Adsense

Jumaat, 17 Jun 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Album dipasarkan musim panas

Posted: 16 Jun 2011 08:06 AM PDT

BIJAK...Yuna turut melakukan penyelidikan sebelum menghasilkan lagu.
BIJAK...Yuna turut melakukan penyelidikan sebelum menghasilkan lagu.

SEORANG penyanyi mesti bijak. Itulah yang sering ditegaskan Meastro industri muzik tempatan, Datuk Ramli MS, setiap kali dijemput menjadi pengkritik mahupun juri rancangan realiti TV pencarian bakat dalam bidang nyanyian.

Bagi Ramli, perkara itu akan memberi kelebihan untuk mereka mencipta nama dan pergi jauh. Contoh terbaik diberikan Ramli ada pada bintang muda bakal mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yunalis Zarai atau Yuna.

Ramli memuji penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Dan Sebenarnya itu mampu menghasilkan melodi yang mudah, tetapi dengan susunan instrumen sangat bagus.

Karya dihasilkan jauh ke depan, namun pada waktu sama, ia mudah diterima telinga dan sesuai pelbagai peringkat umur. Kebijaksanaan itu jarang ada pada seorang penyanyi.


Perkara itu turut diakui ramai penggiat industri muzik tempatan, media mahupun peminat. Buktinya, sebaik muncul dengan album pertama, Demo, pelbagai pengiktirafan diterima penyanyi yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah itu. Bagaimana seorang penyanyi dan pemuzik semuda Yuna boleh menghasilkan karya begitu baik?


Peluang bertemu Yuna sewaktu sesi fotografi khas sempena pelantikannya selaku duta Canon, membuka ruang untuk mendapatkan 'buah fikiran' bagaimana seorang penyanyi muda sepertinya memperoleh kebijaksanaan yang diperkatakan itu.

Kata Yuna, setiap karya yang dihasilkan itu harus datang dengan sendiri dan proses menghasilkan lagu tidak ubah seperti proses seorang ibu mengandung dan melahirkan anak.

"Idea itu ibarat anak dan sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk anak dikandung dan bakal dilahirkan. Lebih penting pada saya adalah keikhlasan dan jujur dengan hasil kerja dilakukan.

"Pada pandangan saya, perkara itu tidak lagi wujud apabila kebanyakan pengkarya lebih memikirkan soal keuntungan. Apabila pencipta lagu atau penyanyi terlalu memikirkan duit, keseronokan dalam berkarya tidak lagi ada. Malah ia akan membuatkan kita berasa tertekan apabila setiap kali menghasilkan lagu. Apabila perkara ini berlaku, apa yang kita dapat hanyalah mutu lagu yang lebih kurang saja," katanya.

Yuna kini berada di tanah air selama dua minggu sebelum kembali ke Amerika untuk menyambung kerja pembikinan album barunya. Katanya, keseronokan dalam berkarya dan percaya dengan apa yang dilakukan menjadi kunci utama yang membolehkan seorang pemuzik atau penyanyi itu melangkah jauh.

"Selebihnya tawakal, percaya setiap daripada usaha secara jujur juga ikhlas akan diberkati Allah dan didatangkan rezeki lebih besar.

"Selain itu, setiap kali menghasilkan lagu, proses diambil agak panjang bermula dengan melakukan penyelidikan dengan meneliti apa yang bagus dan digemari pendengar selain menilai tahap penerimaan peminat.

"Saya mendengar semua jenis muzik, bermula dengan rock kapak sehinggalah kepada balada nyanyian Datuk Siti Nurhaliza. Selain itu, saya juga mendengar muzik dari luar antaranya Iron Maiden, Nirvana dan Aerosmith.

"Saya juga dengar Britney Spears, Christina Aguilera dan Lady Gaga. Rujukan besar membolehkan saya cuba mencipta melodi yang dirasakan sesuai dengan cita rasa saya dan peminat tempatan," katanya.

Mengenai usahanya menawan pasaran Amerika, jelas Yuna yang bernaung di bawah syarikat rakaman bertapak di Los Angelas, Fader Label, kini albumnya sudah 80 peratus siap dan dijangka akan mula dipasarkan pada musim panas nanti.

"Tidak dinafikan pada waktu sama timbul juga kegusaran, kerana tidak tahu bagaimana penerimaannya nanti. Menerusi kontrak ditandatangani, album itu nanti hanya akan dipasarkan di AS.

"Setakat ini, syarikat rakaman sudah mula mempromosikan album bakal dipasarkan dengan mengadakan temu bual bersama media di sana. Setakat ini Alhamdulillah, perkembangannya positif. Mereka lebih menumpukan soal lagu dihasilkan berbanding latar peribadi," katanya.

Setakat ini jelas Yuna, pengurusan Fader Label gembira dengan perkembangannya. Apatah lagi dengan sikapnya yang bersahaja dalam menangani sebarang situasi.

"Hendak diikutkan, industri di Amerika dan Malaysia sama saja, cuba mereka besar lima kali ganda. Takut memanglah ada bagaimanapun saya lebih teruja kerana banyak pengalaman yang diperoleh.

"Apatah lagi menerusi album dihasilkan saya menjalinkan kerjasama dengan Farell. Peluang ini jarang diperoleh. Pada saya tidak salah kalau kita ambil peluang yang datang. Jika tidak berjaya, kita boleh menggunakan pengalaman berharga itu untuk melakukan perkara lain," katanya.

Sebaik menerima lamaran Fader Label, Yuna kini lebih banyak menghabiskan masanya di Los Angeles berbanding Malaysia. Perkara ini sudah tentu menimbulkan kerisauan di hati peminat, bimbang mereka akan dilupakan.

Bagaimanapun kata Yuna, perkara itu tidak mungkin berlaku apatah lagi dia sudah menganggap peminat seperti rakan baiknya.

"Setiap perkembangan saya akan ceritakan dalam laman sosial twitter mahupun blog yang saya wujudkan. Jadi, mereka tidak akan ketinggalan. Malah sewaktu pertama kali bertemu Farell, saya kongsi kegembiraan itu dengan mereka.

"Memang hendak diikutkan memang mencabar kerana harus menumpukan perhatian kerjaya di sini mahupun di Amerika namun saya sudah biasa. Waktu belajar dulu pun keadaan saya sama apabila menjalani rakaman album sulung dan promosi dalam waktu sama menghadapi peperiksaan akhir.

"Setiap kali pulang ke tanah air saya akan melakukan semua kerja yang harus dilaksanakan, terutama dalam memastikan peminat di sini tidak rasa terpinggir. Malah saya juga sudah menyiapkan single untuk mereka. Saya tidak akan berubah sama sekali. Saya dan peminat sebenarnya sama, mengembangkan kerjaya ke luar tidak bermakna saya akan berubah dan menjadi orang lain," katanya.

Kata Yuna, dia seperti juga gadis Melayu yang lain, mempunyai angan dan cita-cita jadi tidak salah jika dia berusaha mencapai apa yang diimpikan itu. Baginya dia mahu membuktikan kepada peminat impian itu boleh digapai andai disusuli dengan usaha dan kerja keras. Tiada perkara yang mustahil jika Allah mengizinkan apa yang dilakukan.

Yuna kini dilantik menjadi duta jenama kamera terkenal Canon dan kontrak ditandatangani selama setahun. Gadis yang terkenal dengan imej turban ini sangat gembira dengan perkembangan itu apatah lagi mengambil gambar sudah menjadi minatnya sejak dulu.

Selaku duta, Yuna turut diberikan kamera khas iaitu Canon Mark 2 dan nyata ia memudahkan Yuna berinteraksi dengan peminat kerana boleh meletakkan setiap gambar yang diambil dalam blog. Menerusinya, secara tidak langsung peminat akan tahu perkembangan Yuna.

"Saya memang menggunakan Canon sejak zaman belajar di kolej lagi. Segalanya bermula apabila mereka menaja rancangan Yuna Inspired diterbitkan Hitz.TV. Mereka suka dengan perkembangan itu dan melamar saya menjadi duta mereka.

"Saya pernah menggunakan Canon 5D Mark dan gambar diambil memang mengagumkan. Bukan itu saja, saya pernah menghasilkan klip video sendiri menggunakan kamera sama. Sewaktu menggunakan Canon 5D Mark, banyak perkara mengenai proses mengambil gambar yang saya belajar," katanya.

PROFIL

Nama sebenar: Yunalis Zarai
Komersial: Yuna
Usia: 25 tahun
Tarikh lahir: 14 November 1986
Tempat lahir: Alor Setar, Kedah
Hobi: Menonton filem
Idola: Fiona Apple (penyanyi luar negara yang pernah dikenali sekitar 1990).
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Album: Demo dan Yuna EP
Pencapaian: Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17), Lagu Terbaik menerusi Dan Sebenarnya (AIM17), Lagu Pop Terbaik menerusi Dan Sebenarnya (AIM17), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi Deeper Conversation (AIM17), Naib Juara Keseluruhan Anugerah Juara Lagu ke-24 menerusi Dan Sebenarnya, Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 2009), Penyanyi Wanita Popular (ABPBH 2010)

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Boleh raih RM11 juta

Posted: 16 Jun 2011 07:51 AM PDT

JIKA bapanya, Datuk Yusof Haslam pernah mendapat gelaran 'Six Million Dollar Man' kerana kejayaan filem Sembilu lakonan Erra Fazira, Awie dan Ziana Zain pada era 90-an, apakah pula agaknya gelaran yang sesuai untuk pengarah muda berbakat, Syamsul Yusof?

Ini kerana dalam tempoh tujuh hari tayangan untuk filem baru arahannya, KL Gangster, berjaya melakar sejarah filem Melayu dengan jumlah kutipan RM8 juta. Filem kelima arahan Syamsul yang mula ditayangkan di pawagam sejak 9 Jun lalu mencatat kejayaan awal dengan kutipan RM1.5 juta pada hari pertama tayangan.

Malah diramalkan filem dijayakan Syamsul, Aaron Aziz dan Ady Putra ini akan mencatat sejarah baru bagi kutipan filem Melayu dengan angka RM10 juta. Sebelum ini, kutipan paling tinggi dipegang Ngangkung dengan jumlah RM8.3 juta manakala filem Syamsul sebelum ini, Khurafat mencecah RM8.1 juta begitu juga Hantu Kak Limah Balik Rumah dengan kutipan lebih RM8 juta.

Kejayaan ini ternyata membuatkan Yusof sangat bersyukur dan gembira. Ketika dihubungi Harian Metro semalam, Yusof selaku penerbit filem itu di bawah produksi miliknya, Skop Production Sdn Bhd memaklumkan jumlah kutipan diperoleh itu turut meliputi tayangan di pawagam bebas sejak 9 Jun lalu.


Malah, dengan kutipan konsisten filem itu RM1.5 juta sehari di hampir 90 panggung membuatkan pihak panggung yakin kutipannya mampu mencecah RM11 juta sehingga Ahad ini.


Kata Yusof, hingga kini sambutannya masih hangat walaupun dengan kehadiran filem baru, 3,2,1 Cinta bermula Khamis (semalam).

"Saya sangat bersyukur dengan kejayaan KL Gangster. Lebih membanggakan apabila pihak pawagam sendiri meramalkan kutipannya sehingga Ahad ini, Insya-Allah mampu mencatat hingga RM11 juta. Apapun, semuanya bergantung pada sambutan penonton.

"Lebih membanggakan kerana apa yang saya tahu filem ini ditonton pelbagai kaum. Bukan hanya penonton Melayu, tetapi Cina dan India turut ke pawagam menonton. Bahkan, kata pihak pawagam ada juga yang datang menonton berulang. Oleh itu, selama empat hari berturut-turut, mereka ramalkan mampu mencatat RM1.5 juta setiap hari.

"Saya bersyukur dengan kejayaan diraih Syamsul. Sebagai bapa, saya memang yakin dengan kemampuannya dalam pengarahan filem berikutan kejayaan beberapa filem pernah dihasilkannya sebelum ini. Karya Syamsul sentiasa menunjukkan prestasi," katanya.

Menyentuh majlis kesyukuran yang akan dianjurkan sempena kejayaan filem itu di Restoran Haslam miliknya, malam ini, Yusof berkata beliau turut mengundang Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) untuk berbincang.

Katanya, kontroversi yang berlaku baru-baru ini tercetus atas dasar salah faham. Jadi, katanya sebagai sesama Islam beliau yakin perkara itu mampu diselesaikan dengan cara baik berdasarkan perbincangan. Katanya, ia tidak perlulah diperbesarkan.

"Saya sebenarnya ramai juga rakan dalam Pekida. Malah, mereka pun memaklumkan perkara itu tidak membawa sebarang masalah. Bagaimanapun, saya sedar perlu juga ambil kira pandangan orang lain dan salah faham yang berlaku ini harus diselesaikan.

"Syukur apabila saya mengundang mereka untuk hadir ke majlis ini, ia diterima dengan baik. Oleh itu, saya mengharapkan kontroversi yang tercetus secara kebetulan ini dapat diselesaikan dalam keadaan baik, aman dan tenteram," katanya.

Pada 11 Jun lalu, Pekida Wilayah Persekutuan memberi tempoh selama seminggu kepada penerbit dan pengarah filem KL Gangster serta Kongsi (Metrowealth (MIG Pictures) untuk tampil meminta maaf secara umum kerana filem berkenaan dipercayai mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.