Berita Harian: Hip |
Posted: 02 Dec 2012 02:42 PM PST Pelakon, Diana Danielle Danny Beeson, 21, menafikan dirinya melarikan diri daripada pihak media kerana enggan ditemubual setelah dia sendiri membuat pengumuman terbuka mengenai berita kehamilannya menerusi laman sosial Twitter. Harapan untuk menemubual aktres itu disandarkan pada hari persandingannya Sabtu lalu di Taman Ekuestrian Putrajaya, Namun, hasrat kebanyakan media hampir tidak kesampaian apabila dimaklumkan tiada sidang media diadakan. Di situ, kami tidak dibenarkan masuk. Namun, menerusi bilik yang hanya berdindingkan cermin, kami dapat melihat Farid memperkatakan sesuatu kepada pegawai perhubungan awam (PRO) MIG, yang bertanggungjawab menjaga media. Selang beberapa minit, PRO berkenaan keluar dan meminta pihak media bersabar kerana kami berpeluang menemubual pengantin selama 10 minit. Ketika ditanya kenapa dia seolah-olah enggan ditemubual dan mengatakan sesi ini tiada dalam agenda, Farid memberikan alasan kononnya harus memberi laluan kepada media rasmi iaitu Astro. "Agenda memang dirancang pihak pengurusan, tetapi majlis ini ada media rasmi. Jadi kami harus mendahulukan mereka bagi melakukan proses rakaman untuk program khas kami," kata Farid membetulkan keadaan. Isterinya yang anggun menyarungkan gaun rona putih gading pula menjelaskan, dia tidak berniat melarikan diri daripada media. Sebaliknya, sejak dulu dia tidak begitu gemar berkongsi cerita peribadi bersama media, sebaliknya apa yang dilakukan hanyalah untuk berkongsi dengan peminat. Timbang semula niat sambung belajar Farid kemudian bersuara menjelaskan isterinya terlalu gembira hingga tidak sengaja meletakkan gambar alat penguji kehamilan semata-mata ingin berkongsi kegembiraannya dengan peminat. "Dia terlalu teruja hendak berkongsi berita gembira ini dengan peminat. Cuma, dia memerlukan sedikit ruang untuk dirinya sendiri dan tidak berniat langsung mahu melarikan diri," kata Farid. Sementara itu ketika ditanya perancangan Diana yang khabarnya ingin melanjutkan pelajaran selama setahun ke Australia dalam bidang penerbitan pada Januari depan, Farid berkata, perkara itu terpaksa dipertimbangkan semula memandangkan keadaan isterinya yang kini berbadan dua. Katanya, setiap manusia mempunyai pelbagai keinginan, dalam sehari, dan menyambung pengajian satu daripada impian yang muncul secara tiba-tiba. Perancangan itu belum muktamad, justeru ia boleh ditangguhkan buat sementara waktu. Pada majlis resepsi itu, pasangan yang sama-sama berkongsi minat terhadap kuda menterjemahkan minat mereka pada hari persandingan. Mengikut perancangan awal, mereka sepatutnya menunggang kuda masing-masing menuju ke pelamin, tetapi memandangkan Diana mengandung, rancangan ditukar kepada menaiki kereta kuda bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Seperti kisah dongeng Cinderella, mempelai diarak masuk lapan ekor kuda daripada Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia manakala dua lagi menarik kereta kuda rona putih tajaan pusat ekuestrian berkenaan. Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan berkuda daripada anggota polis. Kedua mempelai turut mendapat kejutan apabila bapa serta ibu Farid, Datuk Dr Zahari Che Dan dan Datin Sharifah Bardah Idid Syed Abdullah Idid menghadiahkan mereka kereta BMW X6. Diana belajar memasak Ujar Farid, hidupnya kini lebih terisi dan fikirannya juga makin tenang selepas sebulan bergelar suami. Makan pakai dijaga dengan baik oleh isteri. Malah dia cukup terharu apabila Diana kini berusaha untuk belajar memasak. "Setahu saya, sebelum ini dia tidak pandai memasak. Tetapi selepas berkahwin nampaknya Diana menunjukkan kebolehannya memasak untuk saya. Ada kalanya kelihatan kelakar apabila dia memasak sambil memegang telefon bimbitnya untuk mempelajari cara masakan. Setakat ini dia sudah membuktikan kebolehannya memasak ayam masak lemak cili api dan nasi tomato, serta ayam masak merah," katanya. |
Posted: 02 Dec 2012 02:38 PM PST Persembahan khas artis terkenal suarakan sokongan bantu mangsa kekejaman rejim Zionis Israel Mengamati bait lirik lagu yang dipersembahkan pada konsert mini amal Untukmu Palestin sudah cukup untuk membuatkan penonton sebak. Mana tidaknya, barisan lagu disampaikan artis popular seperti Faizal Tahir, Raihan, Misha Omar, Tomok, Noh, Aizat dan Hafiz Hamidun menggambarkan kesengsaraan mangsa kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza, Palestin, yang mendambakan bantuan kita semua.
Konsert diteruskan dengan lagu Untukmu Palestin daripada Raihan dan satu-satunya penyanyi wanita, Misha Omar, menyusul dengan lagu Kembara Di Tanah Gersang. Kesyahduan berterusan apabila Tomok tampil dengan lagu Kau Yang Satu, yang dinyanyikan dengan penuh perasaan. Air mata penyanyi ini tidak dapat ditahan ketika dia mengalunkan lagu merdu berkenaan. Menyusul selepas itu persembahan daripada Noh menerusi lagu Kembara, Aizat (Erti Hari Ini), Faizal (Anti Graviti) dan semua artis (Insya-Allah). Konsert mini terbitan TV3 itu ialah cetusan ilham Faizal sendiri. Pernah merasai sendiri pengalaman menyertai misi bantuan di Palestin membuatkan penyanyi itu tampil dengan misi bantuannya sendiri, menerusi penganjuran konsert mini.
Akan terus jual trofi Menurut Faizal, tidak rela melihat kekejaman berlaku ke atas masyarakat seagama, dia cuba melakukan sesuatu yang dirasakan mampu membantu. "Apa lagi mampu saya lakukan selain mencari idea yang berlainan untuk membantu penduduk Gaza. bantuan menerusi penganjuran konsert sudah biasa manakala sambutan dari segi bantuan kewangan agak terhad. "Namun, sebagai penyanyi saya tidak boleh lari daripada bidang ini. Tetapi, saya perlu melalui satu pengorbanan. Saya nekad melelong beberapa trofi kesayangan demi mendapat dana untuk Palestin," katanya yang ditemui sebelum berlangsungnya konsert. Pada acara itu, turut diumumkan ialah badan korporat yang berjaya membuat bidaan tertinggi sekali gus memiliki salah satu trofi. Telekom Malaysia Berhad (TM) berjaya membida trofi Album Terbaik dimenangi Faizal pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-15 dengan nilai RM50,000. Bagi trofi Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-23, Maybank Berhad mempertaruhkan nilaian RM20,000 manakala Celcom membawa pulang trofi Artis Lelaki Paling Popular, Anugerah Planet Muzik (APM) 2008. "Selepas ini saya akan bekerjasama dengan pertubuhan Aqsa Syarif untuk menjual beberapa lagi trofi, barangan peribadi dan cenderamata," katanya. Orang ramai dialu-alukan menyalurkan sumbangan mereka ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad menerusi akaun Maybank 5642 7651 0331 atau layari Facebook dan Twitter TV3MALAYSIA untuk keterangan lanjut. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |