Adsense

Sabtu, 8 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Shontelle tiada sesalan

Posted: 07 Jan 2011 03:55 PM PST

Hip

pix_gal0
Penyanyi Impossible tinggalkan pengajian demi cintakan muzik

DEMI cintanya terhadap muzik, penyanyi yang kerap disamakan dengan Rihanna, Shontelle Layne, 25, dari Barbados sanggup meninggalkan pengajian dalam bidang undang-undang.

Pada mulanya, hasrat wanita tinggi lampai ini mendapat tentangan kedua-dua orang tuanya yang lebih mementingkan pendidikan dan perniagaan kerana mereka beranggapan, muzik tidak mampu menjanjikan kesenangan kepada anak gadis mereka.

Namun kini, kedua orang tua Shontelle pula menjadi penyokong kuat kerjaya seninya setelah melihat nama anak sulung dari tiga beradik itu semakin melonjak bukan saja di tanah air mereka, tetapi di serata dunia. Walau bagaimanapun, Shontelle terlebih dulu dikenali di United Kingdom sebelum melakar nama di negara kelahirannya sendiri. Tatkala berkunjung ke sini baru-baru ini, Shontelle yang bersahabat baik dengan David Archuleta memberitahu dia tidak kesal meninggalkan pengajian dalam bidang undang-undang semata-mata untuk mencipta nama sebagai penyanyi kerana dia percaya, peluang keemasan seperti ini tidak akan selalu datang.

"Oh, anda tahu mengenai penangguhan pengajian saya?" soal Shontelle kembali dengan wajah malu-malu.

Pengalaman mengikuti pengajian undang-undang, katanya, satu kenangan yang hebat.

"Namun muzik pula adalah sesuatu yang ingin sangat saya lakukan. Saya tidak mampu melepaskan peluang yang sudah terbentang di depan mata, walaupun pengajian saya hanya berbaki dua subjek saja lagi.
"Bagi saya, apabila sudah memilih jalan ini, tidak boleh sekelumit pun timbul rasa kesal. Lagipun apa yang saya pelajari di universiti masih boleh saya gunakan dalam kerjaya saya. Ia memberi kelebihan kepada saya untuk memahami syarat dan terma kontrak sebelum menandatangani sebarang surat perjanjian. Keluarga juga nampaknya sudah boleh menerima haluan yang saya pilih ini.

"Ibu bapa saya agak ortodoks, mereka tidak percaya muzik boleh beri saya makan. Tetapi kini, mereka adalah penyokong kuat saya," kata Shontelle yang mula menulis lagu sejak di bangku sekolah lagi.

Dia banyak menulis lagu untuk artis tempatan dari negeri kelahirannya termasuklah ibu saudaranya Kim Derrick, penyanyi terkenal di Barbados.
Sentuhannya untuk penyanyi genre soca, Alison Hinds berjudul Roll It menjadi titik permulaan Shontelle apabila dua penerbit dan penulis lagu dari New York iaitu Evan Rogers dan Carls Sturken tertarik dengan sentuhannya itu.

Evan dan Carls ialah pengurus kepada penyanyi terkenal yang juga berasal dari Barbados, Rihanna. Penyanyi Umbrella itu pernah menganggotai aktiviti kadet yang sama.

"Saya masih ingat lagi, ketika itu saya berada di New York dan akan berangkat pulang ke Barbados keesokan harinya. Tiba-tiba, saya menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Evan Rogers iaitu pengurus kepada Rihanna.

"Evan memberitahu dia tertarik dengan lagu ciptaan saya, Roll It, dan meminta saya mengambil kereta api paling awal untuk bertemu dengannya. Tanpa banyak tanya, saya penuhi permintaannya.

"Ketika bertemu dengan Evan dan Carls, mereka bertanya bolehkan saya menyanyi. Saya pun terus mencapai gitar dan menyanyikan lagu Killing Me Softly di hadapan mereka. Selepas itu, mereka terus bertanya adakah saya berminat untuk menjadi penyanyi. Lalu saya pun menjawab, itu memang impian saya sejak dulu. Dari situ, kami mula menjalin kerjasama dan terhasillah album sulung saya berjudul Shontelligence, dua tahun lalu," katanya yang baru saja melancarkan album kedua berjudul No Graviti.

Penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Impossible dan T-Shirt itu sekali lagi turut memberikan sentuhan terhadap album keduanya yang diberi nafas baru. Jika album pertamanya dulu lebih terarah kepada elemen Barbados seperti raggae, No Gravity pula katanya, sesuai diputarkan di kelab.

"Saya sukakan semua jenis muzik dan saya tidak mahu hanya terarah kepada satu genre muzik saja. Atas alasan itu, untuk album kedua ini, ia lebih mesra pendengar dan sesuai diputarkan di kelab malam. Saya seronok duduk terperuk menghasilkan lagu, ia memberi satu kepuasan apabila hasil karya kita diterima ramai," katanya.

Ditanya bagaimana perasaannya apabila sering kali dikaitkan dengan Rihanna, wanita yang cukup aktif dengan sukan renang, balapan dan juga kadet itu berkata, dia sudah lali dikaitkan dengan penyanyi terkenal itu.

"Saya sudah tepu dikaitkan dengan Rihanna. Cuma saya tidak tahu di manakah persamaan itu. Rihanna seorang perempuan yang cantik. Ketika kami sama-sama menyertai kadet, saya akui terpegun dengan kecantikan serta ketinggiannya hingga saya menyangka satu hari nanti dia akan bergelar seorang peragawati, tetapi tekaan saya silap kerana dia akhirnya dikenali sebagai penyanyi," kata Shontelle.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

@Sinepleks: Filem aksi, thriller kuasai pawagam

Posted: 07 Jan 2011 03:53 PM PST

Hip

NEF sediakan judul terbaik untuk hiburan peminat

MENGAKHIRI 2010 dengan filem bercorak drama mendebarkan lakonan Naomi Watts dan Sean Penn, Fair Game, Nusantara Edaran Filem (NEF) nampaknya terus menyediakan pelbagai lagi judul yang diharap dapat menarik lebih ramai peminat berkunjung ke pawagam sepanjang 2011 ini.

Antara judul terbabit termasuk filem thriller fantasi lakonan Nicolas Cage, Season of the Witch; filem aksi yang dibintangi Jason Statham, The Mechanic; filem epik aksi dibarisi Channing Tatum, Mark Strong dan Jamie Bell, The Eagle; filem daripada pengarah genre seram disegani ramai, Wes Craven, Scream 4; komedi cinta yang menggandingkan semula Tom Hanks dan Julia Roberts, Larry Crowne; dan filem susulan seram mengenai ikan pembunuh, Piranha 3D: The Sequel.

Cage masih menjadi taruhan studio utama perfileman apabila dia disenaraikan dalam beberapa judul yang akan menemui peminat tahun ini. Selain Season of the Witch yang kini ligat ditayangkan di seluruh negara, aktor itu juga akan muncul dalam Drive Angry, bersama-sama pelakon Billy Burke, yang akan menemui penonton 25 Februari nanti. Begitu juga dengan Statham yang mula mencipta nama menerusi watak Frank Martin dalam filem The Transporter (2002), dia juga turut muncul dalam sebuah lagi judul edaran NEF, Blitz. Andainya The Mechanic yang dibintanginya bersama Ben Foster dan Christa Campbell menemui peminat di pawagam pada 18 Februari, filem Blitz pula akan menghiburkan peminat bintang lasak itu pada 16 Jun nanti.

Daripada pengarah yang menghasilkan filem seperti State of Play dan The Last King of Scotland, Kevin Macdonald, sebuah lagi filem aksi berjudul The Eagle bakal memasuki panggung mulai 4 Mac ini.

Filem ini berkisar pada usaha seorang wira muda Rom pada 140 M untuk mencungkil kebenaran di sebalik kehilangan tiba-tiba sekumpulan tentera bapanya di utara Britain, 20 tahun sebelum itu. Pemuda berkenaan, Marcus Aquila (Tatum), mengembara bersama hamba keturunan British, Esca (Bell), melepasi Kubu Hadrian hingga ke Caledonia, tempat di mana dia harus berdepan beberapa puak untuk mendapatkan semula lambang pasukan tentera berkenaan, seterusnya mengembalikan reputasi si bapa.

Bagi peminat siri filem Scream pula, tentunya mereka tidak mahu ketinggalan menyaksikan siri keempat francais yang cukup berjaya itu apabila Scream 4 mula diputarkan di pawagam berdekatan pada 15 April. Filem ini dibintangi Courtney Cox, Neve Campbell, Hayden Panettierre, Emma Roberts dan David Arquette.
Dalam versi terbaru ini, sepuluh tahun sudah berlalu dan Sidney Prescott kini berjaya melupakan kenangan silam menakutkan, terutama menerusi aktiviti penulisan. Bagaimanapun, segala kelegaan itu kembali hilang apabila pembunuh bertopeng hantu menjejakinya semula.

Peminat setia Tom Hanks dan Julia Roberts pula sudah semestinya kegirangan apabila gandingan mantap itu sekali lagi muncul di layar perak selepas filem Charlie Wilson's War pada 2007. Filem terbaru lakonan mereka, Larry Crowne, akan ditayangkan mulai 7 Julai, dengan Hanks sendiri bertindak sebagai pengarah.

Filem ini mengisahkan Larry Crowne (Hanks) yang ingin mencipta semula dirinya selepas disingkirkan daripada pekerjaan, dengan memasuki sebuah kolej. Di situ, dia bersahabat baik dengan pelajar lain dan mencuri hati seorang profesor wanita (Roberts).

Pada 22 September pula, kisah sekumpulan ikan pembunuh dari zaman lampau kembali mengganas di pawagam dalam Piranha 3D: The Sequel. Filem mengerikan ini ialah sambungan filem Piranha 3D yang menemui penonton tahun lalu, yang bukan saja berjaya dari segi pungutan pecah panggung, malah turut diterima baik oleh pengkritik.

Selain Ving Rhames yang dikatakan bakal kembali menjayakan watak Timbalan Syerif Fallon, pelakon Neil Hopkins juga khabarnya akan turut beraksi dalam kisah susulan ini.

Judul lain yang turut diedarkan NEF pada tahun ini ialah The Way Back yang menemui penonton pada 21 Januari, Apollo 18 (11 Mac), Beastly (18 Mac), Paranormal Activity: Tokyo Night (25 Mac), The Lincoln Lawyer (7 April), The Resident (22 April), The Immortals (11 November) dan Breaking Down (24 November).


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.