Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Dilarang berubah bentuk badanSEBAGAI individu yang pernah bekerja sebagai seorang model, dia sudah terbiasa dengan isu berat badan dan syarat wajib bahawa berat badan seorang model tidak boleh bertambah bagi mengelakkan ukuran badan bertambah dan tidak muat untuk memperagakan pakaian yang telah ditetapkan ukurannya itu. Namun bagi jelitawan Olivia Wilde yang juga bintang siri televisyen popular House, pengalaman berlakon dalam filem Tron: Legacy pasti tidak akan dapat dilupakannya. Terpilih untuk melakonkan watak Quorra, pahlawan di alam digital yang dikenali sebagai Tron, Olivia mendedahkan betapa dia terseksa sepanjang empat bulan menjalani penggambaran filem sains-fiksyen terbitan Disney yang turut menampilkan lakonan Garrett Hedlund, Jeff Bridges, Bruce Boxleitner, Michael Sheen, James Frain dan Beau Garrett itu. "Melakonkan watak Quorra merupakan suatu penyeksaan buat saya," akuinya yang mula mencipta nama menerusi siri TV, The O.C. "Saya diisyaratkan pihak penerbit supaya mengekalkan ukuran badan saya - bermakna berat tubuh saya tidak boleh naik atau turun untuk watak Quorra sepanjang empat bulan menjalani penggambaran Tron:Legacy. "Ia kerana kostum khas yang ketat telah disediakan untuk watak Quorra dan ia dibuat dalam satu ukuran sahaja serta tidak boleh diubahsuai lagi," jelas Olivia. Tambahnya: "Seperkara lagi mengenai kostum tersebut ialah ia tidak boleh ditarik. Ketika saya dipanggil untuk sesi pengukuran badan untuk kostum itu buat kali terakhir sebelum memulakan penggambaran, ia seperti, 'Okay. Inilah saiz kostum Quorra yang kekal'.
"Ketika itu juga saya dapat merasakan bahawa kostum itu tidak boleh diubah lagi, biarpun cuma sedikit." Menurutnya lagi, kostum itu sememangnya dihasilkan lebih daripada sehelai, tetapi terdapat untuk satu ukuran sahaja. "Anda tidak boleh kata, 'Oh, kostum itu ada banyak ukuran atau ia boleh diubahsuai'," ujarnya. Namun, Olivia yang mempunyai bentuk tubuh yang langsing bernasib baik kerana berjaya mengekalkan ukuran badannya itu sepanjang tempoh penggambaran filem tersebut. "Selama empat bulan menjalani penggambaran Tron:Legacy ia merupakan suatu penyeksaan dari segi fizikal, selain mental, tapi itulah bayarannya untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya. Nasib baik berat badan saya kekal sehingga tamat penggambaran," ungkap Olivia. Biarpun terseksa, dalam nada penuh keterujaan aktres berusia 26 tahun itu menegaskan dia sangat seronok menjadi Quorra. "Saya banyak membuat kajian mengenai pahlawan legenda Perancis, Joan Of Arc. "Saya juga diajar tentang seni mempertahankan diri, membuat latihan demi latihan dan segalanya dilakukan hanya untuk Quorra. "Semasa itu barulah saya sedar, perasaan serta kekuatan diri Quorra dan itu bukanlah saya yang sebenar. Tanpa latihan dan transformasi elemen fizikal dilakukan, saya tidak akan tahu siapa itu Quorra sebenarnya. Ia sangat mencabar," bicaranya. OLIVIA bersama barisan pelakon lelaki filem Tron:Legacy, (dari kiri), Michael Sheen, Garrett Hedlung, Jeff Bridges dan Bruce Boxleitner. Daniel Craig Olivia mengakui apa yang yang digemarinya tentang Tron:Legacy ialah aspek elemen kemanusiaan yang diterapkan filem itu. "Terpilih untuk berlakon dalam sebuah filem bajet mega seperti Tron:Legacy ini telah membuatkan saya berasa seperti saya kini boleh lakukan apa sahaja. "Pengalaman yang dikutip sepanjang berlakon filem ini menyuntik keyakinan berganda sebelum menyertai projek filem baru saya, Cowboys & Aliens yang bakal menggandingkan saya bersama barisan pelakon hebat iaitu Harrison Ford, Daniel Craig dan Sam Rockwell," tuturnya. Bercerita mengenai falsafah filem itu kata Olivia: "Bagi saya, falsafah filem Tron yang pertama dihasilkan boleh dirumuskan sebagai persoalan mengenai robot dan manusia seperti mana juga filem Terminator. "Sejak 20 tahun lepas, kesemua filem sains-fiksyen berkisar mengenai perkara ini. Namun, Tron tidak menyerupai mana-mana filem tersebut. Tambahnya: "Menerusi Tron, persoalan yang diungkit ialah apa akan terjadi apabila teknologi ambil alih kehidupan manusia dan perkara baru ini menjadi lebih berkuasa dari manusia. CANGGIH. Suasana ketika penggambaran filem Tron:Legacy sedang berlangsung. "Itu adalah andaian. Bagaimanapun, setelah 30 tahun kemudian, filem ini (Tron: Legacy) pula bukan membawa persoalan tapi menyatakan bahawa teknologi telah mengambil alih manusia dan kita menjadi hamba kepadanya. "Bolehkah kita melepaskan diri daripada cengkaman teknologi? Jika difikirkan semula kita sebagai manusia harus menghargai dan memanfaatkan teknologi yang dicipta untuk kebaikan manusia." | ||||
Posted: Rosyam Noor akur
RANCANGAN televisyen berbentuk realiti untuk mencari bakat-bakat baru dalam dunia lakonan, Pilih Kasih kini kembali dengan musim baru yang menjanjikan lebih kepuasan buat penonton dan peminat dunia seni tanah air. Pentas Pilih Kasih bakal disiarkan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Mohamad, Negeri Sembilan pada pukul 8.30 malam hari ini, di TV2. Penonton bakal dihidangkan dengan drama, sesi monolog dan teater muzikal yang dibintangi oleh 16 orang peserta Pilih Kasih musim kedua. Pentas Pilih Kasih itu merupakan peringkat seterusnya yang ditampilkan menerusi rancangan popular ini, selepas sesi uji bakat dan Kisah Pilih Kasih yang telah mula bersiaran di TV2 sejak 25 September lalu. Penerbit Pilih Kasih, Rosyam Noor berkata, Pilih Kasih musim kedua membawa banyak kelainan berbanding musim pertama. "Program ini bukan dibeli dari luar, sebaliknya merupakan rekaan anak tempatan sendiri. Kita banyak perbaiki kelemahan musim lepas," katanya. Antara kelainan yang jelas kelihatan ialah pengurangan jumlah peserta, hanya 16 orang peserta dipilih musim ini berbanding 20 orang pada musim pertama. "Pihak Pilih Kasih mahu mengutamakan kualiti peserta dan memberi lebih tumpuan kepada setiap peserta agar segala bakat mereka dapat dicungkil dan diketengahkan. "Kami pilih mereka berdasarkan bakat. Kami tidak kisah sama ada mereka cantik atau tidak, gemuk atau kurus dan sebagainya," jelas Rosyam. Musim kedua juga diperkuatkan lagi dengan kehadiran nama-nama besar dalam industri seni tanah air seperti Aziz M. Osman sebagai pengarah drama pendek, Hamzah Mohamed Tahir sebagai pengarah monolog, Erma Fatima sebagai pengarah teater, Fatimah Abu Bakar sebagai tutor lakonan serta Fauziah Nawi dan Dr. Abu Hassan sebagai pengkritik tetap. "Sesi drama pendek juga akan digubah menjadi menggunakan konsep satu minggu satu cerita, bukannya drama bersiri seperti sebelum ini.
"Selain itu, bekas peserta Akademi Fantasia, Reza Mohamed akan mengacarakan siaran langsung Pentas Pilih Kasih secara solo," katanya. Namun begitu, Pilih Kasih musim terbaru itu dilanda kontroversi apabila ditimbulkan soal isu judul rancangan tersebut iaitu Pilih Kasih yang dianggap sebagai tidak sesuai. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sendiri sebelum ini berpendapat bahawa judul itu kurang sesuai. Ini kerana menurut beliau, istilah pilih kasih itu dengan sendirinya memberi cerminan yang tidak adil selain merupakan perangai manusia yang tidak positif. Rosyam mengakui kebenaran perkara tersebut dan dia sendiri akur untuk menukar nama rancangan itu, tapi bukan untuk musim yang kedua ini. "Saya terpaksa mengekalkan nama Pilih Kasih untuk musim kedua ini kerana ia telah digunakan sebagai jenama sesi uji bakat yang diadakan untuk rancangan ini. "Saya selaku penerbit memohon maaf, saya sedar perkara itu dan akan akur untuk menukar judul rancangan ini untuk musim seterusnya," katanya. Orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri Pentas Pilih Kasih secara langsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Mohamad, Negeri Sembilan, bermula pukul 8 malam ini. Tiada sebarang pas atau tiket diperlukan. - IKHWAN IDERIS |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |