sikap hanya hangat-hangat tahi ayam dan perasaan malas sering menyelubungi diri para artis tempatan dan jika perkara ini berterusan, apa pun yang dibuat tidak akan selesai.

Melihatkan kelantangan bersuara Ziana semasa menjadi wakil panel simposium tersebut kelmarin, cukup terserlah rasa tidak puas hati dalam setiap dialog yang dilontarkannya.

Menjawab persoalan tersebut, Ziana mengakui setelah 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni, baik muzik mahupun lakonan, katanya kini sudah tiba masa untuk meluahkan segala pekung yang tersimpan.

Akuinya jujur, golongan penyanyi boleh diibaratkan seperti petani suara kerana artis akan nampak mewah apabila memperagakan busana ataupun apabila berada di atas pentas mahupun di dalam televisyen. Namun, pada hakikatnya, rezeki mereka seperti kais pagi makan pagi sahaja.

"Sepatutnya pada usia begini, saya sudah boleh berehat dan mengutip royalti daripada bakat yang telah saya curahkan selama ini.

"Merujuk kepada isu royalti yang tidak habis-habis dan bayaran yang tidak menentu, artis kena pijak sebenarnya. Itulah hakikatnya nasib penyanyi kita, sekiranya ada yang pandai sedikit, bolehlah menjalankan bisnes. Itu pun, bukan tentu keuntungan akan memihak di sebelah kita," luah Ziana.

Meluahkan lagi kekecewaan yang melanda diri, Ziana menjelaskan, jika mahu bertahan dalam industri hiburan di Malaysia, seseorang artis itu perlu menguatkan hati serta menebalkan telinga. Jika dahulu, mungkin Ziana banyak berdiam dan hanya memerhati keadaan sekeliling, namun kini tidak lagi.

"Kini bila sudah sampai ke suatu tahap, rasanya tidak salah bagi saya untuk menyuarakan pendapat saya kerana banyak yang telah saya lihat dan banyak juga yang saya tempuhi sepanjang berada di dalam industri ini," akhiri Ziana yang menekankan supaya tidak perlu untuk mewujudkan banyak persatuan jika tiada satu pun dapat menjaga kebajikan penggiat seni tempatan.

Aktor muda, Sharnaaz Ahmad turut mempunyai padangan yang sama. Katanya: "Semua persatuan artis sedia ada perlu dibubarkan dan tubuhkan hanya satu badan berkanun di bawah kerajaan yang menjaga hak dan kebajikan para artis.

Tambahnya: "Semua masalah yang berbangkit tentang hak intelek artis perlu mula diselesaikan daripada akar umbi. Suatu kongres perlu diadakan untuk menyalurkan pengetahuan tentang hak intelek artis kepada semua rumah produksi didaftarkan di bawah Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM). Kerajaan perlu mewajibkan setiap rumah produksi menghadiri kongres tersebut dan tindakan keras perlu diambil sekiranya ada di kalangan rumah produksi yang enggan bekerjasama."

Pengagihan setara


KOLABORASI sulung. Barisan petugas Kosmo!, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bergambar kenangan bersama Ismail Sabri.


Biarpun telah berkecimpung lebih 30 tahun dalam industri seni, Amy Search yang turut menjadi panel pada simposium itu mengakui masih berdepan dengan kemelut ketidaksamarataan jumlah bayaran royalti yang diterima artis.

"Isu yang timbul sekarang ini adalah kenapa perkara berkaitan pembayaran royalti kepada artis tidak adil?

"Sepatutnya hal ini tidak seharusnya berlaku dan di sini pihak kementerian perlu duduk semeja dan melihat perkembangan era digital ini untuk membincangkan sekali gus mencari penyelesaiannya," luahnya yang mengakui sudah lama memendam rasa.

Berbicara mengenai industri seni dalam era digital yang sering dibuli dari sudut 'mengambil kesempatan' akibat kealpaan seketika, Amy menjelaskan kemelut utama seharusnya dibanteras dan diselesaikan sebelum meninjau ke lapangan lebih kecil.

"Sejujurnya kita sering ketinggalan untuk mengetahui perkembangan terkini industri seni dan akibat itu kita sering kali ditindas.

"Sepatutnya, isu-isu berat seperti illegal downloading, ring back tone dan bayaran persembahan seperti konsert dan seumpamanya perlu diselesaikan mengikut undang-undang yang sedia ada kemudian barulah kita selesaikan masalah kecil yang lain," luahnya.

Sementara itu Diana Danielle yang turut meluahkan isi hatinya usai simposium tersebut berkata: "Saya amat berterima kasih kepada Kosmo! kerana memberikan peluang kepada saya untuk turut menjadi panel simposium.

"Saya sungguh berasa gembira kerana simposium ini berjaya mencetuskan supaya semua pihak yang terbabit membuka mata terhadap isu hak intelek artis.

"Simposium ini sesungguhnya menjadi pencetus kepada masa depan yang lebih cerah buat semua golongan artis tempatan."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Fouziah Gous dirasuk

Posted:

Fouziah Gous dirasuk

Fouziah Gous dirasuk

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


BARISAN karyawan filem (dari kiri) Frank Peterson, Sidek Hussin, Fouziah Gous, Iqram Dinzly dan Khir Mohd. Noor.


SELEPAS kerap berlakon dalam drama seram, terkini aktres Fouziah Gous muncul dengan sebuah filem seram berjudul Rasuk yang telah ditayangkan bermula 23 Jun lalu.

Filem Rasuk, arahan S. Baldev Singh buat pertama kalinya menyatukan Fouziah dan Iqram Dinzly sebagai suami isteri selepas sebelum ini pernah membawakan watak sebagai pasangan kekasih dan adik-beradik.

Cerita Fouziah, meskipun dia dan Iqram merupakan sahabat baik di luar layar, namun agak sukar untuk mereka melakonkan watak sebagai pasangan suami isteri.

"Saya memang rapat dengan Iqram tetapi bila dalam filem kami harus menjadi suami isteri, rasa pelik dan janggal pula terutamanya apabila tiba pada babak romantis, kami asyik menahan gelak.

"Atas bantuan pengarah yang banyak memberi tunjuk ajar dan kerjasama dengan Iqram, saya yakin kami telah melakukan yang terbaik dalam filem Rasuk," ujarnya.

Sambung Iqram pula, peminat mereka berdua sememangnya mengetahui mereka bersahabat baik dan ramai yang mengharapkan mereka benar-benar bercinta dan berkahwin dalam dunia realiti.

"Ramai peminat mengharapkan kami bercinta dan berkahwin. Kiranya dalam filem ini impian mereka menjadi kenyataan meskipun sekadar dalam filem sahaja, saya rasa itu sudah memadai," kata Iqram.

Menariknya, sepanjang penggambaran filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta ini berlangsung, semua aksi lagak ngeri dilakonkan oleh Fouziah dan Iqram sendiri.

Bayarannya, mereka berdua tercedera di lokasi penggambaran, Fouziah sehingga kini menghadapi sakit tulang belakang dan Iqram pula secara tidak sengaja mengalami kemalangan apabila mukanya disambar api obor.

"Ketika menjayakan babak terjerat di akar pokok, kulit muka saya terbakar akibat disambar api obor. Walaupun sakit dan terkejut, saya teruskan penggambaran selepas mendapatkan rawatan di klinik. Nasib baik, kesan terbakar itu tidak meninggalkan parut," kata Iqram.

Fouziah pula yang mengakui tertekan kerana perlu melakukan banyak adegan berbahaya seperti, memecahkan botol kaca, menolak perabot jati hingga jatuh, memanjat tiang seri dan membaling apa sahaja yang ada di depan matanya.

"Memang saya tertekan tetapi saya berpuas hati kerana melakukan semua adegan bahaya itu sendiri. Saya masih menghadapi sakit tulang belakang akibat jatuh secara terduduk di atas batu.

"Saya juga terpaksa menggunakan segala kekuatan yang ada untuk meronta dan membaling apa sahaja yang ada di depan mata semata-mata untuk menjayakan watak Melati yang dirasuk," terang gadis berusia 29 tahun itu lagi.

Tambah Fouziah lagi, dia benar-benar letih membawakan watak Melati kerana sebagai orang yang rasuk, dia harus merenggangkan kesemua anggota badannya dan juga memberi renungan yang tajam sepanjang masa.

"Mata memainkan peranan sangat penting, mata saya tidak boleh berkelip. Jadi, saya terpaksa tahan mata daripada berkelip walaupun di depan saya ada kipas yang besar. Setiap kali buat babak Melati dirasuk, habis sakit satu badan saya," ujar Fouziah.

Filem Rasuk terbitan White Merpati Entertainment Sdn. Bhd. yang melakukan penggambaran di Janda Baik, Pahang itu dilihat sebagai sebuah filem seram yang berbeza daripada filem seram yang lain kerana ia mengenai kerasukan.

Walaupun pengarahnya bukan orang beragama Islam, tetapi filem ini tetap menyelitkan unsur-unsur agama Islam dengan bacaan ayat al-Quran.

Sungguhpun filem ini cuba lari daripada elemen seram yang biasa wujud dalam filem Melayu, namun sayangnya skrip hasil tulisan Ikhzal Ideris dilihat longgar dan tidak kemas.

Bagaimanapun segala kekurangan ditutup oleh lakonan berkesan Fouziah Gaus sebagai wanita yang dirasuk. Karya ini jelas menunjukkan Fouziah sebagai seorang aktres yang berbakat besar serta pujian atas efek CGI (imej janaan komputer) yang cantik dan kemas.

Buat penonton jangan terkejut apabila watak doktor di dalam filem ini agak menjengkelkan kerana sentiasa ketawa tanpa sebab.

Apabila disoal kepada pengarahnya, katanya watak doktor itu adalah untuk mengurangkan ketegangan buat penonton walhal hakikatnya kewujudan watak doktor itu menambahkan lagi tekanan penonton. Jika mahu menyelitkan elemen komedi, rasanya tidak perlu untuk menampilkan doktor separuh gila seperti itu.

Filem ini membongkar misteri sebuah banglo Melayu lama yang terbina sejak dari zaman pemerintahan Jepun. Pelbagai kejadian aneh berlaku selepas pasangan suami isteri Arman (Iqram) dan Melati (Fouziah) berpindah masuk ke rumah lama itu.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila Melati mula dirasuk oleh roh jahat setelah dia mengalihkan sebuah batu yang terletak di kawasan rumah tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kekecewaan Nana

Posted:

Kekecewaan Nana

Kekecewaan Nana

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my


NANA muncul dengan gaya dan genre baharu yang lebih segar bersempena kemunculan album terbaharunya dengan single pertama berjudul Tak Tahan.


SETELAH hampir 12 tahun membina nama dalam industri muzik tempatan, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana mengakui kecewa dengan sesetengah pihak yang masih tidak mahu memutarkan single terbaharunya, Tak Tahan di corong-corong radio.

Semasa ditemui pada majlis pelancaran album solo keenamnya di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur, Nana menjelaskan walaupun lagunya itu gubahan penulis lirik dan komposer yang dikenali zaman kini, lagunya itu bagaimanapun masih lagi kurang kedengaran di radio swasta.

"Mungkin lagu itu dimainkan tapi tidaklah sekerap yang diharapkan. Tidak tahu di mana silapnya. Nana rasa kecewa juga kerana walaupun sudah buat perubahan namun radio swasta masih lagi kurang putarkan lagu Nana.

"Kadangkala, Nana sendiri tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk bagi segelintir stesen radio mainkan lagu Nana di radio mereka. Hendak kata tidak ubah muzik, single terbaharu Nana ini digubah oleh Sixth Sense, satu kumpulan masa kini yang agak terkenal nama mereka di persada seni," jelas Nana sedikit muram dan mengatakan dia juga telah berubah kepada genre rock alternatif untuk memberi nafas baharu mengikut aliran muzik kini.

Album solo itu memuatkan lapan buah lagu yang telah berada di pasaran sejak 14 Mac lalu termasuk dua buah lagu baharu iaitu Tak Tahan dan Semakin Jelas.

Tak Tahan merupakan lagu ciptaan Manusia Putih dan Nawfas yang juga merupakan taruhan bagi single pertama.

Selain itu, perubahan imej berani dan segar Nana juga ialah satu langkah baharu bagi empunya diri. Nana yang bergelar ibu tunggal ingin bangkit dalam karier seni dan menghapuskan tanggapan sebelum ini yang mengatakan Nana sering ketinggalan dalam berpakaian mengikut arus fesyen terkini.

"Namun, ia (fesyen) tidaklah berlebihan tapi Nana mahukan sesuatu yang segar kerana risau peminat akan bosan dengan imej yang lama. Tidak kisahlah diterima atau tidak, tapi Nana telah berusaha sebaik mungkin," tutur Nana yang selesa dengan penampilan yang dibawanya kini.

Mengakhiri kata-katanya, Nana berharap agar pembaharuan yang dilakukan dapat menarik minat golongan generasi baharu agar dapat menerima dan menyokong kariernya sebagai seorang penghibur tempatan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.