Utusan Online - Hiburan |
Posted: Susuk, botox bukan pilihanOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
BUKAN mudah sebenarnya menjadi seorang wanita yang dikurniakan dengan kejelitaan terutama artis atau selebriti yang menjadi tumpuan masyarakat. Tidak sikit, pasti akan ada yang mengeji mahupun melemparkan kata-kata kurang manis terhadap mereka dengan pelbagai tohmahan yang sakitnya memang cukup menusuk dada. Salah seorangnya ialah pelakon jelita, Rozita Che Wan yang sering kali menjadi mangsa fitnah segelintir pihak yang seakan-akan kurang senang dan cemburu dengan kejelitaannya terutama kaum sejenisnya. Mereka bagaikan tidak percaya dengan kecantikan yang dimiliki Rozita sehinggakan ada yang mengatakan dirinya mengamalkan susuk dan suntikan botox untuk kekal cantik setiap masa. Sebenarnya soalan itu sudah pun banyak kali sehingga tidak terhitung jumlahnya ditanyakan kepada wanita yang berusia 38 tahun itu. "Memang sukar hendak memuaskan hati semua pihak kan? Walaupun sudah berkali-kali kita menafikan tetapi masih ramai yang tidak percaya. "Saya sentiasa bersyukur dengan kurniaan yang Allah SWT berikan kepada saya dan untuk saya menggunakan botox semata-mata untuk cantik adalah sesuatu yang tidak masuk akal. "Bukankah penggunaan botox itu sendiri sudah mengubah kejadian Allah SWT? Bukan itu sahaja, untuk membayangkan wajah saya disuntik juga saya sudah berasa seram. "Begitu juga dengan susuk. Saya tahu ramai yang mengatakan saya mengamalkannya untuk kelihatan cantik setiap masa. Tetapi, maaf. Saya masih waras dan tidak sanggup untuk melakukan kerja-kerja seperti itu," ungkap Rozita dengan penuh terbuka sewaktu membicarakan tentang isu kecantikan dirinya yang sentiasa menjadi perbualan. Pelakon yang pernah terkenal menerusi drama rantaian Diari Ramadan Raffique itu berkata demikian pada sidang akhbar yang berlangsung di Restoran Bunga Emas, Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Barangkali Rozita boleh dianggap bertuah kerana keaslian kecantikan yang dimilikinya itu telah memikat hati rangkaian produk kecantikan, Safi Rania Gold untuk memilihnya sebagai duta selama dua tahun. Seiring dengan kejelitaan yang dimilikinya itu jugalah nampaknya tuah dan rezeki terus berpihak kepada aktres kelahiran Alor Setar, Kedah itu apabila dikatakan menerima bayaran sebanyak setengah juta ringgit. Walaupun bukan lagi satu rahsia tentang bayaran itu, namun, Rozita lebih selesa untuk tidak menghebahkannya kerana bimbang dikatakan riak pula. "Cukuplah apa yang saya katakan bayaran itu cukup memuaskan dan saya benar-benar bersyukur dengan rezeki terbaru ini," katanya dalam nada rendah diri sambil melirik kepada Pengurus Kumpulan Produk Safi, Mahsuri Sulaiman yang berada di sisinya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: 10,416 tonton bangsawanOleh ABD. AZIZ ITAR NORLIZA Rofli (tujuh dari kanan) bersama wakil-wakil kumpulan bangsawan yang akan mementaskan bangsawan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur sepanjang tahun ini. BANGSAWAN merupakan salah satu seni persembahan pentas tradisional Melayu yang seolah-olah dilupakan oleh pihak penganjur termasuklah kalangan generasi muda hari ini. Contohnya, cuma sebulan sekali pementasan bangsawan diadakan di Kuala Lumpur iaitu di Panggung Bandaraya anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Meskipun bangsawan kurang dipentaskan namun JKKN boleh berbangga kerana inisiatif agensi kerajaan itu mendapat sambutan positif para penonton selepas ia dianjurkan sejak 2006. Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, menerusi program Semarak Bangsawan itu, tahun ini menyaksikan bilangan penonton seramai 10,416 sewaktu ia diadakan tahun lalu. "Pada tahun 2006 sebanyak 27 pementasan telah diadakan di Panggung Bandaraya di mana keseluruhan penonton yang datang menyaksikannya cuma 2,694 orang sahaja. "Jumlah itu semakin meningkat iaitu seramai 8,270 pada 2007, 9,321 (2009) dan 10,416 (2010). Jumlah tahun lalu menunjukkan peningkatan 386.4 peratus berbanding 2006. "Sehubungan itu, kami jangkakan bilangan penonton akan bertambah pada tahun ini," katanya pada pelancaran Siri Semarak Bangsawan 2011 baru-baru ini. Pada pelancaran program di Panggung Bandaraya yang mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu, beliau turut mengumumkan senarai pementasan di situ. Antaranya pementasan bangsawan Tasik Dayang pada 22 hingga 24 April ini, Mestika Bumi (20 - 22 Mei), Alang Buana (10 - 12 Jun) dan Hikayat Malim Deman (23 - 25 September ini). Jelas Norliza, bagi memastikan pementasan bangsawan tidak pupus, JKKN telah mengadakan pementasan secara berjadual dengan memberi sokongan kepada syarikat produksi terbabit. "JKKN contohnya, telah pun mengenal pasti 10 kumpulan bangsawan seluruh negara bagi mementaskan bangsawan di Panggung Bandaraya sepanjang tahun ini. "Secara keseluruhannya terdapat 10 pementasan bangsawan akan diadakan di panggung ini di mana JKKN akan memberi sokongan dan bantuan bagi menjayakan pementasan tersebut," ujarnya. Beliau yang turut menyaksikan pementasan bangsawan Siti Zubaidah arahan Khusairy Mahyuddin turut mengumumkan 10 kumpulan bangsawan yang akan menjayakan program itu. Antaranya ialah Persatuan Bangsawan Bintang Timur, Kumpulan Kreatif Utama Budaya Anak Seni, Persatuan Karyawan Negeri Sembilan dan Persatuan Anak Seni Pendidikan Kelantan. Ekoran sambutan menggalakkan, persembahan bangsawan yang sebelum itu diadakan percuma, katanya terpaksa dikenakan bayaran RM5 bagi menyaksikan setiap pementasan tersebut. "Peningkatan jumlah penonton memaksa JKKN mengenakan tiket RM5 kepada penonton bagi memastikan kualiti tempat dan persembahan pementasan ini dapat ditingkatkan," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |