Adsense

Isnin, 14 Jun 2010

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


Terus ligat...Sarimah Ibrahim

Posted: 14 Jun 2010 01:29 AM PDT

Sarimah Ibrahim
Sarimah Ibrahim
Banyak kerja perlu dibuat, tetapi Sarimah tidak abaikan kesihatan

JADUAL hariannya cukup padat sebelum ini. Apatah lagi apabila di bahunya tergalas tanggungjawab cukup besar. Mungkin bagi sesetengah pihak, bergelar pengacara program Akademi Fantasia ke-8 (AF8), tidak lebih sekadar satu tugas glamor kerana ia menjanjikan bulan dan bintang buat mereka yang dipilih. Namun, itu tidak buat pengacara, model, pelakon dan penyanyi Sarimah Ibrahim. Bagi selebriti jelita ini, bergelar pengacara AF menuntut lebih dari itu. Hambatan tugas yang tak pernah selesai serta perlu berdepan dengan pelbagai kritikan membuat pelakon berdarah Irish-Melayu ini sering dalam keadaan tekanan.Kini, Sarimah sudah boleh menarik nafas lega memandangkan tugasnya yang sering dibaluti kontroversi itu berakhir pada 22 Mei lalu. Walaupun AF8 sudah hampir sebulan ditinggalkan, namun masih ada suara nakal menyatakan, pengacara untuk musim AF8 gagal memberikan impak yang berkesan kepada penonton berbanding dua pengacara sebelum ini.

Ini ketara apabila AF musim ini tidak mendapat perhatian sehebat tujuh musim sebelum ini. Malah kalau hendak dibandingkan dengan fenomena yang pernah dicetuskan program di awal-awal kemunculannya dulu, ibarat langit dengan bumi.
Hanya kritikan yang kedengaran, bukannya pujian. Apabila diajukan pertanyaan ini, Sarimah menafikan kehambaran program itu berpunca daripada pengacara sahaja.

"Sebenarnya ulasan negatif yang diterima adalah untuk program AF8 itu secara keseluruhan.
"Biasalah, apabila sesebuah program melakukan banyak perubahan, tidak semua pihak boleh menerimanya. Ini bukan saja program realiti tempatan tetapi juga di luar negara seperti American Idol. Program ini turut menerima komen yang mengatakan ia kurang menyengat.

"Berdasarkan komen yang saya terima setakat ini, rata-rata memberikan maklum balas positif. Bagaimanapun, jika ada kekurangan, itu adalah lumrah. Perjalanan saya masih jauh dan saya akan terus belajar memantapkan kemahiran serta corak penyampaian jika terus diberi peluang menyumbangkan bakat saya dalam bidang yang dicintai ini," katanya dalam satu temubual bersama Hip.

Seperti yang dinyatakannya tadi, bergelar pengacara AF bukanlah setakat membina tapak kukuh dalam bidang pengacaraan serta mengejar limpahan glamor tetapi turut memberikan pengalaman berharga yang tidak mungkin dapat dikutip di mana-mana.

"Dapat banyak pengalaman, antaranya saya dapat mengenali sikap dan pemikiran penonton program ini, mengetahui harapan penonton serta menyuntik semangat baru apabila berpeluang bekerja dengan produksi yang tidak pernah kenal erti jemu serta gigih berusaha semata-mata untuk memuaskan hati semua pihak yang menonton AF8," kata penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kini Kau Tiada.

Dengan tamatnya AF8, jadual harian berubah serta kembali seperti biasa iaitu kembali aktif menjadi pengacara untuk pelbagai majlis.

"Selain itu, saya juga akan menyambung pembelajaran saya dalam bidang psikologi di kolej serta terbabit mengendalikan acara majlis hari lahir, makan malam dan festival.

"Saya juga ada menerima tawaran sebagai pengacara Biggest Loser Asia untuk muzik kedua. Bagaimanapun, saya belum memberikan sebarang kata putus kerana masih lagi menjadi pengacara eksklusif Astro dan apa saja keputusan yang dibuat, harus mengutamakan mereka terlebih dulu.

"Tapi, saya difahamkan, mereka mempunyai perancangan untuk menerbitkan sebuah rancangan baru untuk saya di saluran Astro Ria," katanya yang kini semakin langsing.

Tak guna gula pasir

MESKIPUN jadual hariannya padat dengan pelbagai aktiviti, namun pada masa sama, Sarimah tidak pernah mengabaikan kesihatannya. Dia akan sentiasa memastikan mempunyai masa untuk dihabiskan gimnasium bagi mengekalkan kecergasan. Apa saja aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh seperti berlari, berbasikal, semua itu dilakukannya.

Tegasnya, sebagai personaliti, dia perlu sentiasa kelihatan cergas dan cantik dan untuk itu harus memastikan aktiviti bersenam harus dilakukan selain menjaga pemakanan harian.

"Saya akan memastikan tidur saya sentiasa cukup iaitu lapan jam sehari, minum air satu liter sehari serta tidak menambah gula dalam air minuman. Sejak lapan tahun lalu, saya memang tidak pernah menggunakan gula pasir dalam minuman.

"Semuanya bermula apabila berat badan saya bertambah dan sejak itu, saya menggunakan Equal sebagai gula gantian dalam minuman. Lagipun, selain untuk kesihatan, gula ini juga senang di bawa ke mana-mana.

"Saya selalu membawa gula gantian Equal dalam beg untuk diletakkan dalam air minuman kegemaran saya iaitu milo dan kopi. Saya suka menambah Equal dalam minuman sebelum terbabit dengan penggambaran atau sebelum ke gimnasium," katanya yang kini dipilih sebagai duta kepada produk Equal ini.

Sebagai jurucakap kepada produk terbabit, Sarimah merasakan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik masyarakat supaya mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman demi kesihatan.

"Kita sendiri sedia maklum penggunaan guna yang terlalu banyak boleh menyebabkan penyakit kencing manis dan kegemukan. Pengetahuan yang saya timba sewaktu menjadi pengacara Biggest Loser Asia boleh dijadikan panduan untuk berkongsi soal penjagaan kesihatan dengan peminat," kata Sarimah yang mempunyai perancangan untuk membuka perniagaan berasaskan sukan menyelam.

Gadai nyawa

Posted: 14 Jun 2010 01:27 AM PDT

PENDUDUK Kampung Beriang dan Kampung Pamah Aur menggadai nyawa  setiap hari meniti jambatan gantung usang.
PENDUDUK Kampung Beriang dan Kampung Pamah Aur menggadai nyawa setiap hari meniti jambatan gantung usang.
Penduduk meniti jambatan usang setiap hari

KUALA LIPIS: Lebih 450 penduduk Kampung Beriang dan Kampung Pamah Aur dekat sini menggadai nyawa setiap hari meniti jambatan gantung usang yang menghubungkan kedua-dua kampung itu sejak lima bulan lalu. Jambatan gantung yang berusia lebih 30 tahun itu menjadi laluan utama penduduk berulang alik sama ada untuk mencari rezeki, menghantar anak ke sekolah dan aktiviti harian, termasuk ke surau. Penduduk, Wan Mohd Arif Wan Ahmad, 73, berkata mereka tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menyeberangi Sungai Tanum yang menghubungi kedua-dua kampung kerana jambatan gantung itu adalah jalan pintas dan menjimatkan masa.

"Paling membimbangkan penduduk kampung ialah keselamatan dan nyawa anak-anak kecil dan pelajar yang menyeberangi sungai setiap pagi untuk ke sekolah.

"Pelajar sekolah terdedah kepada bahaya kerana tempat pemijak licin dibasahi embun pagi dan mereka boleh tergelincir ke dalam sungai jika tidak berhati-hati," katanya.

Beliau berkata, jambatan itu mengalami kerosakan kesan daripada banjir yang berlaku awal tahun lalu menyebabkan tempat pejalan kaki tidak dapat digunakan lagi kerana ia senget hampir 90 darjah.
Saleh Mamat, 69, berkata, mereka terpaksa memijak jaring penghadang keselamatan yang diperbuat daripada dawai untuk menyeberang dan meniti dengan berhati-hati sambil tangan berpaut pada besi untuk mengelak dan menahan daripada tergelincir.

"Konkrit yang menjadi penghubung utama di kedua-dua jambatan sepanjang 200 meter dan lebar 1.5 meter itu turut tercabut.

"Kami juga bimbang keselamatan nyawa warga emas yang mengadu sakit atau pening kepala ketika menyeberangi jambatan itu yang berayun dan beralun menyebabkan warga emas boleh terjatuh ke dalam sungai," katanya.

Beliau berkata, penduduk kampung dimaklumkan kerajaan akan membina jambatan baru yang dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui agensi kementerian itu iaitu Risda dengan perbelanjaan RM250,000.

"Kami difahamkan urusan tender dan kerja teknikal akan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Lipis.

"Bagaimanapun kami terkilan kerana terpaksa mengambil masa yang terlalu lama untuk memulakannya kerana mengikut prosedur," katanya.

Katanya, kerosakan jambatan gantung yang sangat teruk sejak lima bulan lalu perlu diganti segera sebelum ada nyawa yang terkorban.

Penduduk Kampung Pamah Aur, Norazman Mohamad, 40, berkata, kerajaan sepatutnya menggunakan peruntukan khas atau kecemasan membina projek yang mendapat keutamaan bagi menjaga keselamatan rakyat.

Norazman yang mempunyai tiga anak bekerja sebagai penoreh getah dan terpaksa menggunakan dua motosikal untuk menjalankan kerja dan urusan hariannya itu sejak jambatan gantung berkenaan rosak.

Katanya, sebuah motosikal di letak di Kampung Beriang dan sebuah lagi di Kampung Pamah Aur kerana motosikal tidak lagi boleh digunakan untuk menyeberangi sungai Tanum.

Kes Badrul Muhayat Disebut Semula 28 Jun

Posted: 14 Jun 2010 01:12 AM PDT

Badrul Muhayat diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin

KUALA LUMPUR: Kes pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, yang menghadapi dua pertuduhan mencederakan isterinya, akan disebut semula di Mahkamah Majistret Ampang di sini, 28 Jun ini.

Majistret Wan Karimah Wan Abdul Ghani menetapkan tarikh itu selepas dimaklum oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Husnita Mohd Radzi bahawa pendakwaan belum memperoleh kertas siasatan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mengetahui sama ada pertuduhan kedua terhadap pelakon itu perlu dipinda.

Nor Husnita berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang arahan berkaitan pindaan bagi pertuduhan kedua itu.

Pada 6 April lalu, Badrul Muhayat, 42, yang diwakili peguam Abdul Rashid Tasin mengaku tidak bersalah menumbuk muka dan menendang perut Julia Daud, 29, di rumah mereka di Kampung Cheras Baru, Hulu Langat, pada 7 pagi, 24 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memukul punggung dan kaki Julia dengan batang penyapu pada waktu dan di tempat yang sama. Pelakon tersebut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan Badrul Muhayat diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Bicara Kes Cerai Anne 21 Jun

Posted: 13 Jun 2010 10:03 PM PDT

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 21 Jun sebagai tarikh perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai pelakon, Anne Ngasri (gambar) dan suaminya, Abdul Wafi Hassan.

Hakim Syarie, Saiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh itu setelah peguam syarie Hamidullah Che Hassan yang mewakili defendan, Abdul Wafi, 28, memohon tarikh baru untuk perbicaraan kes tersebut.

Permohonan pengesahan lafaz cerai telah difailkan oleh Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, selaku plaintif terhadap defendan pada 16 April lalu.

Hamidullah ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu penyata pembelaan telah difailkan hari ini dan mahkamah telah menetapkan tarikh baru untuk perbicaraan.

"Penyata pembelaan difailkan hari ini dan tiada sebarang tuntutan balas daripada plantif. Tarikh bicara telah ditetapkan pada 21 Jun ini, di sini pada pukul 9 pagi," jelasnya.

Anne yang tidak diwakili peguam syarie hadir ke mahkamah dengan ditemani keluarganya sementara Abdul Wafi pula ditemani rakan-rakannya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka enggan memberikan sebarang komen ketika dihampiri pihak media.

Pasangan itu bernikah pada 26 Mei 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Abdul Warits, 2, dan Abdul Wafri yang berusia empat bulan.

Difahamkan mereka tinggal berasingan sejak 25 Mac lalu selepas lafaz cerai itu dibuat.

kayu tempatan

Posted: 13 Jun 2010 08:06 PM PDT


Lantai kemasan daripada kayu keras tempatan lebih tahan lasak.


APAKAH pilihan anda untuk menghias lantai apabila berpindah ke rumah baru? Adakah hiasan lantai berasaskan jubin, marmar atau kayu yang menjadi pilihan.

Apa kata, jika menukar selera kepada lantai daripada kayu tempatan yang nyata berkualiti dan tahan lama.

Biasanya, apabila kita mahu memasang lantai kayu kawan-kawan atau pihak kontraktor sendiri pasti mencadangkan kayu import.

Yang selalu disebut ialah oak dan jati. Oak biasanya diimport dari Eropah dan jati pula dari negara-negara jiran.

Jarang sekali kita mendengar mengenai lantai daripada kayu keras tempatan.

Sedangkan kayu tempatan jauh lebih berkualiti dan tahan lama berbanding yang diimport.

Lantai daripada kayu keras tempatan cukup tahan lasak. Ia mudah dicuci dan tahan kotor. Permukaannya tahan bertahun-tahun dan datang dengan corak yang berbeza serta menarik.

Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), kayu keras Malaysia lebih tahan lasak berbanding oak.

Kayu-kayu ini juga lebih sesuai dengan persekitaran cuaca negara ini berbanding kayu import.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh FRIM, terdapat 11 jenis yang disenaraikan sebagai kayu keras di Malaysia.

Tetapi tiga jenis kayu yang sering digunakan atau yang popular ialah cengal, merbau dan tembusu. Satu lagi ialah keruing yang terletak dalam kategori sederhana keras.

Semua ini antara kayu yang dijadikan kemasan lantai dan dibekalkan oleh syarikat Kemuning Kayu Keras Sdn. Bhd. yang berpejabat di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.

Jadi, jika berhajat untuk menukar lantai rumah kepada kayu boleh pilih pelbagai pilihan lantai kayu keras tempatan yang pelbagai jenis ini .

Pengarah Kemuning Kayu Keras, Abdul Samad Tajudin berkata, lantai kayu memang merupakan trend pada masa ini.

Selain kemasan daripada marmar, jubin dan permaidani, lantai kayu lebih praktikal dan cukup tahan lasak.

Tetapi katanya, jika memilih untuk memasang lantai kayu seeloknya pilih kayu tempatan.

"Yang paling penting ialah dari segi kesesuaian dengan cuaca negara kita.

"Malah lantai kayu keras tempatan ini cukup popular di Eropah dan Amerika Syarikat sebab ketahanannya," kata Abdul Samad.

Katanya, di Kemuning Kayu Keras, lantai yang digunakan adalah daripada kayu asli. Tidak ada penggunaan kimia atau bahan tiruan.

"Kita menggunakan kayu asli yang cukup lasak dan boleh tahan untuk beberapa generasi. Seperti rumah kayu yang lama yang mampu bertahan lama," jelasnya.

Lagi pula katanya, rumah yang mempunyai lantai kayu keras tempatan nilainya lebih tinggi.

Lantai kayu ini sesuai digunakan di ruang tamu, ruang makan, bilik tidur tangga.

Kayu lebih tempatan lebih berkualiti. Harga setiap kayu juga berbeza dengan cengal mendahului senarai sebagai kayu yang termahal.

"Kita mempunyai kilang di Besut Terengganu. Apabila ada tempahan daripada pengguna kita akan membawanya dari terengganu.

"Saiz kayu untuk lantai ini juga bergantung kepada permintaan penggunaan," katanya.

Selain lantai katanya, hiasan kayu juga boleh digunakan untuk pelbagai kemasan lain termasuk dinding, siling dan tangga.

"Pada masa ini kami membekal dan memasang lantai kayu keras ini untuk beberapa projek perumahan di sekitar Lembah Klang.

"Kami juga sedia menerima permintaan atau tempahan daripada individu yang berminat untuk menukar lantai rumah mereka kepada kayu keras tempatan yang begitu berkualiti ini," katanya.

Seorang lagi Pengarah Kemuning Kayu Keras, Khir Johari Shafie memberitahu, pelanggan boleh memilih corak dan jenis kayu untuk hiasan lantai pilihan mereka.

Bagi yang bercita rasa tinggi boleh menggunakan kayu cengal dengan harga sekitar RM38 bagi sekaki persegi.

Cengal merupakan antara kayu yang paling keras dan tahan lasak untuk dijadikan lantai dan kemasan lain.

Pilihan lain ialah tembusu dan merbau dengan harga sekitar RM8 ke RM10 bagi sekaki persegi.

Bagaimanapun harga berbeza-beza mengikut ketebalan kayu yang dipilih.

Membangkitkan suasana damai

Posted: 13 Jun 2010 08:05 PM PDT


SUSUNAN perabot di Swasana ringkas. Hotel impiana gemar memilih hiasan yang tidak terlalu padat tetapi selesa untuk pelanggan.


SAMBUTAN pertama sebaik masuk ke Swasana Spa sungguh mendamaikan jiwa. Elemen tradisional dan moden bergabung menghasilkan suasana kontemporari.

Bertemankan alunan muzik tradisonal, hati pasti terpesona dengan hiasan yang berasaskan rempah-ratus dan kayu.

Lantai dan dinding pula diperbuat daripada kayu menghasilkan sentuhan sejuk, nyaman dan selesa. Tidak seperti berada di kota metropolitan, hati pasti terpaut melihat hiasan di setiap ruang.

Sambil menjamu teh halia, mata leka menyaksikan susunan sofa sederhana dipadankan meja kayu kecil.

Di tepi ruang berehat, kita dapat menyaksikan hiasan daun-daun hidup dan susunan batu-batu hiasan kecil.

Jika kebanyakan pusat rawatan lain memilih menggantungkan bingkai gambar moden, Swasana pula mengutamakan hiasan berasaskan rempah-ratus. Sesuai dengan konsep urutan tradisonal, semestinya hiasan cengkih, bunga lawang, tongkat ali dan kulit kayu manis yang diawet disusun kemas.

Ternyata idea menarik itu mewujudkan suasana rileks.

Pertama kali menyusun langkah di laluan yang disediakan, terdetik perasaan takut. Pengunjung akan berjalan di atas kaca yang di bawahnya terdapat hiasan batu. Unik dan kreatif. Bukan itu sahaja, susunan kayu dinding juga menambat hati. Di sebalik elemen tradisional, pengunjung masih dapat melihat hiasan moden seperti lampu kecil dan siling. Bilik sauna juga menggunakan hiasan moden walaupun di kelilingi kayu. Lebih menarik, jika terdapat aliran air di sepanjang tempat laluan. Terdapat sebuah hiasan kayu yang unik, seperti tidak nampak fungsi sebenar tetapi ia berjaya menyuntik suasana kontemporari.

Bagi mereka yang ingin berehat sambil menikmati suasana siang atau malam di Kuala Lumpur, ruangan bersantai disediakan. Sambil mengurut kaki, pengunjung akan merasai pengalaman yang indah kerana anda dijamu dengan pemandangan kolam renang dan KLCC.

Sambil diulit alunan muzik, anda akan lena dibuai dengan sapuan minyak yang mampu menghilangkan kepenatan seharian menguruskan tugasan kerja.

Sementara itu, jika anda bercadang berbulan madu atau bercuti di kota metropolitan Kuala Lumpur, Hotel Impiana mungkin tempat yang sesuai. Sambil menikmati layanan indah di Swasana Spa di tingkat empat, anda boleh menghayati keindahan dekorasi bilik di hotel tersebut. Lokasinya di tengah-tengah bandar raya berdekatan Menara Berkembar Petronas, menyebabkan lokasi pilihan kali ini sangat strategik.

Hotel Impiana turut memilih konsep tradisonal dan moden. Bercita rasakan elemen kontemporari, setiap katil dilapik dengan cadar bermotifkan songket. Selain lantai berasaskan kayu, susunan perabot moden ternyata kemas dan selesa.

Suamiku berkorban untuk kekasih

Posted: 13 Jun 2010 08:04 PM PDT

UDAH bertahun-tahun ruangan DCCK ini menjadi bahan bacaan ramai kaum wanita, tetapi rasanya tidak ramai yang mengambil iktibar, baca sekadar baca dan untuk mengisi masa lapang sahaja, bila dah terjadi kepada diri sendiri barulah percaya. Bak kata pepatah Melayu dah terhantuk baru tengadah''

''Begitulah dengan saya suatu ketika dulu. Sekarang saya ingin jadikan diri saya sebagai contoh supaya anda jangan jadi macam saya, jadikan kesilapan masa lalu saya sebagai teladan.'' Demikian cerita Noralisa dalam e-melnya kepada penulis.

''Saya mahu tanamkan dalam minda pembaca semua jangan percaya seratus peratus sumpah apalagi janji manis suami. Mereka boleh bersumpah beratus malah beribu kali, tetapi satu pun tidak akan dikotakan.

''Apa yang mereka lakukan hanya untuk mententeramkan jiwa anda seketika supaya anda tidak histeria, mengamuk dan merajuk. Biarlah saya buka tirai kehidupan saya yang sudah lebih 20 tahun berkahwin dan ada empat anak untuk anda tatap.

''Siapa sangka setelah lama berkahwin, baru dua tahun lalu baru saya dapat tangkap aktiviti curang suami saya. Dia menjalin hubungan dengan ramai wanita.

''Hancur lulur hati saya, sebab selama ini saya terlalu percayakan dia, saya tidak sangka dia curang terhadap saya. Kerana daripada apa yang digambarkan kepada saya selama ini seolah-olah dia suami yang baik. Tapi itu semua pura-pura dia mempunyai kehidupan yang amat berbeza di belakang saya, yang tidak saya ketahui.

''Bila dapat tahu saya tak percaya juga, tapi saya selidik tanpa pengetahuannya, dalam diam saya dapat kumpul banyak bukti tanpa dia sedar.

''Satu hari saya tanya dia benarkah dia hubungan dengan perempuan lain. Dia nafikan malah menempelak saya balik konon dia begitu setia mengapa saya tuduh sembarangan. Terkejut dia bila saya tunjukkan bukti. Ada kondom dan ubat kuat yang dia tidak gunakan kepada saya. Saya sebutkan sekali nama teman wanitanya. Hubungan mereka bukan sekadar kawan biasa, malah lebih daripada itu.

''Akhirnya baru dia mengaku, tetapi tetap mendakwa mereka hanya kawan biasa. Takkan saya tak boleh bezakan antara kawan biasa dengan kekasih. Kemudian dia bersumpah tidak akan menjalin hubungan lagi, dia mengaku masih sayangkan kami.

''Tapi Allah tunjukkan bukti kecurangannya lagi. Sumpah jadi mainannya. Dia lebih sedia dengan wanita lain daripada saya.

''Saya amat sedih pengorbanan saya selama ini sia-sia, banyak wang ringgit saya lebur kerana percayakan suami. Dia suka buat bisnes, sayalah tempat dia mengadu pinjam duit. Simpanan saya habis, barang kemas lesap.

''Bila ada duit bukan dia bayar hutang saya atau tebus barang kemas, sebaliknya dia habiskan dengan wanita lain, siapa tak sakit hati. Macam mana bisnes nak maju kalau keuntungan dia buat maksiat. Jalan terakhir saya memohon cerai secara tuntutan fasakh.

''Bayangkan selama ini semua perbelanjaan makan minum dan urusan rumah tangga terletak ke atas bahu saya.

Perangai

''Tapi dengan perempuan lain dia sentiasa ada duit. Sanggup belikan dan bayar bil telefon. Bagi duit beribu ringgit. Kalau dengan anak-anak minta duit memanjang dia jawab tiada duit.

''Berbalik pada cerita permohonan cerai saya, bila dia tahu dia marah dan mengamuk. Tapi saya telah tetapkan hati. Kerana sakit hati dia tabur fitnah kepada ibu dan mertua saya kononnya saya minta cerai sebab ada jantan lain.

''Kepada anak-anak dia beritahu saya dah gila nak minta cerai. Sebenarnya anak-anak lebih dulu tahu perangai buruk ayahnya daripada saya, cuma mereka tak sampai hati nak bagi tahu saya. Mereka selalu tanya kenapa saya tak marah ayahnya balik subuh, takkan buat bisnes sampai subuh. Saya saja yang bodoh tak faham.

''Bila nak bercerai suami saya mula jalankan taktik memujuk, dia berjanji dengan peguam saya tidak akan mengulangi perbuatan terdahulu. Akhirnya peguam saya mencadangkan saya tarik balik dengan syarat suami saya bersumpah depan hakim secara suluk.

''Saya ikut cadangan peguam dengan syarat jika dia langgar syarat yang ditetapkan saya tidak akan bertolak ansur. Lagipun emak mertua saya mohon saya maafkan anak dia.

''Lepas saya tarik balik permohonan fasakh, suami saya bukan main baik lagi. Tapi sekejap saja. Baru-baru ini saya dapat tangkap dia buat hubungan dengan wanita lain. Jadi salahkan saya bertindak minta cerai?

''Saya bersyukur kepada Allah kerana kini rezeki saya semakin dilebarkan oleh-Nya. Sementara rezeki suami semakin sempit. Sebenarnya selama ini pendapatan suami hanya untuk dirinya sahaja, bukan untuk keluarga, dan inilah pembalasan Allah kepadanya.

''Jadi saya ingin mengingatkan kaum wanita janganlah percaya suami 100 peratus.

''Sebenarnya kalau siapa pun lihat muka suami saya tak akan percaya dia buat kerja terkutuk itu. Baiknya muka dan tingkah laku dia di mata orang macam orang alim ulamak bak kata orang sekarang muka syurga tapi hati neraka.

Demikian cerita Noralisa yang masih bersabar menunggu. Harapannya pengorbanannya selama ini membawa keberkatan kepada anak-anaknya dunia dan di akhirat.

Transisi gaya lelaki

Posted: 13 Jun 2010 08:03 PM PDT


SEBAGAI penggerak industri fesyen, Xavier percaya lelaki pada masa kini sudah berani mencuba pelbagai gaya.


SEKALI pandang memang tidak sangka anak muda ini mempunyai keghairahan yang tinggi dalam fesyen. Xavier Mah ternyata bijak mengadunkan elemen fesyen masa kini. Berbekalkan pengalaman dalam industri fesyen, Xavier mengorak langkah sebagai Pangurus Jenama Komunikasi E-Maxium Fashion (M) Sdn. Bhd. Slogan 'yakin tanpa rasa angkuh' sentiasa menjadi pegangan hidup Xavier Mah sejak kecil.

Malah beliau percaya tiada yang mustahil bagi seseorang untuk mengecapi kejayaan.

Sebagai penggemar fesyen, Xavier kagum dengan perkembangan fesyen lelaki masa kini.

Perubahan pemikiran lelaki terhadap pakaian sememangnya ketara berbanding era 80-an dan 90-an. Lelaki kini mula berani menggayakan pakaian yang bercorak dan aksesori.

"Transisi ini amat ketara kerana lelaki sekarang sudah mula menitikberatkan penampilan rambut dan menjaga wajah. Selain tampil macho, mereka juga lebih maskulin," katanya.

Selain pakaian, bekas Pengurus Perhubungan Awam dan Pemasaran A Cut Above itu turut menekankan kepentingan gaya rambut dan solekan.

Bagi Xavier, fesyen menggambarkan personaliti diri. Ia adalah lambang keyakinan dan pengenalan diri.

Pada waktu lapang, Xavier juga berjinak-jinak dalam bidang juru perunding imej, solekan dan dandanan. Kesemua kemahiran itu saling berkaitan untuk menyerlahkan penampilan.

Antara personaliti yang pernah mendapat sentuhan istimewa Xavier termasuk pelakon, Diana Danielle, Belinda Chee, Chermaine Poo, Chelsia Ng dan ramai lagi.

Ida tak jemu MOnster Muffin

Posted: 13 Jun 2010 08:02 PM PDT


Elia Juaini (kanan) membantu kakaknya, Ida Marlina menyiapkan tempahan mufin.


SEJAK usia belasan tahun lagi, Ida Maslina sudah mula menunjukkan minat membuat mufin dan pelbagai jenis kek.

Berpandukan buku resipi dan majalah serta tunjuk ajar ibunya, gadis kecil itu tak jemu mencuba. Pengalaman mufin tidak menjadi, hangus, mengeras dan sebagainya sudah lumrah. Namun, dia tidak pernah berputus asa dan terus mencuba.

Berkat usaha tanpa jemu, akhirnya Ida menemui rahsia menghasilkan mufin yang enak, gebu dan cukup rasa. Hasilnya seluruh ahli keluarga berpuas hati dengan air tangannya. Pantang ada majlis tertentu, pasti sentuhan Ida diperlukan.

Namun minat itu terhenti seketika apabila dia berkahwin dan berkerja sebagai jurutera dengan sebuah syarikat swasta.

Setelah memperoleh anak pertama, Ida mula terfikir untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab barunya. Di samping itu, dia mula merancang menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah.

"Adik saya, Elia Juaini mencadangkan agar kami menjual mufin melalui Internet kerana ketika itu tidak ramai yang mengusahakannya," kata wanita berusia 30 tahun itu.

Dengan dibantu adiknya, mereka mula mengambil tempahan mufin secara kecil-kecilan daripada saudara dan kenalan rapat.

Tidak sangka dengan sambutan yang diterima, ada yang mula meminta Ida menghasilkan kek cawan dengan dekorasi menarik.

"Sebenarnya saya tidak belajar secara formal menghasilkan mufin dan kek, kerana itu saya tidak pandai membuat dekorasi pada kek. Namun disebabkan permintaan yang tinggi, saya mengambil keputusan mengikuti kelas menghias kek cawan untuk menambah kemahiran yang ada," katanya.

Kini perniagaan mufin dan kek cawan Ida di bawah label Muffins Monster boleh dibanggakan kerana mula mendapat tempat pelbagai pihak termasuk syarikat korporat.

Walaupun hanya berbekalkan ketuhar di dapur rumahnya yang kecil, wanita itu mampu menghasilkan hingga 2,000 biji mufin dalam masa lebih kurang tiga hari.

Dalam pada itu, Ida turut memikirkan untuk membantu wanita lain dengan menyediakan pakej bagi memulakan perniagaan dari rumah.

Pakej itu menurutnya, merangkumi tepung pracampuran, bekas mufin, krim untuk dekorasi dan sebagainya.

"Kadangkala saya terpaksa menolak tempahan yang diterima kerana tidak menang tangan. Apa salahnya rezeki yang kami terima ini dipanjang-panjangkan kepada suri rumah lain pula," katanya yang pernah menjayakan beberapa program televisyen dalam menunjukkan cara menghasilkan mufin.

Hiodanagn laut segar South Sea

Posted: 13 Jun 2010 08:01 PM PDT


BUKAN saja makanan laut, hidangan daging dan ayam juga menyelerakan. Cuba rusuk kambing panggang ini.


IKAN kerapu raksasa, udang kara Australia, ketam labah-labah dan geoducks (sejenis kepah besar Mexico). Itu antara tarikan unik Restoran Makanan Laut South Sea yang terletak berdekatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Menariknya, kesemua spesies yang mendiami perairan laut sejuk itu masih hidup dan diletakkan dalam akuarium khas. Pengunjung boleh memilih sendiri apa yang mereka mahu untuk dimasak dalam variasi menu yang menyelerakan.

Pengurus Besar, Terence Wong berkata, Restoran South Sea yang sudah beroperasi lebih 20 tahun menjadi destinasi popular penggemar makanan laut segar sejak dulu lagi.

"Kini dengan ruang restoran yang lebih luas dan menarik, pengunjung boleh menikmati hidangan kegemaran mereka dalam suasana lebih selesa," katanya.

Antara yang menarik, set hidangan sashimi makanan laut yang mengandungi isi geoduck, udang kara, kapis dan abalon dihiris halus.

Makan secara mentah dengan celup ke dalam sos soya Jepun dan wasabi terasa manis kesegaran isinya. Atau boleh juga direbus seketika dalam sup herba berkhasiat yang dihidang bersama.

Selain itu jangan lupa menikmati keenakan isi empurau yang dikenali sebagai ikan tawar paling mahal di Sarawak. Hanya mendiami sungai-sungai bersih sekitar negeri itu, dikatakan harga sekilo spesies itu boleh mencecah hingga RM1,000.

Penulis turut berpeluang merasai keenakan ikan empurau yang dimasak stim dengan sos soya, halia dan daun bawang itu. Isinya lembut, manis dan mudah lerai. Menariknya sisik ikan itu juga boleh dimakan dan rasanya rangup seperti bawang goreng.

Selain itu, ketam goreng istimewa South Sea antara hidangan yang disukai ramai. Ketam diperap dengan pes cili campuran dan daun kari menghasilkan aroma dan rasa yang memikat.

Akhiri hidangan dengan menikmati yee mee kepala udang kara. Kata Wong, untuk tidak membazir kepala udang kara yang digunakan untuk sashimi tadi dipotong kecil dan dimasak bersama mee.

Sebagai pembekal makanan laut segar kepada restoran di sekitar Lembah Kelang, selain kepelbagaian hidangan, pastinya South Sea turut menjanjikan harga yang kompetitif.

Jazrina cantik luar & dalam

Posted: 13 Jun 2010 07:59 PM PDT




WANITA berusia 25 tahun itu lebih mesra dengan panggilan Jazrina. Sejak lima tahun lalu, Jazrina aktif dalam pelbagai bidang peragaan. Bahkan, dia pernah berjinak-jinak menyanyi dan berlakon sambilan. Biar pun baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan skrip, Jazrina mampu menyelami keinginan pembaca yang lebih gemar kepada realiti.

"Ramai penulis wanita melahirkan idea berdasarkan penyelidikan. Walaupun saya seorang yang sederhana tetapi saya ingin berjaya dalam bidang ini," jelasnya yang minat menyanyi, melancong dan membaca.

Sebagai model sambilan, Jazrina tidak lupa menjaga penampilan diri. Selain rutin penjagaan wajah seharian, Jazrina mengamalkan pemakanan sihat, banyak minum air suam, makan vitamin dan bersenam.

Jazrina juga percaya menunaikan solat mampu menjadikan seseorang tenang dan wajah lebih berseri-seri.

Keistimewaan Jazrina adalah sikapnya yang sentiasa merendah diri. Baginya, seorang wanita bukan sahaja perlu cantik luaran tetapi juga kecantikan perlu lahir dari dalam diri. Dia gemarkan wangian yang ringkas. Misalnya, One Drop Perfumes yang boleh digunakan untuk solat dan halal.

Pandu Puteri tanam pokok di SMK Padang Midin

Posted: 13 Jun 2010 07:57 PM PDT


Anuar Harun (kiri) bersama ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia menanam pokok ketika menyertai aktiviti Jejak Pandu Puteri 2010 di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 13 Jun - Seramai 80 ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Terengganu dan Pahang yang menyertai Jejak Pandu Puteri 2010 singgah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini semalam bagi mengadakan aktiviti menanam pokok.

Ketibaan rombongan dua buah bas itu disambut oleh pengetua sekolah tersebut, Anuar Harun dan pegawai kanan persatuan.

Pesuruhjaya Renjer Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu merangkap Pesuruhjaya Daerah Kuala Terengganu, Rozanariah Abdul Ghafar berkata, rombongan yang terdiri daripada pemimpin pandu puteri, pandu puteri renjer, pandu puteri remaja dan pandu puteri tunas melibatkan 40 orang bagi setiap negeri.

Katanya, projek Jejak Pandu Puteri 2010 itu adalah anjuran PPPM melibatkan 13 persatuan di seluruh negeri dan akan menjelajah di beberapa negeri dengan destinasi terakhir di Perlis pada 15 Jun ini.

''Setiap negeri yang menjadi tempat persinggahan akan diadakan aktiviti menanam pokok bagi menggalakkan kempen bumi hijau dan menghargai alam sekitar," katanya selepas menerima kunjungan rombongan itu di sini hari ini.

Rozanariah berkata, antara negeri yang menjadi persinggahan peserta ialah Kelantan, Pulau Pinang, dan Perlis manakala negeri-negeri di Selatan ialah di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Katanya, kesemua 492 peserta yang dibahagikan kepada tiga kumpulan itu akan menjalankan pelbagai aktiviti duntuk menguji ketahanan fizikal dan mental.

Selain itu katanya, peserta juga akan dibawa ke tempat-tempat menarik di setiap tempat persinggahan.

''Kalau di Perlis antaranya ialah Galeri Diraja, Taman Ular, Taman Herba, Gua Kelam dan Tasoh Lake Resort,'' ujarnya.

Kamera pintar mengurus gambar

Posted: 13 Jun 2010 07:55 PM PDT


NX10 bukan saja untuk merakam gambar tetapi menceritakan pengalaman pengguna.


SAMSUNG Electronics sekali lagi mencari sesuatu yang berlainan bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan kamera DSLR.

Terkini Samsung melancarkan rangkaian terbaru kamera dan perakam video yang direka cipta untuk memenuhi keperluan pengguna bagi imejan digital bermutu tinggi dan pengurusan gambar lebih mudah.

Menggabungkan ciri industri dan keselesaan pengguna, rangkaian produk Samsung mengukuhkan lagi evolusi imej digital dalam usaha menjadi syarikat pengimejan terulung dunia.

Pengarah Urusan, Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd, Yu Jai Sul berkata, cara pengguna, masa merakan dan cara gambar dikongsi semakin berubah.

"Keperluan pengguna semakin berubah, daripada hanya merakam gambar sehingga kepada menguruskan gambar," katanya.

Rangkaian terbaru kamera dan perakam video memberikan penyelesaian lengkap mengabadikan saat indah serta berkongsi dan menikmatinya.

Bagi mencapai matlamatnya, Samsung memberikan tumpuan kepada kamera pintar bagi memenuhi keperluan pengguna berbeza dan mencipta pengalaman yang diimpikan oleh pengguna hasil teknologi optik dan hubungan dengan peralatan lain dengan lebih baik.

Justeru Samsung mengeluarkan kamera NX10 - sebuah kamera konsep dengan definisi tinggi dan ciri mudah alih yang mudah digunakan.

Dengan slogan 'Sekadar Gambar? Cipta Pengalaman!' NX10 menyeru pengguna bukan saja untuk merakam gambar tetapi menceritakan pengalaman mereka.

Kamera dwiLCD ini merupakan satu lagi bidang tumpuan sambil memperkenalkan model yang boleh digunakan oleh semua.

Selain itu Samsung juga memantapkan kedudukannya dengan memperkenalkan model kamera kompak premium dengan reka bentuk bergaya dan spesifikasi tinggi dan kamera kompak canggih yang menggunakan kekuatan teknologi optik.

Kamera NX10 mewakili kategori baru yang bertujuan memenuhi keinginan pengguna untuk mencipta imej imaginatif dan ikonik menerusi keupayaan suntingan kreatif kamera.

Gandingan tahap kualiti imej DSLR yang tinggi dengan ciri mudah alih kamera kompak dan disokong dengan sejumlah lapan kanta yang direka khusus bagi memastikan pengguna dapat menikmati pengalaman fotografi yang lebih menarik.

Dengan Lensa Zoom Padat, Lensa Luas dan Lensa Lempang yang menyediakan tahap prestasi optik yang tinggi kepada pengguna tanpa memerlukan lensa yang berada di pasaran.

Apa yang lebih membanggakan NX10 terpilih menerima Anugerah Produk Digital Inovatif 2010 daripada Persatuan Pemasaran Imejan Digital (DIMA) yang disampaikan sempena pameran tahunan Persatuan Pemasaran Foto (PMA) di Anaheim, California, Amerika Syarikat (AS).

NX10 telah berada di pasaran pada harga runcit RM2,799 bagi lensa kit piawai 18-551S dan RM3,099 dengan lensa lempeng.

Produk hiliran nanas

Posted: 13 Jun 2010 07:54 PM PDT


Nanas bersalut sejuk beku antara produk hiliran yang mendapat sambutan menggalakkan menggalakkan.


Buah nanas mengandungi vitamin, zat galian, serat dan enzim yang baik untuk sistem penghadaman dan membantu dalam memberikan zat pemakanan yang seimbang.

Nanas juga merupakan sumber utama Vitamin C manakala kandungan lemak dan natriumnya amat sedikit.

Jus nanas dan jus buah-buahan campuran dalam kotak tetrapak adalah antara minuman yang popular di pasaran.

Jus itu juga boleh digunakan bagi menghasilkan jus jernih, kordial, cuka dan wain manakala jus yang diperam boleh dijadikan agar pejal atau nata de coco.

Isi nanas yang dikisar halus yang dipanggil pulpa boleh digunakan terus atau dipekatkan dan dibungkus dalam tin atau beg plastik aseptik untuk digunakan sebagai bahan mentah bagi pemprosesan produk lain.

Gegelung nanas pula merupakan sejenis snek pejal yang dihasilkan daripada daripada pulpa nanas bersama-sama ramuan lain dan berbentuk sekeping agar nipis yang digulung.

Serbuk nanas boleh dihasilkan daripada pulpa nanas melalui proses pengeringan sembur selain kepingan flake daripada proses pengeringan deram.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyediakan pelbagai teknologi bagi menghasilkan produk hiliran nanas.

Timbalan Pengarah Program Pembangunan Produk dan Pemprosesan Makanan, Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan MARDI, Hasimah Hafiz Ahmad berkata, pihaknya telah menghasilkan pelbagai teknologi pemprosesan nanas bagi sesuai bagi industri kecil dan sederhana.

"Selain jus, kordial dan jem, MARDI juga telah membangunkan snek hirisan nanas secara gorengan vakum yang dihasilkan dengan kandungan minyak yang rendah," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Nanas bersalut sejuk beku adalah produk baru yang telah dipasarkan di mana hirisan nanas yang telah dirawat disalut dengan adunan tepung dan serbuk roti menyerupai naget.

Pihak MARDI jelas Hasimah telah bekerjasama dengan beberapa pengusaha IKS bagi menghasilkan jeli konfeksi, bar granola rendah kalori atau tinggi serat, halwa bersalut coklat, acar buah, inti nanas, hirisan nanas dalam jus dan dadih.

Selain makanan, jus nanas dan batang pokok nanas merupakan sumber enzim bromelain yang boleh menguraikan protein dan boleh digunakan bagi melembutkan daging.

Ekstrak nanas yang mengandungi asid alfa hidroksi dan enzim telah digunakan dalam produk kosmetik bagi menggalakkan ketegangan kulit dan menanggalkan sel kulit mati.

Nanas juga digunakan sebagai ubat dalam perubatan tradisional dalam beberapa negara misalnya akar dan buah nanas dimakan atau disapu di atas kulit sebagai ubat anti-inflamatori.

Di Filipina, nanas digunakan sebagai ubat cacing manakala daun nanas digunakan sebagai sumber pembuatan kain.

Manakala serat yang daun nanas digunakan oleh penduduk China, India, Afrika Barat dan Taiwan bagi membuat benang, jala dan kain.

Jambul dan hampas nanas dari kilang pemprosesan nanas dikeringkan bagi dijadikan makanan ternakan.

Kegunaan nanas yang pelbagai daripada makanan, perubatan, tekstil, kosmetik dan makanan menjadikan tanaman berkenaan mendapat jolokan 'Buah seribu guna'.

FRIM komersialkan bahan api bio

Posted: 13 Jun 2010 07:53 PM PDT


Pokok akasia mempunyai nilai tinggi dan boleh dimanfaatkan sebagai bahan api bio.


Menyedari potensi bahan api bio dikomersialkan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengambil inisiatif melaksanakan perjanjian perlesenan teknologi untuk menghasilkan bahan tersebut.

FRIM telah memilih Che Dzuyauddin Ishak Sdn. Bhd. (CDI) untuk memiliki hak eksklusif untuk mengkomersialkan bahan tersebut.

Menurut Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod, bahan tersebut dikenali sebagai Torrified Acacia Wood (TRAW) dan diperbuat daripada kayu dari pokok akasia (Acasia mangium).

"Selama ini kayu akasia hanya digunakan dalam pembuatan cip kayu, namun para penyelidik FRIM dalam usaha menambah baik nilai kayu tersebut telah menemui kaedah yang boleh dimanfaatkan sebagai bahan api bio.

"Melalui penyesuaian beberapa proses dalam industri seramik, FRIM telah berjaya menghasilkan TRAW sebagai bahan api bio yang efisien," ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian tersebut di FRIM, Kepong baru-baru ini.

Ketika ditanya mengapakah FRIM memilih pokok akasia, Abdul Latif menjelaskan, pokok tersebut memiliki kadar tumbesaran yang amat baik selain memiliki taburan yang meluas di seluruh negara.

Jelas Abd. Latif lagi, menerusi penyelidikan yang telah dijalankan, FRIM mendapati spesies akasia ( A. mangium, A. auriculiformis, A. crassicarpa dan A. aulacocarpa) amat sesuai digunakan dalam menghasilkan TRAW.

Keseluruhan pokok tersebut boleh digunakan dalam proses yang dikenali sebagai 'torrefaction' untuk menghasilkan TRAW kerana ia memiliki nilai klorofil yang tinggi (18-20 MJ/tan).

Malah, ujian pembakaran mendapati abu yang dihasilkan mana-mana bahagian pokok ini terbakar hanya pada kadar satu peratus sahaja.

Selain itu, pokok akasia juga mudah membiak dan ditanam kerana ia mempunyai keperluan yang minimum serta mampu bertahan di kawasan terbuka tanpa menghadapi sebarang masalah.

Tambahan pula, pokok akasia juga pernah dilabelkan sebagai spesies pengacau berikutan keupayaannya membiak dengan cepat dan hidup dalam apa jua keadaan tanah mampu meminggirkan tumbuhan tempatan yang lain.

Pokok akasia juga bukan tumbuhan asal (exotic species) tetapi ia telah diperkenalkan di negara ini bagi menampung keperluan perkayuan pada ketika itu.

Keupayaan tersebut juga menjadikan pokok akasia memiliki daya kelangsungan hidup yang tinggi menyebabkan ia mampu meminggirkan tumbuhan semula jadi di negara ini.

Justeru penuaian terhadap spesies tersebut juga mampu mengawal taburan pokok ini yang kian meluas di seluruh negara.

Sementara itu, sebagai pemegang lesen eksklusif, CDI berfungsi sebagai sebuah badan mempromosi serta mengkomersialkan TRAW yang akan dihasilkan secara efisien dengan menggunakan teknologi airless.

CDI pada asalnya merupakan sebuah syarikat kontrak dan kejuruteraan yang menyediakan penyelesaian terhadap teknologi pembaharuan tenaga secara berkesan, jimat serta mesra alam.

Menurut Pengerusi CDI, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh, perkembangan terhadap teknologi pembaharuan tenaga ini akan mempelbagaikan bekalan tenaga negara.

"Selain itu ia juga dapat mempertingkatkan keselamatan negara, mempromosi penggunaan sumber tempatan, membantu menstabilkan harga bahan api dan memperkukuhkan sistem keupayaan sistem elektrik.

"Teknologi ini juga bakal menyumbang kepada usaha pengawalan pencemaran, memberi rangsangan ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat," jelasnya.

Sebagai permulaan, CDI menyasarkan kegunaan bahan api bio tersebut kepada industri penjanaan kuasa yang terdapat di seluruh dunia berikutan ia masih belum mendapat permintaan di negara ini.

Namun, jika kesedaran serta permintaan terhadap bahan tersebut semakin baik maka tidak mustahil ia akan digunakan sepenuhnya di Malaysia.

Kejayaan MARDI menang 13 anugerah

Posted: 13 Jun 2010 07:52 PM PDT


Dr. Abdul Shukor Abd. Rahman (kanan) dan Dr. Chan Chee Wan (kiri) memberikan penerangan kepada Noh Omar (tengah) mengenai teknologi terkini MARDI.


SETELAH lebih 40 tahun ditubuhkan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus mencatat kejayaan cemerlang.

Kali ini kejayaan dicatat pada Pameran Reka Cipta, Inovasi, Teknologi dan Reka Bentuk Antarabangsa (ITEX) 2010 baru-baru ini.

Pada majlis itu, MARDI memenangi kesemua 13 teknologi yang dipertandingkan dengan lapan emas dan lima perak.

"Daripada jumlah berkenaan, 10 teknologi dianugerahkan Produk Malaysia Paling Inovatif," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar semasa sidang media kejayaan MARDI pada ITEX 2010 di Serdang, Selangor baru-baru ini.

ITEX 2010 merupakan pameran antarabangsa mengenai inovasi reka cipta dan teknologi.

Pameran kali ke-21 itu tampil dengan tema Kreativiti: Laluan Ke Arah Ekonomi Inovatif telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 14 hingga 16 Mei lalu.

Pameran yang disertai 60 agensi termasuk universiti, institusi penyelidikan dan pendidikan, korporat dan organisasi dalam dan luar negara dengan lebih 500 reka cipta atau inovasi dipamerkan.

Noh menambah, apa yang lebih membanggakan, empat daripada lapan emas yang dimenangi adalah inovasi mekanisasi yang dapat membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) meningkatkan pengeluaran makanan serta memudahkan pemprosesan makanan.

"Ciptaan baru akan memberi daya tarikan kepada generasi muda kepada pertanian.

"Jika dulu pertanian berkaitan tenaga empat kerat dengan selut dan lumpur tetapi dengan ciptaan baru memberikan perspektif berbeza," katanya.

Teknologi mekanisasi jelas Noh dapat mengurangkan kos tenaga buruh yang semakin tinggi.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abdul Shukor Abd Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah (Pemindahan dan Pengkomersialan Teknologi) MARDI, Ariffin Tawang.

Semua empat inovasi berkenaan dianugerah Produk Malaysia Paling Inovatif iaitu Mesin Pengeluaran Murtabak Berkualiti Secara Mekanikal, Sistem Penggredan Automatik untuk Buah-buahan Tropika, Mesin Mengasing Biji Rambutan dan Mesin Mengasing Biji Cili Tanpa Air.

Menghasilkan krim dan losen

Posted: 13 Jun 2010 07:51 PM PDT


Krim dan losen tangan.


Produk inovasi yang dihasilkan kali ini ialah untuk menjadikan Curcuma xanthorrhiza sebagai bahan mentah bagi penghasilan produk kosmetik.

Curcuma xanthorrhiza atau lebih dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai temu lawak dikategorikan dalam keluarga halia iaitu zingeberaceae dan genusnya ialah Curcuma.

Komponen utama yang terdapat dalam curcuma xanthorrhiza ialah pati minyak dan Curcuminoid.

Pati minyak ini boleh diperolehi menerusi daripada pengekstrakan rhizomnya.

Ia terdiri daripada dua pigmen yang penting iaitu Curcumin dan demethoxycurcumin yang amat berguna untuk meneutralkan racun, menghilangkan sakit sendi, menurunkan kolestrol dalam darah, bertindak sebagai bahan antibakteria, merangsang sel hati dan sebagai bahan antioksida.

Manakala komponen utama dalam pati minyaki temulawak ialah 1-cyclo-isoprenemyrcene, xanthorrizol dan phenolic sesquiterpene.

Setiap komponen ini mengandungi fungsi yang tertentu seperti antioksida dan juga anti inflamasi.

Produk kosmetik yang terdapat di pasaran pada masa kini masih ada yang tidak menepati piawai yang ditetapkan.

Ini membawa kesan negatif kepada pengguna yang membeli dan menggunakannya.

Sebagai contoh, ada segelintir pengeluar yang menjual produk mereka tanpa melalui sebarang ujian dan tanpa kelulusan daripada badan yang bertanggungjawab.

Pengguna yang tidak tahu pastinya akan membeli produk tersebut tanpa soal selidik. Penyelidikan ini bertujuan untuk menghasilkan krim dan losen dengan menggunakan minyak pati dan curcuminoid daripada Curcuma xanthorrhiza.

Beberapa ujian kimia dan fizikal telah dilakukan ke atas produk kosmetik ini bagi memastikan ia adalah selamat untuk digunakan.

Kaedah penghasilan produk

Menggunakan bahan semulajadi dan salah satu bahan yang penting adalah minyak pati dan curcuminoid daripada Curcuma xanthorrhiza (temu lawak).

Melalui kajian klinikal yang telah dijalankan di beberapa buah negara, Curcuma xanthorrhiza merupakan tumbuhan yang berkhasiat sebagai bahan antioksida, antihepatoksik, antiinflamasi, anti bakteria, antikulat, antikanser, mengurangkan panas badan (hipotemik), mencegah pembentukan batu hempedu, melancarkan peredaran darah serta membantu sistem penghadaman.

Curcuminoid mempunyai sifat antioksida yang kuat kerana ianya berupaya bergabung dengan molekul-molekul radikal sehingga mampu menghalang pembentukkan radikal bebas di dalam badan.

Sifat curcuminoid sebagai antioksida inilah yang sangat berguna untuk mencegah penyakit arteri jantung.

Antioksida memainkan peranan yang penting dalam merencat serta memusnahkan spesies radikal sekali gus melindungi manusia daripada jangkitan penyakit.

Kehadiran radikal bebas di dalam badan boleh menyebabkan kerosakan pada tisu dan sel. Oleh sebab itu krim dan losen berasaskan tumbuhan ini telah diformulasikan.

Potensi pasaran

Penghasilan produk ini adalah sepenuhnya menggunakan bahan semula jadi. Ia selamat digunakan kerana beberapa ujian kimia dan fizikal telah dijalankan.

Selain itu, tidak terdapat lagi produk kosmetik yang berada di pasaran pada masa kini adalah hasil keluaran institusi pengajian tinggi. Oleh sebab itu produk ini dihasilkan sebagai salah satu langkah untuk menyahut cabaran kerajaan supaya institusi pengajian tinggi bekerjasama dengan industri.

Psikologi peminat bola

Posted: 13 Jun 2010 07:50 PM PDT


PIALA DUNIA boleh merapatkan hubungan sesama ahli keluarga dan rakan sekerja.


ANDA kaki bola? Serba salah nak ambil cuti sakit atau cuti tahunan? Selepas sahaja menyaksikan perlawanan Afrika Selatan menentang Mexico, ada temu janji pula bersama rakan-rakan di kedai makan. Perlawanan yang sepatutnya tamat pada pukul 12 tengah malam, berlanjutan hingga lewat pagi. Balik rumah, si isteri pula merajuk. Pening dengan situasi ini, suami masuk bilik dan tidur. Beginilah dilema yang sering dialami oleh peminat-peminat Piala Dunia tanah air. Kehadirannya selepas empat tahun mengundang keresahan seisi keluarga. Minggu ini, Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai Ampang, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman berkongsi pengalamannya tentang kesan demam Piala Dunia.

Menurut Dr. Daniel, Piala Dunia tidak memberi kesan negatif terhadap kesihatan seseorang sama ada fizikal atau mental. Faktor yang menyebabkan tanggapan ini terjadi ialah persekitaran dan tingkah laku peminat bola sepak itu sendiri.

Tambah beliau, pernah terjadi seorang peminat fanatik Piala Dunia tiba-tiba diserang sakit jantung akibat terkejut dengan kekalahan pasukan kegemarannya. Namun, Dr. Daniel menambah, mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit jantung dan darah tinggi perlu mengawal emosi.

"Emosi mempunyai istilah yang luas. Berkaitan dengan kemudaratan menonton Piala Dunia kepada pesakit jantung, ia sebenarnya perlu dikawal oleh pesakit itu sendiri. Apabila kita menonton perlawanan selama lebih dua jam sama ada seorang atau berkumpulan, kita sering menjamu makanan yang mengandungi gula, garam dan karbohidrat yang tinggi. Terasa seronok mengunyah makanan ringan sambil menonton. Itulah senario yang berlaku. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada emosi malah, ia memburukkan keadaan kesihatan," ujarnya.

Dr. Daniel memberitahu, ramai peminat fanatik yang akan meningkatkan kadar merokok dengan alasan tidak mahu mengantuk. Umum dah tahu, rokok itu sendiri memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Untuk keselamatan, mereka yang menghidap penyakit kronik boleh menonton secara berkumpulan. Dengan itu, mereka boleh berkongsi emosi dan mengurangkan risiko serangan penyakit secara mengejut.

Di samping itu, terdapat kes pesakit jantung yang meningkatkan kadar pengambilan arak pada musim Piala Dunia. Tidak dinafikan arak boleh mengurangkan masalah ngantuk tetapi ia tidak baik untuk kesihatan.

Mengulas tentang sikap fanatik atau sangat minat memberi masalah kepada kesihatan, Dr. Daniel menjelaskan ia tidak ada kaitan dengan perubatan. Situasi ini hanya menjejaskan fungsi seseorang sebagai ayah, ibu, anak atau pekerja.

"Ia bukan gangguan psikologi kerana fanatik hanya menunjukkan sikap minat yang melampau," jelas beliau.

Dr. Daniel menambah, secara amnya, masalah mengantuk akan timbul pada musim Piala Dunia khususnya mereka yang tinggal di negara-negara Asia kerana perbezaan masa.

Beliau mencadangkan, peminat bola perlu bijak mengurus masa menonton. Misalnya, orang ramai boleh memilih siaran berulang pada pukul 6.30 pagi seperti yang dilakukan salah sebuah saluran televisyen swasta.

"Terpulang pada setengah orang, ada yang minum kafein atau lebih kopi untuk mengelak daripada mengantuk. Apa yang penting, peminat bola perlu mengamalkan disiplin terutamanya pada dua minggu awal Piala Dunia. Perkara ini menjadi masalah kerana orang ramai terlalu gelojoh menonton bola sepak hingga ingin.

Kesimpulannya, Piala Dunia itu tidak memudaratkan tetapi tingkah laku dan persekitaran peminat yang memberi kesan negatif," katanya.

Menyentuh kesan terhadap hubungan intim atau kekeluargaan, Dr. Daniel berkata, ia terpulang kepada budi bicara suami, isteri dan keluarga.

Bagi beliau, ia bukan penyebab kerenggangan hubungan. Jika ada berlaku perkara ini, ia sudah pun bermula sebelum Piala Dunia lagi.

"Terdapat fenomena janda golf iaitu isteri-isteri diibaratkan menjadi janda apabila suami sibuk bermain golf pada hujung minggu. Mungkin orang ramai menyamakan keadaan ini sepanjang Piala Dunia berlangsung. Jika sebuah keluarga atau organisasi bijak mengurus keadaan, ia sebenarnya boleh mengeratkan silaturahim," katanya.

Erat

Di Eropah, keluarga atau suasana pejabat lebih erat kerana wujudnya suasana menonton bersama.

Dr. Daniel menasihatkan orang ramai perlu mengubah suai tingkah laku mengikut keperluan ketika menonton perlawanan.

"Piala Dunia tidak ada kesan buruk. Selepas sahaja perlawanan selesai, peminat bola seharusnya berehat dan tidak perlu mengadakan parti atau lepak di kedai makan hingga lewat pagi. Bagi mereka yang ingin bercuti, ambil sahaja cuti tahunan. Jangan jadikan alasan cuti sakit kerana ia akan memburukkan keadaan.

"Ada sesetengah kes, lelaki takut ambil cuti kerana tidak mahu isteri ungkit di kemudian hari. Dalam hal ini, majikan juga perlu bijak menguruskan pekerja. Sebaiknya, pengagihan tugas yang cekap perlu dilaksana," katanya.

Dunia terasa lebih terang – Patricia

Posted: 13 Jun 2010 07:48 PM PDT


Dr. Aloysius memeriksa mata Patricia untuk melihat tahap kesihatan mata di Vista, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini.


SETIAP kali berdepan dengan tugas, saya mula rasa risau. Saya perlu menggunakan mata dengan cekap pada jarak dekat. Kebetulan saya bekerja memasukkan data pelanggan di Pusat Pakar Mata Vista (Vista). Kadang-kadang saya berdepan dengan masalah tersalah memasukkan maklumat mereka terutama nombor kad kredit. Masalahnya, saya tidak dapat membaca nombor dan perkataan yang kecil," luah Patricia Lai yang mengalami masalah penglihatan ketika membaca.

Selain itu, otot mata wanita berusia 45 tahun ini sering kepenatan kerana membaca angka yang kecil. Masalah tersebut semakin rumit apabila usianya semakin meningkat. Walaupun dia tidak mempunyai masalah penglihatan yang serius , Patricia berusaha memperbaiki masalah ini.

Baginya, ia menghalang dia melakukan kerja dengan lancar.

Mujurlah, syarikat di tempat dia bekerja, Vista memperkenalkan inlai Kamra keluaran AcuFocus, peralatan perubatan inovatif terkini dari Amerika. Ia merupakan inlai kornea yang mengembalikan keupayaan penglihatan untuk membaca bagi penghidap presbyopia (rabun dekat).

Berkongsi pengalaman mengenai terapi mata baru ini, Patricia bersyukur kerana tidak menghadapi sebarang kesukaran. Walaupun kesannya bukanlah dalam kadar segera, dia merasai perubahan. Dunianya kini terasa lebih terang.

"Pada hari pertama dan kedua selepas menjalani rawatan ini, kesan masih kurang jelas. Namun, penglihatan saya semakin jelas pada hari ketiga. Hari berikutnya, penglihatan kembali rabun. Tetapi ia semakin pulih dan kini saya mampu membaca angka kecil dengan jelas," ujarnya.

Dengan adanya alternatif perubatan mata ini, Patricia lebih berasa yakin kerana dapat mengembalikan penglihatan untuk membaca dalam apa jua keadaan.

Kini, dia boleh membaca jam tangannya dengan jelas.

"Terima kasih kepada Dr Aloysius dan kakitangan Vista. Saya tidak perlu menjalani pembedahan katarak. Cukup dengan rawatan Kamra selama 20 minit, ia mengubah kehidupan saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Perunding Pakar Bedah Oftalmik Vista, Dr. Aloysius Joseph Low memberitahu, majoriti orang dalam lingkungan 40-an akan mengalami pengurangan kualiti penglihatan untuk membaca yang dikenali sebagai presbyopia.

Tambah beliau, presbyopia berlaku kerana lensa dan otot semulajadi mata kita menjadi terlalu tegang untuk memfokus kepada objek yang dekat. "Ini bermakna jarak penglihatan masih jelas, tetapi objek yang dekat kelihatan kabur. Ini memberi kesan yang besar terhadap kualiti hidup. Misalnya, membaca objek kecil seperti di telefon bimbit dan 'iPad' yang terbaru," ungkapnya.

Beliau menjelaskan secara lazimnya, terdapat beberapa cara lain untuk membantu penghidap presbyopia. Malangnya, sebahagian prosedur ini tidak mempunyai kesan jangka masa panjang atau berkemungkinan menjejaskan penglihatan jarak jauh pesakit.

Selain itu, Kamra membantu penghidap presbyopia dalam mendapatkan kembali gaya hidup aktif mereka tanpa menjejaskan jarak penglihatan dekat dan jauh. Konsep ini sangat mudah, dan prosedurnya tidak merumitkan.

Ia boleh dilakukan bersama prosedur lasik dan tidak akan menjejaskan kesesuaian pesakit untuk prosedur pembedahan untuk membaiki penglihatan di masa hadapan, contohnya seperti pembedahan katarak.

Penawar baru hipertensi

Posted: 13 Jun 2010 07:47 PM PDT


Dr. Sim Kui Hian, Ketua Perubatan dari Denmark, Prof. Hans-Henrik Parving dan Ketua Pegawai Eksekutif Novartis Corporation (Malaysia), Avinash Potnis pada sidang media pengenalan Rasilez® di The Gardens, Kuala Lumpur.


TEKANAN darah tinggi (hipertensi) digelar "pembunuh senyap" kerana tidak menunjukkan apa-apa simptom pada peringkat awal tetapi menyebabkan bilangan kematian yang tinggi di kalangan penduduk di seluruh dunia.

Keadaan itu terjadi apabila darah dalam badan mengalir menerusi saluran darah pada tekanan lebih tinggi daripada biasa. Ia menyebabkan kerosakan arteri, buah pinggang, otak dan organ-organ penting yang lain. Hipertensi biasanya membawa kepada kegagalan jantung dalam jangka masa panjang.

Dianggarkan bahawa hampir satu bilion pengidap penyakit tekanan darah tinggi di peringkat global dan hampir 70 peratus daripada mereka tidak mencapai tahap tekanan darah yang sihat.

Di Malaysia, empat daripada 10 orang dewasa merana akibat tekanan darah tinggi dengan hanya 26 peratus pesakit mempunyai tekanan darah yang terkawal.

Di kalangan doktor, cabaran terbesar adalah mencapai tahap tekanan darah yang terkawal terlebih dahulu dan kemudian mengekalkannya pada tahap yang stabil.

Ini bererti bahawa pesakit tekanan darah tinggi hidup dengan risiko komplikasi seperti serangan jantung, penyakit strok, kegagalan buah pinggang, buta dan maut.

Faktor itu menuntut terapi baru bagi tekanan darah tinggi.

Menurut Pakar Runding Kardiologi dan Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Sim Kui Hian, pesakit yang sudah mengambil ubat lain, tetapi tidak mencapai matlamat tekanan darah mereka boleh mencuba Rasilez®. Ia mampu mengurangkan tekanan darah yang lebih apabila ditambah kepada terapi sedia ada.

"Rasilez® adalah sejenis ubat yang menyasar terus kepada sumber tekanan darah tinggi, iaitu enzim renin. Oleh itu Rasilez® berfungsi dengan baik biarpun bersendirian atau dengan ubat-ubat yang lain.

''Ia membawa harapan kepada pesakit, walaupun mereka yang belum mencapai kawalan dengan ubat yang lain," kata Ketua Perubatan dari Denmark, Profesor Hans-Henrik Parving.

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia telah mendaftarkan Razilez® untuk merawat tekanan darah tinggi secara sendirian atau kombinasi dengan ubat-ubat tekanan darah tinggi yang lain berdasarkan data dari lebih 7,800 pesakit dalam 44 ujian klinikal.

Sembilan daripada 10 pesakit kadang-kala terlepas satu dos. Dengan Rasilez®, pesakit diberikan perlindungan dengan mengekalkan 91 peratus keberkesanan tekanan darah selepas satu dos yang terlepas.

Rasilez® tergolong dalam kelas ubat baru yang dipanggil penghalang renin langsung. Ia bertindak dengan menyekat RAAS iaitu sejenis enzim yang mencetuskan satu proses yang boleh mendorong kepada tekanan darah tinggi. Apabila digunakan secara sendirian, Rasilez® menunjukkan lebih banyak pengurangan tekanan darah dari enzim penghalang pengubahsuai angiotensin (ACE), ramipril dan diuretik, hydrochlorothiazide (HCT) .

l Ubat baru ini menerima pendaftarannya yang pertama pada Mac 2007 dari Pentadbiran Makanan dan Dadah AS di bawah jenama Tekturna® dan di Kesatuan Eropah pada Ogos 2007 dengan nama dagangan Rasilez®.

Risiko kurang Vitamin E pada perokok

Posted: 13 Jun 2010 07:45 PM PDT

Penemuan ini terdapat dalam penyelidikan mengenai vitamin E oleh Institut Linus Pauling di Universiti Oregan State yang diterbitkan dalam Jurnal Klinikal Nutrisi Amerika isu Januari 2005.

Pengurangan gama tokoferol dengan cepat dalam perokok berbanding bukan perokok sekali gus boleh menyebabkan kanser. Ini kerana rokok menghasilkan radikal bebas yang menggalakkan kanser. Ia terjadi apabila vitamin E di dalam paru-paru dan tisu badan yang lain akan meneutralkan radikal bebas tersebut.

Tidak seperti alfa tokoferol, gama tokoferol adalah pelindung mujarab daripada nitrogen oksida yang sangat aktif dan berbahaya kepada badan. Kajian terkini sepatutnya memadai untuk mendorong perokok supaya tidak memandang ringan perihal gama tokoferol.

Pengambilan harian vitamin E telah lama diakui dalam merendahkan risiko mendapat penyakit degeneratif. Walau pun kebanyakan kajian yang telah diterbitkan tertumpu kepada kesan alfa tokoferol daripada vitamin E, saintis kini semakin mengalihkan perhatian mereka kepada gama tokoferol.

Gama - anti oksida yang sangat mujarab

Satu kumpulan penyelidik mendapati gama tokoferol, yang ditemui dalam gabungan tokoferol, nyata lebih berkesan berbanding alfa tokoferol untuk menghentikan tindakan peroksi nitrit (peroxynitrite) yang merupakan agen oksida yang kuat dan berbahaya. Oleh itu, gama tokoferol dapat melindungi sel daripada gangguan genetik dan karsinogenik (penyebab kanser) daripada nitrogen reaktif. Nitrogen reaktif mendorong kepada berlakunya arteriosklerosis dan gangguan saraf. Oleh kerana asap rokok mengandungi banyak nitrogen dioksida yang boleh ditukarkan menjadi karsinogen, gama tokoferol boleh menghalang tindakan nitrogen dioksida dan menghalang pembentukan karsinogen.

Alfa menyingkirkan gama tokoferol badan

Penyelidikan terkini mendapati pengambilan alfa tokoferol yang tinggi mengurangkan paras gama tokoferol dalam darah. Pengguna yang prihatin tentang kesihatan termasuk perokok yang mengambil suplemen vitamin E (hanya mengandungi alfa tokoferol) perlu menimbangkan semula perkara ini. Seperti yang telah disebutkan, kebanyakan suplemen vitamin E membekalkan hanya alfa tokoferol. Bukti terbaru mencadangkan suplemen sahaja tidak memadai.

Kumpulan penyelidik Universiti California, Berkeley mendapati sudah tiba masanya untuk mengehadkan pandangan bahawa hanya alfa tokoferol penting. Lebih banyak kajian perlu dilakukan ke atas gama tokoferol, iaitu satu bentuk lain vitamin E yang lebih berfaedah.

Gama lindungi perokok daripada strok dan serangan jantung

Beberapa kajian membuktikan manfaat vitamin E penting dalam mengurangkan penyakit kardiovaskular dan kematian akibat serangan jantung, walaupun ada kajian lain yang gagal menemui hasil yang sama. Perselisihan pendapat mungkin disebabkan hanya alfa tokoferol yang dikaji dan gabungan tokoferol (terutamanya gama tokoferol) tidak diambil kira.

Ini juga mungkin menjelaskan mengapa vitamin E yang diambil daripada makanan lebih berkesan berbanding suplemen vitamin E biasa yang hanya mengandungi alfa tokoferol. Makanan membekalkan spektrum vitamin E yang lebih menyeluruh berbanding suplemen vitamin E biasa.

Mendapatkan yang terbaik daripada suplemen vitamin E

Sama ada anda merokok atau tidak, dinasihatkan supaya memastikan suplemen vitamin E yang diambil mengandungi gabungan alfa, beta, gama dan delta tokoferol. Ini kerana kesemuanya berfungsi lebih baik (sinergistik) secara berkumpulan, untuk perlindungan yang lebih baik dan manfaat kesihatan yang maksimum.

Elak gigi sensitif

Posted: 13 Jun 2010 07:44 PM PDT


Pelancaran Colgate Sensitive Pro-Relief membantu golongan yang mengalami masalah gigi sensitif.


Pernahkah anda merasa denyutan ngilu pada gigi apabila minum air sejuk, menikmati manis-manisan atau ketika menghirup sup panas? Bagaimana pula dengan ais krim bercampur kek coklat yang anda idamkan, tetapi tidak berani untuk merasa kerana takut terasa sakit pada gigi anda? Jiika ya, anda mungkin mengalami masalah gigi sensitif atau kehiperpekaan dentin (dentine hypersensitivity).

Gigi sensitif adalah keadaan yang sering dialami hampir 57 peratus pesakit gigi di dunia.

Berdasarkan Kajian Omnibus Colgate Malaysia, 14 peratus rakyat Malaysia mengadu mengalami masalah gigi sensitif. Isu gigi sensitif ini juga kian mendapat perhatian dan menjadi keprihatinan orang ramai kerana ia sememangnya menjejaskan mutu kehidupan seharian.

Masalah gigi sensitif ini bukan saja mengekang gaya hidup, tetapi ramai yang dirundung masalah ini terpaksa menahan kesakitan dan mereka sering enggan berjumpa dengan doktor gigi kerana takut akan kesakitan yang akan dialami.

Gigi sensitif adalah ketidakselesaan pada sebatang gigi atau lebih, yang disebabkan oleh makanan dan minuman yang panas, sejuk, manis atau masam, ataupun hanya setakat dengan menghirup udara sejuk. Rasa sakit biasanya tajam dan mendadak, dan boleh menusuk dalam sehingga ke hujung saraf gigi anda.

Dalam pada itu, kehadiran produk penjagaan oral berkaitan gigi sensitif di pasaran mungkin membantu golongan ini menikmati pelbagai hidangan enak tanpa batasan.

Misalnya, kehadiran jenama ubat gigi yang telah terbukti secara klinikal, Colgate Sensitive Pro-Relief untuk merawat masalah itu dengan cepat dan kekal lama.

Produk ini dibangunkan melalui teknologi Pro-Argin yang berupaya untuk menghalang menghindari penghantaran saraf rasa panas, sejuk, udara dan tekanan ke reseptor sakit pada gigi.

Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr. Lee Soon Boon berkata, dengan adanya produk ini, masyarakat Malaysia yang mengalami masalah gigi sensitif boleh mendapat kelegaan cepat tanpa perlu ke klinik.

Keberkesanannya dapat dilihat apabila pengguna mengalami kelegaan segera dengan hanya menyapu ubat gigi itu ke bahagian yang berkaitan sambil mengurut dengan hujung jari selama seminit.

Maklumat lanjut mengenai masalah gigi sensitif dan produk Colgate Sensitive Pro-Relief boleh didapati dengan melayari laman web www.colgatesensitiveprorelief. com.my.

Tampilkan kaki menawan

Posted: 13 Jun 2010 07:42 PM PDT

APABILA memperkatakan tentang penjagaan diri, tumpuan sering diberi kepada wajah. Manakala kaki kurang diberi perhatian biar pun anggota badan itu amat penting untuk melengkapkan penampilan seseorang.

Oleh itu dalam tata rias diri, penjagaan kaki sepatutnya dimasukkan dalam senarai rutin harian yang mesti diberi perhatian. Sesekali apa kata manjakan kaki dengan rawatan yang dibuat sendiri di rumah.

  • Rendam kaki dalam air suam yang dicampur garam galian kira-kira 10 minit. Letak juga guli di dalam mangkuk berisi air tersebut. Pijak guli-guli itu dengan pergerakan ke hadapan dan belakang serta tekan sedikit tapak kaki kerana ia memberi kesan urutan yang melegakan.

    Gosok kaki dengan batu sungai untuk menanggalkan kulit mati pada kaki. Selepas direndam dan digosok, bersihkan kaki dan urut dengan krim pelembap.

  • Sedikit jus lemon dalam air rendaman membantu menyegarkan kaki.
  • Kelopak mawar bersama beberapa titik pati minyak lavender menjadikan rawatan kaki umpama spa di rumah.
  • Untuk merawat kesan retak dan pecah pada tumit cuba kaedah ini. Sapu vaselin pada tumit dan sarung stokin. Dalam beberapa minggu, tumit menjadi lembut dan kesan rekahan akan hilang.
  • Sapu campuran jus lemon yang segar, minyak castor dan pati ros pada tumit selepas membersihkan kaki. Gabungan bahan tersebut membantu melicinkan tumit.
  • Sapu minyak zaitun dengan kerap untuk kulit kaki yang lembut dan menarik.
  • Parut kulit lemon dan sapu pada kaki. Biarkan 15 minit sebelum dicuci. Amalkan setiap hari untuk kesan yang memuaskan.
  • Rawatan panas dan sejuk turut membantu melancarkan peredaran darah. Mula-mula rendam kaki di dalam air suam, kemudian alih kepada air sejuk. Buat selama 5 hingga 10 minit. Akhiri proses tersebut dengan air sejuk.
  • Elak pakai kasut bertumit. Tukar stokin setiap hari untuk elak masalah kaki berbau. v
  • Didihkan tiga cawan air bersama tiga uncang teh. Campur dengan setengah baldi air sejuk dan rendam kaki untuk atasi masalah kaki berbau.
  • Luangkan beberapa minit setiap hari untuk mengurut kaki anda dengan minyak kelapa.
  • Setiap kali selepas mandi, lap kering celah-celah kaki untuk menghindari jangkitan kulat.
  • Perah jus lemon, campurkan dengan sedikit gula dan gosok pada kaki secara lembut. Cuci dengan air sejuk. Campuran bahan tersebut mampu bertindak sebagai skrub kaki.
  • Berusia tetap menarik

    Posted: 13 Jun 2010 07:35 PM PDT


    Teknologi rawatan menggunakan filler hyaluronic membantu mengembalikan keyakinan diri dalam menghadapi usia emas.


    ARU-baru ini saya dikunjungi wanita berusia 50-an. Tanpa sebarang temujanji, beliau muncul di klinik. Katanya dia datang dari Melaka. Untuk tidak menghampakan hasratnya yang datang dari jauh pembantu saya Amy Lisa terus membawanya berjumpa saya.

    Wanita berhemah tinggi itu memperkenalkan dirinya sebagai Azah. Katanya dia sudah lama berhajat untuk bertemu saya dan berbesar hati kerana dapat melaksanakan hasratnya.

    Dia datang ditemani anak dan menantunya. "Suami saya banyak urusan. Insya Allah saya ajak dia datang,'' jawabnya bila ditanya perihal suaminya.

    Azah terus merujuk masalah yang mengganggu kehidupannya sejak akhir-akhir ini. Dia menunjukkan mukanya yang mempunyai banyak garisan dan lekuk di sana-sini. Mulutnya tidak henti-henti bertanya bagaimana mahu mengurangkan garisan tersebut. Dia juga memberitahu telah mencuba pelbagai krim tetapi tidak berhasil.

    Saya meneliti wajahnya. Bahagian bawah mata berlekuk tidak sekata. Dalam istilah perubatan estetik masalah tersebut dinamakan eye bag. Garis halus dan kasar memenuhi dahi. Pipinya masih tegang tetapi terdapat kesan lekuk di kiri kanan bibir. Ia memberi kesan wajah murung dan senyuman yang terukir tidak nampak serinya.

    Pada mata pula terdapat banyak kesan kedut yang membuatkan dia kelihatan kurang menarik. Mata yang berkedut membuatkan seseorang kelihatan mengantuk. Masalah seperti ini kerap melanda mereka yang berkulit kering. Oleh kerana kelembapan kulit sukar dikawal, kulit akan tampak cepat tua dan berkedut. Mereka yang kulit berminyak pula beruntung kerana lambat sedikit mengalami masalah kulit berkedut.

    ''Saya tahu saya dah tua. Saya pun bukan nak jadi muda tapi saya tak suka bila semua orang yang memandang saya pasti bertanya kenapa saya kelihatan terlalu sedih. Padahal saya seorang yang riang. Agaknya air muka saya melambangkan kesedihan. Garis-garis pada wajah saya menyebabkan saya kelihatan seperti orang runsing. Cuba tengok garis pada kening saya . Ia membuatkan wajah saya tampak berkerut sentiasa,'' panjang celoteh nenek kepada sepuluh cucu itu.

    Penampilannya juga menyebabkan dia digeruni oleh cucu-cucunya.

    Memang benar kita semua tidak dapat lari daripada menjadi tua namun wajah yang terlalu berkedut amat tidak menyenangkan dan membuat seseorang mudah berasa rendah diri.

    Saya menerangkan kepada beliau wajah kita umpama topeng muka. Ia boleh kelihatan manis atau masam bergantung kepada garisan dan lekuk pada muka. Wajah melambangkan perasaan muka. Kita dianugerahkan mimik muka bagi menzahirkan apa yang kita rasa menerusi wajah.

    Apa yang perlu dilakukan adalah menaikkan pipi dan menghapuskan garisan yang amat ketara itu. Jika kita meletakkan semula kedudukan pipi dan mulut ke aras yang sepatutnya, maka sudah tentu muka akan tampak manis dan seolah-olah tersenyum. Justeru garisan dan lekuk pada wajah perlu dibetulkan jika seseorang mahu kelihatan berwajah riang.

    Apabila usia meningkat, otot otot muka akan kendur dan menjadi kurang elastik di samping kolagen semulajadi juga akan hilang. Pigmentasi mula berlaku terutamanya pada kedua pipi. Hal ini terjadi kerana faktor kekurangan hormon progestron dalam badan.

    Rawatan

    Saya membuat rawatan secara berperingkat untuk membantu Azah mengatasi masalah yang dihadapinya.

    Peringkat pertama adalah memasukkan filler hyaluronic bagi menggantikan semula kolagen yang hilang dari kulit.

    Dengan hyaluronik filler saya mula mengisi ruang kosong akibat kehilangan kolagen.

    Hasilnya wajah Azah kelihatan kembali tegang. Lekuk-lekuk yang membuat muka tampak kendur lenyap dan wajah kembali segar. Langkah kedua adalah dengan teknik serdev suture (telah diulas dalam isu-isu sebelum ini) untuk mengangkat semula kulit wajah kendur.

    Selepas serdev suture, pipi kelihatan terangkat ke kedudukan yang lebih tinggi sedikit dan kening yang jatuh turut terangkat dengan cantik.

    Selepas itu saya menggunakan anti kedutan bagi menghapuskan kesan kedutan dan laser resurfacing bagi meningkatkan keanjalan wajah.

    Terdapat banyak jenis hyaluronik yang boleh digunakan untuk mencantikkan struktur wajah dan tubuh badan seseorang. Ada sistem hyaluronik yang boleh bertahan selam enam bulan, setahun dan terdapat juga yang bertahan selama lima tahun. Ketahanannya bergantung kepada jalinan asid hyaluronik yang digunakan.

    Hormon bioidentical

    Bagi meningkatkan paras hormon wanita menopaus, saya mencadangkan penggunaan hormon bioidentical yang mudah iaitu secara sapuan sahaja bagi menggantikan hormon yang berkurangan dalam tubuh.

    Apabila hormon rendah seorang wanita akan berasa agak tertekan perasaannya, murung dan bosan meskipun tiada sebab yang munasabah. Apabila paras hormon ditingkatkan dia akan berasa lapang dan kembali ceria.

    Tangguh gaji minimum baru pengawal

    Posted: 13 Jun 2010 07:28 PM PDT

    Kabinet beri lebih masa selepas dapat tindak balas PPKKM perkemaskan operasi agensi

    PUTRAJAYA: Kabinet memutuskan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan gaji minimum baru untuk pengawal keselamatan yang dijadualkan pada 1 Julai ini bagi memberi lebih masa kepada pihak industri berkenaan mengemas kini operasi mereka. Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan, semalam, menyebut penangguhan sementara pelaksanaan gaji minimum di bawah Perintah Peraturan Gaji Minimum Pengawal Keselamatan Swasta bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak itu dibuat selepas meneliti rayuan dan maklum balas daripada Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM).
    "PPKKM memaklumkan pelaksanaan itu akan memberi implikasi kepada perniagaan mereka terutama berkenaan kontrak sedia ada.

    "PPKKM juga memohon supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan perintah ini untuk membolehkan mereka mengambil tindakan untuk mengemaskini operasi.

    Selepas mempertimbangkan perkara itu, Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Perintah Peraturan Gaji ini buat sementara waktu," katanya.

    April lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subrmaniam mengumumkan kira-kira 190,000 pengawal keselamatan akan menikmati kenaikan gaji pokok antara 67 peratus hingga 75 peratus kepada RM1,100 hingga RM1,450, mulai 1 Julai depan.
    Ketika ini, pekerja sektor keselamatan itu menerima gaji pokok antara RM300 hingga RM400.

    Dr Subramaniam juga dilaporkan berkata, keputusan menaikkan gaji itu dilakukan mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947.

    Bagaimanapun, PPKKM meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji pengawal keselamatan itu bagi mengelakkan 300 syarikat pengawal keselamatan Bumiputera di negara ini gulung tikar.

    Presiden PPKKM, Datuk Shaheen Mirza Habib berkata, pihaknya memerlukan tempoh sehingga enam bulan untuk menyelesaikan masalah berkaitan kontrak perkhidmatan yang membabitkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan.