Adsense

Selasa, 12 Oktober 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Mahligai gemilang

Posted:

Mahligai gemilang

Mahligai gemilang

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARII, NOOR ASREKUZAIREY SALIM dan SYEFRY MONIZ


Pasangan pengantin bersanding di pelamin yang penuh dengan elemen tradisional Melayu.


BAK pinang dibelah dua, sama cantik sama padan. Itulah yang boleh digambarkan pada pasangan pengantin baru Angkasawan Negara; Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Datin Dr. Halina Mohd. Yunos.

Mengabdikan tarikh 10 Oktober 2010 (10.10.10) sebagai tarikh bersejarah buat mereka memulakan kehidupan sebagai suami isteri. Tarikh itu juga merupakan tarikh ulang tahun Dr. Sheikh Muszaphar berlepas ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 2007.

Dimulakan dengan majlis akad nikah pada sebelah paginya, Dr. Sheikh Muszaphar, 38, sah menjadi suami kepada Dr. Halina, 30, hanya dengan sekali lafaz. Ia disempurnakan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Lt. Kol. (B) Mohd. Yunos Mohd. Ali dengan mas kahwin RM80.

Dr. Halina yang jelita mengenakan baju kurung moden warna putih gading menerima sembilan dulang hantaran terdiri daripada tepak sirih, sepasang persalinan, minyak wangi, beg tangan dan rantai, coklat, kek dan buah-buahan.

Pihak perempuan pula membalas dengan 11 dulang hantaran berupa tepak sirih, al-Quran dan sejadah, minyak wangi, sepersalinan baju Melayu serta butang, tali pinggang dan dompet, jam, kain songket, coklat, kek dan buah-buahan.

Majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya turut disaksikan kira-kira 1,500 tetamu terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sanak saudara, rakan-rakan serta orang ramai.

Turut hadir memberikan restu ialah ibu Dr. Halina, Habibah Endan, kedua ibu bapa Dr. Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor dan Datin Zuraidah Sheikh Ahmad.

Tidak ketinggalan 80 angkasawan luar negara yang kebetulan menghadiri Kongres Planet Ke-23 anjuran Persatuan Penerokaan Angkasa (ASE) pada 5 Oktober lalu.

Sejurus upacara pernikahan itu, Dr. Sheikh Muszaphar melakukan solat sunat sebagai tanda kesyukuran dan kemudian membatalkan air sembahyang dengan menyarung sebentuk cincin ke jari manis isterinya.

Dr. Halina turut menyarungkan sebentuk cincin ke jari manis suaminya manakala ibu mentuanya pula memakaikan seutas gelang tangan pada pengantin perempuan.

Dr. Sheikh Muszaphar ketika ditemui pada majlis persandingan bersama-sama peminatnya di pekarangan masjid itu berkata, meskipun sudah berumah tangga beliau tidak akan mengabaikan tugasnya sebagai angkasawan negara.

''Saya masih Dr. Sheikh Muszaphar yang dulu dan saya akan tetap meneruskan tugas memberi ceramah kepada pelajar-pelajar di luar sana.

''Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan selama ini termasuklah mendoakan keselamatan saya sebelum ini ketika berada di angkasa lepas,'' katanya.


Upacara memotong kek yang berbentuk kapal angkasa Soyuz TMA-11.


Beliau melahirkan rasa syukur kerana majlis pernikahan itu berjalan lancar seperti dirancang setelah menanti detik bersejarah untuk ke jenjang pelamin dengan sabar selama lapan tahun.

Sementara itu, Dr. Halina yang merupakan pakar bius di Hospital Selayang berharap semua pihak dapat mendoakan kebahagiaan rumah tangga dan perkahwinan mereka kekal sehingga ke akhir hayat.

''Ibu meninggalkan pesan supaya menjadi seorang isteri yang baik dan taat kepada suami dan saya berharap dapat menimang anak suatu hari nanti,'' katanya penuh gembira.

Dr. Sheikh Muszaphar bersama isterinya turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat-peminatnya yang hadir untuk memeriahkan lagi majlis pernikahan tersebut.

Pasangan bahagia itu merancang untuk berbulan madu setelah menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah musim ini atas jemputan khas Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Sultan Salman.

Pada sebelah malamnya pula, kemuncak cinta pasangan itu terungkap pada majlis persandingan yang dilangsungkan penuh gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dianggap perkahwinan gemilang abad ini, pasangan tersebut mengenakan busana rekaan daripada butik Cosry iaitu sepersalinan baju Melayu rona putih dipadankan dengan kot, tanjak dan berbengkung songket.

Manakala Dr. Halina nampak ayu berkebaya moden dengan serakkan batu-batu permata warna biru muda.

Untuk upacara memotong kek pula pasangan mempelai menukar persalinan kepada konsep moden berwarna perak rekaan Datuk Bernard Chandran.

Majlis persandingan tersebut yang dikhaskan kepada 1,000 tetamu jemputan yang terdiri daripada golongan diraja, orang kenamaan, ahli keluarga dan rakan rapat mengetengahkan tema perkahwinan Pahlawan Melayu Di Istana Kayangan.

Pada majlis tersebut juga turut ditampilkan keindahan budaya tradisi dan adat resam masyarakat Melayu selain acara kesenian seperti gurindam, zapin dan tarian tradisional Melayu.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

65 angkasawan berbaju Melayu

Posted:

65 angkasawan berbaju Melayu

65 angkasawan berbaju Melayu

Oleh Zuhayati Yazid


Pasangan pengantin mengabadi kenangan bersama kumpulan angkasawan yang masing-masing segak berbaju Melayu.


Perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Dr. Halina Mohd. Yunus mencatat sejarah tersendiri apabila majlis tersebut turut dihadiri oleh 65 angkasawan dari luar negara.

Secara kebetulan kesemua mereka berada di Kuala Lumpur sempena Kongres Planet Ke-23 anjuran Persatuan Penerokaan Angkasa yang bermula 5 Oktober lalu dan berakhir semalam.

Menariknya pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), kesemua angkasawan berkenaan segak dengan berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan songkok.

Malah pasangan mereka juga kelihatan anggun dengan busana baju kurung yang disediakan khas oleh Jakel.

Penolong Pengurus Imej Jakel, Mohamad Azizi Wahab memberitahu, pihaknya menyediakan 150 pasang baju Melayu yang dilengkapi dengan samping dan songkok.

''Kesemua ini kita sediakan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut memandangkan Dr. Sheikh Muszaphar merupakan angkasawan pertama negara,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau juga menjelaskan, penajaan tersebut merupakan tanggungjawab sosial syarikatnya kepada masyarakat.

Malah ia juga merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan baju tradisional negara kepada dunia luar.

Katanya lagi, pelbagai warna dan corak disediakan bagi memudahkan kumpulan angkasawan berkenaan memilih warna yang digemari.

Malah, pihaknya juga turut menyediakan baju Melayu yang bersaiz besar mengikut saiz Eropah.

Sementara itu, ketika sesi mencuba pakaian yang berlangsung di Hotel Istana sehari sebelum majlis persandingan, kesemua mereka kelihatan teruja dan seronok apabila berpeluang untuk memakai baju kebangsaan itu.

Salah seorang angkasawan, Klaus Dietreh Flade dari Jerman menyatakan keterujaannya apabila berpeluang mencuba pakaian tradisional masyarakat Melayu.

''Saya tidak sabar untuk mencuba pakaian tradisional ini yang sememangnya sangat unik dan menarik,'' ujarnya yang ditemani isteri.

Beliau yang bangga dapat mencuba memakai pakaian kebangsaan itu memilih warna coklat cair untuk di pakai majlis persandingan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Beliau yang merupakan juruterbang di sebuah syarikat penerbangan di Jerman menjelaskan kehadirannya pada majlis itu merupakan penghormatan kepada seorang teman yang pernah bekerjasama sebelum ini.

''Biarpun tidak pernah bertemu, namun inilah sokongan dan penghormatan saya untuk kepada Dr. Sheikh Muszaphar yang pernah menjejak kaki ke angkasa lepas,'' akuinya jujur.

Sementara itu, seorang lagi angkasawan, Sergei Avdeyev Va Siljevich, 54, turut berasa seronok kerana berpeluang meraikan majlis istimewa sahabatnya.

''Saya seronok kerana dijemput untuk menghadiri majlis yang bersejarah ini,'' ujarnya yang berkenalan dengan Dr. Sheikh Muzaphar ketika menghadiri seminar di Republik Czech sedikit masa lalu.

Angkasawan dari Rusia ini juga teruja kerana berpeluang mencuba baju Melayu dan dibawa pulang untuk di tunjukkan kepada rakan-rakan di negaranya.

''Tidak sabar rasanya untuk memakai baju ini dan ke majlis yang penuh adat itu,'' ujarnya sambil mendoakan kebahagiaan kepada pasangan pengantin baru itu.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.