Adsense

Selasa, 19 April 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


‘Saya tak kisah apa orang kata’

Posted: 18 Apr 2011 08:47 AM PDT

BERMULA di pentas pertandingan Dewi Remaja, sama seperti pelakon Scha Al -Yahya dan Rabecca Nur Al-Islam, kini giliran Noor Neelofa Mohd Noor pula mencipta nama sebagai artis. Namun, di awal kemunculannya saja sudah dihimpit kontroversi.

Semua itu bersangkutan dengan 'cinta lokasi' yang didakwa berputik antara dia dengan hero filem Azura 2011, Shahz Jazle. Ia berputik apabila pasangan ini menjalani penggambaran di Paris yang dikenali sebagai kota cinta.

Bahkan gadis yang mesra dengan panggilan Lofa ini turut dikatakan menjadi punca perpisahan Shahz Jazle dan aktres, Maria Farida apabila percintaan mereka dikatakan putus sebaik saja Shahz pulang dari Paris.

Hingga kini, perkara itu masih panas dan di mana saja majlis yang Neelofa hadir, dia tidak dapat lari daripada menjawab kisah sensasi berkenaan. Justeru, apakah tindakan Neelofa selanjutnya untuk mengusir kenyataan perit yang tersebar luas itu?


Bersua dengannya di The Curve Damansara, baru-baru ini, Neelofa tetap dengan jawapan bahawa dia dan Shahz hanya bercinta dalam filem. Di luar lokasi, hubungan mereka sekadar rakan sesama artis yang tak mungkin akan jatuh cinta.


"Saya tak kisah apa orang mahu kata dan anggap mengenai kontroversi itu. Apa yang pasti, saya bukan 'orang ketiga' dalam hubungan mereka. Hati saya sudah dimiliki seseorang yang istimewa. Kami seusia dan dia juga bukanlah golongan orang seni.

"Biarpun masih dalam proses mengenali hati budi, namun tumpuan utama saya tetap pada karier. Langkah saya masih baru bermula dan banyak komitmen harus diberikan. Saya ingin dikenali masyarakat dengan bakat dimiliki dan bukan gosip semata-mata.

"Memang tak dinafikan gosip dan kisah kontroversi adalah lumrah kehidupan seorang artis. Namun, ia harus ditangani dengan baik. Oleh itu, untuk mempertahankan diri, saya perlu ada kekuatan dan keyakinan untuk meraih kejayaan diimpikan.

"Saya ingin berjaya dalam karier seni ini. Justeru, lebih baik jika saya tidak terlalu memikirkan sangat perkara itu. Saya bukan perampas dan tak melakukannya. Sekarang, saya hanya mahu fokus pada kerjaya," kata Neelofa begitu optimis berbicara soal hala tujunya.

Berasal dari Kelantan, gadis jelita ini berkata, dengan pengakuan itu dia tidak mahu lagi ada pihak yang terasa hati, marah atau bengang. Ujarnya, dia juga enggan terus dikaitkan dalam permasalahan yang berlaku antara Shahz dan Maria.

Neelofa yang masih terbabit dalam penggambaran filem Azura 2011 arahan Aziz M Osman, berkata pada mulanya dia berasa janggal juga. Namun, ia nyata gosip yang tidak benar dan tak berasas, maka syukur ia tidak terlalu mengganggunya.

Azura 2011 adalah dari filem Azura yang pernah dijayakan Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dengan Jamal Abdillah dan kini diberi nafas baru oleh Aziz dengan paparkan lokasi di luar negara bagi menunjukkan percintaan antara Azura dan Zack. Filem ini diterbitkan Ace Motion Pictures Sdn Bhd turut memilih London sebagai destinasi selain Paris.

Mesra berbicara, pelajar jurusan perniagaan Kolej Universiti Sunway ini berkata dia tetap menghormati Maria sebagai pelakon senior dan tiada masalah untuk mereka digandingkan bersama di dalam drama mahu pun filem pada masa akan datang.

"Luahan kata Kak Maria kepada saya itu adalah kerana kemarahannya dan dipengaruhi emosi. Apapun, saya tetap menghormati dia sebagai seorang senior dalam industri dan enggan bermusuh dengan sesiapa hanya disebabkan gosip atau kontroversi," katanya.

Menyentuh soal penerimaan ibu bapanya, gadis kacukan Melayu sebelah ayah dan Pakistan-Arab (ibu) berkata, pada mulanya tak dinafikan situasi itu kurang disenangi keluarga. Mereka juga ingin tahu kebenarannya. Bagaimanapun, kini semua itu sudah diperjelaskan dan mereka sentiasa memberi sokongan.

Meminati bidang pengacaraan, Neelofa berkata dia sangat teruja apabila KRU Studios Sdn Bhd memberi peluang kepadanya untuk mengacarakan program hiburan, Paparazzi. Menurut Neelofa, dia sangat meminati pengacaraan sejak kanak-kanak lagi.

"Cuma, tawaran berlakon yang datang lebih dulu membuatkan saya mengambil peluang itu untuk mencuba. Sebagai artis baru, saya harus bijak mencari peluang. Bagaimanapun, bidang pengacaraan tetap pilihan utama saya dalam industri seni.

"Namun, saya akui tidak teragak-agak mencuba bidang nyanyian. Jika ada bakat, saya OK saja demi mengembangkan karier. Oleh itu, saya puas hati dengan keputusan bernaung di bawah syarikat pengurusan seperti KRU Studios.

"Saya sangat yakin dengan KRU dan gembira di bawah pengurusan mereka. Kemampuan KRU Studios yang luas pastinya dapat membantu saya dalam mencari tapak dan mengukuhkan lagi karier seni. Apapun, jadual saya cukup teratur," katanya.

Berkongsi pengalamannya mengacarakan program Paparazzi, Neelofa berkata apabila peluang yang ditunggu selama ini sudah dalam genggaman, dia tidak mungkin mensia-siakannya. Katanya, dia sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.

PROFIL

NAMA PENUH: Noor Neelofa Mohd Noor
TARIKH LAHIR: 10 Februari 1989
USIA: 22 tahun
ASAL: Pasir Mas, Kelantan
KARIER: Pelakon, pengacara dan model
KELUARGA: Anak ketiga daripada sembilan beradik
DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Pakistan-Arab)
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda, Perniagaan Antarabangsa & Pemasaran, Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor (tahun kedua)
PENCAPAIAN: Juara Dewi Remaja 2010
IKLAN TV: Antaranya Nokia, Silky Girl, Fair & Lovely dan F&N Fruit Tree
KLIP VIDEO: Kau Bukan Aku nyanyian kumpulan Tilu
DRAMA: Kasih Najihah (TV9)
FILEM: Azura (versi baru)
PENGACARAAN: Paparazzi terbitan KRU Studios, boleh diikuti menerusi www.tonton.com.my
ARTIS NAUNGAN: KRU Studios selama setahun

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penghormatan buat ikon rock

Posted: 18 Apr 2011 08:27 AM PDT

BAHANG gegaran Konsert Opera Hidup Wings yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 30 April hingga 2 Mei ini semakin terasa. Kesungguhan anggota Wings bagi menampilkan persembahan terbaik dapat dirasakan sewaktu Harian Metro menjenguk latihan intensif mereka di Studio Anggerik, di Gombak, Selangor.

Ketika sesi latihan di studio milik pemain gitar utama Wings, Joe, kelibat Awie selaku penyanyi utama tidak kelihatan sebaliknya menampilkan Hattan menyanyikan lagu Ibu, Midnight Blues dan Tiada Lagi Aku. Bersungguh-sungguh mereka menjalani latihan untuk satu-satu lagu sehingga memuaskan hati.

Ternyata ada sebab mengapa Joe mengundang media pada hari itu kerana bukan sekadar menyaksikan kesungguhan mereka berlatih sebaliknya ada berita terkini yang ingin dikongsi bersama.

Katanya, topik yang ingin diperkatakan bukan lagi mengenai Konsert Opera Hidup, sebaliknya satu pakatan istimewa mengenai persembahan khas Wings & Superfriends yang turut berlangsung nanti.


"Persiapan Konsert Opera Hidup sudah 100 peratus siap, tinggal hanya proses untuk mencantikkannya. Sebulan setengah latihan sudah memadai. Sekarang saya berkongsi mengenai Superfriends, satu tribute buat ikon rock legenda yang menampilkan 19 artis.


"Ikon-ikon rock yang terbabit ialah Ramli Sarip, M Nasir, Yantzen, Mus (May), Hattan, Lan Typewriter, Rosli Mohalim, Man Kidal, Kid Search, Hillary Ang, Yan, Edrie Hashim, Ujang, Yazit Search dan lain-lain.

"Selain itu, ada juga penampilan penyanyi baru seperti Black dan Jaclyn Victor. Jadi, jangan terkeliru dengan penampilan Mus kerana dia beraksi untuk dua persembahan. Untuk Wings & Superfriends, dia mewakili May manakala untuk Konsert Opera Hidup, dia pernah merakam album bersama Wings," katanya.

Kata Joe, inilah sebabnya diadakan sidang media berlainan kerana persembahan Superfriends akan berlangsung pada sebelah petang 30 April dan 1 Mei.

"Kami tak mahu peminat terkeliru. Kalau mereka nak saksikan 'rock gathering' jangan lepaskan peluang menyaksikan persembahan selama dua jam yang berlangsung dari jam 3 hingga 5 petang. Persembahan untuk Konsert Opera Hidup bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan pula akan berlangsung pada sebelah malam.

"Konsep begini belum pernah dibuat mana-mana artis. Saya akui setakat ini konsert yang kami adakan menjual tiket paling mahal kerana kos yang dikeluarkan untuk kedua-dua persembahan ini juga tinggi.

"Jualan tiket untuk Konsert Opera Hidup sudah 70 peratus habis. Sekarang saya mahu tumpukan pada persembahan berkonsep akustik ini," katanya.

Joe yang akan mengadakan sidang media terakhir pada 21 April ini berkata, pihaknya ada mengundang Ella dan Amy Search, bagaimanapun kedua-duanya
menolak atas alasan tersendiri terutamanya Amy yang sibuk dengan tanggungjawab sebagai Pengetua AF9.

"Sebenarnya perancangan untuk Superfriends sudah dibuat awal-awal, cuma sidang medianya dibuat berasingan. Sebanyak 19 lagu akan dipersembahkan buat peminat. Saya kena banyak berfikir juga sebelum buat susunan lagu kerana ia membabitkan banyak gabungan artis.

"Yang paling rumit ialah susunan artis kerana saya kena jaga 'mood' penonton supaya tak bosan nanti. Hampir sebulan juga saya buat kerja ini. Saya buat susunan artis yang penonton tak boleh agak siapa akan keluar selepas itu. Memang susah nak kolaborasikan ramai artis untuk sebuah konsert.

"Namun saya beruntung kerana dibantu Hillary. Persediaan awal menjadikan segalanya lancar dan 24 April ini kami akan buat latihan terakhir. Aspek nyanyian artis memang tiada masalah kerana mereka semuanya profesional.

"Mengenai persediaan anggota Wings untuk kedua-dua persembahan ini, kami sudah bersedia, tinggal lagi nak memantapkan permainan muzik.

Tak dinafikan, semua akan penat lepas persembahan tapi kalau peminat puas kami sangat gembira," katanya.

Sementara itu untuk Konsert Opera Hidup, peminat dihiburkan dengan alunan 20 lagu sepanjang beraksi. Tiket untuk menonton persembahan ini berharga RM165, RM205, RM245, RM305 dan RM450 boleh didapati melalui www.ticket2u.biz dan www.sayap2wings.com.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.