Adsense

Selasa, 6 Julai 2010

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


Guna taktik petak segi empat

Posted: 05 Jul 2010 08:14 PM PDT


GAMBAR menunjukkan Miroslav Klose dari Jerman menerima hantaran bola daripada seorang pemain sebelum dia menjaringkan gol semasa menentang skuad Argentina di Stadium Green Point, Afrika Selatan pada Sabtu lalu.


BERLIN - Jurulatih Jerman, Joachim Loew buat pertama kalinya mendedahkan taktik yang menyebabkan pasukan bola sepaknya mengamalkan pendekatan permainan moden sehingga menumbangkan pasukan lawan dengan jaringan gol yang banyak pada Kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Skuad Jerman itu yang tidak mempunyai ramai bintang bola sepak membuat kejutan apabila melangkat ke separuh akhir dengan mudah berbanding pasukan seperti Brazil, Argentina dan England yang tewas di peringkat awal. Apakah rahsia pasukan Jerman itu yang pernah menjadi juara Piala Dunia pada 1954, 1974 dan 1990.

Jurulatih Jerman itu buat pertama kalinya mendedahkan kejayaan pasukan itu kepada sebuah akhbar di Jerman yang menyiarkan kenyataannya semalam.

Loew mendedahkan bahawa dia menggunakan taktik petak segi empat sama bagi memenangi perlawanan dan seterusnya Piala Dunia.

Jerman sememangnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang berjaya tetapi kali ini, mereka turut menonjolkan corak permainan bola sepak yang menakjubkan.

Pasukan itu mara ke separuh akhir Piala Dunia setelah menewaskan Australia 4-0, Ghana 1-0, tewas kepada Slovakia 1-0 dan seterusnya menundukkan England 4-1 serta Argentina 4-0. Bagaimana Loew mencapai kejayaan tersebut?

"Perancangan tentang corak permainan kami di Piala Dunia 2010 telah lama difikirkan iaitu sejak daripada undian perlawanan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 4 Disember, tahun lalu," katanya Loew.

Menurutnya, pasukan Jerman cuma boleh merangkul Piala Dunia dengan corak serangan agresif sekali gus menyukarkan pihak lawan semasa di padang.

"Kaedah yang digunakan Itali bagi memenangi Piala Dunia pada 2006 dengan mengamalkan corak bertahan dan menang cuma menerusi satu gol sudah lapuk. Anda tidak akan ke mana-mana dengan bermain seperti itu sekarang. Kami merancang untuk Piala Dunia sehingga mencapai ke perlawanan akhir," jelasnya.

Taktik jurulatih berusia 50 tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila Jerman berjaya menjaring 13 gol setakat ini. Pasukan bola sepak berkenaan juga merupakan yang paling agresif pada Piala Dunia kali ini.

Bagaimana taktik Loew berkesan?

Dia membahagikan padang bola kepada 18 petak segi empat sama yang sama luas.

"Bagaimana kami menyusun dan mengawal permainan di petak-petak berkenaan merupakan faktor paling utama untuk permainan bola sepak yang hebat," kata Loew.

"Setiap pemain perlu tahu posisi mereka pada petak-petak itu supaya tiada pemain bergerak ke serata padang dengan sewenang-wenangnya. Sesetengah petak itu perlu sentiasa dikawal," jelasnya.

Taktik itu bermakna bola sentiasa bergerak dari satu petak ke petak lain sehingga mereka mendekati gol lawan.

Penyerang Jerman, Lukas Podolski dan Thomas Müller sentiasa mengawal bahagian kiri dan kanan padang.

Pemain tengah, Mesut Ozil mengawal segi empat sama di antara garisan tengah padang dan kawasan penalti pasukan lawan manakala Bastian Schweinsteiger melindungi kawasan di antara kawasan penalti pasukannya dan garisan tengah. Taktik tersebut menjadikan Schweinsteiger pemain paling penting dalam skuad Jerman.

Dia merupakan penggerak pasukan Jerman dengan menggerakkan Ozil dan pemain-pemain sayap selain mengatur barisan pertahanan.

"Schweinsteiger mengepalai dan mengatur pasukan itu dengan sempurna," ujar Loew.

Jurulatih berkenaan menamakan taktik keduanya sebagai 'sepak dan lari'.

"Permainan bukan berakhir apabila kami memiliki bola. Saya mahu melihat pemain-pemain bergerak dalam petak mereka dan meminta bola. Dengan cara ini, corak permainan kami adalah lebih dinamik dan lancar.

"Saya tahu beberapa pemain kami amat pandai bermain seperti itu," katanya.

Semua sesi latihan tersebut dirakamkan dan corak larian setiap pemain dianalisis.

"Anda tidak dapat merancang gerakan sempurna semasa sesi latihan. Namun, terdapat mekanisme dan prosedur yang sentiasa sama. Kami akan memperbaiki dua aspek berkenaan," jelas Loew.

Contoh terbaik mekanisme sama itu adalah corak serangan balas pantas oleh Jerman yang membawa kepada kemenangan 4-1 ke atas England.

Serangan balas bermula dengan hantaran jauh daripada Miroslav Klose yang diikuti oleh hantaran lintang daripada Ozil seterusnya jaringan gol oleh Muller.

"Itulah gerakan yang sempurna," ujar Loew.

Pada masa yang sama, dia turut menggunakan taktik psikologi untuk mendapatkan yang terbaik daripada setiap anak buahnya.

Sebelum perlawanan menentang Argentina bermula, Loew menunjukkan beberapa gambar demam Piala Dunia yang melanda rakyat Jerman. "Gambar-gambar itu menaikkan semangat juang kami semua," katanya.

Remaja perempuan diserang ikan

Posted: 05 Jul 2010 08:12 PM PDT


ROB PARKER (kanan) memegang ikan yang menyerang anaknya, Koral Wira.


MIAMI - Seorang remaja Amerika Syarikat (AS), Koral Wira berumur 14 tahun menerima 51 jahitan apabila dia diserang seekor ikan pelagik semasa dia memancing dari atas sebuah kapal layar bersama keluarganya baru-baru ini, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kejadian berlaku semasa mangsa yang sedang duduk di dalam bot di perairan Venice, Florida dekat sini tiba-tiba diserang ikan tersebut yang melompat dari dalam laut.

Ikan itu pada mulanya makan umpan daripada joran bapanya, Rob Parker yang sedang memancing.

"Ikan itu menyambar umpan pancing saya dan kemudian melompat keluar dari laut dan menyerang lengan kanan anak perempuan saya namun saya berjaya membunuhnya dengan menggunakan sebilah pisau daging," kata Parker.

Ikan sepanjang 1.2 meter dan memiliki gigi tajam umpama ikan jerung itu dilaporkan melompat lebih satu meter untuk menyerang gadis tersebut.

Serangan itu menyebabkan bahagian lengan kiri remaja tersebut umpama dihiris dengan pisau.

Ibu Koral, Dina berkata, keadaan ketika itu amat menakutkan seperti serangan ikan jerung dan keluarga tersebut berhasrat untuk tidak lagi datang ke perairan berkenaan ekoran peristiwa berkenaan.

Wartawan jadi hakim ratu bogel

Posted: 05 Jul 2010 08:02 PM PDT


SARAH MENNIE (tengah) bersama pemenang pertama Ratu Bogel Australia Selatan, Sarah (kiri) dan pemenang kedua, Jo Jo Jackson.


ADELAIDE - Seorang wartawan wanita, Sarah Mennie menceritakan pengalaman dirinya yang dipilih sebagai hakim pertandingan Ratu Bogel Australia Selatan yang disertai oleh lima peserta pada Rabu lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Wartawan akhbar Sunday Mail South Australia itu ialah satu-satunya wanita yang menjadi hakim daripada empat hakim lelaki lain yang diadakan di sebuah kelab bogel terkenal, Crazy Horse di sini.

Sarah ditemani tunangnya semasa mengadili pertandingan itu.

Dia mendapati acara tersebut sebenarnya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dengan hadiah peringkat kebangsaan pada bulan depan berjumlah A$20,000 (RM53,840).

"Saya sendiri tidak tahu maksud pakaian malam untuk pertandingan itu kerana peserta sendiri kelihatan tidak memakai pakaian yang mencukupi untuk dikatakan sebagai pakaian dan ia lebih menyerupai pakaian di kolam renang," kata Sarah.

Ketika para peserta berbaris di atas pentas, hakim-hakim sibuk membuat penilaian yang amat ketat untuk beberapa kategori termasuk Kaki Terbaik, Punggung Terbaik, Payu Dara Terbaik, Susuk Tubuh Terbaik dan Keseluruhan Terbaik.

Pemenang pertandingan itu ialah Sarah manakala wanita dikenali sebagai Jo Jo Jackson menduduki tempat kedua.

Obama buat barbeku rai merdeka

Posted: 05 Jul 2010 08:00 PM PDT


SEBAHAGIAN tetamu yang menghadiri barbeku Obama di pekarangan White House, Washington kelmarin.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyambut hari ulang tahun ke-234 kemerdekaan negara itu dengan menganjurkan majlis makan barbeku secara meriah di pekarangan White House di sini kelmarin.

Bersama dengan isterinya, Michelle sebagai Wanita Pertama, Obama turut berucap dari beranda kediaman rasminya itu di depan lebih 1,200 tetamu yang meliputi anggota tentera AS, ahli keluarga, bekas askar dan waris askar yang terkorban.

Beliau yang memakai baju lengan pendek dan isteri kemudian meluangkan masa 15 minit berjabat serta beramah mesra bersama hadirin termasuk kanak-kanak yang turut menghiasi wajah muka mereka dengan warna-warna bendera AS.

Majlis barbeku yang julung kali diadakan itu turut dihiburkan dengan persembahan muzik oleh pancaragam pasukan tentera marin AS selain penyanyi Brandi Carlile, kumpulan rock The Killers dan pelawak terkenal, Cedric the Entertainer.

Penyanyi rebah semasa sesi fotografi

Posted: 05 Jul 2010 07:59 PM PDT


CHERYL COLE


LONDON - Juri program realiti televisyen bagi mencari bakat seni hiburan, X Factor, Cheryl Cole, 27, rebah pada satu sesi fotografi minggu lepas akibat penyakit gastroenteritis, lapor sebuah akhbar semalam.

Walaupun rebah, dia tetap mahu meneruskan fotografi tersebut.

Pada mulanya, doktor yang merawat penyanyi kumpulan GIrls Aloud itu memberitahu, dia rebah kerana kepenatan.

Namun, pemeriksaan lanjutan mendapati dia rebah kerana penyakit gastroenteritis atau gastrik.

Kelmarin, pengurus Cheryl telah memaklumkan kepada produksi program X Factor bahawa Cheryl tidak akan menyertai rancangan tersebut sebagai juri buat sementara waktu.

Penyanyi itu melibatkan dirinya dengan jadual kerja yang ketat selepas bercerai dengan pemain bola sepak England, Ashley Cole dan dia juga telah kehilangan berat badan akibat tekanan.

Walaupun dia telah mengambil masa selama beberapa hari untuk bercuti bersama temannya, Derek Hough yang merupakan seorang penari ke Tanzania, bintang tersebut nyata memerlukan lebih daripada itu untuk pulih sepenuhnya.

Ronaldo bayar 'ibu tumpang' untuk anak

Posted: 05 Jul 2010 07:55 PM PDT


Ronaldo


LONDON - Ketua pasukan bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo didakwa membayar 'seorang ibu tumpang' untuk mendapatkan anak lelakinya yang dilahirkan semasa skuadnya bertanding di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Semalam, akhbar-akhbar menyiarkan pengakuan Ronaldo bahawa dia kini menjadi seorang bapa tetapi identiti ibu yang melahirkan anaknya dirahsiakan kerana pemain tersebut dikenali ramai masih bujang.

Akhbar Diario de Noticias melaporkan bayi itu dikandung ibu tumpang tersebut sejak musim panas lalu di San Diego, Amerika Syarikat (AS) semasa Ronaldo sedang bercuti.

Bayi seberat 4.30 kilogram itu dilahirkan pada 17 Jun lalu ketika bintang pasukan Portugal itu berada di Afrika Selatan untuk perlawanan Piala Dunia 2010.

Menurut sebuah akhbar, anak itu hasil hubungan Ronaldo dengan seorang wanita AS yang dibayar supaya menyembunyikan identitinya.

Bayi itu kini dipercayai dijaga oleh keluarga pemain tersebut di Algarve, selatan Portugal.

Kakak Ronaldo, Katia Aveiro menyatakan berita Ronaldo menjadi bapa itu adalah benar.

Aveiro memberitahu, bayi tersebut mempunyai mata dan rambut berwarna coklat seperti Ronaldo.

Stesen televisyen RTP di Portugal mendakwa bayi yang dilahirkan setinggi 53 sentimeter itu akan dipanggil Ronaldo.

Ronaldo menjadi bapa dua hari selepas skuadnya menentang pasukan Ivory Coast dan empat hari sebelum membantu Portugal membelasah Korea Utara dengan keputusan 7-0.

Akhbar itu turut melaporkan Ronaldo terbang ke Algarve untuk bertemu dengan anaknya, sebaik sahaja Portugal tersingkir daripada Piala Dunia selepas dikalahkan oleh Sepanyol pada 29 Jun lalu.

Jiwa kereta api Rajah

Posted: 05 Jul 2010 07:51 PM PDT




KETIKA asyik memasukkan arang batu pada enjin sebuah lokomotif wap, S. Varatharajah seorang pencuci lokomotif tiba-tiba tersentak apabila namanya dipanggil oleh Vax Bi, pegawai Malayan Railway Gemas berketurunan British.

Dengan peluh yang membasahi tubuh dan calitan arang penuh di muka, lelaki yang bertubuh kurus itu pantas berlari. Dia terus mendekati lelaki British itu dan memberi tabik hormat.

Dia melihat lelaki itu mencapai sekeping kertas yang berselerak di meja lantas mencapai pen biru dakwat basah dan mencatat sesuatu di belakang sehelai resit terpakai.

"S.V. Rajah, 101103, Tahniah! Ini surat rasmi kenaikan pangkat kamu. Mulai hari ini, kamu dinaikkan pangkat daripada pencuci lokomotif kepada pemandu lokomotif dengan gaji RM1.96. Kerja bersungguh-sungguh dan janganlah merungut," pesan Vax Bi kepada S.Varatharajah yang ketika itu berusia 18 tahun.

Varatharajah melonjak keriangan lantas berkongsi berita itu dengan rakan-rakannya. Momen itu kata Varatharajah, meskipun telah berlalu hampir lima dekad lalu, namun ia masih kekal dalam memorinya. Hari ini, lelaki yang mesra dengan panggilan Rajah itu berumur 75 tahun.

Kertas yang menjadi saksi kepada peningkatan kerjayanya itu, masih tersimpan rapi dalam sebuah fail lama yang dibawanya ketika pertemuan baru-baru ini.

Dia mengakui hari itu merupakan hari yang paling hebat dalam hidupnya. Rajah berhak untuk merasai perasaan itu kerana dia merupakan pemandu lokomotif wap terakhir di Malaysia yang masih bernafas di muka bumi ini.




"Saya dan kereta api sudah bersatu. Tiada tembok yang boleh memisahkannya. Bunyi enjin kereta api bagaikan terjemahan kepada degupan jantung saya.

"Saya sudah lama berhenti kerja dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM). Tetapi hati saya dengan kereta api belum bersara lagi," katanya ketika ditemui di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur baru-baru ini.

Luahan penuh melankolik dalam bahasa Inggeris itu pada saat kereta api baru saja berlepas adalah pembuka bicara selepas kami berjabat tangan sambil memperkenalkan diri masing-masing. Rajah amat menghargai pertemuan kami. Dia sanggup menyelongkar almari usangnya, mengambil topi dan lencana nama yang pernah digunakan pada zaman awal dia dilantik menjadi pemandu lokomotif.

Begitu juga dengan rakan sejawatnya, T. Sivasubramaniam. Katanya, apabila memakai barang-barang lama, ia mampu membangkitkan nostalgia di samping boleh menaikkan moodnya bercerita. Rajah telah mengabdikan dirinya selama lima dekad dengan KTM. Sebelum ini di antara tahun 1885 hingga 1985 KTM dikenali dengan nama Malayan Railway.

Kecintaan untuk berkhidmat dengan kereta api mula berputik ketika buku yang bertajuk, A Career With The Malayan Railway diagih-agihkan oleh British ke semua sekolah rendah di Malaya sekitar tahun 1940-an.

"Berkhidmat dengan kereta api pada zaman dulu dianggap kerjaya paling hebat, lagi pun bapa saya pada ketika itu pun bekerja dengan kereta api.

"Gabungan kepada dua elemen itu membuatkan saya teruja dan memasang cita-cita untuk menjadi pemandu lokomotif sejak kecil," kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Pada awalnya, cita-cita Rajah tidak direstui oleh bapanya. Bapanya beranggapan pekerjaan itu menyebabkan dia akan berada berjam-jam di dalam bilik air untuk membersihkan diri dan sakit kepala disebabkan debu arang batu dan kepanasan yang melampau ketika menghidupkan enjin lokomotif.


LOKOMOTIF wap kelas 56 yang terakhir dibawa masuk ke Malaysia ini pernah dipandu oleh Rajah.


Walaupun dalam dilema, Rajah nekad. Keinginan bekerja dengan KTM kian membara. "Entahlah, saya memang tak boleh tidak daripada mendengar bunyi enjin atau hon lokomotif, kalau tak dengar satu hari, rasa macam nak demam," akui Rajah yang kadangkala pelik dengan perasaannya itu.

Berkat kesungguhan

Usai tamat sekolah rendah (darjah lima), Rajah dengan hati yang terbuka menerima jawatan gred paling rendah iaitu sebagai pencuci enjin lokomotif pada tahun 1952.

Berkat kesungguhannya, dia kemudian mengisi kekosongan jawatan pemandu lokomotif seperti yang diidam-idamkannya.

Cerita Rajah, untuk menghidupkan sebuah lokomotif wap ia memerlukan kekuatan tenaga maksimum. Empat jam sebelum lokomotif bergerak, dia bersama rakan-rakannya yang lain akan memasukkan arang batu ke dalam tempat pembakaran.

"Berpeluh-peluh kami dibuatnya kerana suhu sekitar terlampau panas," selorohnya yang pernah berpeluang memandu lokomotif wap yang paling awal dibawa oleh British ke Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Pada ketika itu, fungsi lokomotif selain membawa barangan dan komoditi bijih timah, ia merupakan kenderaan mewah rakyat British di Malaya.

Bagi setiap perjalanan, lokomotif terbabit akan membawa seramai 40 hingga 50 penumpang orang kulit putih yang rata-rata golongan wanitanya menggayakan gaun meleret sementara golongan lelakinya segak berkot.

Sepanjang lima dekad berkhidmat bersama KTM, terlalu banyak pengalaman pahit manis yang dikutip oleh Rajah. Menurutnya, ketika memandu lokomotif dia lebih bimbang jika terlanggar haiwan ternakan berbanding manusia.

Mengapa? "Saya takut tuan kepada ternakan itu akan baling batu pada cermin lokomotif dan bila pecah, susah kita nak menjawab nanti," imbasnya.

Pengalaman memberi bantuan kecemasan semasa beberapa lokomotif tergelincir pada tahun yang berbeza merupakan antara kenangan paling indah dalam memorinya.

Rajah menjadi individu penting yang telah menyelamatkan Tren 2NK yang tergelincir di landasan di antara Tanjung Malim ke Behrang pada tahun 1979. Peristiwa 17 jam yang berlaku pukul 2.57 pagi pada Julai 1979 juga telah mengangkat Rajah sebagai wira.


RAJAH menganggap lencana namanya adalah khazanah yang berharga dalam hidupnya.


Insiden itu mengakibatkan kereta api 24 unit yang mengandungi 20 buah gerabak daripada tren No.602Nk tergelincir dan landasannya mengalami kerosakan teruk di antara Chemor dan Sungai Siput.

"Selama 17 jam kami bersama-sama ketepikan gerabak-gerabak yang rosak dan boleh kita katakan tempoh itu adalah masa yang cukup singkat untuk kerja-kerja menyelamat," katanya yang bersyukur kerana tiada nyawa yang hilang.

Ingatan bekas pemandu itu juga masih kuat terhadap satu lagi pengalamannya menyelamatkan BBC 10567 (Berisi) dengan tren No.401 yang tergelincir di landasan di antara Batu Gajah dan Malim Nawar pada 11 April 1986.

Tragedi itu mengakibatkan semua roda tren terkeluar daripada landasan tepat pukul 12.45 malam. Dia yang ketika itu tidak bertugas dan atas inisiatifnya sendiri, Rajah bersama rakannya, V. Utirapupathy bergegas ke lokasi dan berjaya melandaskan semula gerabak yang tergelincir.

"Pengalaman-pengalaman itu menjadikan hidup saya tenang kerana sekurang-kurangnya pada usia muda kita telah berjasa kepada masyarakat," ujar bapa kepada dua anak itu.

Daripada seorang pencuci enjin yang bergaji RM1.96, Rajah mengakhiri kerjaya sebagai Pemandu Lokomotif Khas (Merinyu Lokomotif) dengan gaji asas sebanyak RM400.

Dia tidak pernah menyesal melalui kehidupan yang sentiasa terikat dengan kereta api.

Namun, tiada seorang pun di kalangan ahli keluarganya yang jatuh cinta dengan kereta api. Hari ini Rajah bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan. Bagaimanapun, kereta api kekal sebati dengan jiwanya kerana dia memilih untuk menaiki kereta api ke mana sahaja.

Kembara kereta api wap

Posted: 05 Jul 2010 07:49 PM PDT


SENTUHAN terakhir. Marhat meninjau keadaan roda lokomotif sebelum ia dibawa ke Kuala Lumpur.


SEJAK dua dekad lalu, lokomotif kuasa wap Kelas 56 buatan England yang dikenali sebagai 'Temerloh' berada di landasan Stesen Gemas. Apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memutuskan untuk membawa lokomotif yang berusia 64 tahun itu ke Kuala Lumpur untuk tujuan baik pulih dan pengkomersialan, Marhat Ali, 52, terasa begitu sayu.

Selama ini beliaulah mekanik yang menjaga pengangkutan itu sejak ia direhatkan. Ketika rombongan media bersama pegawai-pegawai KTMB yang diketuai oleh Pengurus Kanannya, Mohd. Fazil Ismail dan sebahagian daripada ahli Kelab Peminat Kereta Api tiba di Gemas, Marhat antara individu terawal yang tiba di lokomotif itu.

Marhat merenjis-renjis minyak pelincir pada roda lokomotif satu persatu dan kemudian dia membersihkan kepala lokomotif itu perlahan-lahan.


REKA bentuk unik kepala lokomotif kuasa wap 'Temerloh'.


"Maklumlah, dah bertahun lokomotif tak berjalan, akhirnya dia pergi juga," katanya pada majlis membawa pulang lokomotif kuasa wap dari Gemas ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meskipun statik di atas landasan, lokomotif itu banyak jasanya, ujar Marhat. Filem Police Story 3 lakonan Jackie Chan yang terkenal sekitar tahun 1990-an telah menggunakan pengangkutan itu sebagai props dalam beberapa aksi filem yang berlangsung selama dua jam itu.

Begitu juga dengan babak dalam filem Paloh yang memilih lokomotif itu untuk menghidupkan suasana zaman 1940-an. Kali terakhir lokomotif 'Temerloh' bergerak ialah pada tahun 1997 iaitu ketika ia digunakan untuk perkhidmatan Peninsula Ekspres.

Mengikut perkiraan awal, lokomotif itu akan mengambil masa kira-kira 12 jam untuk sampai ke ibu kota. Namun disebabkan roda kereta api itu tiba-tiba berasap, hujan, berselisih dengan tren lain dan masalah generator, ia tersasar daripada jadual asal.

Ketika 'Temerloh' ditarik menggunakan lokomotif berkuasa tinggi, Dalian Kelas 29, lokomotif berkenaan digerakkan pada kadar kelajuan 20 kilometer (km) sejam atas sebab-sebab keselamatan.

"Nampaknya lokomotif ini merajuk, dia mahu kembali ke tempat asalnya," seloroh salah seorang ahli rombongan.

KTMB mempunyai perancangan untuk lokomotif tertua di negara itu. Ia mampu beroperasi pada kelajuan maksimum 90 km sejam pada era kegemilangannya.


LOKOMOTIF kelas 56 kuasa wap buatan England ini asalnya digerakkan dengan kuasa arang batu sebelum diesel.


Nostalgia pengangkutan kereta api menggunakan lokomotif kuasa wap atau stim yang pernah menjadi penggerak pengangkutan komoditi bijih timah negara yang bermula sejak 1 Jun 1885 akan dihidupkan semula.

Seperti di Thailand dan Indonesia, KTMB akan mewujudkan perkhidmatan tren persiaran untuk pelancong dalam tempoh sedekad lagi.

"Inisiatif negara-negara berkenaan berjaya melonjakkan industri pelancongan mereka," kata Mohd. Fazil sambil memberitahu setakat ini hanya satu lokomotif iaitu 'Temerloh' yang berpotensi untuk dibaik pulih manakala lima buah lokomotif lagi telah dijadikan bahan pameran di Muzium Negara, Kuala Lumpur (dua buah) dan masing-masing sebuah di Muzium Tentera, Stesen Butterworth dan Pekan, Pahang.

Mengikut perancangan KTMB, lokomotif yang akan direvolusi dengan sentuhan anak tempatan itu nanti beroperasi pada bulan tertentu ke lokasi stesen tarikan pelancong dan tapak bersejarah di Semenanjung.


STRUKTUR pada enjin lama yang memerlukan perbelanjaan besar untuk dibaik pulih.


Sebagai contoh, perjalanan dari Kuala Lumpur-Taiping dan Kuala Lumpur-Kluang.

Ujar Mohd. Fazil, jika direalisasikan kelak ia mampu menjana pendapatan tambahan kepada negara.

Berapakah kos untuk menghidupkan semula lokomotif itu?

"Harganya mencecah jutaan ringgit. Ia memerlukan pakar yang mahir dalam teknologi kereta api lama untuk membaik pulih enjin 'Temerloh'," katanya.

Buat masa ini, lokomotif itu akan ditempatkan di Akademi Latihan KTMB (MyRA) di Batu Gajah, Perak sebagai bahan pameran.

Siapa tahu, negara akan terkenal dengan percutian melalui kereta apinya suatu hari nanti.

Rentak tari bina keyakinan

Posted: 05 Jul 2010 07:45 PM PDT




IRAMA rancak yang dimainkan begitu menarik perhatian. Di lantai tari, sekumpulan remaja berpakaian sedondon hitam asyik menghayunkan badan mengikut alunan lagu yang berkumandang.

Namun, ia bukan sekadar tarian bebas ciptaan sendiri, sebaliknya tari yang diatur adalah mengikut langkah dan teknik yang ditunjukkan oleh jurutari berpengalaman, Joel Tan dari Akademi Tarian Urban Groove.

Masing-masing kelihatan semangat dan teruja untuk meniru setiap aksi yang dipamerkan Joel dengan gaya spontan dan selamba.

Walaupun ada yang agak terkial-kial mengikut gerak tari yang diajar, tetapi mereka langsung tidak malu untuk cuba mempelajari dan menguasai langkah tarian tersebut.

"Secara jujurnya, saya memang tidak tahu menari. Jadi, saya mengikuti bengkel ini untuk mengetahui kemampuan diri sama ada boleh menari atau sebaliknya.

"Sejurus menyertai program ini, saya rasa bakat menari itu boleh dipupuk jika kita mempunyai minat. Lagipun tarian yang diajar mudah diikuti. Memang ia sesuatu yang menyeronokkan," luah seorang remaja, Nurul Huda Abdullah kepada Kosmo!.

Hakikatnya golongan remaja itu dilihat tidak berputus asa untuk mencuba sesuatu yang baru sekali gus menunjukkan sikap yang positif dalam kehidupan masing-masing.

Bengkel Tarian Soul Groove Dentyne yang berlangsung selama dua jam di KL Dance Association, Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur baru-baru ini. Lebih 50 remaja hadir memeriahkan suasana.


LEBIH berkeyakinan dan menyeronokkan mungkin itu antara luahan remaja yang menyertai bengkel tarian Dentyne.


Bengkel tarian itu dianjurkan bersempena kempen Dentyne ConfiDance Movement yang bertujuan untuk melatih golongan muda yang kurang mahir menari dengan teknik-teknik asas menggerakkan tubuh.

Selain itu, ia juga sebagai tarikan untuk mereka menyertai pertandingan tarian anjuran Dentyne. Aksi Grand Final program tersebut akan dilaksanakan pada 7 Ogos ini di Sunway Pyramid.

Kebanyakan mereka datang bersama rakan-rakan setelah mengetahuinya melalui brosur dan hebahan di rangkaian sosial Facebook.

Subjek utama

Kempen Dentyne ConfiDance Movement bertujuan membina keyakinan sosial yang diperlukan oleh pengguna terutama remaja untuk berinteraksi dengan orang lain.

"Kami memilih tarian sebagai subjek utama dalam kempen ini kerana ia merupakan satu platform terbaik untuk menarik perhatian golongan remaja.

"Dengan matlamat Menyegarkan Keyakinan Anda, Dentyne ingin membantu meningkatkan keyakinan remaja apabila menari dengan memberikan petua asas yang menjadikan pengalaman menari mereka sebagai sesuatu ceria dan menyeronokkan," ujar Pengurus Jenama Kanan Cadbury, Claire Dominic.

Kempen Dentyne ConfiDance Movement bermula dengan pertunjukan bergerak di kolej dan universiti di seluruh kawasan utara, tengah dan selatan Semenanjung Malaysia, manakala program Dance Flash Mob diadakan di pelbagai pusat beli-belah utama di Lembah Klang.

Bagi Joel yang merupakan antara anak Malaysia pertama yang menerima pengiktirafan sebagai jurulatih tarian jalanan dan hip hop dari United Kingdom Alliance (UKA), semua peserta begitu sporting dan memberi komitmen yang tinggi.


LEBIH 50 orang remaja hadir pada bengkel tarian anjuran Dentyne.


"Sepanjang mengendalikan bengkel yang telah diadakan di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur, semangat peserta memang menakjubkan.

"Meskipun tiada langsung asas menari, tetapi mereka tetap memberikan kerjasama yang memberangsangkan. Ternyata, kempen anjuran Dentyne ini harus dipuji kerana memberi peluang kepada golongan remaja mempelajari asas-asas tarian tanpa bayaran yang tinggi.

"Bayangkan dengan yuran penyertaan sebanyak RM10, mereka dapat mengikuti bengkel ini dan secara tidak langsung membina rangkaian sosial dengan rakan-rakan yang baru ditemui," jelas Joel yang mula menubuhkan Akademi Tarian Urban Groove sejak 2004.

Lebih menarik, pada akhir bengkel peserta bukan sahaja dapat menikmati pelbagai pembelajaran tarian, tetapi pulang dengan membawa sehelai kemeja-T eksklusif Dentyne ConfiDance, beg cenderamata Cadbury dan paling utama memperbaharui keyakinan dalam diri.

Megat pilih qasidah

Posted: 05 Jul 2010 06:32 PM PDT


MEGAT (kanan) membuat persembahan di pusat beli-belah IKANO pada bulan Ramadan tahun lalu.


IRAMA muzik padang pasir dengan bait-bait yang memuji ketuhanan amat jarang meniti daripada bibir para remaja. Kecenderungan remaja hari ini yang lebih menikmati hiburan yang berbentuk ekstrem dan khayalan membuatkan kesenian Islam dipinggirkan.

Seni muzik qasidah khasnya adalah satu bentuk hiburan yang memberikan kelebihan kepada mereka yang dahagakan ketenangan jiwa. Alunan lagunya mampu mendekatkan seseorang mengenali sejarah ketamadunan dan perkembangan Islam yang akhirnya memberikan kesedaran berhubung tuhan pencipta alam.

Perasaan itulah yang dirasai oleh anggota Al-Khawakib, Megat Muzhafar Megat Nizar, 25. Bagi anak kelahiran Petaling Jaya itu kepuasan sebenar dalam beraktiviti adalah apabila jiwa seseorang berasa tenang dan tenteram.

"Bukan niat untuk tunjuk pandai atau mengongkong kemahuan seseorang, namun struktur qasidah itu sendiri yang cukup sempurna dan mempunyai keunikan dari segi aspek kerohanian melalui lontaran ayat-ayat suci dan semangat ukhwah secara berkumpulan menjadikannya menarik.

"Ini memaparkan bahawa Islam itu indah dan tidak sempit dalam konteks amalan ibadahnya selain sebagai satu hiburan yang yang unik dan murni," katanya meminati warna biru, putih dan hijau.

Pemegang ijazah Seni Reka Grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menyatakan seni qasidah berkait rapat dengan ilmu tarannum iaitu lagu-lagu yang didendangkan semasa membaca kitab suci al-Quran. Secara langsung, ia juga melibatkan kaedah suara yang dipelbagaikan mengikut proses nada, rentak dan irama tertentu.


MEGAT (kiri) membuat persembahan secara berkumpulan pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur tahun lalu.


Setiap tarannum yang didendangkan mempunyai peranannya tersendiri. Tarannum Hijaz contohnya lebih digunakan dalam melagukan ayat-ayat yang berunsurkan perintah, marah atau tegah. Berbanding jenis Shoba yang lebih sesuai digunakan dalam maksud merayu, memohon dan merintih.

"Dari sudut qasidah, konsep yang digunakan hampir sama. Seandainya lirik lagu yang didendangkan berbentuk amaran, lagu jenis rast lebih sesuai digunakan ia lembut tetapi tegas. Malah boleh membuatkan individu yang mendengarnya terpesona.

"Di samping itu, kawalan suara dan pernafasan juga harus dititikberatkan agar qasidah yang dilagukan benar-benar jitu," terangnya yang gemar mendendangkan lagu bertarannum nahwan dan sobha kerana serasi dengan suaranya.

Sehubungan itu, pembacaan al-Quran amat dititikberatkan selain ia adalah satu amalan yang sangat dituntut. Pembacaan secara berlagu adalah latihan yang paling berkesan kerana ia mampu memberi impak qasidah yang mantap dan sedap didengar.

Menurut Megat, minatnya terhadap qasidah timbul kerana sering menemani bapanya membuat persembahan nasyid dan marhaban sejak kecil. Malahan ayahnya juga merupakan seorang qari yang sering menyertai pertandingan tilawah al-Quran di pelbagai peringkat sekitar negeri Selangor.

Minat berqasidah

"Bila sudah selalu menemaninya, minat mendalami ilmu tarannum ini timbul dan bapa sendiri yang mengajarnya. Setelah tamat pengajian di UiTM, ilmu tarannum yang sedia ada itu digunakan dalam menyertai kumpulan Al-Kawakib.


MEGAT meminati qasidah kerana sering mengikut bapanya membuat persembahan nasyid.


"Nyanyian dalam kumpulan ini juga tidak hanya tertumpu kepada irama padang pasir malah mendendangkan lagu-lagu Melayu yang berunsurkan nasihat serta Melayu asli," katanya yang membuat latihan selama dua hingga tiga jam dua kali seminggu.

Megat menambah, terdapat sembilan orang ahli dalam kumpulan tersebut yang turut dianggotai oleh bapanya. Peralatan yang digunakan termasuk keyboard, biola, gambus, rebana, djembe, rabuka, marakas dan tamborin.

Sepanjang pembabitannya dalam qasidah itu, Megat pernah mengadakan persembahan majlis yang besar seperti Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun lalu.

"Memang berdebar apabila melakukan persembahan dalam satu majlis yang disiarkan secara langsung itu terutama apabila bertindak sebagai penyanyi.

"Bukan apa takut sebutan salah. Namun, Alhamdulillah persembahan berjalan lancar seperti yang diharapkan," terangnya.

Maybank IB tingkat pasaran pembrokeran

Posted: 05 Jul 2010 06:31 PM PDT


Dari kiri:Abdul Wahid Omar, Yusli Mohamed Yusof dan Ym Zafrul Aziz menekan butang pelancaran perkhidmatan H.O.T Broking di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 5 Julai - Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) menyasarkan penguasaan pasaran lebih tinggi dalam perniagaan pembrokeran saham berbanding 6.5 peratus pada ketika ini melalui pengenalan H.O.T Broking.

H.O.T Broking merupakan perkhidmatan jendela pembrokeran Islam. H.O.T diambil daripada perkataan Honest, Open dan Transparent (Jujur, Terbuka dan Telus).

Ketua Pengawai Eksekutifnya, Tengku Datuk Zafrul Aziz berkata, dengan pengenalan H.O.T Broking, sasaran itu dapat dicapai kerana perkhidmatan yang diberikan adalah berlandaskan Syariah dan boleh dipercayai.

''Pada masa ini, pelabur takut memasuki pasaran ekuiti kerana beranggapan ia berisiko tinggi dan pasaran pula berada dalam keadaan tidak menentu. Melalui produk baru ini, ia dapat mendidik pelabur kerana mereka dibantu oleh bantuan penyelidikan yang baik dan juga tentang pengurusan risiko,''

''Beberapa tahun kebelakangan ini, penguasaan pasaran Maybank IB adalah sekitar 4.5 peratus. Kami berharap ia dapat dipertingkatkan,'' katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran perkhidmatan H.O.T Broking di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd., Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Pengarah Urusan Ekuiti Maybank IB, Ami Moris dan Pengarah Bersekutu Maybank IB, Mohamed Ariff Tun Dr. Ismail.

Zafrul menambah, perkhidmatan ini bertujuan untuk membantu menangani masalah kekurangan pelabur baru berusia di bawah 40 tahun.

''Pelabur ekuiti kini mempunyai akses kepada analisis penyelidikan dan menyediakan khidmat nasihat kepada pelabur untuk menguruskan risiko pendedahan.

''Kami juga akan memastikan tiada sebarang campuran dengan saham yang tidak berlandaskan Syariah. Aspek utama lain, perkhidmatan ini mengenakan yuran dan kadar bayaran yang tetap dan dinyatakan secara terus kepada pelabur tanpa mempunyai kos tambahan,'' jelasnya.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, Kumpulan Maybank komited dalam menyokong objektif mempromosi Malaysia sebagai pusat untuk kewangan Islam.

''Berdasarkan penyelidikan yang dibuat, 61 peratus pelabur runcit yang berpotensi tidak tahu bagaimana untuk melabur dalam pasaran ekuiti dan 48 peratus menyatakan risiko yang tinggi menyebabkan mereka enggan melabur.

''Dalam bergerak ke hadapan, inisiatif utama Maybank adalah menerajui perkhidmatan berlandaskan Islam dalam menyediakan penyelesaian Islam inovatif dalam usaha membangunkan pasaran modal Islam tempatan,'' katanya.

Pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan H.O.T Broking melalui Maybank2u, di 43 cawangan Pusat Pelaburan Saham Maybank dan cawangan Maybank di seluruh negara.