Utusan Online - Hiburan |
Posted: Rahsia tujuh tahun JacOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
BARANGKALI untuk sesetengah pasangan yang bercinta, ada yang tidak sanggup untuk menjalinkan hubungan jarak jauh. Perasaan curiga dan cemburu pasti akan terselit dalam diri mereka. Maklumlah, apabila jauh di depan mata, pelbagai perkara boleh berlaku tanpa pengetahuan masing-masing. Penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor atau Jac sendiri menjalinkan hubungan jarak jauh bersama tunangnya, Mark Bellamy selama tujuh tahun. Dalam tempoh itu, mereka berdua hanya mampu melepas rindu menerusi perbualan telefon serta penggunaan teknologi semasa seperti Skype dan Yahoo Messenger!. Jac berada di Kuala Lumpur sementara Mark pula nun jauh di bumi England kerana sibuk dengan tugasnya. Hanya ada kelapangan dan cuti panjang sahaja, Mark akan pulang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Jac. Usianya pun sudah menjangkau 32 tahun dan memang sudah cukup layak untuk mendirikan rumah tangga untuk membina keluarganya sendiri. "Jujurnya, kami masih belum ada perancangan untuk berkahwin kerana masing-masing sibuk dengan kerja. Kalau hendak memperkatakan tentang hubungan kami ini, memang tiada apa yang menariknya. "Baik saya dan Mark, masing-masing sudah biasa dengan hubungan jarak jauh ini. Saya harus akui, di awal perhubungan kami, memang perasaan sedih dan kekok itu sentiasa menyelubungi kami. "Namun, lama-kelamaan, semuanya menjadi seperti biasa dan cukuplah dengan panggilan telefon serta video menerusi komputer mengeratkan lagi hubungan kami," ujarnya tanpa selindung. Juara Malaysian Idol musim pertama itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis minum petang sempena persembahan istimewa, Pinktober bagi menyokong kempen kesedaran kanser payu dara di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Persembahan itu merupakan kerjasama antara Hard Rock Cafe, Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia dan The 8Unit dan bakal berlangsung di pusat hiburan terkemuka itu pada 31 Oktober ini mulai pukul 11 malam. Ketika ditanya tentang kesediaannya untuk bergelar seorang isteri, Jac atau nama sebenarnya, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor ini terdiam seketika sebelum memberikan jawapannya. "Saya masih belum bersedia untuk melepaskan karier saya sebagai seorang artis. Kalau saya berkahwin, bagaimana dengan karier saya nanti sedangkan saya masih belum puas dalam bidang ini. "Kalau saya berkahwin, saya perlu berhijrah ke London. Mata pencarian Mark semuanya berada di sana dan dia juga faham dengan keadaan saya buat masa ini. Begitu juga dengan saya. "Kekuatan perhubungan kami terletak kepada tolak ansur dan toleransi. Masing-masing perlu faham dengan situasi yang berlaku. Saya fikir bila sampai waktu yang sesuai nanti, saya pasti akan berkahwin" jelasnya dengan maksud yang mendalam sambil mengukir sekuntum senyuman. | ||
Posted: Hashimah terasa kehilanganOleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
PEMERGIAN seniman tersohor, M. Rajoli ke rahmatullah pada 17 September lalu benar-benar membuatkan peminat seni terasa kehilangan besar bagi industri seni tanah air. Namun kehilangan itu hakikatnya lebih dirasai oleh salah seorang balu pelakon itu sendiri iaitu isteri pertamanya, Hashimah Mohd. Din, 55, yang ditemui di kediamannya di Menara Rajawali, AU3, Hulu Kelang baru-baru ini. Menjaga suami yang sakit sejak empat tahun lalu bukanlah suatu tempoh masa yang singkat bagi Hashimah, sejak doktor mengesahkan suaminya itu menghidap penyakit limfoma (kanser kelenjar otak). "Memanglah terasa sunyi bila arwah dah tiada sebab sepanjang empat tahun, arwah sakit dia sentiasa ada di depan mata. "Dalam tempoh empat tahun saya tengok macam-macam perubahan yang dia alami akibat penyakit yang dihidapinya itu. "Jika tiga tahun lalu walaupun dalam keadaan sakit arwah masih mampu berbicara dengan kenalannya dan kami masih boleh berjalan-jalan ke rumah sanak-saudara pada hari raya namun, tahun ini Aidilfitri kami hanyalah di rumah," kata Hashimah memulakan bicaranya. Cerita Hashimah, suasana gembira menyambut kelahiran cucu ketujuh, Nur Rijal Hakimi pada pagi Syawal, 17 September lalu bagaimanapun bertukar suram pada sebelah malamnya apabila dikejutkan dengan berita pemergian suaminya itu. Nama Rijal yang diberi pada cucunya yang dilahirkan seberat empat kg itu menurut Hashimah, diambil bersempena nama datuknya. M. Rajoli atau nama sebenarnya Mohd. Rajab @ Mohd. Ghazali Mohd. Zain, 65, meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam di Hospital Ampang pada 17 September lalu selepas dimasukkan ke wad kecemasan kerana mengalami tekanan darah rendah dan masalah jantung. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada keesokan harinya. Reda dengan pemergian suaminya itu, katanya, inilah lumrah kehidupan yang mana setiap insan pasti akan merasai saat kehilangan insan tersayang. "Semua orang memang akan mengalami saat begini. Sedih dan perasaan sunyi itu memang saya tidak boleh nafikan tetapi kita perlu tabah hadapi segala apa yang terjadi. "Empat tahun macam-macam penderitaan yang arwah tempuhi. Sampailah pada tahun ini dia tak bercakap langsung. "Cuma apa yang mengejutkan saya, beberapa hari sebelum dia meninggal dia bercakap dengan lancar (Mah nak air) meminta air daripada saya," katanya lagi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |