Adsense

Selasa, 12 Oktober 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Siapa kata merajuk?

Posted: 11 Oct 2010 06:42 PM PDT

Hip

Rosyam Nor

Rosyam Nor

Rosyam Nor buat keputusan diamkan diri untuk tenangkan keadaan

SEJAK beberapa bulan lalu, Rosyam Nor seakan-akan menjauhkan diri daripada media. Ini berikutan tersiarnya berita hangat membabitkan perniagaannya.

Sejak itu juga, pelakon dan usahawan ini susah dihubungi oleh rakan wartawan. Gara-gara mengambil keputusan untuk berdiam diri, aktor hebat Rosyam disangka merajuk. Menguatkan lagi dakwaan apabila kelibat Rosyam tidak kelihatan di majlis rumah terbuka anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP). Memandangkan sukar untuk bertemu bapa kepada lima cahaya mata ini pada majlis terbuka, Hip menyerbu lokasi sesi uji bakat program realiti Pilih Kasih yang berakhir Ahad lalu di KL Sentral.

Rosyam yang bergaya ringkas topi, baju T bersama seluar jeans, sempat melemparkan senyuman ketika sedang mengadili peserta bersama-sama dengan Fatimah Abu Bakar dan Que Haidar sebaik melihat kami muncul. Sehari sebelum itu, dia sudah diserbu akhbar dari syarikat penerbitan lain yang semuanya mahukan kepastian benarkah Rosyam Nor merajuk?

"Saya tidak merajuk. Kalau saya merajuk, saya takkan pergi ke syarikat akhbar untuk membeli iklan bagi mempromosikan program Pilih Kasih yang sudah pun menemui penonton sebanyak tiga episod.

"Saya berdiam diri sebab nak bagi keadaan sejuk. Sebelum ini keluar dalam ruang gosip mengatakan saya mengamuk, padahal waktu itu saya hanya ingin bertemu dengan wartawan yang menulis gosip berkenaan untuk mendapatkan maklumat berhubung kiriman surat layang berkaitan saya yang diterimanya melalui e-mel.
"Saya ke sana dengan cara baik, tetapi tiba-tiba keluar cerita mengatakan saya mengamuk. Seingat saya, saya ke sana seperti biasa. Jadi apabila kisah saya tinggi suara keluar di pejabat akhbar, saya rasa jalan terbaik adalah berdiam diri saja. Saya tak berniat nak melakukan sebarang kekasaran kepada wartawan terbabit, bukannya dia tak kenal saya macam mana.

"Saya pun tak berniat nak memusuhi wartawan kerana saya anggap anda semua (wartawan) sebagai kawan. Siapa lagi kawan-kawan saya kalau bukan di kalangan penerbit dan wartawan? Saya tidak suka meletakkan diri saya sebagai artis, saya sudah mengenali wartawan daripada pelbagai generasi. Malah saya tidak ada masalah jika wartawan nak bertandang ke rumah saya, cuma saya bukan jenis orang yang suka mengadakan rumah terbuka dan kemudian ajak orang datang ke rumah.

"Sesiapa yang nak datang saya alu-alukan tetapi saya tak izinkan untuk ambil gambar. Baru-baru ini timbul pula cerita saya adakan rumah terbuka, sebenarnya saya tidak adakan sebarang majlis rumah terbuka, cuma memang saya adakan majlis kemasukan ke rumah baru, tetapi itu hanyalah untuk saudara mara saja. Jadi saya pelik macam mana cerita itu boleh tersebar," katanya.

Sememangnya, sekali Rosyam bercakap, susah pula hendak berhenti. Jauh berbeza daripada sangkaan dia akan bersikap dingin atau cuba mengelakkan diri daripada ditemui wartawan.

Sementara itu diminta mengulas dakwaan mengatakan dia tidak mahu terlalu menonjol di dalam Pilih Kasih, Rosyam berkata, dia berbuat demikian bagi mengelakkan timbulnya pilih kasih antara dirinya dengan peserta. Keputusan itu juga bukanlah keputusannya seorang tetapi dicapai hasil perbincangan bersama produksi program berkenaan.

"Apabila terlalu banyak campur tangan dalam program ini, saya menjadi terlalu dekat dengan peserta. Saya tidak mahu keakraban dengan peserta mempengaruhi pemberian markah untuk mereka.
"Susahnya bila akrab, ia juga akan mempengaruhi fikiran saya ketika proses penyingkiran. Jadi saya ambil keputusan untuk menjadi pemerhati saja," katanya.

Mencari calon berani

PROGRAM PILIH Kasih musim kedua masih lagi menjalin kerjasama bersama-sama dengan RTM serta mendapat tajaan daripada Telekom Malaysia (TM). Pencarian calon peserta Pilih Kasih diadakan sejak Julai dan berakhir Ahad lalu (10 Oktober). Proses pencarian calon peserta kali ini berlangsung agak lama apabila terpaksa dihentikan sementara waktu kerana memasuki Ramadan dan Syawal.

Kali ini, Pilih Kasih menjelajah ke tujuh buah lokasi iaitu Johor Bharu, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Shah Alam dan Kota Bahru. Sesi uji bakat di setiap lokasi diadakan selama dua hari mengambil iktibar daripada musim lalu apabila lokasi di Shah Alam diserbu sehingga menyebabkan sesetengah orang yang berminat untuk mencuba nasib tidak dapat berbuat demikian.

Ditanya apakah masih relevan program Pilih Kasih berikutan produk keluaran program berkenaan seakan-akan tidak terlalu menonjol. Malah sehingga memasuki musim kedua, tidak ada seorang pun di antara peserta musim lalu yang menyerlah.
Rosyam menjelaskan, momentum program realiti nyanyian dan lakonan adalah berbeza. Peserta program nyanyian, kata Rosyam boleh cari makan walaupun dengan hanya satu lagu tetapi lakonan pula bergantung kepada nasib dan usaha peserta itu sendiri.

"Jangan melihat Pilih Kasih macam program realiti nyanyian. Program ini hanya untuk mereka yang berani. Berlakon tidak mudah seperti nyanyian. Kalau peserta nyanyian, selepas keluar dari akademi mereka mudah dapat tawaran walaupun cuma dengan satu lagu. Jangan ingat program realiti lakonan pun sebegitu, walaupun bergelar juara tak semestinya bila keluar mereka akan ditawarkan watak utama.

"Bila keluar dari Pilih Kasih jangan ingat mereka akan terus popular. Saya mahu peserta Pilih Kasih bersusah payah seperti mana saya dulu yang terpaksa berusaha selama 13 tahun untuk berada pada tahap ini. Saya terbitkan program ini sebagai platform untuk mereka, selepas keluar dari program ini mereka kenalah pandai mencari peluang. Sebab itu saya tidak mengikat mereka dan saya juga tak mengenakan sebarang caj jika mereka mendapat tawaran lakonan," kata Rosyam.

Sementara itu, diminta mengulas bagaimana dengan projek drama dan filem yang dirancang untuk peserta Pilih Kasih musim lalu. Rosyam menjelaskan projek itu akan tetap berjalan tetapi dia hanya akan menerbitkan drama saja.

Kata aktor yang pernah memenangi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang itu, dia tidak berhasrat menipu peserta Pilih Kasih tetapi mereka perlu tahu pelbagai prosedur yang perlu dilalui untuk berurusan dengan pihak RTM. Bagaimanapun dia berjanji akan memastikan perbincangan bersama RTM selesai dalam tahun ini juga.

INFO
Rosyam Noor

  • Nama sebenarnya Mohd Noor Shamsuddin.
  • Dilahirkan di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur pada tahun 1967.
  • Mendirikan rumah tangga dengan Runika dan dikurniakan 5 anak.
  • Anak saudara kepada Allahyarham Hussein Abu Hassan dan sepupu kepada aktor Faizal Hussein.
  • Sudah berlakon lebih 30 filem.
  • Memenangi Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak tujuh kali kali.
  • Memenangi Pelakon Filem Lelaki Popular di ABPBH sebanyak tiga kali.
  • Dipilih Bintang Paling Popular ABPBH pada tahun 2002.
  • Diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-51 menerusi filem Bilut pada 2006.
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    Jiwa Greek, jasad Melayu

    Posted: 11 Oct 2010 06:30 PM PDT

    Hip

    Norzizi olah teater Medea sesuai dengan isu semasa

    DIANGKAT dari kisah klasik Greek, sentuhan terbaru teater arahan Norizizi Zulkifli berjudul Medea mengambil tragedi pembunuhan darah daging sendiri bagi menghubung kaitkan senario semasa seperti pembuangan bayi tidak berdosa, namun digubah mengikut rencah tradisional Melayu.

    Naskhah karya Euripedes itu bagaimanapun masih dikekalkan ciri asalnya termasuk nama, tempat, kepercayaan serta mitosnya namun secara visual ia berwajah nusantara - berjiwa Greek, berjasad Melayu - dengan amalan serta budaya menjurus nusantara. Norzizi berkata, sifat cinta keterlaluan seorang wanita hingga sanggup membunuh anak kembar demi membalas dendam terhadap suami yang menduakan dirinya seperti ditonjolkan menerusi karya klasik itu cukup sesuai dikongsi bersama khalayak.

    "Jika dilihat senario sebelum masihi, ia tidak jauh berbeza dengan sekarang apabila bayi tidak berdosa dibuang di jalanan, manakala kanak-kanak menjadi mangsa penderaan malah lebih menyedihkan tindakan tanpa perikemanusiaan itu dilakukan oleh ibu bapa dan insan terdekat mangsa sendiri.

    "Teater Medea sekadar simbolik menunjukkan nilai kemanusiaan yang semakin hilang selain api amarah manusia yang tidak berkesudahan jika nafsu menguasai akal selain keruntuhan moral generasi masa kini. Medea menjadi perbandingan antara senario berkurun lalu dengan gejala hari ini," katanya ketika sesi latihan di Kuala Lumpur Performance Act (KL Pac) di Sentul, Kuala Lumpur.

    Watak Medea ditunjangi pelakon berpengalaman, Azizah Mahzan bergandingan dengan Redza Minhat sebagai Jason iaitu suami wanita berkenaan, manakala Zulkifli Zain membawakan watak Raja Creon iaitu bapa Puteri Glauce yang dikahwini Jason hingga menimbulkan dendam Medea.
    Disebabkan cinta juga Medea sanggup membunuh ayah dan abangnya sendiri untuk membolehkannya menikahi kekasih hati namun kecewa datang berkunjung tatkala cinta lelaki itu beralih arah sekali gus membuatkan Medea dihalau keluar daripada istana bersama anak-anaknya.

    Tidak mahu penonton dibebani ketegangan seperti mana dirasai Medea, elemen dikir Barat disuntik ke dalam teater ini seperti mana teater Greek yang sememangnya terkenal dengan penggunaan korus selaku pemberi komentar malah penyampai korus mengekpresi babak menerusi nyanyian serta lenggok tarian.

    Norzizi yang juga pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam berkata, teater terbabit masih dilingkungi budaya Melayu apabila turut ditonjolkan adat berpantang selepas Medea melahirkan anak, selain masih mengikut naskhah asal tetapi lebih berkait dengan sesetengah amalan masyarakat seperti ilmu sihir.

    "Suka atau tidak inilah realiti sebenar yang masih membelenggu masyarakat cuma ia diperhalusi mengikut kesesuaian lingkungan budaya, bukan untuk menunjukkan kelemahan bangsa namun peringatan supaya tidak selamanya kita harus mengikuti amalan sama.

    "Eksplorasi yang ditonjolkan korus dan tunjang utama pula kebanyakannya berunsur pelambangan malah lenggok serta nyanyian berasaskan dikir barat yang diadun bersama elemen kontemporari yang diperhebat muzik gamelan di bawah garapan Pengarah Muzik, Hafiz Askiak manakala rekaan set mendapat sentuhan Hamzah Tahir," katanya.

    Sementara itu, Azizah Mahzan berkata perwatakan Medea cukup mencabar kerana dia bukan gila sebaliknya perasaan dendam yang menguasai akal dan fikiran membuatkan dia rela berbuat apa saja tetapi perlu ditonjolkan menerusi mainan perasaan tanpa perlu berlebih-lebihan.

    "Saya teruja tetapi pada masa sama berdebar kerana bukan mudah menjiwai perasaan seorang Medea apatah lagi menyelami perwatakan mitos utama yang menjadi bualan hingga kini dan sebagai persediaan, saya memahami Medea menerusi pembacaan terutama wikipedia.

    "Inilah pertama kali juga saya bekerjasama dengan Norzizi dan saya nampak kesungguhannya mengangkat mitos Greek ini ke pentas teater berteraskan nusantara, begitu juga semangat pelakon lain termasuk Redza, Zulkifli dan bakat baru yang turut menempiaskan aura kepada saya," katanya yang turut menjalani latihan sejak Julai lalu.

    Info
    Teater Medea

  • Dipentaskan di The Actors Studio@Lot 10 pada 13 hingga 17 Oktober, 8.30 malam.
  • Tiket berharga RM25 untuk malam preview, kadar biasa RM40
  • Pertanyaan dan tempahan boleh dibuat dengan hubungi 03-21422009/03-21432009 atau layari www.theactorsstudio.com.my.
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.