Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sandiwara Johnny, JolieDIBIKIN semula daripada filem versi Perancis, Anthony Zimmer yang telah diterbitkan pada tahun 2005 arahan Jerome Salle, The Tourist yang berkisarkan genre aksi romantik bertukar tangan kepada Florian Henckel von Donnersmarck dengan menampilkan gandingan mantap aktor dan aktres tersohor iaitu Johnny Depp dan Angelina Jolie untuk filem Inggeris pertamanya. Gandingan kali pertama kedua-dua pelakon pujaan tersohor itu berlaku secara tidak dirancang apabila watak Frank Tupelo/Alexander Pearce dan Elise Clifton-Ward pada awalnya bukanlah milik mutlak aktor Johnny Depp dan Angelina Jolie. Tom Cruise dan Charlize Theron antara nama yang dijangka akan membawa watak tersebut. Namun rezeki lebih berpihak kepada Depp dan Jolie dan filem yang mengambil tempat di sekitar Paris dan Venice mula dijalankan pada 23 Februari 2010 sebelum berpindah ke Venice pada 1 Mac yang kemudian disertai oleh Depp. Sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh dunia, The Tourist tidak terkecuali daripada menerima kritikan hebat termasuk gandingan Depp dan Jolie yang dikatakan kurang serasi selain hanya berbekalkan lokasi yang gah tanpa impak lakonan yang menakjubkan. Di sebalik kritikan tersebut, dan kekecewaan Jolie terhadap sambutan dingin filem yang dilabelkan olehnya sebagai antara yang terbaik, usah terkejut kerana ia telah menyertai pencalonan Anugerah Golden Globe menerusi tiga kategori iaitu Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Filem Komedi Terbaik. Jolie dan Depp bercakap tentang pengalaman pertama kali bersama dan masa depan karier mereka selepas ini. Adakah anda berpeluang untuk menjadi pelancong yang sebenar semasa di Venice? Johnny Depp (JD): Saya hanya mampu melancong di antara pukul 10 malam hingga 2 pagi. Itu saja masa yang ada untuk saya melihat keadaan sekeliling dan pada waktu itu, keadaan lengang dan tiada sesiapa. Saya sangat teruja kerana Venice seperti syair indah yang divisualkan. Saya suka pemandangan waktu malam di Venice kerana ia sangat sunyi sehingga berasa banyak hantu sedang berkeliaran. Benarkan kaki anda terluka semasa melakukan babak berlari di atas bumbung bangunan? JD: Ya. Ia sungguh luar biasa kerana sewaktu sedang melakonkan babak tersebut, adrenalin saya bergerak selari dengan watak yang dibawa dan saya tidak perasan perkara sedemikian. Semasa saya sedang berdiri sambil berbincang dengan pengarah (Donnersmarck), dia terkejut kerana terdapat titisan darah di atas lantai. Saya tidak merasainya sebelum itu. Bagaimana pengalaman bekerja dengan Angelina Jolie buat kali pertama? JD: Mudah untuk bekerjasama dengan dia. Selain itu, dia juga seorang yang kelakar dan sangat komited serta bijak. Kami ada berjumpa sekali sekala sebelum terbabit dengan The Tourist. Kami mempunyai rangkaian teman-teman dan kami tidak pernah berjumpa. Apabila kami duduk bersama, keserasian kami wujud dengan pantas. Kami berbual mengenai kisah anak masing-masing. Kini nama anda adalah antara salah seorang bintang terhebat dunia, jadi bagaimana anda melihat diri dan juga karier anda? JD: Gelaran itu terlalu besar bagi saya dan saya rasa saya belum layak lagi untuk dipanggil begitu. Bagi saya, pembawakan watak saya hampir semuanya serupa. Saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza pada setiap masa. Itu amat penting untuk memberi cabaran kepada diri saya sendiri. Bagaimana anda cuba untuk membina karakter anda? JD: Proses yang saya lalui sama seperti sebelum ini. Saya mendalami karakter itu daripada seseorang yang mungkin saya kenal. Sebagai contoh, Frank merupakan seorang yang berjambang. Itu adalah palsu kerana saya tidak pernah berjambang. Perwatakan berjambang itu adalah daripada seseorang yang saya kenali beberapa tahun lalu. Saya tidak tahu bagaimana seseorang yang berjambang boleh membela jambang mereka dengan bersih sekali. Adakah anda selalu berdepan dengan kesukaran untuk menukar karakter anda? JD: Saya sering berdepan dengan situasi itu. Mungkin ia sudah menjadi tabiat saya. Saya masih ingat semasa dalam filem Platoon pada tahun 1986 bersama Oliver Stone dan menulis semula dialog saya. Ia mungkin salah satu sebab dia menolak saya daripada filem itu. Bilakah kali pertama anda dibenarkan untuk membawa watak yang menggambarkan diri sebenar anda? JD: Kali pertama ialah semasa Cry-Baby. Itu adalah karakter yang paling selesa. Edward Scissorhands, tiada siapa yang tahu apa yang saya lakukan sebelum membawa watak itu. Tim Burton amat bimbang semasa saya melakonkan babak saya, tetapi bagi saya, ia berjalan dengan lancar. Ini adalah filem aksi kedua lakonan anda pada tahun ini. Apa yang anda perlukan dalam genre sedemikian? Angelina Jolie (AJ): Saya suka bila anda fikir ia adalah sebuah filem aksi! Mungkin bagi saya ia bukan filem aksi, tetapi terdapat beberapa babak aksi. Namun begitu, saya tidak berpeluang untuk melakonkan banyak babak aksi. Jika begitu, mengapa anda setuju dengan projek itu? AJ: Jujurnya, ia datang selepas saya tamat dengan Salt dan Brad Pitt pula akan mula bekerja dalam filemnya yang kemudian ditangguhkan iaitu filem Moneyball. Pada ketika itu, kami mempunyai masa beberapa bulan dan saya terfikir jika ada filem yang akan menjalankan penggambaran di lokasi yang baik. Saya kemudian mendapat panggilan mengenai sebuah filem yang akan menjalankan penggambaran di Venice dan Paris dan watak saya ialah seorang wanita yang sebenar. Saya terus berminat dan pengarah, Donnersmarck serta Depp juga akan terlibat. Ia sungguh seronok. PERTAMA kali berkolaborasi, Johnny dan Jolie pantas menjadi serasi. Malangnya The Tourist dikatakan gagal menarik perhatian. Pada pendapat anda, adakah Florian merupakan seorang yang bijak? AJ: Sungguh mencabar apabila mempunyai seorang pengarah yang boleh bercakap dalam lima bahasa kerana dia sungguh teliti. Dia seorang yang sungguh hebat. Bagaimana Florian memberitahu anda untuk membawa watak anda? AJ: Setiap hari, saya berpegang kepada nota 'perlahan' kerana bagi saya, sebagai seorang wanita moden, kami sangat agresif, jadi itu adalah kesukaran yang saya hadapi. Saya perlu berusaha sedikit demi sedikit dan ia mengambil masa yang sangat panjang. Adakah anda lebih terarah untuk menampilkan kelainan dalam filem itu? AJ: Ia memang sangat berbeza daripada sebelum ini. Saya mengambil masa untuk memakai kasut tumit tinggi, sarung tangan dan memegang beg tangan. Saya rasa semua orang tahu saya tidak terlalu keperempuanan seperti itu! Jadi ia sebahagian daripada latihan untuk menjadi seperti itu. Adakah anda teliti semasa melakonkan babak cara anda berjalan? AJ: Saya sangat berhati-hati kerana ini kali pertama terdapat kamera di kaki saya. Bagi saya ia sungguh tidak selesa kerana apabila ada orang yang perhatikan cara anda berjalan, anda sebenarnya perlu berhati-hati. Lebih-lebih lagi dengan menyarungkan kasut tumit setinggi lima inci. Pada masa yang sama, ia juga menyeronokkan kerana saya mampu keluar dari watak dalam filem Salt yang berperwatakan seperti lelaki. Ini adalah kali pertama anda bekerja dengan Johnny Depp. Apa pandangan anda terhadapnya? AJ: Oh, dia seorang lelaki yang baik. Dia mempunyai banyak koleksi buku dan gambar anak-anaknya. Dia juga seorang yang sangat berbakat dan suka mencuba serta amat pemurah semasa berada di set penggambaran. Adakah dia kelakar semasa di set? AJ: Terdapat satu babak yang tidak dipamerkan. Hampir 20 minit kami tidak boleh berhenti ketawa dan kami banyak membazirkan filem. Itu membuktikan Depp sangat kelakar. Adakah anda membuat rujukan dengan menonton filem lain sebagai persediaan? AJ: Kami menonton filem The Catch A Thief. Asalnya banyak filem yang perlu kami tonton, tetapi saya hanya menonton filem itu. Adakah semakin sukar untuk anda mencari watak yang anda inginkan sejak kebelakangan ini? AJ: Sukar membuat keputusan untuk melakukan sesuatu kerja. Saya cuba untuk mencari kelainan yang mencabar dan benar-benar memberi kesan yang mendalam terhadap diri saya. Kadang kala bila difikirkan semula, kehadiran The Tourist amat menyeronokkan, tetapi bukan mudah untuk mencari projek, apatah lagi yang betul-betul berbaloi untuk dilakukan. | ||
Rosyam harap tiada masalah lagi Posted: Rosyam harap tiada masalah lagi
SELEPAS empat minggu bersiaran, program realiti Pilih Kasih terus hangat dengan sensasi yang tercipta secara tidak sengaja. Jika sebelum ini program cetusan idea Rosyam Nor ini panas dengan komen tajam Rosyam sendiri yang menyelar tenaga pengajar tidak memberi 'pendidikan' terbaik buat barisan 14 artis yang bertanding, Pilih Kasih kemudian dikejutkan dengan pengguguran dua artisnya yang dianggap tidak berdisplin. Belum surut termometer tersebut, pada minggu keempat yang lalu, seorang artis mereka, Raffamie Karama, 25, dengan rela hati mahu meninggalkan pentas Pilih Kasih atas alasan berkaitan masalah peribadi. "Saya minta maaf kepada semua peminat yang telah mengundi saya selama ini dan terutama sekali kepada Abang Rosyam kerana saya memang ada masalah keluarga yang perlu saya uruskan di luar sana," begitu jelas Raffamie yang telah menyelamatkan tiga artis terbawah pada malam itu iaitu Mira Amnas, Bodt Sharade dan Nur Jannah. Kecewa dengan tindakan yang diambil Raffamie sewaktu barisan artis lain mula mendapat rentak yang lebih cantik untuk memantapkan persembahan mereka, Rosyam tidak mampu menahan kehendak jejaka dari Sabah itu. Menurut Rosyam, dia tidak memerlukan seorang artis yang lemah. "Saya amat terkejut dan tidak menyangka bahawa ada antara artis Pilih Kasih ini yang mempunyai masalah sedemikian. "Jika saya tahu lebih awal sudah pasti saya akan menyingkirkan Raffamie tanpa rasa ragu dari minggu yang pertama. "Tapi kadangkala perkara seperti ini memang tidak dapat dielakkan dari berlaku kepada sesiapa sahaja. Hanya Tuhan yang tahu apa akan terjadi di masa depan," katanya yang cukup kecewa dengan tindakan Raffamie. Malah dia berharap agar tidak ada lagi peserta Pilih Kasih yang lain akan membuat keputusan sedemikian hanya kerana tidak tahan atau mempunyai masalah peribadi. Sementara itu, pengunduran Raffamie tidak bermakna pentas Pilih Kasih terhenti begitu sahaja. Sebaliknya, malam ini, tinggal 12 lagi artis yang masih bertahan dalam untuk tempoh enam minggu lagi sebelum malam kemuncak akhir Pentas Pilih Kasih berlangsung. Pentas Pilih Kasih yang dihoskan oleh Reza disiarkan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Mohamad, Negeri Sembilan menerusi RTM 2 pada pukul 8.30 malam. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |