Adsense

Selasa, 26 Oktober 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kuasa barisan pelapis

Posted: 25 Oct 2010 04:22 PM PDT

Hip

Bront, Syamsul dan Lisa merintis semangat angkatan baru dunia perfileman

DEBARAN siapakah yang layak dinobatkan sebagai yang terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 sudah berakhir.

Malam penuh gilang gemilang bertujuan meraikan karyawan filem menyaksikan ramai bakat muda berjaya menggenggam anugerah yang menjadi idaman ramai itu. Antara tenaga muda yang cukup menyerlah malam itu ialah Lisa Surihani dan anak teruna pelakon dan produser terkenal, Datuk Yusof Haslam iaitu Shamsul.

Pada malam kemuncak FFM23 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Ahad lalu, Lisa menepati ramalan apabila diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik, manakala Shamsul diiktiraf Pengarah Terbaik.

Turut berkongsi kegembiraan malam itu ialah pelakon berkarakter, Bront Palare apabila dianugerahkan trofi Pelakon Lelaki Terbaik apabila wataknya sebagai Nick menerusi filem Belukar.

Kemenangan mereka menggambarkan satu perkembangan sihat kerana mereka inilah yang menjadi pelapis sekali gus mencorakkan satu hala tuju baru dalam industri perfileman.
Memulakan karier lakonan ketika usia 11 tahun dan hanya tiga tahun kebelakangan ini bergiat secara serius, Lisa berjaya membuktikan bahawa dia juga mampu untuk bergelar pelakon terbaik walaupun pengalamannya tidak sama dengan pesaing yang lain.

"Sejak tiga tahun kebelakangan ini saya serius dalam bidang lakonan dan juri nampak bakat saya. Sebagai pelakon, adalah menjadi tanggungjawab saya membuat yang terbaik dan saya akan cuba memuaskan hati semua pihak dengan memberikan peluang lakonan seperti yang dikehendaki," katanya yang kelihatan anggun mengenakan gaun labuh hijau polos rekaan Khairil Sufi.

Saat kakinya melangkah ke dalam dewan itu, dia tidak menaruh harapan untuk menang.

"Pesaing dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik memang hebat belaka terutama Mislina Mustaffa yang turut memberikan lakonan cemerlang dalam filem Karaoke," kata Lisa dengan penuh rasa rendah diri.

Ditanya apakah lakonannya dalam filem Legenda Budak Setan adalah yang terbaik setakat ini, Lisa tidak menganggap sedemikian.

"Bagi saya, apa juga watak yang diberikan, saya akan beri sebaik mungkin. Saya juga tak boleh kata watak ini, watak itu yang terbaik dari saya. Ini semua kerja juri dan saya serahkan pada mereka untuk membuat penilaian," katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran filem Sekali Lagi arahan Hashim Rejab.

Tujuh tahun bergiat aktif dalam bidang lakonan dengan melakonkan pelbagai watak akhirnya membawa tuah kepada Bront apabila bakatnya diiktiraf juri. Ramai menganggap, pilihan Bront sebagai pemenang adalah tepat kerana dia memang pelakon sejati yang mampu menghidupkan apa saja watak yang diberikan padanya.

Malah ada juga yang berpendapat, jejaka berusia 32 tahun ini sepatutnya sudah lama diberikan anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

"Saya tidak pernah anggap juri terlepas pandang. Ini semua ada kaitan dengan rezeki dan alhamdulillah, kemenangan ini saya tujukan kepada semua pihak yang banyak membantu dalam pembikinan filem Belukar. Kemenangan ini bukan kerana saya seorang saja. Tanpa yang lain, saya takkan berada di sini," katanya yang pernah bergelar pengacara Beat TV bersama Dynaz.

Berada di kalangan kelompok rakan artis yang banyak membantu peningkatan kerjayanya, Bront sempat meluahkan perasaan terharu dan teruja kerana walau ramai yang menganggap bidang seni penuh dengan elemen negatif seperti hasad dengki dan tikam belakang, namun situasi itu tidak pernah dilaluinya
"Saya bersyukur kerana bukan saja dikelilingi kawan-kawan yang menyokong karier seni masing-masing tetapi turut sama-sama membantu antara satu sama Kejayaan saya adalah kejayaan mereka dan begitulah sebaliknya,"ujarnya.

Tangisan Syamsul amat bermakna

TUMPAH air mata lelakinya tatkala namanya diumumkan sebagai pemenang kategori pengarah terbaik. Dalam usia yang masih muda iaitu 26 tahun, pemilik nama penuh Mohd Shamsul Yusof sudah pun mengecapi impian yang menjadi dambaan ramai itu. Kini, Shamsul yang memperoleh anugerah itu menerusi filem arahannya Evolusi KL Drift 2 sudah boleh tersenyum bangga apabila namanya kini setaraf dengan pengarah tersohor lain seperti Mamat Khalid, Adman Salleh, Erma Fatima, Bade Azmi dan Allahyarham Yasmin Ahmad.

Kejayaan itu benar-benar mengejutkan jejaka kacak ini kerana dia sendiri tidak pernah menyangka bahawa dalam usia semuda itu, hasil kerjanya mendapat pengiktirafan sedemikian rupa.

"Saya menangis kerana sedar banyak buat silap sebelum ini. Dan dalam keadaan seperti itu, Tuhan masih memberikan saya anugerah seperti ini. Kemenangan ini umpama satu peringatan buat saya untuk terus bertanggungjawab dalam semua hasil kerja saya nanti," katanya yang turut mendedikasikan kemenangannya itu kepada kedua orang tuanya yang tercinta.

Kata Shamsul lagi, kemenangan itu juga diharap dapat membuka mata banyak pihak terutama anak muda yang di luar sana supaya tidak takut menghadapi cabaran.

"Jika mereka mempunyai bakat dan idea yang bagus, jangan dipendam begitu saja. Sebaliknya luahkan di tempat yang betul. Kadang kala kita tidak tahu idea kita boleh diterima dan dianggap baik oleh orang lain," katanya yang turut menghargai rakan-rakan media kerana banyak memberikan sokongan terhadap kerjayanya.

Tidak mahu dikenali sebagai pengarah filem komersial semata-mata, Shamsul berkata dia juga merancang untuk mengarahkan sebuah filem epik bagi mempelbagaikan portfolionya.

"Kami mensasarkan setiap tahun saya akan mengarahkan tiga buah filem. Insya-Allah, tahun depan, saya akan mengarahkan filem epik iaitu Bukit Kepong. Sebuah filem re-make kepada yang terdahulu. Proses pro produksi akan bermula tahun depan," katanya yang turut membuat persembahan bersama Radhi OAG dan dua teman lain pada malam itu.

SENARAI PEMENANG FFM23

  • Anugerah Perdana
    Filem Terbaik: Magika (Kru Studios)
    Pengarah Terbaik: Shamsul Yusof ( Evolusi KL Drift 2)
    Pelakon Lelaki Terbaik: Bront Palarae
    Pelakon Wanita Terbaik: Lisa Surihani
    Lakon Layar Terbaik: Jumaatun Azmi (Haq)
    Cerita Asal Terbaik: Ahadiat Akashah (Lagenda Budak Setan)
    Sinematografi Terbaik: Raja Mukriz (Niyang Rapik)
    Filem Pendek Terbaik: Projek Genex (Ainotek Sdn Bhd)
    Filem Animasi Terbaik: Buas (Charukphong Anuvong)
    Filem Dokumentari Terbaik: Suatu Ketika - Laskar Senoi ( Astro Entertainment)
    Penyunting Terbaik: Hisham Jupri/Shamsul Yusof (Evolusi KL Drift 2)
    Skor Muzik Asal Terbaik: Edry Abdul Halim (Magika)
  • Anugerah Khas
    Penggiat Belakang Tabir: Penyunting Filem, Johari Ibrahim
    Filem Box-Office: Adnan Sempit (RM7.66 juta)
    Pelakon Lelaki Veteran: Tamam Idris
    Pelakon Wanita Veteran: Datuk Sarimah Ahmad
  • Anugerah Khas Juri
    Seniman Dalam Kenangan: Datuk Ahmad Mahmud
    - Filem Cinta Ais Kacang
    - Filem Woo Hoo
    - Filem Estet
    - Filem Mualaf.

  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    Program popular didahulukan

    Posted: 25 Oct 2010 03:52 PM PDT

    Hip

    FARID mengumumkan program siaran rangkaian televisyen MPB 2011 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    FARID mengumumkan program siaran rangkaian televisyen MPB 2011 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Mentor lebih menyerlah, capai 3 juta penonton setiap minggu

    MEDIA Prima Berhad (MPB) tidak akan teragak-agak memansuhkan sesebuah program dengan memberi laluan kepada program lain yang lebih menyerlah bagi menjaga reputasi stesen televisyennya.

    Selain pemansuhan program, perubahan pengisian dan pertukaran pengacara juga boleh berlaku kepada mana-mana empat stesennya - TV3, 8TV, TV9 mahupun ntv7 - sekiranya program yang disiarkan gagal menyerlah. Keputusan berkenaan jelas menunjukkan ketegasan MPB dalam memastikan kualiti program ditawarkan stesen miliknya terus terjamin dan menjadi pilihan nombor satu sebagai stesen tidak berbayar.

    Perkara itu dijelaskan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Farid Ridzuan selepas majlis pengumuman program siaran rangkaian televisyen MPB 2011 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

    Farid berkata demikian ketika ditanya media mengenai 'kehilangan' program realiti Gang Starz yang bersiaran sebanyak dua musim saja. Program realiti pencarian bakat nyanyian secara berkumpulan membabitkan peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina sepatutnya bergilir-gilir dengan Mentor setiap tahun. Bagaimanapun sejak dua tahun kebelakangan ini, Mentor dilihat terus mendominasi TV3.

    Farid berkata, penonton stesen itu mungkin tidak akan melihat lagi kewujudan program Gang Starz selepas ini, tetapi ia bukan bermakna program yang diperkenalkan pada 2007 itu gagal. Ketika diperkenalkan, kata Farid, Gang Starz boleh dilabelkan sebagai program yang berjaya.
    Tetapi jika dibandingkan dengan Mentor, ternyata program yang sudah melahirkan empat juara itu lebih menyerlah.

    "Berdasarkan jumlah tontonan, Mentor mencatat hampir 3 juta penonton setiap minggu. Program khas Mentor Raya juga menunjukkan sambutan yang amat baik daripada penonton kami.

    "Di MPB, mana-mana program yang lebih mendapat perhatian akan didahulukan. Kami sudah mencuba Mentor untuk beberapa musim dan ternyata produksinya lebih menyerlah. Setiap stesen di MPB perlu mempunyai sebuah program realiti yang mantap. Selepas setahun Gang Starz diperkenalkan, kita dapati program itu kurang menyerlah," kata Farid.

    Tambah Farid, ia perkara biasa kepada semua stesen MPB. Saluran 8TV, katanya, kini berbangga dengan kejayaan program tarian jalan Showdown yang berjaya mencatat kira-kira setengah juta penonton setiap minggu. Justeru, buat masa ini stesen berkenaan akan memberikan tumpuan kepada Showdown berbanding program One In A Million.

    Jodoh Maya dengan Nona tak panjang

    KETIKA mengulas khabar angin mengenai tugas penyampai Nona akan bertukar tangan pada tahun depan, Farid tidak menafikan perkara berkenaan. Katanya, tempat Maya terpaksa digantikan kerana jadual selebriti itu yang semakin ketat.

    Sejak akhir-akhir ini, desas-desus mengatakan tugas Maya bersama program Nona akan berakhir kian hebat diperkatakan. Kononnya, kehadiran pelakon Pisau Cukur itu dalam program terbabit gagal untuk meraih jumlah tontonan yang diinginkan.

    Farid berkata, tidak adil meletakkan kesalahan itu di bahu individu tertentu. Dan, stesen televisyen MPB pula pada setiap tahun mengadakan analisis untuk mencari formula terbaik meningkatkan persembahan program terbitan mereka. Justeru, perubahan perlu dibuat mengikut kesesuaian serta kehendak semasa.

    "Pertukaran penyampai dibuat bukan kerana Maya gagal dengan tanggungjawab yang diberikan. Sebaliknya, kami menjalankan kajian secara fokus berkumpulan. Kami turut bertanyakan penonton Nona, untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai program terbabit. Menerusi maklum balas diterima, kami mengambil langkah untuk mengubah apa yang patut bagi memantapkan lagi program itu.

    "Kami memang sentiasa berpandu kepada kajian fokus berkumpulan. Jika sesuatu nama itu naik, kita akan cuba menggunakan nama yang dicalonkan daripada kajian itu bagi melihat sejauh mana kemampuan mereka untuk menarik penonton. Kajian fokus hanyalah sebagai panduan dan tidak semestinya kita ikut," katanya.

    Ditanya apakah tempat Maya Karin akan diberikan kepada pelakon Vanidah Imran, Pengurus Besar Penjenamaan TV3 dan TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata, mereka mempunyai beberapa nama yang sudah disenaraikan dan tidak semestinya memilih artis saja untuk mengendalikan program berkenaan.


    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.