Adsense

Jumaat, 17 Jun 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jadilah apa pun

Posted: 16 Jun 2011 04:12 PM PDT

Hip

Penghijrahan bukan alasan untuk tinggalkan kerjaya dalam bidang seni

JANGAN terkejut jika anda terserempak dengan anggota Ruffedge, VE dan Innuendo yang tampil berketayap dan berjubah serba putih kerana Pot, Azan, Zaff, Ameer dan Lah kini memang sudah melangkah ke satu fasa baru dalam hidup mereka.

Tidak ketinggalan dua lagi teman mereka yang tidak hadir pada malam itu iaitu Mode dan Taj. Pada mulanya penulis menyangka mereka bergaya begitu kerana memenuhi undangan stesen televisyen TV AlHijrah. Membuak-buak rasa ingin tahu adakah mereka benar-benar sudah berhijrah dan tidak mahu lagi bergaya seperti dulu.

Bagaimanapun jelas Azan mewakili teman-temannya yang lain, mereka masih seperti dulu. Cuma mereka akan bergaya sebegitu jika bergerak dalam kumpulan yang diberi nama Al Mawlid.

Dari jauh anak muda ini bersama rakan-rakannya melontarkan senyuman ikhlas. Tanpa banyak bicara masing-masing memperkenalkan diri kerana mungkin menyedari penampilan mereka kali ini dilihat agak ketara sehingga menimbulkan kekeliruan.

Al Mawlid disifatkan mereka sebagai satu pertemuan yang cukup hebat. Menariknya, perubahan ke semua mereka berlaku tanpa dirancang. Pertemuan di majlis ilmu secara tidak sengaja mencetuskan penyatuan mereka dalam sebuah kumpulan yang digerakkan dengan nama Al Mawlid.
Mengakui semakin tenang dengan jalan yang dipilih sekarang, namun perjuangan mereka pada muzik tidak pernah padam. Pesanan guru yang tidak menghalang mereka daripada meneruskan kerjaya dalam bidang muzik sedikit sebanyak melegakan lima sahabat ini.

"Guru kami berpesan, jadilah apa pun, asalkan kami menjadi umat yang mencintai Rasulullah. Sebenarnya sudah lama kami menantikan cahaya hidayah seperti ini yang mana, kami dipertemukan semula dalam majlis ilmu. Sebagai manusia, kami hanya menanti tiupan hidayah. Tetapi bila masa dan ketikanya hidayah akan tiba bukanlah kuasa kami, kerana Allah lebih tahu segala-galanya," katanya.

Daripada perbualan dengan Azan ini, ternyata dia tidak sedikit pun mengungkit perjalanan hidupnya sebagai anak seni dan menganggap semuanya itu sebagai satu pengalaman hidup, bukan sahaja pada dirinya tetapi juga pada setiap manusia.

"Kami sedar, kami banyak dosa malah pernah hanyut satu ketika dulu. Semua orang tidak kiralah dalam apa industri sekalipun pasti pernah hanyut, bukan industri hiburan saja. Setiap kesalahan kita, Allah sudah susun tetapi pesan Rasulullah, kesalahan tidak boleh ada kali kedua.

"Perubahan ini sebenarnya kami anggap sebagai ujian. Adakah kami mampu untuk memikulnya dan mampukah kami terus kekal begini? Bagi memastikan pendirian kami kekal, banyak perkara yang kami lakukan bersama.

"Contohnya menghadiri kelas ilmu, menganjurkan majlis bersama-sama, buat lagu juga kami lakukan bersama," kata Azan mewakili sahabatnya yang lain.

Jangan takut imej kami

Azan juga berkata, biarpun semakin tenang dengan Al Mawlid, hubungan dengan Ruffedge masih baik. Malah dia tidak pernah terfikir untuk membubarkan kumpulannya itu kerana tiada sebab untuk perjuangan kumpulan itu dihentikan.

Disebabkan ketiga-tiga kumpulan asal mereka membawakan muzik bergenre R&B, genre yang dibawakan Al Mawlid juga banyak dipengaruhi genre itu. Bagi mereka, apabila sudah berubah, tidak bermakna muzik mereka juga perlu berubah.

"Kami masih selesa dengan genre R&B dan bagi kami tidak salah jika kekal dengan genre itu walaupun kami memilih untuk berubah. Kami tidak mahu apabila sudah berhijrah, lagu-lagu kami turut mengalami perubahan.

"Kalau boleh kami mahu terus kekal dengan genre yang dulu kerana kami mahu menarik peminat Ruffedge, VE dan Innuendo untuk mendengar lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah dan Rasulullah yang disampaikan dengan konsep R&B.

"Al Mawlid bukanlah kumpulan nasyid. Kami sebenarnya adalah sebuah komuniti. Kami tidak hanya menyanyi saja tetapi kami juga mempunyai program majlis ilmu yang diadakan setiap Jumaat di Surau Al Hidayah, AU3 Keramat. Manakala sebulan sekali, pada Jumaat pertama setiap bulan pula, kami akan menganjurkan majlis Maulud Nabi.

"Kami anggap usaha kami kecil ini untuk menghidupkan kembali konsep selawat dengan gaya R&B dan acapela. Kami cuba melaksanakan apa yang termampu secara perlahan-lahan. Tetapi jangan pula takut melihat imej kami. Imej ini sebenarnya tidak ada apa-apa, sebenarnya kami bergaya begini untuk mengenali dengan lebih dekat kekasih Allah," kata Al Mawlid.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Filem mampu pungut RM100 juta tahun ini

Posted: 16 Jun 2011 03:52 PM PDT

Hip

Rais bersama isteri, Datin Seri Utama Maznah Rais serta ahmad Nawab pada pelancaran Buku Legasi Datuk Dr Ahmad Nawab Khan pada Malam Penghargaan Industri Perfileman. Turut kelihatan Mahyidin (kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Rais bersama isteri, Datin Seri Utama Maznah Rais serta ahmad Nawab pada pelancaran Buku Legasi Datuk Dr Ahmad Nawab Khan pada Malam Penghargaan Industri Perfileman. Turut kelihatan Mahyidin (kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kerajaan agihkan wang ehsan RM4.7 juta galakkan karya lebih bermutu

SERAMAI 11 pembikin filem menerima wang ehsan kerajaan berjumlah lebih RM4.7 juta sempena Malam Penghargaan Industri Perfileman yang berlangsung kelmarin. Wang berkenaan disampaikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Bantuan Khas Produksi Perfileman itu diberikan kepada kesemua 29 filem yang diterbitkan tahun lalu bagi memberi galakan kepada produser berkuat kuasa Julai ini. Kesemua 11 produksi yang menerima wang ehsan berkenaan ialah Zoss Film Sdn Bhd (Crayon), Big Production Sdn Bhd (Andartu Terlampau), Julian Cheah Pictures (M) Sdn Bhd (Killer Clown), Galaksi Seni Sdn Bhd (Momok The Movie), De Baron Sdn Bhd (Jalang), Tayangan Unggul Sdn Bhd (Appalam), Skop Production (Evolusi KL Drift, Evolusi KL Drift 2, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam) dan Primeworks Studios Sdn Bhd (4 Madu, Janin, Skrip 7707, 2 Hati 1 Jiwa, Hooperz, Gong, Sepi, Otai, Talentime).

Turut menerimanya ialah SDAF Pictures (M) Sdn Bhd (Lu Pikir Sendiri de Movie), Asia Tropical Films Sdn Bhd (Ice Kacang Puppy Love), KRU Studios Sdn Bhd (Magika, Jin Notti, My Spy, Cicakman 2: Planet Hitam, Duyung) dan Metrowealth Pictures Sdn Bhd (Ngangkung, Damping Malam, Aku Masih Dara).

Rais dalam ucapannya berkata, industri tidak boleh bergantung kepada cara lama lagi. Oleh sebab itu wang ehsan dicadangkan bagi membantu penerbit filem berikutan pemberhentian pembayaran balik duti hiburan.

Pemberian wang ehsan itu adalah bagi menggalakkan lagi pembikin filem untuk terus menghasilkan karya yang baik. Apatah lagi apabila melihat industri perfileman kian berkembang. Sehingga Jun ini saja, industri perfileman sudah memungut sebanyak RM48 juta dan angka itu dijangka meningkat sehingga RM100 juta sehingga penghujung tahun ini.
Garis panduan pemberian wang ehsan adalah, bagi kutipan tiket dari RM2 juta hingga RM4 juta, insentif yang akan diberikan ialah sebanyak 10 peratus. Bagi kutipan RM2 juta ke bawah, setiap penerbit bakal menerima 10 peratus daripada kutipan atau jumlah kos 40 salinan maksimum.

Manakala bagi kutipan filem yang mencecah RM4 hingga RM 6 juta, pembikin bakal menerima insentif sebanyak 5 peratus. Sementara setiap filem yang berjaya mencatat kutipan melebihi RM 6juta, produser akan diberi insentif sebanyak RM500 ribu.

"Apa yang harus kerajaan bantu, kita akan cuba bantu. Dana Pinjaman bernilai RM50 juta sudah berakhir. Dana sebanyak RM200 juta juga sudah hampir habis. Penerbitan filem pula, kian lama kian meningkat. Pada 2008 sebanyak RM 44 juta kutipan diperolehi, tahun 2009 meningkat kepada RM 50 juta, tahun lalu melonjak lagi sehingga RM 86 juta.

"Produser kita juga semakin bijak menghasilkan filem yang bagus dan menarik perhatian generasi yang ditumpukan, seperti KL Gangster yang sudah pun memungut RM 8 juta (selepas seminggu tayangan). Oleh itu, apabila wang duti hiburan diberhentikan, ia tentunya menyukarkan produser. Jadi wang ehsan ini diwujudkan supaya mereka boleh menghasilkan lebih banyak karya terbaik," kata Rais.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalannya, Datuk Joseph Salang; Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf; Seniman Negara, Tan Sri Dr Jins Shamsudin dan Datuk Dr Ahmad Nawab; serta Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim.

Rais juga berkata, pihaknya kini sedang mengkaji penggubalan Seksyen 6 yang terkandung di dalam Akta Finas di mana sebelum ini Finas tidak dibenarkan menghasilkan filem mahupun dokumentari, seperti yang sudah pun dilakukan bersama saluran National Geographic, History Channel dan Discovery Channel. Katanya, pihaknya akan mencari jalan bagaimana untuk menggubal akta berkenaan supaya pembikin filem dapat bernaung di bawah Finas kelak.

Penggubalan akta itu sebenarnya ada pada klausa 34 (A) yang mana menteri boleh mengecualikan mana-mana akta untuk semua arca bergerak tidak kira dokumentari, animasi, drama, filem pendek dan sebagainya. Jika akta seksyen 6 dipinda, pembikin filem dapat melangkah lebih jauh dengan menghasilkan filem dan dokumentari yang lebih berkualiti setaraf filem antarabangsa.

Perkenal sistem elak tipu pungutan

SEMENTARA itu, Mahyidin berkata, beberapa pindaan lagi akan dilakukan seperti pemberian tiga lesen serentak iaitu lesen produksi, pengedaran dan tayangan. Sebelum ini, hanya dua daripada tiga lesen berkenaan diberikan Finas, tetapi mereka bercadang membenarkan individu yang berminat untuk memiliki ketiga-tiga lesen berkenaan. Bagaimanapun kajian masih lagi sedang dilakukan untuk memastikan penggubalan itu relevan.

"Kita menggubal syarat yang sebelum ini ditetapkan kerana ingin menghasilkan satu persekitaran yang dapat menggalakkan lagi pembangunan industri perfileman tanah air. Sebelum ini sesiapa yang sudah memiliki dua lesen itu tidak dibenarkan mengambil lesen ketiga. Bagaimana kita sedang mengkaji untuk memberikan ketiga-tiga lesen dalam satu masa kepada mereka yang berminat.

"Kita juga berkemungkinan mewujudkan e-Lesen supaya mereka yang ingin memohon dan memperbaharui lesen mereka tidak perlu bersusah payah datang ke Finas untuk membuat pembaharuan. Dengan kewujudan e-Lesen, semuanya boleh diselesaikan dalam masa sehari melalui online.

"Selain itu Finas juga sedang mengkaji untuk mewujudkan e-online, di mana setiap tiket yang dibeli akan masuk ke data Finas secara automatik. Melalui sistem itu, kita dapat memantau jumlah kutipan tiket bagi mengelakkan penipuan berhubung jumlah kutipan tiket," katanya.

Pada majlis Malam Penghargaan Industri Perfileman itu, Rais turut melancarkan buku Legasi Datuk Dr Ahmad Nawab Khan. Buku yang akan dijual pada harga RM200 itu memuatkan pelbagai kisah suka duka perjalanan pemuzik dan pencipta lagu tersohor itu.

Turut disampaikan pada malam itu ialah Anugerah Pencapaian Karyawan Filem Tempatan di Peringkat Antarabangsa yang diberikan kepada Allahyarham Yasmin Ahmad yang memenangi Pengarah Terbaik Festival Asia Pasifik ke-54 di Taiwan; Les Copaque Production Sdn Bhd kerana kejayaan menayangkan filem Geng: Pengembaraan Bermula di 50 pawagam di Indonesia pada 2009 dan Singapura, Brunei dan India pada 2010; serta KRU Studios Sdn Bhd di atas usaha menghasilkan filem epik pertama Hikayat Merong Mahawangsa.

Sementara itu media cetak turut diraikan pada malam itu apabila Anugerah Trofi Samad Idris diberikan kepada wartawan akhbar bahasa Melayu dan Inggeris. Bagi akhbar berbahasa Melayu, tempat pertama dimenangi Ratinawati Rasidi dari Berita Harian untuk artikel Usah Hukum Filem, Drama Punca Gejala Sosial. Ratina membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi dan sijil. Tempat kedua menjadi milik Siti Ruqaiyah Hashim (Utusan Malaysia) yang menerima RM2,000 menerusi artikel Khazanah Bernama P Ramlee, manakala Ku Seman Ku Hussain di tempat ketiga, membawa pulang RM1,000 hasil artikel berjudul Filem Tidak Manfaatkan Sastera.

Berita Harian turut membawa pulang Piala Pusingan Trofi Samad Idris, manakala Malay Mail pula membawa pulang trofi berkenaan bagi akhbar bahasa Inggeris.
Ends.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.