Adsense

Khamis, 7 Julai 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Farhan tak kisah

Posted: 06 Jul 2011 03:30 PM PDT

Hip

Kekal dengan lagu berkonsep urban walaupun kurang diterima pendengar

TIADA langsung sesalan yang terbit di jiwa wanita muda ini sekalipun perjalanan seninya tidak begitu lancar.

Mungkin jika mengukur dari sudut populariti, nama Nur Farhan Azizan yang mula dikenali sejak menyertai program realiti Akademi Fantasia (AF4) tidak mampu menandingi populariti beberapa penyanyi muda lain. Biarpun sepi dari sebarang publisiti, Farhan nama mesra penyanyi ini di kalangan teman dan peminat tetap bersyukur kerana kerjaya nyanyian menjadi sumber pendapatan utamanya sejak lima tahun lalu, bukan saja mampu menampung dirinya sendiri tetapi juga ahli keluarganya.

"Jika mengukur dari produk, memang Farhan akui tiada produk untuk dibanggakan. Bagaimanapun alhamdulillah sumber pendapatan Farhan sejak lima tahun datangnya dari majlis makan malam dan persembahan korporat.

"Hendak mengharapkan kemunculan album, Farhan sendiri tidak pasti bila dapat memiliki album itu melihatkan kepada keadaan industri muzik sekarang. Apatah lagi kebanyakan penyanyi lebih selesa menghasilkan single. Jadi Farhan rasa lebih elok jika mengikut jejak langkah mereka," katanya.

Rancangan untuk menghasilkan single memang ada, tetapi penyanyi ini merancang ingin berjumpa dengan komposer baru selepas Hari Raya nanti bagi berbincang konsep sesuai untuk dibawakan.
Namun, Farhan berhasrat kekal dengan konsep yang pernah dibawakan sebelum ini.

"Farhan tak kisah jika peminat berpendapat lagu Farhan terlalu urban, sebab sudah tiba masanya untuk kita mendidik peminat. Kalau Farhan menghasilkan lagu bergenre sama dengan penyanyi lain, bagaimana pendengar hendak mencari kelainan yang ada pada Farhan?" katanya yang enggan menggubah konsep lagunya semata-mata untuk menuruti arah pasaran sekarang.

Timbul pertanyaan di hati penyanyi yang pernah memiliki album kompilasi Best Of Farhan ini, kenapa ketika dia memperkenalkan lagu yang mempunyai elemen bossa nova, jazz dan broadway, peminat seakan tidak terbuka untuk menerimanya?
Bagaimanapun kemunculan penyanyi indie dapat diterima baik peminat.

Bagi gadis berusia 27 tahun yang berjiwa cekal ini, dia tidak kisah mencuba sesuatu yang baru walaupun mungkin penerimaannya di kalangan peminat agak perlahan. Asalkan dia masih memiliki kualiti yang jarang dimiliki penyanyi sekarang.

"Sekarang memang diakui industri kita melahirkan ramai produk baru tetapi kualitinya kurang. Alhamdulillah penyanyi macam Farhan masih lagi menegakkan kualiti. Biarlah industri beredar macam mana sekali pun, tapi jika kita mementingkan kualiti walau tiada produk sekalipun orang tetap mengundang Farhan menjayakan sesuatu persembahan.

"Farhan tidak mahu terikut-ikut penyanyi lain, Farhan percaya pada diri sendiri. Jika kita ada kualiti, boleh menyanyi dengan baik, insya Allah permintaan tidak akan putus," jelasnya lagi.

Dia percaya memang ada sesetengah peminat tidak boleh menerima lagu nyanyiannya kerana kononnya lagu itu terlalu urban atau moden kontemporari, sehingga ada stesen radio juga tidak mahu putarkan.

"Tak apalah. Farhan tidak kisah kerana yakin lagu-lagu Farhan pasti ada tempat untuk golongan yang meminatinya. Cuma Farhan berharap agar masyarakat kita dididik secukupnya dengan ilmu muzik, supaya mereka tahu muzik mempunyai pelbagai genre," katanya yang pernah popular dengan single Kelmarin.

Katanya single Kelmarin adalah lagu terbaik yang pernah dihasilkan. Lagu berkenaan dihasilkan oleh Sham Kamikaze bagaimanapun idea asalnya daripada Shaarani.

Selain nyanyian menjadi sumber pendapatan utamanya, anak sulung dari empat beradik ini turut gigih menceburi bidang perniagaan. Sejak tiga tahun lalu, setiap kali menjelangnya Ramadan, dia akan sibuk menguruskan perniagaan kuih muih.

Daripada tidak melakukan sebarang aktiviti sepanjang bulan Ramadan, pemenang tempat ketiga AF4 ini berasakan lebih baik dia memikirkan cara untuk menambahkan pendapatannya. Pada waktu sama juga, dia dapat membela nasib golongan ibu tunggal.

"Kalau hendak buat semua kuih sendiri, memang Farhan tidak mampu. Kebanyakan kuih yang Farhan jual, Farhan ambil dari orang tetapi ada juga sikit-sikit yang Farhan buat sendiri.

"Kebanyakannya Farhan ambil dari golongan ibu tunggal. Mereka ini kadang kala tidak tahu di mana kuih itu boleh dipasarkan, jadi Farhan ambil dari mereka dan Farhan jual.

"Sekurang-kurangnya dapat juga Farhan bantu ringankan beban mereka. Alhamdulillah sejak tiga tahun terbabit dalam perniagaan ini, sambutan yang Farhan terima amat menggalakkan," katanya yang ditemui di Festival Fesyen Kuala Lumpur (FMKL) anjuran Unit Ratu/Wanita Berita Harian di Actors Studio, Lot 10 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Farhan adalah antara penyanyi yang diundang untuk membuat persembahan istimewa sempena pembukaan rasmi FMKL yang disempurnakan oleh pereka kasut terkemuka, Datuk Jimmy Choo dan turut disaksikan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Unit Ratu/Wanita, Salina Abdullah.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kepuasan Main Dalam Stor

Posted: 06 Jul 2011 03:26 PM PDT

Hip

Amir bersama Redza Minhat.

Amir bersama Redza Minhat.

Ruang sempit untuk persembahan tiga teater di DBP tidak dipedulikan penonton

JUDULNYA, Main Dalam Stor sudah cukup unik untuk menarik khalayak memenuhi ruang persembahan Stor Teater Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), minggu lalu.

Tanpa hebahan luar biasa, empat kisah pendek digabungkan dalam satu naskhah dan mampu mengumpul khalayak dari pelbagai latar belakang sepanjang tiga malam dipentaskan. Sememangnya karya yang dipersembahkan iaitu dua daripadanya arahan Redza Minhat iaitu Money dan Energia, manakala dua lagi daripada Alexis Wong berjudul Post-Modernism serta Faith karya Aminda Faradilla, sarat dengan rencah drama dan komedi yang membuatkan penonton terpaku di tempat duduk hingga tidak terasa masa sudah sejam berlalu.
Mengangkat kisah aneka ragam manusia sebagai subjek utama bagi teater yang dipersembahkan secara santai tetapi penuh makna tersirat, masing-masing bijak bermain dengan isu semasa, keadaan kehidupan dan hakikat duniawi tanpa perlu berlebih-lebih, cukup digambarkan menerusi dialog serta ekspresi bersahaja dengan disulami elemen jenaka.

Secara keseluruhan Main Dalam Stor dihasil dan dilakonkan bakat tempatan. Mereka berani mencuba dengan semua perkara termasuk subjek cinta tanpa syarat apabila isteri berubah fizikal menjadi lelaki selepas diculik makhluk asing hingga perdebatan mengenai kebenaran tanpa sebarang agenda terselindung, semuanya hanya teater semata-mata.

Lebih dengan masyarakat apabila menggunakan Manglish - campuran bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa perantara membuatkan teater ini nyata dihasilkan bukan sekadar penyendal atau mengisi portfolio Playground Productions yang juga penerbitnya, kerana ia benar-benar memberi kepuasan kepada penonton.
Biar ceritanya ringkas, tetap pengisiannya padat dengan tiket menonton berharga RM25 sebagai berpatutan. Paling mendapat perhatian serta sorakan sebaik tirai berlabuh tentu saja karektor anak muda yang mengharapkan keajaiban di hadapan mesti pengeluaran wang automatik (ATM) lakonan personaliti TV, Razif Hashim menerusi Money.

Gara-gara kurang RM3 untuk membolehkan mesin itu mengeluarkan semua baki dalam akaun selain cek yang seharusnya diterima masih belum dilunaskan, jejaka ini terpaksa menjadi penunggu mesin ATM kerana tiada langsung wang untuk mengisi perut, manakala bekalan air di rumah pula dipotong.

Money yang diadaptasi daripada koleksi cerita pendek Amir Muhammad sememangnya lumrah yang biasa dihadapi hampir setiap insan, malahan Razif mampu menzahirkan bagaimana perasaan, keadaan, emosi serta tekanan memantikan jumlah angka di skrin mesin ATM itu menerusi monolognya iaitu cakap seorang diri.

Secara sinis turut mendedahkan kudis masyarakat apabila sanggup menggadai maruah diri untuk menjalani kehidupan lebih sempurna bukan sekadar cukup makan, kerana setiap dorongan sama ada baik mahupun buruk bermula daripada kehendak hati.

Pujian wajar diberikan kepada Razif yang menonjol dengan watak itu. Tawa penonton bergema di ruang yang menjadi medan pencinta serta penggiat teater berhimpun. Biarpun tampak kurang selesa, ia sudah cukup melambangkan kecintaan untuk berkarya yang boleh dipertontonkan di mana-mana, tidak semestinya di panggung besar.

Walaupun pernah dipentaskan sebelum ini, Energia dan Post-Modernism serta Faith masih dapat memancing khalayak penggemar baru yang dahagakan pementasan langsung seumpama itu.

Sebagai pelengkap, mereka terbabit dalam pementasan Projek Disko Baldi yang sebelum ini dipersembahkan di PJ Laugh Fest 2011 diberi tanggungjawab menghangatkan dewan.

Barangkali tempoh tiga malam tidak cukup untuk membolehkan lebih ramai pencinta teater berkongsi kepuasan mengikut produk yang dirasakan cukup dekat di hati penonton. Bahkan pengalaman trio yang memayungi Playground Production iaitu Redza, Megat Sharizal dan tuan Faisal Azmy digunakan sepenuhnya bagi menghidupkan pementasan ini.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.