Adsense

Isnin, 5 Julai 2010

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


Kereta konsep untuk masa depan

Posted: 04 Jul 2010 10:06 PM PDT


Kereta konsep Proton.


PELBAGAI cara telah dijalankan oleh pengeluar kereta utama negara ini untuk bersaing dan mengekalkan peratusan jualan yang tinggi pada kenderaan masing-masing.

Antara langkah yang diambil adalah memperkenalkan model baru, menambahbaik model-model sedia ada, memperkenalkan ciri-ciri baru serta menurunkan harga.

Bagaimanapun, langkah-langkah itu masih belum dapat memuaskan hati sebilangan pembeli-pembeli kereta di negara ini.

Bagi mengatasi masalah ini, kereta konsep boleh memainkan peranannya yang tersendiri dalam memajukan lagi sektor automotif di Malaysia. Kereta konsep boleh dijadikan sebagai bahan menguji reka bentuk kereta yang berpotensi untuk memenuhi selera pembeli pada masa hadapan.

Walaupun terdapat beberapa kes di mana kereta konsep ini tidak dapat dikeluarkan disebabkan beberapa faktor penghalang seperti kos dan rekaan yang tidak praktikal, namun kepentingannya kepada pengeluar kenderaan tidak boleh dipertikaikan lagi.

Ia merupakan satu medium terbaik untuk menguji tahap kemampuan sesebuah syarikat pengeluar kenderaan dalam mempertingkatkan saingan mereka di masa hadapan.

Kereta konsep, terma yang digunakan bermula 1980-an, merupakan prototaip kereta yang diperbuat daripada bahan seperti lilin, tanah liat, logam, gentian kaca atau plastik bertujuan memperaga konsep, penggayaan terbaru serta teknologi masa hadapan.

Bertepatan dengan perkataan 'konsep' yang begitu sinonim dengan artis dan pereka, kereta konsep boleh diibaratkan sebagai satu manifestasi seni seseorang pereka kereta dalam mengetengahkan eksplorasi idea mereka untuk dihidangkan kepada khalayak.

Lantaran itu, tidak hairanlah jika sesebuah kereta konsep yang dipamerkan lebih mementingkan kepada aspek penggayaan luaran berbanding teknologi baru.

Kereta ini biasanya akan dipertontonkan kepada umum pada pameran kereta antarabangsa yang dihadiri oleh pembeli dan peminat kereta, pengedar dan pengeluar.

Sejarah

Mengimbau sejarah automobil yang dilahirkan di Jerman pada 1886, ia lebih tertumpu kepada aspek mekanikal dan bukannya reka bentuk dan penggayaan luaran badan kereta.

Sehinggalah pada tahun 1938, Harley J. Earl, Naib Presiden Bahagian Penggayaan General Motors telah memperkenalkan kereta idaman atau kereta eksperimental yang pertama di dunia yang dinamakan Y-Job.

Dengan menawarkan pembeli dengan aspek kejuruteraan dan penggayaan terkini, rekaan ini telah mendapat sambutan yang begitu hangat sehinggakan syarikat mereka menjadi begitu popular dalam sekelip mata sahaja.

Melihat kepada senario ini, General Motors seterusnya memperkenalkan kereta konsep mereka melalui pameran bergerak yang dinamakan Motorama Shows.

Kebanyakan kereta yang diperkenalkan mereka pada masa itu berkonsepkan cantik bila dipandang, reka bentuk futuristik dan radikal, enjin yang berkuasa dan kadang-kala memperkenalkan teknologi yang kontroversial.

Antara kereta konsep yang paling unik dan radikal pernah dipamerkan ialah kereta Concept 2096 yang telah dipamerkan di Pameran Auto Britain pada tahun 1996.

Apa yang menarik, kereta yang berkonsepkan binatang air yang berkulit keras ini adalah hasil usahasama pelajar dan pensyarah daripada Conventry University, United Kingdom.

Berbalik kepada senario di Malaysia, kereta konsep sebenarnya pernah suatu ketika dahulu diperkenalkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sekitar Oktober 1993 melalui satu pertandingan reka bentuk peringkat nasional. Tujuan utama diadakan pertandingan ini ialah untuk mencungkil kreativiti rakyat tempatan serta merangsang minda dengan idea-idea baru di bidang automotif.

Sambutan yang diterima daripada rakyat Malaysia terhadap pertandingan ini amat memberangsangkan dengan 115 penyertaan diterima.

Namun, agak malang sedikit, selepas pertandingan ini diadakan, tiada usaha-usaha berterusan daripada pengeluar kenderaan tempatan untuk menjadikan kereta konsep sebagai satu pelaburan penting dalam memenuhi selera pembeli dan sekaligus mempertingkatkan saingan mereka di pasaran masa hadapan.

Dengan jumlah pengeluaran kereta penumpang yang diramalkan akan mengalami sedikit peningkatan berbanding tahun lepas, industri automotif di Malaysia dilihat mempunyai banyak ruang untuk terus maju dan berkembang pada masa hadapan.

Memandangkan selera pembeli kereta di negara ini pada hari ini dilihat begitu mementingkan aspek penggayaan badan kereta, maka pengenalan kereta konsep diyakini dapat memenuhi keperluan itu.

Diharap dengan memperkenalkan kereta konsep ini, maka kereta yang akan dihasilkan nanti benar-benar sesuai dengan pembeli, mampu dimiliki dan memenuhi keperluan golongan sasar.

GPS kini digunakan secara meluas termasuk pesakit jantung

Posted: 04 Jul 2010 10:04 PM PDT


Salah satu produk inovasi GPS yang direka khas untuk warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer.


DI Malaysia, penggunaan GPS telah bermula sejak akhir tahun 1980-an dalam kerja-kerja pengukuran, pemetaan dan penentuan garisan sempadan kawasan.

Di sektor pengangkutan seperti pengangkutan udara, juruterbang pesawat boleh menggunakan ruang udara dengan lebih fleksibel melalui GPS.

Selain membantu pesawat mendarat dan berlepas dengan selamat, masa penerbangan ke sesuatu destinasi juga dapat diminimumkan kerana laluan penerbangan yang lebih praktikal.

Semasa dalam penerbangan pula, penumpang-penumpang pesawat dapat maklumat berguna seperti jadual dan ramalan masa penerbangan pesawat.

Di sektor lautan, pergerakan kapal-kapal besar menjadi lebih lancar dengan menggunakan GPS sebagai panduan untuk penentuan arah ke sesuatu destinasi.

Tahap trafik kesesakan di atas laut juga boleh dikawal dan teratur.

Di samping itu juga, GPS memudahkan pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tempat kejadian kemalangan sewaktu berlaku kemalangan atau perlanggaran kapal-kapal.

Kapal-kapal kecil seperti bot nelayan, integrasi GPS dan carta batimetri dapat membantu nelayan menentukan lokasi kawasa himpunan ikan terbanyak. Sekali gus ia meningkatkan hasil tangkapan.

Bagi pengangkutan darat pula, kebanyakan bas ekspres di negara ini telah memasang GPS untuk memudahkan pengurusan syarikat memantau pergerakan bas dan sikap pemandu mereka.

Bagi menjamin keselamatan penumpang, GPS akan memberi amaran kepada pemandu yang memandu melebihi had kelajuan.

GPS juga digunapakai pada kereta persendirian, ambulans, bas sekolah dan sistem transit aliran ringan (LRT) bagi mengesan lokasi dan mengurangkan kesesakan.

Kini, banyak model telefon mudah alih di pasaran telah berintegrasikan dengan cip GPS dan peta digital untuk kemudahan para pengguna dalam membuat navigasi diri sama ada di kawasan bandar ataupun luar bandar.

Pengguna tidak hanya perlu lagi bergantung kepada peta-peta bercetak yang sentiasa tidak dikemaskini semasa menghadapi masalah tidak tahu jalan.

Selain itu, kombinasi GPS dan telekomunikasi GSM juga dapat digunakan untuk membantu mencegah kes kecurian kenderaan.

Apabila kenderaan yang dilengkapi dengan GPS dicuri, rangkaian GSM akan memberi isyarat amaran kepada pemiliknya secara automatik untuk tindakan segera.

Di sektor pertanian, GPS biasanya digunakan dalam pembahagian kawasan dan sempadan, membuat lakaran jalan-jalan ladang, menanda kedudukan tempat, menentukan jarak dan keluasan kawasan dan seterusnya pemetaan peta kawasan pertanian yang lengkap.

Di samping itu, GPS juga dapat membantu dalam menentukan lokasi infrastruktur yang sesuai dalam kawasan ladang.

Dalam pertanian moden seperti perladangan tepat (precision farming), peladang boleh membuat penyesuaian bagi kepelbagaian dalam ladang bagi ciri-ciri seperti kesuburan tanah dan populasi rumput rumpai.

Perladangan tepat menggunakan GPS serta perisian sistem maklumat geografi (GIS) untuk mengumpul, menyimpan, melihat, dan menganalisis amaun data yang banyak.

Data tersebut kemudiannya dinilai dalam membuat keputusan pengurusan perladangan yang lebih wajar bagi pengeluaran hasil tanaman.

Tidak kurang juga, GPS telah diaplikasikan dalam aktiviti pengurusan bencana semula jadi atau buatan manusia atas keupayaannya dalam memberikan ketepatan kedudukan lokasi sehingga tahap milimeter.

Ia digunakan dalam pemantauan pergerakan plat bumi dan memberikan amaran awal sebelum berlakunya bencana gempa, tsunami atau tanah runtuh.

Selain itu, GPS juga dipasangkan pada sesetengah bangunan tinggi, terowong dan jambatan-jambatan besar untuk memantau kestabilan struktur pembinaannya.

GPS untuk orang buta pula dapat membantu golongan itu bergerak lebih lancar.

Ia berfungsi memberitahu lokasi sebenar serta membantu menunjuk arah kepada orang-orang buta.

Satu lagi produk inovatif GPS yang berjaya dihasilkan di Eropah ialah teleperubatan. Satu alat yang terdiri daripada elektrokardiogram (ECG), GPS dan GSM telah dicipta khas untuk kegunaan pesakit jantung dan mereka yang telah menjalani pembedahan pintasan (bypass) atau pemindahan jantung.

Alat bersaiz telefon mudah alih itu dipakai pada bahagian dada badan pesakit dan berfungsi merekodkan data-data ECG pesakit.

Maklumat terkumpul pada setiap 30 saat dihantar melalui GSM ke pusat kawalan teleperubatan untuk digunapakai bagi memantau kesihatan pesakit.

Sekiranya pesakit diserang sakit jantung secara tiba-tiba semasa beraktiviti di kawasan luar, GPS yang ada pada alat akan bertindak menghantarkan maklumat lokasi pesakit ke pusat kawalan.

Selain pesakit jantung, sejenis alat teleperubatan berbentuk jam tangan juga telah dihasilkan di Kanada untuk golongan warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer.

Pesakit yang memakai jam tangan ini boleh sentiasa berkomunikasi secara lisan dengan pusat kawalannya pada 24/7 bagi pemantauan pergerakan dan juga kesihatan pesakit.

Kenapa siaran TV satelit terganggu?

Posted: 04 Jul 2010 10:02 PM PDT


Rajah menunjukkan bagaimana isyarat satelit terganggu.


SATELIT memberikan pelbagai kemudahan dalam kehidupan harian kita. Satelit komunikasi, terutamanya, memainkan peranan penting seperti perkhidmatan telefon, televisyen satelit, radio, internet dan juga untuk tujuan ketenteraan.

Satelit komunikasi menggunakan gelombang mikro untuk menghantar dan menerima data.

Panjang gelombang itu antara satu milimeter ke satu meter dengan radio frekuensi antara 0.3 - 300 GigaHertz (GHz).

Secara umumnya satelit komunikasi beroperasi mengunakan jalur Ku (disebut 'kay-yoo') yang berfrekuensi antara 12 dan 18 GHz.

Julat ini dikhaskan untuk kegunaan satelit komunikasi oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Geneva, Switzerland yang merupakan badan piawaian sedunia untuk bidang telekomunikasi.

Secara umumnya, mana-mana aplikasi yang menggunakan frekuensi 10 GHz dan ke atas akan menjadi lemah yang dikenali sebagai kesan renjaman/pelemahan apabila hujan (rain fade).

Apabila isyarat yang melebihi julat 10 GHz melalui titisan hujan di lapisan atmosfera bumi ia terus menjadi lemah.

Ini disebabkan isyarat tersebut akan mengalami kesan penyerapan dan penyebaran di lapisan atmosfera bumi ketika hujan lebat.

Penyerapan bermaksud isyarat yang melalui titisan hujan berubah menjadi tenaga haba dan diserap oleh titisan tersebut.

Penyebaran pula bermaksud isyarat akan melalui medium penghantaran yang tidak seragam kerana kehadiran titisan hujan di lapisan atmosfera menyebabkan isyarat itu mengalami kesan pembiasan dan pembelauan.

Kedua-dua faktor itu menyebabkan berlakunya pengurangan pada isyarat, sama ada yang dihantar dari stesen bumi ke satelit (uplink) atau satelit ke bumi (downlink).

Ini adalah punca mengapa penyiaran Astro di rumah anda terganggu apabila hujan lebat.

Ini tidak bermaksud anda akan kehilangan isyarat setiap kali hujan.

Kesan renjaman hujan pada isyarat yang melebihi 10 GHz hanya ketara apabila hujan lebat di mana sebahagian kecil laluan transmisi isyarat mengalami gangguan.

Bagaimanapun, masalah itu boleh di atasi dengan menambah kuasa pemancaran isyarat ketika hujan untuk menggantikan kehilangan yang disebabkan oleh renjaman hujan.

Berdasarkan maklumat daripada laman web Astro (sila rujuk : http://www.astro.com.my/portal/indices/index_107.html), bagi mengatasi kesan renjaman hujan ketika hujan lebat, kuasa transmisi bagi 13.2 meter piring satelit uplink akan ditingkatkan ke kapasiti maksimum iaitu sebanyak 2200 Watt.

Bagi hari biasa dengan keadaan langit cerah, kuasa yang diperlukan hanya sebanyak 35 Watt iaitu 1.6 peratus daripada kapasiti sedia ada.

Oleh yang demikian, pihak Astro hanya menjanjikan 99.7 peratus kadar ketersediaan untuk pelanggannya yang menggunakan piring satelit berdiameter 60 sentimeter kerana kesan renjaman hujan hanya boleh dikurangkan tetapi tidak boleh diatasi sepenuhnya.

Jalur Ku bukan sahaja digunakan untuk penghantaran siaran televisyen tetapi juga untuk penghantaran data digital melalui dan untuk penghantaran suara atau audio.

Contohnya, Very Small Aperture Terminal (VSAT) yang anda selalu lihat di atas bumbung stesen minyak digunakan untuk transaksi kad kredit ketika pembayaran.

Selain itu, VSAT turut digunakan untuk pelbagai aplikasi lain antaranya untuk penyediaan akses Internet satelit di lokasi terpencil, komunikasi bergerak maritim dan sebagainya.

Peningkatan terhadap aplikasi komersial telah mempergiatkan industri jalur lebar satelit.

Memandangkan frekuensi rendah telah menjadi tepu, peralihan kepada jalur frekuensi 20 GHz dan ke atas perlu kerana ia menyediakan lebar jalur yang luas, kadar data yang tinggi dan saiz komponen yang kecil.

Walaupun pihak ITU telah membangunkan model pengiraan untuk mengurangkan kesan renjaman hujan namun ia tidak berkesan sepenuhnya kerana taburan hujan di negara - negara tropika seperti Malaysia yang hujan sepanjang tahun dan tidak menentu merupakan suatu cabaran yang perlu dilihat dengan teliti.

Khasiat limau bali

Posted: 04 Jul 2010 10:02 PM PDT


Buah limau bali muda berumur antara empat dan lima minggu.


INOVASI ini dihasilkan daripada tisu buah limau bali muda (Citrus grandis) menggunakan teknik pengkulturan tisu. Ia berupaya digunakan sebagai sumber antioksida semula jadi dalam produk kesihatan dan makanan berfungsi.

Sumber antioksida daripada bahan semula jadi iaitu limau bali muda yang berpotensi tinggi menggantikan bahan sintetik yang kini menguasai pasaran.

Kelebihan CiTRUsX adalah kandungan asid askorbik yang tiga kali ganda lebih tinggi berbanding buah limau bali itu sendiri.

Produk ini juga mengandungi sebatian gandingan yang sama dengan buah limau seperti flavones, flavanones dan beberapa komponen lain yang melengkapkan fungsi sebagai antioksida dan ia hanya diperoleh dalam antioksida semula jadi.

Tisu hasil dari proses kultur ini amat berpotensi dalam menghasilkan bahan sebatian semula jadi kerana ia terdiri daripada struktur sel yang homogen dan sememangnya tersedia untuk diaplikasikan ke dalam produk kesihatan dan makanan berfungsi tanpa perlu melalui proses pengekstrakan.

Sumber antioksida semula jadi dari tisu kultur buah limau bali muda ini boleh dicampurkan terus pada produk kesihatan termasuk vitamin, makanan berfungsi, minuman kesihatan dan produk penjagaan kulit.

Selain itu, ia juga mampu bertindak sebagai bahan pengawet semula jadi bagi memanjangkan jangka hayat produk.

Penggunaan buah limau bali muda dalam penyelidikan ini dapat mengurangkan pembaziran pembuangan buah limau bali muda yang dilakukan kebanyakan pengusaha tanaman itu bagi memberi peluang sebahagian buah saja membesar pada saiz yang dikehendaki.

Secara tidak langsung, penyelidikan ini turut memberi tambah nilai kepada industri penanaman pokok limau bali yang kebanyakannya tertumpu kepada pemasaran buah limau bali matang semata-mata.

Permintaan dan pasaran asid askorbik yang sememangnya tinggi di dunia masa kini memberi kelebihan kepada produk ini.

Tambahan pula ia dihasilkan secara semulajadi memberi kelebihan untuk dipilih apabila memasuki pasaran kelak.

Darwin saksikan kejayaan penternak Melayu

Posted: 04 Jul 2010 09:59 PM PDT


Sebahagian lembu ternakan GLC di Darwin melambangkan kejayaan pengusaha Melayu meneroka industri haiwan ruminan di Australia.


SIAPA kata anak Melayu tidak boleh berjaya di bumi orang? Jika dulu bangsa kita dipandang kecil di peringkat global, kini usahawan Melayu juga mampu berdiri sama tinggi apabila berjaya menembusi pasaran yang dikuasai mat saleh.

Syarikat bumiputera Melayu Global Livestock Sdn. Bhd. (GLC) membuktikan bahawa Melayu boleh bertapak di benua Australia.

Walaupun hanya di Darwin, sebuah bandar kecil di Wilayah Utara Australia, ia tetap boleh dibanggakan.

Darwin mungkin tidak sepopular Sydney, Melbourne, Gold Coast dan Canberra, tetapi ada sesuatu yang istimewa di daerah yang digelar top end ini.

Terletak paling utara di Australia, bandar kecil yang dihuni kurang 150,000 penduduk ini memainkan peranan penting kepada ekonomi Australia melalui sektor ternakan lembu dengan nilai industri kira-kira RM1.32 bilion setahun.

Buat masa ini, terdapat kira-kira dua juta ekor lembu diternak di Darwin, dengan keluasan ladang yang meliputi 50 peratus daripada keluasan sebenar Darwin.

Sebanyak 90 peratus daripada lembu hidup Australia dieksport ke Indonesia, tetapi hanya 4.7 peratus ke Malaysia dengan status halal yang diragui.

Berdasarkan keadaan itu, GLC meneroka industri ternakan di Australia dengan objektif membekalkan lembu hidup dan daging halal ke seluruh dunia terutamanya Malaysia.

Sebagai satu-satunya pemain bumiputera dalam sektor itu di Darwin, GLC berpotensi muncul sebagai satu-satunya pengeksport daging halal di dunia yang beroperasi di Darwin.

Ketua Pegawai Eksekutif GLC, Isa Al-Zubaidi berkata, kemudahan ladang kuarantin dan eksport yang dimiliki GLC membolehkan syarikat itu menjalankan aktiviti eksport lembu hidup.

Dengan akreditasi yang diperoleh dari Perkhidmatan Pemeriksaan dan Kuarantin Australia (Aquis), kemudahan GLC juga layak digunakan ladang-ladang ternakan tempatan di Darwin bagi tujuan eksport.

Isa berkata, beliau terpanggil untuk menubuhkan satu syarikat ternakan di Darwin berdasarkan pengalamannya lebih 25 tahun dalam industri ternakan.

"Selama ini saya berperanan sebagai ejen yang membawa masuk bekalan lembu hidup Australia ke Indonesia.

"Saya terfikir mengapa Malaysia yang lebih maju tidak boleh mengimport daging lembu dari benua ini, tetapi kita masih mengharapkan import daging dari India yang sebenarnya daging kerbau dan bukan daging lembu.

"Bermula dari situ, saya mewujudkan satu pasukan sendiri dan membuka GLC setelah membeli sebuah ladang ternak di Darwin dengan modal sebanyak RM16.5 juta," katanya kepada MEGA baru-baru ini.

Berdasarkan eksport daging Australia yang lebih 85 peratus dibuat ke negara luar, GLC yakin dengan status halal yang diperoleh, pihaknya dapat mencapai bahagian pasaran dalam industri itu kerana daging halal mendapat permintaan yang sangat tinggi.

Ladang GLC di Batchelor, Darwin, yang mempunyai keluasan 800 hektar, mampu memuatkan sebanyak 10,000 ekor lembu pada satu-satu masa.

Lembu baka spesies Brahman

Mempunyai 15 petak ragut, buat masa ini GLC menempatkan lebih 700 ekor lembu baka spesies Brahman dan Brahman kacukan yang diperoleh dari ladang-ladang lain di Darwin untuk dieskport ke Indonesia sebagai lembu baka untuk tujuan pembiakan.

Selain menerima lembu dari ladang ternakan tempatan lain, GLC turut menggunakan jenama YCI untuk lembu-lembu keluarannya.

Bagi tujuan eksport lembu baka, lembu-lembu yang diterima dari ladang lain kebiasaannya berumur sehingga satu tahun setengah sebelum disimpan di padang ragut GLC dalam tempoh antara dua dan tiga bulan lagi sebelum dieksport.

Di GLC, prosedur mengenal pasti lembu akan dilakukan dengan mengimbas tanda atau tag pada lembu yang juga dikenali sebagai pengenalan menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi memperoleh data dari ladang mana lembu itu diterima sebelum ia disembur dengan racun serangga dan dikuarantin selama lima hingga tujuh hari.

Selesai menjalani proses kuarantin, lembu baka akan diimbas sekali lagi sebelum boleh dieksport.

GLC turut menjalankan proses penggredan lembu sekiranya lembu dibawa dalam kumpulan rawak dan bercampur jantina.

Bagi melihat dengan lebih dekat kemudahan yang dimiliki GLC, satu delegasi Malaysia diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar baru-baru ini berkunjung ke Darwin.

Dalam kunjungannya, Noh yakin GLC mampu menjadi pembekal lembu hidup dan daging halal Australia ke Malaysia sebaik kemudahan rumah sembelih di ladang itu dinaik taraf dengan pembiayaan sebanyak RM9 juta yang diperuntukkan kerajaan.

Dengan kapasiti penyembelihan sebanyak 200 hingga 300 ekor sehari, beliau berkata, GLC mampu menawarkan bekalan gading halal yang mencukupi ke Malaysia.

"Dengan kewujudan GLC, kita juga tidak perlu lagi berurusan dengan ejen bagi mendapatkan bekalan lembu Australia, sebaliknya terus kepada GLC bagi mendapatkan daging berkualiti premium," kata Noh baru-baru ini.

Beliau berkata, bekalan lembu dari GLC juga mampu membantu merealisasikan projek Ladang Satelit di Malaysia menjelang lima hingga 10 tahun akan datang yang memerlukan 40,000 ekor lembu setahun.

Isa dalam pada itu berkata, sebagai syarikat yang menjalankan aktiviti eksport lembu antarabangsa, pihaknya turut mendapatkan rundingan dari syarikat veterinar, Global Veterinary Sdn Bhd.

Dengan harapan yang tinggi untuk memasuki pasaran Malaysia, beliau berkata, beberapa pelan jangka panjang telah dirancang bagi membantu memajukan industri ternakan di Malaysia.

"Kita berhasrat menjadikan GLC sebagai satu pusat perniagaan dan penyelidikan untuk pusat-pusat penyelidikan Malaysia.

"Kita boleh membawa pengusaha-pengusaha baru ladang dan penternak untuk menjalani latihan di sini kerana Australia memang maju dalam sektor ternakan," katanya.

Tambahnya, usaha sama juga dibuat dengan Universiti Darwin bagi bidang kejuruteraan genetik bagi menghasilkan genetik ternakan berkualiti yang boleh dibawa ke Malaysia.

"Seperti yang diketahui, lembu-lembu di Australia bebas penyakit kaki dan mulut, jadi kita boleh membawa masuk embrio Brahman tulen yang bebas penyakit ke Malaysia bagi menambah baka baik lembu," ujarnya.

Awas ancaman serius talasemia

Posted: 04 Jul 2010 09:58 PM PDT


Kanak-kanak talasemia terpaksa melalui rawatan konvensional yang menyakitkan.


APA sebenarnya talasemia? Sering kali kita mendengar perkataan itu disebut, namun adakah kita faham apa sebenarnya penyakit itu?

Perunding Hematologi Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Goh Kim Yen berkata, talasemia adalah penyakit keturunan yang berlaku pada sel darah merah.

"Ia merupakan keadaan yang diwariskan oleh ibu bapa kepada anak. Ini berlaku akibat kecacatan gen yang menyebabkan hemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal," katanya.

Menurutnya, mereka yang mempunyai penyakit talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi dalam darah.

Hemoglobin katanya, adalah bahagian sel darah merah yang mengangkut oksigen daripada paru-paru ke seluruh tubuh.

Akibat kekurangan sel darah merah yang normal, pesakit akan kelihatan pucat kerana paras hemoglobin (Hb) yang rendah dan menyebabkan berlaku anemia.

"Kekurangan sel darah merah yang membekalkan oksigen akan mengakibatkan pesakit talasemia berasa lesu, tidak bermaya dan mungkin sesak nafas sekiranya paras hemoglobin semakin menurun," katanya.

Penghidap talasemia tidak mampu membekalkan seluruh sel tubuh mereka dengan bekalan oksigen yang mencukupi akibat kekurangan hemoglobin dalam sel darah merah. Tisu yang tiada oksigen gagal berfungsi dengan baik lalu tubuh menjadi lemah, gagal berkembang dan mudah terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti diabetes, sakit jantung dan sebagainya.

Jelas beliau lagi, pesakit talasemia biasanya mempunyai paras hemoglobin yang rendah iaitu kurang daripada sekitar 4 atau 5g/dl.

Jenis talasemia

Talasemia terbahagi kepada minor dan major. Talasemia minor merujuk kepada mereka yang mempunyai kecacatan gen talasemia tetapi tidak menunjukkan tanda-

tanda talasemia atau dipanggil pembawa.

Manakala talasemia major pula merujuk kepada mereka yang mempunyai baka talasemia sepenuhnya dan menunjukkan tanda-tanda talasemia (pesakit).

Terdapat dua kategori talasemia berdasarkan molekul globin pada sel darah merah iaitu alpha dan beta (mengikut rantaian).

  • Talasemia alpha berlaku apabila satu atau lebih daripada empat gen yang diperlukan untuk membentuk rantaian globin alpha hemoglobin tidak bersesuaian atau tidak wujud. Jika hanya dua gen terlibat, individu tersebut hanya pembawa. Anemia peringkat sederhana dan teruk terjadi apabila lebih daripada dua gen terjejas. Paling membimbangkan apabila empat gen terjejas menyebabkan ibu hamil yang mengidap talasemia menghadapi risiko keguguran atau jika bayi lahir menyebabkan kematian.
  • Talasemia beta berlaku apabila salah satu atau kedua-dua gen yang diperlukan untuk membentuk rantaian globin beta hemoglobin tidak serasi.

    Jika kedua-dua gen terjejas, anemia boleh terjadi secara sederhana hinggalah ke peringkat teruk. Talasemia peringkat teruk ini juga dikenali sebagai anemia Cooley.

    Tanda dan gejala talasemia

    Menurut Dr Goh, biasanya anak-anak pembawa talasemia kelihatan normal sewaktu dilahirkan dan status pembawa cuma dikesan apabila pemeriksaan darah dijalankan. Untuk mereka yang mengidapi talasemia major, penyakit itu biasa dikesan apabila seseorang bayi mencapai lingkungan usia enam bulan sehingga setahun. Simptom yang biasa menarik perhatian ibu bapa untuk membawa anak mereka berjumpa dengan doktor adalah masalah pucat atau lambat dari segi tumbesaran.

    Bagaimanapun, mereka mulai mengalami masalah anemia yang serius apabila mencapai usia di antara 13 hingga 18 bulan. Tubuh mereka akan pucat, lemah dan mudah menghidap sebarang penyakit.

    Anemia yang serius boleh menyebabkan masalah jantung dan sukar bernafas.

    Perut mereka juga akan membuncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa. Pembentukan tulang muka, pipi dan rahang juga tidak normal.

    Selain itu, pertumbuhan mereka juga terbantut termasuk organ seks tidak akan berkembang. Bagi pesakit talasemia perempuan, payu dara mereka tidak membesar, pertumbuhan bulu badan terjejas dan mereka juga tidak mengalami haid.

    Lazimnya pesakit talasemia meninggal dunia pada usia yang muda iaitu sekitar belasan tahun dan ada yang mencapai hingga usia 30 tahun.

    Rawatan penyakit talasemia

    "Pesakit perlu menjalani transfusi darah berterusan setiap bulan," kata Dr. Goh.

    Bagaimanapun transfusi darah berterusan akan menyebabkan pengumpulan zat besi di dalam organ penting seperti hati, jantung dan kelenjar endokrin yang akhirnya merosakkan fungsi organ-organ tersebut.

    Jika ia berlaku di bahagian pituitari (otak), pesakit akan mengalami masalah tumbesaran termasuk organ seks yang tidak berkembang.

    "Jika zat besi berkumpul di bahagian jantung, pesakit mengalami sesak nafas dan lemah jantung, manakala jika ia berkumpul di bahagian pankreas pesakit akan mendapat diabetes," katanya.

    Selain itu kata beliau, zat besi yang terkumpul di bahagian kulit pula akan menyebabkan ia berubah warna gelap.

    Jelas Dr. Goh lagi, rawatan penyingkiran zat besi berlebihan perlu dilakukan dengan suntikan ubat Desferrioxamine menggunakan alat khas. Bagaimanapun proses itu menyakitkan kerana ia mengambil masa yang lama sekitar lapan jam.

    "Bayangkan jika kanak-kanak terpaksa melalui proses ini, alat tersebut akan dipasang kepada mereka setiap malam selama beberapa hari," katanya.

    Selain itu terdapat rawatan pengkelatan besi (nyah besi) terkini iaitu melalui tablet yang dipanggil Exjade.

    Rawatan tersebut lebih mudah digunakan kerana ia berbentuk tablet dan hanya perlu direndam dalam air sebelum diminum. Bagaimanapun, harganya agak mahal dan sehingga kini belum digunakan sepenuhnya di kebanyakan hospital.

    Talasemia juga boleh dipulihkan melalui pemindahan sum-sum tulang sekiranya ada penderma yang sesuai di kalangan ahli keluarga.

    Paling berkesan kata beliau, pemindahan stem sel yang terdapat pada tali pusat melalui teknologi terkini. Ia juga boleh dilakukan di kalangan ahli keluarga. Proses pemindahan stem sel itu perlu dilakukan kepada pesakit talasemia ketika masih bayi atau berumur lima tahun ke bawah sebelum sebarang masalah kesihatan terganggu.

  • Wajah-wajah harapan di IJN

    Posted: 04 Jul 2010 09:57 PM PDT


    SEBAHAGIAN kanak-kanak IJN yang hadir semasa penyerahan derma hasil sumbangan para pelajar Universiti Monash di IJN, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu.


    TIDAK seperti kanak-kanak lain, pergerakan mereka agak terbatas kerana kesakitan yang ditanggung. Riang tawa ketika menonton persembahan boneka ternyata menyimpan kenangan manis buat mereka.

    Tidak seperti biasa, mereka bersama-sama menyaksikan kisah lucu yang dipersembahkan sempena sambutan Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) yang ke-15. Ada antara mereka yang masih terlantar di wad menunggu giliran pembedahan. Tidak ketinggalan, kanak-kanak yang masih melakukan pemeriksaan jantung bulanan. Bagi mereka yang sudah sembuh dan selamat menjalani pembedahan, sokongan terhadap teman-teman yang lain tetap diberi.

    Kehadiran 150 pesakit pada hari Sabtu baru-baru ini menyuntik rasa terharu dan gembira sesiapa sahaja yang melihat mereka. Sedikit pun tidak kelihatan seperti pesakit jantung walaupun berkerusi roda atau dipapah ibu bapa. Terpancar riak wajah yang gembira dan bersemangat. Mungkin suasana yang diwujudkan Yayasan IJN bertempat di IJN, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur untuk sambutan ulang tahun tersebut berjaya memberikan kegembiraan.

    Kanak-kanak tabah

    Seorang suri rumah, Siti Ruzaimie Mohd Sentol memberitahu, sudah setahun anaknya yang menghadapi masalah saluran darah bocor pada paru-paru selamat menjalankan pembedahan. Walaupun baru berusia dua tahun enam bulan, Raeena Jauhera Mohd. Razzdee ternyata tabah dan kuat berhadapan dengan cabaran penyakitnya. Tidak seaktif kanak-kanak lain, Raeena gembira kerana ibu tercinta sentiasa menemaninya. Dua minggu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), cukup mendebarkan Siti Ruzaimie sekeluarga. Namun, berkat doa keluarga dan teman-teman, Raeena berjaya dibedah. Kini, dia mampu tersenyum dan bermain-main seperti kanak-kanak lain cuma memerlukan perhatian dan kasih sayaang daripada keluarganya.

    Sementara itu, Zaiton Ibrahim, 41, gembira kerana dapat menyertai ibu bapa pesakit lain memberi sokongan kepada kanak-kanak yang hadir. Anaknya Zubaer Harith Hisham, 3, yang mengalami salur darah sempit tidak ketinggalan menyertai acara tersebut. Menurut Zaiton, masalah saluran darah tersebut menyebabkan darah sukar dipam hingga ke jantung.

    "Pada usia lapan bulan, doktor telah memasukkan sejenis alat yang dipanggil 'belon' untuk membesarkan saluran darah Zubaer. Setakat ini, dia tidak perlu menjalani pembedahan jantung. Namun, dinding saluran darah masih tebal dan jika masih berterusan, pembedahan mungkin perlu dilakukan," ujarnya.

    Tidak dinafikan perkembangan Zubaer agak terbatas. Dia sering menangis apabila sakit dan mudah berpeluh. Namun, Zaiton bersyukur setakat ini, anaknya aktif seperti biasa.

    Berbeza pula dengan Rozaira Roslan, setahun sepuluh bulan yang baru sahaja menjalani pembedahan masalah injap bocor. Dia ditemani ibunya, Rubina Gudng, 30, dan bapanya yang datang dari Sabah dan berada di IJN selama lebih kurang dua minggu. Rubina bersyukur pembedahan anaknya berjalan lancar dan dia berterima kasih kepada badan kebajikan Sabah yang banyak memberi bantuan.

    Dia berharap Rozaira segera sembuh dan dapat bermain seperti kanak-kanak lain.

    Meraikan pesakit

    Dalam pada itu, Pengurus Besar Yayasan IJN, Alawiyah Yussof berkata, majlis bertemakan 'hari jadi untuk semua' itu bertujuan meraikan pesakit-pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di IJN dan kos rawatan dibiayai oleh yayasan tersebut.

    "Yayasan IJN adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan bertujuan meraih sokongan filantropi bagi IJN dan penjagaan pesakit jantung.

    "Kami akan mengumpul dana daripada organisasi dan orang ramai yang prihatin. Dana tersebut akan digunakan untuk membantu pesakit yang kurang berkemampuan dari segi kewangan," ujarnya.

    Tambah beliau, terdapat beberapa syarikat swasta yang menghulurkan dana secara tetap setiap tahun selain derma yang disumbangkan dari semasa ke semasa oleh individu dan syarikat tertentu.

    Antara syarikat dan organisasi yang menyumbang tetap kepada yayasan itu adalah Pfizer Malaysia, AirAsia, Yayasan Tenaga Nasional dan NU Skin Malaysia.

    Majlis itu turut menyaksikan penyerahan derma RM22,606.80 hasil sumbangan para pelajar Universiti Monash cawangan Subang, Selangor.

    Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Yayasan IJN boleh menghubungi 03-26178200.

    Lindungi hati daripada toksik

    Posted: 04 Jul 2010 09:57 PM PDT

    Kesihatan hati boleh terjejas akibat pengumpulan toksik berlebihan. Bagaimana ia boleh berlaku dan apa yang boleh diamalkan dalam usaha menyingkirkan toksik sekali gus mengekalkan kesihatan hati?

    Jawapan

    Bahan bertoksik boleh disumbangkan oleh banyak faktor seperti daripada udara, makanan serta air yang jarang kita sedari. Begitu juga dengan tubuh kita sendiri dan bakteria juga menghasilkan toksin. Jenis-jenis bahan bertoksik termasuklah logam berat, bahan kimia, pengambilan ubat-ubatan dalam tempoh yang lama, alkohol, racun serangga, racun rumpai, pengawet makanan dan sebagainya.

    Untuk mengurangkan penyerapan bahan-bahan bertoksik, adalah dicadangkan pengambilan diet yang kaya serat, seperti yang boleh diperolehi daripada sayur-sayuran. Serat mempunyai kebolehan mengikat toksin dalam usus serta menggalakkan penyingkirannya.

    Antara herba yang banyak dicadangkan oleh pakar herba untuk membantu menangani masalah hati adalah Milk Thistle. Herba ini berfungsi sebagai tonik hati dan digunakan sejak berkurun lamanya di serata dunia. Keunikannya adalah kandungan silymarin, manakala silybin merupakan komponen silymarin yang paling aktif. Silybin mengandungi antioksida dan bahan pelindung hati (Hepato-protective properties).

    Atasi masalah kulit kusam

    Posted: 04 Jul 2010 09:56 PM PDT




    Kita biasa menggunakan serbuk penaik (soda) untuk membuat kek. Apa kata cuba bahan tersebut dalam resipi penjagaan kulit anda. Selain faktor harga yang murah, serbuk penaik juga mudah diperoleh di pasar raya.

    Tentunya kita tidak terfikir soda bikarbonat boleh dijadikan skrub untuk membuang sel-sel kulit mati sekali gus membuka liang-liang tersebut yang sering menjadi punca masalah kulit wajah.

    Campurkan sedikit bahan penaik dan air sehingga membentuk sebatian. Soda bikarbonat sangat berkesan sebagai skrub. Namun penggunaannya perlu secara berhati-hati. Secara lembut sapu skrub soda bikarbonat itu pada kulit muka dan urut perlahan-lahan selama 10 hingga 15 minit. Bilas dan keringkan wajah anda.

    Banyak juga orang menggunakan cuka epal atau cuka biasa untuk merawat masalah jerawat. Tidak kira jenis cuka yang anda gunakan, ia sememangnya amat membantu untuk membasmi bakteria punca jerawat, menseimbangkan pH kulit dan menyerap lebihan minyak pada kulit.

    Gunakan bebola kapas untuk sapu cuka yang telah dicampur air pada bahagian bermasalah pada kulit muka (lapan bahagian air dicampur satu bahagian cuka) dan biarkan 10 minit sebelum dibilas.

    Jus lemon juga boleh digunakan sebagai pengganti cuka. Jus yang kaya dengan asid sitrik mampu merangsang kulit dengan baik, memberhentikan pertumbuhan jerawat serta bertindak sebagai bahan perawat.

    Putih telur yang kaya dengan protein boleh digunakan sebagai topeng untuk memperbaiki dan membina semula kulit anda. Ia juga membantu menyerap lebihan minyak. Pukul putih telur dan sapu terus ke kulit muka. Biarkan selama 15 minit dan bilas.

    Sejak dulu Aloe Vera digunakan sebagai bahan untuk mengurangkan kesan terbakar pada kulit. Selain itu tumbuhan tersebut membantu mengatasi masalah parut dan menyelesaikan masalah noda pada kulit wajah.

    Masalah kulit muka terutamanya jerawat juga berpunca daripada gangguan sistem penghadaman. Jus lemon, timun dan lobak merah membantu pencernaan sekali gus menjadikan kulit berseri.

    Jerawat punca remaja stres

    Posted: 04 Jul 2010 09:55 PM PDT

    Ketika menghadiri seminar perubatan di ibu kota saya bertemu seorang sahabat lama yang kini menjadi pakar psikologi dan psikiatri. Kami keluar makan bersama sambil bertukar pendapat dan pengalaman. Menurut sahabat saya masalah jiwa di kalangan remaja meningkat lebih tinggi. Antara punca utama disebabkan kurang keyakinan diri dan masalah kecantikan. Mereka berasa diri kurang menarik berbanding rakan-rakan menyebabkan jiwa tertekan.

    Isu tersebut amat menarik perhatian kerana saya mendapati remaja sekarang begitu mengambil berat perihal penampilan diri mereka.

    Masalah kulit di kalangan remaja termasuklah jerawat, parut lama disebabkan jerawat, kulit kusam, berminyak dan tidak sekata. Remaja biasanya tidak bermasalah dari segi pigmentasi kerana usia yang muda. Pigmentasi biasanya berlaku semasa hamil dan apabila usia meningkat. Bagi remaja, masalah paling kerap terjadi disebabkan kemerosotan paras hormon adalah jerawat yang teruk.

    Menurut sahabat saya, beliau pernah mengendalikan kes seorang remaja yang menjadi murung dan enggan keluar rumah kerana wajahnya berjerawat batu. Remaja dibawa ibunya berjumpa dengan ramai pakar kecantikan namun tetap tidak pulih. Jerawatnya terlalu resistant sehingga mencacatkan wajah. Dia telah diberikan antibiotik selama hampir dua tahun dan turut di bekalkan dengan Retin A. Namun tiada perubahan. Sahabat saya mencadangkan agar saya mencari jalan untuk merawat masalah tersebut.

    Jerawat dan punca

    Jerawat boleh dianggap sebagai bisul kecil yang menyerang kulit muka atau badan. Jerawat bukan saja menyerang muka malah leher dan badan apabila hormon tidak seimbang.

    Kuman jerawat terdiri daripada jenis corynebacterium yang berbentuk koma. Kuman ini membina rumahnya di dalam epidermis. Ia mengeluarkan enzim yang mampu menghancurkan epidermis dan membolehkannya membiak hingga ke dermis.

    Lebih dalam ia masuk ke dalam kulit maka lebih seriuslah masalah jerawat. Biarpun jerawat sembuh tetapi parut yang ditinggalkan adalah dalam dan kelihatan hodoh. Parut yang dalam membuatkan kulit tampak berbintik-bintik .

    Jerawat yang teruk menimbulkan stigma sosial kerana ia menyebabkan kulit berparut. dan mengubah rupa seseorang. Seseorang gadis atau pemuda yang lawa akan kelihatan tidak menarik jika dihinggapi jerawat. Penampilan juga akan terjejas.

    Kuman jerawat mudah hidup apabila sebaceous gland menjadi aktif. Sebaceus gland merupakan kelenjar pengeluar cecair berminyak yang melembapkan kulit kita. Kelenjar sebaceus penting kerana tanpanya kulit akan kering dan mengelupas. Namun apabila ia terlalu aktif kulit akan menjadi berjerawat. Kuman jerawat mudah hidup dan membiak pada jenis kulit yang begini.

    Oleh itu seseorang yang mempunyai banyak hormon androgen mudah terkena jerawat. Hormon androgen merangsang pengeluaran sebum dari kelenjar sebaceous. Kerana itulah sesetengah doktor mencadangkan pil perancang keluarga bagi mengatasi masalah jerawat. Pil tersebut merupakan sejenis hormon wanita yang boleh membantu menghalang pembentukan jerawat.

    Sebum yang banyak terhasil akibat lebihan endrogen menyebabkan pori-pori tersumbat, bintik-bintik hitam dan putih terhasil. Corynebacterium akan mula membiak, jerawat juga terhasil.

    Rawatan

    Selalunya rawatan jerawat terdiri daripada antibiotik, pil hormon dan Isotretinoin selain amalan kebersihan dan rawatan muka. Isotretinoin sangat berkesan kerana menyebabkan pengeringan kelenjar sebum. Rawatan itu menjadikan kulit tidak berminyak dan mengurangkan jerawat dengan berkesan. Namun begitu, untuk mendapat kesan yang baik , Isotretinoin perlu dimakan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua atau tiga bulan untuk dilihat kesannya. Oleh kerana pengambilan oral yang lama, pengumpulan ubat ini di dalam badan boleh menimbulkan kesan sampingan sistemik seperti gangguan hati, kemurungan, kekeringan kulit dan bibir dan gangguan penglihatan malam. Bagi wanita ia boleh menyebabkan kecacatan janin jika ubat ini diambil waktu mengandung.

    Rawatan Photo Dynamic Therapy pernah popular untuk jerawat. Sejenis krim disapu pada muka untuk meningkatkan penyerapan cahaya ketika rawatan. Krim dibiarkan selama 20 hingga 60 minit untuk diserap ke dalam kulit. Selepas itu pesakit akan diletak di bawah lampu khas yang mengeluarkan cahaya khas lalu diserap oleh kulit . Kesannya akan menyebabkan pengecilan saiz pori-pori muka dan kulit kurang berminyak. Rawatan perlu dilakukan beberapa kali selang sebulan. Namum begitu, ia menjadi tidak popular kerana selepas menjalani rawatan, kulit muka akan kemerahan dan mengelupas selama tiga hingga lima. Rawatan juga tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit gelap.

    Kaedah terbaru

    Kini terdapat dua kaedah rawatan terbaru untuk merawat jerawat. Pertama adalah dengan foto terapi. Rawatan ini menggunakan sejenis alat perubatan yang dinamakan Isolaz. Ia adalah satu satunya alat perubatan yang diberi kelulusan FDA untuk merawat jerawat jenis 1 - 6 . Ini bermakna , jika jerawat anda gagal dirawat dengan antibiotik , hormon atau Isotretinoin , harapan masih ada dengan Isolaz.

    Bagaimana Isolaz berfungsi

    Isolaz berfungsi dengan dua cara. Pertama ia akan menyedut segala kekotoran dan sebum pada jerawat. Kedua, mesin ini akan mengeluarkan sinaran cahaya khas untuk membunuh bakteria dan mengecutkan kelenjar sebum. Rawatan ini tidak memerlukan penyediaan khas malah tidak sakit dan tiada kesan sampingan. Selepas rawatan, pesakit boleh terus mengerjakan aktiviti harian. Kesan rawatan boleh dilihat selepas 24 hingga 48 jam di mana jerawat akan kecut dan kering. Namun begitu, untuk mendapat rawatan yang berkesan, setiap orang perlu menjalani rawatan sebanyak 10 sesi iaitu sekali setiap seminggu.

    Laser

    Rawatan kedua yang berkesan adalah laser. Rawatan ini sangat berkesan untuk jerawat yang disebabkan bakteria corynebacterium. Sejenis laser yang dinamakan Long Pulse Nd: Yag digunakan untuk jerawat. Pada tenaga dan wavelength tertentu, laser akan diserap ke dalam kulit dan membunuh kuman secara langsung. Kesan laser juga akan mengecutkan kelenjar sebum. Rawatan ini juga akan mengecutkan jerawat dalam masa 24 hingga 48 jam. Rawatan laser juga boleh dilakukan seminggu sekali untuk lima ke 10 sesi rawatan.

    Malik teroka cabaran baru

    Posted: 04 Jul 2010 09:52 PM PDT


    LIMBC 2010 turut memberi ruang dan peluang untuk orang biasa bertanding selain mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan berbasikal.


    TANGGAL 3 Ogos 2003, terpahat sebagai tarikh penting yang menyaksikan kegigihan seorang anak muda dari Kampung Gajah, Butterworth, Pulau Pinang merentasi Selat Inggeris.

    Berjaya menamatkan renangan selama 17 jam 30 minit dan 15 saat, selat sejauh 38.6 kilometer itu menjadi saksi kecekalan beliau mencipta sejarah selaku anak tempatan pertama yang melakukan renangan mencabar itu.

    Meski dianggap sesetengah pihak sebagai 'kerja gila' atau mustahil untuk dilaksanakan, namun, bagi pemilik diri bernama Datuk Malik Maidin, semuanya itu tidak bukan penghalang.

    Semuanya adalah demi memastikan nama 'Malik Maidin' terpahat sebagai antara ribuan perenang yang telah berjaya berenang menyeberangi selat itu sejak 1890.

    Sepanjang tempoh itu, lebih 6,000 orang telah berjaya berbuat demikian manakala 470 orang tidak berjaya menyempurnakan hajat masing-masing.

    Pulang ke tanah air dan mendapat pengiktirafan selaku wira negara, apa yang dilakukan Malik sememangnya menjadi pencetus kepada anak muda lain untuk bersama mengejar kejayaan.

    Sebaris dengan nama pelayar solo, Datuk Azhar Mansor dan angkasawan pertama negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor, kejayaan yang dicipta Malik bukanlah sesuatu yang boleh diperlekehkan.

    Diakui, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Kerja gila seperti mana yang dimomokkan oleh sesetengah pihak itu menuntut semangat kental dan keberanian luar biasa.

    Kini, bertahun berlalu, nama Malik masih diperkata orang. Kejayaan yang dipahat masih dikenang ramai.

    Biarpun agak sunyi seketika daripada mendapat liputan media, dalam diam, beliau sebenarnya memfokus pada kerja-kerja 'belakang tabir' untuk membudayakan masyarakat dengan bersukan.

    Menjurus pada sukan berbasikal, Malik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage (M) Sdn. Bhd. bakal menganjurkan Langkawi International Mountain Bike Challenge (LIMBC) 2010.

    Mengikut perancangan, LIMBC akan bermula pada 6 hingga 8 Ogos ini di Kampung Tok Senik dan Telaga Harbour Marina, Langkawi.

    LIMBC mendapat sokongan penuh Telekom Malaysia Berhad (TM), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Penaung dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertindak sebagai Penaung Kehormat.

    Ia melibatkan dua acara iaitu Olimpik Cross Country sejauh 4.3 kilometer satu pusingan di Kampung Tok Senik meliputi acara Junior Men, Elite men, Elite Women dan masters Men. Manakala acara Marathon Cross Country pula sejauh 8.5 kilometer satu pusingan di Telaga Harbour Marina. Acara ini yang turut melibatkan penyertaan terbuka kepada orang ramai untuk menyertainya (dikenali sebagai jambori) dengan mereka yang profesional dan orang biasa akan diasingkan penyertaannya.

    Mungkin ada yang berpandangan acara ini akan melibatkan penyertaan pihak luar seperti profesional dan mereka yang berpengalaman namun apabila penyertaan berasingan dibuka kepada orang ramai, ini akan menggalakkan lagi penyertaan mereka dalam sukan mountain bike selain menanam semangat untuk menjalani kehidupan yang sihat.

    Hadiah berjumlah RM250,000 menanti pemenang dengan RM150,000 bagi kategori utama. Manakala baki RM100,000 pula akan menjadi milik pemenang jambori dalam bentuk cabutan bertuah.

    Cabutan bertuah akan memberi peluang kepada orang ramai untuk memenangi hadiah yang ditawarkan.

    Menurut Malik, yuran penyertaan LIMBC adalah sebanyak RM30 bagi peserta tempatan dan AS$30 (peserta luar).

    Penyertaan

    Jelasnya, penyertaan LIMBC masih terbuka dan dijangka ditutup pertengahan bulan ini.

    Ditanya mengenai gerak kerja penganjuran LIMBC, Malik memberitahu, ia telah dimulakan sejak dua tahun lalu.

    ''Kami melakukan penyelidikan mengenai program sama yang dianjurkan di beberapa negara luar seperti Afrika Selatan dan Norway.

    ''Kemudiannya kami bawa program sedemikian ke negara ini. LIMBC akan dijadikan acara tahunan,'' tambahnya.

    Menyasarkan 1,000 penyertaan, menurutnya, LIMBC adalah pentas untuk peminat sukan berbasikal tempatan merealisasikan mimpi bersaing dengan pelumba bertaraf antarabangsa.

    ''Ini juga adalah platform untuk kita mencungkil bakat-bakat baru di kalangan anak muda.

    ''Antara negara luar yang telah mengesahkan penyertaan adalah Australia, Belanda, Filipina dan Thailand.

    ''Ada kalangan penyertaan luar itu terdiri daripada pelumba profesional yang bernaung di bawah kelab terkemuka dunia,'' katanya.

    Begitulah misi Malik yang komited dalam menggerakkan generasi muda agar menyintai sukan.

    Ditanya mengapa memilih Langkawi selaku medan LIMBC, katanya, pulau legenda itu terkenal di mata dunia.

    ''Langkawi sudah mempunyai jenama tersendiri. Boleh dikatakan nama serta populariti Langkawi dan Malaysia adalah sama meningkat.

    ''Kemudahan di sana cukup lengkap dengan pengangkutan, lapangan terbang serta penginapan,'' ujar beliau.

    Tamat berbicara soal LIMBC, soalan diaju pula mengenai perancangan masa depannya untuk mencipta kejayaan mendatang.

    Bagaimanapun, kata Malik, matlamat untuk memahat nama di pentas antarabangsa bukan lagi menjadi keutamaannya dalam masa terdekat ini.

    ''Buat masa ini, saya fokus pada program-program ke arah menyemarakkan semangat sukan.

    ''Tidak ada perancangan untuk apa-apa program lain,'' tambahnya.

    Jiwa tenang di Kuantan Tembeling Resort

    Posted: 04 Jul 2010 09:26 PM PDT




    TATKALA melangkah masuk ke Kuantan Tembeling Resort di Teluk Chempedak perasaan pasti akan teruja dengan keindahan alam yang ditawarkan.

    Mungkin tidak popular seperti resort antarabangsa bertaraf lima bintang, tetapi dengan berlatarbelakangkan lautan luas biru ia ada tarikan tersendiri.

    Apatah lagi kejernihan airnya seakan memanggil pengunjung untuk menikmati kesegaran alam ciptaan Tuhan.

    Kuantan Tembeling Resort boleh dikatakan destinasi percutian yang indah dan selesa. Malah ia boleh dijadikan destinasi bagi melampiaskan keinginan percutian anda.

    Jika anda berhajat untuk mencari ketenangan, melarikan diri dari tekanan kerja dan ingin bersendiri, resort ini adalah pilihan terbaik.

    Suasananya aman dan damai juga sesuai untuk pasangan pengantin baru berbulan madu.

    Resort yang telah beroperasi sejak 1998 itu terletak di atas bukit sambil mengadap Laut China Selatan yang membiru.

    Malah pandangan pengunjung yang menjejakkan kaki ke situ pasti tertumpah pada keindahan yang ditawarkan sambil dapat melihat ombak menderu menghempas pantai melalui jendela kamar.

    Terletak hanya kira-kira 200 meter dari pantai, Kuantan Tembeling Resort yang berkonsepkan apartmen juga berjiran dengan Hutan Simpan Beserah yang kaya dengan flora dan fauna.

    Di samping dapat menikmati keindahan laut yang mempesona, pengunjung juga boleh merasai sendiri kehijauan hutan dara yang masih dijaga dengan baik.

    Perjalanan kira-kira lapan kilometer dari bandar Kuantan, pengunjung hanya mengambil masa lima minit untuk sampai ke sini.

    Sebaik melepasi Kelab Golf Diraja Pahang, pengunjung akan mula merasai suasana rimba yang damai dengan bunyi-bunyian unggas di kiri kanan jalan sebelum masuk ke resort itu yang dikelilingi pohon-pohon menghijau.

    Kuantan Tembeling Resort menyediakan pelbagai pakej menarik termasuk bilik pada harga berpatutan.

    Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan untuk mereka yang datang menginap di situ.

    Menurut Pengurusnya, Yup Abd. Ghani, pada mulanya apartmen enam blok yang menempatkan 403 unit kediaman itu dibina untuk dijual kepada orang ramai.

    Bagaimanapun, hasil perbincangan bersama, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada pelancong untuk turut sama menikmati dan merasai suasana penginapan di perumahan eksklusif tepi pantai dengan menyewakannya mulai tahun 2004.

    Menerusi Kuantan Tembeling Resort Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Pasdec, katanya, sebanyak 40 unit apartmen yang lengkap dengan perabot disediakan kepada orang ramai yang ingin menginap di situ sama ada disewa secara harian atau bulanan.

    Selebihnya sebanyak 360 unit telah dibeli oleh orang perseorangan malah ada juga pelancong asing yang memiliki kediaman di resort itu antaranya Singapura, Jepun dan Australia.

    "Di sini kami menyediakan apartmen dari satu bilik hingga ke tiga bilik dan amat bersesuaian untuk mereka yang datang bersama keluarga mahupun secara berkumpulan dengan kadar sewa berpatutan," katanya.

    Pengunjung juga boleh membuat pilihan sama ada memilih pemandangan berhadapan laut biru tenang atau menikmati kehijauan hutan simpan bergantung kepada cita rasa masing-masing.

    "Terdapat pelbagai kemudahan rekreasi seperti kolam renang, sauna, jakuzi, gimnasium, gelanggang tenis, skuasy, pingpong dan snuker disediakan untuk pengunjung menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya.

    Bagi syarikat atau organisasi yang ingin menganjurkan seminar atau mesyuarat, Kuantan Tembeling Resort ada menyediakan bilik seminar yang memuatkan 100 orang dalam satu-satu masa selain sebuah restoran makanan Lemon Grass yang menyediakan pelbagai jenis masakan panas dan barat.

    "Kemudahan itu sekali gus membolehkan program latihan, sesi memerah otak dan kerja intensif dijalankan dalam suasana penuh ketenangan dan dapat menghilangkan tekanan kerja bagi setiap peserta," ujarnya.

    Selain itu, lokasinya juga strategik kerana dari situ pengunjung cuma mengambil masa hanya lima minit untuk ke Mini Zoo Teruntum yang menempatkan beberapa jenis haiwan dan sebuah Kelab Golf Diraja Pahang berdepan mini zoo tersebut.

    "Resort ini menyediakan kawalan keselamatan 24 jam dan pengunjung yang menginap di sini tidak perlu bimbang mengenai keselamatan barangan mereka selain orang luar tidak dibenarkan masuk kecuali mempunyai urusan kerja," ujarnya.

    Lia 3 Macan bahagia dengan Andreano

    Posted: 04 Jul 2010 09:24 PM PDT

    Kumpulan 3 Macan akan muncul kali pertama di Malaysia pada 8 Julai ini apabila diundang mengadakan persembahan bersama Anita Sarawak dalam persembahan Mini Showcase Cinta Anita.

    Persembahan yang akan diadakan pada pukul 3.00 petang di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur itu sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2010. Ia dibawakan oleh Life Records dan Music City dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

    Siapa 3 Macan?

    Adegan cium dalam filem pernah cetus kontroversi.

    Kumpulan 3 Macan dianggotai oleh Lia Ladysta, Ayu Terra dan Yeni Anggraeni. Mereka terkenal dengan imej cantik dan seksi membawakan lagu-lagu popular Indonesia dalam konsep dangdut. Lagu SMS menjulang nama mereka.

    Lia sebelum ini bersama Iva Novanda dan Dian Aditya menganggotai Trio Macan. Namun bulan lalu dia mengumumkan penukar nama apabila menghadapi masalah perebutan nama kumpulan dengan syarikat pengurusan. Sebelum itu ada gosip mengatakan Lia dibuang dari 3 Macan.

    Lia tidak mengambil kisah dan tidak mahu berebut nama tersebut kerana baginya bukanlah nama yang diutamakan sebaliknya hasil yang dilakukan oleh artis itu sendiri.

    Trio Macan akan cari pengganti Lia?

    Cinta bahagia Lia-Andreano

    Dalam hal peribadi Lia kini sedang bahagia berpacaran dengan model dan pelakon lelaki hot Andreano Philips sejak tujuh bulan lalu. Mereka sering bersama-sama dan menyokong di antara satu sama lain.

    Malah Andreano sendiri memberitahu Mangga Online yang dia akan bercuti semasa 3 Macan mengadakan promosi di Malaysia untuk bersama-sama kekasihnya itu.

    Lia bersama anggota 3 Macan

    "Saya akan ke Kuala Lumpur juga nanti bersama 3 Macan," kata Andreano melalui khidmat mesej BlackBerry (BBM) kepada Mangga Online.

    Menikmati saat indah percintaan.

    Saya sebenarnya mengenali Andreano sejak beberapa tahun lalu semasa dia belum mencipta nama di Indonesia.

    Sekarang Andreano semakin dikenali dan wajahnya banyak menghiasi iklan di Indonesia. Dia juga berlakon banyak filem antaranya filem sensasi Hantu Puncak Datang Bulan.

    Filem Hantu Puncak Datang Bulan menimbulkan kontroversi adegan bercium dan ranjang. Andreano sendiri melakonkan adegan cium dengan Lia dalam filem tersebut.

    Kedua-dua mereka sebenarnya semakin rapat dan akhirnya jatuh cinta selepas berlakon dalam filem tersebut. Bukanlah cinta promosi sebaliknya mereka terus menjalin hubungan sehingga hari ini.

    Pilih lagu popular

    Trio Macan mula popular menerusi lagu dangdut berjudul SMS yang mendapat sambutan hangat. Apatah lagi timbul kontroversi pasal siapakah penyanyi asal lagu tersebut apabila ada penyanyi yang mendakwa menyanyikannya terlebih dahulu.

    Mereka mudah popular kerana kembali merakam lagu yang sudah popular dengan cara mereka yang tersendiri.

    Album ketiga yang sedang dipasarkan di Malaysia oleh Life Records memuatkan lagu-lagu Makhluk Tuhan Paling Sexy, Wonder Woman, Dokter Cinta, Kucinta Kau Apa Adanya, Munajat Cinta, Jatuh Cinta Lagi, Koq Gitu Sih, Sunny, Bete dan OK.

    Lagu-lagu tersebut merupakan lagu-lagu hits dan sangat laris jualan ring back tones (RBT). Album ini sudah memasuki pasaran Malaysia sejak April lalu.

    3 Macan mengharap respons positif pecinta muzik, terutama dari kalangan orang muda. Melalui album terbaru ini, 3 Macan ingin membuktikan bahwa musik dangdut akan terus diterima oleh peminat.

    MOHD Tepati Ramalan

    Posted: 04 Jul 2010 09:22 PM PDT

    Seperti sudah dijangka, protege Ziana Zain, Mohd Izwan muncul juara Mentor musim ke-4. Menambat hati juri menerusi lagu Cinta, Tragedi Oktober, Itu Kamu, 3 Malam Tanpa Bintang dan Bujang Senang, menurut Mohd, doa dan restu ibu bapa telah membawanya ke menuju puncak kejayaan.

    "Saya sendiri tak tahu apa kelebihan yang ada. Saya tak kacak dan tak putih, mungkin orang suka pada suara saya. Kak Ziana kata saya lurus bendul dan itu mungkin antara faktor mereka mengundi saya.

    "Adi dan Nani merupakan saingan yang hebat dan saya bersyukur kepada Allah di atas kejayaan ini. Wang kemenangan ini akan saya gunakan untuk membawa kedua ibu bapa untuk mengerjakan umrah dan selebihnya mungkin akan digunakan untuk modal berniaga.

    "Kalau ikutkan banyak yang saya belum belajar dari Kak Ziana namun empat bulan di dalam Mentor banyak bawa perubahan dalam hidup saya. Jika dulu saya hanya menyanyi seperti biasa, tapi sekarang banyak yang berbeza dan tahap keyakinan saya lebih tinggi," ujar anak bongsu daripada sepuluh beradik ini.

    Ziana Zain ketika ditemui tidak dapat menyembunyikan perasaannya yang disifatkan sebagai satu kejutan besar.

    "Kemenangan ini memang tidak dijangka. Saya lihat Mohd walaupun tiada rupa, namun keikhlasannya menyanyi benar-benar ada. Dialah manusia yang paling lurus yang pernah saya jumpa dan saya sukakan sifat dia yang benar-benar ingin belajar," kata Ziana Zain yang turut membawa pulang RM100,000.

    Mohd membawa pulang RM100,000, sebuah trofi, kontrak rakaman bersama Monkey Bone dan pengurusan artis di bawah Talent Unit Primeworks Studio.

    Sementara itu, protege Dayang Nurfaizah, Adi berjaya membawa pulang RM30,000 beserta trofi manakala Nani dan Azmeer sekadar berpuas hati mendapat tempat ketiga.

    Kak Pah rakam semula Seri Dewi Malam

    Posted: 04 Jul 2010 09:20 PM PDT

    Turut menamakan syarikat dengan nama Seri Dewi Production.

    Lagu Seri Dewi Malam sangat sinonim dengan bidanita tersohor Datuk Sharifah Aini. Itulah single pertama yang menaikkan namanya pada tahun 1969.

    Setiap kali mengadakan persembahan lagu itu pasti peminat minta kalau dia tidak muatkan dalam senarai lagu.

    Sebab itulah agaknya Sharifah atau lebih mesra membahasakan diri dengan panggilan Kak Pah mahu merakam kembali dalam konsep yang sesuai dengan masa sekarang. Beliau mahu hasilkan dengan iringan orkestra penuh.

    "Kak Pah pernah rakam semula pada tahun 80-an (1982-dalam album Harum Dalam Kenangan) dengan sentuhan muzik pop pada zaman itu.

    "Masa rakaman pertama tu suara Kak Pah terkepit, yalah suara anak dara dan rakaman kedua pada zaman kak dara, sekarang zaman mak dara pula," katanya tergelak semasa Cik Li dan rakan-rakan berborak dengannya menjelang hari ulang tahun kelahirannya malam tadi.

    Oh! Lupa... hari ini ialah hari ulang tahun kelahiran biduanita itu. Selamat hari lahir Cik Li ucapkan semoga panjang umur, dimurahkan rezeki dapat terus menghiburkan peminat dengan siri persembahan. Amin.

    Fieldplayers Lebih Santai

    Posted: 04 Jul 2010 09:17 PM PDT

    Mungkin nama kumpulan ini agak janggal pada pendengaran anda, namun Fieldplayers telahpun tertubuh sejak 2004 dan aktif memperjuangkan muzik New Age Malay. Mendendangkan muzik yang lebih harmoni yang bersatu dari jiwa halus seorang pemuzik.

    Walaupun muzik yang dibawa agak asing namun mereka yakin genre muzik ini ada pengikut tersendiri. Lebih-lebih lagi anak-anak muda kini gemarkan sesuatu yang unik dan lebih bijak menilai kualiti seni yang lahir.

    Mendengarkan lagu yang dibawa, susunan lirik berkisar realiti hidup dan muzik baru yang dibawa, tak dinafikan Fieldplayers berkarya menerusi hati dan cuba membawa revolusi kepada muzik dalam industri tempatan.

    Dianggotai oleh Jart Hassan (vokalis), Bob Jr (Gitar), Rozek Rashid (Bass), John Sayap (Keyboard), Bob Skunjas (drum), Nazmi Ariff (perkusi), Fareed Aziz (trumpet) dan Imran Aiman (Sax), kumpulan ini mempertaruhkan sepuluh buah lagu yang begitu jelas menonjolkan sisi kehidupan yang berlaku saban hari. Antara lagu yang terkandung dalam album ini ialah Oyoyo, Alahai (Apa Cerita), Padang, Empat Dara, Rajawali, Fly Away dan banyak lagi.

    Baby pegang apa tu?

    Posted: 04 Jul 2010 09:15 PM PDT




    Beberapa keping gambar yang dihantar oleh peminat ke e-mel, membuatkan Joyah terkesima. Gambar penyanyi kumpulan Res'2 yang pernah popular suatu ketika dulu. Alah, tahun 90-an, sekarang dah sejuk beku dia orang ni. Tetapi kiriman gambar ini membuatkan Joyah ingat semula artis yang tak berapa nak berjaya ni.

    Gambar Baby Erin dengan pelbagai pose yang 'tersangatlah' seksinya. Tersembul sana-sini. Tak sanggup Joyah nak tepek kat sini semula, nanti ada yang gugur iman. Dan yang boleh Joyah kongsi ialah sekeping yang ini saja. Amboi mak, pegang apa tu Baby oii?

    Kau ni, memanglah tak serik-serik ya. Beberapa tahun lepas ambil dadah, sekarang ni kes lain pula dah. Orang cakap takda moral, nantikan marah. Baby, bawa-bawalah bertaubat. Maaf cakaplah, dah tak ada binatang lain ke kat dunia ni nak dijadikan kawan?

    Kekasih baru Radhi?

    Posted: 04 Jul 2010 09:14 PM PDT


    Radhi dan Nur Shahira Ayu.


    AMBOI cepatnya dapat pengganti. Baru lepas bercerai terus sambar orang baru. Nak jadi cerita teman wanita terbaru penyanyi ini berusia belasan tahun, baru lepas sekolah kot.

    Papa dimaklumkan itulah kisah terbaru penyanyi OAG, Radhi yang sudah bertemu pengganti bekas isterinya, Shazlin.

    Baru-baru ini, Radhi telah membawa kekasihnya ke beberapa acara dan paling terbaru ketika menghadiri mesyuarat agung Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Hulu Kelang, Selangor.

    Radhi ketika berbual dengan rakan Papa mengakui, dia dilamun cinta dengan Nur Shahira Ayu.

    Sejak bila perkenalan mereka bermula Papa tidak tahu pula tetapi Papa yakin hubungan itu baru saja bermula

    Melihat kepada foto ini, jelas sekali kekasih baru Radhi ini sangat manis orangnya.

    Kalau betul Radhi dan Nur Shahira benar-benar dilamun cinta, Papa ingin menasihatkan mereka agar menjaga hubungan itu dengan sebaik mungkin.

    Papa juga kurang gemar melihat Radhi mengusung kekasihnya ke majlis-majlis formal kerana ia tidak manis pada pandangan orang ramai.

    Apatah lagi duda anak seorang itu baru saja melalui fasa yang menyedihkan dalam hidupnya apabila disahkan bercerai dengan Shazlin.

    Jadi, apa kata Radhi bersabar dulu. Lagipun, Nur Shahira masih muda. Bagi peluang Nur Shahira 'tengok dunia' dulu.

    Papa juga yakin kekasih baru Radhi itu tentu mempunyai keinginan untuk menyambung pelajaran. Tak begitu Radhi?

    Kalau Papa berkesempatan bertemu Radhi yang terkenal dengan sikap ramah dan 'gila-gila' tentunya Papa akan bertanya lanjut hal ini.

    Dan Papa pun nak juga tahu apa rahsia yang Radhi guna pikat gadis muda seperti Nur Shahira. Kongsilah sikit.

    Transformasi hidup Azmil, Noorkumalasari

    Posted: 04 Jul 2010 09:11 PM PDT


    DUA nama besar dunia seni tempatan, Azmil Mustapha dan Noorkumalasari kini memilih untuk mendekatkan diri kepada Allah.


    DUA insan seni ini pernah mewarnai persada seni perfileman negara dengan lakonan mantap serta keberkesanan aksi mereka dalam menyempurnakan apa sahaja watak yang dipertanggungjawabkan.

    Azmil Mustapha dan Noorkumalasari, dua nama yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi malah, sehingga kini masih sebati dalam minda kebanyakan daripada kita yang membesar sealiran dengan zaman kegemilangan mereka mencipta nama di lapangan seni.

    Suara Kekasih, Ali Setan dan Mekanik tentu sahaja antara filem yang berjaya menyerlahkan bakat lakonan pemilik nama sebenar Mohd. Azmil Datuk Mustapha yang kini menjangkau usia 58 tahun.

    Begitu juga dengan wanita tinggi lampai yang suatu ketika dahulu bukan setakat lakonan malah, suara serta penampilannya cukup diminati oleh generasi muda ketika itu.

    Itulah Noor Kumalasari Mohd. Taib yang kini berusia 54 tahun.

    Antara filem lakonannya yang cukup meninggalkan kesan ialah Misteri Rumah Tua, Tiada Esok Bagimu, Adik Manja, Rahsia, Esok Untuk Siapa dan Mira Edora.

    Lagu-lagu dendangannya pula yang begitu popular termasuklah Mata, Selamat Pagi Sayang, Aku Dan Perasaan, Hati Seorang Kekasih dan Pulang Di Hari Raya.

    Bercakap tentang dua figura yang begitu diminati ramai itu, peredaran masa membawa mereka jauh berfikir mencari perubahan diri.

    Satu-satunya perubahan besar, menuntut pengorbanan yang bukan kecil daripada mereka ialah melupakan terus bidang lakonan dan nyanyian.

    Bukan setakat meninggalkan bidang seni semata-mata malah, penampilan mereka turut berubah demi mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

    Cukuplah populariti, perhatian serta publisiti yang dilimpahkan kepada mereka tatkala disimbahi gemerlapan cahaya glamor.

    Baik Azmil mahupun Noorkumalasari, biarlah memori bergelar insan seni hanya tersimpan rapi dalam episod kehidupan mereka sedikit waktu dulu.

    Kerana kini, mereka masing-masing cukup selesa mencorakkan warna-warni haluan sendiri bersama keluarga tercinta.

    Bertemu pada majlis sidang akhbar Keep The Change di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur baru-baru ini Azmil menerusi syarikatnya, AM Production Sdn. Bhd., dalam rangka mengadakan seminar Keep The Change Tour yang bakal diadakan selama dua hari bermula 31 Julai ini.

    Dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur, seminar yang bakal mengupas tentang perubahan dalam diri ke arah positif dan bagaimana menguruskan kehidupan selepas perubahan itu. Selain Noorkumalasari seminar itu turut mengundang dua lagi artis terkenal iaitu Amy Search dan Aishah.

    Dua ahli panel yang terlibat pada seminar yang mensasarkan kehadiran sebanyak 800 peserta itu ialah Dr. Syed Yamin Qadri dan Fuad Khan.

    Selesa dengan kehidupan kini - Azmil

    Barangkali ramai di kalangan peminat Azmil tertanya-tanya ke manakah menghilangnya pelakon karakter nakal lagi lucu, Ali Setan yang dipasangkan bersama heroinnya Asmidar, lakonan Ogy Ahmad Daud itu?.

    Kali terakhir Azmil di layar perak ialah menerusi watak Pangeran Demak dalam filem Puteri Gunung Ledang.

    "Saya selesa hidup begini. Merantau menimba ilmu di Syria bersama anak-anak. Di sana saya menjadi diri sendiri.

    "Tidak kisah menunggang basikal ke mana-mana malah duduk di belakang lori bergerak ke sesuatu tempat pun tidak kisah kerana tiada siapa yang mengenali saya.

    "Berbeza di Malaysia, apa sahaja yang dilakukan tentu akan menarik perhatian ramai kerana di sini saya dikenali," kata Azmil yang cukup yakin dan gembira dengan perubahan hidupnya.

    Rancang Azmil, tidak lama lagi dia ingin membuka sebuah sekolah agama bagi mengembangkan lagi ilmu-ilmu agama di kalangan generasi muda.

    Namun, kata Azmil, biarlah projek seminar anjuran syarikatnya itu berjaya terlebih dahulu sebelum membuka langkah seterusnya bagi merealisasikan projek sekolahnya itu.

    "Sekurang-kurangnya saya perlu mencari tanah seluas 15 ekar untuk memulakan projek itu. Bagaimanapun, semuanya masih baru dirancang," katanya mengenai rancangan masa depan.

    Kehidupan kini tak boleh dibeli - Noorkumalasari

    Pelakon bermata besar ini, tatkala ditebak persoalan tantang kehidupannya kini menyifatkan tiada nilai yang dapat 'membeli' ketenangan hidup yang dikecapi olehnya ketika ini.

    Jika dahulu masanya sering terkejar-kejar mengisi tuntutan jadual kerja dan persembahan yang begitu padat kini masanya selain mendekatkan diri kepada Tuhan, lebih terarah menguruskan perihal keluarga dan anak-anak.

    "Cukuplah populariti dan publisiti yang saya terima dahulu. Tiada nilai yang dapat membeli kehidupan saya kini. Sangat tenang.

    "Dalam hati sentiasa berzikir. Dahulu saya akui terkejar-kejar dengan kerja, layan peminat lagi tetapi bila pulang ke rumah, jadi seorang yang sepi.

    "Sekarang Allah di mana-mana sahaja saya berada. Masuk masjid akan nampak nama Allah dahulu dan sentiasa melindungi saya dalam melakukan sesuatu.

    "Perubahan ini setiap orang akan ada cuma waktu dan kekuatan dalaman individu itu sendiri yang mampu membantu," katanya.

    Mengakui masih menerima tawaran lakonan, dengan watak-watak bertudung bukan sedikit dilambakkan kepadanya. Namun, Noor punya pendirian tersendiri untuk tidak lagi melibatkan diri dalam seni.

    "Saya memang tidak minat lagi untuk berlakon. Saya seronok dengan hidup sebagai isteri dan ibu. Begitu juga dapat bersama anak-anak berjemaah di masjid setiap hari," kata Noorkumalasari menterjemah kehidupannya kini.

    Kemampuan Din Glamor diragui

    Posted: 04 Jul 2010 09:09 PM PDT


    DIN GLAMOR... hari ini.


    KEMUNCULAN Din Glamor dalam bidang pengarahan drama pada awalnya dipersoal ramai khususnya penggiat filem dan drama tanah air.

    Ramai yang meragui kemampuan Din kerana Din atau nama sebenarnya Sallehuddin Ridzuan, 49, hanyalah bekas pekerja syarikat produksi SV Production Sdn. Bhd.

    Di syarikat tersebut, Din hanya melakukan kerja-kerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam (PRO). Pernah juga dia diberi peluang berlakon dalam filem-filem terbitan syarikat itu antaranya Mr. Os, Awang Spanar dan Adik.

    Lalu, apabila Din mengarah drama pertamanya, Debuan Rindu, ada yang bertanya mampukah Din? Apa pengalaman yang dia ada?

    Din yang berkahwin dengan Norin Md. Said, 46, dan ayah kepada Yasmin Farhana, 16, Mohd. Razim Azran, 15, dan Mohd. Ashraf Azhari, 13, sekadar tersenyum apabila ditanya mengenai persoalan ramai itu.

    Bahkan, dia tidak pernah ambil peduli cakap-cakap orang dia kerana semua yang dilakukan semata-mata untuk syarikat produksi yang menggajikannya dan demi mencapai impian peribadi.

    Din tidak menafikan ketika bersama SV Produciton, ramai yang hanya kenal dia sebagai PRO yang tugasnya menghubungi wartawan bagi tujuan mendapatkan publisiti.

    "Saya juga sebenarnya Penerbit Eksekutif syarikat itu, jadi banyak yang saya belajar tentang penerbitan dan kerja-kerja di belakang tabir.

    "Apabila terlibat dalam penerbitan filem syarikat berkenaan, saya mesti ambil tahu semua perkara demi memastikan penggambaran filem itu berjalan lancar dan yang penting bajet mengikut yang telah ditetapkan," kata Din pada satu pertemuan baru-baru ini.

    Mungkin ramai tidak tahu, sebelum diberi tugas sebagai PRO syarikat itu, Din yang mula bekerja di SV Production melakukan banyak kerja-kerja di belakang tabir penerbitan.

    "Saya bukan bermula daripada tugas yang senang dan mudah. Sebaliknya pertama kali bekerja dengan syarikat ini pada tahun 1983, saya diberi tugas sebagai runner (orang yang membeli makanan untuk krew penerbitan), tukang buat air dan propman.

    "Apabila saya dapat melakukan tugas itu dengan sempurna, barulah pihak SV memberi saya tugas sebagai PRO dan setelah tiga filem barulah saya dilantik sebagai Pengurus Produksi.

    "Memegang dua tugas sekali gus membuatkan saya belajar pelbagai kerja dan walaupun berat Alhamdulillah saya dapat melaksanakannya dengan baik," kata Din lagi.

    Din yang diperkenalkan kepada Penerbit SV Production, V. Nagaraj oleh aktor A.R Badul tidak pernah menyangka sikap ringan tulangnya menyebabkan dia diberi kepercayaan yang total oleh SV.

    "Saya tidak pernah menyangka sikap saya yang tidak pernah mengenal erti penat dalam melakukan kerja serta amanah telah membuatkan SV percaya pada saya. Bersandarkan kepercayaan itulah mereka kemudiannya melantik saya menjadi Penerbit Eksekutif syarikat itu.

    "Namun selain kerja-kerja di sebalik tabir penerbitan, dalam diam-diam saya belajar kerja-kerja pengarahan dan penulisan skrip daripada pengarah dari India yang merupakan rakan kongsi.

    "Bukan itu sahaja, semasa bersama SV Production juga saya telah diberi peluang menjadi penolong pengarah filem Awang Spanar selain turut berlakon dalam filem itu.

    "Saya amat terhutang budi dengan abang Z. Lokman (pengarah) kerana beliaulah yang memberi kepercayaan saya menjadi Penolong Pengarah," kata Din lagi.

    Bagi Din, walaupun ada segelintir orang seni yang memandang kerja-kerja Z. Lokman tetapi banyak petua dan teknik perfileman yang dapat dipelajari daripada pengarah kreatif itu.

    Berbekal pengalaman pertama, barulah Din diberi peluang oleh Aziz M. Osman untuk menjadi penolong pengarahnya dalam filem Femina.

    "Melalui pengalaman itulah setelah berhenti dari SV pada tahun 1992, saya membuka syarikat penerbitan sendiri.

    "Bagi saya sudah tiba masanya saya melangkah lebih jauh kerana berapa lama harus bekerja di bawah syarikat orang lain," cerita Din.

    Berlian Positive Sdn. Bhd., syarikat milik Din yang ditubuhkan pada tahun 1992 merupakan langkah pertama Din sebelum bergelar pengarah drama.

    Berbekalkan pengalaman di belakang tabir penerbitan dan dengan modal dan pinjaman yang diperoleh akhirnya Din memberanikan diri mengarah drama pertama terbitannya.

    Debuan Cinta merupakan drama pertama arahan Din yang dihantar ke RTM dan sesuatu yang membanggakan dirinya drama itu berjaya menafikan pandangan negatif orang-orang filem terhadapnya.

    "Saya amat bersyukur kerana drama pertama itu diterima RTM. Sejak itulah syarikat saya diberi peluang menerbitkan drama bukan sahaja untuk RTM malah TV3.

    "Lebih daripada 30 drama saya terbitkan dibawah syarikat milik sendiri. Bagaimanapun, apabila negara dilanda kegawatan ekonomi, projek drama daripada RTM dan TV3 tidak ada, akhirnya syarikat yang kami tubuhkan itu terpaksa dibubarkan pada tahun 2004.

    "Saya tidak sanggup menanggung hutang bank lagi. Ketika itu ada tiga drama saya yang pada mulanya dipersetujui oleh sebuah stesyen TV tetapi akhirnya diperap begitu sahaja.

    "Memandangkan beban hutang, akhirnya saya terpaksa menjualnya secara murah di sebuah stesen lain dan Alhamdulillah, akhirnya lalu saya dapat melangsaikan hutang saya dengan Bank Pembangunan," cerita Din penuh lega.

    Kini kata Din, bagi meneruskan kerjayanya sebagai pengarah, dia banyak diberi peluang mengarah drama terbitan syarikat baru dan yang sudah kukuh.

    "Impian saya cuma satu, jika keadaan sudah kukuh saya ingin menghidupkan kembali syarikat milik saya," kata Din penuh harapan.

    Fasha nafi kejar harta Jejai

    Posted: 04 Jul 2010 09:08 PM PDT


    Fasha


    SETELAH sekian lama 'berlakon' dengan dunia cintanya, akhirnya segala teka-teki hubungan pelakon yang tidak lekang dengan kontroversi, Fasha Sandha dengan duda aktres Nora Danish terjawab.

    "Ya, saya dan Rizal bercinta dan kami bahagia sekarang," terang pelakon Anak Halal ini secara terbuka kepada media awal minggu lalu.

    Selepas sering menafikan hubungan akrab dengan duda popular itu, Fasha akhirnya membuka mulut dan membuat pengakuan 'berani mati' yang dia dan Toh Muda Rizal Ashram Ramli menjadi pasangan kekasih secara rasmi sejak 17 Mei lalu.

    Enggan berselindung lagi, Fasha berkongsi saat bahagia mereka ketika ditemui pada sidang akhbar dan pelancaran drama bersiri Duyong Aridinata terbitan Zeel Productions Sdn. Bhd.

    Cerita Fasha, dia dan Rizal mula menjadi pasangan kekasih selepas Rizal membuat kejutan dengan datang ke set penggambarannya di Pulau Lang Tengah, Terengganu menaiki helikopter.

    "Saya terharu dengan kesungguhan dan keberanian Rizal menunjukkan cintanya dan saya rasa itulah masa terbaik untuk menerima cintanya.

    "Ketika itu, kami sudah dua bulan tidak berjumpa dan saya tidak sangka dia bersungguh-sungguh ingin berjumpa dengan saya sampai datang dengan menaiki helikopter.

    "Dia adalah kekasih saya yang kedua. Kami mula berkenalan tujuh tahun lalu, cuma baru-baru ini saling mengenali hati budi dan akhirnya saya menerima cintanya selepas peristiwa helikopter itu.

    "Kami bahagia sekarang dan dalam pertemuan itu Rizal telah menghadiahkan sebentuk cincin tanda saya kini miliknya ketika di Pulau Lang Tengah," terang Fasha sambil tersenyum manis.

    Menurut Fasha, tiada orang lain pernah bersungguh-sungguh dengannya seperti Rizal lakukan kepadanya dan dia memang terharu dengan usaha Rizal itu.

    Tambah Fasha, jika tidak kerana kedatangan Rizal yang mesra dipanggil Jejai menaiki helikopter, dia tetap akan menerima cintanya kerana telah mengenal hati budinya, cuma mungkin lambat sahaja.

    "Usaha dia datang berjumpa dengan saya ketika itu membuatkan saya berasa sungguh istimewa," tambah Fasha.

    Pada 17 Mei lalu, Rizal dan rakan-rakannya membuat kejutan kepada pelakon filem Anak Halal itu dengan hadir menaiki helikopter peribadi sewaktu Fasha menjalani penggambaran drama bersiri, Duyong Aridinata di sana.

    Helikopter peribadi milik Rizal yang merupakan ahli perniagaan berjaya itu mendarat berhampiran chalet yang didiami Fasha bersama krew drama.

    Rizal kemudian menjamu selera makan tengah hari bersama Fasha dan krew-krew yang lain.

    Atilia tidak serik kahwin

    Posted: 04 Jul 2010 08:59 PM PDT


    Pengurus Kanan Alibi Music Sdn. Bhd., KC Ismail (kiri) sewaktu pelancaran album single Atilia, Indah di Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


    RAMAI peminat yang mengetahui bahawa penyanyi Atilia telah bercerai dengan suaminya, Ariff Johan Abdul Aziz pada awal tahun lalu.

    Namun, ramai yang kurang menyelami isi hati dan pengalaman pahit yang dilaluinya itu sehinggalah dia menulis sebuah lirik lagu berjudul SelainNya.

    Anak penyanyi Salamiah Hassan itu mengakui, dia banyak mencurahkan perasaannya selepas perceraiannya itu melalui lagu tersebut.

    Menurut Atilia, lagu ciptaan Mohariz Yaakup itu secara tidak langsung membangkitkan hasratnya untuk berkahwin lagi pada masa depan.

    "Saya tidak nafikan lagu SelainNya macam lagu orang hendak kahwin lagi. Saya selalu berangan untuk menjadi orang seperti dalam lirik itu.

    "Biarpun pernah gagal dalam perkahwinan, saya tidak serik kahwin lagi," katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album single terbarunya yang berjudul Indah terbitan Alibi Music Sdn. Bhd.

    Luahan hati penyanyi dalam aliran irama pop dan jazz itu bukan setakat secara lisan, malah ia turut diperturunkan dalam nota peribadi tulisannya.

    Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron meluahkan rasa hatinya berhubung luahan hatinya melalui lagu tersebut.

    "Lagu ini mengenai kecintaan seseorang itu kepada seseorang yang lain. Sehingga cinta itu menjadi sesuci cinta kepadaNya.

    "Jika anda mendengar lagu ini seperti adanya orang ketiga dalam percintaan. Semoga anda sukakan lagu ini," ujarnya penuh makna.

    Biarpun rumah tangga yang dibina oleh penyanyi berusia 36 tahun ini musnah selepas 10 tahun melayarinya tetapi ia bukan suatu tanda noktah buat dia.

    Sebaliknya, penyanyi yang bersuara lemak merdu ini mengakui, dia pasrah dengan takdir Ilahi, malah hubungannya dengan Ariff Johan juga baik.

    "Walaupun sudah bercerai tetapi saya dan Ariff masih lagi berhubung dan saling bertanya khabar. Kami masih berkawan baik seperti dulu.

    "Contohnya baru-baru ini rumah saya kena pecah masuk pencuri, saya menghubunginya menceritakan masalah yang saya lalui itu.

    "Dalam insiden itu jam tangan dan komputer riba saya hilang tetapi mujurlah pasport dan duit saya tidak diambil pencuri," tuturnya.

    Sewaktu ditanya tentang perasaan dan perancangannya untuk berkahwin lagi pada masa depan, Atilia hanya menjawab ringkas.

    Dia juga tidak menolak kenyataan hatinya sudah dimiliki.

    "Tengoklah kalau ada jodoh. Mak saya (Salamiah Hassan) okey. Dia tidak kisah siapa pilihan saya. Dia tidak paksa saya (kahwin lagi).

    "Apa yang boleh saya katakan teman lelaki saya Melayu. Apa yang penting kami tidak akan masuk Sehati Berdansa," katanya sambil ketawa.

    Pada pelancaran album single Indah itu, Atilia turut menjemput penyanyi kumpulan Hujan, Noh berduet dengannya dalam lagu Old Love.

    Lagu Inggeris berirama jazz ciptaan Mike Bloemendal itu merupakan salah satu daripada lagu yang dimuatkan dalam album single tersebut.

    Selain ceria dengan kemunculan album single itu, Atilia pada masa sama terkejut apabila lama sesawangnya dikunjungi 3.6 juta pengunjung.

    Jelas Atilia, senario itu menunjukkan sambutan para peminat akan pembabitannya sebagai penyanyi.

    "Saya tidak sangka laman web saya iaitu www.atilia.us telah menerima kunjungan seramai 3.6 juta pengunjung baru-baru ini.

    "Ini suatu petanda yang sihat di mana saya akan menggunakan medium itu bagi mempromosikan lagi album single Indah," jelasnya.

    Selain melancarkan album single Indah, Atilia turut menayangkan klip video lagunya berjudul Harus Bagaimana pada majlis tersebut.

    Sotong tukang tilik

    Posted: 04 Jul 2010 08:57 PM PDT

    Paul berjaya ramal kemenangan Jerman ke atas England dengan tepat.
    Paul berjaya ramal kemenangan Jerman ke atas England dengan tepat.
    Paul jadi tumpuan selepas ramal Jerman tewaskan England

    MANUSIA sememangnya diakui makhluk paling pintar dijadikan Allah SWT dan kedudukannya jauh lebih mulia berbanding haiwan. Namun, selain akal yang dikurniakan kepada manusia, ada keistimewaan milik haiwan yang sedikit sebanyak masih menjadi tanda tanya kepada saintis yang jelas satu misteri yang sukar dirungkai.Haiwan juga diketahui berupaya meramalkan sesuatu, terutama bencana alam dan deria mereka 'mencium' bahaya kini diuji saintis bagi 'membongkar' keupayaan itu. Terbaru, 'misteri' kemampuan meramal itu terserlah pada seekor sotong yang digelar 'psikik' oleh penyelidik di Jerman. Ini berikutan keupayaan haiwan marin itu yang dikatakan dapat meneka tepat kemenangan Jerman mengatasi England dalam perlawanan pusingan kalah mati Piala Dunia di Afrika Selatan, baru-baru ini.

    Dengan disaksikan ramai, sotong diberi nama 'Paul' itu yang menghuni Akuarium Oberhausen di Jerman, itu tanpa ragu-ragu memilih tong bertanda bendera Jerman berbanding bekas ditampal bendera England, beberapa hari sebelum perlawanan Isnin lalu. Malah menurut pemiliknya, Tanja Munzig, sotong berusia dua tahun itu dapat meramalkan keputusan perlawanan membabitkan Jerman di Afrika Selatan dan setakat ini semuanya tepat.

    "Ramalan Paul satu menakjubkan. Ia berenang ke arah bekas yang bertanda bendera Jerman, memanjat dan menutup bekas itu sebaik ia duduk di dalamnya," kata Munzig.

    Sotong dilahirkan di United Kingdom dan dipindahkan ke akuarium itu turut menjadi selebriti dalam sekelip mata selepas meramalkan dengan tepat kekuasaan Jerman mengalahkan Australia dalam perlawanan pembukaan, kemudian kalah kepada Serbia sebelum menang dengan Ghana.
    Hakikatnya, Paul bukanlah haiwan pertama yang menjadi rujukan untuk sebarang ramalan kerana rujukan terawal mengenai tindak tanduk pelik haiwan sebelum terjadinya gempa bumi ialah di Greece seawal tahun 373 Sebelum Masihi.

    Cerpelai, ular dan lipan dilaporkan meninggalkan habitat masing-masing dan menuju ke kawasan selamat beberapa hari sebelum gempa bumi dahsyat. Bukti juga menunjukkan haiwan seperti ikan, burung, reptilia dan serangga mempamerkan tindak tanduk ganjil beberapa minggu sehingga beberapa saat sebelum bencana itu berlaku.

    Bagaimanapun, konsisten dan kebergantungan kepada tindak tanduk sebelum kejadian dan mekanisme menjelaskan bagaimana ia berfungsi masih membingungkan manusia. Saintis di China dan Jepun masih berusaha merungkaikan misteri itu.

    Dalam kertas kerja terbaru yang disiarkan dalam jurnal saintifik di Amerika Syarikat oleh saintis pada tahun 2000 menyatakan semua gerak hati haiwan memberi reaksi untuk melarikan diri daripada pemangsa dan meneruskan hidup.

    Sekumpulan besar haiwan bertulang belakang sudah pun menunjukkan tindak tanduk 'amaran awal' yang difahami manusia untuk beberapa jenis keadaan. Jadi, ada kemungkinan reaksi melarikan diri daripada gempa bumi terbentuk daripada genetik sedia ada ini.

    Bagi umat Islam, kesimpulannya amat mudah kerana ia adalah tanda kebesaran Allah SWT yang tidak akan menjadi sesuatu di dunia ini tanpa ada tugas dan fungsinya. Tanpa akal sekalipun, haiwan mempunyai tugas masing-masing dan mungkin antaranya ialah memberi amaran kepada manusia dengan cara tersendiri.

    Seni pasir

    Posted: 04 Jul 2010 08:52 PM PDT

    Mail  menyiapkan tempahan pelanggan di gerainya.
    Mail menyiapkan tempahan pelanggan di gerainya.
    Usaha Ismail Ali hasilkan cendera hati Arab mampu beri pendapatan lumayan

    SETIAP mata memandang pasti akan berhenti untuk melihat secara dekat serta meneliti cara pembuatan yang unik sehingga menghasilkan satu seni karya yang jarang ditemui di Malaysia.Seni pasir Jordan adalah antara cendera hati terbaru dalam negara yang menampilkan pasir berwarna-warni disusun dengan rekaan menarik dalam botol pelbagai saiz dan motif seni. Ismail Ali Ahmad, 27, atau lebih mesra disapa sebagai Mail, sememangnya berkemahiran menyusun seni pasir Jordan dan sehingga kini sudah lapan tahun berkecimpung dalam proses pembuatan cendera mata itu.

    Berkat kesungguhan itu, hasil tangannya itu ada yang mencecah sehingga RM5,000.

    "Seni ini berasal dari Jordan dan ia dibawa masuk ke Malaysia oleh warga negara itu sendiri. Saya sendiri jatuh cinta dengan seni ini apabila menyaksikan peniaga dari Jordan yang bertapak di Malaysia menjalankan perniagaan cendera mata unik itu.

    "Apabila melihat keindahan serta keunikan susunan pasir terbabit, hati saya terdetik, ini adalah satu peluang baik untuk mempelajari seni ini secara mendalam dan memanfaatkannya untuk mencari rezeki.
    "Saya mendekati penjual seni pasir ini, meneliti teknik yang dilakukan untuk menghasilkan satu karya berkenaan. Hanya dengan sekali pengalaman melihat cara pembuatannya, saya balik dan terus memulakan percubaan demi percubaan sehingga saya berjaya menghasilkan rekaan yang terbaik," katanya ketika ditemui di Uptown Klang, baru-baru ini.

    Berasal dari Sekinchan, Selangor, Mail berkata, ada pelbagai teknik yang perlu dikuasai seorang penyusun seni pasir Jordan ini.

    Malah, katanya, selain mempunyai daya kreativiti yang tinggi, beliau juga perlu menguasai teknik menulis secara terbalik dan melukis dengan baik.

    "Perkara paling utama ialah minat dan kemahiran yang tinggi untuk menghasilkan satu seni yang memukau serta bernilai tinggi. Karya saya bernilai serendah RM25 sehingga mencecah RM5,000," katanya.

    Menurut Ismail, cendera hati ini banyak dijual di Dubai dan Mesir.

    "Di Asia Barat, kita boleh mendapatkan banyak karya cendera hati menarik kerana pembuatnya mengikuti kursus khas dalam menghasilkan seni kraf bermutu tinggi.

    "Rakyat Malaysia yang pernah melancong ke Asia Barat pasti tidak terkejut dengan seni ini, tetapi di sini ia adalah fenomena terbaru," katanya ketika menyiapkan beberapa tempahan pelanggan di gerainya.

    Bukan setakat bertapak di Selangor, Ismail turut merantau hampir ke seluruh negara bagi mempromosikan seni pasir ini.

    Sebelum ini, enam tahun perniagaannya difokuskan kepada pasaran di sekitar Kuala Lumpur dan sekarang, beliau mula mencari pasaran baru di Perak dan Kuantan.

    "Tahun ini, saya bercadang untuk memberi tumpuan kepada pasaran di Selangor dan mempergiatkan perniagaan bersama rakan kongsi saya yang juga seorang kartunis karikatur.

    "Setakat ini produk saya menerima tempahan daripada pelbagai organisasi swasta serta kerajaan yang ingin menempah reka bentuk khas bagi cendera hati majlis tertentu yang dianjurkan mereka," katanya.

    Beliau berkata, tempahan terhadap produk seni pasir selalunya meningkat terutama menjelang sambutan hari istimewa seperti Hari Guru kerana ia ideal serta menarik untuk dihadiahkan sebagai tanda kenangan.

    "Tidak dinafikan seni ini boleh dipelajari sesiapa saja yang berminat, malah saya ada mengembangkan kemahiran ini kepada dua rakan yang mempunyai minat tinggi," katanya.

    Netanyahu tipu rakyat sendiri

    Posted: 04 Jul 2010 08:51 PM PDT

       KELUARGA warga Palestin yang ditahan di penjara Israel membuat bantahan  di Gaza, semalam.
    KELUARGA warga Palestin yang ditahan di penjara Israel membuat bantahan di Gaza, semalam.
    PM Israel nafi desakan politik punca gagal bebas tawanan askar Yahudi

    BANDARAYA GAZA: Hamas semalam menuduh kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membohong kepada rakyatnya sendiri berhubung faktor penyebab kegagalan rundingan untuk pembebasan askar Yahudi Gilad Shalit yang ditawan kumpulan Palestin itu.

    Rundingan antara Hamas dan Tel Aviv untuk pembebasan Shalit yang ditawan Jun 2006 gagal Disember lalu berikutan kerajaan Netanyahu tunduk kepada politik dalaman Israel.Pemimpin anda membohong anda. Jangan mempercayai mereka, kata pemimpin kanan Hamas, Mahmud Zahar kepada wartawan di Bandaraya Gaza ketika satu majlis bantahan oleh keluarga warga Palestin yang ditahan di penjara Israel semalam. Mereka (kerajaan Netanyahu) sudah bersetuju dengan syarat pembebasan Shalit tetapi mengubah fikiran sebagai helah untuk mengekalkan perpaduan kerajaan mereka, katanya.Disember lalu kedua-dua Hamas yang menguasai semenanjung Gaza dan Tel Aviv hampir mencapai persetujuan tetapi terdapat bantahan di kalangan anggota kumpulan kecil kerajaan Netanyahu berhubung syarat pembebasan Shalit yang termasuk pembebasan beberapa warga Palestin dalam tahanan Israel yang didapati terbabit dalam serangan maut.

    Sejak itu kedua-dua pihak masing-masing saling menyalahi yang lain berikutan kegagalan rundingan berkenaan.

    Khamis lalu, Netanyahu menyalahi Hamas dengan mengatakan kumpulan Palestin itu tidak pernah memberi maklum balas terhadap tawaran Israel untuk membebaskan 1,000 orang tawanan.
    Zahar bagaimanapun menyangkal dakwaan Netanyahu itu dengan menuduh perdana menteri berkenaan cuba buat helah.

    Kami mahu menghantar pesanan kepada kerajaan Israel, helah ini tidak akan mengubah fikiran kami.

    Jika anda mahu persetujuan yang boleh diterima kedua-dua pihak kami bersedia berunding...tetapi kami tidak mahu berunding berdasarkan pembohongan ini, kata Zahar.