Utusan Online - Hiburan |
Nora belum terdesak untuk berkahwin Posted: Nora belum terdesak untuk berkahwinOleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
KERUNTUHAN mahligai yang dibina atas dasar cinta pastinya mengundang episod duka yang amat perit untuk dikenang apatah lagi ditempuhi. Sudah tentu detik dihadiahkan kalimah talak oleh lelaki yang selama ini bertakhta di hati akan menjadi satu igauan ngeri yang sukar untuk dilenyapkan. Namun, setelah hampir tiga tahun hidup sebagai ibu tunggal, dramatis terkenal tanah air, Nora Danish dikatakan sedang rancak membuat persiapan untuk bergelar isteri untuk kali kedua. Lantas pertemuan bersama Nora Danish atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif pada majlis pelancaran drama Ana Lu'lu yang diadakan di Sri Pentas, baru-baru ini dihujani persoalan berkenaan khabar berkenaan. "Saya masih belum sampai tahap terdesak untuk berkahwin dan tiada perancangan pun untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini. "Semua itu tidak benar dan mungkin timbul daripada salah faham sahaja," jawab Nora lembut. Bagaimana pun, Nora mengakui bahawa dia kini sememangnya sedang berkawan dengan seseorang. Namun, jelas dramatis yang dikenali menerusi drama bersiri Puteri itu, perhubungan yang terbina di antara dia dengan jejaka berkenaan masih lagi hijau dan belum sampai masanya untuk dikatakan bercinta. "Kami memang berkawan dan saya akui sayang itu memang ada tetapi bukanlah bercinta. "Kami masih lagi dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing," ujar pelakon itu lagi. Jelas Nora yang akan tampil sebagai Ana Lu'lu dalam drama 13 episod itu, bukan mudah untuknya menerima seorang lelaki dalam hidupnya kini. "Pengalaman banyak mengajar saya dan itu membuatkan saya lebih berhati-hati dalam memilih jodoh. "Cukuplah dengan apa yang pernah saya lalui. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali," tegas Nora. Baginya, lelaki yang ingin dikahwini selepas ini mestilah seorang yang sudah dikenali hati budinya secara mendalam selain wujudnya keserasian di antara dia dengan lelaki berkenaan. Menyentuh perihal teman baru yang dimaksudkan, Nora mendakwa dirinya senang dan selesa berdampingan dengan jejaka itu yang muda dua tahun daripadanya. "Saya mengenalinya melalui seorang teman dan hubungan kami telah terjalin hampir setahun. Namun buat masa ini kami belum memikirkan tentang soal kahwin," tambah pelakon filem Gila-Gila Pengantin Popular itu. Di kesempatan itu juga, Nora menyangkal dakwaan yang mengatakan teman barunya itu merupakan seorang kerabat diraja dari Pantai Timur. Jelasnya, teman barunya itu adalah orang biasa dan bukannya berdarah raja mahupun selebriti seperti mana yang dilaporkan sebelum ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Legenda Karak versi KRUOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL APABILA KRU Studios mengambil inisiatif mahu menghasilkan filem seram pertama mereka berjudul Karak, ramai yang ternanti-nantikan hasil kerja mereka. Selepas mencatatkan kejayaan membanggakan menerusi filem-filem seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Magika, Duyung dan Cicak-Man, pastinya harapan yang diletakkan begitu tinggi terhadap Karak. Apatah lagi dengan kebijaksanaan dan kreativiti KRU Studios yang tidak pernah lelah memberikan kelainan dalam penerbitan filem-filem mereka, semestinya pencinta filem tempatan mengharapkan sesuatu yang luar biasa menerusi Karak. Penghargaan wajar diberikan kepada KRU Studios kerana menjadi pelopor kepada pembikinan filem tentang kisah legenda lebuh raya Karak yang sering kali menjadi mainan bibir masyarakat. Sebagai seorang peminat filem seram, penulis merasakan premis filem Karak itu sendiri memang cukup menarik dan menyangkakan filem tersebut akan memberikan impak luar biasa. Permulaan cerita Karak cukup menyakinkan sehinggakan penulis bersama teman di sebelah sudah beberapa kali menutup mata kerana membayangkan sesuatu yang ngeri akan muncul di layar lebar. Selama 20 minit penonton disajikan dengan cerita dan detik yang meresahkan tetapi momentum yang diharapkan akan terus meningkat sehingga ke akhir cerita nampaknya terhenti setakat itu sahaja. Selebihnya, jalan cerita Karak sudah tidak lagi fokus dan pelbagai kemusykilan serta keraguan terhadap plotnya mula ditimbulkan apabila membabitkan kisah empat orang anak muda yang sesat di dalam hutan. Sebenarnya, penulis mengharapkan KRU Studios mampu menyelongkar lagi kisah seram yang sering menjadi bualan ramai tentang lebuh raya Karak. Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim menjelaskan setiap cerita yang pernah disampaikan dari mulut ke mulut mempunyai versi tersendiri. Begitu juga dengan KRU apabila mereka sememangnya mahu menampilkan kelainan dengan menggabungkan imaginasi dan pengalaman mereka sendiri yang pernah berhadapan peristiwa pelik di laluan tersebut. Meskipun menghasilkan filem Karak dengan versi dan sentuhan tersendiri, namun, kata Norman legenda popular seperti kereta Volkswagen kuning, ibu yang mencari anaknya serta kisah seorang wanita serta anak yang diserang hantu tetap diselitkan. "Cerita legenda tentang Karak ini memang pelbagai dan setiap orang berbeza cerita serta pengalaman yang mereka hadapi. "Kalau diamati kepada dialog yang diucapkan oleh watak Nik lakonan Shahir, dia sendiri berkata bahawa ada kisah yang mengatakan jalan Karak itu dibina di atas kawasan perkuburan Orang Asli. "Kami juga tidak mahu menampilkan kisah seram kosong semata-mata. Sebaliknya kami mahu memberi mesej positif kepada audiens seandainya iman dan pegangan agama tidak kuat. "Pelbagai perkara yang boleh berlaku seandainya kita tidak berpegang teguh kepada agama yang membolehkan jin dan syaitan menganggu seseorang itu," jelas Norman pada sidang media usai majlis pratonton filem Karak yang berlangsung di TGV KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Ujarnya lagi, elemen yang dimaksudkan itu dapat ditonjolkan dengan jelas menerusi watak Zura lakonan Shera Aiyob yang dahulunya seorang bekas qariah dan menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim sejati. "Tetapi, apabila alpa dengan tuntunan dunia, semua perkara yang pernah menjadi pegangannya selama ini perlahan-lahan ditinggalkan, barulah dia sedar bahawa kuasa ayat al-Quran itu melangkaui segala-galanya," kata Norman yang juga merupakan penulis skrip Karak. Mengulas tentang dakwaan yang mengatakan ada syarikat konsesi lebuh raya yang kurang senang dengan penghasilan filem Karak gara-gara bimbang orang ramai tidak akan menggunakan lebuh raya tersebut, pengarahnya, Yusry Abdul Halim menangkis dakwaan tersebut. Kata Yusry, adalah tidak adil untuk menyalahkan KRU Studios semata-mata kerana filem kesembilan terbitan mereka itu. "Cerita tentang Karak ini sudah menjadi tradisi yang diceritakan dari satu generasi ke generasi yang lain. Apa yang kami paparkan dalam filem ini pun bukannya kisah yang berlaku pada lebuh raya baru. "Sebaliknya, ia adalah jalan lama yang sememangnya cukup terkenal sebagai laluan berpuaka kerana di situlah terdapat pelbagai kisah seram yang berlaku," ujar Yusry tentang filem yang keempat arahannya itu. Karak menjalani penggambaran selama 20 hari dan merupakan filem KRU Studios yang paling pantas disiapkan. Menjalani penggambaran di sekitar Dengkil, Cyberjaya dan Hulu Langat, Yusry mempunyai justifikasi apabila tidak memilih lokasi sebenar bagi mendapatkan mood seram yang sebenar. "Kami juga harus memikirkan soal logistik dan kawasan sekitar Cyberjaya juga tidak kurang hebatnya. "Dalam masa yang sama, kami tidak mahu menyinggung perasaan penduduk Karak yang mungkin kurang selesa seandainya kawasan penempatan mereka ditonjolkan di layar lebar," ujar Yusry yang mula menempa nama sebagai pengarah filem menerusi filem Cicak-Man itu lagi. Sebagai seorang pengarah filem, jejaka kacak itu tidak pernah berasa puas dengan setiap penghasilannya dan jika diberi peluang, dia masih lagi mahu mengarahkan filem seram. Namun, kata Yusry, ia tidak akan berlaku dalam masa yang terdekat ini dan perlu menunggu masa yang lama sedikit sebelum dia kembali ke genre seram. Bercerita tentang pertaruhan KRU Studios dengan mengetengahkan bakat-bakat baru seperti Shahir, Shera, Kilafairy dan Along Eyzendy, Yusry mahu Karak menjadi sebuah karya yang segar. "Kalau saya mengambil wajah yang sudah biasa ditonton sebelum ini, ia akan menjadi klise dan saya mahu mengelakkan perkara itu. "Saya juga menafikan bahawa adegan berkemban membabitkan Kilafairy adalah disengajakan dan kami memang tidak berniat untuk mengeksploitasinya. "Adegan itu juga pernah terjadi kepada ibu saudara saya sendiri dan saya masukkan dalam filem ini," jelas anak kedua daripada empat adik-beradik ini lagi. Karak yang ditayangkan sejak 26 Mei lalu ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada pencinta filem tempatan apabila mencatatkan kutipan sebanyak RM400,000 pada hari pertama tayangannya. Sehingga kini, dikhabarkan kutipan filem Karak sudah pun menghampiri RM1.5 juta dan masih lagi hangat ditayangkan di pawagam tempatan. Bagi mereka yang belum berkesempatan menonton filem seram ini, anda masih lagi boleh berbuat demikian dengan menontonnya di pawagam bagi mendapatkan lebih penghayatan khusus aspek kesan bunyi yang optimum. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |