Adsense

Ahad, 21 November 2010

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Wartawan bukan musuh Scha

Posted: 21 Nov 2010 10:26 PM PST


SERIUS... Scha ketika menerima arahan daripada pengarah Awan Dania musim ketiga, Dinesh Samby (bertopi).


TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba nama aktres ini terpalit dengan kontroversi terbaru apabila Scha Al-Yahya didakwa telah melabelkan wartawan sebagai monyet.

Barangkali berita itu agak mengejutkan kerana selama tiga tahun dia berkecimpung dalam bidang seni, jarang sekali namanya terheret ke kancah kontroversi yang melibatkan dirinya dan pihak media.

Apakah benar dakwaan yang sudah bertebaran di alam maya itu memang keluar dari mulut Scha sendiri?

Atau mungkinkah ada pihak yang cuba menabur fitnah terhadap dirinya sekali gus mahu menjatuhkan reputasinya sebagai seorang anak seni?

Ketika diminta mengulas tentang perkara itu, Scha hanya mampu menghela nafas panjang seraya menggelengkan kepalanya.

"Ingin saya tegaskan di sini, semua dakwaan itu tidak benar sama sekali. Memang cerita-cerita karut yang tersebar itu semuanya salah faham dan telah disampaikan dengan maksud yang berbeza.

"Mana mungkin saya mahu menggali kubur saya sendiri dengan mengatakan pihak wartawan sebagai monyet. Itu memang kerja gila kalau benar saya yang mengatakannya. Saya juga bukan bodoh untuk berbuat demikian.

"Selama tiga tahun dalam bidang ini, saya langsung tidak ada masalah dengan mana-mana wartawan dan hubungan saya dengan mereka pun semuanya berjalan lancar," kata Scha dalam nada tegas.

Juara Dewi Remaja 2006 ini ditemui ketika penggambaran drama bersiri, Awan Dania musim ketiga di Seoul, Korea, baru-baru ini.

Tambah Scha, dia menyedari perkara itu selepas buah hatinya, Awal Ashaari menelefonnya dan memberitahu akan perkara itu.

Jelas Scha, semuanya berpunca daripada satu kenyataan yang dikeluarkannya menerusi Twitter yang berbunyi, "When a production is run by a bunch of monkeys, you will get peanuts."

"Saya memang mengeluarkan kenyataan itu sebagai membalas keluhan salah seorang saudara saya yang tidak puas hati dengan perjalanan syarikat tempat dia bekerja.

"Entah siapa yang salah faham dengan kenyataan itu telah menyalah tafsir sehingga ia menjadi satu perkara yang besar dan mengatakan saya melabelkan wartawan sebagai monyet pula," katanya dalam nada serius.

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini juga memberitahu, seboleh-bolehnya dia tidak mahu lagi dikaitkan dengan cerita yang kurang enak sehingga mampu menjejaskan perjalanan seninya.

Kerana itu, dia cukup sedar kebelakangan ini namanya sedikit suram daripada industri seni dan dia sendiri tidak kisah dengan senario itu.

Adalah lebih baik kata Scha, untuk dia menumpukan fokus dan perhatiannya terhadap kerja tanpa mahu sebarang kontroversi lagi mengiringi kariernya.

Bagi wanita berusia 27 tahun ini, segala kisah panas yang pernah berlaku dalam hidupnya dijadikan sebagai pengajaran dan salah satu proses dalam mematangkan dirinya.

"Apabila saya melihat nama saya semakin reda dengan kisah panas dan kurang menjadi perhatian, saya berasa sedikit lega.

"Tidaklah lagi asyik-asyik dikaitkan dengan kontroversi yang saya sendiri sudah letih untuk melayannya. Cukup-cukuplah apa yang berlaku dan semua itu telah membuka mata agar lebih berhati-hati dalam setiap langkah saya.

"Kini, saya mahu terus melangkah ke depan dengan kerjaya saya. Itu adalah lebih penting untuk saya. Nanti masyarakat dan peminat pun akan bosan dengan saya kerana bukannya cerita karier yang banyak diceritakan tetapi kisah personal," katanya yang tidak pernah menyesal dengan segala yang telah berlaku.

Alat senaman direka khas

Posted: 21 Nov 2010 10:25 PM PST

SENTIASA BERSAMA...setiap ahli Curves dibantu dalam mencapai sasaran.
SENTIASA BERSAMA...setiap ahli Curves dibantu dalam mencapai sasaran.

RAMAI yang mahu hak sama rata dengan lelaki, tetapi itu mungkin sekadar membabitkan pembayaran gaji serta kenaikan pangkat semata-mata.

Atas semangat mahukan persamaan, wanita di Malaysia tidak sesekali mahu berkongsi tandas awam dengan kaum Adam!

  • Foto

    TERBARU...pusat kecergasan yang punya lebih 10,000 cawangan di serata dunia kini hadir di Malaysia.

  • Foto

    BERKONGSI MINAT...Amutha dan Audrey sama-sama memiliki Curves pertama di negara ini.

  • Foto

    ALISON...mahu lebih ramai rakyat Malaysia peroleh manfaat.

  • Foto

    SONYA...hubungan sesama ahli diberi keutamaan.

  • Foto

    UNTUK WANITA...peralatan senaman direka khas untuk golongan hawa.

Wanita bukan hanya mahu gerabak kereta api khas dan bas khas untuk wanita, mereka juga mahu gimnasium khas!

Inilah antara kemahuan ramai wanita di Malaysia kerana kebanyakan kita sudah muak dengan pusat kecergasan yang tidak peka pada keinginan dan sensitiviti kaum hawa yang bukannya semua�nya bersifat terbuka.Walaupun ramai wanita yang berjawatan profesional dan berpelajaran tinggi, sifat pemalu tetap menebal dan tidak mungkin hilang kerana ia fitrah alam.


Seorang teman mengadu, dia akhirnya tidak mengunju�ngi sebuah pusat kecergasan kerana setiap kali sedang berlari di treadmill, beberapa lelaki berhenti bersenam kerana mahu melihat tubuhnya.

Maka, kewujudan pusat kecergasan yang mempunyai rangkaian terbesar di dunia, Curves di negara ini amat sesuai dengan masanya.

"Paling istimewa, pusat kecergasan ini hanya untuk wanita tanpa had usia dan lelaki tidak dibenarkan masuk sama sekali.

"Jadi, sebagai ahli, anda bebas berpakaian apa saja, mengikut keselesaan asal saja mengenakan kasut yang sesuai. Wanita Islam juga tidak perlu risau membuka tudung," tegas pemilik bersama Curves, Amutha Subramaniam, 35, sambil berkongsi cerita di beberapa negara, ada yang datang bersenam mengenakan blaus dan skirt kembang kerana itu keselesaan mereka.

Amutha yang memang sudah lama bercita-cita mempunyai pusat kecergasan seperti itu gembira dengan kehadiran Audrey Pereira yang bertindak sebagai pengurus kelab. Mereka juga dibantu oleh beberapa jurulatih yang berkelayakan.

"Saya dan Audrey sudah bersahabat sejak kami di sekolah rendah lagi dan kami mempunyai minat yang sama di dalam bidang kecergasan badan. Audrey pula mempunyai latar belakang di bidang arkitek jadi hasilnya, hiasan dalaman dan susun atur kelab ini tampil selesa seperti rumah sendiri," katanya.

Seperti Amutha, Audrey juga teruja menunggu kehadiran ahli baru di kelab mereka yang beroperasi di Kota Damansara, Petaling Jaya itu.

"Curves pasti sesuai untuk semua kerana peralatan yang ada di sini dicipta khas untuk wanita. Pemakanan sihat memang penting, tetapi ramai yang tidak sedar, senaman sangat diperlukan semua orang supaya kita kekal sihat dan bertenaga sepanjang masa.

"Wanita yang prihatin boleh hadir bersama kawan atau ahli keluarga kerana kita semua akan menjadi seperti ahli keluarga di sini," ujar Audrey.

Sebaik melangkah masuk ke Curves, warna latar ungu menyambut kedatangan. Senyuman dan keramahan petugasnya juga melegakan perasaan.

"Di sini, kami mahu ahli merasa selesa bagaikan di rumah sendiri. Selain peralatan senaman, kami menyediakan bilik mandi yang lengkap, bilik persalinan dan juga ruang santai," kata Amutha sambil membawa penulis melawat
ke seluruh sudut Curves.

Menurutnya, Curves di seluruh dunia menjadi sebutan ramai kerana ia memenuhi keperluan kaum wanita yang mahukan privasi.

"Di samping itu, peralatan senamannya serba lengkap sama ada untuk latihan kardiovaskular atau keseluruhan badan, hanya 30 minit untuk tiga kali rutin seminggu. Setiap kali rutin, anda akan kehilangan 500 kalori.

"Kini, alasan tiada masa tidak boleh diguna pakai lagi kerana kita perlu meluangkan masa setengah jam sahaja," katanya.

Amutha tidak sabar menyambut kedatangan orang ramai yang mahu menjadi ahli pada pembukaan Curves pada 22 November ini dan mensasarkan 500 orang sudi mendaftar.

"Sekiranya anda sering ke luar negeri, jangan risau, beritahu saja kami dan kami akan hubungi tempat yang mempunyai Curves di mana-mana negara yang anda kunjungi itu. Anda kemudian boleh menggunakan Curves di negara itu tanpa sebarang bayaran," katanya.

Rangkaian Curves kini berada antaranya di Amerika Syarikat, China, Kanada, Jepun, Singapura, Filipina, Arab Saudi, Turki, Taiwan, Vietnam, Australia, Qatar, Scotland, Jerman dan Perancis.

Pusat kecergasan itu begitu popular sehingga mempunyai lebih 10,000 cawangan di seluruh dunia di lebih 86 negara dan dipercayai oleh empat juta ahlinya.

Pakar Pembukaan Rang�kaian Curves dari New Zealand, Sonya Marsh yang turut ditemui Harian Metro mengatakan kelebihan Curves memang pelbagai.

"Selain daripada peralatan senaman yang berkesan, Curves juga sangat mementingkan hubungan sesama ahli.

"Pada waktu pendaftaran, anda akan ditemubual bagi mengetahui objektif dan harapan menyertai kelab ini selain latar belakang kesihatan dan permasalahan lain.

"Semuanya demi mendekati ahli dan pada masa sama, ahli yang mendaftar tahu
kesihatan dan keupayaan mereka sangat diambil berat," katanya.

Selain itu, setiap orang yang sedang melakukan senaman di pusat kecergasan itu akan sentiasa diawasi oleh jurulatih profesional sepanjang masa supaya mereka melakukan cara yang betul dan berjadual.

"Hubungan antara Curves dan ahlinya yang membuatkan ia disukai dan dipercayai
di seluruh dunia. Sekiranya anda tidak datang lama, kami pasti menelefon bertanya khabar dan mengingatkan mengenai jadual senaman seterusnya," katanya.

Sonya juga memberitahu setiap wanita yang mengunjungi Curves selalunya mempunyai masalah emosinya sendiri dalam proses untuk menurunkan berat badan.

"Kami mendengar masalah mereka dan bersama-sama cuba mengatasinya, pendekatan ini biasanya tidak ada di kelab kecergasan lain. Ramai yang menceritakan kejayaan mereka berubah menjadi insan yang berbeza dan bersemangat.

"Bukan sahaja kesihatan bertambah baik, tetapi juga segala-galanya mengenai diri mereka. Mereka jadi positif, berkeyakinan dan tidak lagi rendah diri.

"Kebanyakan pusat kecergasan hanya memerhati ahlinya bersenam pada kali pertama atau kedua, tetapi tidak di sini. Kami akan sentiasa bersama ahli dan menyokong mereka supaya sasaran tercapai seperti yang dirancang," tambah Amutha.

Pengarah Curves Malaysia dan Singapura, Alison Chin, berkata selama ini, kita
menggunakan peralatan

senaman khas untuk lelaki, tetapi di pusat kecergasan terbabit, peralatan memang ditujukan untuk wanita sahaja dan paling penting, ia berkesan.

Dia turut mensasarkan 75 rangkaian pusat kecergasan berkenaan akan dibuka
di Malaysia dalam masa lima tahun ini.

"Paling terdekat kami akan membuka Curves di Puchong dan kemudian akan terus membukanya satu persatu supaya lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pusat kecergasan ini," katanya yang menawarkan potongan 60 peratus harga keahlian bagi 100 ahli pertamanya sempena pembukaan ini.

Ganggu penjanaan ilmu

Posted: 21 Nov 2010 10:21 PM PST

KONGSI ILMU...menggunakan khidmat pensyarah asing boleh membantu memperbaiki kemahiran bahasa.
KONGSI ILMU...menggunakan khidmat pensyarah asing boleh membantu memperbaiki kemahiran bahasa.

AMAT mendukacitakan apabila ada di kalangan ahli akademik institusi pengajian tinggi masih gagal menguasai kemahiran bahasa Inggeris dengan baik hingga mengganggu proses kelancaran sistem pendidikan negara.

Bukan bertujuan menafikan kelayakan diperoleh, kegagalan itu sedikit sebanyak sudah pasti menimbulkan kepincangan dan persoalan mengenai tahap kewibawaan dalam menjalankan tanggung�jawab.

  • Foto

    BELUM TERLAMBAT...kini banyak institusi menawarkan program pengajian bahasa Inggeris.

  • Foto

    ILMU...gunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi untuk memantapkan lagi kapasiti sedia ada.

  • Foto

    JANGAN MALU... komunikasi dua hala antara pensyarah dan pelajar boleh dijadikan alternatif bagi memperbaiki kelemahan sedia ada.

  • Foto

    PERMINTAAN...mereka yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik mempunyai masa depan cerah dalam kerjaya.

Ini sekali gus mempertikaikan keupayaan mereka memberi sumbangan kepada institusi keseluruhannya dalam proses pengembangan ilmu merangkumi akademik, kemahiran dan penyelidikan.

Felow Penyelidikan dan Penerbitan, Institut Pengurusan Penyelidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Megawati Omar, berkata masalah penguasaan bahasa Inggeris memerlukan bantuan pelbagai pihak untuk mengatasinya terutama membantu mereka menulis jurnal bertaraf antarabangsa dengan baik.Menurutnya, kelemahan menulis dalam bahasa antarabangsa itu boleh meng�ganggu kelancaran proses pendidikan dan penjanaan ilmu terutama kepada mahasiswa peringkat tinggi.


"Proses pendidikan memerlukan mekanisme terbaik daripada ahli akademik bagi merealisasikan segala proses pembelajaran. Malangnya jika mereka tidak menepati piawaian, ia boleh menjejaskan mutu serta mengundang persepsi negatif serta menyukarkan tanggungjawab dalam penulisan.

"Mereka bertanggungjawab dalam proses pengemblengan ilmu namun sukar melaksanakan kerana kemahiran berbahasa kurang baik.

"Kualiti pendidikan, penyelidikan dan penulisan akan turut terjejas secara automatik," katanya.

Beliau berkata, impak kelemahan penguasaan bahasa Inggeris turut memberi kesan kepada proses penulisan yang menjadi nadi penilaian dan pengukuhan seseorang ahli akademik dalam perkhidmatan.

Pengukuhan bahasa itu pula, katanya, bukan hanya dinilai melalui keupayaan berkomunikasi namun juga penulisan dan pemahaman yang menjadi inti pati kepada proses penulisan berbentuk ilmiah.

"Sebagai landasan utama dalam menentukan tahap keupayaan pensyarah, penulisan sudah tentu memerlukan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

"Malangnya sukar melaksanakan tugas itu meskipun mempunyai kelayakan akademik yang baik. Bukankah itu sangat mengecewakan kerana mungkin terdiri daripada golongan bijak pandai yang boleh menyampaikan ilmu kepada masyarakat?

"Disebabkan kekangan itu, proses kelancaran terganggu, sekali gus mengakibatkan proses penyampaian ilmu menjadi terhad dan hanya untuk golongan tertentu saja," katanya.

Menurut beliau, meskipun penulisan boleh diselesaikan dengan mengupah penterjemah profesional, hasilnya tidak sama.

"Penulisan bukan sekadar berbentuk akademik, tapi juga proses dakwah kepada masyarakat antarabangsa. Melalui penulisan, misi dakwah boleh dijalankan dengan baik.

"Bukankah lebih baik jika melakukannya sendiri kerana lebih asli, beretika dan profesional. Sudah banyak perbelanjaan diperuntukkan kepada institusi untuk penyelidikan bermutu namun jika dilakukan sambil lewa, apakah hasilnya," katanya.

Bahasa Inggeris mudah dipelajari di peringkat rendah namun semakin sukar jika umur meningkat selain digunakan dalam penulisan formal kerana memerlukan sokongan penulisan akademik serta keupayaan mem�beri kefahaman dan pendidikan yang baik kepada pembaca.

"Ini antara cabarannya dalam proses peningkatan pembelajaran alaf baru, jika penguasaan tidak baik, impaknya sudah tentu pada hasil penulisan dan penerimaan masyarakat yang menjadikan buku ilmiah sebagai rujukan.

"Perlu segera ditangani kerana negara memerlukan pensyarah yang seimbang meneruskan tradisi kecemerlangan ilmu dalam pelbagai bidang selain meningkatkan lagi sumbangan terhadap bidang penulisan profesional," katanya.

Beliau menyarankan penekanan terhadap kepentingan bahasa Inggeris dimulakan sejak awal supaya tidak menghadapi kesukaran.

"Generasi masa kini adalah penyambung tradisi ilmu pada masa depan. �Lengkapkan mereka dengan pemantapan bahasa Inggeris tanpa mengenepikan peranan bahasa Melayu sebagai medium utama.

"Tiada istilah terlambat menuntut ilmu. Tanggungjawab ini digalas semua pihak tanpa perlu menyalahkan satu sama lain," katanya.

Derita batin sampai murtad

Posted: 21 Nov 2010 10:19 PM PST

PUTRAJAYA: Disebabkan tidak sanggup terus menderita akibat digantung tidak bertali' selama 10 tahun, ada wanita Islam yang bukan saja berhijrah ke luar negara, malah menjadi murtad selepas berkahwin dengan lelaki bukan Islam.

Mendedahkan kes berkenaan, Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Permai Kasih Sungai Besi, Datuk Wan Abdul Halim Wan Othman, berkata wanita terbabit yang berusia 40-an bertindak sedemikian selepas tertekan tindakan suami asalnya yang berkahwin lain dan mengabaikan nafkah zahir serta batin.


Menurutnya, wanita itu yang berkerjaya profesional mendakwa fobia dengan 'kata dua' suami yang mahu melihat dia menderita sehingga mati dan membiarkannya digantung tidak bertali. "Kes ini antara puluhan, malah ratusan masalah yang dihadapi ibu tunggal digantung tidak bertali yang tewas dalam perjuangan mendapatkan hak mereka mengikut yang terkandung dalam al-Quran.

"Sepatutnya golongan seperti ini dibantu. Malangnya, pada masa ini kesukaran mereka terus tidak dibela sewajarnya sehingga ada yang nekad mengambil keputusan yang salah," katanya.


Beliau berkata, kes wanita tertekan berkenaan yang berhijrah ke luar negara dan meninggalkan Islam, amat menyedihkan, tapi ia bukan sesuatu yang aneh kerana mereka juga memiliki naluri untuk menjalani kehidupan lebih baik.


"Tetapi, mereka digantung tidak bertali dan tidak diberikan bantuan apabila diperlukan. Keadaan itu menyebabkan harapan mereka hancur terutama apabila proses di mahkamah juga tidak memihak kepada mereka," katanya. Wan Abdul Halim berkata, kemelut yang dihadapi ibu tunggal dan wanita digantung tidak bertali ini boleh ditangani dengan baik jika pelbagai pihak memberi tumpuan terhadap permasalahan yang dihadapi golongan berkenaan sejajar apa yang terkandung dalam al-Quran.Beliau berkata, wanita yang sudah nekad menukar agama itu individu berpendidikan yang arif mengenai hak wanita seperti terkandung dalam al-Quran dan mereka berharap undang-undang itu digunakan.


Bagaimanapun, katanya, apa yang diharapkan mereka tidak menjadi kenyataan, malah proses 'melepaskan diri' terlalu sukar walaupun suami sudah berkahwin baru dan sengaja mahu melihat isteri digantung tidak bertali sehingga mati.

Menurutnya, mahkamah syariah mempunyai tanggungjawab dan amanah cukup berat bagi mendaulatkan hak wanita seperti terkandung dalam al-Quran bagi memastikan golongan itu termasuk ibu tunggal dan mereka yang digantung tidak bertali diberikan keadilan sewajarnya.


"Keadilan penting bagi memastikan golongan berkenaan dibantu bagi membina kehidupan baru selain menyelamatkan mereka daripada sikap suami atau pihak tertentu yang hanya mementingkan diri sendiri.


"Kita tidak mahu ada sesetengah wanita sepatutnya mampu menjalani kehidupan sempurna, tetapi akibat dihalang pihak yang tidak bertanggungjawab, kehidupan mereka berubah ke kancah yang tidak sihat dan merosakkan masa depan mereka," katanya.


Tanpa berselindung, beliau tidak menafikan ada ibu tunggal yang terbabit kes yang tidak sihat, tetapi jika dikaji secara terperinci ia boleh dikaitkan dengan punca yang tidak sepatutnya terjadi, termasuk tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki pilihan mereka.


Katanya, banyak masalah yang menyebabkan ibu tunggal itu tertekan termasuk anak yang tamak harta sehingga tidak membenarkan ibunya berkahwin lain kerana bimbang harta itu akan dimiliki pasangan baru ibu mereka.


"Sepatutnya, masalah yang membelenggu ibu tunggal dan mereka yang digantung tidak bertali boleh diselesaikan dengan baik jika lunas Islam dijadikan asas utama kerana ia sudah pasti akan memberikan satu keputusan yang adil dan saksama.


"Bukan itu saja, ia sudah pasti menyelamatkan golongan berkenaan supaya tidak melakukan tindakan tidak bijak, termasuk berfikir untuk meninggalkan agama dianuti," katanya.

Mati bersama mi goreng adik

Posted: 21 Nov 2010 10:17 PM PST

MOHD HAFIZI... maut
MOHD HAFIZI... maut

BALING: Niat murni pelajar lelaki berusia 15 tahun membeli makanan untuk adik bongsunya berakhir tragedi apabila dia terbunuh selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang kereta di Jalan Parit Panjang - Kuala Pegang, berhampiran Kampung Banggol Berangan, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Mohd Hafizi Abdul Razak dari Kampung Lanai, Parit Panjang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli mi goreng untuk adik bongsunya, Mohd Aidil, 9.


Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, Jitra, yang juga orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah penglihatan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas merempuh kereta Daihatsu Charade Aura yang mahu membelok ke kanan.

Bapa mangsa, Abdul Razak Saad, 46, berkata, sebelum kejadian anak keempat daripada lima beradik itu meminta izin daripadanya membeli mi goreng di kedai terletak satu kilometer dari rumah mereka kerana Mohd Aidil mengadu lapar.


"Saya membenarkan dia pergi kerana saya tak sihat, tetapi tak menyangka dia sebenarnya ke kedai di pekan Parit Panjang sejauh tiga kilometer dari rumah sehinggalah saya dimaklumkan dia terbabit dalam kemalangan," katanya.


Abdul Razak berkata, ketika menjemput Mohd Hafizi di asrama sekolahnya Selasa lalu untuk menyambut Aidiladha, dia mendapati anaknya kurang ceria.Malah, Abdul Razak turut dimaklumkan guru sekolah berkenaan yang anaknya itu kurang ceria sejak akhir-akhir ini berbanding sikapnya yang periang sebelum ini.


Menurutnya, pagi kelmarin Mohd Hafizi membeli lima bungkus nasi putih berlauk telur goreng untuk hidangan mereka sekeluarga.

"Selalunya dia keluar membelikan kami nasi lemak, tetapi semalam dia beli nasi putih dan semuanya berlaukan telur goreng saja.


"Saya tak terfikir langsung mengenai perubahan sikapnya itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya. Saya reda dengan kejadian ini," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa yang tidak memiliki lesen memandu serta tidak memakai topi keledar, dipercayai melanggar tayar belakang kereta berkenaan sebelum terjatuh.


"Hentakan kuat di kepala berikutan tidak memakai topi keledar menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Baling sebelum dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanai, jam 11 pagi, semalam.


Mat Daud berkata, pemandu kereta berkenaan, Mohd Salahuddin Mansor, 27, dari Kampung Alai, Gerik, Perak, tidak cedera.


Beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengawal pergerakan anak di bawah umur supaya mereka tidak terdedah kepada kesalahan undang-undang jalan raya.


"Ibu bapa boleh didakwa kerana membenarkan anak di bawah umur menunggang motosikal tanpa memiliki lesen yang sah serta dilindungi insurans," katanya.

Budak Iban ikut berkhatan

Posted: 21 Nov 2010 10:15 PM PST

MANDI...sekumpulan murid SK Sungai Rapat dimandikan sebelum dikhatankan semalam.
MANDI...sekumpulan murid SK Sungai Rapat dimandikan sebelum dikhatankan semalam.

IPOH: Seorang kanak-kanak beragama Kristian dan berketurunan Iban berusia 11 tahun, menarik perhatian ramai apabila dia turut serta pada majlis berkhatan beramai-ramai anjuran sekolahnya pagi semalam.

Kanak-kanak berkenaan adalah antara 48 peserta yang menyertai majlis berkhatan pertama kali dianjurkan Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat (SKSR) di sini dan berlangsung dalam suasana meriah dan penuh adat di pekarangan sekolah itu.


Menyifatkannya sebagai satu kaedah kesihatan yang baik, Harrison Austine Ansie, murid tahun lima itu berkata, dia tidak gentar menyertai majlis berkhatan itu malah mendesak ibunya membenarkannya berkhatan bersama rakan sekolah lain.

Anak pasangan tentera itu berkata, hasrat untuk berkhatan dimaklumkan kepada ibu bapanya dua minggu sebelum sesi persekolahan tamat baru-baru ini dan mereka tidak menghalangnya malah bersetuju dengan permintaannya itu.


"Emak dan ayah tak halang saya berkhatan, lagipun ia baik untuk kesihatan. Sebelum ini, saya tahu upacara berkhatan hanya untuk orang Islam, namun saya tak kisah dan tetap mahu melakukannya.


"Ramai kawan saya di sekolah turut berkhatan hari ini (semalam)," katanya.Ibunya, Liza Anak Andrew Achin, 37, berkata anak sulungnya itu memberitahunnya dua minggu lalu mengenai perkara itu sebelum memintanya mengisi borang permohonan untuk menyertai upacara berkhatan di sekolahnya.


Katanya, dia dan suami tidak menghalangnya malah menyokong kerana ia baik untuk kesihatan anaknya, malah saya dan suami turut merancang mengkhatankan adik Harrison yang kini berusia tujuh tahun tahun depan," katanya.

Majlis berkhatan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Perak, Datuk Hamidah Osman.

Parah bil hospital

Posted: 21 Nov 2010 07:23 PM PST

pix_gal0
Ramai hutang kad kredit, bank untuk jelas kos perubatan swasta tinggi

KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit atau pinjaman bank untuk membayar kos perubatan yang tinggi di hospital swasta kini menjadi punca utama kegagalan pembayaran balik pinjaman bank dan kad kredit oleh individu.Mengikut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) penggunaan kad kredit tidak terkawal kini bukan lagi menjadi faktor utama bagi masalah kegagalan pembayaran balik pinjaman.
Sebaliknya, badan yang menguruskan RM4.8 bilion hutang tidak berbayar (NPL) membabitkan 50,361 individu itu mendapati pembiayaan kos rawatan dan perubatan yang tinggi ketika ini mendorong individu untuk berhutang sehingga di luar kemampuan.

Ketua Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan, berkata kebanyakan individu yang dirujuk kepada Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK menjelaskan, mereka lebih cenderung mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan yang dikatakan lebih baik di hospital swasta berbanding di hospital kerajaan walaupun ia membabitkan kos besar.

"Setakat Oktober lalu, 26 peratus kegagalan pembayaran balik pinjaman langsung bank atau kad kredit yang dirujuk kepada AKPK adalah perbelanjaan perubatan tinggi disebabkan kos sara hidup semakin meningkat.

"Penggunaan kad kredit tidak terkawal tidak lagi menjadi faktor utama kegagalan seperti pada dua atau tiga tahun lalu," katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, selain kos perubatan tinggi, punca lain yang dirujuk kepada agensi itu ialah kelemahan pengurusan kewangan (25 peratus), kegagalan perniagaan (13 peratus), kehilangan pekerjaan (12 peratus), manakala dua peratus akibat kegagalan pelaburan.

Penggunaan kad kredit tidak terkawal pula, katanya, hanya mewakili 15 peratus.
Katanya, hampir 70 peratus kes gagal membayar balik pinjaman itu adalah membabitkan penggunaan kad kredit, manakala 30 peratus lagi pinjaman peribadi serta sewa beli.

Daripada RM4.8 bilion NPL yang diuruskan AKPK ketika ini, Mohamed Akwal berkata, RM2 bilion membabitkan pinjaman perumahan diikuti kad kredit (RM1.1 bilion) serta sewa beli sebanyak RM713 juta.

Katanya, jumlah itu membabitkan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan 135,805 individu yang datang ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling serta khidmat nasihat berhubung pengurusan kredit.

Beliau berkata, tahun ini saja 25,353 individu memohon khidmat nasihat serta bantuan AKPK dan hanya 13,017 dirujuk kepada program PPK, antaranya bagi penstrukturan semula pinjaman.

Bagaimanapun tahun lalu, katanya, 36,848 individu tampil dan 16,184 daripadanya mengikuti program berkenaan.

"Tahun lalu, lebih ramai mendapatkan bantuan daripada AKPK kerana krisis ekonomi yang melanda. Namun, mulai Oktober tahun lalu, keadaan ekonomi mula pulih. Pengurangan individu ini menunjukkan keadaan ekonomi kita semakin baik dan mereka juga ke arah pengurusan kewangan yang baik," katanya.

Setakat Oktober lalu, sebanyak 423 kes membabitkan pinjaman berjumlah kira-kira RM12 juta berjaya diselesaikan AKPK, berbanding 143 kes dengan jumlah pinjaman RM3.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

"Kami menyelesaikan kira-kira 40 kes sebulan bayaran balik pinjaman kepada bank kerana kebanyakan yang mengikuti PPK sudah mampu menyelesaikan pinjaman lebih awal daripada tempoh maksimum 10 tahun yang diberikan," katanya.

Beliau berkata, mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan, mewakili kira-kira 40 peratus daripada 50,361 individu yang menyertai PPK.

Katanya, AKPK yang ditubuhkan sejak April 2006 setakat ini menganjurkan lebih 520 taklimat berhubung pengurusan kredit di seluruh negara.

Pierre Andre Temui Cinta Kerabat Diraja

Posted: 21 Nov 2010 07:22 PM PST

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah filem Pierre Andre mengakui sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang kerabat diraja Terengganu.

Menurut Pierre, hubungannya dengan wanita berusia 23 tahun itu terjalin sejak dua tahun lalu tetapi menjadi semakin rapat sejak setahun lepas.

"Saya berkenalan dengan wanita itu tanpa mengetahui latar belakang sebenar dirinya. Ketika itu, dia bekerja dalam sektor perbankan.

"Hubungan kami terjalin atas dasar keserasian dan keikhlasannya menerima saya.

"Menariknya, perwatakan dan sikapnya yang rendah diri dan ringkas itu membuatkan saya langsung tidak sangka latar belakangnya dari keluarga diraja sehinggalah selepas setahun mengenalinya," kata Pierre.

Tambah pengarah filem Hijab ini, pelbagai kontroversi yang menghimpitnya sebelum ini membuatkan dia semakin matang.

Malah jika diizinkan Tuhan dia tidak menolak kemungkinan untuk melangkah ke fasa seterusnya iaitu perkahwinan bersama wanita itu.

"Alhamdulillah, kedua-dua belah keluarga merestui hubungan kami dan semuanya berlangsung dengan baik dan sederhana.

"Saya memang merancang untuk menamatkan zaman bujang secepat mungkin. Jika diizinkan, saya ingin berkahwin dalam masa dua tahun, insya-Allah," katanya yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Tiramisu arahan Kabir Bhatia.

Pierre turut menegaskan, kekasihnya itu adalah individu yang berbeza dan langsung tiada kaitan dengan wanita misteri yang pernah mencetuskan kontroversi serta memporak-perandakan hidupnya kira-kira dua tahun lalu.

"Teman saya ini adalah orang yang langsung tidak ada kena-mengena dengan wanita halimunan yang pernah mencetuskan kontroversi dalam hidup saya dua tahun dulu," katanya yang ingin melupakan memori hitam itu.

Diana Amir Jawab Gosip Cinta Pelawak

Posted: 21 Nov 2010 07:21 PM PST

MUDAH saja kemesraan kami terjalin biarpun pertama kali bersua. Seringkas identiti dan perwatakan penama Nurdiyana Amir Hashim (Diana Amir) ini cekap membina keserasian bagi melancarkan urusan fotografi Mingguan mStar, baru-baru ini.

Kelincahan yang mewarnai perilaku pelakon yang senang disapa dengan panggilan Diana ini tatkala berbual memang tidak dinafikan mudah menawan kebanyakan lelaki.

Bagi yang lebih mengenali karakter dan keperibadiannya, kriteria itu pasti menarik perhatian mana-mana jejaka.

Terlanjur menyentuh pesona yang dipamerkannya itu, jurnal cinta gadis yang berasal dari Johor Baru ini lantas diselak, sekadar ingin berkongsi tentang status dirinya.

Balas Diana, dia kini tidak menjalin hubungan cinta dengan sesiapa dan selesa bergelar solo demi tuntutan kerja yang menjadi keutamaannya.

"Saya masih solo dan tidak terfikir untuk bercinta kembali. Memang sebelum ini ada seseorang yang istimewa bertakhta di hati tapi hubungan kami sudah berakhir.

"Tumpuan saya pada waktu ini adalah pada karier lakonan yang sedang berkembang. Bukan tidak mahu bercinta lagi cuma kesibukan kerja membatasi waktu untuk berfikir soal itu. Biarlah saya bina karier dulu, cinta menyusul kemudian," katanya.

Dicuit pula tentang cerita hubungannya dengan pengacara dan pelawak Zizan (Raja Lawak) yang rancak diperkatakan, Diana membalas tiada apa yang serius berlaku di antara mereka.

Walaupun gosip itu tersebar luas, gadis berusia 24 tahun ini menyifatkan hubungannya dengan hos program Raja Lawak itu atas nama persahabatan semata-mata.

"Saya akui memang cerita antara saya dan Zizan pernah diperkatakan dan orang mula menganggap saya ada hubungan istimewa dengannya tetapi ia cerita yang tidak betul.

"Saya selesa berkawan dengan Zizan tetapi tiada apa-apa hubungan yang serius terjalin antara kami, hanya sekadar kawan," katanya.

Jawapan ringkas yang dilantunkan dengan gestur selamba itu terus mengundang keraguan adakah si jelita ini cuba menyembunyikan sesuatu. Namun, Diana sedikit pun tidak berganjak daripada jawapannya sambil menunjukkan reaksi untuk beralih subjek.

"Saya memang tiada masalah untuk berkongsi cerita cinta tetapi gosip yang mengaitkan saya dengan Zizan adalah tidak benar.

"Memang kami pernah keluar makan bersama tetapi ia tidak lebih daripada hubungan antara teman saja. Hakikatnya saya dan Zizan memang tiada apa-apa hubungan istimewa," katanya.

Demi watak tomboi

Di awal kemunculannya, gadis berbintang Gemini ini pernah diselar kerana penampilan yang kurang menyenangkan dan seksi sehingga ada yang melabelnya sebagai gadis liar.Apabila subjek itu dibangkitkan, Diana tidak melatah atau menyalahkan mana-mana pihak tentang tanggapan itu.

"Persepsi itu terbina mungkin disebabkan oleh faktor watak lakonan dan imej yang diperagakan di mata umum namun saya tidak menyalahkan mana-mana pihak atas pandangan itu.

"Jika pandangan negatif itu terbina disebabkan oleh karakter yang dijayakan, mungkin tidak adil saya dihakimi sebegitu kerana ia hanyalah lakonan dan bukan refleksi diri yang sebenar.

"Namun, jika persepsi itu hadir kerana kealpaan dan sikap kurang peka terhadap persekitaran dalam menjaga penampilan, saya cuba perbaiki dan lebih berhati-hati kini.

"Sebagai orang baru, saya hargai apa jua teguran dan pandangan orang ramai terhadap kerja dan penampilan saya kerana beradanya saya di sini adalah berkat sokongan dan perhatian orang ramai," katanya.

Tampil pula dengan potongan rambut pendek yang lebih ranggi, Diana menyifatkan perubahan itu bukan gambaran kepada imej seksi atau nakal yang pernah ditujukan kepadanya sebelum ini.

Sebaliknya, ia dilakukan demi komitmen terhadap watak gadis tomboi dalam filem terbarunya, 321 Cinta (arahan Azhari Zain).

"Masa mula-mula potong rambut pendek, memang emak bising dan banyak bertanya tetapi saya menjelaskan ia dilakukan atas tuntutan kerja.

"Saya potong rambut bukan sengaja hendak mengundang persepsi negatif orang lain tetapi untuk menjadikan karakter gadis tomboi itu lebih realistik.

"Ini adalah tawaran pertama sebagai watak utama, jadi sudah tentu saya ingin beri komitmen sebaik mungkin. Saya harap tiada pihak yang salah faham dengan penampilan ini," katanya.

Boleh berlakon komedi

Beralih pula ke soal kerjaya, graduan Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM) ini mengakui karier lakonan yang kian bercambah memberikan pengalaman baru dan menarik kepadanya setiap hari.

Jika di awal pembabitan, Diana sering disogokkan dengan watak-watak hitam dan serius sehingga pernah dipalit dengan pelbagai andaian negatif, namun dia mula melihat evolusi dan anjakan dalam kariernya.

"Saya puas dan gembira dengan karier lakonan saya. Bagi saya, perjalanan karier ini menapak dengan baik sedikit demi sedikit.

"Sebelum ini, saya sering diberikan watak-watak hitam dan gadis berimej seksi dan nakal, namun sejak kebelakangan ini saya mula menerima watak yang bervariasi.

"Bagi saya, itu adalah satu perkembangan yang baik bukan saja untuk peningkatan mutu lakonan malah membuka mata penonton akan kebolehan saya," katanya.

Kebelakangan ini, pembabitan Diana dalam drama dan filem berjalur komedi seperti siri Jangan Pandang Belakang Congkak (arahan Ismail Bob Hasim) dan filem 321 Cinta mencorakkan lagi karier lakonannya.

"Saya tidak sangka boleh menjayakan watak-watak lebih ringan dan komedi sehinggalah terbabit dalam beberapa drama dan filem komedi.

"Memang banyak yang perlu saya perbaiki tapi sekurang-kurangnya saya menepati kehendak pengarah dan berharap ia dapat menarik perhatian penonton. Apa pun, setiap tawaran yang saya terima akan cuba dipersembahkan sehabis daya," katanya.

Terbaru, gadis yang membina nama menerusi drama bersiri Impian Sunsilk 1 dan 2 ini bakal muncul pula dengan filem arahan Ahmad Idham berjudul Aku Masih Dara pada 16 Disember ini.

Filem yang berkisar kepada isu kerosakan akhlak dan amalan hidup bebas di kalangan remaja hari ini menampilkan Diana sebagai Hani, seorang gadis yang terjerumus dalam kancah kehidupan penuh noda ekoran kesukaran hidup yang dilaluinya.

Selain Diana, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon pelapis tanah air seperti Yana Samsudin, Raja Farah, Farid Kamil dan Ashraf Muslim.

Remy Tak Alami Kejutan Budaya

Posted: 21 Nov 2010 07:19 PM PST

PELAKON kacak, Remy Ishak (gambar) menjadi buruan ramai bukan saja kerana lakonan yang diperdagangkannya, malah sisi peribadinya juga tidak terkecuali daripada palitan kontroversi.

Pakej fizikal yang menarik, ketenangan yang terserlah pada wajahnya serta kematangan yang diperagakan menjadi kegilaan gadis-gadis di luar sana dan mengundang kontroversi bersama beberapa aktres jelita.

Profil lakonan jejaka berusia 28 tahun ini mula mencuri tumpuan selepas membintangi filem Anak Halal (2007) arahan Osman Ali.

Namun, penglibatannya dalam drama bersiri popular Nur Kasih merupakan perintis jalan yang benar-benar menyerlahkan anak jati Melaka ini dalam bidang seni.

Remy Ishak boleh berbangga dengan dirinya selepas dilantik menjadi jurucakap produk Dashing.

Pernah dikaitkan dengan dakwaan menjadi kekasih gelap isteri VIP, Remy kemudiannya dikatakan bercinta pula dengan pelakon Ummi Nazeera yang turut sama membintangi drama arahan Kabir Bhatia itu.

Tahun 2009 mungkin mencatat sejarah hitam dalam jurnal hidup aktor ini apabila dipukul oleh sekumpulan lelaki sejurus pementasan teater Natrah di Istana Budaya.

Remy membuka tirai 2010 dengan dakwaan yang mengaitkannya dengan pelakon jelita Maya Karin sehingga menjadi punca keretakan rumah tangga aktres itu.

Tidak bernoktah di situ, baru-baru ini pelakon yang kini bergelar duta produk kecantikan lelaki ini dikatakan intim pula dengan aktres Tiz Zaqyah apabila gambarnya berpimpin tangan dengan gadis muda itu tersebar luas.

Pertemuan dengan bintang yang bakal muncul dalam teater Natrah musim kedua pada 25 November ini, Khamis lalu membuka ruang kepada Mingguan mStar untuk mendekati isi hati dan luahan aktor itu tentang dirinya, kontroversi dan karier.

Pandangan tentang semua kontroversi yang dikaitkan dengan diri Remy Ishak.

Saya tidak mahu ambil tahu dan tidak peduli dengan apa jua cerita-cerita panas yang tersebar.

Reaksi anda apabila dipalit kontroversi yang berterusan dan sejauh mana ia mengganggu fokus terhadap karier?.

Jujurnya, saya tidak lagi membaca sebarang gosip yang disiarkan sama ada di akhbar atau Internet kerana jika terlalu dirunsingkan ia hanya akan memeningkan kepala dan mengganggu kerja saya.

Bagaimana mengawal emosi apabila terbaca atau terdengar kisah kontroversi diri sendiri?

Seperti yang saya katakan, saya tidak perlu baca mana-mana cerita gosip supaya tidak pening kepala.

Jika terdengar juga cerita-cerita itu, saya lebih tenang tanganinya dan tidak mudah melenting. Kebiasaannya saya akan selidik sumber cerita tersebut dan berbincang dengan pihak pengurusan untuk selesaikan masalah.

Respons dan penerimaan keluarga tentang kontroversi yang berlaku?

Mereka lebih bersedia dan biasa saja terhadap apa jua cerita yang timbul.

Mereka tidak lagi terkejut sebagaimana ketika pelbagai kontroversi menghimpit saya awal-awal dulu. Keluarga tahu siapa saya dan kesahihan di sebalik cerita-cerita yang timbul.

Komen tentang cerita hubungan anda dengan Ummi Nazeera, Maya Karin dan terbaru Tiz Zaqyah.

Saya sudah malas untuk mengulas tentang isu tersebut kerana ia tidak berasas.Adakah kontroversi yang timbul disebabkan oleh faktor kejutan budaya selepas bergelar pelakon popular?

Itu tidak benar. Saya tidak fikir saya mengalami kejutan budaya. Saya masih menjalani hidup atas landasan yang betul, waras dan tahu menilai baik buruk serta kesan daripada sesuatu tindakan yang dilakukan.

Jika 10 atau 11 tahun lalu ketika mula-mula berhijrah ke Kuala Lumpur mungkin perkara itu boleh berlaku tetapi bukan sekarang.

Pandangan anda tentang populariti dan karier yang kian melonjak serta pelantikan sebagai duta produk kecantikan.

Alhamdulillah, berkat kerja keras kewujudan saya semakin dihargai dan mendapat perhatian daripada Dashing. Keyakinan saya untuk menerima pelawaan ini adalah kerana kami punya visi dan fokus yang sama iaitu untuk menuju ke fasa baru kehidupan dengan penuh keyakinan. Fokus saya kini adalah kepada kerja dan abaikan sebarang kontroversi yang mengganggu karier.

Gosip Baik Atau Buruk Bantu Zain Popular

Posted: 21 Nov 2010 07:18 PM PST

PETALING JAYA: Pelakon Zain Saidin, 26, mengakui gosip yang disebarkan oleh media atau di internet sama ada baik atau buruk sedikit sebanyak membantu memperkenalkan namanya dalam industri seni.

Bagaimanapun, jelas Zain fokus utamanya ialah mahu meningkatkan mutu lakonan yang diakui masih lagi dalam proses pembelajaran.

"Saya akui gosip ada baik dan buruknya, ia boleh buat kita dikenali tapi kalau boleh biarlah gosip itu tidak keterlaluan sehingga menjejaskan nama.

"Sebagai artis perkara itu tidak boleh dielakkan. Bagi saya kalau yang tidak benar kita tidak perlu ambil berat dan terlalu memikirkannya," ujarnya.

Dia yang digosipkan mempunyai hubungan dengan dua artis jelita iaitu Lana Nordin dan Rozita Che Wan mengakui pengalaman tersebut memberi pengajaran kepadanya agar lebih berhati-hati selepas ini.

"Saya pernah digosipkan dengan Lana sebab kami berpimpingan tangan di karpet merah di sebuah majlis, ketika itu saya anggap perkara tersebut tidak menimbulkan sebarang cerita, namun sebaliknya kami dikatakan bercinta.

"Tapi dari situ sebenarnya saya belajar untuk tidak melalukannya lagi pada lain masa bagi mengelakkan gosip yang sama," katanya.

Zain yang menganggap Rozita sebagai teman rapatnya menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon jelita tersebut.

"Baru-baru ini saya digosipkan pula dengan Rozita, ketika membaca akhbar tentang berita itu saya hanya ketawa sebab ia tidak benar kerana kami rapat sekadar teman baik," ujarnya yang mengenali Rozita melalui drama Kiah Pekasam.

Dalam pada itu, jelas Zain, biarpun gosip mampu menolak namanya untuk dikenali namun mutu lakonannya perlu seiring. Dia akui masih ada yang mengatakan lakonanya masih lagi kaku.

"Saya tidak mahu orang mengenali saya kerana gosip tapi apabila melihat lakonan masih lagi hancur. Memang masih ada yang berkata begitu tapi saya tidak menafikannya kerana saya masih dalam proses pembelajaran.

"Berlakon bukan boleh dipelajari secara teori tetapi ia perlu diasah dan dipraktikkan. Mungkin sekarang tahap lakonan saya masih lemah tapi Insya-Allah lama-kelamaan saya yakin ia akan bertambah baik," katanya yang sudah membintangi lebih 10 buah drama dan telefilem tempatan.

Selain itu, Zian juga memberitahu perancangan kini mencari ruang mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian.

"Sebelum berlakon saya sebenarnya sangat berminat untuk menyanyi. Niat jadi penyanyi masih kuat dalam diri saya.

"Sekarang dalam proses untuk buat demo dan hantar ke syarikat rakaman. Insya-Allah tahun depan jika tiada halangan," ujarnya.

Komen Pemenang Shout! Award 2010

Posted: 21 Nov 2010 07:17 PM PST

Zizan Raja Lawak

KUALA LUMPUR: Malam kemuncak Shout! Award 2010 yang berlangsung Sabtu lalu telah menobatkan penyanyi dan komposer muda Yuna mendominasi tiga anugerah termasuk anugerah utama iaitu Ultimate Shout! Award.

Majlis gilang gemilang yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dibanjiri lebih 20,000 penonton.

Majlis anugerah anjuran stesen televisyen 8TV ini juga merupakan kali kedua selepas kejayaan Shout! Award 2009 yang bertujuan meraikan bakat-bakat kreatif di dalam industri muzik, filem, televisyen dan radio.

Majlis tersebut juga dimeriahkan dengan penampilan artis antarabangsa, Iyaz buat julung-julung kalinya di Malaysia bagi menghangatkan lagi pentas Shout! Award menerusi lagu popularnya, Replay, Solo dan So Big untuk peminat-peminatnya

Ikuti antara komen pemenang pada malam tersebut:

Yuna (Popstar Award, Break Out Award dan Ultimate Shout! Award)

Kemenangan tersebut tidak dijangka kerana saya hanya hadir untuk memeriahkan majlis dan buat persembahan.

Walaupun dapat menewaskan nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Aizat dan Mizz Nina tidak bererti saya sudah berasa besar, saya masih menghormati dan menganggap mereka sebagai idola saya.

Liyana Jasmay (Best On Screen Chemistry Award -Papadom)

Filem Papadom adalah filem yang membawa tuah bagi saya, ramai yang nampak keserasian yang kami bina sebagai anak dan bapak melalui filem ini.

Afdlin Shauki (Best On Screen Chemistry Award – Papadom)

Kami bina keserasian sebelum memulakan penggambaran filem ini, bila sudah ada keserasian itu maka ia dapat menjadikan lakonan kami sangat semula jadi. Saya yakin bukan saya sahaja yang melihatnya tapi orang ramai juga.

Zizan Raja Lawak (Favorite TV Personality Award)

Saya masih lagi terkejut dengan kemenangan ini. Sudah tercalon dengan nama-nama besar untuk kategori ini sudah memadai pada saya. Kemenangan ialah satu bonus.

Lisa Surihani (Breakthrough Feature Award - Legenda Budak Setan)

Saya berbesar hati dapat membantu menjayakan filem Legenda Budak Setan. Kemenangan filem ini memberi inspirasi kepada kami untuk bekerja dalam satu pasukan. Insya-Allah akan ada sambungannya nanti.

Bunface (Rockstar Award, Music Video Award)

Kami bersyukur dan berterima kasih kepada peminat kerana terus mengundi. Kami berharap satu hari nanti dapat menganggat nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dan peminat terus memberi sokongan kepada Bunface.

Maia Kumpul Barangan Jenama Mewah

Posted: 21 Nov 2010 07:14 PM PST

BEKAS anggota kumpulan Ratu, Maia Estianty yang juga bekas isteri kepada vokalis kumpulan Dewa, Ahmad Dhani seringkali menjadi simbol kemewahan dan ikutan remaja Indonesia.

Dia terkenal dengan mengayakan beg tangan berjenama mahal yang sukar untuk dimiliki oleh orang biasa.

Menurut Maia, dia gemar kepada koleksi jenama Hermes dan sudah memiliki empat buah beg jenama tersebut.

"Sebenarnya koleksi beg tangan saya tidak terlalu banyak. Tapi saya lebih suka jenama mewah seperti Hermes. Saya memiliki empat buah beg tangan dari jenama tersebut. Biasanya saya beli jenama tersebut di Hong Kong,".

"Biasanya beg tangan jenama mahal tersebut dibeli jika ada rezeki lebih," ujar ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Jenama Hermes bagi pencinta fesyen bukan jenama biasa, ia adalah simbol sosial dan kemewahan dikalangan artis dunia.

Tambah Maia lagi, tabiat mengumpul koleksi beg tangan tersebut menjadikan dia lebih berusaha gigih mencari rezeki.

"Buat masa ini saya sudah memesan sebuah lagi beg bagi menambah koleksi yang ada. Kalau boleh saya mahu dari pelbagai jenis dan warna. Hobi ini juga buat saya lebih kuat mencari rezeki," katanya.

Bukan sahaja beg tangan, Maia juga mengumpul kasut tumit tinggi dari koleksi berjenama seperti Cristion Louboutin, Jimmy Choo, Louis Vuitton, DnG, dan Manolo Blahnik.

Kemenangan Yuna di Shout! Award

Posted: 21 Nov 2010 07:13 PM PST

Majlis anugerah Shout! Award 2010 yang diadakan kelmarin menjadi kenangan manis buat penyanyi dan komposer Yunalis Zarai atau Yuna apabila mencipta kejayaan membawa pulang tiga anugerah pada acara berprestij yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil.

Tiga anugerah itu ialah Popstar Award, Break Out Award dan Ultimate Shout! Award di mana saingan terdiri daripada penyanyi terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza & Kris Dayanti, Jaclyn Victor, Mizz Nina dan Zee Avi.

Kira-kira 20,000 penonton hadir pada malam kemuncak berkenaan dan sebanyak 17 kategori dipertandingkan tahun ini termasuk anugerah utama, The Ultimate Shout! Award yang pernah dimenangi oleh Bunkface pada tahun lalu.

Disiarkan secara langsung menerusi saluran hip 8TV, acara penuh gilang-gemilang ini dihoskan oleh Hafiz Hatim, Sarah Lian dan Henry Golding.

Pentas Shout! Award diledakkan dengan persembahan bertenaga serta kolaborasi menarik dari Wakaka Crew, Famous Crew & Maple Loo menerusi tarian dari lagu When I Grow Up, Confusion, Deja Voodoo Spells dan Faizal Tahir (Thunder Struck, Superhero, Rock & Roll, Beat It).

Mizz Nina (Let Me C U Get It, What You Waiting For), Hujan (Inspektor Remos), They Will Kill Us All (The Great Glass City, Bittersweet (Knights of The Round Table) dan Love Me Butch (Come On...Come On..).

Tidak ketinggalan gandingan mantap dari Yuna & Najwa dengan lagu Decorate & Got To Go, Reshmonu (Oh Anok Anok), James Baum & Floor Fever (One Night), Monoloque & Atilia (Kekanda Adinda), Altimet & Noh (Kotarayaku), A.P.I (Pelita), Arabyrd, Kuhan, Shawn Lee, Shazet, Giller Battle Crew & Wakaka Crew (Birdkick) dan Cuci The Musical (Cuci).

Apa yang lebih mengujakan, kemunculan penyanyi pop sensasi antarabangsa, Iyaz buat julung-julung kalinya di Malaysia menghangatkan lagi pentas Shout! Award menerusi lagu popularnya, Replay, Solo dan So Big secara eksklusif untuk peminat di sini.

RM300,000 lesap di Internet sebulan

Posted: 21 Nov 2010 07:12 PM PST


BUKAN semua penjualan dalam talian merupakan penipuan tetapi jika pengguna tidak berhati-hati mereka menjadi mangsa. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Para pembeli pelbagai barangan secara dalam talian melalui Internet di negara ini mengalami kerugian di antara RM200,000 hingga RM300,000 setiap bulan gara-gara tertipu dengan sindiket perniagaan yang sebenarnya tidak wujud.

Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih, Azli Paat yang mendedahkan perkara itu berkata, jumlah tersebut berdasarkan lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan transaksi urus niaga yang dibuat menerusi pelbagai kaedah pembayaran seperti kad kredit, perbankan Internet atau bayaran secara bersemuka bernilai RM2.5 juta hingga RM3 juta setiap bulan.

Setiap hari, rakyat di negara ini berbelanja kira-kira RM100,000 untuk membeli pelbagai produk secara dalam talian di Internet.

Katanya, terdapat empat proses penting ketika pembelian dalam talian iaitu carian Internet, pengesahan atau perjanjian pembelian, penghantaran dan pembayaran.

"Malangnya penipuan sering berlaku apabila proses ini tidak diikuti. Kaedah yang salah ialah pembayaran dahulu baru penghantaran menyebabkan barang tidak sampai kepada pembeli," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pondok kuning akan diroboh

Posted: 21 Nov 2010 07:11 PM PST


KERATAN Kosmo! Ahad semalam.


KOTA BHARU – Binaan pondok berwarna kuning di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang, Tumpat, dekat sini akan dirobohkan jika siasatan membuktikan ia disalahgunakan untuk tujuan pemujaan.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Mohd. Ab. Aziz Mohd. Nor berkata, setakat ini pihaknya telah mengarahkan Pejabat Agama Islam Daerah Tumpat supaya melakukan siasatan tersebut secara terperinci.

Beliau berkata, sekiranya siasatan membuktikan bahawa dakwaan tersebut benar, pihak pendakwaan JHEAIK akan mengeluarkan arahan rasmi supaya pondok tersebut dirobohkan.

Menurutnya, mereka boleh didakwa di bawah Enakmen Majlis Agama Islam Bilangan 4 1994, Seksyen 127 iaitu melakukan aktiviti pemujaan.

Jika didapati bersalah, pihak terbabit boleh didenda RM4,000 atau dipenjara selama dua tahun.

"Jika terbukti wujud aktiviti tidak sihat seperti yang didakwa, kami akan merobohkan binaan tersebut serta-merta selain mengenakan tindakan terhadap mereka yang terlibat,'' katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Hilang nyawa selamatkan rakan

Posted: 21 Nov 2010 07:08 PM PST


SANAK saudara mengusung mayat Ahmad yang lemas ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di Hutan Lipur Hulu Tembakah, Hulu Besut, Terengganu kelmarin.


BESUT - Niat murni seorang lelaki untuk menyelamatkan rakannya daripada lemas berakhir dengan tragedi apabila dia terkorban manakala rakannya selamat dalam kejadian di Hutan Lipur Lata Tembakah Hulu Besut dekat sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu berlaku ketika Ahmad Mustapha, 18, dikatakan cuba menyelamatkan rakannya yang dikenali sebagai Salahuddin yang hampir lemas ketika mereka bersama 12 lagi rakan dari Kampung Kulim Hilir, Pasir Puteh, Kelantan mandi-manda di kawasan kolam di situ.

Bagaimanapun, usahanya itu tidak ke mana apabila dia pula yang lemas manakala Salahuddin dapat diselamatkan dengan bantuan rakannya, Mohd. Zulhi Awang, 22.

Wanita parah tersepit dalam kereta

Posted: 21 Nov 2010 07:08 PM PST


ORANG ramai melihat kemalangan membabitkan lapan buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang wanita cedera parah apabila pemandu sebuah bas henti-henti gagal membrek kenderaannya di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Mahmud di sini menyebabkan tujuh buah kenderaan lain turut terlibat dalam kejadian itu.

Dalam kejadian pada pukul 3.15 petang semalam, tujuh kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu ialah sebuah bas, dua buah kereta Perodua Kancil, Perodua Viva, Proton Iswara, Proton Persona, Perodua Myvi dan sebuah Pajero.

Mangsa yang cedera parah di kaki dan kepala membabitkan pemandu sebuah Perodua Kancil. Dia yang berusia 20-an itu mengalami kecederaan selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Seorang penumpang bas, Nur Azleen Rozelan, 18, berkata, sebelum kejadian dia duduk di bahagian tengah bas yang dalam perjalanan dari Dungun menuju ke Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Bapa ayam 'ghaib' lacur wanita

Posted: 21 Nov 2010 07:07 PM PST


PELACUR warga China sememangnya gemar menjalankan aktiviti persundalan dengan menggoda lelaki tempatan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Taktik bapa ayam memperdagangkan wanita untuk aktiviti persundalan dengan berselindung di sebalik khidmat urut dilihat semakin menjadi-jadi dengan yang terbaru mereka meletakkan nombor telefon di dinding tandas stesen minyak.

Nombor telefon tersebut diletakkan di tempat strategik iaitu di atas tempat pengguna lelaki membuang air kecil. Nombor itu diletakkan sama paras dengan kepala lelaki dewasa.

Taktik tersebut dilihat seakan membantu perniagaan bapa ayam tersebut walaupun pelanggan yang menghubungi nombor berkenaan pada mulanya merasa tertipu kerana mereka bukan menyediakan khidmat tukang urut tetapi pelacur.

Kosmo! yang cuba menghubungi nombor yang tertera di dinding tandas berkenaan kemudian bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Richard.

Richard pada mulanya berpura-pura menanyakan jika wartawan memerlukan tukang urut sebelum mengubah topik dengan menawarkan pelacur-pelacur belaannya.

Dua beranak diserang penyamun

Posted: 21 Nov 2010 07:06 PM PST


Salah seorang anak Che Omar, Mohd. Ismail Che Omar (kiri) menunjukkan kesan umpil di rumahnya di Kampung Matang Acheh, Pantai Remis yang dimasuki penyamun semalam.


PANTAI REMIS – Seorang warga emas dan anak lelakinya nyaris maut selepas ditetak dengan parang oleh seorang daripada tiga perompak yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Matang Acheh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, Che Omar Ahmad, 58, dan anaknya Saiful Che Omar, 25, cedera di beberapa bahagian badan, kepala dan kaki.

Mereka dimasukkan ke Hospital Seri Manjung dekat sini.

Menurut beliau, kejadian itu berlaku apabila mangsa bersama enam anggota keluarga lain yang sedang tidur menyedari rumah mereka dimasuki orang.

Katanya, tiga suspek berkenaan yang memakai topeng muka telah mengumpil salah sebuah tingkap di bahagian dapur sebelum salah seorang masuk melalui tingkap ke dalam rumah itu.

"Suspek yang masuk melalui tingkap itu kemudian membuka pintu rumah bagi membolehkan dua suspek lain masuk," kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Katanya, kehadiran penceroboh itu disedari Saiful yang terus bergelut dengan ketiga-tiga suspek itu di ruang tamu rumah.

Pergelutan antara Saiful dan suspek-suspek itu menyebabkan ayahnya tersedar dan datang membantunya.

DBKL minimumkan impak banjir

Posted: 21 Nov 2010 07:05 PM PST




KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat pelbagai persediaan bagi meminimumkan impak banjir kilat khususnya pada musim tengkujuh ini.

Timbalan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Amin Nordin Abd. Aziz (gambar) berkata, banyak perancangan telah dibuat, iaitu selain menjaga kebersihan sungai, DBKL juga telah membina lencongan arus sungai melibatkan Sungai Keruh dan Sungai Gombak bagi mengalirkan air ke kolam tadahan.

"Bila hujan berhenti dan air sungai telah surut, air di kawasan tadahan akan disalurkan semula ke sungai. Ini dapat mengatasi masalah limpahan air sungai ke kawasan rendah," katanya kepada Bernama.

Dua lagi maut akibat denggi

Posted: 21 Nov 2010 07:03 PM PST

KUALA LUMPUR - Dua korban terbaru akibat demam denggi dilaporkan di Sabah semalam menjadikan kematian akibat wabak itu berjumlah 125 orang sejak Januari tahun ini di seluruh negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai dua kes kematian di Tawau dan Sandakan itu.

Beliau meminta semua pengamal perubatan memberi perhatian terhadap pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik atau hospital sekiranya menunjukkan simptom-simptom awal demam tersebut kerana kes denggi semakin serius.

"Semua doktor dan pengamal perubatan di klinik dan hospital tidak seharusnya mengambil mudah dan bertindak lewat dalam mengambil tindakan dalam memberi rawatan kepada pesakit yang disyaki mengalami simptom awal denggi," katanya.

Nicol mudah genggam emas

Posted: 21 Nov 2010 07:01 PM PST


NICOL menepati ramalan meraih pingat emas acara skuasy individu wanita pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China semalam.


KEMARAU tiga hari kontinjen Malaysia tanpa pingat emas berakhir petang semalam setelah ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menepati ramalan untuk muncul juara pada final acara individu wanita di Gimna- sium Bandar Sukan Asia, Guangzhou.

Emas keempat kontinjen negara bagi Sukan Asia 2010 itu berjaya diperoleh setelah Nicol menewaskan Annie Au Wing Chi dari Hong Kong 11-8, 8-11, 11-6, 11-7 dalam masa 39 minit.

"Ia sesuatu yang menakjub- kan apabila berjaya meraih pingat emas buat Malaysia. Tekanan untuk menang memang ada tetapi menerusi kerja keras dan juga latihan, saya akhirnya berjaya.

"Saya telah menghadapi satu perlawanan yang agak sengit pada hari ini (semalam). Ia bukan satu kemena- ngan yang mudah," kata Nicol ketika ditemui selepas upacara penyampaian pingat semalam.

Nicol turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain skuasy pertama yang berjaya meraih pingat pada keempat-empat temasya sele- pas skuasy diperkenalkan di Sukan Asia pada 1998.

Sebelum ini, Nicol menang emas pada Sukan Asia 1998, 2006 dan 2010.


NICOL (kanan) menepati ramalan menggengam pingat emas acara skuasy individu wanita semalam.


Pada temasya 2002 di Busan, Korea Selatan Nicol sekadar meraih perak setelah tewas kepada Rebecca Chiu dari Hong Kong pada final.

Menurut Nicol, tumpuannya kini dialih pula untuk membantu Malaysia meraih pingat emas dalam acara berpasukan wanita yang akan bermula hari ini apabila Malaysia bertemu Jepun.

"Misi kami belum berakhir lagi. Saya kini mahu memburu pula pingat emas dalam acara berpasukan yang pertama kali diperkenalkan pada Sukan Asia," jelasnya.

Kejutan bapa Elyana

Posted: 21 Nov 2010 07:00 PM PST




SENYUMAN tidak lekang pada bibir manis penyanyi yang popular dengan lagu Kalis Rindu, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 23, apabila sah menjadi isteri kepada Khairul Anuar Hussin, 35, pada malam Jumaat lalu.

Namun dalam hati, perasaannya bercampur baur beberapa minit sebelum majlis pernikahan berlangsung.

Akuinya, sebelum majlis pernikahan, dia langsung tidak merasai debaran tetapi tatkala duduk di hadapan ayah, ibu, jurunikah dan disaksikan puluhan sanak saudara dan jurufoto, hatinya tiba-tiba bergelora.

"Sebelum majlis pernikahan walaupun saya sibuk dengan persiapan perkahwinan, saya tidak rasa sangat debaran.

"Namun, apabila duduk pada majlis pernikahan sambil disaksikan keluarga dan puluhan kamera terus hati saya berdebar-debar dan fikir semasak-masaknya tentang tanggungjawab serta kehidupan selepas kahwin," ujar Elyana yang anggun dalam sepersalinan baju kurung moden berwarna biru firus pada majlis pernikahannya itu.

Bagaimanapun, itu bukan bermaksud dia tidak bersedia menjadi isteri. Menurut Elyana, saat dia membuat keputusan untuk bertunang, dia telah bersedia untuk menjadi seorang isteri kerana hatinya telah berjumpa dengan pasangan yang tepat.

Pasangan itu kemudian bersatu selepas setahun bertunang.

"Saya memang telah bersedia kalau tidak, saya tidak akan berkahwin. Sebagai isteri saya sedar tanggungjawab yang akan dipikul itu amat besar dan saya bersedia memikul semua tanggungjawab itu.

"Keputusan untuk berkahwin dengan Khairul adalah sesuatu yang tepat kerana saya rasa telah bertemu dengan orang yang tepat untuk saya hidup bersama. Dia orang yang paling faham akan diri saya dan sangat bertanggungjawab," kata Elyana.


GEMURUH di hati yang dialami pasangan Elyana dan Khairul pada acara akad nikah bertukar ceria pada majlis potong kek ini yang diadakan pada sebelah siang.


Suaminya yang berada di sebelah turut berkata: "Siapa yang tidak kenal Elyana mungkin menganggap dia seorang yang senang diuruskan, tapi sebenarnya tidak.

"Mula-mula risau juga kerana statusnya sebagai penyanyi tetapi itu satu cabaran untuk saya untuk mendekatinya.

"Elyana juga seorang yang romantik sebenarnya, dia akan membuat laporan kepada saya ke mana sahaja dia pergi.

"Kalau kami keluar berdua, setiap butir perkataan yang terluah daripada mulutnya pasti berbunga-bunga," tutur Khairul yang juga seorang pemilik restoran makanan Jepun di Bangsar itu.

Darah gemuruh pengantin lelaki

Pada majlis pernikahan berlangsung di Duchess Place, Ampang, Kuala Lumpur itu Elyana mahupun Khairul telah menerima kejutan daripada bapa Elyana, Emrizal Shamsuddin apabila dia mengambil keputusannya untuk menikahkan pasangan itu sendiri pada saat-saat akhir.

Sedangkan sebelum itu, mengikut perbincangan Elyana akan dinikahkan oleh jurunikah yang merupakan Imam Masjid Al-Akram, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, Azizan Othman.

Justeru, keputusan itu benar-benar satu kejutan yang tidak dijangka oleh Elyana dan terutamanya, Khairul.

"Saya ingat jurunikah yang akan nikahkan kami, tetapi masa berjalan masuk ke tempat nikah saya lihat bapa Elyana pula yang duduk di tempat jurunikah. Pada masa itu, bertambah berdebarlah hati saya ditambah dengan orang dan kamera yang memenuhi ruang pernikahan itu.

"Syukur setelah seminggu berlatih dengan sekali lafaz, Elyana sah menjadi isteri saya," kata Khairul sambil ketawa.

Elyana yang juga tidak menyangka bapanya akan berubah fikiran pada saat akhir turut terkejut tetapi dalam masa yang sama hatinya bertambah berdebar-debar kerana mengenangkan suaminya yang mempunyai darah gemuruh.

"Khairul memang ada darah gemuruh. Sebelum ini dia ingatkan jurunikah yang menikahkan kami dan dia memang berdebar tetapi apabila bapa saya pula yang ambil alih tugas itu saya lihat wajahnya, ketika itu saya tahu dalam hatinya debaran yang datang adalah dua kali ganda.

"Sangkaan saya mungkin, Khairul melafazkan lafaz nikah dalam tiga kali baru sah, tetapi saya cukup bangga dengannya apabila dia berjaya hanya dengan sekali lafaz sahaja," luah Elyana yang menerima wang hantaran sebanyak RM22,000 dan mas kahwin RM80 itu.


INI pula gelagat pasangan pengantin pada majlis potong kek yang berlangsung pada sebelah malamnya.


Mahu terus menyanyi

Bercakap tentang kerjayanya, Elyana dibenarkan oleh Khairul untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang seni. Tiada langsung halangan daripada Khairul kerana sejak berkenalan dengan isterinya itu, dia sudah mengetahui Elyana seorang penyanyi.

"Sejak kenal dengannya saya sudah tahu dia seorang penyanyi kenapa sekarang saya mahu menghalangnya melakukan pekerjaan yang disukainya.

"Saya tidak kisah, asalkan kerjayanya itu tidak mengganggu perjalanan rumah tangga kami meskipun setelah kami mempunyai anak kelak," jelas Khairul.

Kata Elyana pula, dia akan meneruskan kerjaya seperti biasa selagi tidak ada cahaya mata, bagaimanapun jika dikurniakan cahaya mata lebih awal dia akan berfikir semula sama ada berhenti atau teruskan kerjayanya.

"Khairul tidak pernah halang untuk saya terus menyanyi, cuma saya sendiri yang terasa tanggungjawab untuk memberi fokus lebih pada rumah tangga apabila kami mempunyai anak nanti.

"Terus menyanyi atau bersara, itu saya tidak boleh membuatkan keputusan sekarang, apa yang saya tahu setakat hari ini, saya masih ingin menyanyi," tutur Elyana yang kini turun berat badan sebanyak tujuh kilogram daripada berat badan asalnya.

Bercerita soal anak pula, pasangan ini tidak pernah membuat perancangan keluarga, bagi mereka andai diberi rezeki awal mereka akan menerimanya dengan lapang hati.

"Orang tua-tua cakap untuk anak yang pertama tidak elok merancang atau tangguhkan, nanti takut tidak dapat anak langsung.


BAPA Elyana (kiri) tiba-tiba berubah fikiran untuk menikahkan sendiri anaknya itu.


"Jadi, kami berdua tidak kisah nak ada anak bila atau berapa jumlahnya. Selagi ada rezeki kami terima," ucap Elyana yang akan berbulan madu pada bulan Januari tahun hadapan.

Walaupun begitu, lokasi berbulan madu masih belum diputuskan oleh mereka, cuma Elyana teringin untuk menjejakkan kaki di bumi Mesir sambil menikmati keajaiban dunia di sana.

Roslan Shah ditaja RM80,000

Posted: 21 Nov 2010 07:00 PM PST


DRAMA Sejambak Bukan Serumpun memberi peluang buat Roslan untuk melakonkan watak lelaki maskulin,


MABUK ESTROGEN, sebuah telefilem yang mengundang angin kontroversi dalam kehidupan seni Roslan Shah suatu ketika dulu. Babak Vee, lakonannya yang diberi bantuan kecemasan pernafasan mulut ke mulut (CPR) oleh Awang lakonan Fizz Fairuz di tepi kolam renang menjadi perbualan khalayak ketika itu.

Kemudian, dia muncul pula dengan watak Mami menerusi filem pendek, Chukang arahan Suhaimi Lua Abdullah. Lakonan serta jalan cerita filem tersebut, turut mengundang kontroversi di dada akhbar.

Mahu keluar dari kepompong watak stereotaip, Roslan Shah kali ini akan muncul dengan sesuatu yang berbeza. Menjalani penggambaran selama 40 hari, drama bersiri Sejambak Bukan Serumpun arahan Mat London memberi peluang Roslan Shah memainkan peranan maskulin.

"Saya dikenali dengan watak-watak gay dan lembut dan kali ini, watak Rahim memberi cabaran kepada saya dalam bidang lakonan.

"Kali ini saya membawa watak yang lebih serius tetapi masih lagi terdapat elemen komedi dalam drama ini.

"Suhaimi Lua Abdullah, pengurus produksi drama ini menawarkan saya untuk melakonkan watak Rahim.

"Selepas berbincang dan melihatkan komitmen saya dalam menghidupkan sesuatu watak melalui kajian, Mat London bersetuju mengambil saya," ujar Roslan yang hadir ke studio Utusan baru-baru ini lengkap berpakaian pengawal keselamatan.

Bagi merealisasikan watak Rahim yang merupakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, Roslan meresap ke dalam perjalanan seorang lelaki yang mempunyai banyak sifat negatif.

Malas bekerja, gemar curi tulang, suka mengendap dan tidur ketika bertugas merupakan karakter yang dibawanya serta sebuah cerminan sikap segelintir rakyat Malaysia.

Demi menjayakan watak itu, Roslan mengambil alternatif dan membuat kajian mengenai kehidupan pengawal keselamatan selama dua minggu.

"Selepas semua aktiviti harian saya selesai, kira-kira pukul 2 pagi, saya akan luangkan masa sekurang-kurang setengah jam untuk duduk dan berbual dengan pengawal keselamatan di kediaman saya.

"Saya melihat bagaimana gaya percakapan, pergaulan, pemakaian dan cara mereka berkerja. Selain itu, saya juga melakukan pemerhatian dari jauh perihal gelagat pengawal keselamatan," tambah Roslan yang sudah berlakon lebih 10 buah drama.

Dengan persediaan yang telah dibuat, Roslan yakin dia bersedia untuk membawakan sebuah karakter yang menuntut sebuah fokus yang mendalam.

Drama yang akan ditayangkan di RTM1 tahun hadapan turut dibintangi Azam Pitt, Nazim Othman, Meor Hashim Manap, Maimon Talib, Fimie Don dan ramai lagi.

Rita ganti Sosilawati

Memasuki usia 40 pada 17 November lalu, Roslan akan menyambut hari jadinya secara besar-besaran di Restoran Cerana, Cheras, Kuala Lumpur pada malam esok.

Bertema 'glamor bling bling', para tetamu yang tampil sesuai dengan tema majlis tersebut akan dipilih untuk memenangi empat bentuk cincin yang di taja oleh Ramli Lazim dari Reefa Gold (Di hatimu) yang baru sahaja membuka cawangan di Wangsa Walk Mall.

"Selain tajaan cincin, Reefa Gold juga menaja baucar RM100 bagi kira-kira 300 tetamu yang dijangka pada majlis hari jadi saya nanti, jadi jumlah tajaan daripada Reefa Gold (dihatimu) sahaja sudah mencecah RM50,000," akui Roslan.

"Selain itu, tetamu yang hadir nanti berpeluang memenangi hadiah tiket penerbangan pergi balik ke destinasi terpilih iaitu Hong Kong, Shanghai dan China tajaan Jaza Global Sarang Burung serta penginapan dan makan minum oleh Ripple Mate Tea turut disediakan. Maka, jumlah keseluruhan tajaan mencecah RM80,000," katanya tanpa berselindung.


ROSLAN bersama pemilik Reefa Gold (Di hatimu), Ramli Lazim yang turut menaja majlis hari jadinya pada tahun ini.


Ketika ditebak dengan isu penajaan artis yang kadangkala membawa masalah, Roslan menjawab dengan tenang dan menjelaskan bahawa dia tidak pernah berdepan dengan polemik melibatkan pihak penaja.

Malah, kebanyakan pihak penaja yang mahu menaja Roslan adalah atas permintaan pihak penaja sendiri.

"Cuma ada juga yang ingin potong jalan saya dengan menghubungi pihak yang pernah menaja saya dan minta mereka pula ditaja, tetapi saya tidak akan berbuat begitu kerana sifat cemburu dan dengki perlu disingkir," tambah anak kelahiran Jurong, Singapura itu.

Walaupun majlis kali ini mendapat pelbagai tajaan, Roslan bagaimana masih berasa sedih dengan kehilangan Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya yang pernah menjadi penaja hari jadinya sebelum ini selama empat tahun berturut-turut dari tahun 2006 hingga 2009.

"Saya berasa kekurangan dan sedikit kelainan kerana arwah seorang yang ceria dan dia seorang yang berfikiran terbuka. Dia merupakan salah seorang tetamu VVIP saya setiap tahun.

"Pada tahun ini, saya akan menjemput anak sulung arwah Sosilawati, Rita (Erni Dekritawati Yuliana) dan tempat duduk dia pada majlis itu nanti khusus disediakan di tempat yang sama arwah pernah duduk dulu," katanya yang sudah 10 tahun terlibat dalam bidang seni di Malaysia.