Adsense

Sabtu, 1 Disember 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Pendidikan nombor satu

Posted: 30 Nov 2012 03:42 PM PST

Shireen Sungkar cekal galas dua peranan serentak biarpun dihimpun waktu

Sisa waktu yang semakin sempit berbaki tidak pernah membebankan pelakon yang sinonim sinetrion seperti Wulan dan Cinta Fitri ini.

Menggalas dua peranan serentak, sebagai aktres dan mahasiswi, Shireen Sungkar, 20, menjalani semua itu tanpa pernah merungut.
Sama ada bekerjaya tetap atau kekal sebagai artis, pelajaran itu penting. Saya tidak tahu masa depan, namun setidak-tidaknya saya memiliki sesuatu untuk bergantung nanti," Shireen Sungkar

Akur waktu untuk diri sendiri kian terbatas, Shireen enggan mengeluh meskipun ada ketika, kudratnya tidak mampu menanggung bebanan itu.

"Cukup meletihkan kuliah sambil kerja tetapi saya tidak akan sesekali korbankan pendidikan. Saya paksa diri ke kelas kerana mahu pengajian tamat pada masanya.

"Ketika ini kelas berjalan seperti biasa dan pada masa sama, saya terikat komitmen sinetron baru. Kuliah sudah memasuki lima semester, alhamdulillah semua lancar.

"Biarpun ada ketika terpaksa tahan mengantuk kerana penggambaran hanya selesai awal pagi, tetapi saya tetap gagahkan diri ke kelas," kata anak pasangan pelakon, Mark Sungkar dan Fenny Bauty ini.
Mendalami jurusan Perhubungan Awam, Shireen yang pernah membentuk duo, The Sister bersama kakaknya, Zaskia Sungkar berkata, membahagikan waktu paling penting terutama ketika berdepan peperiksaan.

Katanya, pendidikan tetap diberikan keutamaan meskipun dia masih belum merencana masa depan selepas menggenggam ijazah.

"Sama ada bekerjaya tetap atau kekal sebagai artis, pelajaran itu penting. Saya tidak tahu masa depan, namun setidak-tidaknya saya memiliki sesuatu untuk bergantung nanti," katanya.

Disebabkan itu, anak kelahiran Jakarta pada 28 Januari 1992 ini selesa mengenepikan dulu keinginan peribadi. Kekasih kepada aktor, Teuku Wisnu ini mengakui belum sedia untuk bernikah meskipun hubungan mereka semakin serius.

Shireen meletakkan sasaran untuk berumahtangga pada usia 25 tahun. Biarpun perjalanan itu masih jauh, tetapi Shireen sudah menetapkan konsep persandingan impiannya.

"Keinginan untuk berumahtangga itu ada, cuma belum tahu bila. Jika ditanya, saya berharap akan bergelar isteri ketika usia 25 tahun.

"Saya tidak mengimpikan majlis perkahwinan yang hebat. Sederhana memadai tetapi elegan dan kalau boleh, saya ingin ia berlangsung di tempat terbuka.

"Sesuatu yang pasti, ia tidak akan sesekali membelakangkan adat," kata Shireen yang turut laris sebagai model komersial.

Pernikahan sebati sejak usia 15 tahun

Pertanyaan mengenai pernikahan sudah sebati di pendengaran Shireen yang mula diajukan persoalan seperti itu sejak usia 15 tahun.

Membiarkan saja hal itu berlalu, Shireen berkata, dia enggan meletakkan tekanan kepada dirinya hanya kerana mahu memuaskan hati orang lain.

"Sejak usia 15 tahun saya sudah disindir mengenai pernikahan. Saya santai saja kerana perancangan ke arah itu masih jauh.

"Tidak dinafikan, saya pernah ke Aceh untuk berkenalan dengan keluarga Wisnu. Tetapi, ketika ini kami mempunyai fokus terhadap kerjaya masing-masing.

"Apatah lagi, saya terikat dengan kontrak sinetron. Andai ditanya sama ada nikah atau tidak, saya belum ada jawapan.

"Ia tidak seperti yang dihebohkan. Doakan saja berakhir dengan sesuatu yang manis. Tidak elok jika terlalu banyak bercakap kerana kita tidak tahu apa akan jadi nanti," katanya.

Dating di lokasi

Pernah diterpa kontroversi apabila video porno mirip dirinya tersebar pada Mei 2009 yang memusnahkan cintanya dengan pelakon, Adly Fairus, Shireen tidak dilepaskan bebas seperti remaja lain.

Shireen masih dikawal ibunya yang sering menemaninya ketika dia keluar bersama Wisnu. Situasi itu tidak pernah menjadi persoalan besar buat mereka berdua, malah Wisnu juga sudah terbiasa dengan syarat yang ditetapkan.

"Sama seperti pasangan bercinta lain, sesekali kami akan menikmati makan malam romantis. Kebiasaannya pada malam minggu.

"Tetapi sering, hujung minggu kami akan dihabiskan di lokasi penggambaran. Kebetulan masing-masing bekerja, jadi kami cuma nikmati makan malam di lokasi.

Ruang berbincang

"Jika kebetulan tidak terikat jadual kerja, kami memilih ke pawagam. Kesempatan berdua itu kami jadikan ruang untuk berbincang dan memperbaiki mutu lakonan," katanya.

Sempat diterpa gosip kononnya hamil, Shireen akur, populariti sebagai artis memudahkannya untuk meraih wang berlipat ganda.

Bagaimanapun, dia enggan mensia-siakan usia muda dengan berfoya-foya. Bersama Wisnu, dia melabur dengan membuka perniagaan pakej pelancongan dan umrah.

"Kebiasaannya artis boros kerana tidak susah untuk mendapatkan wang. Tetapi saya sentiasa mengingatkan diri, hidup tidak selalunya di atas.

"Saya harus bersedia dengan segala kemungkinan nanti. Setiap apa juga pekerjaan, perlu ada usaha. Jika tidak yakin, jangan melakukannya," katanya.

16 tahun Ungu

Posted: 30 Nov 2012 03:35 PM PST

Timeless bukti band masih bertahan dalam industri muzik

Isu peribadi yang bertandang dalam kehidupan pemain bass Ungu, Makki barangkali mampu mengalihkan perhatian peminat terhadap kelahiran album terbaru mereka, Timeless.

Kisah perceraian Makki dan isterinya, Dede mula berhembus pertengahan November lalu. Bagaimanapun, kematangan untuk segera menangani tidak membawa isu itu melarat ketika Ungu kembali ke Kuala Lumpur dalam siri promosi album terbaru mereka, Timeless.

Meskipun bertiup pelbagai spekulasi, termasuk Makki dikatakan melakukan kekerasan terhadap isterinya, persoalan itu terbiar tanpa jawapan jelas.
Mengenepikan dulu isu panas itu, kelahiran Timeless membawa makna besar buat Ungu yang meraikan ulang tahun ke-16 bersama.

Perjalanan panjang yang menyumbang pelbagai catatan suka dan duka, Ungu bersyukur kerana biarpun sering berganti anggota namun band itu masih bertahan dalam industri muzik Indonesia.

"Proses untuk mencapai tahap ini menuntut waktu. Tidak mudah untuk kami menjaga supaya nama Ungu terus bertahan dan kukuh.
"Industri muzik ibarat perjalanan air yang tidak berhenti mengalir, sentiasa melahirkan band baru dengan aliran muzik berbeza yang mencari tempat di pasaran.

"Kami tiada modal lain, kecuali komitmen dan persefahaman supaya Ungu dilihat mantap serta kekal berkarya," kata Makki dalam temubual, baru-baru ini.

Sepanjang perjalanan itu, Ungu pernah hadir dengan 13 album termasuk album rohani dan runut bunyi. Bagi mereka, peminat juga ialah faktor penting yang membantu mereka menjaga keharmonian antara sesama anggota.

Sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan peminat yang menjadi tunjang kekuatan mereka, Ungu juga sentiasa berusaha untuk tampil dengan karya berkualiti.

"Keinginan kami besar kerana selain menjaga peminat di negara sendiri, Ungu juga mahu mencipta nama lebih mantap di negara luar.

"16 tahun bukan usia muda untuk sebuah band. Justeru kesempatan masih bertahan sering kami jadikan untuk mencari kekurangan dan merencana sesuatu yang lebih baik dalam berkarya dan hal lain berkaitan," ulas Pasha.

Kematangan Ungu terlihat apabila band yang popular dengan lagu Demi Waktu, Hampa Hatiku dan Andai Ku Tahu itu sentiasa berusaha untuk mendekati peminat yang mereka gelar Cliquers.

Tahun lalu, 150 peminat diberi penghormatan untuk mendekati dan mengenali lebih mendalam kehidupan peribadi Ungu yang dibarisi Pasha, Enda, Oncy, Makki dan Rowman.

Julai lalu mereka menganjurkan sebuah festival sempena meraikan ulang tahun ke-16 Ungu dalam industri muzik.

Band termahal

Pernah diangkat sebagai Band Paling Popular di SCTV Music Awards 2007, kematangan dan keampuhan Ungu meletakkan mereka sebagai antara band Indonesia termahal.

Cuba untuk tidak menjadikan hal itu sebagai isu yang perlu diperbesarkan, Pasha berkata, mereka enggan terbeban dengan tanggapan itu.

"Berapa pun bayaran yang diterima, itu bagi kami adalah satu bentuk penghargaan terhadap karya Ungu.

Kami tidak pernah melihat Ungu sudah berada di atas, mudah-mudahan kesederhanaan ini akan mempertahankan kami dalam industri yang semakin mencabar,' kata Pasha lagi.

Beralih bicara mengenai album terbaru mereka, Timeless, produksi itu hadir selepas dua tahun mereka tidak melahirkan sesuatu yang baru untuk dikongsi bersama peminat.

Mengisi 12 lagu, hanya empat daripadanya sentuhan baru iaitu Apa Sih Maumu, Kau Anggap Apa, Sayang dan Puing Kenangan.

Baki lapan lagu lagi adalah sentuhan popular Hampa Hatiku, Demi Waktu, Tercipta Untukku (menampilkan Rossa), Percaya Padaku, Kekasih Gelapku, Dirimu Satu, Karena Dia Kamu, Laguku, Cinta Dalam Hati dan Berikan Aku Cinta.

Disentuh mengenai perkara itu, Pasha berkata, Ungu ingin berkongsi lagu yang mempunyai kedudukan istimewa dalam perjalanan karier mereka untuk dinikmati peminat.

Enggan terikat dengan genre muzik yang sebati dengan identiti band dari Bogor itu, Ungu mengadun nuansa hip hop tekno dalam empat lagu baru itu.

"Kami pernah mencuba dangdut, rock dan pop. Andai terus berputar di situ, pasti peminat bosan kerana ingin mencari sesuatu yang berbeza.

"Kami tidak melihat Timeless sebagai produksi yang merangkumkan lagu terbaik Ungu kerana setiap judul, mempunyai peranan dan kenangan kepada kami secara peribadi," katanya.

Ungu juga akan terbabit dalam konsert Ekspresi Karya Gemilang di samping Rossa, Titi DJ dan penyanyi popular Malaysia seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Shila Amzah yang dijadualkan berlangsung di Stadium Antarabangsa Mata Elang, Anco pada 10 Disember ini.