Adsense

Jumaat, 8 Oktober 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Raih RM3 juta

Posted: 07 Oct 2010 05:04 PM PDT

Hip

Filem muzikal Magika hampir capai sasaran kutipan kasar RM4 juta

FILEM muzikal yang kali pertama diketengahkan oleh trio adik-beradik daripada KRU Studios, Magika menunjukkan angka kutipan kasar memberangsangkan sekalipun temanya mungkin masih baru di dalam industri filem tempatan.

Magika menggabungkan cerita fantasi dan nyanyian mula ditayangkan pada 23 September lalu. Ia dijangka mencatatkan kutipan kasar sebanyak RM3 juta hari ini selepas dua minggu ditayangkan. Angka itu pastinya sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada produser filem ini yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studio, Norman Abdul Halim, tetapi paling utama ia berita menggembirakan kepada adiknya, Edry.

Edry yang kali pertama menjadi pengarah, mengakui betapa dia bersyukur kerana percubaan pertamanya untuk memperkenalkan genre baru dalam bentuk muzikal dapat diterima ramai.

"Ini menunjukkan peminat filem sentiasa inginkan sesuatu yang baru. Lebih membanggakan saya ialah ulasan dan pujian yang menghargai usaha KRU Studios untuk mengembangkan filem tempatan.

"Saya harap kejayaan Magika dapat membuka pintu kepada karyawan lain untuk menghasilkan seni muzikal. Malahan kami juga sudah ada perancangan untuk menerbitkan filem muzikal kedua pada awal tahun depan," kata Edry menerusi kiriman pesanan ringkas (SMS) kepada HiP.
Sementara itu, Norman sendiri meletakkan sasaran yang realistik iaitu RM4 juta, satu jumlah yang dianggap tidak terlalu tinggi. Memang tidak dinafikan sukar untuk mencapai jumlah itu kerana penonton Melayu masih dalam mood hari raya. Tambahan pula selain sudah banyak berbelanja untuk persiapan Hari Raya, filem Magika juga ditayangkan pada hujung bulan iaitu ketika kebanyakan orang belum mendapat gaji.

Oleh itu, kejayaan mencapai angka RM3 juta melapangkan sedikit dada Norman. Dia masih menaruh keyakinan orang ramai akan terus memberi sokongan terhadap filem Magika.

Ketika dihubungi Hip, Norman berkata, lazimnya kutipan kasar setiap filem pada minggu kedua sering kali lebih rendah berbanding minggu pertama, tetapi Magika nampaknya tersimpang dari kebiasaan itu, malahan mencatatkan kutipan yang cukup membanggakan buat KRU Studio.

"Berdasarkan kutipan minggu kedua iaitu pada Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin, Magika mengumpul kutipan lebih tinggi daripada minggu pertama. Keadaan ini adalah sesuatu yang luar biasa dan berbeza dengan trend filem terbitan KRU sebelum ini atau mungkin juga untuk filem terbitan syarikat lain.

"Selalunya jumlah kutipan minggu kedua lebih rendah berbanding dari minggu pertama tetapi perkara sebaliknya pula berlaku kepada Magika. Jika mendapat slot tayangan mencukupi, tidak mustahil jumlah kutipan Magika boleh mencecah RM3.5 juta. Angka yang dicatat setakat ini hanyalah tayangan menerusi 61 panggung di Malaysia dan tiga lagi di Brunei.

"Magika akan ditayangkan di Singapura pada November nanti. "Jadi kami menganggarkan sehingga Magika habis ditayangkan kelak, termasuk kutipan di Singapura, filem itu mampu berada dalam landasan RM4 juta yang kami sasarkan," katanya.

Walaupun Magika hanya memungut sebanyak RM50,000 di Brunei, Norman menyasarkan angka itu juga akan bertambah sekali ganda apabila ia habis ditayangkan kelak.
Biarpun tidak begitu besar, dia tetap berpuas hati kerana negara itu sendiri mempunyai jumlah penduduk yang kecil.

Katanya, Magika mendapat maklum balas yang cukup baik daripada penonton dan media massa, sesuatu yang dianggap jarang diterimanya kepada mana-mana filem terdahulu yang pernah dihasilkan oleh KRU Studios.

Ulasan positif itu menjadi pencetus semangat kepada KRU Studio untuk terus menghasilkan filem pada tema yang sama.

"Saya meluangkan masa beberapa kali ke pawagam untuk melihat maklum balas penonton. Ramai yang menggemari filem ini tetapi ada juga mereka yang tidak memahami konsep muzikal yang mengetengahkan 50 peratus lagi dan sebahagian lagi dialog.

Sama seperti filem Mamma Mia! The Movie dan High School Musical, filem Magika sebenarnya ditonton lebih daripada sekali oleh kebanyakan penonton dan keluarga.

"Filem ini nampaknya lebih menarik golongan keluarga berbanding remaja. Mungkin remaja lebih gemarkan filem berunsur seram, percintaan dan kegiatan sosial. Kami akan memperbaiki lagi hasil kerja kami selepas ini untuk menarik golongan remaja ke pawagam.

"Namun saya harus berterima kasih kepada teater muzikal yang pernah dipentaskan di Istana Budaya seperti Puteri Gunung Ledang, P Ramlee dan banyak lagi kerana disebabkan mereka, masyarakat di negara kita memahami apakah muzikal," kata Norman.

Selain skrip, lagu serta jalan cerita kata Norman lagi, barisan pelakon yang diketengahkan dalam filem ini yang membantu memantapkan filem ini. Kebanyakan pelakon yang diketengahkan memiliki kemasyhuran. Justeru, mereka menjadi salah satu tarikan kepada penonton untuk ke panggung.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com and Used Car Search Engine.

Siti belum terdesak

Posted: 07 Oct 2010 04:42 PM PDT

Hip

Masih berikhtiar pelbagai cara untuk dapatkan zuriat

HANYA kerana sekeping surat dari doktor pakar sakit puan yang menjelaskan masalah kesihatannya, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dikatakan hamil. Kecoh seketika dunia hiburan ketika itu.

Maklum sajalah, cerita Siti mengandung adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan sehingga setiap kali hadir dalam apa saja majlis, soalan itulah yang akan diajukan dulu. Berikutan tersebarnya cerita itu, lain pula cerita yang timbul iaitu kononnya Siti menjalani rawatan persenyawaan tabung uji atau IVF (In Vitro Fertilisation) atau melalui permanian berhadas di London seperti yang didakwa. Siti dikatakan melakukan kaedah itu di London sebelum menunaikan umrah Ogos lalu. Akibatnya, Siti dihujani pertanyaan mengenai perkara itu.

"Sebenarnya Siti tak adalah menjalani rawatan persenyawaan tabung uji atau IVF atau melalui permanian berhadas (IUI) seperti didakwa. Tapi Siti akui ada buat rawatan penyuburan tetapi secara akupunktur dan meminum herba sebagai perubatan alternatif.

"Lagipun ia bukanlah sesuatu yang dirancang. Kebetulan sewaktu Siti bersiar-siar, Siti ternampak ada rawatan akupuntur, itu yang Siti tergerak untuk mencubanya," terang Siti menjelaskan silap faham yang berlaku.

Siti berkata demikian ketika mengadakan majlis meraikan 100 Pemenang program Berhari Raya bersama Datuk Siti Nurhaliza di Saloma Bistro, baru-baru ini.
Biarpun persoalan mengenai anak adalah perkara wajib yang akan dikemukakan setiap kali bertemu penyanyi ini, namun jelas Siti dia tidak mempunyai kuasa untuk mengelak ataupun memarahi si penanya.

"Sebagai selebriti, Siti sedar apa saja perkembangan terbaru mengenai Siti khalayak mahu tahu. Jadi Siti memang sudah bersedia dengan apa saja yang berlaku.

"Insya-Allah, apabila sampai waktunya nanti, pasti Siti umumkan sebab ia adalah perkara yang baik," kata penyanyi lagu Biarlah Rahsia.

Ditanya apakah berkemungkinan suatu hari nanti dia akan menggunakan kaedah rawatan moden itu untuk mendapatkan zuriat, Siti tidak menolak jika ia mampu memberikan hasil yang diharapkan.

"Bagaimanapun, buat masa ini Siti masih belum terdesak untuk melakukannya. Biarlah Siti berusaha terlebih dulu dan jika terasa mahu mencubanya, Siti pasti akan melakukannya. Bergantung pada pada masa dan juga situasi,"ujarnya.

Mahu hargai stesen TV

SEPANJANG Aidilfitri lalu, tidak dinafikan wajah penyanyi terkenal ini menguasai hampir semua saluran televisyen. Ada yang mendakwa, stesen TV seolah-olah ketandusan artis.

Ketika diajukan pertanyaan ini, Siti dalam nada yang cukup tenang berkata, apa yang dilakukannya itu adalah sebagai menghargai permintaan stesen televisyen itu sendiri.

"Sebenarnya Siti hanya merakamkan empat program baru saja untuk hari raya iaitu RTM, Astro, TV3 dan TV9. Selebihnya program yang diulang siar. Siti menerima tawaran itu kerana tak suka menghampakan permintaan mereka. Lagipun stesen TV memang banyak membantu perjalanan karier seni Siti," jelas Siti.

Sementara itu, selepas berjaya dengan produk edisi terhad Koleksi Gold, Siti menerusi SimplySiti memperkenalkan gincu terbaru yang bertemakan Glam Red. Produk yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi ini memberikan pilihan kepada mereka yang gemarkan gincu berwarna merah.

"Sebelum ini SimplySiti hanya memperkenalkan rangkaian gincu daripada pelbagai warna. Untuk keluaran Glam Red ini, fokus utama kami adalah memberikan pilihan pelbagai warna merah. Siti akui memang ramai peminat sukakan rangkaian warna merah dan produk ini dikeluarkan atas permintaan mereka juga.

"Seperti biasa, warna merah yang dipilih adalah atas nasihat jurusolek dan juga penasihat warna SimplySiti," kata Siti yang turut mengenakan gincu rona merah serta solekan yang menyamai aktres luar negara yang popular sekitar 50-an.

Pada majlis ini juga Siti membuat kejutan pada majlis itu dengan hadir menaiki menaiki Ferrari merah. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Aizat, Ezlynn, Shahir, Saedah dan Saerah.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com and Used Car Search Engine.