Utusan Online - Hiburan |
Posted: Wartawan bukan musuh SchaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba nama aktres ini terpalit dengan kontroversi terbaru apabila Scha Al-Yahya didakwa telah melabelkan wartawan sebagai monyet. Barangkali berita itu agak mengejutkan kerana selama tiga tahun dia berkecimpung dalam bidang seni, jarang sekali namanya terheret ke kancah kontroversi yang melibatkan dirinya dan pihak media. Apakah benar dakwaan yang sudah bertebaran di alam maya itu memang keluar dari mulut Scha sendiri? Atau mungkinkah ada pihak yang cuba menabur fitnah terhadap dirinya sekali gus mahu menjatuhkan reputasinya sebagai seorang anak seni? Ketika diminta mengulas tentang perkara itu, Scha hanya mampu menghela nafas panjang seraya menggelengkan kepalanya. "Ingin saya tegaskan di sini, semua dakwaan itu tidak benar sama sekali. Memang cerita-cerita karut yang tersebar itu semuanya salah faham dan telah disampaikan dengan maksud yang berbeza. "Mana mungkin saya mahu menggali kubur saya sendiri dengan mengatakan pihak wartawan sebagai monyet. Itu memang kerja gila kalau benar saya yang mengatakannya. Saya juga bukan bodoh untuk berbuat demikian. "Selama tiga tahun dalam bidang ini, saya langsung tidak ada masalah dengan mana-mana wartawan dan hubungan saya dengan mereka pun semuanya berjalan lancar," kata Scha dalam nada tegas. Juara Dewi Remaja 2006 ini ditemui ketika penggambaran drama bersiri, Awan Dania musim ketiga di Seoul, Korea, baru-baru ini. Tambah Scha, dia menyedari perkara itu selepas buah hatinya, Awal Ashaari menelefonnya dan memberitahu akan perkara itu. Jelas Scha, semuanya berpunca daripada satu kenyataan yang dikeluarkannya menerusi Twitter yang berbunyi, "When a production is run by a bunch of monkeys, you will get peanuts." "Saya memang mengeluarkan kenyataan itu sebagai membalas keluhan salah seorang saudara saya yang tidak puas hati dengan perjalanan syarikat tempat dia bekerja. "Entah siapa yang salah faham dengan kenyataan itu telah menyalah tafsir sehingga ia menjadi satu perkara yang besar dan mengatakan saya melabelkan wartawan sebagai monyet pula," katanya dalam nada serius. Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini juga memberitahu, seboleh-bolehnya dia tidak mahu lagi dikaitkan dengan cerita yang kurang enak sehingga mampu menjejaskan perjalanan seninya. Kerana itu, dia cukup sedar kebelakangan ini namanya sedikit suram daripada industri seni dan dia sendiri tidak kisah dengan senario itu. Adalah lebih baik kata Scha, untuk dia menumpukan fokus dan perhatiannya terhadap kerja tanpa mahu sebarang kontroversi lagi mengiringi kariernya. Bagi wanita berusia 27 tahun ini, segala kisah panas yang pernah berlaku dalam hidupnya dijadikan sebagai pengajaran dan salah satu proses dalam mematangkan dirinya. "Apabila saya melihat nama saya semakin reda dengan kisah panas dan kurang menjadi perhatian, saya berasa sedikit lega. "Tidaklah lagi asyik-asyik dikaitkan dengan kontroversi yang saya sendiri sudah letih untuk melayannya. Cukup-cukuplah apa yang berlaku dan semua itu telah membuka mata agar lebih berhati-hati dalam setiap langkah saya. "Kini, saya mahu terus melangkah ke depan dengan kerjaya saya. Itu adalah lebih penting untuk saya. Nanti masyarakat dan peminat pun akan bosan dengan saya kerana bukannya cerita karier yang banyak diceritakan tetapi kisah personal," katanya yang tidak pernah menyesal dengan segala yang telah berlaku. | ||
Posted: Semua itu fitnah - Edry KRUOleh ABD. AZIZ ITAR LAGU Ku Ada Kamu nyanyian Adira yang terpilih pada peringkat separuh akhir kedua pertandingan Muzik Muzik 25 minggu lalu menjadi kecoh apabila ada wartawan yang mempertikaikan keaslian lagu ciptaan tersebut. Lirik dan lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu didakwa kononnya mempunyai sedikit persamaan dengan melodi lagu If We Hold On Together dendangan Diana Ross tidak lama dulu. Isu itu dicetuskan seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris pada sidang akhbar selepas berakhirnya peringkat separuh akhir kedua Muzik Muzik 25 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor. Edry semasa dihubungi berasa kecewa dengan tuduhan itu dan menyifatkan ia bukan sahaja tidak berasas tetapi berniat jahat untuk menjatuhkan reputasinya sebagai komposer. "Semua itu fitnah! Saya ada bukti mencipta lagu itu sendiri dan tidak ada kena mengena dengan menciplak mana-mana lagu. Malah score music (nota muzik) untuk membuktikan yang lagu ini tiada persamaan dengan lagu yang dimaksudkan. "Dengan score music itu saya boleh membawanya ke mahkamah sebagai bahan bukti dan segala tuduhannya itu tidak berasas dan saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kerana dia telah mencemari kreativiti saya. "Saya hairan mengapa selepas lebih tujuh bulan lagu itu dicipta dan dipopularkan oleh Adira baru sekarang pihak terbabit mempertikaikannya?" soalnya sewaktu dihubungi kelmarin. Ku Ada Kamu merupakan lagu nyanyian Adira yang merupakan finalis pertandingan Akademi Fantasia 8 yang terpilih mara ke peringkat seterusnya dalam Muzik Muzik 25 bersama lima lagi lagu lain. Lima lagi lagu yang terpilih pada peringkat separuh akhir kedua Muzik Muzik 25 itu ialah Drama King (Meet Uncle Hussain), Tolong Ingatkan Aku (Anna Raffali), Jahat (Stacy), Susun Silang Kata (Aizat)dan Sofea Jane (Black). Menurut anggota KRU itu, pihak yang menuduh mengatakan lagu Ku Ada Kamu sebuah lagu ciplak sepatutnya tampil dengan bukti sebelum membuat sebarang tuduhan. Katanya, dia berasa kesal kerana tuduhan yang dilemparkan dan disebarkan di kalangan wakil-wakil media massa lain boleh mempengaruhi kredibiliti dan peluang lagu itu untuk mara pada pertandingan tersebut. "Ini melibatkan maruah saya sebagai komposer. Apatah lagi, selepas 18 tahun terbabit dalam bidang muzik tuduhan seperti ini menyebabkan saya berasa amat kecewa. "Saya tidak faham mengapa wartawan terbabit menuduh saya begitu. Selama ini beratus ribu orang sudah mendengar lagu Ku Ada Kamu tetapi belum ada pun yang merungut atau mempertikaikannya," ujarnya. Sama seperti lagu-lagu lain yang terpilih pada peringkat separuh akhir kedua dan pertama Muzik- Muzik 25, Ku Ada Kamu juga mempunyai harapan cerah untuk mara ke peringkat seterusnya iaitu Anugerah Juara Lagu 25. Sayangnya, kata Edry, dengan tuduhan dan cerita-cerita kurang enak berhubung lagu itu, dia bimbang ia juga akan mempengaruhi penjurian untuk Ku Ada Kamu bagi meneruskan kemaraannya. "Walau apa pun bukti yang saya akan kemukakan tetapi apabila cerita negatif dan tidak benar tentang keaslian lagu Ku Ada Kamu, ia akan menjejaskan reputasinya untuk terus bersaing. "Kalau benar lagu itu tidak asli saya minta pihak terbabit tampil bagi mengemukakan bukti. Saya tidak faham mengapa wartawan tersebut membuat tuduhan begitu? "Dia bukan sahaja membuat tuduhan melulu tetapi turut mempengaruhi wartawan lain dengan kenyataan seperti itu yang memang tidak berasas. Biasalah dalam bidang penciptaan lagu ia sangat subjektif. "Takkanlah saya mencipta lagu genre pop yang penyanyi lain nyanyikan, maka saya dituduh menciplak. Sedangkan dalam lagu itu melodi dan liriknya saya cipta sendiri. Bagi saya perkara seperti itu tidak adil," jelasnya. Sehubungan itu, tambah Edry lagi, adalah tidak adil bagi segelintir wakil media yang menjustifikasikan sesebuah lagu dan mengaitkannya dengan lagu-lagu lain daripada segi melodi. Ini kerana, penggunaan konsep muzik seperti pop dan rock telah dijadikan medium oleh ramai komposer dalam mencipta lagu di mana kelainan melodi lagu dan lirik baru yang ditulis boleh membezakan kelainannya. "Menciplak lagu bermaksud mengambil sedikit melodi atau mengambil idea daripada lirik lagu-lagu lain. Tetapi saya tidak lakukan perkara seperti itu dalam lagu Ku Ada Kamu. "Kalau macam itu, adakah kumpulan Bunkface dikatakan meniru lagu kumpulan Green Day kerana mereka membawakan konsep muzik punk rock yang terlebih dahulu diketengahkan oleh Green Day? Ini satu persepsi yang salah," kata Edry. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |