Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- 'Bayar RM3,000 jika mahu bebas'
- Pesta kempen halal di Seremban
- Kepala bayi ditimpa siling hospital
- Kongsi pengalaman bersama peserta
- Zac malu dengan Vanessa
- Dilema perkahwinan Jac
- Perancis berdepan kekurangan minyak
- Drama cinta pelombong di Chile
- Pertandingan tidur sekejap di Madrid
- Ramai lihat UFO di New York
- Remaja Nepal jadi lelaki paling pendek
- Telur ayam bulat seperti bola
- Pembayar cukai dihiburkan dengan tarian
- Bola sepak satu budaya
- Usah bermegah wang hantaran
- Sinonim dengan Roha Collection
- Cuci tangan nyahkan kuman
- Bantuan hentikan tabiat merokok
- Cabaran taman tema Acer dan Intel
'Bayar RM3,000 jika mahu bebas' Posted: 14 Oct 2010 11:08 PM PDT
GEORGE TOWN – Keluarga Nur Farlihin Yahya, 20, yang hilang sejak 14 Februari lalu kini semakin bimbang apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan menuntut wang 'pembebasan' gadis itu sebanyak RM3,000 daripada individu yang tidak dikenali. Menurut kakak Nur Farlihin, Fazeliyatun, 30, dia menerima SMS itu kira-kira pukul 2 petang, 11 Oktober lalu iaitu pada hari laporan berita mengenai kehilangan adik bongsunya itu keluar di akhbar. SMS itu menyebut: "Untuk pengetahuan mak cik sekeluarga, anak mak cik ada sama kami, dan dia sudah jadi keldai kami untuk bawa barang dengan upah yang tinggi. Kalau nak dia keluar dari jadi ahli, mak cik kena bayar RM3,000. Ini syarat keluar ahli". Fazeliyatun berkata, selepas menerima SMS daripada talian bernombor 017-9320324 itu, dia cuba menghubungi semula nombor berkenaan tetapi tidak dijawab. "Sejak itu, kami tidak menerima sebarang panggilan telefon atau SMS daripada adik saya kecuali orang ramai yang ingin memberi bantuan termasuk memberi kata-kata semangat. "Kami sekeluarga bertambah bimbang dengan nasib yang menimpanya," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. | ||||
Pesta kempen halal di Seremban Posted: 14 Oct 2010 04:56 PM PDT SEREMBAN - Kempen 1Malaysia 1Halal (1M1H) yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini hari ini akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Kempen itu yang julung kali diadakan di negeri ini merupakan edisi keempat selepas kejayaan siri jelajah di Masjid Negara, Kuala Lumpur, Perlis dan Teluk Danga, Johor. Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Johani Hassan, pihaknya menyasarkan seramai 20,000 pengunjung pada kempen selama tiga hari yang akan berakhir pada 17 Oktober ini. "Kita harap orang ramai dapat menambah ilmu pengetahuan selepas melawat gerai pameran dari pukul 8 pagi hingga 10 malam. "Kita juga telah mengatur pelbagai aktiviti menarik sepanjang kempen ini yang mendapat sokongan pelbagai pihak," katanya di sini semalam. Aktiviti tersebut termasuk pameran produk halal oleh 70 usahawan selain kempen derma darah, pertandingan mewarna, dekorasi kek dan persembahan artis. Antara artis yang bakal memeriahkan kempen itu termasuk juara Akademi Fantasia (AF) musim lalu, Shahir; kumpulan muzik alternatif, 6ixth Sense dan penyanyi veteran, Datuk Ahmad Jais. Selain itu, orang ramai boleh mengunjungi gerai Kosmo! yang turut menempatkan sudut buku Utusan Publications & Distributors (UP&D) bagi menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan. | ||||
Kepala bayi ditimpa siling hospital Posted: 14 Oct 2010 04:54 PM PDT IPOH – Kegembiraan sepasang suami isteri menimang cahaya mata sulung bertukar pilu selepas bayi perempuan yang dilahirkan sihat pada 25 September lalu, didakwa 'menderita' akibat kecuaian dua buah hospital. Bapa bayi terbabit, Sahmani Dolmat, 29, mendakwa sehari selepas isterinya, Nur Aisyah Ahmad Syukri, 21, melahirkan Putri Nursofea Humaira, kepala bayi itu ditimpa serpihan kecil siling di wad bersalin Hospital Batu Gajah yang tiba-tiba jatuh. "Kejadian itu saya maklumkan kepada ketua jururawat namun tanpa pemeriksaan teliti dia memberitahu anak saya tidak mengalami apa-apa masalah," katanya di sini semalam. Sahmani mendakwa, sehingga isteri dan anaknya keluar dari hospital itu tiada rawatan diberikan kepada bayi tersebut. Menurutnya, kepala bayi itu semakin membengkak selepas majlis mencukur jambul baru-baru ini dan dia telah membawanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan susulan. | ||||
Kongsi pengalaman bersama peserta Posted: 14 Oct 2010 04:54 PM PDT PROGRAM realiti TV terbaru terbitan Astro, Mari Menari yang akan mula menemui penonton mulai esok, 16 Oktober ini pastinya sangat-sangat dinantikan. Ini kerana program TV terbaru ini sememangnya memiliki sedikit kelainan meskipun menggunakan konsep yang hampir sama dengan Sehati Berdansa. Mungkin ramai yang sudah tahu, peserta yang bakal bertanding dalam rancangan ini merupakan khalayak yang terdiri daripada pasangan adik-beradik, ibu atau bapa dan anak serta pasangan suami isteri. Ia berbeza dengan Sehati Berdansa sebelum ini yang mengenengahkan pasangan selebriti sebagai peserta. Selain pemilihan Awal Ashaari dan Lisa Surihani sebagai kali pertama digandingkan sebagai pasangan pengacara sudah diketahui ramai, nama-nama juri tetap yang juga merangkap mentor kepada pasangan yang bertanding telah diumumkan sebelum ini. Bagaimanapun, program realiti TV yang buat julung-julung kalinya diadakan ini pastinya menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak. Ini kerana empat orang selebiti iaitu Ferhad, Zul Huzaimi, Erra Fazira dan Lisdawati telah dipilih untuk memikul tugas sebagai juri tetap dan mentor kepada 12 peserta yang bertanding.
Umum mengetahui bahawa keempat-empat selebriti tersebut langsung tidak pernah terbabit secara serius dalam bidang tarian. Misalnya, Lisdawati yang lebih terkenal sebagai seorang model dan pelakon, Ferhad yang dikenali sebagai seorang penyanyi sepenuh masa, manakala Erra Fazira pula lebih banyak terbabit dalam lakonan dan nyanyian serta Zul Huzaimy yang juga merupakan seorang dramatis yang cukup terkenal dengan kewibawaan lakonannya. Meskipun menyedari akan ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan pemilihan keempat-empat selebriti ini sebagai juri dan mentor, tetapi masing-masing ada alasan tersendiri untuk menggalas tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka. Salah seorang juri dan mentor yang juga pemenang program Sehati Berdansa musim pertama, Lisdawati memberitahu dia akan menggunakan segala pengalaman yang diperoleh ketika menyertai program tersebut. Menurutnya, dengan pengalaman yang ada diharap sedikit sebanyak dapat membantu dirinya menjadi seorang juri dan mentor yang baik. "Sudah tentu saya sangat teruja kerana saya sememangnya langsung tidak memiliki asas dalam tarian. Apatah lagi minat dalam bidang tarian sudah ada dalam diri sejak dahulu lagi tetapi tidak dapat mempelajarinya kerana tentangan keluarga. "Dengan peluang yang diberikan ini, saya akan gunakan sebaik mungkin untuk memberikan segala ilmu dan pengalaman yang telah diperoleh semasa menyertai Sehati Berdansa musim kedua kepada peserta yang berada di bawah saya," ujar Lisda yang berpasangan dengan suaminya, Fauzi Nawawi ketika menjuarai program tersebut. Menilai langkah tarian Menurut Lisdawati lagi, sebagai langkah persediaan sebelum rancangan ini bermula, dia mengakui kerap menyaksikan program-program tarian di kaca TV dan video untuk mendapatkan lebih banyak lagi info serta maklumat tentang perkara-perkara yang baru dalam bidang tarian.
Sementara Ferhad yang turut dilantik sebagai juri dan mentor untuk rancangan tersebut pula memberitahu pemilihannya itu dianggap sebagai satu penghormatan buat dirinya meskipun ia merupakan sebuah program realiti TV yang khusus kepada bidang tarian. "Seperti yang sedia maklum, saya hanya dikenali sebagai seorang penyanyi tetapi itu tidak bermakna saya tidak layak untuk terbabit dalam program ini. Kalau dilihat program-program realiti TV di luar negara, pemilihan juri tidak hanya tertumpu pada sesuatu bidang sahaja. Pada pandangan saya, langkah yang diambil oleh pihak Astro ini adalah supaya program ini nampak lebih menarik lagi. "Lagipun peranan saya sebagai juri nanti adalah untuk memberi komen kepada peserta daripada segi persembahan mereka sahaja, bukan dari sudut teknikal kerana pada pertandingan itu nanti telah dilantik seorang juri yang profesional dalam bidang tarian," ujar Ferhad yang popular dengan lagu Kasih Berubah. Sementara itu, dramatis terkenal, Zul Huzaimy pula merasakan tanggungjawab untuk menjadi juri dan mentor dalam program dilihat bukan satu masalah yang besar buat dirinya. Walaupun pada asalnya dia sendiri tertanya-tanya kenapa dirinya dipilih, tetapi dia melahirkan rasa gembiranya dan begitu bersemangat untuk terbabit dalam program ini. "Sudah tentu saya akan menggunakan segala pengalaman dan kemahiran sebagai seorang pelakon serta sedikit ilmu asas dalam tarian yang pernah saya pelajari dahulu ketika menuntut dalam jurusan teater di Akademi Seni Kebangsaan. "Lagipun penglibatan saya sebagai seorang juri nanti bukan hanya menilai gerak tarian, tetapi keseluruhan persembahan mereka ketika beraksi di atas pentas. Untuk pertandingan itu nanti, saya bukan hanya mahu melihat peserta yang dapat menghafal langkah tarian sahaja, malah mampu untuk menjadi penghibur," ujarnya. Beritahu Zul Huzaimy pula, tugasnya bersama juri-juri yang lain nanti adalah memberikan kritikan kepada semua 12 peserta yang bertanding semasa hari persembahan setiap minggu. Sementara, peranannya sebagai mentor pula adalah untuk memberikan bimbingan seperti teguran. | ||||
Posted: 14 Oct 2010 04:53 PM PDT
AKTOR Zac Efron menyatakan kejelitaan teman wanitanya, Vanessa Hudgens telah membuatkan dirinya berasa janggal apabila dia berdiri di sebelahnya. Pelakon berusia 22 tahun yang bercinta dengan Vanessa sejak tahun 2005 mendedahkan dia selalu berasa tidak selesa di sebelah kekasihnya itu. Jelas Zac: "Bercinta dengan Vanessa membuatkan semua benda lebih mudah kerana kami saling memahami tanpa perlu banyak penjelasan. Saya seorang cerewet, malah lebih teruk berbanding wanita. "Itu yang membuatkan ramai orang menyampah dengan saya kecuali Vanessa. Dia amat memahami saya. Satu-satunya kelemahan adalah dia selalu kelihatan menarik yang membuatkan saya kelihatan pelik." Zac mengakui walaupun dia tahu Vanessa merupakan calon isterinya, namun dia tidak mahu terburu-buru untuk mengikat tali perkahwinan dengan Vanessa dalam masa terdekat ini. Malah, dia mempunyai perancangan untuk menunggu sehingga berusia 40 tahun sebelum berkahwin. Tambahnya kepada majalah Joy: "Kami pastinya tidak akan berkahwin dalam masa terdekat. Sekarang kami berdua masih terlalu muda. "Bila saya akan berkahwin? Rasanya umur 40 tahun adalah masa terawal saya akan mendirikan rumah tangga." | ||||
Posted: 14 Oct 2010 04:52 PM PDT
BERTUNANG sejak Disember 2006, ramai sebenarnya yang tertanya-tanya apakah status penyanyi, Jaclyn Victor bersama kekasih hatinya, Chris Bellamy. Belum lagi mahu mendirikan rumah tangga, Jaclyn yang mesra dengan panggilan Jac memberitahu mereka selesa dengan kehidupan sekarang. Walaupun pernah berbincang mengenai perkahwinan, hubungan jarak jauh antara Jac dan Chris menjadi penghalang utama. Chris sedang bekerja di London dan Jac pula sibuk dengan kariernya di Malaysia. "Kami ada berbincang mengenai perkahwinan tetapi dia tidak boleh menetap di Malaysia dan saya juga tidak boleh meninggalkan karier saya di sini. Jadi jika kami kena berpisah, mengapa perlu berkahwin? "Lebih baik kami mengekalkan hubungan sebegini. Lagipun berkahwin bukan satu keputusan yang senang dibuat. Ia satu langkah besar dan banyak aspek yang perlu diambil kira. "Maka, adalah lebih baik kami mengekalkan hubungan pertunangan sahaja buat masa ini," kata Jac ketika ditemui pada sidang media mempromosikan persembahannya bersama Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia, baru-baru ini. Kali terakhir melawat Jac adalah April lalu dan Chris selalunya akan menghabiskan masa sebulan bersama penyanyi itu. Berkenalan dengan Chris pada tahun 2003 ketika Jac menyanyi di KL Plaza, Jac menyatakan dirinya sudah biasa berjauhan dengan tunangnya. "Keadaan ekonomi di United Kingdom tidak begitu baik. Jadi saya juga tidak boleh meninggalkan Malaysia dan bekerja di sana. Lagipun saya sudah biasa berjauhan dengan dia. Pada mulanya saya memang sedih. "Tapi lama-kelamaan, saya sudah biasa. Lagipun kami berhubung setiap hari. Ia bukan satu masalah besar," jelas Jac lagi. Dilihat menerusi teater muzikal Cuci 2, Jac akan berlakon jika diberi peluang. Cuma menyanyi merupakan keutamaan buat dia. Jac juga baru-baru ini telah menolak tawaran berlakon dalam drama kerana jadual kerja yang padat. "Setakat ini saya belum mendapat sebarang tawaran untuk filem. Tapi anda akan melihat saya dalam karya Apalam arahan Afdlin Shauki. Ia merupakan versi filem Tamil, Papadom. Selain daripada itu, saya ada ditawarkan untuk berlakon dalam dua drama. Cuma saya menolak kerana jadual kerja yang padat," ujarnya lagi. Bakal melancarkan album 3 Suara yang merupakan kerjasama antara Ning Baizura dan Sheila OIAM, mereka bertiga memulakan rakaman sejak Mac lalu. Ia dijangka menemui peminat sekitar hujung tahun ini. Sebelum menghiburkan peminat dengan album baru, peminat Jac boleh menyaksikan persembahannya pada 31 Oktober ini, pukul 11 malam, di Hard Rock Cafe. Persembahan itu yang merupakan kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia diadakan untuk meningkatkan kesedaran ramai mengenai kanser payu dara. "Saya mempunyai kawan yang baru menjalani pembedahan akibat kanser payu dara. Tidak kira berapa usia anda, anda perlu menjalankan pemeriksaan. Selalunya orang tidak akan mengambil kisah sehingga sakit. "Selain boleh menyalurkan maklumat, saya juga berpeluang untuk menghiburkan peminat saya. Sudah lama saya tidak mengadakan showcase. Kali terakhir adalah pada September 2007. Jadi saya boleh menggunakan peluang ini untuk bermesra dengan mereka," katanya yang akan menyampaikan kira-kira 20 buah lagu. Bagi mereka yang berminat, anda boleh membeli tiket dengan harga RM55 (termasuk satu minuman ringan). Untuk sebarang keterangan lanjut, sila hubungi Hard Rock di talian 03-2715 5555. | ||||
Perancis berdepan kekurangan minyak Posted: 14 Oct 2010 04:52 PM PDT PARIS - Pemerintah Perancis semalam menggesa orang ramai supaya tidak tergesa-gesa membeli petrol manakala pengendali trak pengangkutan menuntut bekalan kecemasan memandangkan banyak loji penapisan minyak ditutup akibat mogok bagi menentang peningkatan had umur persaraan anjuran Presiden Nicolas Sarkozy. Dalam mogok itu, pelajar-pelajar membuat halangan ke sekolah dan ada sebahagiannya melontar batu ke arah polis. Para pegawai turut memberi amaran bahawa protes menentang tindakan menaikkan umur persaraan dari 60 kepada 62 tahun itu mungkin tidak terkawal. Pemerintah menyatakan sebanyak 342 sekolah menengah di Perancis terjejas namun pihak kesatuan sekerja pula memberitahu angkanya mungkin mencecah 500 buah sekolah. Dengan lapan daripada 12 loji penapisan minyak ditutup, kesatuan pekerja pengendali trak menghantar surat kepada Kementerian Dalam Negeri supaya tidak mengehadkan bekalan minyak rizab kepada pengusaha pengangkutan. Ketika Sarkozy mahu melanjutkan had umur persaraan yang kini sedang didebatkan di Dewan Senat, Menteri Pengangkutan Perancis, Dominique Bussereau cuma menenangkan kebimbangan kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan bahan api. Kebimbangan itu berlaku ekoran mogok yang bermula sejak beberapa hari lalu menjejaskan 70 peratus kapasiti loji penapisan minyak. Sarkozy mahu meningkatkan had umur persaraan itu sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan defisit awam Perancis. | ||||
Drama cinta pelombong di Chile Posted: 14 Oct 2010 04:51 PM PDT LOMBONG SAN JOSE - Drama percintaan antara seorang pelombong dengan isterinya dan seorang perempuan simpanannya hampir menenggelamkan kegembiraan operasi menyelamatkan 33 orang pelombong yang berjaya dilakukan di sini selepas mereka terperangkap 622 meter di bawah tanah selama 69 hari akibat dinding gua yang runtuh. Pelombong itu, Yonni Barrios, 50, telah menjemput isteri dan perempuan simpanannya untuk menyambutnya semasa dia tiba di atas permukaan tanah dengan kapsul penyelamat kelmarin. Namun, hanya perempuan simpanannya yang datang dan tidak isterinya. Isteri yang dikahwininya selama 28 tahun, berikrar tidak mahu melihat suaminya itu walaupun di televisyen. Ketika seluruh negara meraikan peristiwa bersejarah itu, Salina Barrios memberitahu dia tidak mahu berkongsi saat gembira itu dengan perempuan simpanan suaminya, Susana Valenzuela. "Ini sangat jelas, sama ada dia atau saya. Melalui perbualan di telefon dan surat yang dihantarnya, jelas bahawa suami saya sihat. Itu sudah mencukupi buat saya," kata Salina yang keputusannya turut disokong oleh Cecilia Morel, isteri Presiden Chile, Sebatian Pinera. Barrios yang nampak kecewa memberikan reaksi dingin kepada Valenzuela. Salina dan Valenzuela berjumpa pada Ogos lalu di lombong tersebut. Mereka terkejut kerana berada di lombong itu untuk lelaki yang sama. Malah, para pekerja Palang Merah pernah terpaksa menyuraikan pergaduhan mereka. Adik Barrios, Lidia berkata: "Dia mencintai kedua-duanya. Mereka sangat penting dan mahu mereka berbaik-baik di antara satu sama lain." Sementara itu, seorang anggota penyelamat, Manuel Gonzales menjadi orang terahir keluar dari dalam lombong bawah tanah tersebut dalam operasi penyelamat yang mendapat perhatian daripada ramai penduduk dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama. | ||||
Pertandingan tidur sekejap di Madrid Posted: 14 Oct 2010 04:50 PM PDT MADRID - Sejumlah peserta mengambil bahagian dalam pertandingan tidur sekejap di sebuah pusat beli-belah di sini. Peserta-peserta dalam lima kumpulan diberikan masa selama 20 minit untuk tidur di atas bangku berwarna biru dalam pertandingan itu. Sebuah kumpulan, Persatuan Rakan-Rakan Tidur Sekejap menganjurkan pertandingan itu yang bermula semalam dan berlangsung selama sembilan hari. Hadiah utama ialah wang tunai AS$1,410 (RM4,349). Matlamat pertandingan itu adalah untuk mempromosikan tidur selepas waktu makan yang merupakan tradisi Sepanyol yang semakin terhakis akibat gaya hidup moden. Peserta-peserta akan mendapat markah bagi kategori individu pertama yang terlelap, berdengkur paling kuat, kedudukan tidur terbaik dan pakaian tidur terbaik. Doktor-doktor hadir untuk memeriksa sama ada para peserta itu betul-betul tidur. | ||||
Posted: 14 Oct 2010 04:50 PM PDT NEW YORK - Satu kumpulan objek misteri yang bersinar berlegar di langit Manhattan, New York kelmarin sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa objek terbang tidak dikenali (UFO) terbang di sekitar bandar raya ini, lapor sebuah akhbar semalam. Polis dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Amerika Syarikat (AS) dihujani dengan panggilan telefon daripada orang ramai yang melaporkan melihat objek itu. Beberapa sumber penguat kuasa undang-undang menyatakan, ia dipercayai sebagai belon tetapi sehingga lewat kelmarin, identiti sebenar objek itu tidak diketahui. Menurut jurucakap FAA, Jim Peters, tidak ada objek ganjil seperti itu dilihat pada radar. Seorang wartawan akhbar New York Daily News dapat melihat satu titik kecil dan terapung di langit dari jalan Eight Avenue yang turut disaksikan puluhan orang lagi. Imej misteri itu muncul selepas sebulan satu kenyataan akhbar dikeluarkan yang mengumumkan penerbitan sebuah buku oleh seorang bekas pegawai Pusat Pemerintahan Aeroangkasa Amerika Utara yang meramalkan UFO akan muncul di beberapa buah bandar raya utama dunia pada 13 Oktober lalu. | ||||
Remaja Nepal jadi lelaki paling pendek Posted: 14 Oct 2010 04:49 PM PDT POKHARA, Nepal - Seorang remaja Nepal, Khagendra Thapa Magar diisytiharkan sebagai lelaki paling pendek di dunia oleh seorang pegawai Guinness Book of World Records, Marco Frigatti semalam. Magar yang setinggi 67 sentimeter (sm) dan berat 5.5 kilogram (kg) mengambil alih gelaran itu daripada Edward Nino Hernandez dari Colombia yang setinggi 70sm. Dia diumumkan sebagai lelaki paling pendek di dunia selepas umurnya genap 18 tahun sekali gus menepati syarat Guinness Book of World Records yang hanya menyenaraikan individu berumur 18 tahun ke atas sebagai pemegang rekod dunia. Majlis pengisytiharan itu diadakan di sebuah hotel di Pokhara barat Kathmandu, Nepal. Semasa dilahirkan, beratnya cuma 600 gram. Pada tahun depan, dia menjadi duta muhibah yang dilantik pemerintah sempena Tahun Melawat Nepal. "Saya sangat gembira dan teruja," kata Magar yang merupakan anak seorang penjual buah-buahan. Dia mempunyai adik lelaki berusia 13 tahun yang mempunyai ketinggian normal. Doktor-doktor tempatan gagal menjelaskan punca yang menyebabkan tubuh Magar tidak membesar. Dr. Hum Prasad Newpane yang menjadi doktor Magar sejak lima tahun lalu berkata, struktur tubuh remaja itu seperti budak tiga tahun dan dia berfikir serta berkelakuan seperti kanak-kanak. | ||||
Posted: 14 Oct 2010 04:48 PM PDT
CORNWALL - Seorang chef masakan berusia 27 tahun, James Church terkejut apabila dia terjumpa sebiji telur ayam unik yang berbentuk bulat seperti bola ketika sibuk memasak di Hotel Bristol di Newquay, Cornwall baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam. "Saya sedang bekerja pada waktu pagi dengan memecahkan telur dan membuat sarapan seperti biasa. Saya kemudian mengeluarkan satu bekas dan kemudian terlihat telur ini," kata Church yang menceritakan penemuan unik itu. Menurutnya, dia berasa tergamam seketika sebelum memanggil semua orang yang berada di dapur untuk melihatnya. Dia berkata, mereka turut kagum kerana tidak pernah melihat telur unik itu. Church yang bekerja selama lapan tahun sebagai tukang masak membuat keputusan untuk menyimpan telur unik itu. | ||||
Pembayar cukai dihiburkan dengan tarian Posted: 14 Oct 2010 04:47 PM PDT
CEBU, Filipina - Rutin harian kakitangan-kakitangan pengutip cukai di dalam pejabat di sini yang menari di depan pembayar-pembayar cukai telah berjaya meningkatkan hasil kutipan. Seramai 320 kakitangan menyertai rutin harian bergilir-gilir menari di depan pembayar cukai dengan mengikut irama lagu Waka Waka nyanyian Shakira, Earth Wind dan Boogie Wonderland. Menurut seorang pegawai pengutip cukai, Ofelia Oliva, kutipan harian cukai tempatan meningkat sebanyak 42.8 peratus kepada AS$115,000 (RM354,430) sejak pelancaran rutin menari itu pada Isnin lalu. Dia berkata, persembahan tarian itu dibuat atas arahan Datuk Bandar Cebu, Michael Rama. Pakaian yang dipakai oleh pekerja-pekerja itu semasa menari adalah bertemakan keceriaan. Persembahan tarian itu dilakukan pada waktu pagi dan tengah hari. | ||||
Posted: 14 Oct 2010 04:46 PM PDT JIKA anda berada berhampiran hospital bersalin Montevideo, Uruguay, kedengaran jeritan suara bayi-bayi kecil menangis sekuat hati. Eduardo Galeano yang merupakan penulis tersohor Uruguay menggambarkan teriakan bayi-bayi kecil itu menunjukkan keghairahan negara tersebut terhadap sukan bola sepak. "Jeritan itu menunjukkan bayi-bayi yang baru dilahirkan sedang menjerit gol!" kata Galeano yang merupakan peminat setia sukan bola sepak dalam dokumentari televisyen mengenai sukan berkenaan di Uruguay. Sukan bola sepak Uruguay kecil sahaja tetapi keghairahan terhadap sukan berkenaan amat besar. Bahkan, sebuah kelab divisyen pertama, Rampla Juniors yang diasaskan di Aduana negara berkenaan dikatakan mempunyai padang bola sepak terluas di dunia kerana anda tidak boleh melihat tempat duduk penonton dari kerusi penonton bertentangan. Dengan pemandangan Montevideo merentasi teluk berlatar belakang langit biru, padang bola sepak yang terletak di tepi sungai itu hanya mempunyai dua tempat duduk utama untuk penonton menyaksikan sukan kegemaran mereka. Pada masa dahulu, tendangan bola yang melambung tinggi ke udara dengan angin kuat mampu membuatkan bola berkenaan tersasar ke dalam sungai. Malah seorang pendayung akan sentiasa bersedia mengutip bola berkenaan dengan penuh sabar menggunakan sampan untuk memastikan perlawanan dapat diteruskan semula. Hector Moran, yang pernah bermain bersama pasukan Nacional mengalahkan PSV Eindhoven dari Belanda pada perlawanan akhir Piala Antara Benua 1988 menggambarkan kemuraman mengenai pendapatan yang diperoleh pemain-pemain liga domestik negara berkenaan. "Sebanyak 70 peratus pemain bola sepak di Uruguay tidak hanya bermain sukan kegemaran mereka tetapi terpaksa mencari pendapatan lain. Gaji amat rendah dalam liga domestik," katanya yang kini bekerja bersama kesatuan pemain ketika ditemuramah Reuters. "Kita mengenali pemain-pemain yang bekerja pada waktu malam dan akan menjalani latihan bola sepak keesokan harinya. Pendapatan minimum bagi pemain-pemain divisyen pertama adalah sebanyak AS$1,100 (RM3,400) manakala pemain divisyen kedua pula adalah AS$549 (RM1,699). "Pendapatan purata pemain-pemain di kelab pertengahan seperti Defensor dan Liverpool pula adalah di antara AS$1 (RM3) sehingga AS$1,990 (RM6,157) . "Bola sepak di Uruguay adalah sesuatu yang luar biasa. Di mana-mana sahaja di dunia ini anda akan berjumpa dengan pemain Uruguay kerana mereka mempunyai teknik bermain bola sepak yang baik. Pemain-pemain ini akan memberikan persembahan yang terbaik di mana-mana sahaja mereka berada. Juara kelab dunia Pengulas radio El Espectador, Ricardo Pineyrua memberitahu: "Kejayaan bola sepak negara ini tidak melibatkan isu ekonomi sebaliknya ia adalah satu budaya. "Uruguay sering menjadi calon untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia dan ia adalah fakta. Ini kerana daripada 11 kejohanan yang disertai Uruguay, pasukan kebangsaan telah berjaya menduduki tempat keempat hampir separuh daripada pembabitan dalam Piala Dunia. Dengan kira-kira 3.5 juta penduduk, Uruguay dilihat mempunyai kekurangan apabila berdepan negara jiran yang mempunyai penduduk lebih besar seperti Brazil dan Argentina. Dua kelab ternama liga tempatan Penarol dan Nacional yang masing-masing pernah menjadi juara Amerika Selatan sebanyak lapan kali dinobat sebagai juara kelab dunia beberapa kali turut menggunakan modal sedikit untuk terus beroperasi. Kebanyakan kelab terbaik pula hanya mempunyai padang yang kecil seperti liga bawahan di negara kuasa bola sepak Eropah. Stadium Centenario yang terkenal selepas menjadi lokasi perlawanan akhir edisi pertama Piala Dunia pada tahun 1930 hanya mampu menarik 5,000 penonton apabila Penarol beraksi menentang kelab-kelab kecil. Bagaimanapun, apabila melibatkan perlawanan klasik di antara Penarol dan Nacional ia akan dipenuhi dengan penonton yang mencecah sehingga 60,325. Bekas jurulatih dan pemain tengah Uruguay, Juan Ramon Carrasco percaya negara berkenaan boleh mengekalkan reputasi sebagai antara pasukan terbaik dunia sekiranya menggunakan taktik menyerang. "Sudah tentu anda boleh membawa lebih banyak wang dalam sukan bola sepak tetapi ia adalah isu lain," katanya sebelum memberi pandangan bagaimana Uruguay patut bermain bola sepak. "Saya bermain sebagai pemain tengah penyerang dan sentiasa mempunyai sikap bahawa pasukan kami bermain dengan 11 pemain lawan," kata Carrasco. Carrasco, 54, memberi nafas baru dalam permainan bola sepak Uruguay awal dekad lalu bersama pasukan kecil, Fenix dengan mengenengahkan strategi serangan. Falsafahnya membantu Carrasco menjawat jawatan ketua jurulatih Uruguay tetapi terpaksa melepaskan kerusi panas berkenaan. Walaupun strategi serangan yang ditekankan Carrasco merubah permainan Uruguay tetapi bahagian pertahanan masih lemah. Kejayaan pasukan Dia turut merasakan penglibatan Carrasco bersama pasukan River Plate Montevideo banyak menyumbang kepada kejayaan pasukan kebangsaan pada Piala Dunia yang berlangsung di Afrika Selatan baru-baru ini. "Uruguay telah mengharungi Piala Dunia yang sangat baik. Peminat-peminat turut membuat tuntutan selepas apa yang kami telah melakukan di River Plate, rakyat sentiasa dahagakan permainan untuk menyaksikan perlawanan bola sepak menarik dan berkesan."
Sementara itu, pegawai akhbar Rampla Juniors, Marcos Paredes, memberitahu, kelab berkenaan berkembang bersama komuniti pendatang-pendatang Eropah yang menaiki bot mencari rezeki dalam industri pengeluaran daging lembu di kawasan bukit Montevideo. Kelab berkenaan yang mempunyai stadium berkapasiti 6,000 penonton dinamakan Olimpico oleh seorang dermawan berbangsa Yunani masih mengekalkan suasana pekan kecil kerana pasukan itu merupakan sebahagian daripada komuniti di kawasan tersebut. "Oscar El Maestro Tabarez, jurulatih yang bertanggungjawab membawa Uruguay memasuki peringkat separuh akhir pada Piala Dunia di Afrika Selatan merupakan guru besar di sekolah tempatan. Saya juga belajar di sekolah berkenaan," kata Paredes. Presiden Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF), Sebastian Bauza, berminat untuk meneruskan momentum kecemerlangan Uruguay dalam Piala Dunia dan mengekalkan Tabarez selama empat tahun lagi sebagai ketua jurulatih kebangsaan. "Uruguay merupakan antara empat negara yang mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak bawah-17, bawah-20 dan Piala Dunia. Ia sangat penting untuk sekali lagi memberi impak dalam penglibatan Piala Dunia," kata Bouza. | ||||
Posted: 14 Oct 2010 04:45 PM PDT SEMUA orang perlu mengetahui bahawa hantaran bukanlah mas kahwin. Mas kahwin adalah ketetapan syariat dan wajib dibayar sementara hantaran adalah ketetapan adat yang menjadi budaya turun-temurun. Hantaran terbahagi dua bentuk iaitu wang tunai dan barangan. Secara mudah hantaran merupakan hadiah pemberian suami atau isteri kepada pasangannya sebagai tanda persetujuan dan kegembiraan untuk hidup bersama. Kebiasaannya sebahagian daripada hantaran ini akan diberikan pada hari pertunangan dan sebahagian lagi akan diberikan pada hari akad nikah dijalankan. Barangan hantaran inilah yang mesti dipulangkan semula sama ada dalam bentuk asal atau nilainya sekiranya berlaku pemungkiran pertunangan iaitu pertunangan diputuskan dan perkahwinan dibatalkan. Hantaran bukan wajib tetapi tidak haram diadakan. Malah, ketetapan adat ini diterima pakai sebagai satu kewajipan bukan saja sebagai tanda menerima pasangan tetapi juga sebagai permulaan tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri. Hantaran tidak perlu mahal, sudah nama pun sebagai hadiah, biarlah jumlah hantaran dalam kemampuan pihak terlibat. Jika untuk melunaskan hantaran memaksa pihak-pihak terlibat berhutang, pasti lebih sukar dan payah untuk meneruskan kehidupan selepas bergelar suami isteri sedangkan hakikatnya kehidupan sebenar suami isteri bermula selepas sah ijab dan kabul. Saya bukan menolak amalan masyarakat hari ini tetapi saya sekadar berusaha menjelaskan satu kebenaran yang telah dipinggirkan. Ramai ahli masyarakat kini yang berbangga bila hantaran anaknya tinggi tanpa mempedulikan cara yang digunakan oleh bakal menantu untuk memenuhi kehendak tersebut. Disebabkan kita hari ini lebih cenderung mengikuti lenggok langkah masyarakat sekitar, kesannya ditanggung oleh raja sehari itu pada belakang hari. Pengalaman saya mengendalikan kes rumah tangga daripada 10 pasangan, empat hingga lima kes perkahwinan berakhir sebelum hutang hantaran (kepada bank atau individu) berjaya diselesaikan. Ini kerana pasangan tersebut memasuki alam rumah tangga dengan masalah kewangan (hutang untuk memenuhi tuntutan hantaran) dan semua maklum masalah kewangan adalah pemangkin kepada masalah perkahwinan lainnya. Apakah ini yang ibu bapa inginkan? Jika hantaran disepakati oleh kedua-dua pihak tetapi ada pihak yang ingkar atau gagal menyelesaikan jumlah yang dipersetujui tersebut hingga perkahwinan berakhir, pihak yang satu lagi berhak menuntut agar jumlah yang belum dilunaskan tersebut dibayar. Ya! Hantaran yang disepakati tetapi tidak dipenuhi boleh menjadi hutang yang perlu dibayar. Bawa ke mahkamah Undang-undang yang diguna pakai di Mahkamah Syariah memperuntukkan hantaran yang tidak dijelaskan boleh menjadi hutang yang boleh dituntut oleh pihak yang belum menerima hantaran. Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan tuntutan hutang hantaran ini. Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah untuk membicarakan perkara yang berkaitan dengan perhubungan suami dan isteri. Menerusi Arahan Amalan di Mahkamah Syariah, Kod Tambahan Kes (49) memperuntukkan perkara berkaitan ganti rugi perkahwinan dan hutang dalam perkahwinan. Hantaran yang tidak dijelaskan termasuk dalam kategori hutang dalam perkahwinan dan pihak yang masih belum menerima haknya dalam hantaran yang telah dipersetujui, boleh menuntut di Mahkamah Syariah agar hutang hantaran tersebut dijelaskan. Jika kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. | ||||
Sinonim dengan Roha Collection Posted: 14 Oct 2010 04:45 PM PDT PADA usia sembilan tahun, Raha Ismail sudah mula mengekori ibunya, Asmah Awang Chik menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah dengan menjual pelbagai jenis barangan serbaneka. Walaupun tidak pernah dipaksa untuk berbuat demikian, namun Raha melakukan semua itu dengan kerelaan sendiri. Tanpa disuruh, dia juga akan menyusun barang-barang untuk diperaga pada pelanggan. Malah, berbanding lapan adik-beradik lain yang kesemuanya perempuan, dia boleh dianggap peneman setia kepada ibunya. Siapa sangka bermula dengan minat, kemudian dipupuk dengan kesungguhan, rutin tersebut akhirnya menjadikan Raha atau lebih mesra dipanggil Roha seorang usahawan wanita yang berjaya apabila meningkat dewasa. Jenama Roha Collection cukup dikenali di daerah Kluang kerana ia merupakan butik pemborong dan penjual pakaian yang beroperasi sejak awal tahun 2006. "Butik kami menawarkan pelbagai jenis kain pasang, tudung, baju siap termasuk kurung dan kebaya, blaus, jubah, telekung, aksesori serta kelengkapan raja sehari. "Alhamdulillah, dalam tempoh kurang lima tahun, butik saya sudah mempunyai tiga cawangan di Johor iaitu dua di Kluang dan satu lagi di Mersing," ujar Roha ketika ditemui Kosmo! di Kluang, Johor baru-baru ini. Butik itu turut menerima tempahan baju pelbagai jenis fabrik dan bersedia menjahit rekaan yang diingini pelanggan. "Kami mampu menyiapkan tempahan tersebut dalam masa sehari jika mereka mahu. Jadi, pelanggan tidak perlu menunggu dalam tempoh yang lama terutama mereka yang datang dari luar daerah Kluang," jelas wanita yang berusia 32 tahun itu. Sambil menunjukkan beberapa koleksi terbaru Roha Collection, ibu kepada Mohd. Hishamuddin, 9, memberitahu, dia menceburi dunia perniagaan secara serius sejak umur 22 tahun. Ketika itu Roha memilih untuk menjadi salah seorang usahawan dalam dunia skim jualan langsung (MLM). Selepas empat tahun, barulah dia memulakan bisnes butik Roha Collection dengan modal sebanyak RM2,000. Banyak rintangan Memegang kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, Roha membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai jika kita sentiasa berusaha. "Bukan mudah untuk berjaya hingga ke tahap sekarang. Banyak rintangan dan cabaran yang dilalui. Dalam dunia perniagaan, kita akan berjumpa dengan pelbagai karakter manusia. "Adakalanya kita akan tertipu dengan mereka dan begitulah sebaliknya. Tetapi, itu bukan penghalang untuk kita mencapai impian. Apa yang penting, setiap apa yang dilakukan perlu jujur," tegas Roha yang berkahwin pada usia 23 tahun.
Bertemu jodoh dengan seseorang jejaka dari Padang, Indonesia, perkenalannya dengan suami, Jamaluddin Johan, 32, bermula atas urusan perniagaan. Roha mengakui suaminya merupakan tulang belakang kejayaan yang dikecapinya. "Tanpa sokongan suami, tidak mungkin saya mampu menempuh pelbagai dugaan dunia perniagaan ini," tuturnya. Apakah pengalaman getir sepanjang menjalankan perniagaan? Roha berkata, dia pernah ditipu pelanggan dan rakan niaga serta berdepan dengan pekerja yang tidak jujur iaitu mencuri idea di butiknya dan kemudian memberitahu kepada pesaing perniagaannya. Bagaimanapun, Roha tidak gentar dengan persaingan kerana dia percaya dengan rezeki yang diatur Allah. Dia juga yakin dengan bakat dan kreativiti yang dikurniakan kepadanya dan jenama pakaiannya Bawa staf bercuti Satu petua yang sempat dititipkan Roha untuk berjaya dalam perniagaan ialah tidak lokek berkongsi rezeki dengan pekerja dan mereka yang memerlukan. Justeru, setiap tahun dia akan menutup operasi semua cawangan butik semata-mata untuk membawa pekerja dan keluarganya bercuti di seluruh negara. "Sejak dua tahun bekerja di sini, saya gembira kerana mendapat majikan seperti kak Roha. Dia sangat sporting dan sentiasa berkongsi masalah dengan kami. "Paling seronok apabila kami dibawa bercuti ke destinasi peranginan terkenal seperti di Langkawi, Genting Highlands serta negara jiran, Singapura dan Indonesia," ujar pekerja Roha, Wan Noraila Mohd. Jaafar, 20. Bagi meneruskan kesinambungan perniagaan butiknya, Roha berazam untuk memiliki bangunan sendiri pada masa akan datang. "Buat masa ini, saya masih menyewa lot-lot kedai pada kadar di antara RM6,000 hingga RM12,000 sebulan. Insya-Allah, jika diizinkan saya mahu mempunyai bangunan perniagaan sendiri yang lebih moden dan canggih. "Kepada wanita yang mahu menceburkan diri dalam perniagaan, jangan cepat berputus asa jika apa yang diusahakan tidak menjadi. Sebaliknya, terus berusaha dengan gigih," kata Roha mengakhiri bicara. | ||||
Posted: 14 Oct 2010 04:44 PM PDT DALAM usaha mengubah tabiat mencuci tangan dalam kalangan rakyat Malaysia, rangkaian penjagaan diri antibakteria Antabax dan Kementerian Kesihatan melancarkan program kesedaran dan pendidikan bersama menerusi Kempen Kebersihan Tangan 1Malaysia sepanjang bulan Oktober ini. Kempen tersebut dijangka membabitkan penyertaan lebih dua juta orang dan dipercayai menjadi kempen kebersihan tangan kolaborasi jabatan kerajaan dan syarikat swasta yang terbesar di negara ini. Usaha murni Kementerian Kesihatan dan Antabax turut mendapat sokongan Hospital Sungai Buloh serta hospital-hospital di seluruh negara, hab pengangkutan Semasa Sentral, pengusaha-pengusaha restoran dan 33 sekolah dari seluruh negara. Kempen tersebut menumpu perhatian kepada golongan muda yang paling kerap terdedah dengan risiko jangkitan virus dan penyakit berjangkit berkaitan tangan. Sejajar dengan tema 1Malaysia, kempen berkenaan dilancarkan baru-baru ini di Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor yang menempatkan tiga aliran sekolah kebangsaan iaitu Sekolah Kebangsaan Dato' Onn Jaafar, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tun Tan Cheng Lock dan SJK (Tamil) Tun Sambanthan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dilaporkan 1.5 juta kanak-kanak meninggal dunia akibat keracunan makanan dan cirit-birit setiap tahun dengan sebahagian besar kes berkenaan dilaporkan dalam kalangan mereka yang berusia lima tahun ke bawah.
Mencuci tangan dengan sabun dapat mengurangkan penyakit cirit-birit sehingga 44 peratus iaitu hampir separuh daripada kes yang dilaporkan. Pada tahun 2009 sebanyak 17,000 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Malaysia dengan kira-kira 18,000 kes batuk kering dan kes berkaitan virus A(H1N1) sehingga Ogos 2010 adalah 15,584 kes manakala kes keracunan makanan pula berleluasa. Tabiat kebersihan mudah seperti membersih tangan menggunakan sabun atau cecair sanitasi tangan dapat mengurangkan peratusan kes ini dengan mendadak. Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Kempen Kebersihan Tangan 1Malaysia yang berlangsung sepanjang bulan berusaha menjadikan amalan mencuci tangan sebagai satu tabiat dalam kalangan rakyat Malaysia. "Mencuci tangan dengan menggunakan sabun adalah antara cara paling berkesan dan murah untuk mencegah penyakit cirit-birit dan radang paru-paru. "Malah, kebersihan tangan dapat mengurangkan jangkitan penyakit HFMD, influenza, selesema, demam dan banyak lagi penyakit berjangkit kerana tangan adalah perantara atau vektor dalam penyebaran kuman," katanya. Kempen itu bakal melibatkan pengedaran produk, poster dan risalah pendidikan kepada sekolah, hospital, restoran dan hab pengangkutan di seluruh negara dengan kerjasama antara Kementerian Kesihatan serta Antabax. Selain itu, seminar dan demonstrasi mencuci tangan oleh profesional perubatan dari hospital terbabit dalam program tersebut turut diadakan di beberapa lokasi terpilih bagi mendidik dan menggalakkan masyarakat mencuci tangan dengan teknik yang betul. Pengurus Pemasaran Lam Soon (Divisyen Pemasaran Produk Isi rumah dan Penjagaan Diri), Carmen Foo memberitahu, Antabax menganjurkan kempen selama sebulan itu selepas mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada program tanggungjawab sosial korporat sebelum ini. "Sebagai jenama Malaysia yang komited terhadap penjagaan kesihatan dan kebersihan, kami memperuntukkan sejumlah dana khas untuk program seperti ini bagi memastikan mesej menjaga kebersihan tangan ini dicapai dan difahami sepenuhnya oleh seluruh rakyat Malaysia. "Kami yakin, tema 1Malaysia untuk Kempen Bulan Kebersihan Tangan ini akan menjadi amalan menjaga kesihatan, kebersihan dan gaya hidup sihat selain dalam masa yang sama dapat menyatukan masyarakat majmuk di negara ini," ujarnya. Tambah beliau, sehari dalam setahun tidak mencukupi untuk mengubah sikap atau tabiat seseorang. Ingatan atau pesanan sedemikian perlu diulang setiap hari. "Sebab itulah kami menganjurkan kempen ini selama sebulan dengan mengadakan pelbagai aktiviti di seluruh negara," katanya. Kemuncak acara pelancaran hari itu adalah majlis pembacaan ikrar diketuai oleh Rosnah, Pengarah Eksekutif (Pemasaran dan Jualan) Lam Soon Edible Oils, Kuek Bak Heng, Carmen dan wakil pelbagai pertubuhan bersama lebih 2,300 pelajar dan guru-guru Sekolah Wawasan USJ15. | ||||
Bantuan hentikan tabiat merokok Posted: 14 Oct 2010 04:43 PM PDT "SUSAH nak berhenti merokok. Rasa lesu dan tak bermaya. Berhenti sebulan kemudian nak merokok semula, tak tahanlah! Keluarga pula menjauhkan diri daripada saya, mungkin saya bau asap rokok dan mereka tak suka bau asap rokok pada pakaian mereka," keluh Hamzah mengenai masalah ketagih rokoknya. Beliau sedar perbuatannya mengeluarkan asap putih yang berkepul-kepul semasa menghisap rokok boleh memudaratkan mereka yang berada di sekelilingnya. Malangnya beliau sukar berhenti merokok. Hari ini terdapat pelbagai kaedah diperkenalkan untuk membantu seseorang menolak nikotin. Cara yang paling mudah ialah melalui sebatang rokok. Kenaikan harga rokok sebanyak 70 sen baru-baru ini untuk setiap kotak berisi 20 batang rokok jenis premium menjadikan harga sekotak rokok kini ialah RM10. Dengan kenaikan harga itu, diharap ia dapat mengurangkan pembelian rokok. Terapi menghisap gula-gula mentol atau mengunyah gula-gula getah antara kaedah yang paling popular untuk menghentikan tabiat merokok, tetapi ramai yang mengaku ia hanya sementara. Bau rokok "Paling lama saya dapat bertahan tidak merokok ialah di antara empat hingga enam minggu. Tetapi, bila saya terhidu bau rokok di tempat awam, saya dah tak boleh tahan. "Saya hanya perlukan satu sedutan saja dan keinginan merokok saya melampaui motivasi keluarga dan rakan-rakan yang berkongsi kesan buruk tabiat merokok ini," kata Mohd. Afizi Aziz. Beberapa syarikat farmaseutikal memperkenal kaedah yang boleh mengurangkan ketagihan perokok secara perlahan-lahan. Antaranya termasuklah ubat-ubatan, semburan dan tampalan. Sejenis semburan yang disembur di bawah lidah dapat menghentikan ketagihan rokok kerana asap tembakau dirasakan begitu manis bila dihidu. Satu lagi opsyen yang diperkenal baru-baru ini ialah kaedah tampalan yang boleh mengurangkan kebergantungan perokok kepada nikotin secara berkesan. Ketagihan terhadap rokok dikatakan dapat dilenyapkan dalam masa lima minit dengan tampalan NiQuitin. Tampalan itu ialah produk baru keluaran Glaxo Smith Kline (GSK). Ia boleh didapati di dalam tiga pek berlainan dos iaitu 7 miligram (mg), 14 mg dan 21 mg. Harga sekotak NiQuitin yang mengandungi tujuh keping tampalan tidak melebihi RM75. Tampalan itu dikatakan lebih berkesan apabila ia ditampal di bahagian badan yang kurang atau tidak berbulu roma. "Ia perlu ditampal di bahagian badan yang berbeza-beza termasuk bahagian belakang dan atas punggung supaya sel-sel kulit boleh tumbuh semula dan rasa tidak selesa atau gatal pada kulit dapat dielakkan," kata Pengetua Akademi Farmasi Malaysia, Prof Madya Dr. Mohamad Haniki Nik Mohamad. Haniki yang juga setiausaha Kumpulan Kerjasama dan Bersekutu Profesional Kesihatan Malaysia untuk Memberhentikan Tembakau (IMPACT) menjelaskan : "Setiap sesi rawatan hanya mengambil masa tiga bulan. Seseorang itu tidak boleh menggunakan tampalan seperti ini melampaui tempoh masa enam bulan. "Tampalan yang digunakan di dalam tiga peringkat itu mengambil masa 12 minggu untuk selesai dan melihat hasilnya." Tampalan NiQuitin digunakan dalam tiga peringkat. Untuk enam minggu pertama, tampalan yang digunakan ialah bagi dos 21mg. Kemudian diikuti dengan tampalan berdos 14mg untuk dua minggu. Tampalan NiQuitin 7mg pula ialah untuk dua minggu yang terakhir.
Tampalan itu digunakan selama 24 jam. Satu lagi cara ialah di dalam bentuk gula-gula lozenges. Gula-gula itu boleh didapati dalam pek dua dan empat miligram pada harga RM52.80 sen dan RM69.60 sen untuk satu kotak berisi 48 biji. Lozenges tidak berperisa dan tidak mengandungi gula, maka ia tidak mendatangkan kesan sampingan dan sesuai untuk pesakit diabetes. Bagaimanapun, lozenges mengandungi dos nikotin yang memberikan kepuasan kepada perokok yang cuba menolak tabiat merokok tetapi gagal. Perokok yang tinggi kadar hisapan rokoknya, perlu mengambil sebiji gula-gula 4mg setiap satu hingga dua jam sekali untuk 6 minggu, kemudian setiap dua hingga empat jam sekali untuk tiga minggu selanjutnya. Tampalan NiQuitin memerlukan kos RM750 untuk memulihkan tabiat merokok. Kos lozenges di antara RM634 sehingga RM835 untuk rawatan di antara 10 hingga 12 minggu. | ||||
Cabaran taman tema Acer dan Intel Posted: 14 Oct 2010 04:41 PM PDT JENAMA Acer dan Intel bukanlah satu nama asing dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini. Mendekati golongan belia dengan cara tersendiri, Acer Sales & Services dan Intel Malaysia bergabung untuk menganjurkan Cabaran Air Acer & Intel Unicol 2010 yang diadakan di Taman Air Desa Water Park, Kuala Lumpur baru-baru ini. Program sehari itu berjaya menarik kira-kira 1,500 penyertaan mahasiswa dari 10 buah universiti dan kolej di seluruh negara. Antara universiti dan kolej yang mengambil bahagian ialah Universiti Help, Kolej Antarabangsa KBU, Kolej KDU, Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU), Universiti Monash, Kolej Stamford, Kolej Universiti Taylor, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Universiti Sunway.
Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk bertanding dalam sembilan cabaran air antaranya cabaran tarzan air, perlumbaan air, kayu gayat dan LRT air. Pemenang bagi setiap cabaran berpeluang memenangi plak, medal dan baucar bernilai RM500. Bagi pemenang bertuah yang berjaya menjumpai kertas tertera perkataan Acer dan Intel dalam permainan belon, mereka memenangi 100 peralatan urut mata tajaan OSIM bernilai RM219 setiap satu. Pada akhir pertandingan, Kolej Stamford diumumkan sebagai pemenang keseluruhan. Pasukan itu berjaya memenangi piala pusingan dan sebuah komputer Acer Aspire 4741G bernilai RM2,299. Tempat kedua pula dimenangi Kolej Universiti Monash manakala ketiga Kolej KDU yang membawa pulang komputer Acer Aspire 4741G. Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pelanggan Mobil Acer Sales & Services, Low Gah Luen berkata, aktiviti diadakan selaras dengan prinsip syarikat itu dalam membudayakan teknologi kepada masyarakat. "Cabaran yang disediakan mampu menguji minda para peserta. Pada masa yang sama ia juga mampu memupuk semangat kerjasama meningkatkan daya kepimpinan di antara dalam pasukan," katanya. Selain bertanding, peserta juga turut dihiburkan dengan persembahan khas daripada juara beatboxer kebangsaan, Shawn Lee, kumpulan B Boys serta keletah juruhebah Fly FM, Izwan dan Kat. Pengurus Pembangunan Pemasaran Intel Malaysia, Karen Chow pula berkata, pihaknya gembira dapat berkerjasama dengan Acer Malaysia dalam menganjurkan program yang julung-julung kali diadakan itu. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |