MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong |
- Mohd dan Ziana Zain Juara Mentor 4
- Pelajar IPTA hanya bayar 10 peratus yuran pengajian
- Wanita terus kuasai IPTA
- Sifat pemaaf Rasulullah
- Budaya kerja Officekami
- Pengguna masih belum sedar hak mereka
- Persepsi positif berhubung daging kambing
- Gempar ikan berwajah manusia
- Bola sepak tulen kembali jadi trend?
- Keajaiban Piala Dunia 2010
- Serah nama 2,000 graduan cemerlang
- Anak lembu berkepala dua
- Membudayakan sikap di jalan raya
- Persoalan Agama: Empat panduan boleh diamal mantapkan ibadat solat
- 'Malu tak bertempat' rosakkan maruah Melayu
- Jerawat punca remaja stres
Mohd dan Ziana Zain Juara Mentor 4 Posted: 04 Jul 2010 01:08 PM PDT SHAH ALAM: Persembahan hebat disamping memiliki bakat yang tersendiri menyakinkan pihak juri dan peminat untuk menobatkan Mohd sebagai juara program realiti terbitan TV3, Mentor musim keempat yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini malam ini. Sememangnya keputusan yang sudah dijangka itu turut memperlihatkan persaingan sengit dengan ketiga-tiga finalis mempunyai kekuatan tersendiri. Mohd atau nama sebenarnya Mohd Izwan mohd Nor mengungguli dengan jumlah markah keseluruhan sebanyak 71 melayakkannya membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM 100,000 dan kontrak rakaman bersama Monkey Bone manakala mentornya Ziana Zain turut membawa pulang RM100 000. Mentor yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 2005 itu menyaksikan Pija sebagai juara pertamanya manakala Fiq pula menggenggam gelaran itu pada musim kedua setahun selepas itu, manakala Black menempatkan namanya untuk musim ketiga. Dalam konsert akhir itu, Mohd telah memberikan persembahan yang cukup menarik menerusi lagu baru ciptaan komposer baru, Aswandy yang berjudul Cinta. Bukan itu sahaja, anak kelahiran Johor Bahru itu juga berjaya memukau hadirin apabila berduet dengan Fiq menerusi lagu 3 Malam Tanpa Binta dan Bujang Senang. Tempat kedua dimenangi oleh Adi HamizJohar atau Adi hanya mampu berpuas hati apabila menyandang gelaran naib juara dengan markah sebanyak 62 peratus meskipun mempamerkan persembahan mantap terutama apabila berduet dengan Aizat. Adi dan mentornya Dayang Nurfaizah masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000. Sementara itu, Nani atau nama sebenar Nurhadzwani Salleh dan mentornya, Azmeer pula terpaksa akur dengan keputusan apabila meraih tempat ketiga dengan jumlah markah keseluruhan 51 peratus. - MSTAR |
Pelajar IPTA hanya bayar 10 peratus yuran pengajian Posted: 04 Jul 2010 01:06 PM PDT KUANTAN 4 Julai - Setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hanya membayar sebanyak 10 peratus daripada yuran pengajian keseluruhan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Beliau menjelaskan, sebanyak 90 peratus lagi yuran pengajian pelajar di IPTA ditanggung kerajaan. Menurutnya, kerajaan menyediakan peruntukan sehingga berbilion ringgit untuk menyalurkan subsidi bagi memastikan golongan muda mendapat pendidikan tinggi. "Sebagai contoh, bagi pengajian perubatan selama lima tahun di IPTA, kos sebenar adalah sebanyak RM200,000 iaitu yuran yang dibayar pelajar hanya RM19,000 kerana selebihnya iaitu RM181,000 adalah subsidi kerajaan. "Bagi pengajian kejuruteraan pula, kos pengajian bagi empat tahun adalah sebanyak RM105,404 dan kerajaan terpaksa membayar subsidi sebanyak RM94,644 bagi membolehkan pelajar membayar sebanyak RM10,760. "Oleh itu, sekiranya kerajaan tidak memberi subsidi dan menyediakan pelbagai kemudahan pastinya negara tidak mempunyai tenaga kerja pakar seperti jurutera dan doktor," katanya. Beliau berucap merasmikan minggu induksi siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) 2010 di Gambang, dekat sini hari ini. Hadir sama, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin. Menurut Mohamed Khaled, bagi Pengajian Sastera Ikhtisas, kos keseluruhan pengajian selama tiga tahun adalah sebanyak RM27,813 apabila pelajar hanya membayar RM7,638 sementara baki kos sebanyak RM20,175 ditanggung kerajaan. Dalam pada itu, tambahnya, tahun lalu, kerajaan mengeluarkan subsidi sebanyak RM8.5 bilion membabitkan 20 IPTA di seluruh negara. "Kerajaan juga menyediakan pelbagai biasiswa dan pinjaman pelajaran yang disediakan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membolehkan pelajar membayar yuran pengajian yang dikenakan," katanya. - UTUSAN |
Posted: 04 Jul 2010 01:05 PM PDT Pelajar wanita masih menguasai tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila 58.6 peratus (61,750 pelajar) daripada 105,377 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di IPTA bagi sesi pengajian 2010/2011 adalah daripada golongan itu. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu, seramai 40,366 pelajar mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama manakala 65,011 pelajar peringkat diploma termasuk di politeknik. ''Jumlah tersebut termasuk bilangan pelajar yang mendaftar di Universiti Malaysia Pahang (UMP) iaitu seramai 1,614 orang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan minggu induksi siswa UMP kampus Kuantan, Pahang. Sementara itu, di Bangi, Selangor, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, pelajar wanita masih mendominasi program ijazah pertama seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu sebanyak 68 peratus. Menurutnya, seramai 3,635 pelajar baru mendaftar bagi program ijazah pertama di universiti tersebut dengan 2,471 orang adalah wanita. ''Tahun ini, pelajar wanita yang mendaftar mencatat jumlah teramai berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya pada sesi pendaftaran pelajar baru Ijazah Pertama Sesi Akademik 2010/2011 di Kolej Kediaman Keris Mas, kampus induk universiti itu. Di Kota Bharu, Kelantan, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, daripada 533 penuntut baru yang mendaftar hari ini, 355 adalah wanita. Menurutnya, kemasukan pelajar wanita yang melebihi lelaki tidak boleh dielakkan kerana semua pelajar harus diberi peluang sama dan mereka yang layak harus diberi tempat. ''Pelajar terbabit mendaftar untuk mengikuti pengajian di tiga pusat pengajian iaitu seramai 180 akan melanjutkan pengajian di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Sains Pergigian, 43 orang dan Sains Kesihatan, 292 orang,'' katanya. Dalam pada itu, bagi program diploma, daripada 36,000 pelajar yang mendapat tawaran di 15 IPTA di seluruh negara, pelajar wanita adalah seramai 21,567 (58.45 peratus) sementara pelajar lelaki, 15,333 orang (41.55 peratus). Di beberapa universiti, jumlah pelajar wanita yang mendapat tawaran mengatasi pelajar lelaki, umpamanya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), seramai 225 (90 peratus) pelajar wanita mendapat tawaran sementara pelajar lelaki seramai 25 orang (10 peratus). Di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula, seramai 14,458 (61.24 peratus) pelajar baru di universiti itu adalah pelajar wanita diikuti lelaki 9,152 orang (38.76 peratus). Sementara di Universiti Putra Malaysia (UPM) pelajar wanita yang mendapat tawaran mengikuti program diploma adalah seramai 540 orang (60.67 peratus) dan lelaki, 350 orang (39.33 peratus). Di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) pula, pelajar baru wanita adalah seramai 619 orang (71.98 peratus) manakala pelajar lelaki 241 orang (28.02 peratus). - UTUSAN |
Posted: 04 Jul 2010 01:02 PM PDT NABI Muhammad SAW ialah seorang nabi dan rasul yang memiliki akhlak terpuji. Baginda seorang insan mulia yang sanggup memaafkan kesalahan orang lain. Pada suatu hari, ketika baginda sedang berehat-rehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang. Wanita itu mengetahui bahawa Rasulullah amat gemar kambing panggang. Bahagian kegemaran baginda ialah paha kanan bahagian depan. Lalu wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu. Dia melebihkan racun di paha kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu. Setelah melihat hidangan itu, maka Rasulullah pun berasa lapar. Selepas membaca bismillah, baginda pun makan dengan berselera sekali. Baginda makan bersama seorang sahabat, Bisyir bin Barra bin Ma'rur. Namun, sewaktu baginda sedang mengunyah makanan itu, timbul perasaan was-was di hati. Rasulullah pun meluahkan kembali daging kambing panggang yang sedang dikunyah. Ternyata suara hati baginda itu benar. Bisyir bin Barra bin Ma'rur telah menjadi korban. Sahabat baginda itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam makanan tersebut. Rasulullah pun bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung berkata: "Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk mengenai hal ini. Tetapi kalau engkau hanya orang biasa, maka aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi." Rasulullah mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang. Kemudian, baginda pun memaafkan wanita itu. Baginda tidak menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu telah mengakibatkan kematian seorang sahabat baginda. Baginda sanggup memberi kemaafan kepada seorang wanita yang ternyata mahu membunuh baginda. - UTUSAN |
Posted: 04 Jul 2010 12:54 PM PDT Arus perubahan teknologi maklumat telah mempengaruhi cara manusia berkomunikasi, bersosial dan juga budaya bekerja. Aplikasi e-mel misalnya, secara perlahan-lahan telah menggantikan penghantaran surat, tidak kira surat rasmi ataupun tidak rasmi. Jika dahulu, aktiviti sosial bermain dam sambil minum petang bersama teman menjadi sesuatu yang lumrah, kini permainan online di laman rangkaian sosial menjadi penggantinya. Begitu juga dengan cara bekerja hari ini yang secara tidak langsung dipengaruhi oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Sungguhpun konsep bekerja di pejabat masih lagi diamalkan secara meluas di negara kita, terdapat sesetengah syarikat multinasional yang telah lama mempraktikkan konsep bekerja dari rumah. Konsep ini membolehkan kakitangan tertentu melaksanakan tugas mereka sama seperti di pejabat, dengan akses kepada storan perkongsian atau shared drives, Intranet dan sumber lain menggunakan rangkaian persendirian maya atau VPN. Beberapa agensi kerajaan juga telah mula mengambil inisiatif yang sama bagi memberikan fleksibiliti kepada kakitangan mereka. Malah, kini terdapat ramai orang yang melakukan tugasan mereka dari kawasan umum, contohnya seperti di kedai kopi dan perpustakaan. Menyedari bertambahnya bilangan mereka yang bekerja seperti ini, sebuah projek komuniti yang diberi nama Officekami telah dilancarkan oleh Ikhwan Nazri dari Weddingkami (http://weddingkami.com). Ia diilhamkan hasil daripada budaya syarikat pekerja-pekerja syarikat yang rata-ratanya melakukan tugasan mereka dari luar pejabat. Oleh kerana mereka sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dalam menjalankan tanggungjawab mereka, telah wujud kepentingan untuk mengetahui keperluan asas bagi kakitangannya. Antaranya adalah seperti capaian WiFi, soket bekalan elektrik, tandas dan lain-lain lagi. Projek Officekami menyenaraikan lokasi-lokasi yang sesuai dijadikan 'pejabat singgahan', bukan sahaja untuk kakitangan syarikat Weddingkami, tetapi juga dikongsi bersama umum. Sesiapa sahaja boleh menyumbang maklumat berkenaan dengan lokasi-lokasi pejabat singgahan mereka ke blog projek komuniti ini. Mereka yang aktif berkongsi senarai lokasi mereka ke blog ini kebanyakannya adalah mereka yang bertugas di dalam sektor ICT antaranya ialah Fiona Jitab (http://me.zestful.org), Victor Liew (victorliew.com), Iwani Khalid (bitter-coffee.com) dan Shamsul Jafni (friendlyrabbit.com) dan ramai lagi. Mana-mana tempat yang mempunyai soket elektrik, akses WiFi dan difikirkan kondusif untuk dijadikan pejabat singgahan, layak untuk disenaraikan di dalam http://blog.officekami.com. Pengaturcaraan aplikasi bergerak Officekami telah dibantu oleh Nazrul Kamaruddin dari Redboot Solutions (redboot.net). Sungguhpun baru berusia setahun, Officekami telah berjaya menyenaraikan 120 lokasi dari seluruh Malaysia, khususnya di kawasan Lembah Klang dan beberapa tempat di Perak, Melaka dan Pahang. Selain di dalam negara, terdapat juga lokasi di luar negara seperti di Pakistan, hasil sumbangan umum. Terdapat juga reviu tentang aplikasi yang sering digunakan oleh kakitangan Weddingkami sebagai rujukan bagi membantu pekerja syarikat lain mengadaptasi konsep ini di dalam urusan seharian mereka. Sebagai langkah memberikan kesedaran umum tentang wujudnya budaya kerja ini, Officekami telah berjaya mengadakan acara Co-Working atau kerja bersama-sama yang mendapat tajaan San Fransisco Coffee bertempat di Menara UOA, Bangsar pada bulan Mac lalu. Dianjurkan bersempena dengan kempen Earth Hour, acara ini telah memperlihatkan penyertaan beberapa pekerja sektor ICT dan aktivis Social Media terkenal, Carolyn Chan (thechannelc.com). Trend Co-Working merujuk kepada pekerja daripada syarikat yang berlainan berkongsi ruang dan melakukan tugas masing-masing sudah popular di luar negara, khususnya di negara maju. Meskipun ia masih janggal di negara kita, trend ini hakikatnya memberikan banyak kesan positif antaranya menghilangkan rasa bosan para pekerja dengan memberikan suasana kerja di luar pejabat, selain membantu menjimatkan kos syarikat-syarikat kecil dalam menyewa pejabat. - KOSMO! |
Pengguna masih belum sedar hak mereka Posted: 04 Jul 2010 12:53 PM PDT Sikap tak kisah masyarakat di negara ini dikatakan antara punca kempen kesedaran mengenai hak dan kepentingan sebagai seorang pengguna dilihat kurang berkesan. Bahkan kesedaran bahawa seseorang pengguna itu mempunyai kuasa masih belum di tahap yang membanggakan ketika ini. "Sebagai contoh, apabila seseorang pengguna yang mengambil sikap tak kisah setelah ditipu membeli barangan yang berharga RM50 kerana beranggapan ia satu jumlah yang kecil dan tidak harus diperbesarkan. "Disebabkan sikap segelintir pengguna yang sebeginilah menyebabkan ramai peniaga akan mengambil kesempatan untuk terus menipu," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob pada satu sidang akhbar baru-baru ini. Beliau berkata demikian selepas upacara pelepasan skuad Jelajah Pengguna 1Malaysia yang terdiri daripada 17 kenderaan Ixora yang akan menjelajah ke seluruh negara sempena Bulan Pengguna Kebangsaan 2010. Menurut Ismail Sabri, melalui kajian yang telah dilakukan oleh pihak kementerian mendapati hanya 58 peratus sahaja masyarakat di negara ini yang menyedari hak dan kepentingan mereka sebagai seorang pengguna. Katanya, peratusan semakin mengecil apabila kajian yang dibuat melibatkan pengguna yang tinggal di luar bandar. Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, pada tahun ini pihak kementerian telah mengambil keputusan untuk menganjurkan Bulan Pengguna Kebangsaan 2010. Program itu dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pengguna tentang aspek kepenggunaan dan memperlengkapkan semua lapisan masyarakat dengan pengetahuan kepenggunaan. "Pelbagai program telah dirancang dan lebih difokuskan kepada pendidikan kepenggunaan dan perlindungan pengguna serta memberi kesedaran tentang kuasa sebagai seorang pengguna," katanya. Kata Ismail Sabri sebanyak 122 program akan diadakan yang melibatkan peringkat negeri dan kebangsaan serta kemuncaknya adalah majlis perasmian yang akan diadakan pada 27 Julai ini di Dataran Pahlawan, Melaka. - KOSMO! |
Persepsi positif berhubung daging kambing Posted: 04 Jul 2010 12:51 PM PDT Selama ini ramai yang beranggapan daging kambing boleh mengundang kepada pelbagai penyakit terutama mereka yang menghidap hipertensi. Persepsi itu secara tidak langsung menyebabkan pasaran daging kambing tempatan di negara ini kurang mendapat sambutan. "Boleh dikatakan masih ramai masyarakat di negara kita yang beranggapan bahawa mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi misalnya tidak digalakkan untuk makan kambing. "Sedangkan kajian oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mendapati kandungan kolesterol dan kalori dalam daging kambing tempatan sebenarnya lebih kurang sama dengan daging lain," kata Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar selepas merasmikan upacara Promosi Daging Kambing Keluaran Tempatan. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Datuk Dr. Abd Aziz Jamaluddin. Disebabkan persepsi tersebut masyarakat Malaysia lebih bertumpu untuk makan daging lembu sehingga ramai penternak kambing mengeluh apabila sukar untuk memasarkan produk mereka. Kata Noh, untuk mengelakkan persepsi berkenaan terus bermain di fikiran orang ramai, kementerian akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memberi penerangan yang lebih jelas mengenainya. Pada masa yang sama, kementerian juga telah mengambil langkah dengan mempromosikan kambing tempatan dalam usaha membantu pengusaha tempatan memasarkan produk mereka. Menurutnya, program promosi kambing tempatan akan terus diadakan dan melibatkan penyertaan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, agensi-agensi di bawah kementerian dan pelanggan-pelanggan di peringkat negeri. "Kementerian akan mengenalpasti lokasi strategik terutamanya kawasan tumpuan orang ramai seperti di pasar-pasar tani di seluruh negara untuk program Promosi Makan Daging Kambing Tempatan. "Dengan usaha-usaha mempromosikan daging kambing tempatan ini diharap dapat meningkatkan taraf hidup pengusaha dan seterusnya memajukan lagi ekonomi negara," katanya. - KOSMO! |
Posted: 04 Jul 2010 12:49 PM PDT DAGENHAM - Seekor ikan peliharaan di Britain menggemparkan pemiliknya kerana memiliki wajah seperti manusia, lapor sebuah akhbar semalam. Ikan kap itu dibela seorang lelaki, Brendan O'Sullivan di sebuah kolam di rumahnya di sini. Lelaki berusia 44 tahun itu membeli ikan tersebut lima bulan lalu tetapi dia mula mengetahui ia memiliki tanda seperti mulut, hidung dan mata manusia baru-baru ini. "Hanya pada minggu lalu ketika saya berjemur di belakang rumah saya, saya memerhati ke dalam kolam dan melihat ikan tersebut berenang ke arah saya," kata Brendan. "Saya kemudian terkejut. Ia memiliki tanda seperti dua mata, hidung dan mulut. Pada mulanya, saya ingat saya mengalami halusinasi," tambahnya. Ekoran keunikan itu, ikan kap milik lelaki berkenaan kini dianggarkan berharga £40,000 (RM196,067). - Agensi |
Bola sepak tulen kembali jadi trend? Posted: 04 Jul 2010 12:48 PM PDT Apabila Sepanyol melestarikan namanya selaku juara Kejohanan Negara-Negara Eropah pada 2008 dengan memperagakan corak permainan yang menghiburkan, penuh seni dan positif, ia mengembalikan ingatan ramai kepada samba dan total football menepati jolokan The Beautiful Game yang diuar- uarkan oleh Pele. Bermulanya sepak mula Piala Dunia di Afrika Selatan, tanda- tanda trend itu berterusan tidak timbul sehingga Jerman, dengan gandingan pemain berpengalaman dan tenaga muda, membela- sah Australia 4-0. Sehari sebelum itu, Argentina menyerlah tetapi sekadar menyumbat satu gol ketika menumpaskan Nigeria. Dengan kebanyakan pasukan berhati-hati bagi mengelak kekalahan selain purata jari- ngan yang rendah berbanding edisi terdahulu, peminat risau kemeriahan kejohanan kali pertama diadakan di benua Afrika tercemar dek permainan membosankan. Ramai menuduh Brazil dan Belanda, misal- nya, mengorbankan prinsip dan tradisi yang mengangkat kedua-dua negara selaku pendo- kong bola sepak dengan gaya asli, iaitu menyerang dengan tarian samba dan total foot- ball. Tentunya ramai masih ingat kesedihan yang melanda barisan Brazil pimpinan Tele Santana apabila tewas kepada Itali seawal pusingan kedua (ketika itu ia diadakan secara liga) di Sepanyol pada 1982. Kesebelasan yang dianggotai jentera tengah dibintangi Socrates, Zico, Eder, Falcao dan Toninho Cerezo serta bek kiri yang me- nyerang, Junior, menangkap imaginasi pemi- nat seluruh dunia. Mereka menjaringkan 10 gol dalam tiga perlawanan untuk memenuhi cita rasa penyokong yang menagih tarian samba dan jogo bonito. Namun, impian mereka tersekat dek kehe- batan Paolo Rossi mencium peluang. Analisis mendapati, Brazil terlalu gemar menyerang sehingga pertahanannya terdedah kepada serangan balas. Perancis mara ke separuh akhir dengan berteraskan keunggulan Michel Platini, Alain Giresse dan Jean Tigana mendenyutkan jentera tengah. Namun, selepas mendahului Jerman Barat 3-1 dan menyaksikan Patrick Bat- tiston tersungkur akibat terjahan Harald Schumacher, Perancis terkeluar. Dua tahun kemudian, cabaran mengimbangi kaedah serangan berbahaya dengan corak bertahan disahut oleh jurulatih Perancis, Michel Hidalgo. Beliau memperkuatkan barisan tengahnya dengan meletakkan Luis Fernandez untuk meringankan tugas Platini, Giresse dan Tigana pada Kejohanan Negara-Negara Eropah di Paris. Jika Tigana menyusup ke segenap padang, Giresse merencanakan gerakan dan Platini pakar penyudah peluang, Fernandez berfungsi selaku pemain tengah bertahan, melindungi empat pertahanan dianggotai Maxime Bossis, Patrick Battiston, Manuel Amoros dan Jean- Francois Domergue. Apabila Amoros digantung selepas dibuang padang ketika menewaskan Denmark pada perlawanan pembukaan, Fernandez beraksi pula di posisi bek kanan, manakala tugasnya di tengah diambil alih oleh pakar sepakan percuma, Bernard Genghini. Kesudahannya, Platini menyumbang sembilan gol, Tigana muncul pemimpin Les Bleus kerana bebas mengintai ruang kubu lawan manakala Giresse kreatif membekal peluang dalam laluan Perancis mengucup kejuaraan pertama mereka dalam dunia bola sepak. Hebatnya empat serangkai Perancis itu hingga mereka digelar Carre Magique, atau segi empat ajaib. Belajar dari situ, Brazil di bawah Santana meletakkan dua pemain tengah bertahan untuk mengimbangi samba Socra- tes, Zico, Careca, Muller dan Branco di Mexico 1986. Tampilnya Elzo dan Alemao memaksa Cerezo dan Falcao memanaskan bangku simpanan manakala bek kiri pada 1982, Junior menemani Socrates selaku pencatur gerak. Malangnya, Brazil terpaksa bertemu Perancis pada suku akhir dalam perlawanan yang disifatkan oleh Pele sebagai pertembu- ngan abad ini. Brazil tewas menerusi sepakan penalti. Kenapa Diego Maradona unggul di sebalik kejayaan Argentina pada 1986? Kerana adanya pemain seperti Sergio Batista, Ricardo Giusti dan Hector Enrique yang memberi Maradona kebebasan untuk mengatur gerak sambil membekal peluang kepada Jorge Val- dano dan Jorge Burruchaga. Brazil 1994 menonjolkan Dunga dan Mauro Silva manakala Perancis 1998 bertunjangkan Didier Deschamps dan Emmanuel Petit. Keseimbangan ini yang dicari-cari oleh pasukan bergelar sang juara. Lihat saja Inter Milan yang menampilkan Esteban Cambiasso dan Javier Zanetti untuk memberi ruang ke- pada Wesley Sneijder membantu Diego Milito, Goran Pandev dan Samuel Eto'o. Dalam barisan Oranje, Sneijder ditemani Nigel de Jong dan Mark van Bommel yang mengawal jentera tengah. - KOSMO! |
Posted: 04 Jul 2010 12:47 PM PDT JOHANNESBURG – Keajaiban, kejutan serta keputusan di luar jangkaan terus berlaku di bumi Afrika Selatan. Ramalan penggiat, pengikut serta pemimpin sukan di serata dunia terhadap Piala Dunia 2010 semuanya meleset. Sejak daripada aksi pembukaan 11 Jun lalu, sudah terlalu banyak keajaiban berlaku sehinggalah ke pusingan suku akhir. Ia bermula dengan penyingkiran naib juara edisi 2006, Perancis seawal saingan peringkat kumpulan lagi dan selepas itu diikuti juara bertahan, Itali yang turut terkandas pada peringkat yang sama. Apabila saingan memasuki pusingan kalah mati membabitkan 16 pasukan terbaik, kejutan terus berlaku. Ghana, satu-satunya pasukan dari benua Afrika yang mara, mene- ruskan kejutan untuk melangkah sehingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Uruguay menerusi penentuan sepakan penalti. Menariknya, tiada siapa meramalkan dua pasukan ini – Uruguay dan Ghana – akan mara ke pering- kat suku akhir tetapi kedua-dua negara telah membuktikan kepada dunia bahawa mereka juga mampu mencabar pasukan yang bergelar gergasi. Keajaiban di bumi Afrika Selatan tidak terhenti setakat itu. Pasukan-pasukan pilihan terus mengalami kemusnahan dalam misi mereka memburu kejuaraan. Selepas penyingkiran Perancis, Itali dan England – antara pasukan yang dianggap gergasi di muka bumi – giliran Brazil pula tumbang. Tiada siapa menjangka perjuangan Brazil akan terhenti setakat pusingan suku akhir. Juara dunia lima kali ini disebut-sebut sebagai pilihan untuk muncul juara pada kejohanan tahun ini, namun mereka tersungkur di kaki Belanda yang tampil dengan corak bola sepak yang menghiburkan. Pada aksi suku akhir itu Brazil tewas 1-2 dan terpaksa meninggalkan bumi Afrika lebih awal. Selepas Brazil, giliran Argentina pula 'menikmati' penyingkiran. Penyingkiran Argentina memang sungguh memalukan dan satu dunia menyaksi- kan bagaimana anak-anak buah Diego Maradona itu diperbudakkan oleh barisan muda Jerman yang dibarisi sebahagian besarnya pemain berusia di bawah 24 tahun. Jerman mudah membelasah Argentina 4-0 dan kekala- han itu turut menjejaskan reputasi Maradona sebagai pemain terhebat dunia suatu ketika dulu. Untuk memburukkan lagi gaya kekalahan yang dialami Argentina itu, bintang mereka, Lionel Messi dilihat terkapai-kapai mencari rentak meskipun Jerman tidak terlalu memberi tumpuan untuk mengawal pergerakannya. Apa yang berlaku dengan Argentina itu boleh disimpulkan bahawa pemain bertaraf bintang itu masih belum cukup untuk menjamin kemenangan seperti mana yang dialami Perancis mahupun Brazil. Brazil contohnya, memiliki bintang terhebat seperti Kaka, Robinho mahupun Fabiano tetapi reputasi yang ada pada mereka itu tidak cukup untuk menjamin kemenangan. Kaka hilang taringnya dan begitu juga yang dialami bintang England, Wayne Rooney. Turut tenggelam ialah bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang tampil dengan aksi mengecewakan sepanjang kempen di Afrika Selatan. Setakat ini, Jerman, Belanda, Uruguay dan Sepanyol membuktikan kepada dunia bahawa bola sepak itu tidak lagi bergantung kepada seorang pemain bintang, sebaliknya kemenangan itu bergantung dengan kerja berpasukan. Jerman hebat beraksi sebagai satu pasukan dan begitu juga yang dibuktikan oleh tiga lagi pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir kali ini. Boleh dikatakan bahawa Afrika Selatan bukan medan untuk pemain bintang dan juga bukan medan untuk pasukan yang bergelar gergasi menyerlah. Bola sepak dunia kini menuntut aksi berpasukan dan kehebatan seorang bintang sudah tidak boleh dijadikan sandaran. Ia mungkin membantu tetapi belum cukup untuk menjamin kemenangan. Selain itu, aspek pembangunan juga dilihat penting seperti yang telah dibuktikan oleh Jerman. Itali yang mengabaikan aspek pembangunan terus kecundang kerana pada saingan kali ini mereka terus memberi kepercayaan kepada 'kuda tua' untuk menggalas cabaran. Selepas empat pasukan yang mara ke pusingan sepa- ruh akhir sudah diketahui, ramai yang tidak berani untuk membuat ramalan. Keempat-empat pasukan – Uruguay, Belanda, Jerman dan Sepanyol – memiliki kekuatan tersendiri tetapi atas kertas, Jerman dan Belanda dilihat pilihan. Namun, ramai yang kecewa kerana Jerman dan Sepanyol terpaksa membuat perhitungan terlalu awal pada pering- kat separuh akhir. Dua pasukan ini seharusnya beraksi di pentas final yang memiliki corak permainan yang sungguh mempesonakan. Apa pun, rumusan pada edisi di bumi Afrika Selatan ini boleh dikatakan sebagai medan melakar kejaiban serta kejutan. – Agensi |
Serah nama 2,000 graduan cemerlang Posted: 04 Jul 2010 12:46 PM PDT Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini supaya segera mengemukakan statistik pelajar yang mendapat kepujian kelas pertama bagi memudahkan pinjaman pendidikan mereka ditukarkan kepada biasiswa. Beliau berkata, berdasarkan perbincangannya bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), terdapat kira-kira 2,000 pelajar yang layak mendapat kemudahan tersebut dengan peruntukan sebanyak RM73 juta. Katanya, sehingga 24 Jun lalu, PTPTN hanya mendapat statistik daripada 18 IPT awam dan swasta yang melibatkan 1,200 pelajar dengan peruntukan kira-kira RM26 juta. - KOSMO! |
Posted: 04 Jul 2010 12:43 PM PDT KAHERAH - Seorang bekas petani di utara Mesir, Sobhy el-Ganzoury menyatakan seekor lembu miliknya melahirkan anak lembu berkepala dua yang disifatkannya sebagai keajaiban Tuhan di sebuah kampung di Iskandariah. Sobhy menyatakan kelmarin anak lembu ganjil itu mengambil masa dua jam untuk dilahirkan dan dia terpaksa membantu proses kelahiran dengan menarik haiwan tersebut keluar. Menurutnya, proses kelahiran yang sukar itu menyebabkan kaki anak lembu tersebut lemah. Dia berkata, seorang doktor haiwan memaklumkan kepadanya bahawa anak lembu yang lahir pada minggu lepas itu kini stabil dan dijangka dapat terus hidup. Katanya, dia mahu memelihara haiwan itu sebagai peringatan bahawa Tuhan mampu melakukan apa sahaja. Anak lembu berkenaan tidak dapat berdiri kerana kepalanya yang berat dan kakinya masih lemah. Haiwan itu minum susu ibunya yang diberi dengan menggunakan botol susu bayi. - AP |
Membudayakan sikap di jalan raya Posted: 04 Jul 2010 12:42 PM PDT Sehingga tahun 2008, dilaporkan terdapat 16.9 juta saman kesalahan lalu lintas yang belum dijelaskan oleh pengguna jalan raya dengan nilai kompaun dianggar mencecah RM2.5 bilion. Dari segi kemalangan, jumlahnya meningkat setiap tahun dan tahun lalu mencatat sebanyak 397,194, kes dengan kemalangan maut berjumlah 6,218 kes. Rekod itu mendapat perhatian kerajaan. Sehubungan itu, satu mesyuarat khas mengenai kesalahan lalu lintas diadakan baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan. Pada mesyuarat itu beliau memutuskan supaya Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan agensi-agensi berkaitan lebih agresif menjayakan kempen keselamatan jalan raya dan tanggungjawab membayar saman lalu lintas. Tujuannya ialah untuk membudayakan sikap rakyat supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya. Sehubungan itu, KPKK membentuk sebuah Jawatankuasa Komunikasi Bersepadu Kempen Keselamatan Jalan Raya untuk membincangkan pelan tindakannya. Selain memberi kesedaran, paling penting ia bertujuan untuk memupuk sikap kebertanggungjawaban di kalangan pengguna jalan raya supaya menjelaskan bayaran saman lalu lintas dalam tempoh yang ditetapkan. Kesemua agensi di bawah KPKK digerakkan untuk menjayakannya bersama seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pelajaran. JPJ telah memasukkan cadangan di dalam rangka pindaan Akta JPJ 1987 bagi mengenakan kompaun minimum RM300 untuk semua pesalah trafik yang liat menjelaskan kompaun mereka dalam tempoh yang ditetapkan. Jumlah RM300 yang dikenakan sekarang ialah untuk kompaun maksimum. Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, cadangan mengenakan penalti minimum RM300 kepada pesalah ingkar itu untuk mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan. "Pengguna jalan raya jangan lakukan kesalahan jika tak nak bayar kompaun atau denda," katanya. Pendekatan yang sama juga dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Komunikasi Bersepadu itu untuk memberi peringatan berterusan dan mendidik pengguna mengenai pemanduan berhemah dan tidak melakukan kesalahan trafik sehingga mereka disaman. Slogan Keselamatan Sehingga Disember ini, perhatian masyarakat Malaysia akan tertumpu dengan pendedahan pelbagai slogan dan tip keselamatan jalan raya melalui radio, televisyen, media cetak, poster dan skrin di tempat-tempat awam. Pada sebelah pagi, pendengar radio akan diingatkan dengan slogan seperti Berhati-hati di Jalan Raya, Jangan Jadikan Jalan Raya Tempat Berlumba dan Berhenti Pada Lampu Isyarat Merah pada akhir hebahan. Setiap hari penonton televisyen akan disajikan dengan crawler di bahagian bawah skrin dengan mesej mengingatkan mereka mengenai tanggungjawab membayar saman lalu lintas, menyemak kesalahan lalu lintas melalui talian SMS 37773 atau laman web MyEG dan mengelakkan saman dengan mematuhi undang-undang lalu lintas. Pelbagai treler yang disediakan JKJR juga akan ditayangkan semasa sesi komersial program televisyen termasuk Stop on Red Lights, Celebration, Perayaan (Guna Tali Pinggang), Memandu Pada Pagi Ahad serta treler Jabatan Filem Negara dan Finas yang bertemakan, Bersabar Bertimbang Rasa, Keselamatan Jalan Raya-Bahaya Memandu Laju serta Tip Keselamatan Jalan Raya. Mesej kempen turut diselitkan pada akhir program popular di RTM seperti, Gerak Khas dan sebelum tayangan sesebuah filem di pawagam. Tetamu khas Mesyuarat itu sebulat suara bersetuju supaya tetamu khas dari PDRM, Kementerian Pengangkutan, JKJR, JPJ, Miros dan beberapa pakar undang-undang dijemput pada program bual bicara televisyen di RTM pada Julai bagi membicarakan mengenai keselamatan jalan raya dan tanggungjawab membayar saman. Tetamu pertama ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan. Beribu-ribu risalah dan poster turut dicetak dan diedarkan, malah kompleks perniagaan dan pasar raya juga akan dibekalkan dengan treler Keselamatan Jalan raya dan Tanggungjawab Membayar Saman untuk ditayangkan pada skrin TV awam mereka. Artikel dan iklan tetap mengenai keselamatan jalan raya juga akan diterbitkan oleh agensi berkaitan di bawah KPKK melalui penerbitan di laman web, majalah, risalah, portal pusat maklumat rakyat (PMR), e-Book dan Papan Elektronik (LED) di Kementerian, Muzium Negara dan Istana Budaya. Kempen itu memberi penekanan kepada empat perkara iaitu: *Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. *Mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya wajib kepada semua pengguna jalan raya. *Mematuhi undang-undang jalan raya akan dapat mengelakkan kes kemalangan, kes kehilangan nyawa, bayaran denda dan hukuman berat. *Setiap rakyat harus mendukung kempen keselamatan jalan raya demi kesejahteraan setiap anggota masyarakat. Kempen juga akan disampaikan melalui program komunikasi bersemuka jabatan di bawah KPKK seperti Penerangan dan Hal Ehwal Khas yang memberi fokus kumpulan sasaran seperti pemimpin masyarakat, institut pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti bestari, kaum ibu dan belia. - Bernama |
Persoalan Agama: Empat panduan boleh diamal mantapkan ibadat solat Posted: 04 Jul 2010 12:39 PM PDT Soalan: Saya kesal dengan hakikat betapa terhad waktu apabila bersolat, terutama jika di pejabat. Terus terang, jika seorang diri, paling lama pun saya cuma menghabiskan 10 minit dan mungkin lebih lama kalau berjemaah di surau. Persoalannya, apakah cara untuk memanjangkan solat kita? Apakah ada sebarang petua yang boleh ustaz kongsi? Jawapan: ALLAH SWT berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 103 yang bermaksud: "Maka dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang beriman yang tertentu waktunya." Saudara, solat fardu yang kita kerjakan seharian adalah ibadat yang sudah ditetapkan waktunya. Malah, persoalan yang patut timbul pada diri kita sebenarnya adakah solat kita sempurna seperti sabda Rasulullah SAW: "Sembahyanglah kamu seperti aku sembahyang." Dari sini maka kita akan bersungguh-sungguh memantapkan ilmu solat dengan menyemak hadis, buku yang dikarang oleh ulama, menghadiri majlis ilmu serta berdamping dengan orang alim. Perkara kedua, solat yang diwajibkan itu sebaik-baiknya hendaklah dikerjakan pada awal waktu. Ketiga, solat yang dikerjakan itu hendaklah dikerjakan di masjid atau surau secara berjemaah. Keempat, tambahkan solat fardu kita dengan solat-solat sunat yang mengiringi solat fardu berkenaan. Kelima, bacalah zikir-zikir Ma'thur yang diajar oleh Rasulullah SAW sesudah solat. Sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW bersabda: "Malaikat penjaga siang dan penjaga malam itu silih berganti. Mereka berkumpul dalam waktu solat Subuh dan waktu Asar. Kemudian malaikat yang bertugas pada waktu malam naik dan ditanya oleh Allah SWT mengenai keadaan manusia padahal sebenarnya Allah SWT lebih mengetahui keadaan manusia: "Bagaimana hamba-Ku ketika kamu tinggalkan?" Kalangan malaikat menjawab: "Sewaktu kami meninggalkan mereka, mereka sedang solat, dan sewaktu datang kepada mereka, mereka juga sedang solat." Hadis daripada Jabir berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan solat yang lima itu adalah seperti air sungai yang penuh, mengalir pada pintu salah seorang antara kamu, yang mana ia mandi lima kali setiap hari dari sungai itu." Hakikatnya, banyak tawaran yang disediakan bagi mereka yang melaksanakan solat fardu, menjadikan kita bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Antaranya, sebuah hadis riwayat Muslim daripada Jundub bin Sufyan ra berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang mengerjakan solat Subuh maka ia berada dalam jaminan Allah. Oleh kerana itu, perhatikanlah wahai anak Adam, jangan sampai Allah menuntut kamu kerana jaminan-Nya itu terganggu." Begitu juga hadis daripada Abu Musa, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang mengerjakan solat Subuh dan solat Asar nescaya masuk syurga." Bagaimanapun, Islam bukanlah agama yang hanya solat di masjid semata-mata, tetapi Islam juga menyuruh bekerja. Allah SWT berfirman dalam surah al-Jumuah ayat ke-10 menyebut: "Kemudian selepas selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah SWT, serta ingatlah akan Allah SWT banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan akhirat)." Wallahua'lam - BERITA MINGGU |
'Malu tak bertempat' rosakkan maruah Melayu Posted: 04 Jul 2010 12:36 PM PDT Oleh Khairol Anuar Pakar Psikologi dan Ketua Perunding K&A Applied Psychology Consultancy SPEKTRUM masalah sosial yang sedang melanda berubah daripada kenakalan remaja sehingga yang lebih berat seperti pembuangan bayi dan jenayah lain. Ia menarik perhatian setiap lapisan masyarakat kerana apa yang dilalui sekarang amat asing dengan kita sepanjang ingatan sejarah negara. Masalah yang timbul pula pelbagai dan menakutkan. Seolah-olah kita semua terhambat sama dan timbul juga kebimbangan adakah ini ancaman kepada agenda kita? Jika benar mengganggu agenda pembangunan negara, semestinya kita perlu berganding bahu untuk sekurang-kurang meredakan sedikit ancaman itu dan menyusun strategi terbaik. Artikel ini terhad kepada pandangan psikologi dan segala ruang lingkupnya. Dengan kata lain, kita mestilah mengambil kira pandangan pakar lain juga contohnya ahli sosiologi, pakar agama, pendidik dan pihak berkaitan kerana pasti ada pandangan lebih baik, lantaran perspektif psikologi saja tidak dapat mengupas isu sosial. Perbincangan ini turut melihat dari segi psikologi-Melayu dan psikologi-sosial. Kedua-dua paksi perbincangan ini akan meninggikan profil kecerdikan minda, kecerdikan moral/akhlak, kecerdikan emosi, dan kecerdikan rohani/spiritual. Penulis juga ingin menarik perhatian kepada istilah yang akan digunakan selepas ini, iaitu masalah sosial atau krisis moral. Persoalannya ialah adakah gejala sosial boleh dihadkan hanya kepada masalah sosial atau ia sebenarnya sudah mencapai krisis moral. Pengistilahan ini amat penting kerana ia akan mencorakkan pemahaman, strategi dan juga tindak balas kita. Jika seseorang remaja melakukan kenakalan ia masih boleh diterima, tetapi jika membabitkan jenayah pada usia bawah umur, patutlah kita berasa bimbang. Ringkasnya masalah sosial adalah petanda krisis moral, lebih-lebih lagi membabitkan bawah umur, iaitu bawah usia 16 tahun, kita kena lebih berhati-hati. Contohnya kenakalan sudah mencecah krisis moral, tetapi masyarakat secara am melihat ia masih sebagai kenakalan remaja. Ini antara sebab ibu bapa tidak dapat mengenal pasti krisis moral anak. Satu perkara lagi, setiap perkara sumbang yang dilakukan bukan berbentuk 'in situ' di kawasan bandar, tetapi turut menular ke luar bandar. Isunya hampir sama seperti di atas kerana dulu jenayah banyak berlaku di bandar, maka luar bandar selalunya diketepikan. Jika ada pun, masyarakat lebih cenderung mengambil sikap menafikan atau 'denial'. Maka akan terpacul di mulut mereka si pelaku itu orang luar, walaupun si pelaku sebenarnya tinggal sekampung. Sekarang pula, apabila ada perkara sumbang berlaku, ramai tidak mahu masuk campur kerana sikap ibu bapa remaja itu sendiri yang menafikan dan mempertahankan anak. Maka timbul satu lagi gejala, iaitu kelemahan sebagai jadi ibu bapa. Bagi tajuk psikologi Melayu, penulis amat tertarik dengan sebuah buku Psikologi Melayu (1993) Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), diselenggara Prof Abdul Halim Othman. Satu tajuknya ialah Konsep Malu Orang Melayu tulisan Mohamed Mansor Abdullah. Menurut penulis itu, definisi malu kepada orang Melayu mempunyai subkonsep tersendiri iaitu rasa malu, diberi malu, mendapat malu dan dimalukan. Semuanya akan menjadikan orang Melayu boleh bertindak di luar kebiasaan dan melampau. Contohnya, apabila seseorang remaja mendapat malu atau dimalukan, dia sanggup merempit untuk menghilangkan rasa malu, boleh bertindak agresif apabila dimalukan dan boleh diajak bertumbuk. Lebih malang lagi, ada yang sanggup membuang bayi baru lahir. Pada orang Melayu, mereka sanggup buat apa saja asalkan perasaan malu itu hilang. Boleh disimpulkan bahawa orang Melayu secara semula jadi adalah bangsa pemalu, tetapi jika perasaan itu hilang, akan timbul malu jenis lain pula yang menghancurkan hidup. Jadi apabila konsep malu untuk berbuat dosa hilang dan perbuatan untuk menghilangkan malu berdosa pula lebih tinggi, maka akan wujud kepincangan dalam masyarakat. Ini pandangan dari sudut kajian orang Melayu, terutama sekali sifat malu orang Melayu yang disalah anggap oleh remaja Melayu sekarang. Mungkin mereka buta dengan sifat nenek moyang yang lebih meninggikan sifat mulia Melayu, iaitu budi. Budi Melayu sinonim dengan apa dikatakan akhlak atau moral Melayu. Berbalik kepada persoalan psikologi yang kedua, psiko-sosial. Penulis mahu meminjam disiplin sosiologi, terutama berkaitan urbanisasi. Urbanisasi pada penulis bukan setakat kedudukan geografi, tetapi lebih kepada kesedaran minda. Meskipun duduk jauh dari bandar, pemikiran lebih ultra bandar kerana perkembangan era digital. Mungkin inilah alasan yang ada dalam pemikiran remaja bahawa jika mereka membuat salah, tiada sesiapa tahu dan tiada sesiapa peduli. Maka seks rambang berlaku sehinggalah melengkapkan persepsi tadi dengan membuang bayi. Kerana tiada siapa pun peduli. Keadaan ini menepati ciri Generasi Y (generasi lahir 1980-an hingga lewat 1990-an), selepas generasi 'baby boomers' (generasi lepas perang) yang diikuti Generasi X (lahir 1960-an hingga lewat 1970-an). Generasi X amat terpengaruh dengan budaya hedonistik contohnya hippies, muzik, LSD atau dadah, Generasi Y pula dengan kemewahan ekonomi dan teknologi. Jika Generasi X ingin membuat sesuatu, mereka perlukan rakan yang boleh menjadi sokongan sosial, tetapi tidak bagi Generasi Y kerana mereka mahu membolot kemewahan dan bersendiri dengan kecanggihan teknologi mampu mereka beli. Jika berlaku sesuatu, mereka tiada rakan dan buat keputusan sendiri hingga akhirnya berani membuang bayi, misalnya. Dari perspektif ini, kita akan lihat ada pertentangan idea, iaitu pertama kerana perasaan malulah, orang Melayu bertindak dan kedua kerana tiada perasaan malulah menjadikan orang Melayu membuat jenayah. Pada pandangan penulis, pada mula seseorang itu ingin membuat jahat, dia sanggup melakukannya kerana tiada perasaan malu. Pada pandangan mereka tiada siapa melihat, termasuk rakaman perlakuan sumbang, tetapi sejurus sedar ada orang boleh melihat atau ada bukti, contohnya bayi luar nikah dilahirkan, mereka akan terjerumus melakukan jenayah lebih berat. Bagi mat rempit, perasaan malu timbul jika tidak boleh menunjukkan kehebatan. Perlu diingat orang Melayu sanggup berkorban apa saja untuk menutup malu. Jadi untuk menutup malu kerana enggan dilabelkan lemah, mereka merempit untuk membuktikan kejaguhan. Kesimpulannya, apa yang berlaku sekarang dalam masyarakat Melayu ialah celaru jati diri atau ringkasnya, malu tak bertempat. Jika perasaan malu disalur dengan baik, maka bangsa kita pasti lebih cemerlang. - BERITA MINGGU |
Posted: 04 Jul 2010 09:01 AM PDT Ketika menghadiri seminar perubatan di ibu kota saya bertemu seorang sahabat lama yang kini menjadi pakar psikologi dan psikiatri. Kami keluar makan bersama sambil bertukar pendapat dan pengalaman. Menurut sahabat saya masalah jiwa di kalangan remaja meningkat lebih tinggi. Antara punca utama disebabkan kurang keyakinan diri dan masalah kecantikan. Mereka berasa diri kurang menarik berbanding rakan-rakan menyebabkan jiwa tertekan. Isu tersebut amat menarik perhatian kerana saya mendapati remaja sekarang begitu mengambil berat perihal penampilan diri mereka. Masalah kulit di kalangan remaja termasuklah jerawat, parut lama disebabkan jerawat, kulit kusam, berminyak dan tidak sekata. Remaja biasanya tidak bermasalah dari segi pigmentasi kerana usia yang muda. Pigmentasi biasanya berlaku semasa hamil dan apabila usia meningkat. Bagi remaja, masalah paling kerap terjadi disebabkan kemerosotan paras hormon adalah jerawat yang teruk. Menurut sahabat saya, beliau pernah mengendalikan kes seorang remaja yang menjadi murung dan enggan keluar rumah kerana wajahnya berjerawat batu. Remaja dibawa ibunya berjumpa dengan ramai pakar kecantikan namun tetap tidak pulih. Jerawatnya terlalu resistant sehingga mencacatkan wajah. Dia telah diberikan antibiotik selama hampir dua tahun dan turut di bekalkan dengan Retin A. Namun tiada perubahan. Sahabat saya mencadangkan agar saya mencari jalan untuk merawat masalah tersebut. Jerawat dan punca Jerawat boleh dianggap sebagai bisul kecil yang menyerang kulit muka atau badan. Jerawat bukan saja menyerang muka malah leher dan badan apabila hormon tidak seimbang. Kuman jerawat terdiri daripada jenis corynebacterium yang berbentuk koma. Kuman ini membina rumahnya di dalam epidermis. Ia mengeluarkan enzim yang mampu menghancurkan epidermis dan membolehkannya membiak hingga ke dermis. Lebih dalam ia masuk ke dalam kulit maka lebih seriuslah masalah jerawat. Biarpun jerawat sembuh tetapi parut yang ditinggalkan adalah dalam dan kelihatan hodoh. Parut yang dalam membuatkan kulit tampak berbintik-bintik . Jerawat yang teruk menimbulkan stigma sosial kerana ia menyebabkan kulit berparut. dan mengubah rupa seseorang. Seseorang gadis atau pemuda yang lawa akan kelihatan tidak menarik jika dihinggapi jerawat. Penampilan juga akan terjejas. Kuman jerawat mudah hidup apabila sebaceous gland menjadi aktif. Sebaceus gland merupakan kelenjar pengeluar cecair berminyak yang melembapkan kulit kita. Kelenjar sebaceus penting kerana tanpanya kulit akan kering dan mengelupas. Namun apabila ia terlalu aktif kulit akan menjadi berjerawat. Kuman jerawat mudah hidup dan membiak pada jenis kulit yang begini. Oleh itu seseorang yang mempunyai banyak hormon androgen mudah terkena jerawat. Hormon androgen merangsang pengeluaran sebum dari kelenjar sebaceous. Kerana itulah sesetengah doktor mencadangkan pil perancang keluarga bagi mengatasi masalah jerawat. Pil tersebut merupakan sejenis hormon wanita yang boleh membantu menghalang pembentukan jerawat. Sebum yang banyak terhasil akibat lebihan endrogen menyebabkan pori-pori tersumbat, bintik-bintik hitam dan putih terhasil. Corynebacterium akan mula membiak, jerawat juga terhasil. Rawatan Selalunya rawatan jerawat terdiri daripada antibiotik, pil hormon dan Isotretinoin selain amalan kebersihan dan rawatan muka. Isotretinoin sangat berkesan kerana menyebabkan pengeringan kelenjar sebum. Rawatan itu menjadikan kulit tidak berminyak dan mengurangkan jerawat dengan berkesan. Namun begitu, untuk mendapat kesan yang baik , Isotretinoin perlu dimakan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua atau tiga bulan untuk dilihat kesannya. Oleh kerana pengambilan oral yang lama, pengumpulan ubat ini di dalam badan boleh menimbulkan kesan sampingan sistemik seperti gangguan hati, kemurungan, kekeringan kulit dan bibir dan gangguan penglihatan malam. Bagi wanita ia boleh menyebabkan kecacatan janin jika ubat ini diambil waktu mengandung. Rawatan Photo Dynamic Therapy pernah popular untuk jerawat. Sejenis krim disapu pada muka untuk meningkatkan penyerapan cahaya ketika rawatan. Krim dibiarkan selama 20 hingga 60 minit untuk diserap ke dalam kulit. Selepas itu pesakit akan diletak di bawah lampu khas yang mengeluarkan cahaya khas lalu diserap oleh kulit . Kesannya akan menyebabkan pengecilan saiz pori-pori muka dan kulit kurang berminyak. Rawatan perlu dilakukan beberapa kali selang sebulan. Namum begitu, ia menjadi tidak popular kerana selepas menjalani rawatan, kulit muka akan kemerahan dan mengelupas selama tiga hingga lima. Rawatan juga tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit gelap. Kaedah terbaru Kini terdapat dua kaedah rawatan terbaru untuk merawat jerawat. Pertama adalah dengan foto terapi. Rawatan ini menggunakan sejenis alat perubatan yang dinamakan Isolaz. Ia adalah satu satunya alat perubatan yang diberi kelulusan FDA untuk merawat jerawat jenis 1 - 6 . Ini bermakna , jika jerawat anda gagal dirawat dengan antibiotik , hormon atau Isotretinoin , harapan masih ada dengan Isolaz. Bagaimana Isolaz berfungsi Isolaz berfungsi dengan dua cara. Pertama ia akan menyedut segala kekotoran dan sebum pada jerawat. Kedua, mesin ini akan mengeluarkan sinaran cahaya khas untuk membunuh bakteria dan mengecutkan kelenjar sebum. Rawatan ini tidak memerlukan penyediaan khas malah tidak sakit dan tiada kesan sampingan. Selepas rawatan, pesakit boleh terus mengerjakan aktiviti harian. Kesan rawatan boleh dilihat selepas 24 hingga 48 jam di mana jerawat akan kecut dan kering. Namun begitu, untuk mendapat rawatan yang berkesan, setiap orang perlu menjalani rawatan sebanyak 10 sesi iaitu sekali setiap seminggu. Laser Rawatan kedua yang berkesan adalah laser. Rawatan ini sangat berkesan untuk jerawat yang disebabkan bakteria corynebacterium. Sejenis laser yang dinamakan Long Pulse Nd: Yag digunakan untuk jerawat. Pada tenaga dan wavelength tertentu, laser akan diserap ke dalam kulit dan membunuh kuman secara langsung. Kesan laser juga akan mengecutkan kelenjar sebum. Rawatan ini juga akan mengecutkan jerawat dalam masa 24 hingga 48 jam. Rawatan laser juga boleh dilakukan seminggu sekali untuk lima ke 10 sesi rawatan. - MINGGUAN MALAYSIA |
You are subscribed to email updates from MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |