Adsense

Khamis, 8 November 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Heliza mahu terus nikah

Posted:

Heliza mahu terus nikah

Heliza mahu terus nikah

SEJAK menyertai rancangan Akademi Fantasia 5 (AF 5) pada tahun 2007, ternyata penyanyi, pelakon dan pengacara Nur Heliza Helmi atau Heliza antara yang masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Dengan statusnya sebagai seorang artis wanita bertudung sejak awal kemunculannya, Heliza juga jarang dikaitkan dengan gosip-gosip hangat terutamanya membabitkan hubungan dengan lelaki.

Bagaimanapun, lumrah menempuhi kehidupan sebagai seorang artis yang cantik dan menjadi perhatian umum, ternyata Heliza tidak mampu mengelak daripada dikaitkan dengan kisah kontroversi.

Antara yang menarik perhatian ramai apabila dirinya dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan seorang VIP bergelar Datuk sehingga ditaja untuk menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Heliza Helmi Production.

Tidak mahu orang ramai terutamanya peminat terus-menerus memberikan sebarang persepsi yang negatif, Heliza dengan tegas menyatakan individu yang dimaksudkan itu sekadar rakan niaga dan tidak pernah menaja syarikatnya itu.

"Saya sedar selama ini ramai yang salah sangka dan ada yang menganggap saya telah ditaja oleh individu yang dimaksudkan itu. Pada hakikatnya ia tidak benar dan individu tersebut salah seorang rakan niaga. Dia tidak terlibat dengan syarikat saya terutamanya memberi tajaan.

"Justeru dengan penjelasan ini, saya berharap cerita sebegini tidak lagi ditimbulkan oleh mana-mana pihak," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Festival Hijab 2012 di Kelana Jaya baru-baru ini.

Menurut Heliza, sehingga kini syarikat yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu itu masih lagi berfungsi dan menjalankan perniagaan membekal barang-barang dan pengubahsuaian bangunan.

"Ketika mula-mula syarikat ini ditubuhkan saya ada merancang untuk menghasilkan filem, namun perancangan tersebut ditangguhkan dahulu. Saya lebih suka memberikan tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan sekarang.

"Tidak dinafikan jadual saya memang padat setiap hari, kerana selain menguruskan syarikat saya juga terbabit dengan pelbagai aktiviti lain seperti menjadi penceramah motivasi dan pengacara televisyen. Mungkin disebabkan itu saya masih lagi tidak mempunyai kekasih," ujarnya berseloroh.

Bercerita lebih lanjut mengenai statusnya sekarang, Heliza mengaku bahawa sehingga kini dia masih lagi tidak mempunyai teman lelaki dan selesa dengan kehidupan sekarang.

Ditanya sama ada dia teringin untuk berumah tangga memandangkan usianya yang kini sudah mencecah 26 tahun, artis kelahiran Kuala Terengganu itu menyatakan dia memang mahu berumah tangga dan mengakui sudah bersedia bergelar isteri.

"Siapa yang tidak mahu berkahwin, apatah lagi melihat ramai kawan-kawan saya yang sudah berumah tangga. Bagaimanapun, saya anggap semuanya itu terserah kepada jodoh.

"Cuma saya tidak mahu menjadi seperti kebanyakan yang dilakukan golongan muda sekarang iaitu bercinta sebelum berumah tangga. Kalau saya mahu serius dengan seseorang lelaki, saya akan terus kahwin dan kemudian bercinta selepas itu," jelasnya.

Berkenaan dengan lelaki pilihannya pula, Heliza meletakkan agama sebagai keutamaan dan seorang suami yang akan mampu membimbingnya ke jalan yang diredai.

Kembali berlakon

Selain bergelar penyanyi dan pengacara, Heliza juga bergelar seorang pelakon dan pernah membintangi sebuah filem berjudul Syurga Cinta dan telefilem Doa Ibu pada tahun 2009.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini Heliza tidak lagi muncul di kaca televisyen dan layar perak, seolah-olah dia seperti sudah tidak berminat lagi untuk bergelar seorang pelakon.

Kini, kerinduan peminat untuk melihat Heliza kembali berlakon terubat apabila dia bakal muncul dengan sebuah drama bersiri Warkah Cinta sebanyak 12 episod dan telefilem berjudul Kun Faya Kun.


HELIZA mengaku masih solo, tetapi sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.


"Boleh dikatakan saya sudah menyepi dalam dunia lakonan selama tiga tahun, tetapi itu tidak bermakna saya tidak mahu berlakon lagi kerana keinginan itu masih lagi ada.

"Tidak dinafikan sepanjang tempoh tersebut saya masih mendapat banyak tawaran berlakon, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana jadual penggambaran sering bertembung dengan komitmen saya yang lain," ujarnya.

Mengenai tawaran berlakon pula, Heliza mengakui dia agak selektif dalam memilih setiap tawaran yang diterima dan hanya bersetuju asalkan skrip dan jalan ceritanya sesuai dengan karakter dan penampilannya.

Album sulung

Walaupun dilahirkan daripada sebuah program nyanyian lima tahun yang lalu, sehingga kini Heliza masih lagi belum pernah melahirkan sebuah album penuh.

Menurut Heliza, dia bukannya tidak berminat untuk menghasilkan album terutama buat para peminatnya. Sebaliknya, hasrat untuk menghasilkan album sering tertangguh kerana jadual kerjanya yang agak padat.

"Hanya pada tahun lalu barulah saya berkesempatan menghasilkan tiga buah single iaitu Cuma Aku, Kau Selamanya dan Chord G. Ketiga-tiga lagu tersebut dihasilkan oleh saya sendiri.

"Pada tahun ini pula saya menghasilkan sebuah lagi single yang berjudul Syurga Cinta hasil ciptaan komposer Mohd. Atlas. Mengenai album sulung pula, saya sendiri tidak pasti bila ia boleh dihasilkan, namun perancangan itu tetap ada," ujarnya.

Mengenai konsep album sulung yang bakal dihasilkan, Heliza menyatakan dia mahu tampil dengan album yang mengandungi lagu-lagu dakwah serta memberi pengajaran kepada pendengar dan sekarang ini dia sedang mencari komposer yang sesuai untuk menghasilkan lagu-lagu sebegitu.

Yuna mahu hidup solo dua tahun lagi

Posted:

Yuna mahu hidup solo dua tahun lagi

Yuna mahu hidup solo dua tahun lagi

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


YUNA mahu memberi fokus terhadap karier selepas putus cinta dengan Qi.


DUA minggu lepas, penyanyi terkenal Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai, 25, kehilangan gitar kesayangannya apabila van pemuzik yang digunakan untuk konsert jelajah di Seattle, Amerika Syarikat telah dirompak.

Selain gitar kesayangannya itu, beberapa alat muzik milik rakan-rakan pemuzik lain turut dirompak dalam kejadian berkenaan.

Kejadian seumpama ini merupakan insiden kali kedua yang berlaku kepada penyanyi itu. Kali pertama, keretanya telah dipecah masuk di Subang Jaya, Selangor pada bulan Mei lalu dan sebuah gitar milik penyanyi Diandra Arjunaidi yang merupakan anak didiknya dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut.

Ketika ditemui selepas majlis pelancaran Yuna sebagai duta produk pewangi Sence baharu keluaran syarikat Tohtonku Sdn. Bhd. di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi itu menceritakan apa yang berlaku di Seattle itu.

Kosmo!: Bolehkah Yuna ceritakan mengenai kejadian rompakan itu?

YUNA: Rompakan berlaku sebaik saya selesai menjalani siri jelajah konsert di sana dan alatan muzik tersebut berada di dalam van pemuzik saya. Saya tiada di Seattle ketika kejadian kerana dalam penerbangan untuk ke Los Angeles.

Apakah barang peribadi anda yang hilang dalam kejadian tersebut?

Gitar kesayangan saya yang berwarna coklat. Walaupun ia merupakan gitar tajaan syarikat Gitar Store Malaysia, namun saya selalu gunakannya ketika persembahan.

Ada barang lain lagikah yang hilang?

Baju-T yang ada tulisan nama saya turut hilang. Selain itu, alat-alat muzik rakan pemuzik lain juga hilang kerana kami letak semua alat muzik itu bersama dalam sebuah van jelajah.

Berapakah anggaran harga barang yang hilang?

Hampir RM100,000 termasuk gitar saya.

Apakah perasaan anda ketika mendapat tahu semua alat muzik itu telah dicuri?

Saya sebenarnya sudah dapat rasa akan berlaku kejadian ini sebab di Amerika Syarikat kejadian rompakan seumpama ini sering berlaku. Lagipun perkara sudah terjadi dan saya harus menerimanya.

Sudah dua kali barangan milik anda dirompak pada tahun ini. Apakah tindakan anda selepas ini?

Saya akan usung ke mana sahaja gitar baharu yang ditaja oleh Gitar Store nanti. Walaupun ia berat, saya tetap akan bawa ke bilik hotel dan tidak akan tinggalkan barangan saya di mana-mana lagi.

Bolehkah berkongsi sedikit tentang perkembangan karier Yuna di Amerika Syarikat?

Alhamdulillah, muzik saya diterima dengan cukup baik di sana. Saya cukup bersyukur dan rasa seronok, lebih-lebih lagi dalam kebanyakan masa selepas buat persembahan, ada penonton yang berminat untuk beli cakera padat saya.

Agaknya berapa lama lagi anda akan berulang-alik antara Amerika dan Malaysia?

Saya tidak tahu lagi kerana buat masa ini, saya melihat karier saya baru ingin berkembang positif di sana. Jika ada jangka waktu pun, mungkin saya perlu berulang alik untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi bagi memastikan semuanya berjalan stabil.

Bagaimana dengan peminat anda di Malaysia. Tidak takut akan kehilangan mereka sebab sering ke luar negara?

Malaysia akan tetap menjadi keutamaan saya. Peminat di sini tetap di hati saya. Saya akan sentiasa balik untuk menemui mereka. Setakat ini sudah tujuh kali saya balik ke Malaysia untuk tujuan itu (berjumpa peminat).

Bagaimana pula dengan hubungan anda dengan bekas kekasih, Qi?

Saya tidak mahu komen. Saya rasa, saya akan memegang status solo untuk tempoh yang lama. Mungkin untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi dan baru boleh memikirkan soal pasangan hidup.

Skandal Psy, YoonA

Posted:

Skandal Psy, YoonA

Skandal Psy, YoonA



PENYANYI yang menggegar dunia dengan fenomena lagu dan tarian Gangnam Style, Psy, dilaporkan menjalinkan skandal dengan anggota grup Girls Generation, YoonA.

Laporan tersebut kini menjadi topik hangat media di China. Menurut laporan yang tersebar, Psy dan YoonA yang juga merupakan seorang pencipta lagu itu mula berkenalan sejak enam bulan lalu. Sejak itu, hubungan mereka menjadi rapat sehingga didakwa telah menjalinkan skandal.

"Kisah skandal mereka memang belum diketahui umum, tapi isteri Psy sudah menghidu tentang hubungan sulit suaminya dengan YoonA. Bagaimanapun, dia hanya mendiamkan diri kerana mahu menjaga reputasi dan karier Psy serta hubungan mereka," tulis laporan tersebut.

Psy telah berkahwin pada tahun 2006 dan dikurniakan sepasang anak kembar.

Pihak media kemudian cuba mendapatkan pengesahan berita tersebut daripada YoonA, namun dia tidak memberikan sebarang jawapan.

Sementara itu, para peminat YoonA sendiri tidak percaya bahawa artis kesayangan mereka mempunyai hubungan dengan Psy.

"Mereka (media) gila membuat berita seperti ini," ujar salah seorang peminatnya.