Utusan Online - Hiburan |
Posted: Mila mahu luaskan bisnesOleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
DIARI gadis kecil ini yang bernama Norsyarmilla Jirin atau Mila begitu padat sehinggakan penulis yang mengikutinya sepanjang hari berasa amat keletihan. Tidak padan dengan saiz badannya seberat 47 kilogram, anak gadis berusia 24 tahun kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu dilihat sangat berjiwa besar bagi memastikan empayar perniagaannya kukuh bertapak sebagai sumber kewangan keluarganya kelak. Berkesempatan meluangkan masa seharian bersama juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu, penulis teruja mendengar betapa tingginya azam Mila untuk meluaskan bisnes miliknya, LuvMILA Corporation Sdn. Bhd., ke mata dunia umumnya. Lazimnya, Mila gemar meluangkan masa paginya di gimnasium untuk menjaga stamina seperti mana yang dilakukan oleh kebanyakan penyanyi lain. Kemudian, menurut Mila, dia akan bersarapan di sebuah restoran makanan segera kegemarannya yang terletak tidak jauh dari gimnasium kunjungannya yang terletak di pusat membeli-belah Empire Subang, Selangor. "Saya sangat sukakan roti sandwich yang dijual di sini. Ia bersaiz besar, sangat lazat dan mengenyangkan. Kadang-kadang, saya tidak boleh menghabiskannya. "Jadi supaya tidak membazir, saya akan bungkus untuk dimakan pada tengah hari. Kiranya, ia macam satu pakej, sarapan dan makan tengah hari," ujar Mila berseloroh. Seperti kebiasaannya, jika tidak mempunyai sebarang undangan menyanyi, Mila memberitahu, dia akan berjumpa dengan pihak atau organisasi yang banyak memberi kerjasama terhadap kerjaya seninya. Baru-baru ini, Mila dipilih oleh Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) sebagai rakan kerjasama untuk menjayakan produk terbaru institusi kewangan tersebut iaitu Akaun Simpan Cheeky. "Saya berterima kasih kepada MBSB kerana menyokong dan memberi kerjasama demi keuntungan kedua-dua pihak. "Selain membantu mempromosikan karier saya, pembabitan saya sebagai artis juga membantu MBSB menjual produk mereka dengan mempengaruhi peminat saya," kata Mila kepada S3. Seharian bersama Mila, dia sempat menghadiri sesi taklimat bersama pegawai MBSB sempena kerjasama yang bakal dijayakan di ibu pejabat institusi berkenaan yang terletak di Jalan Dungun, Damansara, Selangor. Usai menyelesaikan komitmennya dengan MBSB, Mila terus menuju ke destinasi yang berikutnya iaitu School Fashion of Lilian, yang merupakan butik pilihan Mila untuk menempah baju-bajunya. "Di sini, tukang jahitnya amat memahami kehendak saya dan begitu toleransi dalam meletakkan harga yang berpatutan. "Jadi saya tidak perlu mengeluarkan kos yang banyak untuk membeli baju yang ingin digunakan bagi persembahan atau kegunaan sendiri. "Pada masa yang sama, sekiranya saya kesuntukan masa untuk mencari kain bagi menyiapkan baju saya, Lilian tidak begitu berkira untuk mencuri masanya membeli kain yang saya inginkan. "Sebab itulah saya begitu senang untuk bekerjasama dengan Lilian kerana dia begitu fleksibel," jelas Mila memuji tukang jahitnya itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Tun M inspirasi Abby FanaOleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
BERTUGAS di stesen radio nombor satu negara, Sinar FM, ia semestinya memberi tekanan yang tinggi kepada para penyampai untuk mengekalkan reputasi punca rezeki mereka itu. Bagi salah seorang deejay popular stesen radio milik AMP Radio Network itu, Abby Fana, 45 atau nama sebenarnya, Habsah Omar, dia mengakui, bukan mudah untuk menarik minat pendengar apatah lagi untuk menambahkan bilangan pendengar setia. Jadi, menurut pengacara senior program bual bicara Malaysia Hari Ini itu, para penyampai dikehendaki membentangkan pelbagai idea demi memastikan rating pendengar Sinar FM tidak jatuh malah terus meningkat. Justeru, setelah kepenatan berada di konti, Abby memberitahu, cara terbaik untuknya melepaskan tekanan adalah dengan membaca. "Bagi mendapatkan bahan bacaan, saya selalunya akan mengunjungi toko buku MPH Bookstore untuk membeli beberapa naskhah buku serta keperluan lain. "Pada usia sebegini, saya selalunya suka membaca buku yang mendekatkan diri dengan Allah. "Buku keagamaan adalah antara buku yang menjadi pilihan saya selain meminati buku-buku biografi tokoh-tokoh ternama dunia. "Selain menghilangkan tekanan, melalui pembacaan, saya juga berpeluang untuk mencambahkan idea bagi topik yang ingin dibicarakan dengan pendengar ketika bertugas," kata ibu kepada dua anak itu. Menceritakan sedikit mengenai pengalamannya membaca buku biografi bekas Perdana Menteri Malaysia berjudul A Doctor In The House - The Memoirs Of Tun Dr. Mahathir Mohamad(Tun M), Abby mengatakan, tokoh politik itu banyak memberikan inspirasi kepadanya. "Pengalaman yang diceritakan oleh beliau sepanjang kariernya sebagai ahli politik memberikan saya semangat untuk diinterpretasikan terhadap kerja saya. "Walaupun dicemuh dengan pelbagai tohmahan, beliau tetapkan pendirian untuk mengetepikan segala khabar angin demi menggalas tanggungjawabnya sebagai pemimpin negara," kata pengendali segmen Sembang Sinar yang ke udara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 10 pagi itu. Dalam pada itu, selain meluangkan masa sebulan sekali untuk ke toko buku bagi mencari buku bacaan kegemarannya, Abby juga akan membeli beberapa kelengkapan alat tulis yang akan digunakannya tidak kira sama ada di pejabat atau pun di rumah. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |