Adsense

Jumaat, 17 Jun 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Siti Nurhaliza Bersama Lima Selebriti Serah Borang Askar Wataniah

Posted: 16 Jun 2011 03:42 AM PDT


KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin merupakan antara artis yang menyerahkan borang penyertaan dan menerima kelengkapan pakaian seragam sebagai simbolik beliau menyertai Rejimen Askar Wataniah.

Selebriti lain yang turut menyertai pasukan tersebut adalah pelakon Shaheizy Sam, Intan Ladyana, penerbit filem David Teo, penyanyi Ana Raffali dan penyanyi Aizat.

Penyerahan uniform itu dilakukan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kementerian Pertahanan, di sini, Khamis.

Menurut Siti, program ini bukan sahaja membantu menguatkan mental dan fizikalnya tetapi mampu meningkatkan jati dirinya sebagai seorang sukarelawan.

"Saya pernah menyertai latihan ketenteraan yang lasak sebelum ini untuk sebuah program televisyen tetapi menyertai askar wataniah lebih berbeza dan memerlukan senaman yang lebih," katanya pada majlis tersebut.


Zahid Hamidi bersalam dengan Siti Nurhaliza sambil diperhatikan rakan-rakan artis iaitu (dari kanan) Intan Ladyana, Ana Raffali dan Shaheizy Sam.
Dia bersedia untuk melakukan latihan pada bila-bila masa bergantung kepada kesesuaian jadual kariernya.

Malah dia lebih seronok jika ramai peminatnya turut serta menyertai askar wataniah.

Sementara Ana Raffali berkata angan-angannya menjadi kenyataan apabila ditawarkan melibatkan diri dalam rejimen itu.

"Saya pernah berangan-angan untuk menjadi askar tetapi angan itu tidak dapat diteruskan kerana kekangan masa dan tidak tahu prosedurnya.

"Setelah mendapat tawaran daripada Kementerian Pertahanan, saya terus menerimanya," katanya yang pernah memegang jawatan koperal sewaktu menyertai kadet remaja sekolah.

Tanpa berselindung, Ana akui dia pernah mengidap asma. Bagaimanapun, padanya masalah kesihatan tidak akan menghalang dirinya untuk menyumbang sesuatu kepada negara.

Aizat pula begitu teruja untuk menyertai pelbagai jenis latihan seperti kawad kaki, menembak, mengendalikan senjata seperti bom dan M-16 setelah mendengar cerita daripada kawannya yang merupakan seorang anggota tentera di Singapura.

Sementara Shaheizy Sam menyertai askar wataniah demi meneruskan cita-cita arwah ayahnya dan mempelajari lebih banyak ilmu ketenteraan yang menyeronokkan.

Selain selebriti berkenaan, anak sulung Zahid Hamidi iaitu Nurul Hidayah,34, yang juga pengacara rancangan Inspirasi Ramadan di RTM turut menyertai pasukan itu.

Saida Tolak Pelawaan Suami Tunaikan Umrah

Posted: 16 Jun 2011 03:41 AM PDT


KUALA LUMPUR: Penyanyi Saida menolak pelawaan suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri untuk melakukan umrah bersama selain masih bertekad dengan keputusannya untuk bercerai.

"Saya minta maaf, bukan mahu melengahkan. Saya tidak dapat menerima pelawaan suami untuk mengerjakan umrah bersama," katanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu.

Dia juga memberitahu bahawa masih berniat untuk meneruskan permohonan perceraian secara baik yang difailkannya dengan menamakan Mohd Ghazali sebagai defendan.

Permohonan itu difailkan pada 6 Oktober 2010.

Peguam syarie Ahmad Nazib Johari juga memaklumkan mahkamah bahawa hakam yang dilantik untuk mencari jalan penyelesaian dalam masalah rumah tangga penyanyi tersebut menemui jalan buntu.

Prosiding pada Rabu, berjalan tanpa kehadiran Mohd Ghazali seorang ahli perniagaan yang pernah bergelar jurutera kaji bumi yang dikatakan masih bersedih dengan kematian ibunya pada 4 Jun lalu.

Perkara itu dibawa ke pengetahuan mahkamah oleh peguam syarienya, Amli Embong.

"Saya masih menunggu surat kematian daripada anak guam. Saya ada menasihatkan Mohd Ghazali untuk hadir, namun dia masih dalam keadaan tidak stabil berikutan fikiran terganggu," katanya.

Amli seterusnya memberitahu yang dia mendapat arahan daripada Mohd Ghazali, 40, agar diberi peluang untuk mengerjakan umrah bersama Saida, 35.

"Sebelum ini anak guam saya cuba dapatkan persetujuan plaintif, bagaimanapun gagal selepas dimaklumkan Saida terbabit dengan aktiviti teater yang berakhir pada 6 Jun lalu.

"Mengerjakan umrah ini adalah cubaan anak guam untuk menyelamatkan rumah tangga mereka. Defendan masih mahu teruskan hasrat itu. Oleh itu mohon tetapkan tarikh sebutan lain," katanya.

Selepas mendengar permohonan tersebut, Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi memerintahkan kedua-dua pihak bertemu dengan hakam yang dilantik oleh mahkamah dalam tempoh dua minggu bermula Rabu.

Beliau juga menetapkan laporan hakam tersebut dikemukakan di mahkamah pada 20 Julai depan.

Mohd Suhaily juga menggalakkan anak-anak pasangan tersebut untuk hadir ke mahkamah bagi menyaksikan apa yang sedang berlaku kepada ibu bapa mereka.

Pada prosiding itu, Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza hadir dengan ditemani oleh kakak iparnya, Rozie Abdul Razak.

Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida Tarudin, 35, dan Mohd Ghazali, 41, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, di Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.

Notis Kenaikan Bayaran Perkhidmatan Astro Dianggap Tidak Sah - Rais

Posted: 16 Jun 2011 03:40 AM PDT


PETALING JAYA: Notis mengenai kenaikan bayaran perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Astro kepada pelanggannya dianggap tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terlebih dahulu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

"Bayaran perkhidmatan asas yang dikenakan oleh Astro kepada pelanggan sekarang tidak akan diubah, apa-apa pertambahan Astro perlu berunding dahulu dengan SKMM sebelum memutuskan untuk menaikkan caj perkhidmatan mereka," katanya.

Astro perlu mendapat kelulusan dari SKMM sebelum menaikkan harga perkhidmatan saluran televisyen berbayar mereka, kata Rais.

Kementerian akan berbincang dengan Astro mengenai isu tersebut, kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Malam Penghargaan Industri Filem 2011 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini malam ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Finas Mohd Mahyidin Mustakim.

Astro baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.

Sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan, manakala yang lain pula akan menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.

Sementara itu, mengenai perkembangan industri filem negara, beliau berkata KPKK tahun ini menerusi Finas telah memperuntukkan dana kira-kira RM15 juta untuk menjana filem kreatif seperti animasi dan sebagainya.

Selain itu, beliau akan mempertimbangkan untuk meminda Sekyen 6, Akta Finas.Menurut beliau, akta sedia ada menghalang Finas untuk maju ke depan dalam pembikinan filem.

Beliau, bagaimanapun, tidak mengulas lanjut.- BERNAM

Mahu Berdamai, Yusof Haslam Jumpa Pekida Jumaat Ini

Posted: 16 Jun 2011 03:39 AM PDT


PETALING JAYA: Pihak Skop Production akhirnya mengambil jalan tengah apabila mahu berdamai dengan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) selepas filem KL Gangster terbitan syarikat itu dikatakan mempersendakan pertubuhan berkenaan.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Pekida Jumaat ini di Restoran Haslam, Jalan Pahang, dekat sini untuk mencari jalan perdamaian agar masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.

"Pertemuan ini dibuat atas tujuan untuk berdamai antara pihak kami dan Pekida. Kalau boleh kami mahu menjernihkan konflik yang telah berlaku itu.

"Saya percaya, apabila kita dapat berinteraksi, mereka akan faham situasi kami sebenarnya iaitu penghasilan filem KL Gangster tidak menyentuh atau menghina mana-mana pihak dengan sengaja," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Tambah Yusof, dengan cara bermusyawarah, dia berharap tiada ketegangan atau salah faham yang akan berlaku di antara Skop dan Pekida pada masa akan datang nanti.


Salah satu babak dalam KL Gangster.
Pada 11 Jun lalu, Pekida Wilayah Persekutuan memberi tempoh selama seminggu kepada penerbit dan pengarah filem KL Gangster serta Kongsi (Metrowealth) agar meminta maaf secara umum kerana filem berkenaan dipercayai mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan tersebut .

Dialog dalam kedua-dua filem berkenaan telah menggunakan kata kunci pertubuhan itu yang selama ini dianggap rahsia selain memperlihatkan Pekida seolah-olah seperti kumpulan Gangster orang Melayu.

Bagaimanapun, kata Yusof, anaknya yang juga merupakan pengarah KL Gangster bukan seorang ahli Pekida seperti yang didakwa oleh pertubuhan itu.

"Saya tak tahu macam mana timbulnya cerita yang Syamsul menyertai Pekida. Tetapi saya tahu dia mempunyai ramai kawan-kawan daripada pertubuhan itu.

"Lebih mengejutkan, apabila Syamsul dikatakan telah meminta maaf secara peribadi kepada pihak tersebut kerana hal itu belum pernah berlaku lagi," tegasnya.

Sementara itu, selain pertemuan bersama Pekida, pihak Skop turut mengadakan majlis kesyukuran bersempena kejayaan filem KL Gangster yang berjaya meraih kutipan memberangsangkan selepas seminggu ditayangkan bermula 9 Jun lalu.

"Alhamdulillah, saya yakin dalam seminggu ini, kami mampu mencapai kutipan sebanyak RM8 juta dan ia merupakan sebuah fenomena baru dalam industri perfileman tempatan dari segi kutipan serta kualiti filem tersebut.

"Kebetulan pula kami akan membuat pertemuan dengan Pekida, eloklah jika satu majlis kesyukuran turut diadakan atas kejayaan hasil buah tangan anak saya ini," tuturnya.

Faizal Tahir Simpan Baju Superman Tiga Almari

Posted: 16 Jun 2011 03:38 AM PDT


KUALA LUMPUR: Penyanyi Faizal Tahir yang sinonim dengan watak Superman menyimpan baju T lambang superhero tersebut sebanyak tiga buah almari.

Koleksi baju-bajunya itu terdiri daripada baju-T yang dibelinya sendiri atau yang diterima sepanjang dia dilantik menjadi duta DC Comics Super Heroes, Malaysia.

"Ada yang saya sangkut dan lipat. Tapi sejak akhir-akhir ini nampaknya kena lipat sebab jumlahnya semakin banyak dan almari pun sudah penuh.

"Selain baju, saya juga ada koleksi kasut dan barang-barang lain seperti patung dan aksesori. Semuanya menjadi koleksi peribadi kesayangan saya," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Butik DC Comics Super Heroes yang terbesar di Asia, di pusat beli-belah Pavilion di sini, baru-baru ini.

Menurut Faizal yang popular dengan lagu Mahakarya Cinta, dia meminati watak Superman kerana adi wira itu banyak mempengaruhi zaman kanak-kanak dan zaman remajanya.

Menerusi album terbarunya Adrenalin, dia juga mencipta sebuah lagu berkaitan watak seorang wira berjudul Superhero.

"Hampir setiap orang membesar dengan superhero tertentu dan saya membesar dengan watak Superman.

"Saya juga minat watak-watak superhero lain tapi Superman nampak lebih dominan dan pengaruhnya ada di situ," katanya yang turut meminati watak The Joker dalam filem Batman.

Tahun ini merupakan tahun keempat Faizal bergelar duta jenama yang memasarkan produk-produk superhero terkenal dunia itu.

Selain Faizal, penyanyi Desiree Tan turut dilantik bagi memperkenalkan jenama ini di Malaysia.

Sepanjang tempoh tersebut, Faizal melihat satu evolusi telah tercetus apabila lebih banyak produk diperkenalkan mengikut peredaran masa.

"Dulu produk-produk superhero lebih kepada pakaian sahaja tetapi sekarang produknya sudah dipelbagaikan.

"Apabila saya meninjau butiknya, saya teruja kerana jenama ini bukan hanya keluarkan pakaian, tetapi juga ada 'thumb-drive', 'casing' telefon bimbit dan iPad serta banyak lagi," katanya.

Walaupun watak-watak popular superhero dunia mempunyai penjenamaan kukuh dan menjadi kegilaan para peminatnya di seluruh dunia, namun aspek kualiti tetap diutamakan pengeluar produk.

"Saya tak pernah ada masalah dengan pakaian atau produk yang dikeluarkan. Tentang harga, saya rasa berpatutan dan ia bergantung kepada material atau jenis kain yang digunakan," katanya.

Pengaruh watak Superman dalam hidup penyanyi ini cukup besar apabila Faizal pernah membuka baju dalam satu acara anjuran 8TV semata-mata mahu menunjukkan huruf "S" yang telah dicat pada badannya sehingga tercetus kontroversi tidak lama dulu.v

Farah Fauzana Teruja Berlakon 'Mak Dara Nyonya'

Posted: 16 Jun 2011 03:37 AM PDT


KUALA LUMPUR: Penyampai radio dan pengacara Farah Fauzana mengaku teruja apabila ditawarkan untuk berlakon teater Mak Dara Nyonya yang bakal dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), pada 6 hingga 12 Julai depan.

Kata Farah, dia sudah lama menunggu tawaran untuk berlakon di pentas teater dan tawaran tersebut datang tepat pada masanya.

"Masa mereka tawarkan saya untuk berlakon teater ini, saya terus terima tanpa fikir panjang dan ketika itu saya berada di luar negara

"Saya memang ingin mencuba berlakon teater sejak dari dulu lagi, ketika di universiti saya ada ambil subjek teater.

"Bukan tiada tawaran tetapi masa tidak mengizinkan dan ketika itu juga banyak komitmen lain seperti menjadi pengacara Melodi," ujarnya ketika ditemui pada sidang media Majlis Teater Mak Dara Nyonya di sini, Rabu.

Selain Farah, beberapa pelakon popular yang menjayakan teater ini ialah Misha Omar, Sarimah Ibrahim, Norzizi Zulkifli dan Sherry Syed Abdullah manakala Juhara Ayob mengalas tanggungjawab melakonkan watak Mak Dara.

Tambahnya, biarpun pernah mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan, dia menganggap teater mempunyai kelainan dan cabaran tersendiri.

"Teater berbeza dengan berlakon, untuk teater kita perlu beri fokus 100 peratus. Kali ini saya nampak cabaran utama ialah untuk bercakap dalam bahasa Indonesia dan memainkan watak gedik.

"Saya sendiri masih tidak yakin sebenarnya, ketika hari pertama latihan saya lihat wajah Juhara Ayob saja saya sudah rasa tertekan kerana kesemua pelakon mempunyai pengalaman yang banyak dalam bidang teater kecuali saya," ujarnya yang memegang watak isteri kepada Tuan.

Bagaimanapun, jelas Farah dia tidak akan mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membawakan watak tersebut dengan baik.

Dalam pada itu, penerbit teater, Siti Rohayah Attan memberitahu pemilihan Farah sebagai salah seorang pelakon teater ini adalah pilihan yang tepat.

"Biarpun dia tidak ada pengalaman tapi saya nampak dia boleh berlakon, saya hanya cuba nasib untuk mengajak dia berlakon bersama kami dan tidak sangka dia menerima tawaran itu.

"Saya yakin dia dapat membawakan watak tersebut dengan baik, setakat ini saya nampak komitmen dia sebagai pendatang baru dan banyak bertanya kepada pelakon-pelakon lain," katanya.

Teater di bawah kerjasama Matic dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu mengisahkan tentang perjalanan dan kesengsaraan hidup pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah serta kisah seorang nyonya dari Indonesia.

Menurut Siti Rohayah, bajet teater yang ditaja oleh Jamu Mak Dara Sdn Bhd itu merupakan yang termurah berbanding penerbitan teater-teater lain apabila ia hanya mengeluarkan kos sebanyak RM250,000 sahaja.

Tiket untuk menyaksikan Teater Mak Dara Nyonya ini boleh didapati dengan harga RM32, RM52 dan RM82. Untuk keterangan lanjut sila hubungi 03-41478600, 012-2977220 dan 013-6293825.

Prosiding Perceraian Shaharuddin Tamby Tertutup

Posted: 16 Jun 2011 03:36 AM PDT

KUALA LUMPUR: Prosiding perceraian pelakon, Shaharuddin Tamby (gambar) di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Rabu, berjalan secara tertutup.

Pada asalnya kes tersebut berjalan di mahkamah terbuka pada 25 April lalu dengan keterangan Shaharuddin yang tidak bersetuju dengan permohonan perceraian yang difailkan oleh isterinya, Nor'aini Muhammad.

Pada Rabu, Nor'aini yang kelihatan tidak selesa dengan kehadiran pihak media pada awalnya meminta mereka untuk keluar daripada galeri awam mahkamah.

Dia yang memakai baju kurung dan bertudung ungu juga menunjukkan laporan polis yang dibuatnya pada pukul 10.15 pagi, 4 Mei lalu di Balai Polis Taman Melawati berkenaan prosiding terdahulu.

Dakwanya dalam laporan tersebut, terdapat fakta yang dikeluarkan oleh media daripada keterangan Shaharuddin tidak tepat dan memalukan dirinya.

Nor'aini juga menunjukkan beberapa laporan polis yang dibawanya.

Selepas permintaannya agar wartawan meninggalkan mahkamah tidak dilayan, Nor'aini membuat permohonan kepada Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin agar kesnya boleh didengar secara tertutup. Shaiful Azli membenarkan permohonan itu dan mengarahkan semua orang awam yang berada di mahkamah untuk keluar pada pukul 11.30 pagi.

Prosiding itu berjalan selama sejam dan Shaharuddin yang memakai baju kemeja kelabu berjalur putih dan berseluar jean dilihat berjalan meninggalkan mahkamah secara bersendirian.

Pelakon yang membuat penampilan khas dalam filem Apa Kata Hati itu juga memohon kepada wartawan untuk tidak mengganggu emosi isterinya dan enggan mengulas lanjut mengenai kes itu.

Dalam kes ini, Nor'aini, 51, memfailkan permohonan untuk bercerai tetapi tidak dipersetujui oleh Shaharuddin, 54, yang mendakwa masih sayangkan isteri yang menjadi peneman hidupnya sejak 33 tahun lalu.

Nor'aini selaku plaintif mendakwa permohonan itu difailkan ekoran tiada persefahaman dan mendakwa dirinya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada haharuddin atau nama sebenarnya Shaharuddin Tambi.

mStar Online difahamkan pada prosiding tertutup itu, kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk tidak berpisah apabila Nor'aini menarik balik permohonan cerainya.

Pasangan tersebut berkahwin pada 25 November 1978 di Kuala Lumpur dan dikurniakan tiga anak, termasuk dua yang telah mendirikan rumah tangga.

Radhi (OAG) Buat Persembahan Selepas Masuk Pengasih

Posted: 16 Jun 2011 03:36 AM PDT


KUALA LUMPUR: Penyanyi Muhammad Radhi Razali, 33, (Radhi (OAG)) kembali untuk membuat persembahan pentas sejak menjalani pemulihan dadah lima bulan lalu.

Kali terakhir dia mengadakan persembahan pada Disember tahun lalu sempena Konsert Rock The World.

Pada 25 Jun ini, Radhi akan membuat persembahan di Downtown@Bukit Dukung, R&R Lebuhraya Cheras-Kajang dengan kumpulan barunya, Outlet. Ia akan diadakan pada pukul 8.30 malam.

Outlet merupakan kumpulan muzik yang terdiri daripada ahli Pengasih termasuklah dua rakannya iaitu Hafizi Harun (dram) dan Muhammad Kamil Muhammad Muazam (gitaris).

"Ini merupakan persembahan saya yang pertama sejak menjalani pemulihan di sini. Saya akan membawakan konsep berlainan dengan mengubah rentak lagu dan cara nyanyian.

"Saya akan menyanyikan lagu lama daripada kumpulan OAG dan lagu baru yang dicipta di sini dua minggu lalu," katanya dalam satu sidang media di Rumah Pengasih, di sini, Rabu.

Katanya, walaupun telah menubuhkan Outlet tetapi kumpulan OAG masih lagi wujud.

Sementara itu menurut Radhi, selain berhenti daripada mengambil dadah dia turut mampu berhenti merokok sejak tiga minggu lalu. Daripada situ, tercetusnya idea untuk dia menghasilkan lagu Aku Perokok Bodoh.

Lagu kedua yang dihasilkan adalah lagu Tears Spark Street yang mengisahkan tentang dunia luarnya dalam penagihan.

"Selepas ini saya akan menyanyikan lagu bermesej positif dan saya berharap peminat dan keluarga dapat memberikan sokongan terhadap kami," ujarnya.

Ali Hasilkan Single Selepas Serik Jadi Artis Berkumpulan

Posted: 16 Jun 2011 03:34 AM PDT

PETALING JAYA: Selepas keluar daripada kumpulan M'Pire tiga tahun lepas, bekas vokalis itu, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail,42, membuat kemunculan semula dengan sebuah single terbaru, iaitu Sepi Rindu.

Ali yang juga bekas kumpulan Terra Rossa dan Exist itu berkata, lagu yang dicipta oleh Yuzair dan ditulis oleh Alzair itu sebagai langkah pertamanya untuk bergelar seorang penyanyi solo.

"Sudah lebih daripada 20 tahun saya terlibat dalam industri muzik tempatan dan pengalaman membuatkan saya agak serik dengan karenah orang apabila menjadi penyanyi berkumpulan.

"Justeru itu, Sepi Rindu adalah percubaan pertama saya dalam pasaran muzik tempatan dan jika ia mendapat sambutan, saya akan teruskan dengan penghasilan lagu-lagu baru pula," katanya.

Bagaimanapun, dengan kemunculan penyanyi-penyanyi baru yang semakin ramai, Ali tidak mengharapkan populariti seperti yang pernah diraihnya ketika bersama dengan Terra Rossa dan Exist sebelum ini.


Ali
Cuma Ali mahu peminat-peminatnya tahu bahawa dia masih lagi wujud dalam dunia muzik dan akan terus menyanyi sehingga akhir hayat.

"Memanglah, tak mungkin bagi saya boleh rasa populariti seperti zaman kegemilangan saya bersama teman-teman kumpulan dahulu. Lagipun saya dah tua.

"Bagaimanapun, kehadiran penyanyi-penyanyi muda sekarang ini membuatkan saya juga mahu belajar daripada mereka yang pasti mempunyai idea-idea segar," tuturnya yang kekal dengan imej muzik rock balada.

Dalam pada itu, Ali yang kini bernaung di bawah pengurusan Life Records itu turut bercadang untuk berduet menerusi sebuah lagu baru dengan mana-mana penyanyi yang sesuai.