MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong |
- Perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu bersama Tun Mahathir
- Hassan Shukri meninggal dunia
- Nik Aziz: Anwar paling layak terajui Pakatan
- Setandan pisang ada tiga jantung
- Pemberhentian Biasiswa Luar Negara Tanda Pengiktirafan Kepada Universiti Tempatan
- Tangguh gaji minimum baru pengawal keselamatan
- Masuk sekolah lima tahun dilaksana akhir RMKe-10
- Wajib sedia guru Mandarin, Tamil
- PTPTN peruntuk RM33 bilion pinjaman ke IPTA
- YPU bangunkan 11 T'Shop tahun ini
- Malware ancaman terbesar Malaysia
- 'Bohong' Yang Diketahui Allah
- UUM umum naib canselor baru
- Semakan Keputusan Temuduga & Tawaran Kursus Perguruan Lepas SPM (KPLSPM) Ambilan Jun 2010
- Semakan Keputusan Temuduga & Tawaran Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Ambilan Jun 2010
- Nazri: Masyarakat Siam adalah bumiputera
- Mahfuz: Wajar wujud 5 jawatan naib presiden PAS
- Sukma Ke-13 Melaka Dibuka Penuh Gilang Gemilang
- Piala Dunia 2010 dibuka gilang-gemilang
- Harith Iskander, Jezamine selamat diijab kabul
- Risiko kurang Vitamin E pada perokok
- Catatan terburuk birokrasi Indonesia
- Nilai estetika bangunan Parlimen
- Elak gigi sensitif
- Pagar Diri Dari Maksiat
Perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu bersama Tun Mahathir Posted: 14 Jun 2010 08:44 AM PDT Kira-kira 1,000 orang membanjiri perhimpunan kontroversi 'Melayu Bangkit' di Stadium Negeri Kuala Terengganu yang dibatalkan sebelum ini, setelah dipertikaikan banyak pihak sebagai perkauman. Program anjuran Gerakan Tindakan Rakyat (GERTAK) - gabungan 45 NGO Melayu di Terengganu - yang bermula padajam 10 pagi di stadium negeri itu antaranya dihadiri mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Datuk Ahmad Said. Kehadiran Ahmad yang tidak pernah dimaklumkan sebelum ini adalah di luar dugaan. Dalam majlis penuh istiadat Melayu itu, ketibaan kedua-dua tetamu disambut dengan paluang gendang silat dan persembahan pencak silat oleh dua pasangan pesilat lelaki dan wanita. Antara NGO yang menonjol dalam program itu ialah Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) yang tampil dalam pakaian seragam hijau muda, membawa bendera persatuan dan berlilit kepala bertulis dua kalimah syahadah. Perhimpunan tersebut berjalan aman tanpa sebarang insiden. Kelihatan hanya kira-kira 10 anggota polis berpakaian seragam mundar-mandir mengawal keadaan dalam stadium tertutup tersebut. Program tersebut turut diserikan dengan persembahan daripada aktivis seni daripada Kumpulan Teater Orang Ulu Ibrahim Taib dengan bacaan sajaknya dalam loghat Hulu Terengganu pekat yang mencuit hati. Sajak tersebut, antaranya menyebut, Melayu perlu kuat dan memimpin dunia supaya dapat "tentukan anggota JKKK (Jawatankuasa Keselamtan dan Kemajuan Kampung) di Israel", "jadikan Obama kelasi kapal" dan "lantik Bush sebagai tok siak di masjid untuk sapu tahi cicak". Persetujuan nenek moyang Sementara itu, dalam ucapannya pengasas dan presiden GERTAK Razali Idris mengecam mereka yang mengkritik perhimpunan tersebut - yang pada mulanya dijadual pada 13 Mei lalu - serta kehadiran Dr Mahathir. "Kita dituduh, difitnah. Ada yang kata Dr Mahathir sebagai rasis. Tuduhlah, tempat tidak penting pada kita. Yang penting adalah ucapan Dr Mahathir. "Kaum lain tidak perlu risau kerana kita bukan hendak bangkit dengan senjata atau pemusnah tetapi (secara) matang dalam perjuangan," katanya. Razali mengakhiri ucapannya dengan menggesa mereka yang hadir supaya bangkit mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan Raja Melayu. "Perkara ini sudah dipersetujui sejak nenek moyang kita dahulu," katanya disusul laungan takbir tiga kali, tetapi malangnya tidak disahut orang ramai yang hadir. Razali hanya berucap ringkas tidak sampai sepuluh minit dalam program itu bagi memberikan laluan kepada Dr Mahathir yang disifatkan sebagai "negarawan" bagi menyampaikan ucapannya. Antara NGO lain yang bergabung dalam GERTAK ialah PEWARIS, Gerakan Belia 4B, Sahabat Laut Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA). Dr Mahathir pula dalam ucapannya berkata pembatalan perhimpunan itu pada 13 Mei lalu adalah disebabkan oleh fikiran singkat sesetengah pihak yang bimbang perhimpunan orang Melayu itu diadakan pada tarikh berlakunya rusuhan kaum pada 1969. Setelah bersurai, kira-kira 50 orang sempat berkumpul pantas bagi melaungkan di perkarangan stadium itu sambil melaungkan slogan anti-Israel yang menyerang flotila pro-Palestin baru-baru ini. Dr M kesal ''Melayu Bangkit' dikatakan rasis Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kekesalannya terhadap tindakan pihak tertentu yang mengaitkan perhimpunan 'Melayu Bangkit' - yang sepatutnya diadakan pada 13 Mei lalu - dengan perkauman sehingga mendorong ia ditangguhkan. Katanya tindakan tersebut seolah-olah melupakan sejarah yang seterusnya menyebabkan mereka "mengulangi kesalahan yang sama berkali-kali". "(Perhimpunan sebegini) bukan hendak rampas hak bangsa lain. Melayu ini amat pemurah. Kita memberikan tempat dan kerakyatan serta terima orang lain sebagai warganegara, tidak seperti di negara lain di mana Orang Asli dan bumiputeranya tidak sanggup memberikannya," katanya. Berucap dalam perhimpunan anjuran Gerakan Tindakan Rakyat (Gertak) di Kuala Terengganu hari ini, Dr Mahathir turut menyatakan pendapatnya bahawa tragedi rusuhan kaum pada tahun 1969 itu berlaku bukan sahaja disebabkan oleh perbezaaan warna kulit. "Sebab itu 13 Mei menjadi contoh perpisahan (pemecahan) kaum, ditokok tambah dengan perpisahan (ekonomi) antaranya yang kaya dengan yang miskin," katanya sambil menyifatkanya fenomena itu sebagai 'peperangan antara kelas'. Setelah ditangguhkan hampir sebulan perhimpunan Melayu Bangkit ditangguhkan, Dr Mahathir hari ini tampil berucap dalam majlis itu, antaranya menegaskan keperluan orang Melayu bersatu supaya tidak menjadi golongan minoriti, sekali gus tidak lagi berkuasa di negara ini. Katanya, berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana orang Melayu 100 peratus bangun menentang Malayan Union - yang kemudiannya melahirkan Umno - orang Melayu kini berpecah kepada tiga parti. "(Melayu terbahagi kepada) 20 peratus setiap parti yang lawan sesama sendiri. Ini menjadikan kita sebagai minoriti," katanya merujuk kepada parti yang didominasi orang Melayu, iaitu Umno, PAS dan PKR. Bercakap di harapan kira-kira 1,000 orang awam dan aktivis daripada 45 NGO di seluruh Terengganu, Dr Mahathir menyeru orang Melayu berubah sebelum negara ini menjadi seperti Singapura di mana kaum itu kini hanya 15 peratus sahaja daripada populasi rakyatnya. "Melayu di Singapura terbongkok-bongkok di hadapan orang lain," katanya. "Orang kata bercakap mengenai Melayu ini rasis. Mulanya saya cuba elak bercakap tentang Melayu tetapi saya tak dapat (lakukannya). "(Keadaan) Melayu sebagai penduduk asal sekarang dalam krisis, genting dan cemas." - MALAYSIAKINI |
Posted: 14 Jun 2010 08:41 AM PDT Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri (kanan) meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang tadi. Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini, baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke-56 di sana, lapor Harakahdaily. Media online PAS itu memetik Puan Naznah Taha, isteri Subky Latiff, sebagai berkata Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada. Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi. Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang. Menurut Harakahdaily lagi, Sebelum menjadi timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi naib presiden dan juga setiausaha agung PAS. Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut. Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Mujahdi Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan. Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 8.30 pagi esok di Surau Taman Melewar, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2. - MALAYSIAKINI |
Nik Aziz: Anwar paling layak terajui Pakatan Posted: 14 Jun 2010 08:38 AM PDT Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak mahu menjadi pemimpin nombor satu dalam Pakatan Rakyat jika mereka berjaya menawan Putrajaya. Sebaliknya menteri besar Kelantan itu berkata orang yang paling layak meneraju pakatan ialah penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu. Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental. "Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11, di Kota Bharu hari ini. Beliau berkata Anwar juga lulus dari segi moral. Nik Abdul Aziz diminta mengulas saranan seorang perwakilan pada muktamar ke-56 PAS yang berakhir semalam agar menteri besar Kelantan itu dilantik peneraju pakatan pembangkang berasaskan kewibawaan dan kejayaannya memimpin Kelantan selama 20 tahun. Dalam saranannya, perwakilan dari Perlis Wan Khairizal Wan Hazim berkata gaya kepimpinan Nik Abdul Aziz juga diterima semua pihak dalam komponen pakatan pembangkang itu. Mengulas mengenai pandangan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS Islam yang menyamakan beliau dengan pemimpin ulung India Mahatma Gandhi, Nik Abdul Aziz berkata: "Tidak mengapa, saya terima dari segi sifat orang melihat saya." - Bernama |
Setandan pisang ada tiga jantung Posted: 14 Jun 2010 08:29 AM PDT TELUK INTAN - Seorang pekebun, Asasaruddin Rafie, 64, terperanjat besar apabila mendapati sebatang pokok pisang di belakang rumahnya di Kampung Selabak di sini mengeluarkan setandan buah dengan tiga jantung bersamanya. Menurutnya, kejadian itu dianggap aneh memandangkan pada kebiasaannya pisang hanya berbuah setandan dan mempunyai satu jantung. Katanya, senario pelik itu disedari minggu lalu dan sejak itu kawasan kebunnya menjadi tumpuan penduduk kampung untuk melihat sendiri pokok pisang nangka miliknya itu. "Inilah pertama kali seumur hidup saya melihat kejadian aneh pisang mempunyai tiga jantung. "Selepas diuar-uarkan dari mulut ke mulut, ada pihak yang berhasrat membeli pokok berkenaan dengan harga yang cukup lumayan," katanya di sini semalam. - KOSMO! |
Pemberhentian Biasiswa Luar Negara Tanda Pengiktirafan Kepada Universiti Tempatan Posted: 14 Jun 2010 08:25 AM PDT Pemberhentian pemberian 1,500 biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara mulai tahun depan akan dilakukan secara berperingkat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata langkah itu bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan bagi menanggung pelajar yang menuntut di luar negara. "Kita kurang secara berperingkat. Ini soal kemampuan kerana perbelanjaan untuk seorang pelajar terlalu mahal. Lebih untung kalau kita belanjakan untuk orang ramai," katanya. Mohamed Nazri mengulas laporan media hari ini yang memetik beliau sebagai berkata bahawa JPA akan menghentikan pemberian 1,500 biasiswa kepada pelajar bagi mengikuti kursus ijazah sarjana muda di luar negara tahun depan. Namun, mereka yang mendapat tempat di universiti terkemuka seperti Oxford dan Cambridge, masih boleh memohon untuk diberikan biasiswa. Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penamatan pemberian biasiswa itu dijangka mampu memberi kesan yang baik kepada pelajar tempatan. Katanya universiti tempatan bersedia menampung jumlah pelajar yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara ekoran keputusan itu. "Apabila ramai pelajar tidak dihantar ke luar negara, ini bermakna ramai pelajar akan belajar di universiti yang terbaik di sini. Kita memang dari segi nak tentukan sama ada universiti itu mencapai kecemerlangan atau tidak, salah satu komponen yang penting ialah pelajar terbaik. "Ini bukan soal tiada masalah. Dari segi IPT (Institusi Pengajian Tinggi) tempatan, kita sedia menampung jumlah pelajar," katanya kepada Bernama di lobi Parlimen di sini. Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya menyambut baik cadangan itu sambil menyifatkan ia akan mengurangkan bebanan kos kepada kerajaan. "Kita menyambut baik usaha ini untuk memberikan biasiswa kepada lebih ramai pelajar tempatan. Kalau kita beri biasiswa kepada 1,500 pelajar yang belajar di luar negara, memang tak cukup juga kerana tiap-tiap tahun yang merayu pun ramai juga. "Banyak juga universiti luar negara yang ada kampus berkembar dalam negara kita. Sekarang ini, kalau RM1 juta hanya kepada tiga orang pelajar dan bagi kursus perubatan ia menelan lebih RM1 juta. Kalau kita nak hantar pun ialah untuk pakar," kata Liow. Liow yang juga Timbalan Presiden MCA berkata usaha menghentikan pemberian biasiswa tidak dilihat menyekat peluang mana-mana pihak malah dilihat mampu mengantarabangsakan universiti tempatan. - BERNAMA |
Tangguh gaji minimum baru pengawal keselamatan Posted: 14 Jun 2010 08:19 AM PDT Kabinet memutuskan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan gaji minimum baru untuk pengawal keselamatan yang dijadualkan pada 1 Julai ini bagi memberi lebih masa kepada pihak industri berkenaan mengemas kini operasi mereka. Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan, semalam, menyebut penangguhan sementara pelaksanaan gaji minimum di bawah Perintah Peraturan Gaji Minimum Pengawal Keselamatan Swasta bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak itu dibuat selepas meneliti rayuan dan maklum balas daripada Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM). "PPKKM memaklumkan pelaksanaan itu akan memberi implikasi kepada perniagaan mereka terutama berkenaan kontrak sedia ada. "PPKKM juga memohon supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan perintah ini untuk membolehkan mereka mengambil tindakan untuk mengemaskini operasi. Selepas mempertimbangkan perkara itu, Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Perintah Peraturan Gaji ini buat sementara waktu," katanya. April lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subrmaniam mengumumkan kira-kira 190,000 pengawal keselamatan akan menikmati kenaikan gaji pokok antara 67 peratus hingga 75 peratus kepada RM1,100 hingga RM1,450, mulai 1 Julai depan. Ketika ini, pekerja sektor keselamatan itu menerima gaji pokok antara RM300 hingga RM400. Dr Subramaniam juga dilaporkan berkata, keputusan menaikkan gaji itu dilakukan mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947. Bagaimanapun, PPKKM meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji pengawal keselamatan itu bagi mengelakkan 300 syarikat pengawal keselamatan Bumiputera di negara ini gulung tikar. Presiden PPKKM, Datuk Shaheen Mirza Habib berkata, pihaknya memerlukan tempoh sehingga enam bulan untuk menyelesaikan masalah berkaitan kontrak perkhidmatan yang membabitkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan. - BERITA HARIAN |
Masuk sekolah lima tahun dilaksana akhir RMKe-10 Posted: 14 Jun 2010 08:09 AM PDT Sistem pendidikan formal seawal usia lima tahun dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), selepas Kementerian Pelajaran menyediakan prasarana, termasuk bekalan elektrik 24 jam serta air bersih. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sistem berkenaan adalah satu rancangan besar dan ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa. "Ia adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara setaraf negara maju dan mengelak berlakunya keciciran dari peringkat awal lagi," katanya selepas majlis penyerahan wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sumbangan kecemerlangan peperiksaan awam peringkat Parlimen Hulu Terengganu 2010 di sini, semalam. Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Tengku Putera Awang; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid. Beliau mengulas persediaan kementerian untuk melaksanakan sistem persekolahan formal seawal usia lima tahun seperti terkandung dalam RMKe-10 (2011-2015) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, Khamis lalu. Mohd Puad berkata, tumpuan kementeriannya kini ialah usaha membangunkan kemudahan asas di sekolah seluruh negara, selain memastikan semua guru prasekolah terdiri daripada mereka yang mempunyai diploma dan ijazah. "Untuk kawasan terpencil seperti di Sabah dan Sarawak, kerajaan akan membina kemudahan prasekolah di rumah panjang dan kerajaan mensasarkan 70 peratus kanak-kanak memasuki prasekolah seluruh negara pada 2012," katanya. - BERITA HARIAN |
Wajib sedia guru Mandarin, Tamil Posted: 14 Jun 2010 08:07 AM PDT KUALA LUMPUR 13 Jun - Kerajaan akan mewajibkan penyediaan guru-guru bahasa Mandarin dan Tamil di semua sekolah kebangsaan supaya pengajaran dan pembelajarannya dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dasar berkenaan sudah wujud kerana kerajaan menyedari kepentingan setiap pelajar menguasai pelbagai bahasa, namun ia tidak dilaksanakan sepenuhnya. "Kerajaan akan mengkaji dan meneliti perkara ini. Ia bukan sahaja menjadi nilai tambah kepada setiap pelajar, malah akan membezakan keupayaan mereka untuk berkomunikasi dengan kaum lain di negara ini. "Selain untuk menimba ilmu, ia juga mampu meningkatkan persefahaman antara kaum selain membolehkan setiap kaum menghayati kepelbagaian nilai, seni dan budaya yang terdapat di negara ini," katanya. Beliau yang merupakan Menteri Pelajaran berucap merasmikan Konvensyen Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Hadir sama Presiden PPP, Datuk M. Kayveas dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan. Menurut Muhyiddin, langkah menjadikan pembelajaran bahasa Tamil dan Mandarin sebagai bahasa wajib pernah dibincangkan tetapi masih belum dilaksanakan. Mengenai biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Muhyiddin berkata, kerajaan akan melihat kembali proses pemberiannya supaya mereka yang benar-benar berkelayakan sahaja menerimanya. Menurutnya, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi peluang kepada setiap pelajar melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat universiti menerusi bantuan sama ada berbentuk biasiswa atau pinjaman pelajaran. "Perbincangan mengenai perkara ini telah dibangkitkan di dalam Kabinet. Kerajaan akan meneliti dan memperbaiki sekiranya berlaku ketidakadilan dalam pemberian biasiswa mahupun pinjaman pelajaran kepada pelajar," katanya. Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan dan pembangunan di sekolah khususnya sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan, sekolah agama rakyat dan sekolah mubaligh. Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk menanggung kos utiliti di kesemua empat kategori sekolah tersebut. - UTUSAN |
PTPTN peruntuk RM33 bilion pinjaman ke IPTA Posted: 14 Jun 2010 08:03 AM PDT Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan pinjaman RM32.6 bilion kepada 200,000 pelajar yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara pada tahun ini. Timbalan Pengurus PTPTN, Nora Yusof berkata, daripada jumlah itu, pihaknya memperuntukkan RM71 juta bagi wang pendahuluan pembiayaan (WPP) kepada 47,000 pelajar baru yang bakal mengikuti pengajian di IPTA tahun ini. Menurut beliau, bagi memastikan dana WPP sampai ke tangan pelajar, pihaknya turun padang ke 45 kawasan Parlimen seluruh negara untuk menyalurkan dana itu. "Sebahagian dana tersebut diposkan ke alamat pelajar yang layak menerimanya," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan WPP PTPTN kepada 131 pelajar dalam Parlimen Maran di Dewan Tasik Maran di sini semalam. Majlis penyerahan WPP kepada bakal mahasiswa itu disempurnakan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib. Nora memberitahu, setiap pelajar terbabit memperoleh WPP RM1,500 untuk persiapan sebelum mendaftar di IPTA. Beliau turut mengingatkan penerima PTPTN supaya membayar pinjaman masing-masing sebaik sahaja mendapat pekerjaan tetap selepas tamat pengajian. "Ini penting kerana bayaran pinjaman itu dapat digunakan pula untuk pelajar lain pada masa akan datang. "Peruntukan pendidikan yang disediakan kerajaan sangat besar bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mendapat pendidikan tinggi," tegasnya. Peruntukan itu juga, tambahnya, membuktikan kerajaan amat komited terhadap usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara setanding dengan negara maju. Tambah beliau, PTPTN ditubuhkan sejajar dengan hasrat kerajaan yang tidak mahu ada pelajar cemerlang gagal memasuki IPTA atas sebab kewangan. - UTUSAN |
YPU bangunkan 11 T'Shop tahun ini Posted: 14 Jun 2010 07:55 AM PDT KUALA TERENGGANU 13 Jun - Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan mengeluarkan pinjaman sebanyak RM1.4 juta untuk pembangunan kedai serbaneka, T'Shop, dalam tempoh enam bulan tahun ini. Pengurus Besar YPU, Azmi Razik berkata, ia melibatkan seramai 11 usahawan, dengan kadar pinjaman antara RM50,000 dan RM100,000 seorang. "Kita masih memproses lapan lagi permohonan daripada usahawan untuk membuka T'Shop tahun ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Azmi berkata, ia merupakan pinjaman mudah tanpa faedah, bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan di Terengganu. Beliau berkata, sasaran YPU sehingga tahun 2013 ialah melahirkan 100 usahawan T"Shop yang berjaya, selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada penganggur. Azmi berkata, beliau yakin T'Shop yang menjual produk hasil keluaran Terengganu, akan dapat bersaing dengan kedai-kedai serbaneka popular lain dan maju pada masa akan datang. Menurut beliau, sambutan orang ramai terhadap T'Shop sangat menggalakkan, dengan kutipan hasil jualan antara RM2,000 dan RM4,000 setiap hari. Beliau berkata, setiap T'Shop kini mampu memberi peluang pekerjaan kepada enam hingga tujuh orang pekerja. Azmi berkata, YPU juga merancang membuka mini T'Shop di kampung-kampung dan kawasan perumahan di seluruh Terengganu pada masa akan datang. - BERNAMA |
Malware ancaman terbesar Malaysia Posted: 14 Jun 2010 07:31 AM PDT Ancaman yang menjejaskan komputer di Malaysia kebanyakannya membabitkan 'Malware', demikian menurut Laporan Risikan Keselamatan Microsoft, jilid kelapan (SIRv8). "Pada separuh kedua 2009, walaupun kadar jangkitan 'Malware' agak rendah berbanding purata dunia, namun terdapat peningkatan berbanding separuh pertama 2009," kata Microsoft dalam satu kenyataan di sini hari ini. SIRv8 menyebut, jenayah siber terus meningkat, dengan penjenayah meneruskan operasi ke atas proses perniagaan konvensional. "Penjenayah terus meningkatkan kapasiti untuk melakukan serangan, termasuk 'menawarkan produk' dan menambah ciri-ciri kepada 'Malware' untuk sasaran pengguna tertentu," katanya. (Malware merupakan perisian yang direka bentuk untuk memasuki ke dalam sistem komputer dan menyebabkan risiko kepada sistem) Ketua Privasi dan Keselamatan Serantau Asia Pasifik Microsoft, Jacqueline Peterson-Jarvis berkata, SIRv8 menyebut bukti-bukti bahawa jenayah siber semakin canggih dan mengancam penggunaan dalam talian dan terus mengeksploitasi kit yang dijual kepada pihak lain untuk digunakan. "Pembangun 'Malware' terus meningkatkan produk mereka dengan menggantikannya dengan yang baharu," katanya. Beliau berkata, SLRv8 menggunakan data yang dikumpul daripada kira-kira 500 juta komputer di seluruh dunia bagi menyediakan risikan ke atas ancaman dalam talian global yang dialami sepanjang separuh kedua 2009. Peterson-Jarvis berkata, laporan itu juga mendapati rangkaian perusahaan terus terdedah kepada 'cacing' manakala pengguna kediaman lebih terdedah kepada malware dan ancaman sosial. Beliau berkata penipuan '419' semakin meningkat dalam e-mel, dengan perisian keselamatan palsu yang bertindak sebagai aplikasi keselamatan yang sah, menipu pengguna, masih terus menjadi isu kepada pelanggan. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri, berkata, tahap kesedaran di kalangan pengguna Internet Malaysia ke atas keselamatan dalam ruang siber perlu ditingkatkan. "Ini perlu, berdasarkan bilangan penduduk yang semakin meningkat. Ibu bapa perlu memain peranan penting dalam memastikan masa yang dihabiskan oleh anak-anak masing-masing dalam talian adalah selamat dan terjamin," katanya. - BERNAMA |
Posted: 14 Jun 2010 07:30 AM PDT Sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa, sejak dahulu lagi, amat baik untuk mengingatinya dan dikongsi bersama keluarga, rakan dan taulan. Iaitu :- إن أول الناس يقضى يوم القيامة عليه رجل استشهد, فأُتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عمِلتَ فيها؟ قال: قاتلت فيك حتى استشهدت, قال: كذبت, ولكنك قاتلت لأن يقال: جريء, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل تعلم العلم وعلّمه, وقرأ القرآن, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: تعلمت العلم وعلّمته, وقرأت فيك القرآن, قال: كذبت, ولكنك تعلمت العلم ليقال: عالم, وقرأت القرآن ليقال: هو قارئ, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل وسّع الله عليه, وأعطاه من أصناف المال كله, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: ما تركت من سبيل تحبّ أن ينفق فيها إلا أنفقت فيها لك, قال: كذبت, ولكنك فعلت ليقال: هو جواد, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه, ثم ألقي في النار Maksudnya (ringkasan terjemahan) : Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)? Jawabnya : Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid Dibalas : Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar "SANG BERANI" maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Ditanyakan kepada (orang kedua) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)? Jawabnya : "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al-Quran" Dijawab semula : Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar 'ALIM, kamu membaca Al-Quran agar digelar "QARI" maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Ditanyakan kepada (orang ketiga) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)? Jawabnya : "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu" Dijawab semula : "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar "DERWAMAN" maka dikatakan kepada Malaikat, lalu telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka ( Riwayat Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah) Semoga kita semua dijauhkan kita semua dari racun hati oleh si musuh Allah yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas yang sebenarnya. Bagi sesiapa yang telah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah. Mereka itulah yang disebut dalam hadis:- أرأيت الرجل يعمل العمل من الخير، ويحمده الناس عليه؟ قال: "تلك عاجل بشرى المؤمن Ertinya : Ditanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang yang berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?. Jawab baginda : Itulah ganjaran gembira yang didahulukan buat para mukmin" ( Riwayat Muslim) Ibn Qayyim pernah berkata berkata : "Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tapi tidak bermanfaat." Benarlah, bahawa ikhlas bagi adalah satu ujian yang lebih malah sangat sukar bagi seorang pendakwah dan mukmin. Pelbagai medium yang diceburi pendakwah termasuklah seni, drama, nasyid dan lain-lain lagi. Namun semua akan menghadapi cabaran besar ikhlas, ia sebuah cabaran yang sangat sukar... Sekian Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/892/89/ |
Posted: 14 Jun 2010 03:41 AM PDT Profesor Dr Mohamed Mustafa Ishak dilantik sebagai Naib Caunselor baru Universiti Utara Malaysia (UUM) menggantikan Tan Sri Dr Nordin Kardi yang akan bersara setelah berkhidmat selama lima tahun. Dr Mohamed Mustafa, 50, telah berkhidmat dengan UUM selama 25 tahun, sebelum ini menjawat jawatan Naib Caunselor (Akademik dan Antarabangsa). Pelantikan beliau untuk tempoh tiga tahun mulai 16 Jun ini hingga 15 Jun 2013 diumumkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dalam satu kenyataan hari ini. Prof Mohamed Mustafa berkelulusan PhD (Sosiologi Politik) dari University of Leeds dan MA (Politik) dari University of York, England. Beliau merupakan staf akademik awal UUM yang memulakan kerjaya akademik dari peringkat bawah sebagai seorang tutor dan kemudiannya sebagai pensyarah sehinggalah dilantik sebagai profesor dalam bidang politik dan pengajian antarabangsa. Prof Mohamed Mustafa turut dikenali kerana sering menulis dan memberikan pelbagai komentar dan analisis politik nasional dan antarabangsa kerana kepakaran beliau sebagai seorang profesor dalam bidang Sains Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa. Beliau turut memegang jawatan sebagai ketua kluster politik, keselamatan dan hal ehwal antarabangsa Majlis Profesor Negara di peringkat nasional dan presiden Persatuan Pengajian Antarabangsa. - Bernama |
Semakan Keputusan Temuduga & Tawaran Kursus Perguruan Lepas SPM (KPLSPM) Ambilan Jun 2010 Posted: 13 Jun 2010 08:14 PM PDT Semakan Keputusan Temuduga & Tawaran Kursus Perguruan Lepas SPM (KPLSPM) Ambilan Jun 2010 boleh dibuat di Laman Web KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM) : http://apps.emoe.gov.my/kplspm/tawarkplspm_jun10/ 14 Jun 2010 Bahagian Pendidikan Guru KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM) Putrajaya http://www.moe.gov.my |
Semakan Keputusan Temuduga & Tawaran Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Ambilan Jun 2010 Posted: 13 Jun 2010 07:31 PM PDT Semakan Keputusan Temuduga & Tawaran Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Ambilan Jun 2010 boleh dibuat di Laman Web KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM) : http://apps.emoe.gov.my/kpli/tawarkpli_jun2010/ 14 Jun 2010 Bahagian Pendidikan Guru KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM) Putrajaya http://www.moe.gov.my |
Nazri: Masyarakat Siam adalah bumiputera Posted: 13 Jun 2010 08:36 AM PDT Masyarakat Siam Kelantan dan di beberapa negeri di Semenanjung yang kesemuanya dianggarkan kira-kira 60,000 orang adalah kaum bumiputera di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Masyarakat minoriti itu mempunyai hak yang sama dengan warga pribumi lain di samping menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Wanita Siam Dalam Era Globalisasi di Wat Machimmaram, Kampung Jubakar di Tumpat hari ini. Majlis sehari itu dihadiri kira-kira 400 wanita masyarakat Siam yang tinggal di kawasan Tumpat dan Pasir Mas dalam usaha meningkatkan kefahaman golongan terbabit sebagai warga negara ini. Sehubungan itu, Mohamed Nazri yang juga penaung Persatuan Siam Malaysia menyarankan semua pihak agar memahami status kewarganegaraan yang dinikmati oleh masyarakat Siam di negara ini sebagaimana diperoleh kaum bumiputera lain. Mengenai kedudukan kira-kira 100 orang masyarakat itu di Kelantan mempunyai kad pengenalan merah sedangkan mereka tinggal sejak awal lagi dan boleh membeli tanah sendiri di Kelantan, beliau berkata perkara itu akan disiasat sebelum tindakan susulan diambil. "Kita harap ketua masyarakat Siam dapat menyenaraikan nama-nama mereka dan beri kepada saya bagi tindakan susulan... kalau betul tidak salah dia mempunyai kad pengenalan biru," katanya. - Bernama |
Mahfuz: Wajar wujud 5 jawatan naib presiden PAS Posted: 13 Jun 2010 08:35 AM PDT Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata sewajarnya diwujudkan lima jawatan naib presiden parti bagi mengimbangi tanggungjawab yang semakin bertambah yang perlu dipikul oleh pucuk pimpinan. Beliau berkata tiga daripada jawatan itu wajar dipertandingkan di dalam pemilihan Muktamar PAS manakala dua lagi dilantik oleh presiden. "Jumlah ahli yang menyertai PAS meningkat setiap masa. Ini menyebabkan keperluan tanggungjawab kepimpinan juga bertambah dan perlu diwujudkan jawatan tambahan," katanya kepada pemberita pada Muktamar PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di Kota Bharu hari ini. Dewan Muslimat PAS semalam meluluskan usul agar diwujudkan satu jawatan naib presiden untuk muslimat sebagai pengiktirafan kepada perjuangan mereka dan turut mencadangkan satu jawatan pesuruhjaya keempat untuk di peringkat PAS negeri. Mengenai cadangan pelantikan dua jawatan naib presiden oleh presiden, Mahfuz berkata ia perlu untuk membawa keseimbangan dengan memberikan contoh jika tiga naib presiden yang dipilih adalah wanita, dua lagi jawatan naib presiden boleh dipilih daripada lelaki. Beliau berharap dewan parti akan mengusulkan cadangannya itu pada muktamar yang sedang berlangsung atau pada muktamar akan datang. - Bernama |
Sukma Ke-13 Melaka Dibuka Penuh Gilang Gemilang Posted: 13 Jun 2010 08:20 AM PDT MELAKA 12 JUN 2010: Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 dibuka dengan rasminya dalam satu majlis penuh gilang gemilang dengan pertunjukan bunga api dan persembahan padang yang menarik di Stadium Hang Jebat di sini, malam semalam. Acara perasmian itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dengan disaksikan kira-kira 40,000 penonton yang mula memenuhi stadium sejak pukul 6 petang. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek menyampaikan ucapan masing-masing pada majlis yang bermula pukul 8 malam. Sukma ke-13 yang berlangsung dari 10 hingga 19 Jun ini menawarkan 434 pingat emas, disertai 6,500 atlet daripada 15 kontinjen termasuk dari Brunei yang mengambil bahagian sebagai kontinjen jemputan sejak Sukma kelima pada 1996. Terdahulu, ketibaan Mohd Khalil disambut dengan persembahan selamat datang oleh 400 peserta yang mewakili masyarakat berbilang kaum termasuk Baba Nyonya, Portugis dan Chetti dan diiringi paluan rebana ubi, gendang Cina, kompang dan muzik asli. Pantun dan lagu dondang sayang warisan popular Melaka menjadi pembuka tirai persembahan selamat datang yang kemudiannya diikuti dengan perarakan masuk kontinjen Sukma. Mencuri tumpuan ramai apabila buat pertama kalinya 120 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tampil membawa bendera Jalur Gemilang, bendera Melaka dan bendera negeri-negeri. Kemunculan 10 pelari berpasangan, terdiri daripada jaguh sukan negara, membawa baton Sukma yang menjelajah di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka sejak 14 Februari lepas, mendapat tepukan gemuruh. Pelari terakhir, jaguh bina badan negara Datuk Wira Gan Boon Leong menyerahkan baton kepada Mohd Ali yang kemudiannya menyerahkan baton itu kepada Mohd Khalil lalu mengisytiharkan pembukaan Sukma ke-13. Majlis pembukaan Sukma kali ini mencipta sejarah tersendiri dengan melibatkan 8,000 peserta persembahan iaitu teramai sejak sukan dwitahunan itu bermula pada 1986 di Kuala Lumpur. Majoriti mereka adalah pelajar sekolah sekitar negeri ini yang lincah menggayakan persembahan bertenaga. Daripada jumlah itu, seramai 5,000 orang adalah peserta paluan kompang yang turut mencipta sejarah tersendiri apabila dicatatkan dalam Malaysian Book of Records sebagai pemalu kompang teramai setakat ini. Sebanyak 3,000 lagi merupakan peserta yang memeriahkan acara padang seperti persembahan khas yang melibatkan beberapa segmen iaitu zaman Kesultanan Melayu Melaka, kedatangan Arab dan perkembangan Islam, kedatangan pedagang China, kedatangan pedagang India, kedatangan Portugis dan Melaka Maju 2010. - BERNAMA |
Piala Dunia 2010 dibuka gilang-gemilang Posted: 12 Jun 2010 11:20 PM PDT JOHANNESBURG, Afrika Selatan - Pembukaan kejohanan Piala Dunia yang pertama kali dilangsungkan di Afrika berlangsung dengan penuh warna-warni dan meriah dengan dihadiri hampir 85,000 penonton, namun turut dihantui dengan sedikit kisah sedih ekoran ketiadaan Nelson Mandela. Orang ramai sekitar Soccer City yang berada di antara Johannesburg dan Soweto ternyata begitu gembira dengan bunyi hon kereta malah ratusan penari Afrika dengan berlatar belakangkan warna hijau, merah dan kuning membanjiri jalan-jalan bagi meraikan kejohanan yang berlangsung selama sebulan itu. Kebanyakan penyokong yang memakai jersi kuning 'Bafana Bafana', jersi pasukan tuan rumah. Hanya terdapat segelintir sahaja mereka memakai jersi hijau yang merupakan penyokong Mexico. Namun, kegembiraan itu terganggu apabila mereka mendapat berita bahawa Nelson Mandela, pejuang anti-aparteid dan bekas presiden, tidak dapat menghadirkan diri pada majlis pembukaan. Mandela yang berusia 91 tahun membuat keputusan tidak menghadirkan diri selepas cicitnya yang berusia 13 tahun terbunuh dalam satu kemalangan kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menonton konsert Piala Dunia, malam semalam. Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma, telah menyampaikan mesej Mandela kepada penonton dengan berkata:''Perlawanan telah bermula. Anda semua perlu menikmati perlawanan. Kehadiran Zuma turut disertai oleh Presiden FIFA, Sepp Blatter, yang mengakui Piala Dunia ini merupakan satu detik bersejarah kepada Afrika dan menambah ''Semangat Mandela ada di dalam Soccer City bersama anda semua. Beberapa tokoh anti aparteid termasuk bekas isteri Mandela, Winnie dan Archbishop Desmond Tutu turut hadir dalam majlis tersebut. Bekas Presiden Afrika Selatan, F.W De Klerk, yang pernah berkongsi hadiah Nobel Keamanan bersama Mandela selepas setuju mengadakan rundingan menamatkan penguasaan kaum minoriti kulit putih, turut hadir. Tokoh kenamaan lain yang hadir ialah Presiden Mexico, Felipe Calderon dan Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. - AP |
Harith Iskander, Jezamine selamat diijab kabul Posted: 12 Jun 2010 11:12 AM PDT KUALA LUMPUR 12 Jun - Perkenalan di laman sosial, Facebook (FB) lebih setahun lalu akhirnya membawa pasangan selebriti, pengacara dan pelakon komedi terkenal, Harith Iskander Musa, 44, dan Jezamine Lim, 27, ke jinjang pelamin. Harith dan pasangannya, seorang model yang semakin dikenali itu selamat dinikahkan dengan berwalikan hakim di kediaman Jezamine di Kota Damansara di sini hari ini. Dengan sekali lafaz, pasangan yang dinikahkan oleh Pendaftar Kanan Nikah, Cerai dan Rujuk daerah Petaling, Muhamad Sujak Muhd. Dasuki dengan mas kahwin RM300 itu akhirnya bergelar suami isteri kira-kira pukul 12.05 tengah hari. Selain wang hantaran RM50,000, Harith turut membawa empat lagi barangan hantaran berupa beg tangan dan kasut berjenama Coach, set barangan kemas, sepersalinan pakaian dan juga coklat. Jezamine yang merupakan saudara baru itu pula membalas tujuh dulang hantaran berupa senaskhah al-Quran, tali leher berjenama Louis Vuitton, set wangian, buah-buahan, sepasang sepersalinan, kasut dan coklat. Tidak percaya kepada cinta laman maya, baik Harith mahupun Jezamine bagaimanapun akur bahawa inilah jodoh yang ditentukan oleh Tuhan buat mereka. Bagi pasangan itu, jodoh mereka begitu kuat biarpun hakikatnya perkahwinan mereka mendapat tentangan daripada keluarga Jezamine. Mengimbas detik berputik cinta antara mereka, kata Harith, segalanya berpunca apabila dia cuba untuk menjadikan Jezamine sebagai rakan di FB atas bantuan seorang rakan. "Tidak sangka Jezamine menerima saya sebagai rakan dan daripada situ bermulalah perkenalan dan bibit-bibit percintaan kami," kata Harith. Biarpun gembira dirinya kini bertukar status, Harith bagaimanapun sedikit hiba apabila terkenangkan arwah ibu dan bapa yang tidak dapat bersama-sama meraikan hari bahagia itu. Bapa Harith, Musa Mohamad meninggal dunia pada 26 Februari lalu akibat kegagalan jantung manakala ibunya, Farida Jane Musa menyusul kemudian pada 21 Mac lalu akibat sakit tua. "Pada mulanya saya tidak berasa gementar untuk diakadnikahkan namun, saya jadi gementar apabila berhadapan dengan kadi kerana terkenangkan arwah ayah dan ibu saya. "Arwah ibu begitu sayangkan Jezamine dan hari ini saya dapat merasakan seperti arwah ibu dan ayah ada bersama-sama," kata pelakon filem Sepet itu. Selain dihadiri oleh kenalan dan saudara mara terdekat, pelakon terkenal Hans Issac turut hadir menyertai rombongan pihak pengantin lelaki. - MINGGUAN MALAYSIA |
Risiko kurang Vitamin E pada perokok Posted: 12 Jun 2010 11:02 AM PDT Penemuan ini terdapat dalam penyelidikan mengenai vitamin E oleh Institut Linus Pauling di Universiti Oregan State yang diterbitkan dalam Jurnal Klinikal Nutrisi Amerika isu Januari 2005. Pengurangan gama tokoferol dengan cepat dalam perokok berbanding bukan perokok sekali gus boleh menyebabkan kanser. Ini kerana rokok menghasilkan radikal bebas yang menggalakkan kanser. Ia terjadi apabila vitamin E di dalam paru-paru dan tisu badan yang lain akan meneutralkan radikal bebas tersebut. Tidak seperti alfa tokoferol, gama tokoferol adalah pelindung mujarab daripada nitrogen oksida yang sangat aktif dan berbahaya kepada badan. Kajian terkini sepatutnya memadai untuk mendorong perokok supaya tidak memandang ringan perihal gama tokoferol. Pengambilan harian vitamin E telah lama diakui dalam merendahkan risiko mendapat penyakit degeneratif. Walau pun kebanyakan kajian yang telah diterbitkan tertumpu kepada kesan alfa tokoferol daripada vitamin E, saintis kini semakin mengalihkan perhatian mereka kepada gama tokoferol. Gama - anti oksida yang sangat mujarab Satu kumpulan penyelidik mendapati gama tokoferol, yang ditemui dalam gabungan tokoferol, nyata lebih berkesan berbanding alfa tokoferol untuk menghentikan tindakan peroksi nitrit (peroxynitrite) yang merupakan agen oksida yang kuat dan berbahaya. Oleh itu, gama tokoferol dapat melindungi sel daripada gangguan genetik dan karsinogenik (penyebab kanser) daripada nitrogen reaktif. Nitrogen reaktif mendorong kepada berlakunya arteriosklerosis dan gangguan saraf. Oleh kerana asap rokok mengandungi banyak nitrogen dioksida yang boleh ditukarkan menjadi karsinogen, gama tokoferol boleh menghalang tindakan nitrogen dioksida dan menghalang pembentukan karsinogen. Alfa menyingkirkan gama tokoferol badan Penyelidikan terkini mendapati pengambilan alfa tokoferol yang tinggi mengurangkan paras gama tokoferol dalam darah. Pengguna yang prihatin tentang kesihatan termasuk perokok yang mengambil suplemen vitamin E (hanya mengandungi alfa tokoferol) perlu menimbangkan semula perkara ini. Seperti yang telah disebutkan, kebanyakan suplemen vitamin E membekalkan hanya alfa tokoferol. Bukti terbaru mencadangkan suplemen sahaja tidak memadai. Kumpulan penyelidik Universiti California, Berkeley mendapati sudah tiba masanya untuk mengehadkan pandangan bahawa hanya alfa tokoferol penting. Lebih banyak kajian perlu dilakukan ke atas gama tokoferol, iaitu satu bentuk lain vitamin E yang lebih berfaedah. Gama lindungi perokok daripada strok dan serangan jantung Beberapa kajian membuktikan manfaat vitamin E penting dalam mengurangkan penyakit kardiovaskular dan kematian akibat serangan jantung, walaupun ada kajian lain yang gagal menemui hasil yang sama. Perselisihan pendapat mungkin disebabkan hanya alfa tokoferol yang dikaji dan gabungan tokoferol (terutamanya gama tokoferol) tidak diambil kira. Ini juga mungkin menjelaskan mengapa vitamin E yang diambil daripada makanan lebih berkesan berbanding suplemen vitamin E biasa yang hanya mengandungi alfa tokoferol. Makanan membekalkan spektrum vitamin E yang lebih menyeluruh berbanding suplemen vitamin E biasa. Mendapatkan yang terbaik daripada suplemen vitamin E Sama ada anda merokok atau tidak, dinasihatkan supaya memastikan suplemen vitamin E yang diambil mengandungi gabungan alfa, beta, gama dan delta tokoferol. Ini kerana kesemuanya berfungsi lebih baik (sinergistik) secara berkumpulan, untuk perlindungan yang lebih baik dan manfaat kesihatan yang maksimum. - MINGGUAN MALAYSIA |
Catatan terburuk birokrasi Indonesia Posted: 12 Jun 2010 10:57 AM PDT Satu kaji selidik agensi asing meletakkan Indonesia bersama-sama India dan Filipina mempunyai sistem birokrasi terburuk di Asia. Kaji selidik itu dibuat di kalangan ekspatriat dan ahli perniagaan oleh Political and Economic Risk Consultancy (PERC) meletakkan Pusat Kewangan Rantau Singapura dan Hong Kong sebagai paling efisien. Kegagalan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono melaksanakan reformasi dan peletakan jawatan Sri Mulyani sebagai Menteri Kewangan dan berpindah tugas ke Bank Dunia meletakkan persepsi terhadap Indonesia semakin buruk, kata PERC. "Mandat yang dimiliki Presiden Susilo daripada rakyat tidak memberi kekuatan untuk benar-benar mengubah sistem birokrasi Indonesia," ujar biro konsultan tersebut. Kaji selidik itu meletakkan ranking 12 negara utama pada skala satu sampai 10, di mana 10 merupakan nilai terburuk. Para eksekutif perniagaan menilai India sebagai negara dengan birokrasi paling teruk. India memiliki nilai 9.41 diikuti Indonesia (8.59), Filipina (8.37), Vietnam (8.13), dan China (7.93). Malaysia berada di tangga keenam dengan mata 6.97, diikuti Taiwan (6.60), Jepun (6.57), Korea Selatan (6.13), dan Thailand (5.53). Singapura berada di tempat pertama dengan mata 2.53 dan Hong Kong (3.49). Pendedahan hasil kaji selidik itu pasti memberi kesan terhadap persepsi para pelabur yang mahu berurusan ke Indonesia. Pada masa yang sama kerajaan Indonesia seharusnya melihat kembali birokrasi yang berbelit-belit di negara berkenaan dan sering menjadi keluhan ahli perniagaan. Semasa menghadiri satu jamuan makan malam bersama-sama ahli perniagaan Malaysia, seorang ahli perniagaan berkongsi pengalaman. Beliau memberitahu untuk mendapatkan kelulusan membawa masuk produk makanan ke Indonesia paling cepat mengambil masa enam bulan. Tempoh setahun pula kata beliau, adalah perkara biasa dan jika nasib tidak baik ia mungkin menjangkau dua tahun. Namun oleh kerana potensi pasaran yang besar, destinasi ini terus menjadi magnet kepada ahli perniagaan dari serata dunia untuk mencuba nasib di Indonesia. - MINGGUAN MALAYSIA |
Nilai estetika bangunan Parlimen Posted: 12 Jun 2010 10:56 AM PDT Oleh HAFIZAHRIL HAMID Bagi menunjukkan sesebuah negara sebagai berdaulat, berintegriti dan meletakkan nilai yang tinggi kepada perjuangan untuk rakyat maka sebuah sebuah bangunan Parlimen perlu didirikan sebagai asas negara yang percaya kepada keluhuran demokrasi. Kewujudan sebuah bangunan Parlimen bukan sahaja kerana ia melakar peristiwa dan sejarah penting untuk sesuatu bangsa dan negara malah ia memberi kesan secara terus kepada perkembangan dan masa depan rakyat itu sendiri. Setiap polisi dan undang-undang yang digubal bakal menentukan masa depan dan kedudukan masyarakat dan negara dan semua ini berlaku di sebuah bangunan Parlimen yang menghimpunkan wakil-wakil rakyat yang dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat. Melihat kepada contoh yang berlaku di negara ini bangunan Parlimen telah memberi kesan yang sangat penting dalam interaksi, formulasi dan perkembangan politik tanah air. Ini kerana Parlimen telah memainkan peranan membentuk mekanisme yang lebih demokratik melalui "check and balance". Namun berita mengenai cadangan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membina bangunan baru Parlimen di Putrajaya baru-baru ini dilihat oleh banyak pihak sebagai agak mengejutkan. Cadangan tersebut yang dikatakan sebagai memenuhi keperluan pada masa depan sudahpun dibawa ke Kabinet untuk perbincangan lanjut. Bangunan yang dikatakan bernilai RM800 juta itu bakal menggantikan bangunan sedia ada yang akan dibaik pulih dan dicadangkan untuk kekal sebagai bangunan warisan. Bangunan Parlimen Malaysia yang tersergam indah di ibu negara merupakan simbol demokrasi berparlimen. Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman telah bersetuju dengan cadangan pembinaan bangunan Parlimen pada Disember 1959. Kerja-kerja pembinaan disiapkan pada September 1962, dan perasmian bangunan Parlimen yang baru dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong yang ketiga, Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, pada 21 November 1963. Kos perbelanjaan pembinaan bangunan ini berjumlah RM18 juta. Kompleks bangunan Parlimen ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sebuah bangunan utama 3 tingkat dan sebuah menara setinggi 17 tingkat. Bangunan utama 3 tingkat ini menempatkan dua buah dewan utama iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara manakala sebuah menara setinggi 17 tingkat pula menempatkan pejabat pentadbiran, pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara. Jika diperhatikan bangunan Parlimen di kebanyakan negara di dunia masih lagi berdiri kukuh sebagai bangunan yang masih terus memperjuangkan matlamat asalnya tanpa perlu ditukar ganti. Lihat sahaja bangunan Parlimen di Britain yang turut dikenali sebagai Palace of Westminster yang menjadi tempat pertemuan kepada ahli House of Lords dan House of Commons. Bangunan tersebut yang terletak di tebing sungai Thames merupakan kediaman rasmi Raja England sebelum kebakaran yang berlaku pada 1512 memusnahkan hampir keseluruhan kompleks berkenaan. Bangunan berkenaan yang dibina pada kurun ke 11, telah menempatkan Ahli Parlimen mereka untuk bersidang sejak kurun ke 13 selain turut menempatkan Mahkamah Agung di sekitar kompleks berkenaan. Selepas kebakaran pada tahun 1512, bangunan berkenaan telah dijadikan Rumah Parlimen sepenuhnya sebelum sekali lagi kebakaran lebih besar berlaku pada Oktober 1834. Struktur bangunan yang terselamat dalam kejadian itu adalah Westminster Hall, Cloisters and Chapter House of St Stephen's, Chapel of St Mary Undercroft dan Jewel Tower. Kesenian Bangunan Parlimen Kanada atau turut dikenali sebagai Parliament Hill yang memaparkan kesenian gothik dan senibina yang tinggi bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyatnya malah turut menjadi tumpuan pelancong dengan tiga juta pelawat berkunjung ke situ berikutan seni binanya yang unik. Parliament Hill yang terletak di pinggir sungai Ottawa dalam wilayah Ontario telah dibangunkan bersama dengan bangunan-bangunan kerajaan yang lain pada awal kurun ke-18. Namun akibat dari beberapa pengubahsuaian serta kebakaran yang berlaku pada 1916 yang memusnahkan blok tengah, ia akhirnya siap sepenuhnya pada 1927. Majlis pecah tanah pembinaan bangunan berkenaan telah berlangsung pada 20 Disember 1859, oleh Prince Albert Edward, Prince of Wales yang kemudian menjadi Raja England dikenali sebagai King Edward VII. Projek tersebut merupakan projek paling besar di Amerika Utara. Namun akibat dari masalah kedudukan tanah yang tidak sesuai, projek itu ditangguhkan dan hanya diteruskan pada 1861. Dianggarkan lebih AS$1.6 juta (RM5.1 juta) dibelanjakan untuk menyiapkan bangunan tersebut. Blok tengah Parliament Hill menempatkan Dewan Senat dan Dewan Rakyat dan di hadapannya pula terletak Peace Tower serta Perpustakaan Parlimen. Manakala di blok timur dan barat pula menempatkan pejabat menteri dan Senator selain bilik mesyuarat dan pentadbiran. Rumah Parlimen India atau dikenali sebagai Sansad Bhavan merupakan sebuah bangunan berbentuk bulat yang direka bentuk oleh arkitek dari Britain Sir Edwin Lutyens dan Sir Herbert Baker pada 1912-1913. Pembinaan bermula pada 1921 dan pada 1927 bangunan berkenaan dibuka sebagai dewan untuk menempatkan Ahli Majlis Negara, Dewan Perundangan Pusat dan Dewan Diraja. Majlis pembukaan dilakukan oleh Gabenor Jeneral ke India ketika itu Lord Irwin dengan kos pembinaan sekitar Rs 83 lakhs. Bangunan ini yang penuh dengan ciri-ciri keunikan tradisional India dibina dengan keluasan enam ekar dan turut menempatkan 12 pagar termasuk pagar utama yang dinamakan Sansad Marg. Kini bangunan ini menjadi bangunan Parlimen India yang menempatkan Ahli Parlimen India yang terdiri dari Dewan Rakyat yang juga dikenali sebagai Lok Sabha dan Dewan Negara atau Rajya Sabha selain pejabat Presiden. Begitu juga hakikatnya bila kita melihat kepada bangunan yang menjadi pusat pertemuan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Bangunan Capitol yang menjadi mercu tanda kejayaan kuasa besar itu mentadbir dunia. Bangunan ini yang dibina pada September 1793 dengan majlis pecah tanah dilakukan sendiri oleh Presiden ketika itu George Washington. Bangunan berkenaan mula diduduki untuk sesi mesyuarat Kongres yang pertama pada 17 November 1800 walaupun ia belum siap sepenuhnya. Namun akibat peperangan pada 1812 tentera British bertindak membakar separuh dari bangunan berkenaan. Bangunan Capitol telah melalui beberapa fasa perubahan dan penambahbaikan iaitu pada 1815, 1826, 1850, 1904,1958 dan 2001. Bangunan ini yang terletak di Washington melibatkan keluasan 274 ekar termasuk beberapa bangunan lain dengan senibina American Neoclassicism. Bangunan ini turut menempatkan perwakilan dari Dewan Senat dan Dewan Perwakilan. Berdasarkan kepada nilai sejarah bangunan Parlimen dalam menyelenggara pembangunan dan kemajuan yang dikecapi sehingga kini adalah menyedihkan untuk menamatkan tempoh perkhidmatannya hanya berlandaskan kehendak dan keperluan semasa. Sedangkan hakikatnya bangunan tersebut masih mampu berfungsi seperti sedia ada tanpa perlu dipindahkan kemana-mana destinasi yang dirasakan perlu. Mungkin ada yang beranggapan bangunan tersebut sudah tidak mampu menampung jumlah kehadiran Ahli Parlimen dan pengunjung yang semakin bertambah bersesuaian dengan keadaan semasa. Namun jika kita melihat kepada kos pembinaan yang agak tinggi selain nilai-nilai sejarah yang telah menyaksikan pelbagai kejayaan yang dikecapi hingga kini adalah menyedihkan jika bangunan yang masih indah tersergam sebagai simbol perjuangan demokrasi sejak selepas kemerdekaan akhirnya hanya terkubur sebagai bangunan warisan yang tidak memainkan apa-apa peranan yang nyata. - MINGGUAN MALAYSIA |
Posted: 12 Jun 2010 09:03 AM PDT Pernahkah anda merasa denyutan ngilu pada gigi apabila minum air sejuk, menikmati manis-manisan atau ketika menghirup sup panas? Bagaimana pula dengan ais krim bercampur kek coklat yang anda idamkan, tetapi tidak berani untuk merasa kerana takut terasa sakit pada gigi anda? Jiika ya, anda mungkin mengalami masalah gigi sensitif atau kehiperpekaan dentin (dentine hypersensitivity). Gigi sensitif adalah keadaan yang sering dialami hampir 57 peratus pesakit gigi di dunia. Berdasarkan Kajian Omnibus Colgate Malaysia, 14 peratus rakyat Malaysia mengadu mengalami masalah gigi sensitif. Isu gigi sensitif ini juga kian mendapat perhatian dan menjadi keprihatinan orang ramai kerana ia sememangnya menjejaskan mutu kehidupan seharian. Masalah gigi sensitif ini bukan saja mengekang gaya hidup, tetapi ramai yang dirundung masalah ini terpaksa menahan kesakitan dan mereka sering enggan berjumpa dengan doktor gigi kerana takut akan kesakitan yang akan dialami. Gigi sensitif adalah ketidakselesaan pada sebatang gigi atau lebih, yang disebabkan oleh makanan dan minuman yang panas, sejuk, manis atau masam, ataupun hanya setakat dengan menghirup udara sejuk. Rasa sakit biasanya tajam dan mendadak, dan boleh menusuk dalam sehingga ke hujung saraf gigi anda. Dalam pada itu, kehadiran produk penjagaan oral berkaitan gigi sensitif di pasaran mungkin membantu golongan ini menikmati pelbagai hidangan enak tanpa batasan. Misalnya, kehadiran jenama ubat gigi yang telah terbukti secara klinikal, Colgate Sensitive Pro-Relief untuk merawat masalah itu dengan cepat dan kekal lama. Produk ini dibangunkan melalui teknologi Pro-Argin yang berupaya untuk menghalang menghindari penghantaran saraf rasa panas, sejuk, udara dan tekanan ke reseptor sakit pada gigi. Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr. Lee Soon Boon berkata, dengan adanya produk ini, masyarakat Malaysia yang mengalami masalah gigi sensitif boleh mendapat kelegaan cepat tanpa perlu ke klinik. Keberkesanannya dapat dilihat apabila pengguna mengalami kelegaan segera dengan hanya menyapu ubat gigi itu ke bahagian yang berkaitan sambil mengurut dengan hujung jari selama seminit. Maklumat lanjut mengenai masalah gigi sensitif dan produk Colgate Sensitive Pro-Relief boleh didapati dengan melayari laman web www.colgatesensitiveprorelief. com.my |
Posted: 12 Jun 2010 08:24 AM PDT Hadith : Dari Jabir r.a, katanya dia mendengar Nabi s.a.w bersabda:"Apabila ada di antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita maka hendaklah dia pulang kepada isterinya untuk melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya." (Muslim) Huraian: Rumah tangga orang beriman adalah benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Rumah yang didiami bukan sekadar tempat berlindung dari panas dan hujan bahkan ia merupakan tempat untuk beristirehat, membina kasih sayang antara ahli keluarga, anak dan isteri dan mencari keredhaan Allah S.W.T. Sesungguhnya, alasan yang paling kukuh mengapa manusia itu perlu berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi. Dengan perkataan lain ia adalah fitrah yang dijadikan oleh Allah S.W.T. Maka atas tuntutan tersebut, tanpa adanya perkahwinan kadangkala manusia akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat. Sebab itulah Islam memuliakan sebuah perkahwinan dan amat menggalakkan umatnya supaya berkahwin sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (Bukhari) Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia |
You are subscribed to email updates from MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |