Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog |
- Penyuburan model Islam
- Rancang kewangan demi kesejahteraan keluarga
- Guru tirai besi
- Bila masa sesuai ‘putus susu’
- Rasa hati seorang anak
- Wanita tidak faham undang-undang?
- Malaysia hab kosmetik halal
- Manfaatkan sumber tempatan
- Inspirasi fesyen 40-an
- Joannabelle bantu golongan susah
- Averine rawat kulit wajah
- Wanita Iran makin berani bersolek
- Elak keracunan makanan
- Ke arah TUDM generasi baru
- Delima penyembuh ajaib
- Cekik bayi hingga mati
- Lepas geram bakar masjid
- Lisa belum sampai tahap Erra
- Pelaburan ekuiti disiar
- FAKTA RMK-10 (YANG DIBENTANGKAN DI PARLIMEN OLEH PM)
- Faizal Tahir Mahu Ke Palestin & Mati Syahid
- Amanda Imani Mengeluh, Stesen Radio Pilih Kasih
- TV3 Mahu Kurangkan Kontroversi
- Kompilasi Sawancara Din Beramboi & Aznil Dilancar
- Kes Permohonan Nikah Bung-Zizie Ditangguh
Posted: 10 Jun 2010 03:21 AM PDT
Saidina Ali r.a menggambarkan bahawa remaja adalah cerminan masyarakat hari depan. Sekiranya masyarakat muda pada hari ini dibina secara berkualiti, maka kepimpinan pada mada hadapan juga berkualiti. Untuk melahirkan generasi bermutu bergantung kepada corak pendidikan di rumah, di sekolah dan pengukuhan dalam masyarakat. Pengaruh globalisasi yang mendukung aliran liberalisme juga mempengaruhi pembentuk jiwa dan minda remaja. Pancaran media sama ada yang konvensional mahupun elektronik tidak semuanya memberikan pengaruh bermanfaat kepada generasi muda. Banyak program yang melalaikan tersaji sehingga aliran nafsu nafsi atau hedonisme berkembang tanpa batas. Ia melahirkan pola-pola pemikiran dan kecenderungan popular di kalangan generasi muda sehingga jati diri makin cair. Kukuhkan Jati Diri Bagi negara seperti Malaysia, faktor jati diri yang menggambarkan budaya tradisi unggul dengan tamadun sendiri amat penting. Sekiranya generasi muda tidak mendalami sejarah pertumbuhan bangsa, budaya, tradisi dan agama, ia boleh menyebabkan mereka terutamanya remaja Melayu menjadi penciplak utuh kepada budaya orang. Justeru, amat penting bagi generasi hari ini mencorakkan masa depan mereka dengan mempertimbangkan budaya dan tradisi yang baik serta diperteguhkan dan mengambil pengaruh luar yang bermanfaat. Ia harus diberikan olahan kreatif supaya menjadi sebahagian daripada peradaban kita. Inilah proses perubahan dan kemajuan yang perlu dicetuskan di zaman globalisasi supaya pengaruh luar yang positif dijadikan faktor mengukuh dan melengkapkan paradaban kita. Salah satu strategi dalam agenda Barat ialah mempengaruhi cara berfikir generasi muda. Jalur berfikir orang Barat sering terpisah daripada agama, sedangkan jalur berfikir generasi muda Islam selalunya terkait dengan asas agama yang sepatutnya bersifat ketamadunan. Maka, harus berwaspada dengan strategi Barat supaya generasi muda tidak terperangkap dalam proses liberalisasi yang menyebabkan umat Islam hilang etika dan nilai-nilai agama. Jika ini berlaku, globalisasi akan sama dengan penjajahan bertujuan menghakis etika dan nilai supaya umat Islam menjadi pengkagum membuta tuli kepada sesuatu yang datang dari Barat. Membina generasi muda mestilah bermula dengan pendidikan. Pendidikan Islam seharusnya mampu diolah supaya sifatnya menunjangi tamadun. Kerohanian atau spiritual tanpa ilmu dan pemikiran boleh menyebabkan umat Islam ketandusan idea untuk mendukung sistem yang ada. Cabaran generasi muda pada hari ini dan masa depan bukan berkaitan dengan hal fardu ain semata-mata. Cabaran sebenar ialah dalam bidang profesional, saintifik, teknologi dan strategi. Kita tidak mahu elemen rohani dan pemikiran sesetengah generasi muda hanya menyeluruh tentang Islam. Tetapi keupayaan menterjemahkan Islam ke dalam sistem terbatas. Ini boleh menyebabkan konflik berpanjangan di kalangan umat Islam. Tanpa kemampuan dan strategi menguasai ilmu dan menguruskan sistem secara komprehensif tidak mungkin akan ada perubahan sosial, pendidikan dan pembangunan mengikut acuan Islam. Generasi muda Islam amat perlu dididik dengan model-model berasaskan Islam sebagai alternatif untuk berhadapan dengan cabaran masa kini. Pengambilan model dari luar dan diikuti pula dengan keterbatasan rohaniah generasi muda akhirnya akan menyebabkan dominasi asing semakin teguh. Tasawwur Islam harus diperteguhkan dalam pemikiran generasi muda kita. Ia bagi mengimbangi dominasi Barat terhadap pemikiran generasi muda yang tidak dapat dielakkan. Model-model bersifat bersepadu dalam semua sistem kehidupan yang tidak hanya mementingkan soal ritual mampu memberi alternatif kepada nilai dan pembawaan generasi muda masa depan. Asas mengenai solat, siyam, zakat, haji, bersuci (taharah) dan seumpamanya belum memadai untuk menjadikan seorang remaja Islam sempurna hidupnya. Corak cabaran yang dihadapi oleh remaja kini tidak hanya berkisar ke persoalan asas mengenai akidah dan ibadah tetapi remaja hari ini sedang diuji dengan masalah pemikiran, keyakinan, contoh teladan malah perkembangan maklumat yang datang dari pelbagai arah. Memberikan remaja dengan kesedaran rohaniah semata tanpa membangunkan asas pemikiran boleh mendedahkan mereka kepada krisis pemikiran. Asas-asas keinsanan Justeru apa yang lebih penting ialah menterjemahkan nilai-nilai Islam supaya ia bukan sahaja membabitkan pengurusan diri, tetapi juga dalam soal mengurus sistem. Apabila model-model Islam kena diperteguhkan dalam kurikulum kerana ia mampu menghasilkan modal insan yang seimbang. Asas ini penting bagi menghadapi cabaran globalisasi yang sifatnya menampilkan kekuatan ilmu dan teknologi Barat di samping gagah dengan penguasaan ekonomi kapitalis liberal. Pendidikan kewangan dan ekonomi Islam yang dilaksanakan misalnya, harus dipanjangkan dan diperkukuhkan dalam sistem pendidikan kita. Tanpa semangat itu, remaja hari ini akan terpinggir pada masa depan. Ia boleh menjejaskan pegangan atau ekuiti sedia ada. Ilmu mengenai perniagaan, etika dalam perniagaan perlu teguh dan dalam masa sama berkeupayaan untuk bersaing adalah faktor amat dituntut. Lagi pula fokus pada hari ini lebih banyak tertumpu kepada sesuatu yang mempunyai nilai ekonomi hingga mengenepikan batas-batas kemanusiaan. Pengurusan sains dan teknologi secara Islam yang didasari dengan semangat tamadun silam menjadikan sesuatu penghasilan atau penemuan saintifik tidak hanya bersifat teknologi tinggi tetapi juga mempunyai sentuhan kemanusiaan yang tinggi. Teknologi selamanya adalah alat bukannya matlamat. Teknologi alat yang dihasilkan untuk membantu manusia mendapat kemudahan dan bantuan dalam kehidupan. Teknologi menyebabkan gaya hidup berubah dan proses pengajaran dan pembelajaran berkembang. Teknologi memberikan kesan kreatif dan inovatif dalam dunia pengeluaran dan perkhidmatan. Pergantungan manusia kepada teknologi atau alat menyebabkan teknologi dianggap sebagai segala-galanya. Memang Barat yang mendukung faham sekular dan liberal mementingkan aspek inovatif dan kreatif dalam menghasilkan teknologi. Barat tidak boleh menolak kepentingan nilai, etika, budaya dan tradisi yang baik dalam membangunkan keperluan teknologi untuk manusia dan perubahan. Oleh kerana teknologi adalah alat, tentu ada asas-asas keinsanan yang boleh memandu aplikasi teknologi itu mencapai matlamatnya. Oleh itu amat penting model Islam dijadikan petunjuk supaya nilai guna teknologi lebih terarah dan tidak menghapuskan manusia dan kemanusiaan. | ||
Rancang kewangan demi kesejahteraan keluarga Posted: 10 Jun 2010 03:18 AM PDT
TIDAK bertanggungjawab, lemah didikan agama, campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, masalah ekonomi, masalah kerjaya, masalah kesihatan, masalah akhlak atau sosial dan masalah komunikasi, adalah antara yang menjadi senarai faktor sesebuah rumah tangga berantakkan. Masalah ekonomi terutamanya, antara faktor yang sangat rumit untuk dihadapi oleh pasangan suami isteri. Jika tidak diatasi dengan baik maka ikrar untuk tetap hidup bersama ketika susah dan senang tentunya sukar untuk direalisasikan serta dipertahankan. Aapabila bercakap soal ekonomi segala-galanya berpokok pangkal kepada perancangan kewangan yang tidak sahaja strategik tetapi mesti berlandaskan syariat Islam. Itu antara yang banyak disuarakan oleh pakar penasihat kewangan peribadi dan keluarga, Rohani Mohd. Shahir dari Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd. Topik itu juga yang berjaya menarik perhatian hampir 300 hadirin yang mengikuti Seminar Rumahku Syurgaku, "Setulus Kasih Ayah, Semurni Pengorbanan Ibu" anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya baru-baru ini. Menerusi tajuk Bijak Mengurus, Keluarga Terurus Rohani berkata, hutang kad kredit atau istilah popularnya wang plastik antara yang menjadi punca suami isteri berperang besar. Apatah lagi jika ia menyebabkan salah seorang daripada pasangan tersebut diisytiharkan muflis atau bankrap. Malah dalam banyak kes, si isteri yang ditinggalkan terpaksa menanggung pelbagai tekanan hutang piutang kad kredit yang disalahguna oleh suami. "Statistik menunjukkan hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi di negara ini telah meningkat pada kadar 17.6 peratus dalam tempoh enam bulan ke RM98.8 bilion pada akhir 2009. "Tetapi yang menjadi masalah sehingga memasuki tahap yang sangat membimbangkan apabila peratus hutang kad kredit yang tidak dibayar telah meningkat 5.4 peratus, iaitu sebanyak RM26.7 bilion terutamanya akibat pembelian barangan pengguna di bawah skim ansuran," katanya. Menurutnya, dari tahun 2004 hingga April 2009, seramai 637 pemegang kad kredit telah diisytiharkan muflis akibat hutang kad kredit. "Iaitu jika dilihat pada pecahan bangsanya, mereka yang muflis ini terdiri 52 peratus berketurunan Cina, diikuti 36 peratuMelayu, 11 peratus kaum India dan satu peratus kaum-kaum lain. Walaupun jumlah peratus kalangan Melayu itu tidaklah tinggi berbanding bangsa Cina, namun fenomena berhutang dan muflis akibat kad kredit ini tetap membimbangkan. "Justeru setiap pasangan suami isteri harus memikirkan kewajaran untuk menggunakan kad kredit. Jika salah penggunaan dan dibebani hutang serta muflis tentunya memberi kesan yang tidak baik terhadap hubungan mereka," katanya. Rohani dalam pembentangan kertas kerjanya selanjutnya berkata perancangan kewangan secara Islam adalah menjadi asas penting kepada kesejahteraan keluarga. "Soal sumber pendapatan, makan, minum yang halal haram atau syubhah penting untuk diambil kira. Andai yang haram banyak yang berdarah daging dalam tubuh badan maka tidak menghairankan jika kebanyakan generasi yang dilahirkan akhirnya mereka yang ramai menderhaka terhadap ibu bapa dan agama mereka," katanya. Iaitu sebagaimana peringatan dari Allah dalam Surah Al Baqarah, iaitu ayat 208 yang bermaksud: "… Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu…" Islam tidak dapat berkompromi dalam soal hukum halal haram, malah jika melihat dari aspek merokok sekalipun, Rohani sarankan agar tabiat itu juga mesti ditinggalkan secara total. Ini apabila Kementerian Kesihatan mendapati rakyat negara ini berbelanja hampir berbilion ringgit setahun semata-mata untuk memuaskan tabiat merokok. "Sedangkan ia sangat membazir dan lebih memburukkan keadaan kita terpaksa membazirkan banyak juga wang semata-mata untuk membiayai kos rawatan dan perubatan pelbagai penyakit kronik akibat tabiat buruk ini. "Malah yang lebih menyedihkan, menurut kajian, lebih daripada 50 peratus perokok tersebut adalah kalangan kaum Melayu atau Islam itu sendiri," kata Rohani. Lantas demi ekonomi rumah tangga sebelum menjadi lebih parah, adalah berhenti daripada merokok! Tegasannya juga, supaya berhati-hati dengan pelbagai rangkaian perniagaan yang berasaskan multi level marketing (MLM) atau industri jualan langsung dan skim-skim pelaburan yang gharar, pengambilan deposit dan sebagainya lagi yang kononnya menjadikan peratus pulangan keuntungan yang tinggi. "Sedangkan semua itu tidak pernah mendapat pengesahan daripada mana-mana pihak berkuasa dan ia lebih menjebakkan kita dalam pelbagai jenayah kewangan yang menambahkan lagi kerumitan dalam ekonomi rumah tangga," katanya. | ||
Posted: 10 Jun 2010 03:17 AM PDT
BILA disebut akan ditukarkan ke kawasan pendalaman, ramai guru terutamanya wanita mula bimbang jika berita itu menjadi kenyataan. Mereka takut terpaksa berjauhan dengan keluarga dan jauh dari pusat membeli belah selain berdepan dengan pelajar yang serba kekurangan dari segi ilmu pengetahuan dan kelengkapan persekolahan. Namun jika difikirkan guru-guru tersebut masih bernasib baik. Ini kerana ada guru yang terpaksa terpaksa mengajar di sebalik tirai besi iaitu di pusat-pusat tahanan. Guru tirai besi itu ialah tenaga pengajar yang ditugaskan untuk memberi ilmu dan membentuk banduan remaja berusia 15 hingga 21 tahun yang ditahan kerana pelbagai kesalahan dalam penjara. Nasib guru tirai besi di sekolah integrasi terbabit juga tidak sebaik guru lain yang mengajar di sekolah menengah kerana kelas yang merupakan tempat mengajar tidak ubah seperti sel yang didiami banduan. Bagi guru wanita, mereka berdepan dengan anak murid yang disabitkan dengan kesalahan jenayah yang pastinya membuatkan hati tidak senang. Namun ia bukan penghalang kepada guru terbabit untuk memberikan khidmat terbaik kepada anak-anak murid mereka itu. Di sebalik terpaksa berulang-alik ke penjara setiap hari termasuk perlu mematuhi pelbagai prosedur keselamatan yang ketat, tugas tetap dilaksana tanpa berbelah bagi. Malah walaupun terdiri daripada mereka yang disabitkan dengan pelbagai salah laku jenayah, para pelajar dalam penjara itu turut menghargai guru mereka. Ini terbukti melalui sambutan Hari Guru Sekolah Integrasi Kajang di Penjara Kajang yang diadakan baru-baru bagi meraikan 14 orang guru mereka. Meskipun pelajar terbabit mempunyai rekod sebagai seorang penjenayah, namun kasih sayang mereka terhadap guru juga teguh. Perhubungan akrab dan kasih sayang antara mereka dapat dilihat apabila hampir 100 banduan juvenil tidak henti-henti menghiburkan guru mereka dengan pelbagai pertunjukkan pada hari berkenaan. Terdapat antara mereka mendeklamasi sajak dengan penuh perasaan sebagai menghargai pengorbanan guru dan ada juga yang mengubah lagu bagi menyampaikan rasa terima kasih kepada yang dianggap ibu dan bapa kepada mereka. Persembahan yang disampaikan ternyata menyentuh hati guru-guru terbabit sehingga ada yang mengalirkan air mata. Namun suasana itu kemudiannya bertukar menjadi riuh rendah apabila banduan juvenil berkenaan melakonkan semula lagak guru mereka ketika di dalam kelas. Persembahan itu menjadikan guru-guru terbabit yang terharu kembali ketawa. Sementara itu, Pengerusi Lembaga Hakim Pelawat Penjara Malaysia, Datuk Seri V.S Suwaminathan, terharu dengan komitmen yang diberikan para guru bagi membentuk pelajar di sebalik tirai besi. "Bukan semua guru sanggup datang dan mengajar dalam penjara kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai kemungkinan. "Oleh itu, guru yang ada di sini adalah terbaik dan mempunyai semangat juang tinggi untuk mendidik anak bangsa negara ini," kata beliau. Pengarah Penjara Kajang, Alzafry Mohamed Alnassif berkata, beliau berterima kasih kepada guru-guru di Sekolah Integrasi Kajang kerana jasa mereka. "Pada tahun 2009, semua banduan lulus dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diduduki. "Itu merupakan sumbangan yang amat baik daripada guru-guru di sini," ujar beliau. | ||
Posted: 10 Jun 2010 03:16 AM PDT
PENYUSUAN badan adalah langkah terbaik bagi memastikan bayi yang baru lahir sihat dan memperoleh nutrien-nutrien yang diperlukan. Namun pada satu peringkat ibu kadang kala terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan penyusuan badan terutama apabila bayi semakin meningkat usia. Cubalah beberapa tip di bawah untuk menghentikan penyusuan badan apabila masanya sesuai. * Bayi akan menjadi biasa dengan sesuatu rutin yang kerap dilakukan mereka, jadi jangan mengubah secara tiba-tiba rutinnya. Dalam kata lain, apabila tiba masa menyusukan bayi, berikan bayi susu botol tetapi susukan mereka dalam bilik yang sama dan duduk di kerusi yang sama. Ia akan menenangkan bayi dan membantunya mengubah cara penyusuan sedikit demi sedikit. * Kurangkan jumlah penyusuan badan setiap hari secara perlahan-lahan dan konsisten. * Adakala memang sukar untuk anda menghentikan penyusuan badan secara serta merta kerana bayi tidak akan memahaminya dan sukar menyesuaikan diri. Jadi jika bayi agak cerewet, lebih mudah anda mengalah dan teruskan penyusuan badan. Kaedah itu juga membantu anda secara perlahan-lahan menghentikan penyusuan badan. * Sebagai permulaan anda juga boleh mengurangkan satu waktu penyusuan harian tidak kiralah sama ada pada waktu siang dan malam. Jika bayi lapar kerana jumlah penyusuan hariannya dikurangkan, berikannya minuman formula bayi atau susukan menggunakan botol. * Ketika tempoh sepatutnya untuk berhenti menyusu badan, anak akan mula menunjukkan minat kepada makanan pejal. Selepas itu, kurangkan jumlah penyusuan badan setiap hari sehingga mungkin sekali sehari. Untuk itu bayi tidak akan lagi bergantung kepada penyusuan badan. * Pada masa sama, ambil berat mengenai payu dara anda kerana susu badan akan terus keluar dengan banyak walaupun anda menghentikan penyusuan badan pada waktu yang sesuai. * Biarkan anak melakukan perubahan mengikut kehendak mereka dalam soal penyusuan badan ini. Kadang-kala, bayi akan mula mengambil lebih banyak makanan pejal berbanding terlalu bergantung kepada penyusuan badan dan ia menunjukkan mereka sudah melepasi peredaran dengan mudah. | ||
Posted: 10 Jun 2010 03:14 AM PDT PERASAAN seorang anak ada kala tidak difahami oleh ibu bapa sehingga mengheret mereka menyimpan perasaan benci yang mendalam. Begitulah yang berlaku kepada Ifa (bukan nama sebenar) yang mengirim kisah hidupnya untuk renungan kita bersama. Begini kisah Ifa. "Aku dilahirkan di sebuah daerah kecil di Negeri Sembilan. Sejak kecil aku memang seorang kanak-kanak yang aktif, nakal dan ada sahaja perbuatan yang membuatkan mak abah marah kepada. "Kasih sayang ku kepada mereka tiada tandingnya walaupun aku hidup dalam keadaan yang terkongkong. "Semua keputusan, arahan, permintaan dan apa sahaja perlu di rujuk pada abah sehinggakan aku benci melihat sikap mak yang langsung tiada peranan terhadap anak-anak. "Makan minum pun mengikut selera suami sahaja. Mak memang seorang isteri yang lurus dan terlalu percaya dengan apa yang dibuat oleh abah. "Penampilan dan sikap abah memang amat berbeza semasa di depan saudara mara, kawan-kawan dan isteri. Kematangannya dilihat sebagai seorang bapa yang amat bertanggungjawab. Pada hal dia abah yang bagaikan talam dua muka. "Abah mengajar anak-anaknya mencium pipi kedua-dua ibu bapa setelah selesai mendirikan solat. "Tetapi apabila remaja, aku merasa tidak selesa melihat kelakuan abah yang asyik meminta aku mencium pipinya ketika masak, semasa menjemput ku dari asrama. "Lama kelamaan aku perasan permintaannya itu biasanya berlaku setiap kali ketiadaan mak sahaja. "Masih segar dalam ingatan ku lagi peristiwa waktu Subuh semasa aku berumur 13 tahun. Biasalah remaja tidur pun lasak sudah semestinya kain terangkat sana sini. "Rumah kami ketika itu cuma ada tiga bilik. Sebuah bilik wan dan atuk dan sebuah bilik mak abah. Bilik mak abah itulah yang kami adik beradik gunakan. "Mak dan abah tidur di luar dan semestinya barang-barang mereka masih berada di dalam bilik itu. Abah sering keluar masuk bilik itu apabila hendak mengambil sesuatu. "Pada subuh itu sedang aku lena tidur bersama adik beradik ku yang lain, tiba-tiba aku melihat abah berada di hujung katil. "Aku tergamam dan menjadi takut seperti tidak percaya apa yang aku lihat. Abah cuba mencabul kehormatan ku. Namun aku berpura-pura tidak sedar dan menggeliat supaya abah menghentikan perbuatannya itu. "Perlahan-lahan aku membuka mata menyebabkan abah segera beredar dari bilik. Aku menggigil tidak tahu apa yang patut aku lakukan. "Semasa tinggal di sekolah berasrama, abah yang akan menjemput aku setiap kali balik bercuti. "Bencinya aku apabila abah mengambil kesempatan memaksa aku mencium pipinya berkali-kali sepanjang perjalanan sehingga terkadang terkena mulutnya. "Dia turut memegang tanganku seperti seorang kekasih sambil mengatakan sayang padaku dan sekali sekala cuba meletakkan tangannya di atas pahaku membuatkan aku mengalihkan tangannya semula. "Jika aku enggan abah mengugut meninggalkan aku di tepi jalan. Selepas itu aku sering memberi alasan untuk pulang bersama dengan rakan-rakan. "Mahu sahaja aku menjerit pada mak bercerita apa yang telah abah lakukan, tetapi aku benar-benar tidak sanggup menceritakan perihal suaminya yang mak benar-benar percaya dan tunduk selama ini. Sikap mak menyebabkan aku melabelkan mak sebagai isteri yang terlalu lemah. "Aku memasang nekad untuk keluar dari 'neraka' itu. Aku belajar bersungguh-sungguh sehingga aku mendapat tawaran belajar di sebuah institut pengajian tinggi awam di Sarawak. "Tamat pengajian, aku bertemu dengan seorang lelaki yang kini telah menjadi suamiku. Kakak pula telah mengandung sebelum menikah. Mujur lelaki itu mahu bertanggungjawab dan mereka akhirnya bernikah. "Jauh di sudut hati aku merasakan inilah balasan buat abah. Walaupun aku melihat abah telah punya perubahan yang amat banyak berbanding dulu, tetapi aku masih benci padanya. "Sepanjang hidup, aku langsung tidak ikhlas dan hanya berpura-pura mengambil hatinya. "Selepas habis belajar aku mendapat tawaran kerja di bank dan pada pertengahan tahun aku selamat diijab kabul. Aku mengambil keputusan duduk berjauhan daripada mak dan abah. "Sepanjang tempoh itu aku hanya datang sebulan sekali ke sana bertemu suami dan cuti selebihnya pulang ke rumah abah dan keluarga suami. "Keluarga suami terlalu baik melayan aku sehingga ke hari ini. Dengan mertua aku merasa nikmat kasih sayang sebenar ibu bapa. "Aku mengalami dua kali keguguran tetapi mak abah tidak peduli, langsung tidak bertanya khabar. "Mak aku tidak seperti mak orang lain yang penyayang mengambil berat dan prihatin dengan anak menantu. Sepanjang tempoh aku berpantang, mak mertuaku yang setiap hari bertanya khabar dan memberi tunjuk ajar pada suami untuk menjaga aku sebaiknya," kata Ifa menutup ceritanya. Kisah Ifa bukan satu di dunia ini. Banyak kes-kes seumpama itu berlaku tetapi tidak dilaporkan oleh anak-anak kerana sayang dan kasih kepada ibu bapa. Bagaimanapun saya puji sikap Ifa yang bijak menangani masalah ini walaupun ia menyebabkan tekanan perasaan kepadanya. Kepada Ifa, tabahkan hati, kuatkan semangat. Pesanan saya, biar macam mana buruk sekalipun ibu bapa, mereka patut dihargai dan dihormati. Berdoa selalu agar satu hari mereka sedar kesilapan masing-masing dan kembali ke pangkal jalan. Menutup kata, "sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik dalam sebuah kehidupan yang setiap saat daripadanya adalah satu nikmat." Salam | ||
Wanita tidak faham undang-undang? Posted: 10 Jun 2010 03:13 AM PDT
DALAM kitab suci al-Quran telah tercatat bahawa Islam adalah agama pembela wanita. Hak wanita dalam Islam jelas tercatat dalam surah Al-Baqarah (ayat 228) iaitu: "Wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf." Terdapat juga hadis-hadis yang jelas membela dan mempertahankan wanita. Antaranya daripada Urwah bin al-Zubair bahawa Aisyah isteri Nabi menceritakan kepadanya, kata Aisyah: Telah datang kepadaku seorang wanita bersama dua orang anak perempuannya meminta (makanan) daripadaku sedangkan tiada padaku melainkan sebiji tamar. Aku berikan kepadanya, lalu dia membahagikannya untuk kedua anaknya. Kemudian dia bangun dan keluar. Apabila Nabi masuk, aku pun menceritakan kepadanya, lalu baginda bersabda: Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan anak-anak perempuan lalu dia melakukan kebaikan kepada mereka maka mereka menjadi penghalang dari api neraka untuknya. (Riwayat al-Bukhari 5/2234 dan Muslim 4/2027). Walaupun sudah terbukti bahawa hak-hak wanita sememangnya terpelihara, tetapi sering kedengaran aduan atau rasa tidak puas hati wanita terhadap urusan di mahkamah syariah atau pejabat agama. Masih ada cerita-cerita mengenai wanita Islam yang teraniaya seperti digantung tidak bertali dan ditinggalkan bersama anak-anak tanpa sebarang nafkah. Ada pula kisah wanita yang menderita atau tidak lagi sanggup tinggal bersama suaminya tetapi tidak berbuat apa dan hanya menyerahkan hidup kepada takdir. Kenapa perkara begini berlaku sedangkan hak wanita dalam Islam cukup jelas malah tercatat dalam al- Quran? Adakah kerana wanita Islam di negara ini tidak memahami selok-belok mengenai undang-undang keluarga Islam atau pun mereka kurang pendedahan mengenai hak-hak mereka? Timbalan Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, dalam hal ini wanita itu sendiri harus diberikan pendidikan serta pendedahan berkaitan undang-undang keluarga Islam. Kaum wanita katanya, akan berhadapan dengan masalah mendapatkan keadilan di mahkamah syariah jika mereka sendiri kurang arif mengenai isu-isu seperti nafkah idah, mutaah, harta sepencarian, hutang dan sebagainya. ''Disebabkan masalah-masalah inilah wanita yang kurang pendedahan serta pendidikan dalam hal undang-undang keluarga Islam selalunya akan merasakan diri mereka ditindas. ''Satu transformasi perlu berlaku di samping mengambil tindakan yang pantas dalam usaha menyelesaikan satu-satu masalah. ''Bukan itu sahaja, wanita yang bermasalah juga sebenarnya perlu bekerjasama selain mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan antara mereka dengan hakim dan peguam,'' ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas bertajuk Mengenalpasti Permasalahan Berkaitan dengan Tuntutan dan Pelaksanaan Perintah Hak-Hak Isteri Selepas Pembubaran Perkahwinan, pada Bengkel Pemerkasaan Hak-Hak Wanita di Bawah Undang-Undang Keluarga Islam anjuran Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, baru-baru ini. Menurut Zaleha, untuk mengenal pasti secara menyeluruh tentang permasalahan wanita dalam memperjuangkan hak-hak mereka di mahkamah, ia perlu dilihat dari dua perspektif iaitu persepsi wanita itu sendiri terhadap mahkamah dan perspektif hakim Wanita yang menuntut keadilan selalunya mempunyai persepsi bahawa mahkamah berat sebelah dengan lebih berpihak kepada lelaki. Hal ini menyebabkan mereka sentiasa mempersoalkan kredibiliti mahkamah dan mempertikaikan kewibawaan hakim serta kekurangan infrastruktur. "Dari situ timbul rasa tidak puas hati seperti lambat dan sukar berurusan dengan mahkamah syariah dan sebagainya. "Ini ditambah lagi dengan tekanan masalah undang-undang yang dihadapinya lebih-lebih lagi jika ia sudah berlarutan agak lama," katanya. Dalam pada itu menurut Zaleha, wanita juga kadang kala membina persepsi tersendiri terhadap peguam yang dianggap tidak komited, lebih mementingkan bayaran, kesukaran berurusan dengan peguam terutama yang tinggal di luar bandar dan sebagainya. Semua faktor itu menjadi kekangan kepada wanita sehingga membuatkan mereka cenderung menyatakan bahawa mereka tidak mendapat keadilan sewajarnya. Seterusnya mereka hanya memendamkan masalah. "Itu belum lagi ketika peringkat prabicara di mana wujud masalah-masalah lain yang menyebabkan kes tertangguh dan berlarutan hingga bertahun-tahun," katanya. Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Madya Dr. Najibah Mohd. Zin, berkata, antara isu-isu membabitkan mahkamah syariah yang sering dihadapi oleh golongan wanita ialah pendaftaran perkahwinan dan perceraian, poligami tanpa kebenaran mahkamah, nafkah dan nusyuz, perceraian luar mahkamah, tebus talak atau khuluk dan hak penjagaan anak Menurut beliau, kebanyakan kes-kes yang berlaku memberi banyak masalah kepada wanita terutama dari golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. ''Bagi setiap kes, kita mempunyai akta dan undang-undang yang telah sedia ada. ''Namun apa yang mampu dilihat hari ini ialah kelemahan undang-undang yang seakan tidak memberi kesan yang berkesan dalam menangani masalah-masalah yang ada. ''Yang menjadi persoalan adakah masalah ini berpunca daripada kelemahan undang-undang atau sikap anggota masyarakat itu sendiri,'' ujar beliau lagi. Bagaimanapun jelas beliau lagi, keberkesanan sesuatu undang-undang banyak bergantung kepada kebijaksanaan dalam mengaplikasikan undang-undang tersebut dengan baik. Pada masa yang sama undang-undang perlu disemak dan dipinda dari semasa ke semasa mengambil kira perubahan masa dan keadaan untuk keadilan pihak-pihak yang menuntut hak mereka. | ||
Posted: 10 Jun 2010 03:11 AM PDT
PADA Persidangan Antarabangsa bagi Kosmetik dan Kelengkapan Dandanan Diri Halal 2010 di Kuala Lumpur April lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menyebut bahawa Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai hab bagi produk kosmetik halal dunia. Ini berdasarkan persekitaran negara yang kaya dengan bahan-bahan herba semula jadi yang boleh dibangunkan sebagai bahan utama dalam pembuatan produk kosmetik. Saranan tersebut seharusnya dapat membuka mata pengusaha-pengusaha tempatan untuk melihat potensi besar pasaran kosmetik halal sama ada di dalam mahu pun di luar negara. Pengusaha juga harus sedar dengan senario pasaran kosmetik global pada hari ini yang semakin terbuka dan 'mengalu-alukan' keperluan kosmetik halal. Data terkini yang dikeluarkan oleh Institute of Personal Care Science of Australia baru-baru ini menganggarkan pasaran kosmetik global ketika ini bernilai kira-kira AS$334 bilion (RM1,169 bilion). Kosmetik halal pula berkongsi pasaran dengan jumlah AS$13 bilion (RM45.5 bilion) setahun - perkembangan yang dilihat selari dengan pertumbuhan pasaran makanan halal dan sektor kewangan Islam. Berasaskan kajian dalam industri tersebut juga, pada 2005 industri kosmetik dan kelengkapan dandanan diri menguasai sembilan peratus daripada keseluruhan pasaran produk halal global. Kajian oleh sebuah syarikat penyelidikan di Malaysia pula menganggarkan nilai perniagaan halal meningkat kepada AS$635 bilion (RM2,222 bilion) setahun dengan perluasan pasaran di negara-negara Islam dan Barat berikutan pertambahan penduduk Islam. Di Perancis misalnya, yang mempunyai kira-kira lima juta penduduk Islam, jualan bagi makanan halal diramal mencecah hingga 5.5 bilion euros (RM25.2 bilion) pada 2010. Kita juga perlu sedar bahawa hampir satu perempat atau suku daripada penduduk dunia beragama Islam, sekali gus menjadikan pasaran halal global antara yang terbesar. Ini menunjukkan peluang sememangnya terbuka luas kepada pengusaha kosmetik tempatan untuk mengungguli pasaran produk kosmetik halal dunia dan seterusnya menjadikan negara ini sebagai hab pengeluaran produk tersebut. Lagi pula di Malaysia sendiri industri kosmetik halal telah berkembang kukuh sejak 1980 dengan perkongsian 10-20 peratus daripada keseluruhan pasaran kosmetik tempatan. Jika dahulu isu produk halal banyak tertumpu kepada makanan, namun akhir-akhir ini semakin ramai yang memperluaskannya kepada produk-produk lain termasuk kecantikan. Bahkan konsep halal kini juga semakin diguna pakai pada hampir semua barangan dan perkhidmatan termasuk farmasutikal, pakaian, perkhidmatan kewangan dan pakej-pakej pelancongan. Dalam Islam prinsip halal bukan sekadar tidak mengandungi babi atau bahan-bahan yang berkaitan serta haiwan yang tidak disembelih, tetapi juga kandungan-kandungan seperti alkohol yang haram di sisi Islam. Para pengusaha produk juga harus memahami bahawa memartabatkan kosmetik halal tidak semestinya mereka berlawan arus pembikinan kosmetik konvensional. Kosmetik halal seperti gincu bibir, produk penjagaan wajah dan wangian bebas alkohol masih boleh mengandungi bahan-bahan daripada haiwan tetapi ia mesti disediakan mengikut cara Islam iaitu disembelih. Malah tanpa disedari industri kosmetik halal sebenarnya meraih kelebihan daripada 'gelombang hijau' (produk mesra alam) yang berlaku dalam industri kosmetik Barat pada hari ini. Ini diakui sendiri Mah Hussain-Gambles, pengasas syarikat kosmetik halal pertama di Eropah, Saaf Pure Sincare, ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa bagi Kosmetik dan Kelengkapan Dandanan Diri Halal 2010. Dia dipetik sebagai berkata, prinsip 'gelombang hijau' mengutamakan produk yang tidak membahayakan tubuh dan semula jadi - sama seperti dalam prinsip produk halal. Untuk itu tidak hairanlah apabila lebih banyak syarikat-syarikat antarabangsa yang mula mencipta jenama mesra alam iaitu organik, vegetarian dan halal. Apa yang pasti lebih ramai para pengusaha akan terjun dalam bidang ini memandangkan orang Islam hanya memilih produk-produk yang dikenal pasti halal manakala yang lain lebih ke arah barangan produk mesra alam. Sementara itu bagi pengasas produk kosmetik tempatan jenama RizReni, Norizah Yahya, apa yang menjadi masalah kepada pengusaha di negara ini ialah kurangnya pihak yang membuat kajian saintifik mengenai bahan-bahan halal yang boleh digunakan dalam pembuatan kosmetik. Tumpuan katanya, lebih kepada makanan dan minuman. Ia diburukkan lagi dengan sikap pengguna Islam itu sendiri yang tidak yakin dengan produk tempatan dan lebih berbangga dengan produk luar negara yang tidak diketahui status halal haramnya. Norizah yang ditemui di pejabatnya di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, tidak salah memakai produk kosmetik jenama luar negara, namun bagi pengguna terutama orang Islam penting untuk mereka membaca dan memahami bahan-bahan yang digunakan dalam produk itu. Norizah mengakui, sebelum polisi halal bagi produk pemakanan dan kosmetik dikeluarkan, RizReni sudah terfikir mengeluarkan produk halal bagi kegunaan masyarakat Islam di negara ini. Selain mengeluarkan kosmetik, RizReni yang mendapat pengesahan halal daripada Islamic Food Research Council juga merupakan pengeluar produk penjagaan kulit, tata rias, makanan dan minuman kesihatan. Beliau menjelaskan semasa mula-mula hendak membuat produk, dia banyak bertanya terutama kepada ahli keluarga mengenai produk yang mereka kehendaki. Ternyata pilihan mereka ialah produk yang halal, berkesan dan dalam masa yang sama, selamat. Malah suaminya yang berkelulusan dalam bidang farmasi dari sebuah universiti di Amerika Syarikat turut membuat kajian terhadap produk yang dihasilkan di kilang milik syarikatnya di Taman Bolton, Batu Caves, Gombak, Selangor. Untuk memenuhi piawaian halal itu, dia mementingkan penggunaan bahan-bahan yang suci sesuai dengan tag line 'Selamat, Suci dan Berkesan' supaya pengguna tidak perlu ragu-ragu termasuk boleh dibawa untuk bersolat. Sementara itu pengasas produk De Wajah, Junaidah Kiting, berpendapat pengusaha dalam bidang kecantikan perlu peka dengan kehendak pelanggan khususnya masyarakat Islam yang kini semakin prihatin terhadap pentingnya kosmetik dan produk penjagaan kulit yang halal. Junaidah yang telah 22 tahun berkecimpung dalam bidang kecantikan berkata, sebagai pengeluar produk kosmetik dan produk penjagaan kulit, adalah penting memenuhi kehendak pelanggan Islam. "Menjadi tanggungjawab setiap pengeluar produk kecantikan di negara ini terutama yang beragama Islam untuk memastikan produk mereka mematuhi keperluan syariah itu. "Selain mendapat keberkatan dalam perniagaan ia juga mampu menjadikan negara sebagai pusat rujukan dan hab kepada pengeluaran produk kosmetik halal. "Selain suci dan halal, pengusaha produk juga harus bertanggungjawab dengan mengelak daripada menggunakan bahan-bahan yang berbahaya seperti raksa, hidrokuinon," katanya. Justeru Junaidah, dia lebih mempercayai bahan-bahan semula jadi seperti ekstrak tumbuh-tumbuhan, bunga, pinang muda, delima dan buah-buahan sebagai bahan dalam produk kosmetik dan penjagaan kulit. Walaupun ada yang menawarkan kolagen biri-biri Junaidah masih berpegang kepada kesucian dalam produk keluarannya. | ||
Posted: 10 Jun 2010 03:09 AM PDT
MISI menjadikan Malaysia sebagai hab produk kosmetik halal di rantau ini malah di dunia bukan sesuatu yang mustahil dan sukar untuk dicapai. Persekitaran kita yang terlalu banyak dengan bahan-bahan semula jadi hanya menunggu untuk dieksploitasi oleh pengusaha-pengusaha kecantikan. Halangannya mungkin untuk mengubah minda masyarakat yang masih tebal dengan anggapan segala yang datang dari Barat adalah yang terbaik. Industri kosmetik tempatan sebenarnya tidak perlu lagi berkiblatkan formula-formula Barat kerana benua itu itu sendiri sedang mengalami angin perubahan apabila penggunanya kini semakin prihatin dengan produk-produk yang berasaskan alam semula jadi. Produk berasaskan semula jadi ini pula seperti herba dan sebagainya banyak terdapat di negara ini. Justeru, kesempatan yang ada harus diambil oleh pengusaha-pengusaha produk kosmetik tempatan untuk menghasilkan produk berkualiti, dan halal untuk pasaran global yang saban tahun mencecah nilai trilion ringgit. Antara pelopor awal dalam pembuatan kosmetik tempatan berasaskan bahan-bahan semula jadi ialah Taharah Global (M) Sdn. Bhd. yang pertama kali memperkenalkan sabun daripada tanah liat. Pengarah Urusannya, Zakiah Abu Kasim, percaya pengusaha produk tempatan perlu mengambil kesempatan daripada sumber semula jadi yang banyak terdapat di negara ini untuk dimajukan sebagai bahan utama dalam produk yang dikeluarkan. Dengan cara ini katanya, bukan saja produk tersebut selamat digunakan bahkan terjamin kesuciannya di sisi Islam. "Kita tidak perlu terikut-ikut dengan jenama-jenama antarabangsa yang menggunakan bahan-bahan yang tidak tentu kesuciannya seperti kolagen haiwan dan sebagainya. "Sebaliknya gunakan daya kreativiti dan inovasi sendiri untuk menghasilkan produk yang berasaskan bahan-bahan tempatan," kata pengasas produk sabun berjenama Taharah yang berasaskan tanah liat Menurut Zakiah, pengeluaran sabun Taharah pada awalnya adalah atas niat fardu kifayah iaitu untuk memudahkan masyarakat Islam di Malaysia dan luar negara untuk bersamak. "Sukar untuk mencari tanah liat untuk bersamak lebih-lebih mereka yang tinggal di rumah pangsa, apartmen atau kondominium,'' ujarnya. Sabun tanah liat Taharah mendapat pesanan pertamanya dari negara Jerman dan bukannya Malaysia kira-kira tujuh tahun lalu dan bermula daripada situ, syarikat ini terus bernafas sehingga ke hari ini. Syarikat Jerman itu menurut Zakiah mengetahui mengenai sabun tersebut daripada Internet dan kemudian meminta sampel untuk dicuba. ''Mereka memang berkeyakinan bahawa tanah liat adalah bagus untuk kecantikan dan mahukan produk yang asli, tidak mempunyai bahan kimia, tiada kesan sampingan dan sesuai untuk semua jenis kulit. Daripada pesanan pertama, mereka terus membuat pesanan sehingga sekarang,'' jelasnya. Menurut Zakiah, Jabatan Mufti Kedah telah mengeluarkan fatwa pada tahun 2004 bahawa sabun Taharah boleh digunakan untuk menyamak bagi menyucikan diri daripada najis berat. Fatwa ini turut diperakui oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada tahun yang sama disusuli oleh Jabatan Mufti Terengganu. Jawatan kuasa fatwa juga menetapkan kuantiti tanah sebanyak 90 peratus hendaklah dikekalkan dan kaedah pemprosesan secara manual saja dibenarkan manakala cara penggunaan sabun itu untuk samak hendaklah mengikut syarak. Katanya, semasa bekerja dengan sebuah syarikat Jerman yang mengeluarkan produk ubat-ubatan dan bahan seramik, dia melihat seorang pekerja yang menghadapi masalah kulit teruk, sembuh daripada penyakitnya kerana setiap hari bergelumang dengan tanah liat. Dari situ beliau terfikir kemungkinan tanah liat dapat membantu menyembuhkan penyakit kulit. Zakiah kemudian berhenti kerja dan mengambil kursus di Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (Porim) tentang cara-cara membuat sabun. Melalui pengetahuan yang dimiliki, beliau membuat penyelidikan sendiri bagi menghasilkan sabun ini yang dibuat daripada tanah liat, minyak kelapa sawit, rumpai laut dan pewangi. Memiliki Ijazah Ekonomi dan pengkhususan pengajian dalam bidang tanah liat serta geologi daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan sarjana dalam bidang rumpai laut, usaha Zakiah untuk menghasilkan sabun daripada rumpai laut juga i mudah. Tambahan pula beliau mendapat kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menanam rumpai laut di kawasan laut bebas di Semporna, Sabah. Dengan modal permulaan sebanyak RM150,000 dengan dua orang rakan kongsi,Zakiah bersyukur kerana keuntungan yang diperoleh kini berlipat kali ganda. ''Sabun ini adalah killer product saya kerana daripada seketul sabun, ia boleh dipelbagai gunakan untuk penyakit kulit dan kebersihan. Justeru mereka yang telah mencubanya akan terus sambung menggunakan," ujar Zakiah. Kini dalam masa sebulan, sebanyak 200,000 ketul sabun Taharah dijual. Bukan setakat di Malaysia malah sabun Taharah menerima pesanan daripada Hong Kong sebanyak satu kontena setiap bulan bagi kegunaan pembantu rumah Islam di sana serta untuk tujuan kecantikan. Bermula dengan sabun samak yang berharga RM5.90 sebuku, Taharah Global kini telah mengeluarkan produk-produk lain seperti sabun muka, losen, syampu, skrub badan, produk kebersihan wanita dan sebagainya. Selain Hong Kong dan Jerman, Taharah Global turut menerima pesanan daripada United Kingdom, Brunei dan Singapura. Ia membuktikan bahawa produk halal yang dihasil menggunakan sumber tempatan mampu menembusi pasaran global. | ||
Posted: 10 Jun 2010 03:09 AM PDT
WALAUPUN Hari Raya Aidilfitri masih jauh, pereka-pereka fesyen tanah air sudah mula menghasilkan rekaan fesyen terkini bagi menyambut hari kebesaran umat Islam itu. Pereka fesyen terkenal, Datuk Bernard Chandran misalnya tampil dengan Koleksi Petang Raya 2010/2011. Gayanya adalah glamor, lebih feminin dengan sedikit sentuhan urban. Mengambil inspirasi daripada fesyen tahun 1940-an, rekaan kali ini lebih tulen, berimaginasi dan ringkas tetapi masih nampak moden dan elegan. Jika dilihat, pilihan warna Bernard untuk koleksi petang raya merupakan warna-warna lembut. ''Pilihan warna untuk tahun ini adalah warna-warna lembut seperti coklat muda, warna tembaga, ungu muda, karamel, merah jambu, biru muda dan kuning kerana saya inginkan kelainan gaya. "Walaupun namanya Koleksi Petang Raya namun koleksi ini cantik dipakai pada bila-bila masa dan di mana saja. ''Potongan kali ini lebih moden di mana baju pendek potongan lurus dipakai bersama kain berpotongan seperti yang dipakai oleh nenek dan ibu kita dahulu,'' kata Bernard ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini. Potongan yang dipilih pula supaya si pemakai nampak lebih muda. ''Saya buat pembaharuan supaya cara pemakaiannya boleh dipelbagaikan. Jika tidak mahu dipakai sepasang, bajunya boleh dipakai bersama jeans dan sebagainya. "Begitu juga dengan bib atau alas dada baju yang dihiasi manik yang boleh ditanggalkan jika tidak mahu. ''Selain menggunakan pelbagai jenis fabrik renda, saya turut menggandingkan dengan renda kapas dan organza. Fabrik seperti ini lebih selesa, lembut, jarang, nipis dan nampak seksi. "Kebiasaannya kita lihat fesyen raya sama sahaja pada setiap tahun dan saya mahu menjadi trendsetter dan memberikan kelainan. ''Perincian hiasan seperti reben, bulu burung, kristal, tali dan alas dada glamor memberikan gaya yang lebih terkini pada koleksi ini,'' jelas Bernard. Selain koleksi Petang Raya, Bernard turut menampilkan koleksi kasut bertumit tinggi yang dihiasi dengan batu-batu permata berkilauan dan memukau pandangan. Kata Bernard, tumit kasut rekaannya itu diimport dan hiasannya dibuat di Malaysia. ''Koleksi ini tentang wanita yang glamor dan romantik namun berkeyakinan. Rekaan saya juga tentang keanggunan dan kewanitaan yang diinginkan oleh semua wanita,'' ujarnya. Koleksi Petang Raya yang dikategorikan sebagai koleksi mewah, Harganya bermula dari RM3,500. | ||
Joannabelle bantu golongan susah Posted: 10 Jun 2010 03:08 AM PDT
JIKA pertama kali bertemu dan mengenali secara lebih dekat personaliti yang memegang gelaran Ratu Cantik Malaysia Universe 2009 ini, pasti ramai akan terpesona. Bukan saja pada kejelitaan yang dimiliki, bahkan budi bahasa dan keramahan yang dipamerkan. Nyata gelaran ratu yang dimahkotakan tidak membuatkan Joannabelle Ng Li Vun lupa diri apatah lagi berasa terlalu hebat sehingga tidak tidak berpijak di bumi nyata. 'Menjelajahi' latar belakang dan cerita di sebalik penampilan luarannya, gadis berusia 22 tahun ini, masih teguh dengan hati yang cukup ikhlas dalam membantu orang lain terutama golongan susah. Sifat dalamannya itu sekali gus menafikan kata-kata nakal kecantikan tanpa akal yang kerap dilemparkan pada gadis-gadis cantik bergelar ratu sepertinya. Mengimbas secara ringkas perjalanan hidupnya, gadis berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu memulakan pembabitan dalam dunia peragaan pada usia 16 tahun apabila memenangi tempat pertama pertandingan pencarian model. Ia menjadi batu loncatan buatnya terus aktif secara serius dalam bidang berkenaan. Joannabelle menganggap kejayaannya dalam bidang peragaan sebagai anugerah daripada Tuhan. Dengan itu, katanya ia memberi peluang lebih besar untuk mendekati orang susah melalui cara paling tepat. Justeru tidak hairan, walaupun pernah terbabit dalam kebakaran beberapa tahun sebelum penyertaannya di pencarian model yang menyebabkannya mengalami kecederaan peringkat kedua, Joannabelle tetap menyahut cabaran dan ingin membuktikan beliau sentiasa bersemangat menyertai pertandingan itu demi impiannya membantu golongan yang memerlukan. "Selepas berjaya menjadi juara, ia umpama laluan berliku yang kembali lurus. Kejayaan itu memberi saya pengalaman berharga apabila mula dapat mencapai impian. "Satu daripada pengalaman membantu golongan susah yang tidak akan saya lupakan adalah apabila saya dan seorang rakan melakukan kerja sukarela dengan membawa 30 orang anak yatim ke restoran makanan segera untuk makan tengahari. "Melihat mereka makan sehingga kenyang membuatkan saya menangis kegembiraan," katanya ketika berucap pada pelancaran kempen mengumpul dana, Jo-B Care di Pusat Membeli-belah Pavillion baru-baru ini. Kempen Jo-B, yang diambil daripada singkatan namanya, adalah projek bagi mengumpul dana yang dicetuskan Joannabelle dengan kerjasama Fametis Management & Associates Sdn. Bhd. untuk diagihkan kepada persatuan kebajikan yang memerlukan. Lebih membanggakan, usahanya mendapat sokongan rakan-rakan rapatnya yang ada antaranya turut terbabit dengan dunia peragaan termasuk model terkenal, Amber Chia. Dengan mengetengahkan slogan, Kongsi untuk Prihatin (Share to Care), kempen itu akan dianjurkan pada 12 Jun ini melalui acara menarik yang mana orang ramai dijemput datang beramai-ramai untuk menjayakan. Buat permulaan, kempen Jo-B memilih lima buah rumah kebajikan sebagai penerima dana iaitu Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan (SCASFT), Rumah Victory, Persatuan Pencegahan Kekejaman ke atas Haiwan Selangor (SPCA Selangor), Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman (Pernim) dan Persatuan Ibu Tunggal Masmerah. Menurut Joannabelle, beliau mengharapkan orang ramai tampil menjayakan aktiviti yang dianjurkan kerana sedikit sumbangan yang dihulurkan pada acara itu pastinya mampu memberi kehidupan lebih sempurna kepada penerima. Pada acara berkenaan, pihaknya akan membuka sebuah gerai kutipan dana di pusat membeli-belah itu dari pukul 2 petang hingga 6 petang. Selain itu, ujarnya, pengunjung akan berpeluang menemui selebriti, artis dan model terkemuka negara sepanjang waktu kempen. "Sempena kempen itu, kami mensasarkan kutipan dana berjumlah RM100,000 dan saya sangat berharap ia mampu dicapai," katanya. Joannabelle menegaskan, usaha mengadakan kempen itu bukan kerana nama tetapi bagi memenuhi minatnya membantu golongan susah, menjalankan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dan ingin penerima menjalani kehidupan lebih baik. "Mana-mana individu yang menderma RM50 dan ke atas, akan menerima sehelai kemeja-T edisi terhad tertera 'Share to Care' manakala mereka yang sudi menderma RM100 dan ke atas, bakal menerima sehelai kemeja-T sama serta jemputan ke Malam Gala Jo-B Care," katanya. | ||
Posted: 10 Jun 2010 03:07 AM PDT
SEMBILAN daripada 10 orang wanita pasti memakai bersolek setiap hari. Paling kurang pun sekadar mengenakan gincu bibir atau mengoles bedak. Bagaimanapun tidak ramai yang mengetahui tahap kesemalatan pada produk kecantikan mereka. Menggunakan produk yang tidak diketahui keselamatannya kemungkinan menyebabkan pelbagai masalah kulit seperti jerawat, jeragat, kulit tidak sekata, kusam dan sebagainya. Ini kerana kulit yang sihat bermula dengan produk penjagaan kulit dan solekan yang dibuat daripada bahan-bahan yang selamat digunakan. Pengurus Besar bagi Aster Spring dan Leonard Drake Malaysia, Karen Ho berkata, amat penting bagi wanita memahami dan membuat pilihan yang betul tentang produk kosmetik. ''Kebanyakan wanita kebiasaannya menjaga kulit muka dengan baik dan menggunakan produk penjagaan kulit yang berkualiti serta sering menjalani rawatan muka. "Begitupun mereka mungkin tidak sedar bahawa usaha itu akan menjadi sia-sia jika mereka menggunakan produk kosmetik yang memudaratkan kulit. ''Wanita harus lebih teliti dalam memilih produk solekan yang betul memandangkan kebanyakan produk solekan menyumbat pori-pori serta mengandungi bahan yang mengakibatkan pigmentasi, penuaan pra-matang dan bermacam masalah kulit muka,'' kata Karen. Beliau ditemui pada sesi memperkenalkan semula rangkaian bedak asas dan produk muka terapeutik penjagaan kulit Averine termasuk bedak asas terbarunya, Age Defense Foundation di AsterSpring, Suria KLCC baru-baru ini. Bedak asas Averine menggunakan ramuan non-comedogenic dengan ciri-ciri terapeutik. Ini termasuk ekstrak botani seperti gel aloe, ekstrak timun, ekstrak gandum dan minyak zaitun yang berfungsi menenang, melembap, melicin serta mengimbangi kulit. Oregano dan basil turut digunakan bagi mengurangkan penghasilkan minyak dan bertindak sebagai antiseptik. Sementara ekstrak tomato melindungi kulit daripada kerosakan radikal bebas. Karen menambah, kosmetik Averine dihasilkan bagi merawat, menjaga dan melindungi kulit setiap kali wanita menggunakannya bagi menyerlahkan kecantikan diri. Rangkaian bedak asas Averine terdiri daripada empat jenis produk, iaitu Smoothing Compact Foundation, Satin Smooth Foundation, Two Way Compact Foundation, Age Defense Foundation, Mineral Loose Powder dan Mineral Glow Blush. Sementara itu, Pengurus Pendidikan AsterSpring dan Leonard Drake Malaysia, Damian Lee berkata, produk kosmetik Averine boleh digunakan sebagai tambahan kepada amalan kecantikan harian setiap wanita. ''Produk kami adalah hasil daripada bahan penjagaan kulit yang selamat dan terbaik," katanya. | ||
Wanita Iran makin berani bersolek Posted: 10 Jun 2010 03:04 AM PDT
MENGENAKAN solekan antara perbuatan yang diharamkan ketika revolusi Islam di Iran pada 1979. Begitupun hari ini produk kosmetik daripada gincu bibir hinggalah pewarna kuku kembali membanjiri Iran. Malah negara itu merupakan pasaran produk kecantikan kedua terbesar di Asia Barat. Pada era revolusi tersebut mana-mana wanita yang didapati melanggar undang-undang itu akan didenda atau ditangkap dan disumbat ke penjara. Kini selepas keputusan untuk membenarkan kembali barangan kosmetik diimport pada pertengahan tahun 1990-an, kebanyakan wanita Iran tidak melepaskan peluang untuk bergaya terutama di kalangan anak-anak gadis yang tinggal di bandar. Mengikut kajian yang telah dilakukan, rakyat Iran membelanjakan hampir AS$2 bilion (RM7 bilion) setahun untuk kosmetik dan memegang 29 peratus pasaran di Asia Barat. Kebanyakan produk kecantikan di Iran hari ini merupakan barangan yang diimport atau dibawa masuk secara haram memandangkan Iran merupakan sebuah negara yang hanya mengeluarkan sejumlah kecil kosmetik. Hampir kesemua kosmetik popular seperti Yves Saint Laurent, Guerlain, L'Oreal, Bourjois dan sebagainya boleh didapati di pasar raya pinggir bandar dan pusat membeli-belah di bandar besar. ''Kebanyakan pakar menganggarkan kira-kira AS$700 juta (RM2.4 bilion) hingga AS$750 juta (RM2.6 bilion) nilai produk kecantikan diimport secara haram ke Iran,'' kata Ketua Biro Kaunter Perdagangan, Abbas Najafi. Sementara itu, Vista Bavar, orang yang bertanggungjawab mempromosikan kosmetik jenama Eropah di Iran, turut mempunyai pendapat yang sama dengan Abbas malah menekankan bahawa kebanyakan produk kosmetik yang terdapat di Iran adalah barangan seludup. ''Kementerian Kesihatan amat menitik beratkan kriteria-kriteria seperti produk yang diimport disahkan berkualiti dan memenuhi piawaian. ''Tetapi faktor 50 peratus bebas cukai dan birokrasi berlebihan berlawanan dengan peraturan import,'' tambah Bavar lagi. Mereka yang terlibat di dalam perniagaan kecantikan itu mengakui bahawa barangan seludup biasanya tidak berkualiti. ''Beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran di sini telah dibanjiri dengan produk-produk China yang berkualiti rendah di mana ia tidak memenuhi piawai yang sebenar,'' ujar sumber yang tidak mahu namanya dipaparkan. Tambah beliau lagi, produk China hanya meliputi 30 peratus daripada barangan yang diimport secara haram. Tumpuan produk China ini adalah di kawasan luar bandar serta di kalangan rakyat berpendapatan rendah. Mengikut tinjauan yang dilakukan oleh sebuah institut kajian ekonomi swasta, sebanyak 14 juta wanita Iran di kawasan bandar yang berumur antara 15 dan 45 tahun membelanjakan secara purata AS$7 (RM24) sebulan untuk membeli kosmetik. Malah mereka sanggup membelanjakan sehingga AS$300 (RM1,050) daripada gaji bulanan yang puratanya antara AS$600 (RM2,100) hingga AS$700 (RM2,400). Tatacara berpakaian yang diperkenalkan ketika era revolusi, di mana rambut dan seluruh badan ditutup sepenuhnya ketika di khalayak umun, tidak penghalang untuk mereka mengenakan solekan dengan trend terkini ''Bahkan disebabkan mereka (wanita) Iran memakai tudung, kebanyakan remaja-remaja perempuan Iran menumpukan sepenuh perhatian kepada muka mereka. ''Ramai anak gadis menghabiskan masa berjam-jam di hadapan cermin semata-mata untuk bersiap. ''Jika di negara Eropah lebih mementingkan cara pemakaian, di Iran pula remaja wanita lebih gemar tampil dengan bersolek,'' kata seorang jurujual kosmetik di bandar Iran, Mina. | ||
Posted: 10 Jun 2010 03:03 AM PDT
AHMAD pulang ke rumah dari sekolah dalam keadaan pucat dan lemah. Sambil memegang perut yang sakit, dia memberitahu ibunya bahawa telah muntah di sekolah dan cirit-birit sebanyak tiga kali. Ibu membawanya berjumpa doktor dan Ahmad disahkan mengalami keracunan makanan. Keracunan makanan berlaku apabila keradangan perut atau usus yang disebabkan oleh pengambilan makanan tercemar. Selalunya tanda-tanda keracunan makanan akan muncul dalam masa dua hingga dua puluh empat jam selepas makan. Bergantung kepada tahap keracunan, mereka yang mengalaminya mungkin juga akan mengalami demam dan seram sejuk, najis berdarah serta penyahhidratan. Walaupun keracunan makanan kerap berlaku dan biasanya merupakan sejenis penyakit yang ringan, kadangkala ia boleh membawa maut, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Bakteria berjangkit punca keracunan Keracunan makanan biasanya berpunca daripada agen toksik atau agen berjangkit. Agen-agen toksik adalah seperti racun perosak pada buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan eksotik yang tidak disediakan dengan betul (seperti siput dan ikan alu-alu), atau cendawan beracun. Bagaimanapun, kebanyakan kes keracunan makanan di negara ini disebabkan makanan yang telah dicemari oleh agen-agen berjangkit. Ini bermakna, makanan tersebut mengandungi virus, bakteria dan parasit berbahaya. Bakteria-bakteria ini membebaskan racun yang boleh menyebabkan keradangan pada lapisan usus. E. coli, salmonella, shigella dan staphylococci merupakan bakteria-bakteria berjangkit umum yang mengakibatkan keracunan makanan. Amalan kebersihan elak makanan tercemar Amalan kebersihan yang kurang baik atau penyediaan makanan yang tidak betul selalunya punca pencemaran makanan. Pengendali makanan sepatutnya mengamalkan kebersihan kendiri dan memastikan kawasan penyediaan makanan sentiasa bersih. Pencemaran makanan juga boleh berlaku jika makanan tidak disimpan dengan betul atau pada suhu yang tidak sesuai. | ||
Posted: 10 Jun 2010 02:56 AM PDT
MENGINJAK usia 52 tahun, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selaku pasukan pertahanan barisan hadapan utama negara, kini dilihat telah cukup matang untuk mendepani apa jua ancaman mendatang. Apatah lagi dengan pegangan pelbagai aset tempur canggih seperti pesawat Hawk, pesawat pemintas MiG-29N, pesawat tempur pelbagai peranan F-18D Hornet dan Sukhoi 30-MKM bagi mengawal ruang udara negara. Selain itu menjelang 2015 pula, TUDM akan menerima pesawat pertama daripada empat buah pesawat pengangkut strategik, Airbus A400M. Pada masa yang sama, pasukan itu juga bakal menerima helikopter moden berdasarkan komitmen kerajaan yang bersetuju untuk mendapatkan 12 buah helikopter Eurocopter EC725 pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2010 lalu bagi tujuan mencari dan menyelamat tempur (CSAR). Semua aset berkenaan bukan sahaja berjaya meletakkan TUDM sebagai sebuah pasukan udara yang setanding dengan negara serantau tetapi dalam beberapa aspek terutamanya dalam penguasaan udara secara dominan, negara lebih terkehadapan. Namun, itu bukan satu alasan bagi TUDM untuk mudah berpuas hati kerana organisasi berkenaan sedar, ancaman keselamatan khususnya dalam usaha untuk mempertahankan ruang udara negara yang semakin kompleks ekoran kepesatan teknologi. Sehubungan itu, sempena sambutan ulang tahun penubuhannya kali ke-52 minggu lalu, organisasi tersebut melancarkan visi strategik barunya iaitu 'TUDM-Generasi Masa Depan' dalam usaha memastikan TUDM sentiasa digeruni lawan dan dihormati rakan. Pelan jangka panjang itu dirangka bukan sahaja untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan TUDM, tetapi pada masa yang sama ingin mengekalkan status quonya sebagai tentera udara dominan di rantau ini. Pelancaran visi strategik dengan meletakkan harapan kepada sumber manusianya sebagai generasi masa depan dilihat tepat pada masanya selepas imej TUDM tercalar teruk ekoran kes kehilangan enjin pesawat F-5E yang didalangi oleh anggotanya sendiri. Kejadian tersebut walaupun kes terpencil tetapi menjadi pengajaran yang sangat berguna kepada pasukan itu. Atas kesedaran itu, TUDM melalui Panglimanya, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud merangka dan memberi penekanan utama pada aspek kekuatan, organisasi, doktrin dan modal insan dalam pembangunan visi strategiknya agar kejadian seumpama tidak berulang dan TUDM terus 'diangkasarayakan'. Menurutnya, penekanan kepada empat teras transformasi itu bertujuan membolehkan pasukan itu bukan sahaja memiliki aset tercanggih tetapi turut mempunyai modal insan berkualiti serta mempunyai tahap disiplin yang tinggi. "TUDM perlu lebih dinamik dan fleksibel agar berupaya menyesuaikan diri bagi menghadapi sebarang perubahan pantas dalam aspek ketenteraan. Melalui pelan ini, TUDM akan muncul sebagai sebuah pasukan udara yang mempunyai spektrum menyeluruh. "Ia penting kerana TUDM perlu sentiasa dipastikan berupaya melaksanakan misi dalam segala bentuk bidang operasi secara berkesan," katanya dalam perutusan khas sempena sambutan ulang tahun ke-52 pasukan itu di Pangkalan Udara Sungai Besi, baru-baru ini. Tambahnya, bagi memastikan hasrat itu tercapai, TUDM akan terus mendapatkan sistem-sistem berteknologi tinggi, memanfaatkan teknologi masa hadapan dan mengintegrasikannya secara bersama dengan sumber manusia. Tegas beliau, visi strategik itu tidak hanya bersandar pada kecanggihan aset tempur semata-mata, sebaliknya tumpuan lebih khusus diberikan kepada sumber manusia kerana TUDM tidak mungkin digeruni lawan jika anggotanya gagal menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan mempunyai moral yang rendah. perkembangan teknologi Oleh itu, Rodzali berkata, setiap anggota TUDM harus melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kecekapan agar sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini terutamanya yang berkait dengan bidang aeroangkasa, di samping mengelak daripada melakukan sebarang pelanggaran prosedur dan arahan. Namun, pada masa yang sama beliau mengakui masih terdapat banyak keperluan aset tempur yang perlu dimiliki oleh TUDM bagi memastikan pasukan itu benar-benar mantap dalam mempertahankan ruang udara negara daripada dicerobohi. Mengenai perolehan baru, beliau memberitahu, TUDM merancang untuk memiliki beberapa jenis pesawat tempur baru bagi mengukuhkan lagi pasukan itu sejajar dengan perkembangan teknologi semasa. Bagi tujuan itu katanya, satu pasukan penilaian telah ditubuhkan untuk mengkaji beberapa jenis pesawat yang telah dikenal pasti terutamanya pesawat pelbagai peranan F-18F Super Hornet buatan Amerika Syarikat (AS). "TUDM mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pesawat F-18D Hornet dan kita sedang mengkaji faktor keupayaan pesawat F-18F Super Hornet yang lebih canggih daripada pesawat berkenaan," katanya. Rodzali menambah, pada masa yang sama, TUDM turut meneliti beberapa pesawat lain seperti Gripen dan Eurofighter yang dianggap pesawat berteknologi tinggi dalam kelasnya. Minat TUDM terhadap F-18F Super Hornet itu terserlah kerana pesawat berkenaan mempunyai kemampuan yang tinggi sama ada untuk serangan darat, maritim dan udara selain telah terbukti keampuhannya dalam beberapa konflik sebelum ini. Malah, jika ia menjadi kenyataan, Super Hornet akan menjadi gandingan mantap kepada pesawat strategik sedia ada, Sukhoi Su-30MKM, khususnya bagi tujuan memusnahkan kapal perang dan pesawat musuh. Dalam pada itu, TUDM kini juga sedang berusaha untuk memperoleh pesawat Sistem Amaran Awal dan Kawalan Udara (AWACS) melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi memperkukuhkan lagi pertahanan negara. Ini kerana dengan keupayaan memantau ruang angkasa dan daratan pada jarak kira-kira 350 kilometer, pesawat berkenaan adalah sistem pertahanan masa kini yang perlu dimiliki untuk bertindak sebagai 'mata dan telinga' di udara. Rancangan perolehan ini telah dipertimbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 10 tahun lalu dan beberapa pesawat AWACS generasi terkini antaranya dari Sweden, Brazil dan AS telah diuji oleh TUDM. | ||
Posted: 10 Jun 2010 02:54 AM PDT SEJAK berkurun lamanya, buah delima menjadi pilihan daripada hidangan ke rutin penjagaan diri bagi kalangan bangsawan Greek hingga ia kerap digelar buah diraja. PRODUK INOVATIF...Pure Beauty daripada Watsons guna teknologi nano Sistem 3-Dimensi Vektor. Tarikannya bukan sekadar pada rupa dan rasanya, namun delima turut dilaporkan membantu untuk menyembuh dan memulihkan masalah kesihatan terutama membabitkan kecantikan kulit. Selepas kali pertama ia ditemui di Persia lebih 5,000 tahun lalu, delima bukan sekadar dijadikan makanan tapi turut bertindak sebagai ejen terapeutik dan penyembuh ajaib dalam perubatan tradisional untuk kebanyakan masalah kesihatan. Sama seperti teh hijau, delima mengandungi kandungan polifenol yang tinggi iaitu antioksidan berkuasa untuk membantu menstabilkan radikal bebas dalam kulit, sekali gus mengelakkan penuaan tidak matang, serangan jantung dan barah. Malah, delima menjadi satu daripada bahan perubatan tertua di dunia. Legenda perubatan Greece, Hippocrates menggunakan buah delima untuk melegakan kerengsaan mata dan membantu pencernaan. Sebiji delima dikatakan mampu menampung keperluan sekurang-kurangnya 40 peratus vitamin C harian yang diperlukan oleh orang dewasa, di samping kaya dengan asid folik. | ||
Posted: 10 Jun 2010 02:53 AM PDT KOTA KINABALU: Bunyi tangisan bayi yang nyaring pada malam hari membongkar perbuatan seorang ibu bersifat syaitan dipercayai mencekik bayi dilahirkannya sehingga mati, sebelum mayatnya dibungkus dan ditanam di sebuah ladang di Jalan Jerecoh, Kinabatangan, di sini, semalam. KEJAM...mayat bayi perempuan cukup sifat dicekik ibunya sendiri sebelum ditanam secara sembunyi. Bagaimanapun, katanya dia takut melihat apa yang berlaku kerana menyangka ia suara hantu berikutan lokasi kediamannya jauh daripada penempatan penduduk. Katanya, pada keesokkan harinya (semalam), dia tergerak hati menyiasat apa yang berlaku sebelum mengajak salah seorang rakan menemaninya. Beliau berkata, sebaik tiba kawasan belukar tidak jauh di belakang rumahnya, dia terkejut mendapati ada longgokan tanah yang masih baru digali seperti sebuah busut kecil. "Kira-kira satu jam memeriksa kawasan ini, rakan saya terlihat kesan tanah baru digali tetapi ditimbus pelepah kelapa sawit sebelum mengalihkan timbunan daun itu. "Saya menggali semula busut kecil ini sebelum menemui satu bungkusan kecil dibaluti guni plastik sebelum membukanya," katanya. | ||
Posted: 10 Jun 2010 02:52 AM PDT SEPANG: Akibat kecewa apabila mengetahui bekas isterinya akan berkahwin, seorang lelaki bertindak nekad membakar sebuah masjid di Kampung Limau Manis, dekat sini, malam kelmarin. HANGUS...Samsudin menunjukkan ruang sembahyang utama masjid yang dibakar, kelmarin. Kejadian itu menyebabkan keseluruhan ruang sembahyang utama Masjid Jamiurrahmah terbakar. Lelaki itu dipercayai menggunakan petrol untuk memulakan kebakaran sebelum tidur di ruang sembahyang utama tanpa menghiraukan keselamatan diri. Imam masjid berkenaan, Samsudin Mat Daud, berkata kejadian itu disedari selepas ternampak api dan asap dari masjid berkenaan sebelum meninjau untuk mengetahui apa yang berlaku. "Saya cuba buka pintu utama, tetapi ia dikunci dari dalam. Kemudian saya cuba masuk menerusi pintu belakang dan mendapati seorang lelaki sedang tidur nyenyak berhampiran pintu di ruang sembahyang utama. "Ketika itu, api marak. Saya tidak berani mendekati lelaki itu kerana bimbang dia mempunyai senjata. | ||
Posted: 10 Jun 2010 02:50 AM PDT SELEPAS Erra Fazira, sinema Malaysia kini dihiasi pula dengan kemunculan seorang lagi bintang yang tidak kurang jelita dan berbakat besar. Beliau tidak lain daripada Lisa Surihani Mohamed. PENGALAMAN BARU...Lisa risau berlakon dengan haiwan liar dalam filem Zoo.
"Ketika berlakon saya tidak tahu pun mengenai kedudukan tayangan sesebuah filem itu. Semua itu di luar bidang kuasa saya. Apa yang penting, kalau ada tawaran menarik, saya akan berlakon, satu lepas satu, mengikut kemampuan diri dan jadual penggambaran.
"Apapun, dalam filem Zoo yang akan ditayangkan 1 Julai nanti, saya gembira dapat berlakon komedi dengan pelakon yang kelakar. Awalnya saya memang tidak ada keyakinan untuk berlakon cerita komedi walaupun sebenarnya saya suka melawak. Tapi selepas mencuba, seronok pula.
Filem ke-36 terbitan MIG Productions itu mencecah kos sebanyak RM1.7 juta.
| ||
Posted: 10 Jun 2010 02:48 AM PDT KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyiarkan senarai 30 teratas pelaburan ekuitinya dalam syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia secara suku tahunan sebagai langkah ketelusan kepada ahli. AZLAN...KWSP berpendirian positif
| ||
FAKTA RMK-10 (YANG DIBENTANGKAN DI PARLIMEN OLEH PM) Posted: 10 Jun 2010 02:45 AM PDT KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini adalah rancangan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun. Pelaksanaan RMK-10 akan bermula dari tahun 2011-2015. Intipati ucapan Perdana Menteri pada pembentangan RMK10 adalah bertemakan "Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial". Ia dilihat amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Berikut adalah fakta-fakta penting RMK-10: * Memperuntukkan RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan bagi tempoh lima tahun tersebut. * Daripada jumlah itu, 55 peratus diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan lima peratus untuk pentadbiran am. * Laporan ekonomi itu bagi tempoh 2011-2015 setebal 449 muka surat untuk edisi Bahasa Melayu dan 429 muka surat bagi edisi Bahasa Inggeris, yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri akan dijual pada berharga RM80. * RMK-10 merupakan satu daripada empat tiang utama di bawah pentadbiran Najib. * Tiga lagi tiang tonggak itu ialah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE). * 10 PREMIS UTAMA RMK-10: Pertama:- Memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara. Kedua: Memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa. Ketiga: Mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan. Keempat: Menjayakan pertumbuhan diterajui oleh produktiviti dan inovasi. Kelima: Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul. Keenam: Memastikan peluang yang saksama dan melindungi golongan mudah terjejas. Ketujuh: Pertumbuhan bertumpu, pembangunan inklusif. Kelapan: Menyokong perkongsian pintar yang efektif. Kesembilan: Menghargai khazanah alam sekitar. Kesepuluh: Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing. * 5 TERAS STRATEGIK Pertama RMK-10: Pertama: Menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA. Kedua: Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi. Ketiga: Menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif. Keempat: Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia. Kelima: Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup. * Peruntukan RMK-10 bagi infrastruktur bukan fizikal meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMK-9, tumpuan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka. * Sebuah institusi perkhidmatan awam bertaraf dunia akan diwujudkan untuk meningkatkan keupayaan penjawat awam. * Tumpuan kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) akan diumumkan Oktober nanti iaitu: (i) Minyak dan gas (ii) Minyak sawit dan produk berkaitan (iii) Perkhidmatan kewangan (iv) Pemborongan dan peruncitan (v) Pelancongan (vi) Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) (vii) Perkhidmatan Pendidikan (viii) Elektrik dan elektronik (ix) Perkhidmatan perniagaan (x) Penjagaan kesihatan swasta (xi) Pertanian (xii) Greater Kuala Lumpur * Satu unit khas, iaitu Unit Transformasi Ekonomi, akan ditubuhkan untuk merancang, menyelaras pelaksanaan dan pembangunan NKEA. * Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Rayuan akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih teratur dan berkesan. * Kerajaan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik negara paling kompetitif di dunia. * 1MDB akan membangunkan projek strategik KL meliputi Lapangan Terbang TUDM Sg Besi dan KL International Financial District. * RMK-10 juga akan memastikan sasaran ekuiti korporat sebanyak 30% untuk Bumiputera dikekalkan. * Dana berjumlah RM20 bilion akan disediakan melalui Dana Mudahcara atau Facilitation Fund bagi memudahkan sektor swasta membiayai projek perkongsian awam-swasta. * Melalui Dana Mudahcara, kerajaan anggar menarik pelaburan swasta sekurang-kurangnya RM200 bilion; Antara projek yang dipertimbangkan ialah penambakan tanah di Westport, Pelabuhan Klang, Pembangunan Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor. * Sebuah unit khas ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memandu dan mengarah keberkesanan sistem inovasi negara serta program pembangunan inovasi sedia ada. * Pembiayaan kerajaan kepada syarikat modal teroka awam akan berbentuk ekuiti dan bukan pinjaman. * Dana Inovasi Mudharabah (MIF) dengan peruntukan sebanyak RM500 juta akan diperkenal bagi menyediakan modal berisiko kepada syarikat modal teroka kerajaan. * Dana Perkembangan Perniagaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM150 juta akan ditubuhkan bagi merapatkan jurang pembiayaan antara pengkomersilan peringkat awal dan pembiayaan modal teroka bagi produk berteknologi tinggi. * Undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif. | ||
Faizal Tahir Mahu Ke Palestin & Mati Syahid Posted: 10 Jun 2010 02:44 AM PDT PETALING JAYA: Penyanyi Faizal Tahir menawar diri untuk menyertai misi kemanusiaan dan sanggup mati syahid bagi membantu rakyat Palestin yang menghadapi kekejaman rejim Zionis Israel. Faizal mengakui menangis apabila melihat menerusi internat dan membaca kisah-kisah kekejaman yang dilakukan oleh rejim tersebut terhadap umat Islam yang tidak bersalah. "Saya tidak malu untuk berterus terang yang saya menangis melihat kesengsaraan saudara kita di bumi Palestin terutama penduduk Gaza," katanya ketika ditemui selepas ditemu bual menerusi rancangan terbitan TV3, Wanita Hari Ini (WHI) di sini, semalam. Faizal yang juga bapa kepada tiga orang anak berkata, jika ada tawaran daripada badan-badan sukarelawan untuk mengajaknya ke sana, dia tidak akan menolak. Ini kerana adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang Islam untuk sama-sama membantu dan sekurang-kurangnya memberi sokongan kepada golongan yang dihimpit kesengsaraan. "Sekiranya tidak bercanggah dengan jadual tugas dalam bidang seni, saya bersedia untuk meninggalkan isteri dan tiga orang anak saya bagi menyertai mana-mana misi kemanusiaan sebagai tanda sokongan saya kepada rakyat Palestin. Saya pun sanggup mati syahid," katanya. Lebih menguatkan perasaan itu apabila ayahnya, Dr. Mohd. Tahir yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah badan sukarelawan turut terlibat menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk masyarakat tersebut. Ujar lelaki yang popular dengan lagu Sampai Syurga ini, atas sebab itu juga dia sanggup menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan untuk menyertai mana-mana aktiviti sukarelawan yang dianjurkan stesen televisyen itu. Bagaimanapun secara kebetulan TV3 sedang menggerakkan kempen Bebaskan Bumi Palestin yang seterusnya menawarkan Faizal menjadi duta bagi menjayakan kempen tersebut. "Ketika hati saya dirundung kesedihan mengenangkan mereka yang kurang bernasib baik itu, TV3 pula bersetuju melantik saya menjadi duta kempen ini. Saya amat bertuah," katanya. Menerusi aktiviti tersebut kata Faizal, dia akan memainkan peranannya sebagai seorang artis untuk berkongsi cerita dengan orang ramai dalam menyalurkan mesej kemanusiaan. Kempen yang tidak melibatkan apa-apa sumbangan dan kutipan wang itu akan dilakukan dalam bentuk penerbitan klip video selama 30 saat yang akan disampaikan oleh Faizal. "Setiap kali menonton klip video berkenaan, ia akan memberi peringatan kepada mereka mengenai kesusahan dan kesengsaraan yang dilalui oleh umat Islam yang telah ditindas. "Dalam klip video itu juga saya akan meminta rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin kerana hanya dengan doa sahajalah bentuk sumbangan yang mudah dan mampu kita beri ," katanya. Tambah Faizal lagi, kebenciannya terhadap tentera Israel bertambah apabila mereka tergamak menawan kapal Mavi Marmara dan MV Rachel Corrie yang turut membawa sukarelawan Malaysia. | ||
Amanda Imani Mengeluh, Stesen Radio Pilih Kasih Posted: 10 Jun 2010 02:43 AM PDT RAUT wajahnya yang manis dan seksi mampu mencuri perhatian mata yang memandang. Namun sayang sekali bakat nyanyiannya masih dipandang sepi. Tidak ramai yang mengenali sepenuhnya siapa sebenarnya Amanda Imani, 18. Setakat ini, baru sebuah lagu iaitu single pertamanya, Selamilah Cinta yang berjaya disiarkan di corong radio. Amanda masih menanti bila single kedua akan disiarkan? Tunggu punya tunggu, rupa-rupanya stesen radio enggan memutarkan lagu-lagunya. Alasannya, mereka hanya akan memutarkan single kedua Amanda jika ada permintaan pendengar. "Saya sudah berkecimpung dalam industri seni ini lebih setahun lalu dan menghasilkan album bahasa Melayu berjudul Amanda Imani dan album Inggeris berjudul Yeah yang dijual secara digital masing-masing pada November dan Disember lalu. "Tetapi masalahnya, saya tak cukup pendedahan dalam industri ini jadi agak susah stesen radio untuk menerima artis baru seperti saya melainkan artis dari program realiti. Saya perlu lebih banyak mempromosikan diri untuk pendengar di luar sana. "Saya tahu, agak sukar untuk bertapak dalam industri ini tetapi sekali saya sudah pilih untuk menceburi bidang seni, saya tak akan berpatah balik," katanya yang akan meneruskan perjuangannya sebagai penyanyi dan penulis lirik sampai bila-bila. Walaupun begitu, penyanyi yang dikatakan mempunyai suara mirip Joss Stone and Alicia Keys itu bertuah apabila dilamar oleh Austin Chase Malaysia yang berhasrat mengedarkan album dan EP Amanda. Selain Amanda, Iz (One In A Million musim kedua) juga menjadi pilihan Austin Chase. Kini, album Amanda Imani dan album Iz berjudul Gonna Be Alright termasuk album terbarunya, Gemini boleh didapati secara eksklusif di kedai Austin Chase Coffee. Dalam perkembangan lain, Amanda juga sedang mengikuti pelajarannya dalam jurusan Sains dalam Komunikasi dan Psikologi di Kolej Segi, Kota Damansara. Bagaimanapun, anak tunggal itu tidak mungkin akan menggunakan ijazah dalam bidang tersebut untuk mencari karier yang lain sebaliknya mempraktikkan apa yang dipelajarinya dalam rutin seharian. "Saya sedang belajar di tahun kedua. Alhamdulillah, setakat ini saya masih boleh membahagikan masa untuk nyanyian dan pelajaran. Lagipun, waktu persembahan saya hanya dilakukan pada hari minggu. Jadi, saya boleh menumpukan kepada pelajaran pada hari biasa. "Saya akan menggunakan ilmu yang saya pelajari sebagai platform untuk membantu urusan sendiri dan muzik. Saya akan terus menjadi penyanyi dan penulis lirik selama-lamanya," katanya yang menulis lirik lagu berdasarkan pengalaman dan harapan. Sementara itu, dia selesa menyanyikan genre pop dan R&B. Walaupun masih muda, dia akan cuba memikat hati pendengar muda dan dewasa. "Saya sangat suka bereksperimen. Insya-Allah, pada masa akan datang saya akan cuba merakamkan lagu bergenre country music. Saya berani untuk mencuba tetapi perlu meminta pendapat orang lain dan kawan-kawan dulu," katanya. Pada Januari lalu, anak muda berasal dari Kuala Lumpur ini telah mendapat anugerah di Voize Independent Music Awards (VIMA) menerusi single pertamanya Selamilah Cinta bagi kategori Lagu Pop Terbaik. Amanda mula berjinak dalam nyanyian sejak berusia lima tahun dan ketika itu amat meminati lagu rakyat popular Jong Jong Inai. Dia mula menyanyi secara serius pada hujung tahun 2008. Persembahan terbesar yang pernah dijayakan olehnya ketika persembahan pembukaan konsert F1 Grand Prix baru-baru ini yang turut menampilkan Wyclef Jean and Fat Boy Slim. | ||
TV3 Mahu Kurangkan Kontroversi Posted: 10 Jun 2010 02:43 AM PDT PETALING JAYA: Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), akan membataskan elemen kontroversi untuk semua rancangan berbentuk hiburan sebagai menghormati tuntutan penonton. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan berkata, sempena menyambut ulang tahun TV3 yang ke-26 pada 1 Jun lalu, stesen televisyen itu akan lebih mementingkan sensitiviti penonton dalam program-program hiburan mereka. "Pihak kami akan melihat balik segala respons penonton apabila sesebuah rancangan hiburan yang memaparkan elemen kontroversi diterbitkan. "Mana-mana perkara yang agak sensitif kita tidak akan siarkan kerana ia mungkin boleh menyebabkan penonton tidak menggemarinya," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Wanita Hari Ini (WHI) sempena ulang tahun stesen itu di sini, semalam. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Sebelum ini rancangan Terjah yang diterbitkan oleh Nas Ahmad mendapat kritikan orang ramai kerana ia dianggap memaparkan elemen yang mengetepikan budaya dan adab sopan Melayu. Rancangan itu bagaimanapun telah ditamatkan siarannya beberapa bulan lalu. Menurut Farid, walaupun elemen berkenaan cuba dihapuskan untuk rancangan hiburan mereka tetapi penonton tetap diberi pilihan menontonnya menerusi internat. Ini kerana kata beliau, individu yang melayari internat agak kurang sensitif berbanding penonton di televisyen. "Sesebuah segmen yang kita fikirkan sensitif itu kita bercadang akan menyiarkannya di internat sahaja tetapi itu semua masih lagi dalam pertimbangan," katanya. Selain perubahan kepada rancangan-rancangan hiburan, TV3 juga akan memastikan hanya drama-drama yang mantap dan berkualiti sahaja akan disiarkan oleh stesen televisyen itu. Sempena sambutan ulang tahun tersebut, TV3 turut melancarkan Kempen Bebaskan Bumi Palestin dengan melantik Faizal Tahir sebagai dutanya. | ||
Kompilasi Sawancara Din Beramboi & Aznil Dilancar Posted: 10 Jun 2010 02:35 AM PDT KUALA LUMPUR: Album >Sawancara dilancarkan hari ini bagi memperingati hasil kreatif terbaik Allahyarham Din Beramboi ketika mengemudi rancangan Riuh Pagi Era bersama Aznil Haji Nawawi. Album yang memuatkan 30 episod gurau senda dan lawak jenaka kedua selebriti tersebut dengan pendengar merupakan pilihan terbaik daripada lebih seratus episod Sawancara yang telah ke udara sejak mereka digandingkan pada 5 Januari 2009. Dalam pada itu, sebahagian daripada hasil penjualan album tersebut akan disalurkan kepada keluarga Allahyarham yang mana sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka. Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim selaku pengedar album tersebut memberitahu ia akan dikeluarkan dalam bentuk cekera padat dengan dua pakej iaitu pakej standard yang terkandung sebanyak 30 buah episod dan pakej bajet sebanyak 15 buah episod. "Album ini mempunyai dua pakej yang masing-masing berharga RM19.90 dan RM9.90 yang mana kita memberi peluang kepada semua golongan untuk mendapatkannya mengikut kemampuan mereka. "Saya pasti album ini mempunyai daya tarikan tersendiri dan peminat Allahyarham pasti akan mengabadikannya sebagai kenangan. "Selain itu juga tujuan penerbitan album ini adalah bagi memberi sedikit sumbangan untuk keluarga Allahyarham," jelasnya yang menyasarkan album tersebut akan terjual melebihi lima hingga sepuluh ribu. Sementara itu, Aznil Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil menyifatkan kenangan bersama Allahyarham Din Beramboi yang diabadikan dalam album tersebut sangat istimewa. "Pelbagai pengalaman manis, indah dan pahit bersama arwah yang sehingga sekarang tidak dapat saya lupakan. Arwah boleh bertukar watak dengan mudah dari mak andam, bidan kampung, pembantu rumah dan sebagainya. "Selalunya saya yang bagi idea tersebut dan Din akan menjadikannya sangat lucu sehingga membuatkan saya tidak berhenti ketawa," ujarnya. Tambah Aznil, sukar baginya untuk meneruskan program tersebut dengan mana-mana pelawak atau pengganti Allahyarham kerana tiada yang lebih layak menggantikan tempat rakan baiknya itu. "Jika ada perancangan untuk meneruskan program ini saya mungkin akan fikirkannya lebih dari 10 kali kerana bagi saya Din telah melakukannya dengan baik dan sukar untuk digantikan dengan orang lain. "Nadi Sawancara hanya pada Din Beramboi dan dia telah membawa nadi tersebut pergi bersamanya," kata Aznil. Album Sawancara boleh didapati di kedai-kedai cekera padatt seluruh negara. | ||
Kes Permohonan Nikah Bung-Zizie Ditangguh Posted: 10 Jun 2010 02:34 AM PDT KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang sepatutnya membuat keputusan hari ini mengenai permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan isteri keduanya, pelakon Zizie Izette A Samad supaya pernikahan mereka diterima dan didaftarkan oleh oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan tidak dapat berbuat demikian kerana kes itu ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan. Permohonan tersebut adalah selari dengan seksyen 12(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303). Kelmarin, mahkamah menetapkan pada hari ini untuk keputusan permohonan pengesahan dan pendaftaran pernikahan antara Ahli Parlimen itu dengan Zizie yang berlangsung di sebuah banglo di Taman Melati, Selangor, Disember tahun lalu. Hakim Kanan Syarie Mohd Abdul Radzi Abd Latif menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas mendengar keterangan pasangan itu, termasuk adik beradik Zizie iaitu Datuk Ahmad Shahazami,48, yang menjadi walinya, dan saksi perkahwinan masing-masing Samzy Fuzette, 34, dan Shaheizy Sam, 28. Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap anggota parlimen itu kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah pada akhir tahun lepas. Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu. Ekoran itu, Bung Mokhtar dibebaskan dengan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin sementara mendengar permohonan rayuan. Selain itu, beliau juga didenda RM1,000 atau sebulan penjara kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie Izette yang berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk. Manakala Zizie Izette dikenakan denda RM1,000 kerana kesalahan bernikah tanpa kebenaran pendaftar mengikut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 dan jika gagal membayar denda boleh dipenjara sebulan. Beliau juga dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara kerana kesalahan bersubahat poligami dengan suaminya. |
You are subscribed to email updates from Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |