Adsense

Rabu, 9 Jun 2010

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


Shiqin teruk dibelasah Que

Posted: 09 Jun 2010 01:15 AM PDT

KESIMPULAN daripada temubual dengannya, tidak keterlaluan dikatakan gadis manis ini sangat bertuah. Kenapa diandaikan sebegitu?

pix_middle



Tanpa sebarang pengalaman Nur Ashiqin Mohd Kamal, 19, atau mesra disapa Shiqin sudah membintangi empat filem yang mana semuanya menampilkan Shiqin sebagai watak penting.


Bermula dengan Uncle Hussain, Shiqin dipilih menerajui filem Lagenda Budak Setan diikuti Mantera seterusnya Dilarang Masuk, bahkan filem Lagenda Budak Setan (LBS) yang diadaptasi daripada novel karya Ahadiat Akashah arahan Sharad Sharan yang sedang hangat ditayangkan.


Menerusi filem itu, Shiqin membawakan watak Emilia iaitu kesinambungan kepada watak Ayu selepas menjalani pembedahan wajah. Emilia dan Ayu (lakonan Lisa Surihani) adalah orang yang sama namun, Ayu melakukan pembedahan plastik selepas mengalami kemalangan teruk wajahnya musnah.

"Emilia adalah Ayu dan Ayu adalah Emilia. Yang membezakan mereka hanyalah wajah namun bahasa tubuh, perlakuan serta pertuturan mereka masih sama. Cabaran saya di sini untuk menghidupkan karektor Emilia sebagaimana Lisa Surihani menjiwai Ayu.


"Justeru semasa sesi latihan saya dan Lisa banyak berbincang malah dia sendiri memberikan tunjuk ajar selain menjelaskan bagaimana reaksinya apabila berdepan dengan situasi-situasi tertentu yang dihadapi Emilia.


"Ternyata, 'input' yang diperoleh dari Lisa memudahkan saya menghayati karektor Emilia. Cabaran lain perlu saya hadapi sepanjang penggambaran filem ini babak pertengkaran dengan Que Haidar yang melakonkan watak Azmi iaitu suami kepada Emilia-Ayu.


"Dia memukul saya sepenuh hati hingga membuatkan saya tergamam walaupun sedar itu cuma satu lakonan. Walau bagaimanapun saya amat berbangga dan terharu dapat membintangi filem ini bersama-sama pelakon lebih berpengalaman seperti Farid Kamil, Lisa, Que Haidar dan Raja Farah.


"Saya juga rasa amat bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada Fauziah Ahmad Daud yang bertindak sebagai pelatih kami untuk filem ini," katanya.


Sebagai seorang yang belum pernah berkahwin dan bergelar ibu, Shiqin turut menyifatkan babak melahirkan bayi antara paling sukar dilakukannya.


"Dalam keadaan kaki digantungkan diatas besi sambil meneran, terus-terang dapat merasakan kesakitannya. Tidak dapat saya bayangkan keperitan yang dialami ibu yang melahirkan bayi mereka. Masa melakonkan babak itu saya juga tiba-tiba rasa tidak selesa apabila Farid Kamil ada di sebelah sedangkan dalam babak lain tiada masalah," katanya.


Bagi yang sudah menonton filem ini, pastinya mereka tertanya-tanya mengapa intonasi suara Shiqin mirip benar suara Lisa Surihani. Memang jelas, di dalam filem itu Lisa terpaksa meminjamkan suaranya kepada watak Emilia.


Ditanya apakah reaksi Shiqin mengenai hal ini, akui penuntut jurusan Sains Aktuari, Universiti Teknologi Mara UiTM Shah Alam ini dia menghormati keputusan pengarah."Tanyalah pada mana-mana pelakon sekalipun, pasti jawapan mereka sama dengan saya iaitu... tidak puas. Walau bagaimanapun saya tidak kisah kerana jalan ceritanya sudah ditentukan seperti itu.

"Seperti yang dikatakan tadi Emilia dan Ayu adalah orang yang sama justeru ada logiknya apabila suara Lisa digunakan untuk watak Emilia. Mungkin juga emosi saya semasa mengucapkan satu persatu dialog itu salah tetapi ia nampak betul selepas proses 'dubbing'," katanya.

Memasang angan menjadi pelakon sejak kecil lagi, pemilik wajah unik ini membina keberanian serta mengasah bakat lakonannya ketika di bangku sekolah.

"Dari sekolah lagi saya memang sudah minat. Asal ada pertandingan teater antara kelas saja, saya akan tawarkan diri. Tidak kiralah walau ia cuma 'public speaking' pun saya belasah juga kerana saya memang minat berlakon.

"Lepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya terbabit dalam penggambaran filem Magika sebagai pelakon aksi. Saya buat 'stunts' untuk Ziana Zain yang melakonkan watak nenek kebayan.

"Kalau ikutkan pelakon sepatutnya melakukan 'stunts' mereka sendiri namun disebabkan masa itu Ziana Zain sedang mengandung jadi sayalah yang terpaksa menggantikan posisi Ziana untuk babak-babak lasak.


"Tidak sangka pula, bakat saya diperhatikan oleh pengurus produksi filem itu yang meminta saya menghadiri uji bakat Uncle Hussain kerana pihak produksi filem itu sedang mencari heroin filem berkenaan," katanya dilahirkan bukan dari kalangan keluarga seni.


Bercerita lanjut pengalaman membintangi Uncle Hussain, ia bukanlah sebuah filem yang terlalu mencabar kerana filem komedi ringan.


"Cuma ada satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan apabila dalam satu babak, seorang kru produksi meletakkan seekor katak betul untuk membuatkan babak itu nampak riuh. Dari awal lagi saya sudah nampak, dia sedang memegang beg plastik berisikan sesuatu yang sedang bergerak-gerak.


"Tetapi bila ditanya, abang kru menjawab tiada apa-apa. Nak dijadikan cerita apabila katak itu dilepaskan dalam set penggambaran saya pun teruslah lari bertempiaran," katanya.

Mengenai wataknya sebagai Dina dalam Mantera yang turut dibintangi Tomok sebagai pelakon utama, nyata membawakan peranan sebagai penganalisa robot dalam filem sains fiksyen memerlukan Shiqin kelihatan bijak.

Manakala untuk filem Di Larang Masuk pula, Shiqin merasakan lakonannya sebagai Fatia untuk filem itu lebih mencabar kerana menjadi pesakit jantung.


Sudah bersedia menghadapi asam garam dunia seni, Shiqin memasang impian untuk menjadi pelakon yang berilmu dan boleh dijadikan idola kepada masyarakat. Melihat penampilan luaran, memang gadis ini mempunyai pesona tersendiri yang mampu membuatkan mana-mana produser terpikat untuk mengambilnya sebagai pelakon utama.


"Saya tidak pernah rasa disebabkan rupa, saya memperoleh semua tawaran ini. Saya percaya mereka menilai bakat saya apatah lagi untuk mendapatkan semua peluang ini saya melalui proses uji bakat yang turut disertai puluhan gadis," katanya.

>PROFIL
NAMA: Nur Ashiqin Mohd Kamal
NAMA KOMERSIL: Shiqin Kamal
TARIKH LAHIR: 25 November 1991
UMUR: 19 tahun
ZODIAK: Sagitarius
ANAK: Bongsu daripada tujuh beradik
IDOLA: Elly Suriati
HOBI: Aktiviti lasak
FILEM KEGEMARAN (tempatan): Hingga Hujung Nyawa
FILEM DIBINTANGI: Uncle Hussain, Lagenda Budak Setan, Mantera dan Dilarang Masuk
KOMERSIAL: Sunsilk bersama Ashraf Muslim
KERJAYA: Penuntut jurusan Sains Aktuari, UiTM Shah Alam dan pelakon.

Raja seluar dalam dicekup

Posted: 09 Jun 2010 01:14 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Serbuan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Marang ke sebuah rumah di Kampung Rawai, Alor Limbat, Marang, untuk memberkas pengedar dadah membawa penemuan mengejutkan apabila bukan dadah yang ditemui, sebaliknya kira-kira 400 seluar dan baju dalam wanita terpakai.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin itu, polis yang menyerbu rumah itu untuk urusan pertuduhan kes dadah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang bertugas sebagai pembantu kesihatan awam.

Difahamkan, suspek yang pernah bertugas di Dungun dan Marang sebelum ini didapati dua kali positif ujian dadah jenis methamphetamine, malah ketika serbuan dan pemeriksaan di rumahnya, lelaki itu didapati memakai seluar dalam wanita.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, lelaki itu mengaku mencuri semua pakaian dalam berkenaan daripada ampaian rumah penduduk sekitar Marang dan Dungun.

Menurutnya, 'raja seluar dalam' itu penagih pil kuda dan gemar memakai pakaian dalam wanita sejak di bangku sekolah menengah, malah dikatakan mempunyai minat pelik dengan mengumpul pelbagai jenis pakaian dalam wanita.

"Dia pernah bertugas di Dungun dan Marang mengaku mengumpul semua 400 pakaian terpakai itu sejak tahun lalu ketika berkhidmat di kedua-dua daerah berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai khususnya wanita yang tinggal sekitar dua daerah berkenaan yang mungkin kehilangan pakaian dalam supaya segera membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan.

"Kami sedang bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah di kedua-dua daerah berkenaan untuk mengesan kemungkinan terdapat mangsa yang membuat laporan berhubung kehilangan pakaian berkenaan," katanya.Sementara itu, dalam operasi sama kira-kira jam 5.30 pagi semalam, polis menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia antara 19 hingga 23 tahun di sebuah rumah di Alor Limbat, Marang.

Penahanan dibuat selepas polis menemui 60 pil kuda bernilai RM2,400 daripada kumpulan berkenaan dan mereka kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Talak satu

Posted: 09 Jun 2010 01:12 AM PDT

PETALING JAYA: Akhirnya kemelut yang melanda rumah tangga vokalis kumpulan OAG, Radhi Razali dengan Shazlin Sharif berakhir apabila Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, mengesahkan lafaz cerai yang dibuat penyanyi itu.

BERMAAFAN...Radhi bersalaman dengan Shazlin selepas disahkan  bercerai talak satu.
BERMAAFAN...Radhi bersalaman dengan Shazlin selepas disahkan bercerai talak satu.
Tepat pada jam 3.05 petang, Radhi, 33, dan Shazlin, 32, yang juga bekas penyanyi kumpulan GIM itu disahkan bercerai talak satu oleh Hakim Syarie Tuan Fazil Che Hasan.

Terdahulu, Shazlin yang diwakili peguam syarie Rubiah Jaffar memaklumkan kepada mahkamah pada 16 Oktober 2009, kedua-dua pihak membuat perjanjian dan menandatangani persetujuan berhubung nafkah edah, mutaah dan nafkah anak.

Radhi diwakili peguam syarie, Musa Awang mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa anak guamnya bersetuju untuk melafazkan cerai secara baik melalui kebenaran mahkamah.

Menjawab pertanyaan hakim, Rubiah memaklumkan anak guamnya sudah tidak menetap bersama dengan Radhi sejak 2008.

Hakim kemudian membenarkan permohonan itu dan mengarahkan sijil nikah pasangan itu dibatalkan dan perceraian perlu direkodkan di Jabatan Agama Islam Daerah Petaling.

Mahkamah juga merekodkan persetujuan bersama mereka iaitu Radhi bersetuju memberi nafkah edah sebanyak RM3,000, tiada tuntutan mutaah dikemukakan dan nafkah anak mereka Muhammad Rifdhi Muslim, 5, sebanyak RM460 sebulan.

Radhi juga bersetuju membayar insurans pendidikan RM200 sebulan dan bayaran itu dibuat sebelum atau pada 1 hari bulan setiap bulan.Shazlin juga memohon Radhi nafkah perayaan dan hari lahir anak mereka RM1,000 setahun dan dibayar dua minggu sebelum perayaan atau majlis itu.

Radhi ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan kesyukuran kerana kes itu berakhir dengan baik selain turut menyanyi lagu dari album terbarunya.

Sementara itu, Shazlin juga ketika ditemui berkata lega kerana ia berakhir dan apabila ditanya bagaimana perasaannya, dia hanya mengatakan biarlah dia simpan dalam hatinya.

Kerabat jadi dalang

Posted: 09 Jun 2010 01:10 AM PDT

GOMBAK: Seorang lelaki dipercayai kerabat istana antara enam suspek dicekup polis selepas dikesan menjadi dalang sindiket kegiatan mencuri dan menyeludup kenderaan mewah terbesar ke negara jiran.

DITEMUI...antara kenderaan mewah yang dicuri disimpan sementara di  IPD Gombak untuk siasatan lanjut.
DITEMUI...antara kenderaan mewah yang dicuri disimpan sementara di IPD Gombak untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, sindiket curi kenderaan mewah aktif sejak tahun lalu itu dipercayai melarikan ratusan kereta mewah bernilai lebih RM10 juta, terutama di Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kegiatan sindiket itu tumpas apabila enam suspek yang mempunyai dengan kaitan kegiatan sindiket men curi kenderaan mewah terbabit ditahan polis, sepanjang dua minggu lalu.


Sumber polis berkata, sindiket dianggap terbesar itu ditumpaskan selepas ahlinya berusia 34 tahun diberkas ketika cuba menghantar kenderaan curi terbabit ke utara tanah air, 24 Mei lalu.


"Berdasarkan siasatan, dia mendakwa ditugaskan menghantar kereta curi yang siap diubah suai ke Terengganu, kemudian diseludup ke negara jiran. Ketika ditahan, suspek memandu BMW.


"Suspek memberitahu dia menerima RM500 bagi setiap kereta diseludup. Setakat ini, suspek memberitahu pernah membawa 22 kereta dicuri dari Lembah Klang, Selangor dan Seremban," katanya.

Menurutnya, susulan penahanan itu, polis Selangor menjalankan operasi memburu ahli sindiket berkenaan sebelum memberkas lima suspek dalam beberapa tangkapan berasingan.

"Suspek kedua berusia 22 tahun yang ditahan mendakwa diberikan peranan 'budak' penghantar kereta curi dengan upah sehingga RM500 bagi setiap kereta.


"Selain dua suspek terbabit, polis turut menahan kerabat istana dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket mencuri dan menyeludup kereta mewah berkenaan," katanya.

Menurutnya, polis menahan dua lelaki warga Timur Tengah dikesan membeli kenderaan curi terbabit daripada sindiket berkenaan.

"Sehingga ini, polis menemui semula kenderaan dicuri antaranya BMW, Toyota Harier, Toyota Estima dan pelbagai model kenderaan lain dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.


"Berdasarkan siasatan, sindiket mencuri kenderaan mewah itu dianggap profesional berikutan mempunyai bengkel khas yang digunakan untuk mengubah suai kenderaan terbabit terutama membabitkan nombor casis dan enjin kenderaan," katanya.


Menurutnya, siasatan polis mendapati, suspek terlebih dahulu menukar nombor casis setiap kenderaan dicuri termasuk plet kenderaan selain cukai jalan palsu.


"Malah, polis percaya mereka turut mampu menghasilkan dokumen palsu bagi membolehkan kenderaan itu dijual seolah-olah kenderaan terpakai.

"Bagaimanapun, pihak sindiket lebih tertarik menjual kenderaan mewah yang dicuri di negara jiran.

"Susulan kejayaan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan polis negara jiran bagi mengesan kenderaan curi yang pernah dibawa masuk ke negara terbabit," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dihubungi mengesahkan berhubung tangkapan kes curi kenderaan berkenaan dan memberitahu pihaknya menjalankan siasatan bagi mengesan saki- baki ahli sindiket berkenaan.

Elak membazir selepas majlis

Posted: 09 Jun 2010 01:08 AM PDT

GAYA rekaan gubahan sentiasa bertukar mengikut peredaran semasa.

pix_middle



Dahulu, coklat atau gula-gula hanya digubah membentuk sesuatu atau disusun mengikut kreativiti. Tetapi kini gubahan semakin segar dan bersifat universal iaitu boleh digunakan sebagai hiasan meja selepas manisan diasingkan daripada tempatnya.

Menurut pembuat gubahan, Rustam Abd Majid, jika dahulu penggunaan bunga plastik dengan gubahan berdasarkan bentuk tertentu menjadi pilihan mempelai, kini gaya moden dengan penggunaan bunga segar semakin mendapat perhatian.

"Kebanyakan pelanggan memilih bunga segar iaitu mawar sebagai pilihan. Warna pula merujuk kepada tema majlis perkahwinan mereka," katanya.

Apa yang menarik, setiap gubahan mempunyai motif tersendiri misalnya gubahan coklat, sirih junjung, pakaian atau perhiasan mesti menggunakan bunga segar sebagai bahan utama. Selepas selesai majlis, gubahan boleh digunakan sebagai hiasan meja atau bilik tidur.

"Gaya terkini tidak mengkhusus kepada gubahan sahaja, tetapi secara menyeluruh gubahan lebih versatil dan digunakan untuk hiasan yang lain.

"Jadi, ia tidak membazir dan terbuang begitu sahaja," katanya.

Untuk gubahan coklat, Rustam menggunakan rona merah dan hitam. Penggunaan bekas gubahan lebih moden dengan bekas bunga berkaki serta tidak lagi menggunakan alas dulang sebaliknya penggunaan barang hiasan rumah seperti bekas lilin."Saya tidak mahu menggunakan bekas sama sebaliknya penggunaan alas yang lain daripada lain serta moden kerana ia boleh menaikkan seri gubahan.


"Jangan takut mencipta kelainan asalkan tidak keterlaluan. Paling penting, ia cantik, menarik serta senang dibawa keluarga mempelai," ujarnya.

Nisha Dirr Mahu Jadi 'Orang Gila'

Posted: 09 Jun 2010 01:07 AM PDT

Nisha baru habis membuat penggambaran telefilem berjudul Prima Facie untuk Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) terbitan MNN Entertainment Sdn Bhd.

PELAKON Nisha Dirr merasakan dirinya tidak lengkap menjadi seorang pelakon sekiranya tidak mendapat watak sebagai orang gila.

Kata Nsiha atau nama sebenarnya Nik Shahri'ah Nik Dir, selama ini dia banyak diberi kepercayaan memegang watak wanita gedik serta beberapa watak lain yang dibenci penonton.

"Kebanyakan watak yang saya terima agak kurang mencabar. Sebab itulah saya teringin untuk memegang watak orang gila atau penagih dadah. Tetapi dalam drama bersiri Cubit-Cubit Sayang ada yang nampak kononnya watak saya macam orang gila tapin saya tidak gila.

"Dalam drama itu saya cuma hampir dirogol, tapi saya tak gilalah. Watak yang betul-betul gila belum lagi. Masih banyak yang belum dibawa seperti penagih dadah," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Nisha sebenarnya telah berlakon dalam banyak drama televisyen antaranya, Misi XX-Ray II, Ha! Cucu Opah Nak Kahwin, Aku Tanpa Cintamu, Dan Jendela Pun Terbuka, Mrs Beckham, Bayangan Wajah, Aku Cinta Aku Rindu dan Akademi Cinta.

Mengenai perkembangan terbarunya, Nisha baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Prima Facie untuk RTM terbitan MNN Entertainment Sdn. Bhd.

Katanya, dalam telefilem itu dia membawa watak seorang peguam.

Nisha memegang watak Hani dalam drama bersiri Jersi 9.

"Drama itu merupakan sebuah cerita mahkamah tentang seorang peguam yang cuba membela seorang ayah tiri yang merogol anaknya.

"Saya ingat lelaki ini jujur tetapi saya ditipu dalam kes jenayah ini," katanya.

Ibu Beri Komen Tentang Shahir

Posted: 09 Jun 2010 01:06 AM PDT

KEMENANGAN Shahir dalam Akademi Fantasia kelapan (AF8) berjaya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan di antara penyanyi itu dengan ahli keluarganya yang lain.

Sebagai bukti, salah seorang saudara Shahir bersedia untuk menjadi pengurus bagi mengendalikan segala aktiviti penyanyi itu di Kuala Lumpur.

Mahanum Osman menyediakan makanan untuk anak bujangnya, Shahir yang pulang ke Kampar pada 5 Jun lalu selepas menjuarai AF8.

Ibu Shahir, Mahanum Osman,45, berkata, kemenangan anaknya itu sebenarnya bagaikan satu tuah kerana dia mampu merapatkan lagi hubungan kekeluargaan sesama meraka apabila kelab peminat Shahir FC mahu diuruskan oleh anak sepupunya.

"Sebenarnya saya dan anak sepupu saya, Mohd. Helmi Basir tidak begitu rapat tetapi apabila dia menyuarakan hasrat untuk menjaga Shahir FC, saya rasa tidak ada salahnya kerana ia dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan," katanya kepada mStar Online sewaktu ditemui pada majlis kenduri kesyukuran Shahir di Kampar, Perak Sabtu lalu.

Mahanum berkata, jika kelab peminat artis itu diuruskan dari kalangan ahli keluarga, dia yakin tiada akan berlaku masalah besar dan tentu sekali semuanya akan terjamin.

Mahanum memuji dan mengagumi sikap anaknya yang baik dan menghormati orang tua.

Ketika diminta memberi komen tentang pandangannya sebagai seorang ibu terhadap Shahir, mulutnya tidak putus-putus memuji anaknya itu. "Dia rapat dengan saya dan apa-apa rahsia dia suka berkongsi dengan saya. Saya juga suka berkongsi masalah dengan dia. Dia bukan sahaja anak, malah seperti kawan dan kaunselor kerana kadang-kadang pandangannya boleh diterima," cerita Mahanum.

Sebagai anak sulung, Shahir bukan sahaja boleh diharap untuk melakukan kerja di rumah malah dia juga seorang yang pemurah dan sentiasa menyayangi adik-adiknya yang lain.

Shahir katanya merupakan seorang yang penyayang, menyukai kanak-kanak dan menghormati orang tua. Dia sangat menyayangi adik-adiknya tetapi kadangkala dia akan menjadi tegas jika mereka melakukan kesalahan. Juara AF8 itu menetap di Kampar sejak kecil dan mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kampar, Sekolah Menengah Kebangsaan Slim River dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang kejuruteraan.

Dalam keluarga, hanya dia seorang yang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan betul-betul mengilap bakat itu untuk bergelar seorang penyanyi.

"Adik-adiknya yang lain juga minat menyanyi tetapi tidaklah seserius dia yang menjadi seorang penyanyi. Saya nampak bakat dia sejak berusia 5 tahun lagi iaitu ketika aktif menyanyi dalam kumpulan nasyid.

Mahanum di samping suami, Zawawi Abdullah, pengetua AF8, Norman Abdul Halim dan anaknya, Nor Suaidah ketika kenduri kesyukuran Shahir.

"Apabila dia belajar di UIA, baru kumpulan Saujana nampak bakat dia semasa dia menyanyi dalam sebuah majlis. Ketika dia bertanya pendapat untuk menyertai Saujana, saya tiada halangan," ujarnya.

Sekarang, Shahir sedang mengumpul modal untuk membuka gelanggang futsal. Dia akan berusaha untuk membuka gelanggang futsal itu sebagai salah satu cabang perniagaannya.

"Saya sentiasa mendoakan Shahir untuk berjaya mencapai cita-citanya. Saya berharap dia tidak berubah dan menjadi Shahir seperti dulu. Sehingga masa akan datang, saya harap dia tidak lupa diri," katanya lagi.

Dengan wajah yang kacak dan murah dengan senyuman itu, tidak mustahil Shahir menjadi kegilaan ramai anak-anak gadis.

Mahanum jelas tidak menolak mana-mana gadis yang mahu menjadi menantunya sekiranya itulah pilihan Shahir.

"Saya tahu dia pandai buat pilihan. Mana-mana perempuan yang dia pilih saya terima. Cukuplah jika perempuan itu seorang yang baik, hormat orang tua dan solehah," katanya.

Pak Long Pun Nak Jadi Penyanyi

Posted: 09 Jun 2010 01:05 AM PDT

Demi minat yang mendalam, Pak Long tekad memulakan karier nyanyiannya walaupun di usia 46 tahun.

DEK kerana sebuah lagu yang mengasyikkan, siapa sangka lelaki berusia 46 tahun ini tiba-tiba menjadi sebutan di kalangan peminat muzik.

Nama Pak Long mungkin masih asing dan kedengaran janggal bagi segelintir pihak, namun pertaruhan anak jati Kedah ini menerusi pautan lagu Selagi Ada Rindu di laman web YouTube yang mendapat sambutan luar biasa di kalangan peminat seakan menyerlahkan potensinya untuk melangkah jauh dalam dunia hiburan tanah air.

Pak Long atau Shafie Ahmad sebenarnya sudah lama berkarya dalam industri. Cuma, sebelum ini bapa kepada tujuh orang anak ini hanya dikenali sebagai orang belakang tabir menerusi lagu-lagu gubahannya termasuklah Cinta Pantai Merdeka (nyanyian kumpulan Tropika dan Jinbara) dan Al-Jannah (nyanyian Mawi).

Namun, minat yang mendalam dan keyakinan terhadap muzik yang diperjuangkannya memberi kekuatan untuk Pak Long mencuba nasib sebagai penyanyi biarpun dia bermula agak lewat.

"Bagi saya, usia hanyalah angka. Sama ada kita bermula pada usia muda atau lambat sedikit, ia bukan satu isu besar. Saya berani untuk tampil sebagai penyanyi pun selepas melihat sambutan luar biasa peminat terhadap lagu Selagi Ada Rindu yang mencecah jutaan tontonan di YouTube.

"Daripada situ saya lihat masyarakat kita sebenarnya semakin bijak dalam menilai dan menghargai muzik. Hari ini, bukan rupa atau usia yang menjadi faktor kejayaan seseorang penyanyi itu untuk diterima tapi kerana karya yang sedap didengar," katanya.

Menurut Pak Long yang ditemui di majlis pelancaran album sulungnya, Selagi Ada Rindu di Red Box Ria, Sogo baru-baru ini, hasrat untuk bergelar penyanyi telah lama terbuku di hati, malah jika mendapat 'lampu hijau' daripada orang tuanya di sekitar tahun 1990an, sudah tentu Pak Long sudah lama bergelar penyanyi.

Dek rasa hormat dan patuh kepada orang tuanya, dia terpaksa menguburkan impiannya itu, sementelah pada ketika itu dia juga harus menjaga dan menguruskan ayahnya (arwah) yang sedang uzur.

"Kalau diikutkan pada tahun 90-an lagi saya sudah bergelar penyanyi, selepas saya mencipta lagu Cinta Pantai Merdeka sekitar tahun 1993, beberapa pihak menggalakkan untuk saya bergiat secara serius dalam industri ini.

"Tapi pada ketika itu, saya terpaksa menjaga arwah ayah yang sedang uzur, tambahan pula dia tidak begitu menggalakkan saya untuk menceburi bidang seni. Sebagai anak, saya hormati keputusan itu. Saya terpaksa balik ke kampung dan pendamkan saja hasrat untuk menjadi penyanyi," imbas Pak Long dengan sayu.

Malah, dek rajuknya pada ketika itu, Pak Long mengakui dia langsung tidak menyentuh gitar dan berkarya hingga tujuh ke lapan tahun lamanya selepas penghasilan lagu Cinta Pantai Merdeka itu. Namun, segalanya berubah selepas lagu Al-Jannah nyanyian Mawi mendapat sambutan daripada peminat muzik tanah air.

Katanya, selepas lagu itu popular pada tahun 2006, ramai rakan-rakan seperjuangan mula menggalakkannya untuk menyanyi semula secara profesional.

"Selepas Al-Jannah nyanyian Mawi itu popular, ramai rakan terdekat dan orang-orang industri menggalakkan saya untuk menyanyi secara profesional dan dari situlah saya menyahut cabaran itu untuk tampil ke depan.

"Tambahan pula sambutan orang ramai terhadap lagu Selagi Ada Rindu itu benar-benar membakar semangat saya untuk memberi kelainan kepada industri muzik menerusi lagu-lagu kemelayuan yang dekat dengan alam, cinta dan kasih sayang yang sebati dengan jiwa orang kita," ujarnya lagi.

Diusik tentang nama Pak Long yang diperdagangkan sebagai jenamanya dalam bidang nyanyian ini, Pak Long berkata, nama itu adalah sapaan dan gelaran yang diberikan kepadanya sejak dia kecil lagi.

Memandangkan dia adalah anak tunggal dalam keluarga, maka Pak Long senang dan sinonim dengan gelaran itu. Katanya lagi, ketika mencipta lagu Cinta Pantai Merdeka, kira-kira 17 tahun lalu pun dia memang menggunakan nama itu yang dianggapnya mudah disebut dan diingat.

"Nama Pak Long itu sudah sebati dengan saya sejak kecil lagi. Bukan sahaja dalam keluarga, malah semua sahabat-handai dan orang kampung pun panggil saya dengan nama itu.

"Lagipun, nama Pak Long itu kan mudah disebut, unik dan senang diingat. Sebab itu saya gunakan nama itu bila jadi penyanyi," jelasnya.

Album Selagi Ada Rindu yang mengandungi 10 buah lagu termasuk Selagi Ada Rindu, versi rakaman semula lagu Cinta Pantai Merdeka dan Al-Jannah ini diterbitkan oleh Kacip Emas Global Sdn Bhd. Album edaran FMC Music ini telah berada di pasaran sejak Mei lalu.

Ana Raffali Buat Album Kerana Hidup Susah

Posted: 09 Jun 2010 01:04 AM PDT

Ana ketika majlis pelancaran album pertamanya, Ketika Aku Kecil di Felda Villa, semalam.

HASRAT mahu membantu ibu bapa dan adik-beradik dari hidup susah, akhirnya Ana Raffali berjaya menghasilkan album pertamanya, Ketika Aku Kecil.

Pemilik nama sebenar Ana Nur Hidayah Mohd Raffali itu semakin dikenali ramai menerusi single pertamanya, Hujan Bunga di Kuala Lumpur yang hangat disiarkan di stesen-stesen radio.

Bermula dengan hobi bermain gitar, Ana mula berjinak menulis lagu sebagai cara meluahkan perasaannya ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Pendidikan Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Ana bersama album yang memuatkan enam buah lagu termasuk lagu hits Hujan Bunga di Kuala Lumpur.

Sejak daripada itu, dia turut melibatkan diri dalam pelbagai persembahan di gig kecil dan memuat naik rakaman nyanyiannya di laman sesawang YouTube.

Dari situ, komposer terkenal Aidit Alfian menonton rakaman nyanyiannya dan tertarik untuk mengambilnya sebagai penyanyi pertama di bawah syarikat rakamannya, Aidit Alfian Records. Malah Aidit turut menyertai Ana membuat persembahan gig atas jemputan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kehadiran gadis yang terkenal dengan identiti mengadakan persembahan dengan mengenakan baju kurung atau berkebaya bersama gitar akustik itu turut disokong oleh kumpulan The Marhaens.

Selain Aidit kumpulan itu turut dianggotai oleh Azizi Masri (GG), Andy (Flop Poppy), Alfa Booty, Rumie Booty, Mie, Cha'a, Pito, Iqbal, Nazrin, Rohnie, Geeka dan Bobo.

Ana bersama ibu dan bapanya, Mohd Raffali Mohd Nor dan Halijah Rashid yang membakar semangat Ana untuk meneruskan perjuangan dalam bidang muzik ini.

Bukan mudah untuk Ana Raffali mengecap kejayaan seperti sekarang. Dia bertuah apabila bertemu komposer terkenal, Aidit Alfian yang 'menyelamatkannya' daripada membuat persembahan secara percuma. "Saya rasa sebak bila Aidit beritahu tentang sejarah pembikinan album saya. Biar apa pun dugaan yang saya tempuhi, saya membuat sesuatu yang saya suka dan sentiasa ingat apa yang saya impikan.

"Segala-galanya kerana saya nak raih pendapatan untuk menolong ibu bapa. Saya ada perjuangan tersendiri.

"Selain itu, saya juga mahu masyarakat hargai lagu-lagu kita selain menempa nama dalam industri ini," kata anak kesembilan daripada 11 beradik itu di majlis pelancaran album tersebut di Felda Villa, semalam.

Dalam pada itu, Aidit berkata dia mengenali Ana sejak November 2007. Pada Mac 2008, dia dan Ana mula membuat persembahan secara akustik di universiti Ana.

Ana di samping penerbit albumnya, Aidit Alfian ketika sesi soal jawab di majlis pelancaran albumnya.

Banyak perkara yang ditimba oleh Ana termasuk perkara di luar dari industri hiburan. Misalnya dia membuat persembahan tanpa menerima apa-apa bayaran.

"Saya cuba membantunya apa yang perlu. Dari situ dia belajar tentang perbincangan. Dia sudah merasa pengalaman mendapat bayaran show dan ada yang tiada bayaran.

"Sekali dua mungkin okey tapi kita semua cari makan dengan muzik. Jadi, kita kena fikirkan caranya," ceritanya.

Kini, Ana sudah mampu berdiri sendiri dengan menubuhkan syarikat penerbitannya iaitu Ana Raffali Muzik Enterprise.

Nama Ana Raffali semakin hebat dengan kemunculan album yang mempertaruhkan enam buah lagu yang digubah dan ditulis sendiri olehnya.

Lagu-lagu tersebut ialah Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Cuba Jangan, Tolong Ingatkan Aku, Ketika Aku Kecil, Biarkan Kau Terlepas dan Bentes.

Album edaran Universal Music Malaysia itu telah berada di pasaran sejak akhir April lalu.

Polis Buru Penyebar Video Lucah Luna & Ariel

Posted: 09 Jun 2010 01:04 AM PDT

PIHAK polis sedang berusaha mencari penyebar video porno yang dikatakan mirip bekas anggota kumpulan Peterpan Ariel dan Luna Maya (gambar) yang semakin luas tersebar sehingga ke Malaysia.

Ketua Bidang Masyarakat, Balai Polis Daerah Metro Jaya, Jakarta, Kombes Pol Boy Rafli Amar berkata pihak polis sedang memburu individu yang bertanggungjawab menyebarkan video berkenaan untuk di dakwa di mahkamah.

"Mereka yang bertanggungjawab akan diseret mengikut fasal 292 pencabulan tata susila," katanya kepada Detikhot.Com semalam.

Ujarnya pihak polis akan mengadakan siasatan terperinci terlebih dahulu untuk mengenal pasti sama ada individu yang terdapat di dalam video lucah berkenaan adakah penyebar video tersebut sendiri ataupun orang lain.

Bagaimanapun menurutnya pihak polis belum bersedia memanggil dua artis tersebut sehinggalah selepas pihaknya meneliti beberapa perkara penting daripada video berkenaan terlebih dahulu.

Katanya sehingga saat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap penyebaran video tersebut.

Kes membabitkan dua bintang Indonesia itu menjadi bertambah hangat apabila pada Isnin lalu seorang pengamal undang-undang Indonesia, Farhat Abbas membuat laporan polis berikutan tersebarnya video porno yang dikatakan milik Luna dan Ariel.

Loporan itu dibuat kerana Farhat berasa bertanggungjawab untuk memastikan sesiapa yang terlibat terhadap penghasilan dan penyebaran video tersebut dapat didakwa.

Album Hujan Masuk Pasaran Indonesia

Posted: 09 Jun 2010 01:03 AM PDT

KUMPULAN Hujan boleh menarik nafas lega apabila album kedua mereka Mencari Konkulusi telah memasuki pasaran Indonesia yang sebelum ini agak sukar untuk tembusi oleh artis-artis tempatan.

Menurut detikhot.com, album berkenaan yang mempertaruhkan lagu-lagu yang berentak nuansa jazz iaitu Kau Harus Ada dengan iringan keyboard dan gitar akustik mula mendapat sambutan.

Lagu pertama dalam album berkenaan iaitu Romantik membolehkan pendengar mengimbas semula sebuah lagu popular dalam album sulung mereka, Dugaannya.

Lagu Mencari Konklusi dipilih sebagai lagu hits di negara itu. Lagu tersebut mempunyai irama up beat rock. Melodi lagunya yang rancak seperti "memekik" tetapi disertai vokal yang menarik.

Tidak ada lagu berentak perlahan dalam album ini. Sangkar Besi di Hatiku yang judulnya kedengaran seperti 'lembut' sebenarnya mempunyai irama yang sangat rancak.

Band yang dianggotai oleh Acer (drum), Noh (vokal), Dimas (keyboard) dan AG (gitar) itu masih menggunakan bahasa Bahasa Malaysia.

Apa yang boleh dikatakan dalam album kali ini, Hujan lebih rock & roll berbanding album sebelumnya. Nada-nada rancak menjadi taruhan. Isu kehidupan yang dialami para muda-mudi menjadi sasaran mereka. Selain itu, Hujan juga telah menjayakan konsert jelajah di Eropah dan Australia.

FFM23 - Finas Terima 106 Penyertaan

Posted: 09 Jun 2010 01:02 AM PDT

Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim (kiri) pada sidang media pengumuman senarai penyertaan untuk Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) di Finas semalam.

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menerima 106 pencalonan sempena Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, bermula 16 Julai akan datang.

Daripada jumlah itu, sebanyak 29 buah penyertaan adalah filem cereka, 61 filem pendek, 13 filem animasi dan 3 filem digital.

Penyertaan terbesar bagi kategori filem cereka untuk festival kali ini dipelopori syarikat produksi MIG Production Sdn. Bhd.

Mereka menghantar penyertaan yang terdiri daripada filem Zoo, Semerah Cinta Stilleto, V3: Samseng Jalanan, Adnan Sempit, Santau dan Senario The Movie Epsiode 2: Beach Boys.

Manakala 61 filem pendek yang menghantar pencalonan merupakan tujuh daripada syarikat produksi filem, pusat pengajian tinggi awam dan swasta (22 pencalonan) sementara individu (32 penyertaan).

Bagaimanapun bagi kategori filem dokumentari hanya akan diumumkan selepas tarikh tutup penyertaan pada 18 Jun akan datang.

Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim berkata, secara umumnya penyertaan pada kali ini, kebanyakannya terdiri daripada muka-muka baru.

Justeru, beliau melihat perkembangan itu sebagai satu petanda baik terhadap industri perfileman tempatan kerana pembikinan filem di Malaysia hari ini bukan sahaja dari syarikat produksi yang sama sebaliknya dimeriahkan dengan kemunculan ramai penerbit dan produksi baru.

"Berdasarkan senarai penyertaan untuk FFM23, saya melihat ia adalah satu perkembangan yang baik buat industri filem kita," katanya ketika mengumumkan penyertaan tersebut di Finas hari ini.

Menurutnya lagi, pencalonan bagi memilih filem manakah yang layak ke peringkat akhir untuk setiap kategori yang dipertandingkan bakal diumumkan pada 13 Julai depan selepas diadili oleh jawatankuasa yang dilantik.

Mengulas mengenai tema festival kali ini yang masih mengekalkan tema tahun lalu iaitu "Filem Malaysia ke Persada Dunia", Mohd Mahyidin berkata, ia adalah sebagai galakan untuk membolehkan penerbit filem menghasilkan produk bertaraf antarabangsa.

Sambil menyangkal pandangan skeptikal segelintir pihak yang mempersoalkan pemilihan tema tersebut yang dikatakan sekadar angan-angan kosong, Mohd Mahyidin menegaskan, tema itu adalah sebagai bentuk dorongan, motivasi dan cabaran kepada warga pembikin filem di Malaysia untuk menghasilkan filem yang lebih bermutu di masa hadapan.

"Secara umumnya, memang filem Malaysia belum dapat menembusi ke pasaran lebih luas namun apa yang cuba diterapkan menerusi pemilihan tema ini adalah ia sebagai dorongan dan motivasi untuk pembikin filem kita menghasilkan filem yang lebih bermutu dalam semua aspek hingga melayakkannya menembusi pasaran lebih luas.

"Itu relevannya pemilihan tema itu namun ada beberapa pihak tidak faham atau sengaja ingin mempersendakan objektif kita untuk melihat filem-filem Malaysia bergerak ke tahap yang lebih tinggi," katanya lagi.

Shah Rukh Khan Bawa Anak Tonton Piala Dunia

Posted: 09 Jun 2010 01:01 AM PDT

Shah Rukh Khan dan anak-anaknya melawat ke Madame Tussaud di Britain pada April lalu.

BINTANG handalan Bollywood, Shah Rukh Khan mempunyai rancangan pelancongan untuk anak-anaknya.

Dia akan membawa Aryan dan Suhan ke Afrika Selatan untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia bermula Jumaat ini.

"Saya akan bawa anak-anak menyaksikan Piala Dunia di Afrika Selatan," Shah Rukh menulis pada laman sesawang Twitter.

"Perlawanan bola sepak itu adalah indah," coretnya.

Shah Rukh berkata dia mempunyai kenangan indah mengenai perlawanan bola sepak Piala Dunia kerana dia pernah menonton bersama ibunya suatu ketika dahulu.

Charlie Sheen - Siang Bekerja, Malam Di Penjara

Posted: 09 Jun 2010 01:01 AM PDT

Pelakon Charlie Sheen dan isteri, Brooke Mueller hadir ke Anugerah Emmy 2009 di Los Angeles.

BINTANG filem Charlie Sheen dibenarkan bekerja pada waktu siang dan perlu berada di penjara pada sebelah malam sekiranya mengaku bersalah berhubung dakwaan melakukan kecederaan terhadap isterinya.

Sebagai pertukaran terhadap pengakuan bersalahnya itu, pihak pendakwa raya bersetuju menggugurkan dakwaan mencederakan isterinya, Brooke Mueller yang dilakukan pada sambutan Hari Krismas lalu.

Insiden serangan itu berlaku ekoran pertelingkahan membabitkan Sheen dengan isterinya yang juga seorang selebriti ketika mereka melancong di Aspen.

Jika mengaku bersalah, Sheen hanya akan menjalani hukuman selama 30 hari dengan pemantauan selama tiga bulan.

Bagaimanapun hakim akan membuat keputusan terhadap permohonan yang akan didengar bermula Isnin depan dan dijangka selesai pada 12 Julai akan datang.

Sheen merupakan pelakon sitkom televisyen popular Two And A Half Men dan pernah dicalonkan dalam Anugerah Oscar untuk filem Platoon dan Wall Street.

Sheen hadir ke mahkamah dengan peguam belanya, Richard Cummpings.

Bagimanapun dia enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.

Ciuman Ghairah Sandra Bullock Terhadap Scarlett Johansson

Posted: 09 Jun 2010 01:00 AM PDT

Sandra (kanan) mencium bibir Scarlett dengan penuh ghairah ketika MTV Movie Awards 2010.

AKTRES Sandra Bullock tanpa segan silu mencium bibir penyanyi dan pelakon Scarlett Johansson dengan mengghairahkan ketika mendapat penghargaan di MTV Movie Awards 2010.

Menurut UsMagazine, Sandra sangat gembira setelah mencium isteri kepada Ryan Reynolds. Ryan merupakan hero dalam filem The Proposal yang turut dilakonkan oleh Sandra.

"Betul kata Ryan bahawa Scarlett seorang kaki cium yang hebat," kata Sandra kepada UsMagazine semalam.

Dalam majlis MTV Movie Awards, Scarlett menyampaikan anugerah kepada Sandra mewakili suaminya yang tidak dapat hadir. Dalam majlis tersebut, aktres berusia 45 tahun itu mendapat trofi MTV Generation.

Selain itu, Sandra dan Ryan turut dicalonkan untuk anugerah Ciuman Terbaik. Namun, mereka kalah kepada pasangan dalam filem Twilight, Kristen Stewart dan Robert Pattinson.

"Kamu seharusnya menang kerana kamu memberikan ciuman yang luar biasa," ujar Scarlett menyatakan kekecewaannya kepada Sandra kerana kekalahan pasangan itu.

Permainan Saidina Gergasi Di Berjaya Times Square

Posted: 09 Jun 2010 12:59 AM PDT

Kelihatan sekumpulan pengamal media sedang bermain Saidina ketika ditemui di Berjaya Times Square, hari ini.

KUALA LUMPUR: Sempena musim cuti persekolahan ini, orang ramai khususnya kanak-kanak berpeluang bermain Saidina gergasi bersaiz 900 kaki persegi menerusi program "Get On Board" yang disediakan di pusat membeli-belah Berjaya Times Square sejak Ahad lepas.

Selain Saidina gergasi, pusat membeli-belah itu turut menawarkan permainan yang lain seperti Plus Words, Snake Ladders, Dominoes dan Tower Up yang bersaiz besar, yang akan disediakan sehingga 20 Jun ini.

Pengarah Urusan dan Kreatif Syarikat Permainan Malaysia Ting Ted Sun berkata pihaknya memilih Berjaya Times Square kerana keluasan tapak yang diberikan untuk menjayakan program tersebut.

Permainan "Get On Board" bermula dari 5 hingga 20 Jun ini. Antara permainan yang boleh di cuba adalah seperti Saidina, Snakes & Ladders, Dominoes, Plus Words, Tower Up dan Board Game Marathon.

"Diharapkan melalui permainan yang disediakan dalam program ini orang ramai dapat mempelajari sesuatau yang berguna,"katanya kepada pemberita disini hari ini.

Beliau berkata pada edisi kali ini pihaknya menambah peruntukan kepada RM10,000 berbanding RM8,000 pada tahun lepas.

Dobi Tradisional

Posted: 09 Jun 2010 12:54 AM PDT

TRADISI UNIK... Seorang pekeja Dobi Ghaut mencuci pakaian menggunakan tangan. Uniknya kaedah dobi tradisional ini masih dikekalkan oleh pengusahanya sejak 100 tahun yang lalu.

PULAU PINANG: Seolah-olah kembali ke zaman silam.Begitulah perasaan ketika berjalan di penempatan Dobi Ghaut, di Pulau Pinang.

Penempatan ini terletak antara Jalan Air Hitam dan Jalan York, dihuni oleh mereka yang menyediakan perkhidmatan dobi tradisional sejak turun temurun.

Ampaian ratusan kain sari pelbagai warna - merah terang, kuning, hijau tua dan biru - yang dijemur setiap hari mendominasi pemandangan.

Perniagaan yang dikatakan bermula sejak lebih 100 tahun lepas itu tidak banyak berubah dengan peredaraan masa, cara dan peralatan yang digunakan masih kekal sama iaitu kain dibasuh menggunakan tangan dan digosok menggunakan seterika arang. Itulah keistimewaan dan keunikannya.

Jumlah Pengusaha Terus Merosot

Cuma sekarang ini, bilangan pengusaha dobi semakin berkurangan berbanding dulu dan kini hanya tinggal 13 orang yang menyediakan perkhidmatan itu.

Menurut seorang pengusaha dobi, A. Ramu, 65, pada tahun 1970-an, terdapat lebih 150 orang yang menyediakan perkhidmatan dobi di kampung itu.

"Tetapi kini hanya tinggal 13 orang yang menjalankan perniagaan ini kerana ramai yang telah meninggal dunia atau berpindah ke tempat lain," katanya yang telah 50 tahun menjalankan perniagaan dobi.

Ramu, yang merupakan generasi ketiga mewarisi perniagaan itu daripada keluarganya, berkata kini tidak ramai lagi golongan muda yang berminat untuk menjalankan perniagaan berkenaan.

Cuci Tanpa Mesin

Beliau tidak merasa terbeban mencuci pakaian tanpa menggunakan mesin basuh malah berbangga kerana masih dapat mengekalkan tradisi keluarganya.

Kebiasaannya Ramu yang dibantu adiknya, Muniandy, 62, memulakan kerja mencuci pakaian seawal pukul 8 pagi dan meneruskan kerjanya sehingga pukul 8 malam setiap hari.

Menurut Muniandy, mencuci pakaian secara tradisional mengambil masa yang agak lama kerana terpaksa melalui beberapa peringkat.

"Pada satu ketika dahulu mereka menggunakan air sungai yang berhampiran kampung untuk mencuci pakaian," katanya kepada Bernama.Beliau berkata, bagaimanapun aktiviti itu kini beralih ke rumah masing-masing berikutan air sungai itu tidak lagi bersih untuk mencuci pakaian.

Prosesnya

"Mulanya, pakaian direndam dengan serbuk pencuci dan kemudian dibasuh dan dibilas sebelum dijemur," katanya.

Setelah itu kain yang telah kering akan digosok sebelum dihantar kepada pelanggan menggunakan basikal.

"Saya dan abang saya mengayuh basikal untuk mengutip dan menghantar kain pelanggan di sekitar George Town dan Bayan Baru," jelas Muniandy sambil mencuci kain.

Beliau berkata mereka mengambil masa dua hari untuk mencuci dan dua hari lagi digunakan untuk menggosok pakaian setiap pelanggan.

"Kami akan menghantar semula pakaian kepada pelanggan dalam tempoh seminggu selepas diterima," katanya.

Dengan harga antara RM1 dan RM8 untuk upah mencuci sehelai kain mengikut saiz, mereka mencuci antara 100kg dan 150kg kain setiap hari.

Seorang lagi pengusaha dobi, V. Manoharan, 42, yang merupakan generasi keempat mewarisi peniagaan mencuci pakaian daripada keluarganya berkata kerja-kerja mencuci pakaian secara tradisional itu dilakukan dengan teliti bagi memuaskan hati pelanggan.

"Walaupun ramai yang menggunakan mesin basuh untuk mencuci pakaian, tetapi masih terdapat golongan yang suka baju mereka dicuci dengan cara lama," katanya.

Bagaimanapun, pengusaha dobi ini sedar akan nasib yang menunggu mereka.

Walau apapun, Lebuh Ghaut akan terus diingati penduduk tempatan seperti yang ia dikenali sebelum ini, 'Vannan Thora Tedal', yang bermakna daerah dobi dalam bahasa Tamil.