Adsense

Sabtu, 11 Disember 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Sentiasa ingat pesan mama

Posted: 10 Dec 2010 06:24 AM PST

DIA nampak lebih matang daripada usia sebenar, 18 tahun. Dia bukan saja jelita, tetapi lebih penting membawa legasi bakat daripada ibunya, penyanyi terkenal Rohana Jalil.

Bagi Syakila Nisha Jahangir Khan, dunia seni yang diceburinya kini cukup bermakna kerana mendapat sokongan dan restu keluarga terutama ibu.

Namun Syakila tidak pernah terlintas mengambil jalan mudah dengan hanya bergantung kepada kemasyhuran nama ibu semata-mata.

Namun jika ibu lebih sinonim dengan irama pop, Syakila atau Kila merasakan genre R&B dan tarian lebih sesuai dengan vokalnya.


"Kila memang minat menyanyi, tapi tak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi seperti Mama.


"Ini kerana Kila bercita-cita untuk menjadi pereka fesyen.

"Namun kawan-kawan Mama selalu memberi galakan termasuklah Mama sendiri.

"Dulu masa Kila masih bersekolah, Kila cukup minat mendengar dan menyanyi lagu-lagu Hindustan.

"Kalau menghadiri mana-mana majlis persembahan, Kila selalu dipaksa menyanyi lagu Hindustan.

"Cuma apabila meningkat remaja, Kila lebih cenderung kepada muzik R&B dan tarian," katanya.

Apa yang nyata, pembabitan pelajar bidang Pengurusan & Pemasaran Fesyen di Raffles International College, Kuala Lumpur ini dalam bidang glamor bukanlah agenda baru.

Ketika usia sembilan tahun, dia pernah diperkenalkan menerusi beberapa drama kanak-kanak seperti Chan Mali Chan dan Batu Belah Batu Bertangkup.

Bagaimanapun, ketika melangkah alam persekolahan menengah, dia mengambil keputusan untuk membataskan kerjaya seni kerana mahu memberi tumpuan kepada pelajaran.

Terbaru, selain Misteri Alam Hutan arahan Rashid Sibir, pemilik mata galak ini turut membintangi drama Hotel Mania.

Pembabitan dalam Hotel Mania juga ibarat langkah kanan buat Kila apabila ditawarkan merakamkan album di bawah KRU Berhad.

"Semuanya berlaku secara kebetulan. Kila ada urusan dengan kawan Mama iaitu Uncle Jaafar Onn yang meminta Kila bertemunya di lokasi penggambaran drama bersiri Hotel Mania. Maklumlah Uncle Jaafar adalah salah seorang pelakon siri popular itu.

"Setibanya di sana Kila disapa seorang jurukamera yang meminta Kila berdiri di depan kamera. Kemudian, dia menunjukkan rakaman itu kepada pengarah Nizam Zakaria.

"Nizam bertanya, apakah Kila berminat menjadi pelakon dan Kila cakap tiada masalah untuk mencuba. Selepas berbincang, dia pun menawarkan kontrak untuk satu episod sebagai penampilan khas.

"Episod yang Kila jayakan itu terdapat babak yang memerlukan Kila menyanyi dan dari situlah KRU pula mengesan bakat Kila.

Abang Edry minta serahkan profil sebelum menguji bakat.

"Sebagai permulaan Kila akan diperkenalkan menerusi sebuah single. Jenis muzik yang bakal diketengahkan berkonsepkan R&B dan dance.

"Lagipun ia bersesuaian dengan usia Kila selain lagu-lagu bercorak sebegitu mampu menyerlahkan kemampuan Kila bukan saja sebagai penyanyi, tetapi penghibur," katanya.

Sudah sedia menghadapi cabaran anak seni serta asam garam dunia artis yang penuh pancaroba, Kila sentiasa menjadikan pesanan ibunya sebagai perangsang dan peringatan.

"Mama selalu ingatkan Kila, jangan lupa diri bila dah popular nanti. Malah, dia berpesan supaya sentiasa mengamalkan sikap merendah diri. Insya-Allah, Kila akan sentiasa ingat pesan Mama," katanya.

Ketika kunjungan Kila di Balai Berita, baru-baru ini untuk menjayakan sesi fotografi khas bersama Rap, dia setia ditemani ibunya.

Kesempatan itu digunakan penulis untuk bertanya kepada Rohana, mengapa dia begitu memberi galakan sedangkan ramai artis lain tidak mahu anak-anak menuruti jejak langkah kerana cabaran bidang ini tak mudah.

"Terus terang saya tak kisah. Saya suka anak-anak saya menceburi bidang seni tetapi mereka haruslah serius, jujur dan ikhlas dengan apa yang mereka lakukan selain bijak mengatur langkah, menjaga maruah diri serta nama baik keluarga.

"Sebagai ibu saya memberi galakan pada anak-anak, berkongsi pengalaman supaya dapat dijadikan teladan. Bagi segelintir ibu bapa berstatus artis yang keberatan membenarkan anak mereka menceburi bidang seni, mungkin mereka berhadapan suasana yang tidak menyeronokkan.

"Sebaliknya saya amat bersyukur kerana sampai saat ini masih ramai peminat yang menghargai bakat saya.

"Ia bergantung kepada bagaimana cara membawa diri kita di hadapan peminat dan memasang niat yang ikhlas," katanya.

PROFIL
NAMA: Syakila Nisha
UMUR: 18
PENDIDIKAN: Kini sedang dalam pengajian Diploma Lanjutan dalam Pengurusan dan Pemasaran Fesyen
KOLEJ: Kolej Antarabangsa Raffles
KERJAYA: Pelajar, penyanyi dan pelakon
DRAMA: Hotel Mania dan Misteri Alam Hitam (Darah Pontianak)
FILEM: Karak arahan Yusry KRU
HOBI: 'Rock climbing', beli-belah dan joging

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Halang muat turun haram

Posted: 10 Dec 2010 06:14 AM PST

PERKEMBANGAN teknologi membolehkan masyarakat mendapatkan hiburan sama ada melalui mendengar lagu mahupun menonton filem menerusi pelbagai saluran.

Bagaimanapun, timbul persoalan bagaimana muat turun dilakukan pengguna secara percuma boleh dikekang kerana jika perbuatan itu tidak dihalang ia akan memberi kesan kepada pendapatan pengkarya dalam jangka masa panjang.

Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meminda Akta Hakcipta 1987 pada majlis Malam Mesra MACP 2010, baru-baru ini, pastinya disambut baik penggiat seni.

Menarik apabila Ismail menjelaskan isu pindaan akta terbabit akan dilaksanakan pada tahun depan dan pembentangan mengenainya di Parlimen akan dilakukan secepat mungkin.


Selain itu, Tribunal Hak Cipta, yang menjadi penimbang tara dalam soal pertikaian hak intelek, akan diwujudkan semula.


Jelas Ismail sebelum ini apabila ada pengkarya menyaman pihak yang melaksanakan rakam rompak ia mengambil masa panjang apabila dibicarakan di mahkamah dan keputusan tuntutan biasanya tidak seberapa.

Katanya, apabila Tribunal Hak Cipta diwujudkan kembali ia membolehkan penggiat membuat aduan terus kepada tribunal tanpa perlu ke mahkamah.

"Kementerian juga akan menggubal pendaftaran hak cipta bagi membolehkan pembuktian terhadap karya diciplak mudah dilaksanakan.

"Ia memerlukan pindaan akta terbaru dan pencipta mahupun komposer boleh mendaftar setiap hasil karya secara sukarela.

"Mereka boleh melakukan pendaftaran di Perbadanan Intelek Malaysia (MyIPO). Setiap pendaftaran akan diberikan sijil bukti," katanya.

Paling penting, jelas Ismail, pindaan itu sejajar perkembangan teknologi terkini seperti penggunaan Internet atau muat turun menerusi mp3 atau iPod.

"Sebelum ini kementerian menjalinkan kerjasama dengan beberapa badan dan pertubuhan yang bertanggungjawab dalam menjaga royalti karyawan muzik mahupun filem dalam mengekang masalah cetak atau rakam rompak.

"Masalah itu semakin berkurangan namun sekarang pengguna beralih pula kepada teknologi canggih, mereka mudah muat turun lagu mahupun filem tanpa kebenaran.

"Undang-undang bagi halang muat turun secara haram ini perlu digubal dan dilaksanakan segera.

"Akta ini akan dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang. Pindaan dibuat adalah untuk kebaikan semua pihak termasuk komposer dan penulis lirik muzik dalam usaha meningkatkan lebih banyak hasil kreativiti negara.

"Selain daripada itu, ia berupa komitmen kementerian ke peringkat antarabangsa dalam memperluaskan dan meningkatkan perlindungan harta intelek umumnya dan hak cipta khususnya," katanya.

Memberikan maklum balas, Pengerusi MACP, Habsah Hassan berkata, pindaan akta adalah perlu untuk membawanya setaraf dengan undang-undang negara membangun yang lain dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi.

"Saya turut mengharapkan agar MyIPO yang diberikan kuasa untuk melaksanakan akta berkenaan agar ia membela nasib pengkarya seni. Pindaan akta itu boleh dianggap sebagai langkah permulaan yang sangat baik," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.