Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Langkah kanan Nirwana Band
NIRWANA Band, bunyi seperti nama sebuah kumpulan nasyid di Malaysia. Ironinya, band tersebut bukan sebuah kumpulan nasyid, jauh sekali membawa genre nasyid. Mereka merupakan sebuah band Indonesia yang cukup popular dengan lagu berjudul Sudah Cukup Sudah. Malah, selepas mereka diberi peluang untuk membuat persembahan di pentas Anugerah Industri Muzik 19 (AIM19) baru-baru ini, barulah sebahagian besar peminat lagu Sudah Cukup Sudah ini kenal siapa yang membuatkan mereka 'terbuai' setelah mendengar alunan suara merdu band kelahiran Indonesia ini. Perkara itu juga turut diakui oleh lima orang jejaka anggota band ini iaitu Denis, Arief, Henry, Bayu serta Avew tentang diri mereka yang kurang dikenali di Malaysia, walaupun lagu mereka sangat digemari peminat di sini. "Jika di Indonesia, memang ramai yang mengenali anggota band kami. Di Malaysia, hanya lagu kami yang terkenal tapi tidak mengenali kami berlima. Namun, setelah tampil dalam AIM tempoh hari, sudah ramai peminat yang kenal dengan kami. "Pendek cerita, di Malaysia, lagu kami sahaja yang meletup, tetapi di Indonesia, kami memang telah terkenal," cerita anggota Nirwana Band ketika majlis pelancaran album mereka, Ingin Kau Bahagia yang bertempat di Hard Rock Café, Kuala Lumpur baru-baru ini. Bangga jadii orang kampung Sopan menyusun kata sepanjang sesi temu bual berlangsung, tutur vokalis Nirwana Band, Denis, mereka kini selesa membawa genre Pop Melayu berbanding rock semasa awal kemunculan mereka di arena muzik indie (independent). Ditebak persoalan mengapa Nirwana Band menukar genre kepada Pop Melayu yang mungkin kedengaran sedikit ketinggalan dan 'kekampungan', jawab mereka dengan yakin, mereka bangga menjadi orang kampung. "Kami tidak mahu menafikan yang kami memang berasal dari kampung. Kami sentiasa bangga dan ingin membudayakan muzik kampung kerana di Indonesia rumpunnya juga tetap Melayu. Maka dengan itu, mengapa tidak kami mencintai rumpun asal kami? "Kami bangga kami orang Melayu dan tidak sesekali ego atau berlagak untuk mengaku yang kami ialah Melayu yang berasal dari kampung," jujur akui band yang berasal dari Subang, Jawa Barat tersebut. Walau membawa muzik kampung, genre tersebutlah yang telah membuat mereka popular di Malaysia. Ini kerana sebelum Nirwana Band meraih populariti di negara sendiri, mereka telah pun mencapai kejayaan di Malaysia terlebih dulu. Bicara Denis selaku vokalis dan ketua band, gelombang K-Pop yang kuat di Indonesia ketika itu telah menyebabkan band ini mencuba nasib di negara jiran. Cerita Denis lagi, mereka pernah ditolak beberapa kali untuk menjadi sebuah kumpulan yang bernaung di bawah syarikat label muzik di sana. Namun, pihak pengurusan menyarankan agar mencuba nasib untuk mempertaruhkan single Sudah Cukup Sudah di Malaysia terlebih dulu. BERBEKALKAN single Sudah Cukup Sudah, Nirwana Band diiktiraf sebagai pemenang Lagu Bahasa Melayu Oleh Artis Luar Negara Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 19 (A1M 19). Strategi menjadi Ternyata, strategi untuk memasarkan single berjudul Sudah Cukup Sudah di Malaysia berkesan apabila single yang dipertaruhkan itu berjaya menjulang nama Nirwana Band sehingga menggondol anugerah kategori Artis Luar Negara Terbaik, Anugerah Industri Muzik 19 (AIM19). Terkejut dengan keputusan yang diumumkan ketika itu, mereka mengaku tidak pernah mengharapkan kemenangan melalui kategori tersebut memandangkan semua pencalonan tidak kurang hebat. "Selepas memenangi anugerah tersebut, kami menganggap ia sebuah tugas berat yang harus dipikul kerana ini merupakan permulaan untuk karier kami. Dengan kemenangan ini, kami masih belum merasa puas dan perlu berusaha dengan lebih keras lagi untuk memberikan yang terbaik kepada peminat-peminat yang sentiasa menyokong kami. "Sebenarnya kami pun tidak menyangka diumumkan sebagai pemenang kerana kami bertanding dengan nama-nama besar yang memang sudah mempunyai profil kerjaya yang bagus di negara kami mahupun di Malaysia. "Mereka juga jauh lebih senior daripada kami. "Kami masih band baharu dan tidak menyangka sama sekali mendapat penghargaan sebesar ini. Ini kerana ketika mendapat jemputan ke AIM, kami hanya fikir untuk mempersiapkan diri bagi menghiburkan rakyat Malaysia," jelas Denis panjang lebar sambil memanjat kesyukuran ke atas kemenangan tersebut. Berkorban demi peminat Walaupun bermula dalam arus independent dengan membawa genre rock, namun oleh kerana kurang diterima, Nirwana Band sanggup melupakan apa yang digemari kerana sering ditolak syarikat rakaman. Biar kini sudah menukar genre muzik, namun mereka masih mengekalkan elemen rock dan blues dalam konsep lagu-lagu mereka. "Apabila kami menukar genre rock kepada pop, barulah kami diterima. Walaupun kami terpaksa melupakan apa yang kami suka, namun kami perlu berkorban sedikit untuk berjaya. "Tujuan kami juga ingin mencari rezeki. Biarlah kami mengalah dan teruskan dengan apa yang diterima ketika ini," ujar Denis lagi. Tambahnya, apa yang menjadi keutamaan band mereka sekarang ialah mementingkan selera masyarakat dengan akur terhadap apa (muzik) yang mereka ingin dengar. Ulas salah seorang anggota Nirwana Ban yang lain iaitu Arief ringkas: "Ini kerana kami band untuk masyarakat dan kami bukan band syok sendiri." Sementara itu, berbicara mengenai album baharu mereka yang berjudul Ingin Kau Bahagia pula, ujar mereka seratus peratus lagu-lagu di dalam album tersebut telah ditulis dan digubah oleh Nirwana Band sendiri. Selain itu, apa yang menariknya, penceritaan lagu yang terkandung dalam album ini merupakan kisah benar. | ||
Afdlin ke Gaza bukan cari publisiti Posted: Afdlin ke Gaza bukan cari publisitiOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
PELAKON, pengacara, pengarah dan penerbit, Afdlin Shauki, 41, mencipta profil terkini dalam kariernya apabila menjadi duta sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Aqsa Sharif, organisasi bebas kelima bernaung di bawah Pertubuhan Ikram Malaysia yang bergiat aktif membantu rakyat Palestin. Menunjukkan rasa sokongannya terhadap perjuangan membebaskan Palestin, Afdlin akan turut sama ke Gaza bersama badan tersebut bagi menghulurkan bantuan berupa makanan selama seminggu bermula 3 Disember ini. Bukan berniat mencari publisiti, menurut Afdlin, dia ke Gaza untuk melihat sendiri kesusahan dan penderitaan yang dialami rakyat Palestin, malah Afdlin akan turut menyalurkan sebahagian keuntungan daripada filem komedi seram arahan terbaharunya iaitu Pontianak VS Orang Minyak untuk rakyat di Gaza. Filem yang telah menjengah pawagam bermula 22 November lalu itu membariskan ramai pelakon terkenal seperti Nabil, Johan, Afdlin Shauki, Sharifah Shahirah, Khir Rahman, Lana Nordin, Adibah Nor, Harun Salim Bachik, Fizz Fairuz dan Sharifah Amani. Filem terbitan Ismail Holdings dan Vision Works Sdn. Bhd. itu menceritakan pergolakan dua hantu iaitu Pontianak dan Orang Minyak yang baru berkecimpung dalam dunia hantu. Ponti merupakan seekor pontianak lelaki yang amat dibenci oleh pontianak-pontianak lain kerana sepatutnya semua pontianak datang dari golongan wanita. Omi pula orang minyak lembut yang amat memeningkan kepala orang-orang minyak lain. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Afdlin. Kosmo!: Bilakah anda akan ke Gaza? AFDLIN: Saya akan ke Gaza pada 3 hingga 10 Disember ini. Saya ke Gaza bersama dengan badan bukan kerajaan Aqsa Sharif untuk misi bantuan kewangan dan makanan. Apakah perasaan anda jika ada sesetengah pihak yang mempertikaikan anda ke Gaza untuk mencari publisiti? Saya tidak peduli orang mahu pertikaikan keinginan saya ke Gaza. Saya ke Gaza untuk melihat sendiri dengan mata bagaimana kesusahan dan penderitaan yang dialami mereka. Saya mahu berbual dengan mereka dan kongsikan pengalaman yang saya peroleh kepada rakyat Malaysia nanti. Bilakah anda ditawarkan sebagai duta Aqsa Sharif? Saya ditawarkan oleh Aqsa Sharif untuk menjadi duta mereka bermula 26 November. Aqsa Sharif merupakan organisasi bebas (NGO) kelima bernaung di bawah Pertubuhan Ikram Malaysia. Apakah tugas-tugas anda sebagai duta? Saya membantu dari segi mengumpulkan dana untuk rakyat Palestin. Saya juga akan berkongsi pengalaman yang saya peroleh di Gaza nanti, termasuk bagaimana penderitaan yang dialami oleh mereka untuk rakyat Malaysia tahu agar semuanya dapat menyalurkan sedikit sumbangan. Apakah perasaan anda apabila dilantik sebagai duta untuk badan yang memperjuangkan pembebasan Palestin? Saya rasa sangat terharu. Sebelum ini, jika orang tanya apa yang saya ingin buat pada buat masa terdekat ini, saya jawab tidak tahu. Kini, saya sudah ada matlamat iaitu untuk pergi ke Gaza. Ini adalah perjalanan hidup saya untuk melihat sendiri ketidakadilan yang berlaku di sana. Bagaimanakah persediaan diri untuk ke Gaza? Saya banyak membaca tentang Palestin dan mendapatkan informasi tentang apa yang berlaku di sana. Memang ada perasaan takut, cuma apalah sangat perasaan takut saya jika mahu dibandingkan dengan hidup mereka yang setiap hari sudah berasa takut dengan kekejaman yang berlaku. Jadi saya kena beranikan diri. Bagaimanakah penerimaan keluarga bila anda ingin ke Gaza? Keluarga memang berat hati mahu lepaskan saya ke Gaza, terutama sekali anak-anak. Bagaimanapun saya yakinkan mereka dan meminta mereka mendoakan keselamatan saya dan rakyat Palestin di sana. Apakah perkembangan terbaharu anda? Sekarang filem arahan saya masih ditayangkan di pawagam iaitu Pontianak Vs Orang Minyak. Saya harapkan ia mendapat sambutan yang menggalakkan. Ini kerana saya mahu salurkan sebahagian keuntungan filem itu untuk rakyat di Gaza. Saya juga tidak akan bersama dengan ahli Boboi iaitu Harun Salim Bachik dan Nabil untuk persembahan Maharaja Lawak Mega 2012 pada 7 Disember nanti kerana masih belum pulang ke Malaysia. | ||
Posted: Bunkface marah K-PopOleh SITI KAMILAH MUSTAPHA ATAS: Pelancaran kali kedua album Bunkface, Bunk Not Dead di ibu kota baru-baru ini yang menggunakan teknologi Augmented Reality telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir. Bunkface mengaku mereka tidak kecewa kerana terkandas untuk bersaing dalam final Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27) pada peringkat separuh akhir pertandingan itu baru-baru ini, bagaimanapun mereka meluahkan rasa kecewa apabila tidak banyak kumpulan yang layak untuk ke peringkat final. Kata vokalisnya, Shamsul Annuar Mohd. Baharom atau Sam, Bunkface tiada masalah kerana tidak berjaya ke AJL 27, tetapi kecewa apabila tiada peruntukan jumlah kumpulan yang boleh masuk ke final pertandingan berkenaan. "Kami rasa macam tidak adil pula apabila hanya satu kumpulan sahaja berjaya masuk ke final. Kami bersimpati apabila ada kumpulan yang mengeluh mengenai hal itu," ujar Sam mewakili luahan hati rakan seperjuangan yang lain. Dalam separuh akhir AJL 27, hanya sebuah sahaja kumpulan yang yang berjaya ke final iaitu Mojo melalui lagu Andaiku Bercinta Lagi. Bunkface yang pernah ke final AJL melalui lagu Situasi dan Ekstravaganza pada tahun 2009 dan 2010 turut mengakui lagu Panik yang dipertaruhkan semasa separuh akhir jarang didengari oleh pendengar dan mempunyai kontroversi sendiri. "Kami sudah buat sehabis baik malam itu, kalau tidak ke final tidak mengapa, tetapi kasihan kepada kumpulan lain yang baharu hendak mencipta nama, namun tidak berjaya pula," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran kedua album Bunk Not Dead di Kuala Lumpur baru-baru ini. Selain meluahkan rasa kecewa terhadap perkara berkenaan, dua lagi ahli kumpulan Bunkface iaitu Youk (pemain gitar bass) dan Paan (pemain gitar utama) menyatakan perasaan terkilannya terhadap industri muzik tanah air yang didakwa semakin suram. Kata mereka, industri muzik sekarang tidak seperti dahulu lagi kerana ia semakin tidak sihat dan suram serta kurang penghargaan oleh peminat. Ini kerana mereka lebih berminat dan terdedah kepada muzik luar negara. Paling nyata apabila banyak peminat muzik kini lebih mengagungkan muzik aliran K-Pop yang turut mendapat sambutan daripada stesen-stesen radio apabila kerap memutarkan lagu-lagu yang berasal daripada Korea Selatan itu.
"Banyak radio menyiarkan lagu K-Pop dan Justin Bieber misalnya, yang membuatkan secara tak langsung, peminat sekarang lebih suka kepada mereka, bukan lagu tempatan lagi. Bagaimanapun kami tidak menyalahkan peminat, tetapi pihak berkuasa perlu berbuat sesuatu," jelas Youk. Sam yang bersetuju dengan pandangan rakannya itu turut berkata, luahan rasa mereka itu adalah untuk kebaikan industri dan kumpulan muzik akan datang. "Banyak kumpulan atau band mengeluh lagu mereka tidak keluar radio, kasihan mereka. Jadi, kami suarakan hal ini bagi pihak mereka dan berjuang untuk industri agar peminat tidak lupa bahawa muzik tempatan pun tidak kurang hebat," ujarnya yang risau terhadap demam muzik K-Pop yang semakin digilai remaja sekarang. Tambahnya, situasi industri sekarang seolah-olah menutup ruang untuk kumpulan muzik bergerak dan banyak rakan seperjuangan terpaksa bermati-matian untuk dikenali melalui saluran yang sepatutnya walaupun mereka bagus. Kata Sam: "Saya mewakili suara kumpulan muzik yang ada kerana mereka tidak berani menyuarakan perkara ini. Jadi dengan apa yang telah kami suarakan, diharap ada pihak yang akan bertindak terhadap situasi berkenaan." Sementara itu, Bunkface melancarkan album ketiga mereka, Bunk Not Dead buat kali kedua kerana album berkenaan menggunakan teknologi Augmented Reality sepenuhnya. Ia mengandungi kod tersembunyi di sebalik gambar kulit album mereka sehingga membolehkan grafik dalam gambar itu bergerak-gerak jika dilihat melalui telefon pintar jenis Android dan Apple. Teknologi berkenaan merupakan yang pertama di Asia dan digunakan oleh artis dalam pembikinan album mereka. "Kami memilih teknologi tersebut untuk album kedua ini kerana melihat senario masa kini yang menyaksikan hampir semua individu memiliki telefon pintar, jadi secara tak langsung peminat kami boleh mengikuti segala aktiviti Bunkface menerusi teknologi yang kami sediakan. "Cara untuk peminat mengikut segala aktiviti kami walau di mana saja mereka berada adalah dengan mengimbas kulit album melalui telefon pintar mereka, dan mereka terus memiliki aplikasi yang telah disediakan," jelas Sam mengenai alasan mereka memilih teknologi Augmented Reality tersebut. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |