Adsense

Rabu, 9 Jun 2010

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong


Caruman KWSP tidak dikira harta sepencarian

Posted: 09 Jun 2010 08:55 AM PDT

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Timbul persoalan sama ada wang simpanan yang ada di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah harta milik peribadi pencarum atau sebagai harta sepencarian yang boleh dituntut oleh satu pihak lagi, bekas isteri mahupun bekas suami.

Harta berupa caruman wang KWSP si mati tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian melalui sumbangan secara tidak langsung jika dirujuk kepada konsep asalnya. Sebaliknya, ia menjadi harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Dengan itu, KWSP adalah harta milik peribadi pencarum dan hanya pencarum yang mempunyai hak mutlak ke atas wang itu.

Melihat kepada konsep dan kepentingan ini, maka fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-49 pada 10 September 2000, menjelaskan seperti berikut:

# Wang KWSP dan wang simpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid;

# Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan simati) mengikut hukum faraid;

# Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihatkan KWSP menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Selangor turut mewartakan Hukum Simpanan Wang KWSP pada 9 Mei 2002 bagi ahli beragama Islam yang meninggal dunia. Fatwa itu menjelaskan perkara berikut:
# Wang KWSP yang disimpan ahli dianggap harta pusaka.

# Kaedah pembahagian harta pusaka adalah tertakluk kepada hukum faraid.
Berdasarkan fatwa-fatwa yang dinyatakan di atas, jelaslah bahawa wang simpanan KWSP adalah hak milik mutlak pencarum yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid apabila pencarum meninggal dunia dan bukan harta sepencarian.

Oleh yang demikian, tuntutan yang berkaitan dengan wang simpanan KWSP supaya diisytiharkan sebagai harta sepencarian adalah bercanggah dengan fatwa yang diputuskan di atas. Penolakan ini juga wajar kerana selari dengan Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mentafsirkan seperti berikut:

'Harta sepencarian' ertinya harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak. Di bawah seksyen sama, hukum syarak diertikan sebagai 'hukum syarak mengikut Mazhab Shafie iaitu mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali.'

Keputusan fatwa juga menetapkan Bahagian Undang-Undang JAKIM hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Pelantikan penama hanyalah sebagai amalan biasa dalam KWSP mahupun institusi kewangan seperti Tabung Haji dan bank.

Majlis Raja-Raja kali ke-96 pada September 1973 memberi pendapat dikeluarkan sebagai fatwa seperti berikut: "Penama KWSP, wang simpanan pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid."

Jelasnya, konsep dan pembahagian harta sepencarian di Malaysia dikanunkan di dalam Enakmen Keluarga Islam negeri-negeri. Mahkamah Syariah negeri-negeri diberi bidang kuasa eksklusif untuk mendengar dan membicarakan tuntutan harta sepencarian bagi mana-mana pasangan orang Islam yang bercerai.

- BERITA HARIAN

Keadilan kontrak Islam

Posted: 09 Jun 2010 08:47 AM PDT

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

SISTEM muamalat Islam sangat mementingkan keadilan dan kesaksamaan kepada pihak yang terlibat dalam kontrak. Sistem yang digagaskan oleh al-Quran dan Sunnah ini menetapkan rukun-rukun tertentu bagi menjayakan tujuan di sebalik pengamalan kontrak-kontrak yang berlangsung. Di sebalik rukun-rukun yang terdapat bagi setiap kontrak itu, terdapatnya syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memastikan kesahihannya.

Sebagai contoh, antara rukun yang perlu ada dalam kontrak jual-beli (al-bai') ialah al-'aqidain (dua pihak yang berakad). Namun, tidak cukup setakat itu. Rukun-rukun tersebut mesti memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Iaitu kedua-dua pihak yang berakad mestilah baligh dan berakal.

Al-Quran tidak meletakkan secara khusus syarat-syarat yang perlu untuk memeterai sesuatu kontrak. Namun, al-Quran telah memberikan garis panduan umum yang perlu dipatuhi bersama oleh mereka yang terlibat dalam kontrak. (rujuk al-Maidah: 1)

Melalui ayat ini, kita dapat memahami bahawa Allah SWT memerintahkan mereka yang berkontrak supaya mematuhi segala syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama semasa kontrak dilangsungkan. Ini bermakna, setiap pihak yang telah bersepakat tentang syarat-syarat tertentu dalam kontrak akan terikat dengan syarat-syarat berkenaan.

Sekiranya terdapat pihak yang gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka dia bertanggungjawab menanggung bebanannya termasuklah sebarang kerugian yang terhasil daripada pelanggaran syarat-syarat terbabit.

Dalam Islam, mereka yang melanggar syarat-syarat yang ditetapkan bukan sahaja akan menerima akibatnya di dunia, bahkan dia dianggap sebagai berdosa kerana mengkhianati kontrak dan bakal menerima pembalasan di akhirat. (rujuk al-Isra': 34)

Sebagai contoh, sekiranya dua pihak bersetuju untuk melakukan perniagaan atas asas mudharabah, maka antara perkara yang mereka mesti bersetuju dan bersepakat terlebih dahulu adalah tentang pembahagian keuntungan. Satu pihak akan menjadi penyumbang modal (Rabbul Mal) manakala satu pihak lagi akan menjadi pekerja (Mudharib).

Setelah perniagaan tersebut berlangsung dan didapati adanya keuntungan, maka kedua-dua pihak yang berkontrak perlu membahagikan mengikut peratusan yang telah dipersetujui pada peringkat awal. Sebaliknya, jika terdapat kerugian, maka ia hanya melibatkan wang penyumbang modal, bukannya pekerja.

Namun begitu, sekiranya pekerja tersebut melanggar syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama semasa menjalankan perniagaan tersebut, maka dia akan menanggung segala kerugian yang berlaku. Ini berasaskan hadis daripada Ibnu Abbas r.a. katanya: "Saidina Abbas bin Abdul Mutalib apabila menyerahkan harta sebagai mudharabah mensyaratkan kepada kawannya (pekerja) supaya jangan membawa hartanya menyeberang laut, menuruni lembah dan membeli binatang yang hidup. Jika dia melakukan juga demikian hendaklah dia menanggung bayaran ganti rugi. Syarat yang diletakkan oleh Abbas ini telah sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW dan Baginda meluluskannya. (riwayat Al-Tabarani)

Secara asasnya, Islam membenarkan kita untuk meletakkan syarat-syarat tambahan dalam kontrak yang dimeterai. Kebebasan berkontrak ini sejajar dengan asas muamalat Islam itu sendiri yang bersifat harus (al-aslu fil ashya' al-ibahah). Penetapan syarat dibenarkan dalam Islam untuk menegakkan keadilan dan mengelakkan kezaliman serta penganiayaan kepada mana-mana pihak yang terlibat atau yang tidak terlibat dalam kontrak.

Justeru, selagi mana syarat-syarat yang ditetapkan tidak keluar dari keempat- empat kategori ini, maka ia dibenarkan. Namun, di sana terdapat juga syarat- syarat yang tidak diharuskan dalam Islam. Iaitu syarat-syarat yang mengganggu tujuan sebenar kontrak dan menggugat hak-hak mereka yang berkontrak.

Islam juga melarang syarat-syarat yang menyebabkan hak-hak pihak yang berkontrak dizalimi. Sebagai contoh, pihak penjual menyatakan "aku menjual rumah ini kepada kamu dengan syarat aku hendak mendudukinya selama setahun terlebih dahulu". Syarat ini juga terbatal dan boleh memberikan kesan kepada kontrak berkenaan.

Garis panduan ringkas ini sebenarnya digagaskan melalui nas al-Quran dan Sunnah untuk menjaga maqasid Syariah di sebalik kontrak-kontrak Islam. Ia juga untuk mengelakkan mana-mana pihak mengikat pihak yang lain dengan akad yang berat sebelah. Ini sekali gus akan menjejaskan keharmonian dan persaudaraan sesama manusia.

- UTUSAN

iPhone terbaru dijual 24 Jun 2010

Posted: 09 Jun 2010 08:30 AM PDT


SAN FRANCISCO – Firma gergasi Apple Inc. kelmarin mendedahkan gajet terbaru iPhone 4 yang lebih canggih dan akan dijual di Amerika Syarikat (AS) mulai 24 Jun depan pada harga antara AS$199 (RM662) atau AS$299 (RM994).

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs mendedahkan iPhones baru itu pada Persidangan Pemaju Perisian Apple di sini.

Ketebalan iPhone 4 kurang 10 milimeter daripada iPhone 3GS yang dilancarkan pada tahun lalu namun ia mempunyai skrin lebih besar dan jangka hayat bateri lebih lama. Versi terbaru itu tampil dengan sebuah kamera kecil di depan gajet tersebut untuk membolehkan pengguna melakukan perbualan menerusi persidangan video selain sebuah lagi kamera lima mega piksel.

Gajet terbaru itu akan mengandungi versi terkini perisian telefon bimbit Apple dikenali sebagai iOS4 yang dilancarkan pada April lalu.

Aplikasi terbaru iPhone 4 turut meliputi permainan komputer popular Farmville selain Netflix untuk pengguna menonton video yang dimuat turun daripada komputer peribadi.

– AP

Telur ayam gergasi di Georgia

Posted: 09 Jun 2010 08:29 AM PDT


TBILISI, Georgia - Seekor ayam betina milik seorang penternak haiwan, Murman Modebadze di bandar Zestafoni, 200 kilometer dari sini, bertelurkan sebiji telur gergasi baru-baru ini.

Telur gergasi itu sepanjang 82 milimeter (mm), 62mm lebar dan berat 170 gram.

Keluarga penternak itu telah membuat permohonan untuk memasukkan telur gergasi itu dalam buku rekod Guinness.

- AFP

TPM: 20% pelajar teknik, vokasional pada 2015

Posted: 09 Jun 2010 07:50 AM PDT

Kerajaan menyasarkan peningkatan penyertaan pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional, teknik dan kemahiran (Voctech) sebanyak 10 peratus kepada 20 peratus menjelang 2015.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara langkah meningkatkan bilangan itu melibatkan pembinaan tiga Sekolah Menengah Vokasional (SMV) baru di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan jumlah itu akan ditambah dalam RMK-10.

"Pembinaan sekolah-sekolah ini memberi peluang kepada sekurang-kurangnya 4,000 pelajar mengikuti pendidikan dalam aliran berkenaan," katanya menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Noraini meminta Kementerian Pelajaran menyatakan langkah yang diambil untuk menarik lebih ramai pelajar mengikuti pendidikan teknik dan vokasional supaya setanding dengan negara Eropah yang mampu menarik 50 peratus pelajarnya mengikuti aliran itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihak kementerian sedang mengkaji kemungkinan membenarkan lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memasuki SMV berbanding sekarang yang hanya melibatkan lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Katanya, kementerian juga akan menstruktur semula Sekolah Menengah Teknik (SMT) kepada SMV dalam tiga fasa dengan memberi fokus kepada program vokasional dan kemahiran.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kementerian akan menambah baik mata pelajaran vokasional di sekolah menengah harian supaya setaraf dengan SMV bagi membolehkan sekolah itu turut diiktiraf oleh pihak industri dan badan profesional.

''Tumpuan mata pelajaran ini adalah bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran pekerjaan, keusahawanan dan jati diri yang tinggi," ujarnya.

Bagi meningkatkan daya saing guru vokasional dan kemahiran sedia ada, katanya, seramai 4,764 orang akan dilatih semula supaya sekurang-kurangnya mencapai kemahiran minimum iaitu tahap tiga Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) mulai tahun depan.

''Untuk memastikan murid mendapat pendidikan berkualiti, kementerian bercadang mengambil guru baru dalam kalangan mereka yang mempunyai kemahiran diiktiraf mengikut bidang diperlukan oleh pasaran terbuka.

''Justeru, proses pengambilan guru vokasional dan kemahiran baru akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sehingga mencecah seramai 10,000 orang pada 2015," katanya.

Beliau berkata, pemegang SKM tahap empat atau setara dengannya serta tenaga mahir yang berpengalaman sekurang-kurangnya selama lima tahun akan diberikan pertimbangan untuk dipilih mengajar mata pelajaran vokasional di sekolah.

- UTUSAN

Elektrik dalam tubuh

Posted: 09 Jun 2010 05:34 AM PDT

SUFFIAN BAKHTIAR memang terkenal dengan sifat periang dan penuh kejutan oleh rakan-rakannya. Tetapi akhir-akhir ini Suffian, 42, menyedari yang dia memang benar-benar boleh mengejutkan rakannya iaitu dengan kejutan elektrik!

Bukan sekali dua dan bukan seorang dua yang pernah mengadu mereka disengat elektrik ringan kala tersentuh lengannya. Ia dapat dilihat apabila rakannya serta-merta menarik tangan mereka.

Adakalanya Suffian turut merasai renjatan itu apabila rakannya menyentuhnya. Dia juga mengakui pernah mengalami kejutan elektrik apabila menyentuh objek besi di pejabatnya.

Sungguhpun tidak terjadi setiap kali bersentuhan, Suffian mula bimbang apabila anak perempuannya mengadu adakalanya 'sakit' saat tersentuh tangannya.

Suffian terfikir apakah yang tidak kena pada dirinya? Adakah ia berbahaya jika dibiarkan?

Pakar Perunding Bedah Otak dan Saraf (Neurosurgeri), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Azmi Alias berkata, memang terdapat sistem elektrik di dalam tubuh manusia. Bahkan, jelasnya, tubuh manusia merupakan sistem elektrik paling canggih dan kompleks berbanding semua perkakasan elektronik di dunia.

Sistem elektrik pada tubuh manusia merujuk kepada pergerakan zarah yang bercas dalam sistem saraf apabila rangsangan diberikan.

Cas

Asasnya, sistem saraf terbentuk daripada neuron-neuron.

Saraf diselaputi membran dan pada dalam serta luar saraf terdapat cecair yang mengandungi bahan bercas. Mineral dalam tubuh, potasium dan sodium misalnya membawa cas positif dan kolorida membawa cas negatif.

"Dalam keadaan normal, cas lebih negatif terdapat di dalam saraf berbanding di luar saraf. Apabila berlaku rangsangan, keseimbangan itu berubah dan cas positif memasuki ke dalam saraf. Daripada reseptor ia dibawa ke otak melalui saraf tunjang dan saraf periferi," katanya ketika ditemui Jurnal di HKL baru-baru ini.

Berbalik kepada masalah Suffian tadi, Azmi berkata, tubuh manusia merupakan konduktor elektrik dan boleh menjana tenaga elektrik namun pada jumlah voltan yang terlalu kecil.

Tenaga elektrik yang terhasil disebut elektrik statik kerana ia tidak mampu mencetuskan renjatan yang besar seperti barangan elektrik.

"Apabila seorang manusia menyentuh manusia yang lain, manusia yang mempunyai banyak cas negatif akan melantunkan cas negatifnya sekali gus mencetuskan renjatan kecil kepada manusia yang mempunyai cas pada bilangan normal atau kurang negatif.

"Begitu juga jika manusia yang mengumpul banyak cas negatif itu menyentuh objek bukan elektrik yang neutral atau positif seperti besi, dia juga boleh mendapat renjatan elektrik.

"Namun, ini sebenarnya fenomena biasa dan bukannya penyakit. Ia bukan satu kuasa atau ciri seorang adiwira. Ia sebenarnya satu situasi yang berlaku dengan bantuan persekitaran dan tabiat manusia itu sendiri," ujarnya.

Tabiat dan suhu

Jelasnya, seseorang manusia itu dapat mengumpul lebih banyak cas negatif menerusi tabiatnya seperti gemar melakukan gesekan sama ada ketika berjalan atau duduk.

"Kulit tubuh yang bergesel dengan permukaan seperti kapas boleh menyebabkan cas negatif lebih banyak diperolehi. Ini kerana kulit manusia boleh menghasilkan tindak balas kulit galvanic apabila berlaku aruhan elektrik statik kerana tindakan seperti geselan.

"Begitu juga tabiat berjalan secara bergesek atau duduk sambil menggosok kaki atau kasut di atas permaidani yang diperbuat daripada kapas," ujarnya.

"Suhu persekitaran yang lebih sejuk dan lembap juga menggalakkan berlaku aruhan elektrik. Itu sebabnya kejadian ini lebih banyak berlaku di Barat semasa musim sejuk atau di dalam pejabat. Kilat juga berlaku ketika suhu lembap semasa hari hendak hujan," katanya.

Ditanya mengapa kejadian itu banyak melibatkan kawasan lengan, Azmi berkata, ia mungkin disebabkan di kawasan siku terdapat saraf ulna yang bersifat superfisial kerana tidak terlindung oleh apa-apa otot.

Namun, jelas Azmi, bukanlah bermakna semua renjatan elektrik yang berlaku dalam tubuh badan manusia ialah normal atau bukan penyakit. Terdapat beberapa kondisi penyakit yang juga mampu mencetuskan renjatan seperti elektrik.

Penyakit

Pertama ialah sindrom carpal tunnel yang berlaku apabila berlaku tekanan pada saraf median di pergelangan tangan apabila laluan cas terganggu disebabkan pembesaran tisu. Ia boleh berlaku misalnya ketika seseorang wanita itu mengandung.

"Apabila berlaku keadaan ini, pesakit perlu ke hospital untuk melakukan ujian konduksi saraf di hospital. Jika perlu, pembedahan akan dilakukan.

Penyakit kedua ialah sakit tulang belakang cakera prolaps yang mana ceper tulang belakang yang terkeluar menekan saraf tunjang. Ia boleh menghasilkan renjatan elektrik yang dinamakan radiculopathy pada kedudukan badan tertentu.

"Dalam hal ini, renjatan elektrik biasanya berlaku apabila ceper tulang yang terkeluar menghala ke arah tepi. Jika terkeluar ke belakang atau ke dalam saraf tunjang ia boleh menyebabkan kebas dan lumpuh," katanya. Jelas beliau, kondisi pergerakan ceper tulang ke tepi masih boleh dirawat dengan ubat.

Selain itu, penyakit yang boleh menyebabkan renjatan elektrik juga ialah trigeminal neuralgia yang disebabkan tekanan pada saraf trigeminal di otak. Ia menyebabkan wajah dirasakan seperti terkena panas atau renjatan elektrik apabila disentuh angin.

Penyakit sawan juga disifatkan sebagai penyakit elektrik kerana ia berlaku disebabkan gangguan pada saraf dalam otak dan mencetuskan reaksi seperti terkena renjatan elektrik.

- KOSMO!

Jadi bapa pada usia 89 tahun

Posted: 08 Jun 2010 09:26 PM PDT


MOSCOW - Seorang veteran Perang Dunia Kedua di Rusia, Aramais Nazarov menjadi bapa pada usia 89 tahun selepas anak lelakinya, Artem selamat dilahirkan oleh isterinya yang berumur 35 tahun di sebuah hospital di bandar raya ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Nazarov yang pernah berkhidmat dalam Tentera Merah Rusia memberi jambangan bunga kepada isterinya sebagai ucapan terima kasih kerana melahirkan anak bongsu mereka.

Wanita itu 54 tahun lebih muda berbanding Nazarov.

Bayi seberat 3.7 kilogram itu merupakan anak keempatnya.

Anak sulung Nazarov ialah seorang pesara lelaki berumur 61 tahun dan dia turut mempunyai anak berusia 50 tahun dan 12 tahun.

"Apakah rahsia kekuatan diri saya? Apabila anda mempunyai isteri yang jauh lebih muda, anda perlu memenuhi kehendaknya, dan saya mampu memenuhi tuntutan batinnya," kata Nazarov yang berasal dari selatan Rusia. Dia juga telah pun mempunyai cicit.

Rekod bapa paling tua di dunia dipegang oleh seorang petani dari India, Nanu Ram Jog yang memperoleh anak ke-21 tiga tahun lalu ketika dia berusia 90 tahun.

- Agensi

Simbol keagamaan penganut Sikh

Posted: 08 Jun 2010 09:23 PM PDT


"Pemakaian serban yang baik memerlukan latihan, ketelitian dan pengalaman," kata Ravi Sharma, tekun menunjukkan kemahirannya di hadapan lebih 2,000 orang.

Penggunaan warna yang cerah, menjolok mata dan rekaan rumit menjadi saingan semua kaum Sikh sama ada yang berasal atau mempunyai keturunan yang sama dari bahagian utara Punjab, India, untuk mempamerkan pelbagai gaya pemakaian serban.

Sharma, 35, seorang tukang kimpal berkata, dia boleh mengikat enam gaya serban termasuk yang sering digunakan oleh kaum Sikh di dalam tentera dan satu lagi untuk mereka yang ingin melakukan persembahan.

"Ia berukuran di antara lima hingga enam meter dan tidak boleh mencecah ke lantai. Pengadil bukan sahaja melihat kepada kepantasan, kekemasan serban dan rambut berjaya ditutupi sepenuhnya. Saya memerlukan masa di antara enam hingga tujuh minit."

Sharma bertanding bagi kategori umur 31 hingga 45 tahun. Walaupun meletakkan harapan tinggi selepas mendapat pingat gangsa pada tahun lalu, dia sekali lagi mendapat tempat ketiga pada tahun ini. Di belakang juara ialah Gurpreet Singh Tung, seorang pemandu lori berusia 32 tahun dari perkampungan Punjab di Tugal berhampiran Ludhiana dan pemenang tempat kedua, Omandeep Singh.

Ketika kanak-kanak sedang berlari di sekitar dewan yang luas itu, sekumpulan wanita dan gadis berpakaian sari mempersembahkan tarian tradisional.

Salah seorang penganjur, Harjit Singh Gill berkata, pertandingan itu semakin mendapat perhatian sejak dianjurkan kali pertama apabila dihadiri lebih 400 penonton.

Promosi penutup kepala

Selepas peristiwa serangan 11 September 2001, kebanyakan mereka yang memakai serban sering menjadi mangsa syak wasangka. Sehubungan itu, pertandingan tersebut diadakan bagi mempromosi kesedaran terhadap penutup kepala di kalangan jutaan penganut agama Sikh, Muslim dan di seluruh dunia.

Gill menggelarkan serban sebagai satu simbol keagamaan kaum Sikh yang bermaksud kehormatan dan kebanggaan. Tambahnya, kaum Sikh menggunakannya semasa pertempuran bertujuan melindungi kepala, baik di India maupun di wilayah barat Kanada, yang didiami lebih 250 ribu orang dari Asia Selatan.

Satu tinjauan yang dilakukan mendapati, bilangan terbesar bangsa Indo-Canadians terletak di kawasan bandar di daerah Greater Vancouver iaitu seramai 107,810 orang yang dicatatkan pada tahun 2006.

Selama bertahun-tahun, kaum Sikh berjaya mendapatkan hak mereka untuk menggantikan pemakaian topi keledar dengan serban ketika menaiki motosikal dan dalam beberapa sektor industri.

Baltej Dhillon, menjadi individu pertama dari timur India yang berjaya memasuki pasukan polis dengan memakai serban pada tahun 1990 sehingga mendapat gelaran Turbo Cop.

Ahli Parlimen daripada Parti Liberal, Sukh Dhaliwal berkata, corak pekerjaan di dalam kelompok komuniti India yang secara tradisinya terlibat dalam pertanian dan bekerja di kilang kayu telah berubah. Generasi muda di timur India merupakan generasi pertama yang menjadi rakyat Kanada kini menjawat pelbagai profesion.

Meskipun kehadiran kaum Sikh di Kanada lebih sekurun yang lalu, dia menyatakan ia merupakan satu kejayaan untuk mewujudkan masyarakat pelbagai etnik di negara itu oleh dua bekas Perdana Menteri iaitu Lester Pearson dan Pierre Trudeau yang membuka pintu bagi penghijrahan penduduk India bermula pada awal tahun 1970-an.

Hari ini, Kanada menjadi negara kedua yang menjadi destinasi pilihan migran India selepas Britain. "Ia merupakan sebuah negara yang sangat ramah kerana setiap individu mempunyai hak yang sama," kata Dhaliwal yang berhijrah dari Punjab sejak tahun 1984.

"Mereka datang ke sini dengan harapan dan kepercayaan. Daripada kepercayaan itu, harap-harap kami dapat mengetahui segala-galanya tidak mustahil bagi mereka untuk melakarkan kisah-kisah kejayaan."

Dhaliwal, yang memiliki syarikat kejuruteraan dan penilai hartanah berkata, migran dari India telah menunjukkan kejayaan yang membanggakan di Surrey. Hampir 52 peratus daripada bilangan hotel di situ kini dimiliki oleh mereka.

Bekerja keras

"Jika kami melihat sejarah bangsa India dan negara itu, kaum Sikh selalunya berhijrah di kawasan yang tidak membangun. Mereka bekerja keras dan selalu membantu antara satu sama lain seperti sebuah bank yang sentiasa membuka peluang."

Salah seorang daripadanya ialah Raghbir Bhinder yang kini telah melakar kejayaan di Kanada. Selepas menetap di Slough, Britain hampir tiga dekad dia kemudian berpindah ke Surrey pada tahun 1996 dan kini memiliki empat pejabat insurans dengan 50 orang kakitangan.

Lelaki yang berasal dari daerah Jallander di Punjab itu berkata, meskipun sudah berjaya, namun anak-anaknya enggan memakai serban.

Katanya, rambutnya sepanjang 0.6 meter tidak pernah dipotong dan mengaku adakalanya menipiskan jambang yang seharusnya dibiarkan begitu sahaja.

"Anak-anak saya membesar di Britain. Adakalanya mereka tidak bercakap dalam bahasa India, jadi ia menyukarkan saya untuk menerangkan kepada mereka mengenai tradisi kami," katanya.

"Mereka menghormati pemakaian serban, tetapi mereka meminta maaf kerana tidak boleh melakukannya. Generasi muda pada hari ini lebih gemar mencukur rambut mereka."

- AFP

Tahap Puas Hati Rakyat Terhadap Najib Meningkat 72 Peratus - Merdeka Centre

Posted: 08 Jun 2010 08:39 PM PDT

Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat 72 peratus bulan lepas berbanding 69 peratus pada April lalu, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre yang dikeluarkan semalam.

Bancian yang dijalankan dari 6 hingga 16 Mei itu menyaksikan tahap kepuasan hati paling tinggi dicatatkan oleh kaum India iaitu 80 peratus berbanding Melayu (77 peratus) dan 58 peratus oleh kaum Cina.

Peningkatan tahap kepuasan hati itu adalah yang tertinggi sejak Merdeka Centre menjalankan kaji selidik untuk meninjau populariti Najib sejak Mac tahun lalu, iaitu hanya 44 peratus ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa itu.

Menurut Merdeka Centre, sejumlah 1,028 rakyat Malaysia dibanci melalui telefon dan hampir separuh atau 47 peratus daripada responden terdiri daripada golongan tidak bekerja.

Ketika kajian itu dijalankan, beberapa peristiwa dalam negara turut mempengaruhi keputusan antaranya pilihan raya kecil Sibu, kes Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis, pembatalan perhimpunan 13 Mei yang dianjurkan oleh Gertak serta pengumuman lesen perjudian bola sepak.

Kajian juga menunjukkan sebanyak 50 peratus responden yakin bahawa Najib dapat mencapai sasarannya dalam tempoh dua tahun terhadap inisiatif yang dilakukan beliau iaitu gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Sekali lagi kaum India merupakan responden tertinggi yang menyatakan keyakinan tersebut dengan 65 peratus, diikuti Melayu (60 peratus) manakala kaum Cina hanya 30 peratus sahaja yang yakin dengan sasaran Najib itu.

Untuk soalan sama ada rakyat Malaysia bersetuju atau tidak bahawa program-program yang diperkenalkan Najib akan menghadapi masalah "bagus didalam perancangan tetapi lemah dalam pelaksanaan", hanya 58 peratus yang bersetuju.

Kajian juga mendapati sebanyak 52 peratus responden bersetuju bahawa negara kini sedang menuju ke arah yang betul kerana 21 peratus memberi sebab bahawa ekonomi negara kian pulih dan kualiti kehidupan rakyat semakin meningkat.

Bagaimanapun, sebanyak 22 peratus responden berpendapat bahawa kerajaan perlu menyelesaikan isu ekonomi seperti kenaikan kos hidup dan harga barangan, pengangguran, dan kekurangan bekalan gula.

Kajian itu mendapati majoriti rakyat Malaysia masih tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan memerangi rasuah dan jenayah, iaitu 61 peratus daripada responden tidak berpuas hati dengan usaha memerangi rasuah dan 57 peratus tidak berpuas hati dengan usaha memerangi jenayah.

Bagaimanapun, sebanyak 63 peratus responden berpuas hati dengan kualiti pendidikan di negara ini manakala 56 peratus pula berpuas hati terhadap usaha kerajaan meningkatkan tahap kecekapan pengangkutan awam di bandar seperti di Kuala Lumpur.

Turut ditanya oleh kajian itu ialah persepsi masyarakat terhadap kes Aminulrasyid di mana hampir seluruh rakyat Malaysia iaitu 91 peratus pekaterhadap kes itu.

Bagaimanapun, hanya 25 peratus responden sahaja yang berpuas hati terhadap tindakan polis mengendalikan kes berkenaan.

- BERNAMA

Jawatan Kosong di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) - Jun 2010

Posted: 08 Jun 2010 10:02 AM PDT

Permohonan adalah dipelawa daripada Warganegara Malaysia yang berkelayakan, komited dan berdedikasi untuk berkhidmat di Lembaga Minyak Sawit Malaysia bagi jawatan-jawatan seperti berikut:

- PEGAWAI PENYELIDIK Q41-Q53
- PENOLONG PEGAWAI TADBIR N27
- SETIAUSAHA PEJABAT N27
- PEMBANTU SETIAUSAHA PEJABAT N17
- PEMBANTU PENYELIDIK Q17
- PEMBANTU TADBIR (P/O) N17

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://onlinejob.mpob.gov.my/jaw_kosong.php

CARA MEMOHON
Permohonan hendaklah dibuat secara online di : http://onlinejob.mpob.gov.my/login.php

TARIKH TUTUP : 21 JUN 2010

Jawatan Kosong di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) - Jun 2010

Posted: 08 Jun 2010 09:47 AM PDT

Terbuka kepada Warganegara Malaysia. Keutamaan kepada rakyat Negeri Pahang Darul Makmur.

JAWATAN:
- PENSYARAH GRED DM41
(Statistik / Perakaunan / Syariah / Bahasa Inggeris / Bahasa Arab / Kewangan Islam / Muamalat / Usuluddin / Takhasus Qiraat / Perniagaan / Matematik Kewangan)

- PEMANDU GRED R6

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.kipsas.edu.my/gambar/Iklan%20Jawatan%202010_Akademik%20dan%20sokongan.pdf

CARA MEMOHON
Calon-calon yang berminat diminta mengemukakan permohonan menggunakan Borang Rasmi Permohonan Jawatan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah yang boleh diperolehi dari Pejabat Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah sama ada melalui Pos dengan menyertakan sampul surat 15cm x 22cm bersetem RM0.30 dan beralamat sendiri berserta Wang Pos sebanyak RM5.00 di atas nama SISTEM PENDIDIKAN ISLAM PAHANG SDN. BHD. atau datang sendiri ke KIPSAS.

Calon-calon juga boleh menggunakan borang permohonan yang boleh dimuaturun dari laman web KIPSAS dengan menyertakan yuran pemprosesan dengan menggunakan wang pos sebanyak RM5.00 di atas nama SISTEM PENDIDIKAN ISLAM PAHANG SDN. BHD.
http://www.kipsas.edu.my/gambar/Borang%20Permohonan%20Jawatan%20KIPSAS%202010%20_7_.pdf

Borang Permohonan hendaklah dihantar ke alamat:

Presiden
Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah
Km 8, Jalan Gambang,
25150 Kuantan, Pahang Darul Makmur.
(u.p : Unit Pentadbiran)

http://www.kipsas.edu.my

TARIKH TUTUP : 23 JUN 2010

Jawatan Kosong di Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) - Jun 2010

Posted: 08 Jun 2010 09:40 AM PDT

Terbuka kepada Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
- Pegawai Tadbir N41
- Penolong Jurutera J29
- Pembantu Pertanian G17
- Juruteknik Komputer FT17
- Juruteknik J17

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.risda.gov.my/c/document_library/get_file?p_l_id=17008&folderId=14915&name=DLFE-6101.pdf

CARA MEMOHON
Permohonan hendaklah dibuat secara online di: http://www.jobsmalaysia.gov.my/

TARIKH TUTUP : 18 JUN 2010

Jawatan Kosong di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) - Jun 2010

Posted: 08 Jun 2010 09:36 AM PDT

Universiti Pendidikan Sultan Idris mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk memohon jawatan:

- KURATOR S48
- PEGAWAI PERGIGIAN U48
- PEGAWAI PERGIGIAN U44
- PEGAWAI PERUBATAN UD43
- PENOLONG PEGAWAI TADBIR N27
- PEMBANTU TADBIR (P/O) N17

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://bsm.upsi.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=90

CARA MEMOHON
Permohonan hendaklah dibuat secara online di:
http://myjobs.upsi.edu.my/job/recruitment.jsp

TARIKH TUTUP : 14 JUN 2010

Jawatan Kosong di Kerajaan Negeri Sembilan - Jun 2010

Posted: 08 Jun 2010 09:29 AM PDT

Permohonan adalah dipelawa daripada Warganegara Malaysia. Keutamaan diberi kepada rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus.

JAWATAN:
- Pengawal Keselamatan Gred KP11
- Pemandu Kenderaan Gred R3

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www2.ns.gov.my/images/stories/IKLAN/kp11.pdf

BORANG PERMOHONAN
Borang SPA. 1 Pin 7/91 boleh didapati di Pusat Sehenti, Tingkat G, Blok D, Wisma Negeri, 70503 Seremban.

Borang Permohonan hendaklah dihantar ke alamat:

YB Setiausaha Kerajaan
Pejabat Setiausaha Kerajaan
Negeri Sembilan Darul Khusus
Tingkat 5, Blok A, Wisma Negeri
70503 Seremban
(U.p: Bahagian Pengurusan Sumber Manusia)

TARIKH TUTUP : 14 JUN 2010