Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Jambu bertahta dihatiBUNGA tawa dan kelucuan menjadi selingan dalam sesi temu bual bersama duo Jambu baru-baru ini. Selebihnya nada mereka berbaris serius, menunjukkan bahawa kumpulan Jambu duduk pada suasana dan ketika yang benar. Kata Yus, mereka ini pelakon watak kelakar, seperti istilah khalayak, pelawak. Gelombang Jambu pernah sampai ke radius yang lebih luas, mereka pernah mencipta stail dan fenomena sendiri. Lawak-lawak pecah perut mereka banyak yang boleh menjadi bahan hipnosis untuk membawa penonton masuk ke dalam lawak luar dimensi. Di awal kemunculan, demam merah jambu di mana-mana, tanda ada peminat setia di mukim tersendiri. Mengambil peluang kedua yang diberikan umum dengan serius, Jambu memberi dan terus memberi jenaka pada setiap minggu Maharaja Lawak disiarkan. Tidak mahu mensia-siakan waktu kerana bukan hanya mahu dilihat maharaja di gelanggang sendiri, Jambu serta Taukeh ada misi dalam menggeletek hati umum. Itu kuasa dua lelaki merah jambu itu, seorang pernah bergelar Juara Raja Lawak musim pertama manakala seorang lagi hanya mampu berada di tangga keempat pertandingan yang sama. Kalah undian menang di hati Sayangnya Jambu hilang momentum. Dua tiga minggu sebelum final Jumaat lalu, ramai menyifatkan termometer komedi mereka menunjukkan kemerosotan. Sedang elok menjadi peserta kegemaran ramai serta pihak juri, Jambu pudar sentuhan. Menjelang keputusan diumumkan, mereka menjadi finalis tercorot, di tangga keempat daripada empat finalis lain.
Mahkota Maharaja Lawak serta hadiah utama wang tunai bernilai RM350,000 akhirnya menjadi milik Sepah manakala Jambu hanya redha dengan hadiah bernilai RM50,000 untuk dikongsi dua. Hadiah tempat kedua bernilai RM250,000 milik Jozan manakala satu-satunya peserta solo Nabil, di tempat ketiga membolot hadiah RM150,000 secara mutlak. "Kami tidak kecewa tapi siapa tak terkilan, sedikit rasa terkilan itu tetap ada bila sudah kalah begini. Apa yang penting, kami (Jambu) sudah mencuba dan mempersembahkan apa yang terbaik. Kami kalah di pentas ini tetapi rasanya kami menang di jiwa peminat kami. Saya yakin peminat Jambu juga tidak patah hati dengan persembahan kami semasa malam final," beritahu Taukeh sehabisnya Maharaja Lawak mengakhiri persaingan. Mengakui berpuas hati dengan tugasan kedua berkonsepkan muzikal pada malam final, Yus akui, reputasi Jambu kurang impak untuk tugasan pertama yang bertemakan bebas. Dia juga menangis gembira apabila Sepah diumumkan juara. "Memang saya sudah agak Jambu akan berada di kedudukan ini, saya juga jangka Sepah akan menang. Bila ramai yang kata Jambu merosot sejak beberapa minggu terakhir, saya juga akui perkara itu. Dapat berada di kalangan finalis Maharaja Lawak pun sudah satu kemenangan buat Jambu," katanya tenang. Buat lawak mesej bonus Regu merah jambu mewakilkan dua lelaki berwajah persis gengster, seorang berbadan gempal dan seorang lagi berfizikal sederhana, berkulit sawo matang. Bukan jejaka jambu, ironinya, mereka cuba menjadi jambu dengan pakaian warna merah jambu yang menjadi uniform mereka. Rata-rata yang baru jatuh cinta atau sudah lama tersulam rasa dengan jenaka Maharaja Lawak terbuka perspektif.
Selama ini ada yang menganggap jenaka hanya satu sisi hiburan yang kecil, ada juga yang menganggap itu hanya sisipan. Maharaja Lawak membuka satu gerbang lebih besar ke dalam dunia jenaka. "Apabila mula berjenaka, ia bermaksud penonton sudah separuh terhipnosis. Ini sebahagian daripada elemen psiko. Kalau mereka berjaya memberi respons dengan gelak, maksudnya mereka sudah terhipnosis. Wujud perasaan suka, ini sudah menunjukkan kepandaian pelawak tersebut. Apa lagi kalau satu Malaysia ketawa bersama. Ini sudah menunjukkan sisi bijak pelawak. Itu adalah bonus," ujar Taukeh apabila dipetik faktor intelek dalam membikin jenaka. Mengangguk dan mengiakan sahaja hujah Taukeh, Yus banyak berdiam. Sepertinya dia tidak memerlukan banyak dialog untuk membikin lawak, wajah serius serta mimik muka sahaja mampu untuk menggeletek mangsa. "Dulu saya pemain teater, saya melakonkan watak lawak. Memang saya berwajah serius tapi kalau dalam jiwa itu ada komedi, tetap seseorang itu boleh jadi pelawak," seloroh Yus mengakui dirinya lelaki daripada spesies 'cute' kerana banyak memiliki sisi sensitif dan mudah terasa. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Gimik murahan MarshaGARA-GARA ghairah berkongsi rasa di laman sosial Twitter, Marsha tanpa sedar mengelirukan banyak pihak tentang status perkahwinannya. Bagaimanapun itu semua gimik semata-mata demi promosi awal klip video lagu baharunya, Bila. KETERUJAAN Marsha untuk menjual lagu baharu serta keghairahan media untuk mengejar skop berita melahirkan satu berita palsu yang tersiar di muka depan akhbar. Susulan daripada berita yang tersebar luas itu, barulah terbit kenyataan sebenar daripada pihak artis terbabit, kononnya berita itu hanyalah gimik dan mereka geli hati kerana bahan gimik itu dianggap serius sehingga terpampang di muka depan akhbar. Bermain nakal dengan status perkahwinan seperti yang dilakukan Marsha Milan Londoh, 26, kononnya sudah berkahwin secara senyap-senyap, Ahad lalu, cukup untuk memberikan satu justifikasi akan kedangkalan akal siapapun di antara kita, artis bahkan media sendiri. Apabila sudah riuh sekampung, padahnya, barulah pelakon Kum Kum The Series itu memohon maaf bahawa semua itu salah faham dan satu tindakan yang langsung tidak disengajakan. "Semua itu salah faham dan tindakan langsung tidak disengajakan," kata Marsha bagi menjelaskan kenyataannya. Sambil menafikan kenyataannya sebagai satu tindakan terancang dengan niat untuk mencipta kontroversi. Marsha mengakui bahawa dia menulis beberapa status di laman sosial Twitter miliknya tentang perkahwinan berkenaan. Hakikatnya, perkahwinan olok-olok itu hanya babak dalam muzik video lagu baharunya, Bila yang menjalani penggambaran di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong pada Ahad lalu. Klip video berkenaan mengisahkan Marsha menjadi seorang pengantin. "Bukan niat saya membuat gimik atau mengatur kejutan buat semua pihak kerana jika difikirkan semula, gambar di sebalik tabir pembikinan muzik video itu terlebih dulu dimuat naik di laman sosial Facebook. "Saya menafikan beberapa kenyataan dan dakwaan dalam beberapa blog yang kononnya saya sengaja ingin membuat kejutan tapi ia tidak menjadi," katanya yang menyifatkan kontroversi itu satu pengajaran buatnya sebagai seorang selebriti. Sensasi Bintang: Ada yang beranggapan tindakan Marsha memain-mainkan media dan itu satu tindakan kurang bijak. MARSHA: Mulanya perkara itu hanyalah antara saya dengan pengikut di laman Twitter. Memang ada saya menulis tentang perkahwinan tapi saya tak pernah tulis bahawa saya sudah berkahwin dengan sesiapa dan bila. Bila ada pihak media telefon, saya kata semuanya akan dijelaskan dalam satu kenyataan tapi memang saya tak sangka ia akan jadi isu besar. Jika selepas ini, anda digelar miss gimik atau miss propa, bagaimana? Saya sudah tidak ambil peduli dengan apa yang orang luar akan fikir pasal saya, sebelum inipun saya sudah dikecam macam-macam. Tidak takut hilang kepercayaan peminat atau media selepas ini? Itulah yang sedang saya fikirkan sekarang. Apa-apapun dan siapapun saya, periuk nasi saya ditentukan juga oleh peminat, kalau tiada peminat susah juga. Begitu juga dengan media. Tapi, saya kena terus pandang ke hadapan, apa yang sudah berlaku tetap berlaku, untuk masa akan datang, saya belum tahu lagi. Dengarnya Marsha sudah berbaik dengan bekas kekasih dan dalam proses untuk menamatkan zaman solo? Saya masih bujang dan belum berkahwin, hubungan dengan si dia juga okey. Tapi sebab insiden itu, ramai yang bertanya sendiri kepadanya. Fasal kahwin, lambat lagi agaknya, sekarang belum fikir lagi. Apakah semua ini berlaku kerana keterujaan melampau Marsha untuk meraih publisiti murah terhadap lagu baharu itu? Boleh dikatakan begitulah. Saya tertekan sebenarnya tetapi dalam tertekan begini ada juga hikmahnya, orang semakin ambil tahu apa yang menariknya lagu Bila itu. Pernah sekali, dalam masa sejam sahaja, klip video pembikin lagu itu dilihat oleh 371 pengunjung di Internet. Siapa orang paling terkejut apabila anda didakwa berkahwin? Adik-beradik dan keluarga saya. Saya lupa hendak beritahu mereka sebelum berita itu tersiar. Adik saya telefon dan tanyakan kesahihan berita tapi keluarga saya okey, mereka faham dan tak ambil serius soal itu. Apa pengajaran yang mungkin boleh dijadikan sempadan? Apa-apapun, saya kena jadi orang lebih banyak berfikir sebelum membuat sesuatu tindakan. Kena fikir masak-masak dulu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Nabihan galas lima watakMELALUI teater Shakespeare Demystified: Julius Ceaser, Nabihan bakal membawa lima watak. Teater tersebut akan dipentaskan pada 29 Jun hingga 3 Julai ini tersebut ini KLPAC. SEBUT sahaja nama Nabihan Yaacob dalam kalangan penggiat teater Melayu, pasti ramai yang masih kabur dengan nama tersebut. Biarpun dia berketurunan Melayu, tetapi Nabihan, 27, lebih dikenali dalam kalangan peminat teater berbahasa Inggeris. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur itu pernah menjadi penggerak kepada beberapa buah teater Inggeris termasuk Ismail: The Last days, Indicinelive, A Midsumer Night's Dream dan Single Worded Title. Walaupun menjadi pelakon teater tidak mempopularkan dirinya seperti menjadi penghias layar filem mahupun drama, Nabihan optimis terhadap kerjaya yang dianggapnya memberikan kepuasan. Kata gadis berkulit putih itu, dia memasuki dunia lakonan teater bukan mengharap popular semata-mata tetapi bidang itu membuatkannya bebas dengan kehidupan sendiri. "Saya meninggalkan kerja sebagai eksekutif di syarikat swasta pada 2008 semata-mata untuk memberi perhatian kepada teater. "Saya meminati teater kerana ia tidak menyekat kebebasan diri saya seperti bekerja di pejabat yang terikat dengan tugasan rutin," kata anak kedua daripada empat beradik itu. Berbicara soal impian, Nabihan yang pernah berlakon teater bahasa Melayu berjudul Rancangan Hari Jadi Terhebat Adli itu bersedia untuk berlakon dalam persembahan yang menggunakan dialek Kelantan. Bukan kerana tidak menggemari teater dalam bahasa Kebangsaan tetapi katanya, dia kurang yakin untuk menuturkannya di atas pentas. "Dalam pertuturan harian di rumah, saya sering menggunakan bahasa Inggeris dan dialek Kelantan. "Bukan saya tidak fasih berbahasa Melayu, tetapi ketika di pentas saya akan tersasul menggunakan dialek Kelantan. "Kadang-kadang ada antara kawan-kawan yang geli hati dengan pertuturan saya. Jadi saya rasa lebih selesa untuk berlakon dalam teater Inggeris," kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu. NABIHAN selesa berbahasa Kelantan dan Inggeris dalam percakapannya. Nabihan yang kini tinggal di Kuala Lumpur bersama keluarganya pernah menetap di Amerika Syarikat dan Australia sebelum terjun dalam bidang tersebut kira-kira tiga tahun lalu. Wanita yang kedua-dua orang tuanya berasal dari negeri Cik Siti Wan kembang itu pantas mencipta nama biarpun baru setahun jagung bergiat dalam teater. Dia yang berkebolehan bermain piano dan menggesek biola itu berharap diberi peluang membintangi teater dalam dialek Kelantan. "Apa yang menarik dalam teater dalam dialek Kelantan adalah saya boleh melakukan addlip dan tidak terlalu terikat dengan skrip. "Lagipun saya sangat fasih dalam bahasa tersebut. Jadi tiada masalah untuk saya melakonkan watak seperti dalam bahasa Inggeris," katanya. Nabihan menghargai buah tangan arahan Norzizi Zulkifli yang menggabungkan naskhah Shakespeare berjudul Meet Summer Nights Dream dan Mak Yong dalam dialek Kelantan berjudul Titis Sakti. Dalam perkembangan terbaharu, Nabihan bersama tujuh lagi rakannya bakal mementaskan teater berjudul Shakespeare Demystified: Julius Ceaser di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC). Nabihan berperanan memegang lima watak termasuklah sebagai lelaki dalam teater yang akan dipentaskan pada 29 Jun hingga 3 Julai ini tersebut. Antaranya adalah sebagai Portia, Cobbler, Strato, Metellus Cimber dan penduduk kedua. "Teater ini amat sesuai ditonton oleh remaja yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia kerana ia akan memudahkan mereka untuk memahami kisah Julius Ceaser daripada buku teks kesusasteraan Inggeris," katanya ketika sesi fotografi bersama Kosmo! di KLPAC baru-baru ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |